Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada 9 Mac 1969, seorang balu bernama Ch’ng Lum Tong (nee
Chuah Kooi Ean), berusia 54 tahun
meninggal dunia di Hospital Besar
Kuala Lumpur. Ketika itu, Perdana
Menteri Tunku Abdul Rahman Putra mengadakan lawatan negara ke Singapura,
meminta mayatnya dibawa ke Residency, kediaman rasmi Perdana Menteri. Tunku memendekkan lawatannya itu menghadiri
upacara pengebumian.
Kisah
ini diceritakan semula oleh empat anak
perempuan Ch’ng Lum Tong (yang dikenali dengan panggilan Mak Tong), iaitu Kim
Poh, Kim Looi, Kim See, dan Kim Lee dalam “Our Tunku, Man for All
Seasons” yang dimuatkan dalam Tunku Still the Greatest Malaysian:
Personal Recollections and Reminiscences on Tunku Abdul Rahman Putra,
yang Dr. Rais Yatim sebagai editor dengan kerjasama Prabhakaran S. Nair. Menurut anak-anak perempuan Ch’ng, tidak berapa lama selepas
bapa mereka, yang dikenali dengan panggilan Pak Tong, meninggal dunia pada 26 Januari 1961, Tunku
mempelawa ibu mereka tinggal di Residency.
Menurut
mereka lagi, ibu mereka meminta untuk
memeluk Islam hanya beberapa jam sebelum dia meninggal dunia. Semasa upacara pengebumian di Perkuburan
Islam Jalan Ampang pada keesokan harinya, Tunku memberitahu bahawa ibu mereka
sejak lama memberitahu Tunku bahawa dia ingin
memeluk Islam dan mahu Tunku sebagai salah seorang saksinya. Tunku berasa kesal kerana beliau tidak
menjadi saksi; sebaliknya Dato’ Nik Hassan Abdul Rahman, Setiausaha Sulit Tunku
dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu, kawan rapat Mak
Tong, menjadi saksi. Mak Tong menjadi
Islam kira jam 11.00 pagi dan meninggal dunia kira-kira jam 6.00 petang. Pengurusan jenazah di Residency dilakukan
oleh (Dato’) Nik Hassan (Abdul Rahman) dan (Tun) Syed Nasir Ismail, bekas
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dengan disaksikan oleh Kim Poh dan Kim Looi,
dan diziarahi oleh lebih 100 orang,
termasuk orang kenamaan.
Bagaimanakah
agaknya sekiranya peristiwa seperti itu berlaku pada masa sekarang? Seorang
yang memeluk Islam beberapa jam atau
beberapa hari atau hanya beberapa bulan
sebelum dia meninggal dunia? Dapat
dibayangkan kemungkinan besar berlaku “berebut mayat” oleh keluarga si mati,
yang dibantu oleh barisan peguam, dan tidak ketinggalan orang politik yang mahu
tumpang sekaki. Tidak cukup dengan itu,
kemungkinan besar “pahlawan budaya,”
baik secara individu mahupun mewakili
pelbagai pertubuhan, kelihatan berkeliaran
mengeruhkan lagi suasana mendesak supaya si mati dikebumikan mengikut agama
asalnya.
Sebaliknya,
anak-anak perempuan Mak Tong itu menghormati keputusan ibu mereka untuk menjadi seorang
Islam. Para peguam dan orang politik pula tidak menyibuk, manakala pahlawan
budaya langsung tidak kelihatan. Mungkin
ada yang akan menghujah bahawa peristiwa itu berlaku di Residency dan
melibatkan Tunku. Namun begitu, melihat beberapa peristiwa “berebut mayat” yang
berlaku sekarang, sekiranya ada individu
seperti Mak Tong meninggal dunia di kediaman rasmi Perdana Menteri atau
Timbalan Perdana Menteri, belum pasti tidak ada orang yang akan mencetuskan kekecohan atau
cuba menangguk di air keruh.
Anehnya,
kekecohan hanya sering berlaku apabila
seseorang memeluk agama Islam. Kita tidak pernah mendengar kekecohan kerana
seseorang, katakan penganut agama Hindu atau Buddha atau kaum peribumi di Sabah
dan Sarawak memeluk agama Kristian. Juga tidak berlaku kekecohan sekiranya
budak di bawah umur memeluk agama Kristian, tetapi lain pula ceritanya jika dia
memeluk Islam.
Sebagai imbas kembali,
peristiwa yang dinyatakan di atas itu berlaku ketika politik Malaysia sedang
bergelora dan perkauman menjadi-jadi dan diibaratkan “bom jangka” yang menunggu
masa untuk meletup. Peristiwa itu juga
berlaku dua bulan sebelum pilihan raya umum tahun 1969 yang menyaksikan
prestasi buruk Parti Perikatan – kehilangan Pulau Pinang, manakala Perak dan
Selangor “tergantung,” dan tiga hari selepas
itu, tercetus Peristiwa 13 Mei.
Walau bagaimanapun, jika diikuti
analisis atau kajian tentang keputusan pilihan raya itu dan faktor yang
menyebabkan rusuhan kaum itu, langsung tidak
menyebut apatah lagi untuk mengaitkannya dengan “seorang hamba Allah
memeluk Islam hanya beberapa jam sebelum dia meninggal dunia yang mencetuskan
keberangan orang bukan Melayu.”
Sekiranya peristiwa
seperti itu berlaku pada masa sekarang, kemungkinan besar akan bergegar dalam
kempen pilihan raya untuk menunjukkan pemimpin Islam bersikap kejam terhadap
penganut agama minoriti. Mungkin ada yang masih ingat tentang demonstrasi
jalanan akhir tahun 2007 yang dilancarkan oleh satu kaum di negara ini,
antaranya untuk memberitahu dunia tentang “berebut mayat,” dan sekali gus,
untuk menyatakan kononnya kerajaan tidak bersikap adil terhadap golongan
minoriti seperti mereka.
Jika
diperhatikan, masyarakat Malaysia pada beberapa dekad terakhir abad ke-20,
lebih mengamalkan toleransi budaya jika
dibandingkan dengan masyarakat Malaysia pada abad ke-21. Meskipun ketika itu perkauman agak menebal,
jarang-jarang melibatkan budaya (juga agama), sebaliknya lebih berbau unsur politik. Sekarang ini, terlalu banyak pantang larang,
misalnya perkataan yang dahulu digunakan secara meluas, tiba-tiba kini dianggap
sebagai menghina sesuatu kaum atau berbau rasis. Apa yang selama ini
dapat diterima, seperti kes novel Interlok,
tiba-tiba beberapa tahun lalu, dipersoalkan baris demi baris, halaman demi
halaman. Lalu kedengaran tangisan dan rintihan golongan yang mendakwa kononnya mereka menjadi mangsa rasisme.
Fenomena yang berlaku kini, ada kaitannya dengan apa yang pernah diperkatakan
oleh Hans-Dieter Evers dalam “Global Knowledge:
The Epistemic Culture of Development” yang dimuatkan dalam Local and Global: Social Transformation in Southeast Asia –
Essey in Honours of Professor Syed Hussein Alatas. Hujah Evers, “laluan ke
arah masyarakat berilmu, bagaimanapun, dilanda oleh beberapa masalah pokok yang
utama. Globalisasi membawa begitu banyak
peningkatan apa yang kita tahu, tetapi jumlah yang lebih besar ialah kejahilan,
misalnya tentang apa yang kita tahu yang
kita tidak tahu. Meskipun kita benar-benar menuju ke arah menjadi “masyarakat
berilmu,” kita juga menjadi lebih jahil pada masa yang sama.” Tambah beliau, “meskipun pengetahuan kita
meningkat dengan pantas, pengetahuan tentang apa yang kita tidak tahu, babkan
meningkat lebih pantas.”
Kejahilan
yang melanda masyarakat kita menyebabkan Malaysia tidak lagi seperti yang kita
kenali selama ini. Medan pertikaian budaya dan agama, hari demi hari semakin
luas. Pahlawan budaya berkeliaran di
sana sini dengan memakai pelbagai topeng dan sentiasa bersiap sedia untuk
melakukan kekecohan. Walaupun banyak pihak menegakkan universalisme, tetapi
pada masa sama, mereka berselindung di
sebalik particularism. Maka, lahirlah “umat
terpilih” yang langsung tidak boleh disentuh.
Golongan yang mendakwa
diri mereka sekular tanpa segan silu melibatkan diri mereka dalam pertikaian
agama, bahkan ada yang nekad terjun ke
dalam medan pertempuran agama.
Tindak-tanduk golongan ini menimbulkan tanda tanya, sama ada mereka
benar-benar puak sekular atau hanya sekadar pseudosekular. Golongan ini tanpa segan silu menyanggah
sekiranya orang Islam ingin mengangkat kepala dan meninggikan suara mereka
dengan alasan atau hujah “Malaysia negara sekular.” Sekiranya, orang atau kumpulan bukan Islam mengemukakan
tuntutan tertentu, seperti menaikkan status agama mereka setaraf agama Islam di
sisi Perlembagaan, maka golongan yang kononnya sekular menjadi jurubicara mereka. Orang yang benar-benar sekular tidak akan mencampuri apa-apa sahaja yang berkaitan dengan kemunculan agama di dataran awam atau mmelibatkan diri mereka dalam
pertikaian agama.
Sementara
itu, kumpulan pendukung demokrasi menunjukkan tindak-tanduk yang amat
menjijikkan jika diperhatikan respons mereka terhadap pembentangan rang undang-undang
(RUU) persendirian tentang penambahbaikan mahkamah Syariah di Parlimen oleh
Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.
Golongan ini bersama-sama pemberitan dan penulisan pendapat dalam The Star
bukan sahaja menunjukkan penentangan mereka, bahkan mereka seakan-akan
naik histeria. Untuk menjadikan paluan
gendang perang gegak gempita dan untuk menakutkan orang bukan Islam dan meraih
sokongan mereka, golongan tersebut
mendakwa bahawa rang undang-undang itu sebenarnya hukum Hudud.
Jika
dibandingkan dengan Deklarasi Rakyat, RUU lebih jauh demokratik, kerana membentangkannya di
Parlimen, dan akan dibahaskan dan diputuskan di Parlimen. Beliau tidak menggerakkan anggota dan
penyokong PAS supaya mengadakan demonstrasi jalanan untuk menegakkan undang-undang
yang mereka perjuangkan, walaupun dalam kalangan parti politik, PAS lebih
berkemampuan untuk melakukannya.
Sepatutnya, pendukung demokrasi di negara ini mengalu-alukan
pembentangan RUU itu kerana hal ini dilakukan melalui saluran yang betul.
Daripada
220 anggota Parlimen, tidak termasuk dua
kekosongan, 35 anggota Parlimen Islam, iaitu UMNO (86), Parti Keadilan
Rakyat (PKR - 16), PAS (14), Parti
Bumiputera Bersatu (PBB – 10), Parti Amanah Negara (PAN – enam), DAP (dua), dan
Bebas (satu). Matematik, tanpa sokongan
anggota Parlimen daripada parti-parti lain, hanya PAS semata-mata, RUU itu
tidak akan diluluskan. Bahkan, dengan sokongan UMNO pun, PAS hanya mampu
memperoleh 100 anggota Parlimen Islam – masih tidak cukup, kecuali ada anggota Parlimen Islam lain yang
berasa “takut akan Tuhan.”
Kalau itu berlaku, tidak apa-apa yang sepatutnya diratapi, apatah lagi
untuk mencetuskan keberangan, kerana keputusan itu dibuat melalui proses
demokrasi dan bukannya melalui demonstrasi jalanan. Malangnya, senario yang begitu tidak dapat
difahami oleh golongan yang kononnya mendakwa diri mereka yang ingin memperjuangkan keluhuran
demokrasi.
Respons atau reaksi yang
dicetuskan oleh ahli politik bukan Islam, pendukung demokrasi, individu atau
kumpulan sosial tertentu yang diberikan liputan yang meluas dalam The Star,
sama ada mereka semua sedari ataupun tidak, jelas menampakkan bahawa mereka “Islamofobia.”
Sesiapa yang mengikuti pemberitaan dan
pendapat yang dimuatkan dalam akhbar itu sebaik-baik sahaja selepas RUU dibentangkan di Parlimen, pasti dapat
merasakan bahawa perkara ini seolah-olahnya berlaku di negara asing, seperti di Eropah
yang Islamofobia menebal dan bukannya di sebua negara yang agama Islam ialah
agama rasmi. Atau mungkin mereka
merasakan bahawa mereka sedang mengikuti Donald Trump sedang berkempen dalam
pemilihan awal pilihan raya presiden Amerika Syarikat kerana Trump memang kuat
sikap anti-Islamnya. Kelantangan dan
keceluparan mereka menentang RUU itu tidak ubah seperti mereka mahu membuka medan pertempuran dengan Islam dan bukannya terhadap
PAS, dan tanpa mempunyai kepekaan
terhadap orang Islam keseluruhannya yang mula merasakan bahawa agama mereka
diaibkan.
Alasan yang diberikan
oleh puak berkenaan ialah Malaysia negara sekular, akan mencetuskan krisis
Perlembagaan, dan menjejaskan keharmonian – yang boleh dikatakan semuanya
rapuh. Dakwaan Malaysia negara Islam
sekular dapat dipersoalkan, kerana dalam Perlembagaan jelas menyatakan Islam
agama rasmi dan penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing. Jika di Amerika Syarikat dikatakan pemisahan
antara negara dengan gereja semakin kurang jelas, demikian juga di Malaysia
tidak wujud pemisahan antara negara dengan agama. Di negara yang benar-benar mengamalkan
sekularisme, identiti atau jati diri tidak boleh muncul di dataran awam,
seperti cara berpakaian atau pemakaian simbol agama. Di negara Islam moden,
dikatakan tidak wujud negara yang benar-benar sekular, kecuali beberapa buah
negara yang dahulunya di bawah Kesatuan Soviet yang kini telah berkecai. Negara
yang dahulunya dianggap sekular, sebagai contoh India, Indonesia, Israel, dan
Turki mula beransur-ansur menjadi negara agama.
Tentang krisis
Perlembagaan – dakwaan ini seakan-akan lupa sejarah kerana krisis ini pernah
berlaku pada tahun 1983 dan 1992-1993. Justeru,
tidak ada-apa yang perlu diratapi sekiranya krisis Perlembagaan berlaku sekali
lagi. Mungkin dua krisis Perlembagaan
yang lalu lebih teruk kerana melibatkan Raja-Raja Melayu, dan dengan itu, salah
satu tonggak negara bangsa telah runtuh. Tentang dakwaan akan menjejaskan
keharmonian, satu soalan di sini: Sejak
bila Malaysia harmoni? Kalau mereka
benar-benar ingin mewujudkan keharmonian, mengapa mereka berdiam diri terhadap
satu demi satu gejala yang menjejaskan keharmonian yang kelihatan berleluasa
sebelum pembentangan RUU lagi?
Jika selama ini
pertentangan adalah antara hegemoni politik Melayu dengan hegemoni ekonomi
Cina, kini keadaan mula berubah, iaitu menjurus kepada persengketaan budaya dan
agama, yang semakin hari semakin dalam. Mengapa keadaan ini berlaku? Mungkin berbaloi jika dipetik apa yang pernah
diperkatakan oleh Robert D. Kaplan dalam bukunya, Warrior Politics: Why Leadership
Demands a Pagan Ethos. “Kejahatan
dan kecelakan pada abad ke-21 mungkin juga bangkit daripada gerakan
populis, mengambil kesempatan daripada
pendemokrasian, dimotivasikan pada masa ini oleh kepercayaan agama dan taifah,
dan diperkasa oleh Revolusi pasca-Perindustrian. Puak ekstremis Hindu yang merobohkan masjid
pada awal tahun 1990-an dan menyerang orang Kristian pada akhir tahun 1990-an
terdiri daripada gerakan kelas pekerja dalam demokrasi India, yang menggunakan kaset video dan Internet
untuk menyebarkan mesej mereka. Fenomena
yang sama berlaku di Indonesia, Iran, Nigeria, Algeria, Mexico, Fiji, Mesir,
Pakistan, Tebing Barat, dan Arab Nazareth, sekadar menyebut beberapa tempat
yang kumpulan agama dan etnik, terutamanya kelas pekerja yang diinspirasikan
oleh pendemokrasian, menggunakan
teknologi komunikasi moden untuk mencetuskan kekacauan.”
Pada bulan Ogos ini genap
59 tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kita mungkin berjaya membentuk negara, tetapi boleh
dikatakan gagal dalam pembinaan bangsa. Dan kita terpaksa membayar harga yang
tinggi akibat kegagalan itu: kita
kehilangan Malaysia yang kita kenali selama
ini. Hari demi hari berlalu, sama ada disedari ataupun tidak, kita hidup di Malaysia yang bukan lagi seperti yang kita
kenali sebelum ini.
No comments:
Post a Comment