Artikel Popular

Thursday, July 24, 2014

Bintang Merah Bertaburan

KHAMIS, 24  Julai 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dalam ulasan buku yang diterbitkan dalam London Review of Books keluaran Februari tahun ini (2012), Perry Anderson memulakan penulisannya dengan “buku tentang China, popular dan ilmiah, terus diterbitkan.” Bukan hanya  Anderson mengulas buku tentang China, tetapi juga Richard Bernstein, “The Chinese Are Coming!” dalam The New York Review of Books.   Sebenarnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kepustakaan tentang China membanjiri pasaran, baik buku dan jurnal, mahupun majalah dan akhbar.  Misalnya,  The Economist yang baru-baru ini muncul dengan “state capitalism” dengan tumpuan terhadap China, disusuli pula dengan rencana utama,  “China and the Paradox of Prosperity” dalam keluaran berikutnya.   Demikian juga dengan Monthly Review keluaran Februari, dengan tumpuan terhadap China melalui editorial dan tiga makalah. Dalam keluaran 13 Februari, pada kulit depan Newsweek terpampang, “Xi  Jinping:  China Next Boss.”          
Kisah dan cerita, hikayat dan riyawat dalam  “wayang Cina” yang    popular di sana sini adalah  berbagai-bagai: daripada kepesatan ekonomi negara kepada kekacauan sosial,  daripada model kampung sosialis, Huaxi yang setiap orang kaya-raya kepada protes nelayan di Wukan, daripada  pencabulan hak asasi manusia perbalahan dengan orang Hong Kong, daripada penentangan  penganut Buddha di Tibet    kepada persengketaan  dengan orang Islam di Xinjiang,   daripada hubungan yang tegang dengan beberapa buah negara jiran kepada persaingannya dengan Amerika Syarikat, daripada perang perdagangan kepada perang mata wang, daripada kapitalisme autoritarian kepada kapitalisme negara.
Pada  1 Julai 2011,  Parti Komunis China (CCP) menyambut ulang tahun ke-90.  Menerusi minggu acara yang direka tari dengan teliti, termasuk konsert, pelakonan semula revolusioner, pertunjukan televisyen, filem propaganda yang padat dengan pelakon terkenal, dan acara pesta di Shanghai, parti iltu menekankan asal-usul populisnya.  Perayaan itu mencapai kemuncaknya dalam ucapan selama 90 minit oleh Presiden Hu Jintao, dalam ucapan itu beliau menyanjung tinggi pemerintahan Parti Komunis selama 90 tahun, tetapi mengakui keperluan semasa untuk memerangi rasuah. Ketika China menyambut perayaan itu beratus-ratus juta murid sekolah, pegawai, pesara, dan bahkan eksekutif kanan Internet turut menyanyikan "lagu merah" memuji ibu pertiwi.  Panggung-panggung wayang membentangkan permaidani merah untuk filem propaganda blokbuster tentang kewujudan parti itu.  Kerajaan tempatan menghantar pesanan teks dengan petikan bernas daripada Mao Zedong, pengasas Republik Rakyat China.
Sementara itu, pada bulan Februari tahun ini, genap 40 tahun sebuah peristiwa yang tidak dijangkakan, iaitu Presiden Richard Nixon melawat China ketika  Perang Dingin sedang  memuncak.   Dengan lawatan Presiden Amerika Syarikat – negara yang menjadi musuh ketat Komunis,  ke China semasa pemerintahan Mao Zedong, maka bermulalah era “pembukaan China,” dan yang seterusnya, ialah sejarah.  Semasa  di bawah kepimpinan Deng Xiaoping, China secara perlahan-lahan membuka pasarannya dan terangkum dalam arus perdagangan ekonomi-dunia kapitalis.
Kini, dalam  kuasa ekonomi global,  Amerika Syarikat masih menduduki tempat pertama, tetapi disaingi rapat oleh China yang menduduki tempat kedua.  China  mempunyai lebihan imbangan perdagangan yang sangat besar dengan Amerika Syarikat.  Daripada hutang kerajaan Amerika Syarikat berjumlah AS$14.3 trilion, seperti yang didedahkan oleh Business Insider pada Julai lalu,  AS$1.16 trilion (lapan peratus) dimiliki oleh China.
Hubungan China dengan Amerika Syarikat, tegas Immanuel Wallerstein, dalam laman webnya,  menjadi tumpuan banyak pihak: penulis blog, media, ahli politik, dan birokrat antarabangsa.  Analisisnya biasanya dikemukakan sebagai hubungan antara kuasa besar yang sedang merosot, iaitu Amerika Syarikat, dengan negara yang “muncul” secara pantas, iaitu China.  Di dunia Barat, hubungannya lazimnya ditakrifkan secara negatif, China dianggap sebagai “ancaman.”  Akan tetapi, soal Wallerstein, “ancaman terhadap siapa, dan dalam maksud apa?”  Setelah menyoroti sejarah hubungan antara kedua-dua negara itu, Wallerstein merumuskan bahawa “pada takat tertentu, China dan Amerika Syarikat saling menyaingi,  tetapi tidak bermusuhan.  Mereka menjadi rakan usaha sama lebih daripada yang kedua-dua negara itu akui, dan akan menjadi rakan usaha sama yang lebih erat ketika dekad bergerak.” 
Kemerosotan Amerika Syarikat dan kebangkitan China, mewujudkan kebimbangan beberapa buah negara di Asia, misalnya pemimpin Jepun dan India mungkin mempertimbangkan kerjasama politik dan bahkan ketenteraan yang lebih erat. Meskipun konflik antara dua kedua-dua negara agak terpencil – pernah berlaku perang sempadan pada tahun 1962, India dilaporkan membuat keputusan untuk membeli 126 buah pesawat pejuang dari Perancis, menerima kapal selam berkuasa nuklear dari Rusia, dan bersiap sedia untuk kapal induk pesawat udara pertamanya, dalam usaha negara itu untuk memodenkan ketenteraannya untuk menandingi China.  Sementara Jepun baru-baru ini menunjukkan keberangannya terhadap China, menuduh negara jirannya secara satu pihak, mencari gali deposit gas di Laut China Timur, mencabuli persetujuan untuk membangunkan bersama kawasan yang dipertikaikan itu.
Amerika Syarikat yang keluar dari Iraq dengan kekalahan, menghala  ke Pasifik dengan harapan.  Anjakan  ke rantau ini mendorong kepada tafsiran bahawa Amerika Syarikat membina dasar pembendungan terhadap China.  Walau bagaimanapun, Presiden Barack Obama dalam wawacara dengan Fareed Zakaria dalam Time keluaran 30 Januari lalu, menjelaskan:  “Kita menghantar isyarat yang jelas bahawa kita kuasa Pasifik, dan kita akan terus menjadi kuasa Pasifik.  Akan tetapi, kita melakukan semua ini dalam konteks kepercayaan bahawa kebangkitan China secara aman adalah baik untuk setiap orang.  Hanya yang kita tekankan ialah  sebagai prinsip di rantau itu, setiap orang perlu bermain dengan set peraturan yang sama.”
Fareed yang  juga menulis makalah “The Strategist” dalam keluaran yang sama, membangkitkan peluang Asia yang akan dimanfaatkan oleh Doktrin Obama berikutan anjakan kuasa ekonomi global ke Timur.  Dalam masa 10 tahun, tiga daripada lima ekonomi terbesar di dunia adalah dari Asia: China, Jepun, dan India.  Kehadiran Amerika di rantau ini dapat diperhatikan dengan jelas,   seperti penempatan pangkalan tentera di Australia, perjanjian perdagangan rentas Pasifik, dan pewujudan semula hubungan dengan Myanmar, dengan itu, mendapat pengaruh penting di negara yang bersempadan dengan China dan India.  Tambah Fareed lagi, berkongsi dengan negara Asia lain  di persidangan kemuncak Asia Timur untuk mengehadkan pengaruh dan tuntutan China terhadap Laut China Selatan. 
“Tunjang kepada Asia yang mempunyai keberkesanan yang tinggi,” tulis beliau, “mengambil kesempatan daripada sikap agresif China.”  Namun begitu, Fareed mengingatkan Pentadbiran Obama mesti bekerja untuk membina wawasan yang mengiakan Asia yang tidak bersatu padu menentang China, sebaliknya bersifat terbuka, pelbagai, dan majmuk. Cabaran sebenarnya adalah untuk meyakinkan China bahawa negara itu menikmati faedah daripada kestabilan, peraturan, dan kemakmuran yang wawasan tersebut akan hasilkan dan untuk memujuk rakyat China bahawa mereka lebih berada dengan Asia seperti itu berbanding dengan Asia yang dicirikan oleh persaingan geopolitik.  Setakat ini, hubungan Washington dengan China belum lagi mencapai tahap dialog strategik serius yang akan diperlukan untuk mencapai mana-mana kerjasama global sebenar dalam tahun-tahun mendatang.
Sementara kehadiran semula Amerika Syarikat di rantau Pasifik dijangkakan akan membentuk semula dunia, kemaraan China di Laut China Selatan, baik untuk tujuan ketenteraan mahupun ekonomi, menimbulkan rasa takut dalam kalangan negara jirannya, terutamanya Jepun, Vietnam, dan Filipina. Laut China Selatan diramalkan merupakan masa hadapan konflik, tempat  tercetusnya Perang Dingin baru.  Pertikaian terhadap perairan Asia ini membabitkan Amerika Syarikat kerana beberapa negara, antaranya Filipina meminta negara kuasa besar itu hadir di rantau ini demi mengimbangi kemaraan China. Pada tahun 2010, Setiausaha Negara, Hillary Clinton mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat mempunyai “kepentingan negara” dari segi kebebasan belayar di Laut China Selatan dan menawarkan bantuan Washington sebagai orang tengah.  Hal ini membangkitkan kemarahan China bahawa Amerika Syarikat cuba untuk “mengantarabangsakan” isu yang sepatutnya diselesaikan dalam kalangan negara jiran.  Melihat bagaimana pertikaian wilayah akan mengundang penglibatan yang lebih besar daripada Amerika Syarikat, maka China dijangkakan mengambil pendekatan yang kurang bermusuhan dengan negara jirannya.
Pada awal Februari lalu, China bersama-sama Rusia  menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung dengan resolusi perubahan rejim di Syria.  Keputusan kedua-dua negara ini memeranjatkan banyak pihak sehingga menyebabkan Washington,  London, dan media Barat melenting.  Pendirian itu dilihat sebagai  kedua-dua angota tetap Majlis Keselamatan “”tidak mahu peristiwa Libya” berulang di Syria, meskipun akibatnya,  China dan Rusia kelihatan terasing daripada 13 negara anggota yang lain. Khusus bagi China, membayangkan dengan jelas bahawa  negara itu bekerjasama erat  dengan Rusia. 
Duta Besar China ke United Kingdom,  Liu Xiaoming yang menulis dalam guardian.co.uk, menjelaskan pendirian negaranya yang percaya Syria memerlukan penyelesaian secara aman. Mana-mana keputusan yang Majlis Keputusan ambil mesti mengurangkan dan memburukkan lagi ketegangan, menggalakkan perdamaian dan menyumbang kepada keamanan serantau dan kestabilan di Timur Tengah.  Beliau menarik perhatian  bahawa diamanahkan dengan tanggungjawab untuk keamanan dan kesemalatan dunia, perkara akhir yang PBB patut lakukan ialah merumitkan lagi krisis.  Apa yang kita perlukan daripada Majlis Keselamatan PBB ialah penyelesaian mapan, dan bukannya keputusan terburu-buru.
Tatkala dan Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan yang lebih keras terhadap Iran, manakala Israel pula semakin gamat memalu gendang perang, perhatian turut diberikan  terhadap China yang merupakan pengimport terbesar minyak Iran, iaitu 550,000 tong sehari, sama jumlahnya dengan Jepun dan Korea Selatan, selepas Kesatuan Eropah yang merupakan pengimport terbesar, iaitu 600,000 tong sehari.  China dijangkakan menjadi penerima faedah yang besar berikutan sekatan  terhadap jualan minyak Iran dalam usaha mendesak Teheran menghentikan program nuklear.  Sekatan itu menguatkan lagi kuasa tawar-menawar China dengan Iran untuk membeli minyak yang lebih murah. Tatkala China kelihatan menolak gesaan Amerika Syarikat supaya mengurangkan pembelian minyak Iran, Perdana Menteri Wen Jiabao melawat Amiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi,  membincangkan rancangan untuk menggalakkan bekalan tenaga untuk negaranya. Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Liu Weimin menganggap usaha Amerika Syarikat untuk mengantarabangsakan sekatan terhadap Iran dengan menyasarkan syarikat China adalah “tidak munasabah sama sekali dan mengakuri semangat atau kandungan resolusi Majlis Keselamatan PBB.”
Meskipun China kini menyaingi Amerika Syarikat dari segi ekonomi dan pada takat tertentu, ketenteraan, memperlihatkan kemaraannya di Laut China Selatan, memarahi Barat berhubung dengan krisis hutang dan kesusahan zon euro, mengingatkan Perdana Menteri David Cameron jangan meleteri China  tentang hak asasi manusia,  dan  mengatakan “tidak” di PBB, namun di negara itu sendiri, diperhatikan  berlaku kebangkitan rakyat.  Bahkan, Revolusi Melati yang tercetus di Tunisia pada awal tahun lalu, didapati kesannya merebak ke China. Protes  rakyat   menjadi-jadi, yang terbaharu di Wukan. Dalam keluaran akhir Januari lalu, selain rencana utamanya, “paradoks kemakmuran China,” The Economist juga mendedahkan pergolakan di negara itu:  Keadaan ekonomi dan media sosial menjadikan protes lebih lazim di China, masa yang lemah untuk pemerintah negara itu. 
Sementara rakyat Tibet bukan  sahaja menunjukkan penentangan mereka  terhadap  pihak berkuasa di Beijing, tetapi juga cuba menarik perhatian  dunia dengan bertindak membunuh diri dan mengorbankan diri sendiri yang semakin berleluasa.  “Kempen pendidikan semula” yang dikenakan oleh Beijing terhadap sami, yang dianggap sebagai ancaman dan ugutan, mendorong mereka untuk memilih kematian.
Selain pergolakan di negara sendiri, di Laut China Selatan, China diragui serta dibimbangi, manakala di Pasifik, China dikekangi dan diambangi.  Bintang merah yang bertaburan di planet ini tidak semuanya bercahaya, tidak semuanya berkilauan.  Tidak semua orang dan negara berasa teruja dan terpesona melihat bintang merah!
(Nota:   Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, April 2012.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...