Artikel Popular

Tuesday, June 4, 2013

Negara Paling Popular dan Paling Gembira di Dunia

SELASA, 4 Jun 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Perancis mungkin negara yang paling banyak dikunjungi di dunia, tetapi bukannya negara paling popular.  Sebaliknya, Jerman, menurut tinjuan pendapat BBC yang dipetik oleh The Huffington Post, ialah negara paling popular di dunia.

Lebih 26,000 orang yang dikaji di peringkat antarabangsa, diminta menarafkan 16 buah negara dan Kesatuan Eropah, sama ada pengaruh negara berkenaan di dunia adalah "terlalu positif" ataupun "terlalu negatif." Jerman muncul paling atas, dengan 59 peratus memberikan penarafan secara positif, manakala Iran sekali lagi dianggap paling negatif.  Dari segi ekonomi, rakyat Jerman, menurut kajian Pew Global, yang dipetik oleh Business Insider, mempunyai pandangan positif terhadap ekonomi negara mereka.  Pandangan ini berbeza dengan rakyat di negara lain dalam Kesatuan Eropah,  yang kelihatan muram.

Sementara itu, apakah yang menyebabkan sesebuah negara gembira?  Pastinya, bukan sekadar wang.   Amerika Syarikat jatuh ke tangga ke-14 tahun ini dari segi kepuasan hidup, menurut Better Life Index yang baru sahaja dikeluarkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD). Padahal, Amerika Syarikat mempunyai pendapatan boleh guna yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan mana-mana negara dan mempunyai kadar tinggi dari segi kesihatan yang baik dilaporkan sendiri.  Indeks OECD itu merangkumi 11 kategori: perumahan, pendapatan, pekerjaan, komuniti, alam sekitar, iltizam siviks, kesihatan, kepuasan hidup, keselamatan, dan keseimbangan pekerjaan-kehidupan. 

Untuk 10 buah negara teratas, Switzerland menduduki tempat pertama, diikuti oleh Norway, Iceland, Sweden, Denmark, Belanda, Austria, Kanada, Finland, dan Mexico (ke-10).


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...