Artikel Popular

Wednesday, May 1, 2013

Hari Pekerja: Generasi yang Hilang

RABU, 1 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Sebagaimana tahun sebelum ini, Hari Pekerja tahun ini disambut dalam suasana ekonomi global yang masih muram, iaitu pemulihan lemah, pertumbuhan lembap, dan kadar pengangguran yang tinggi di banyak negara. Di zon euro, misalnya laporan terbaharu menunjukkan kadar pengangguran mencecah paras tertinggi, iaitu kepada 12.1 peratus untuk bulan Mac, manakala 10.7 peratus di Kesatuan Eropah yang dianggotai oleh 27 buah negara. 

Dalam kalangan negara zon euro, Sepanyol yang tertinggi, iaitu 26.7 peratus, yang menurut  Matthew O'Brien, "bukan sekadar suratan takdir,"  menyaksikan kebangkitan indignados, iaitu keberangan rakyat sejak dua tahun lalu. 

Di zon euro juga, seperti yang pernah dicatatkan oleh Joe Weisenthal dalam Business Insider, pengangguran dalam kalangan belia adalah tinggi, seperti yang berlaku di Sepanyol (55.9 peratus), Portugal (38.3 peratus), Italy (38.4 peratus), dan Cyprus (32.3 peratus.)

Sementara The Economist dalam rencana utamanya baru-baru ini menegaskan bahawa jumlah orang muda yang menganggur di seluruh dunia, sama jumlahnya dengan penduduk Amerika Syarikat. Makalah itu memetik pesanan Margaret Thatcher pada tahun 1984, Perdana Menteri British ketika itu, bahawa "orang muda tidak boleh duduk-duduk sahaja."

Namun, kini, lebih banyak orang muda yang duduk-duduk sahaja jika dibandingkan dengan sebelum ini, memetik angka Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang menunjukkan 26 juta mereka yang berumur antara 15 tahun hingga 24 tahun di negara maju tidak mempunyai pekerjaan, pendidikan atau latihan; bilangan orang muda tanpa pekerjaan meningkat sebanyak 30 peratus sejak tahun 2007. 

Makalah itu juga memetik laporan Pertubuhan Buruh  Antarabangsa (ILO) bahawa 75 juta orang muda di seluruh dunia mencari pekerjaan.  Sementara kajian Bank Dunia menunjukkan bahawa 262 juta orang muda dalam pasaran sedang muncul adalah tidak aktif dari segi ekonomi.  "Bergantung pada bagaimana anda mengukur mereka, jumlah orang muda tanpa pekerjaan hampir sama banyak dengan penduduk Amerika yang berjumlah 311 juta orang."

Dua faktor utama yang menyumbang kepada masalah itu, menurut makalah dalam The Economist itu.  Pertama, kelembapan yang lama yang berlaku di Barat mengurangkan permintaan terhadap buruh, dan lebih mudah tidak mengambil orang muda bekerja berbanding dengan memecat pekerja tua.  Kedua, pertumbuhan penduduk dalam pasaran sedang muncul adalah lebih pantas di negara yang pasaran buruh disfungsi, seperti India dan Mesir.

  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...