Artikel Popular

Monday, May 20, 2013

Itali: Kebuntuan Politik Kegagalan Jimat-cermat

ISNIN, 20  Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Plihan Raya Parlimen Itali yang berlangsung pada akhir Februari lalu, dipercayai tidak akan mewujudkan kestabilan dan pembaharuan, meskipun pilihan raya itu membuka peluang kepada para pengundi membuat keputusan untuk sebuah negara yang beberapa tahun terhuyung-hayang di lurah krisis fiskal. Jika rakyat negara itu memilih kerajaan yang keberatan melaksanakan pembaharuan ekonomi, atau menangguhkan perubahan yang dilaksanakan baru-baru ini yang direka untuk menjadikan ekonomi lebih berdaya saing, nescaya keupayaan Itali membayar balik hutang  diragui. 
            Protes besar-besaran yang kemudian diterjemahkan ke dalam peti undi oleh rakyat Itali yang berang terhadap kesukaran ekonomi mereka menyebabkan negara ekonomi ketiga terbesar di zon euro berkeputusan “parlimen tergantung,” iaitu tidak ada mana-mana parti yang meraih undi yang cukup untuk membentuk kerajaan. Keputusan pilihan raya itu menunjukkan bahawa parti yang antieuro memperoleh lebih 50 peratus undi dan gerakan populis baru mencapai keputusan yang memeranjatkan, menggegarkan pasaran global dengan ketakutan terhadap krisis baru di zon euro.  Mata wang bersama Eropah itu menjunam jika dibandingkan dengan dolar dan yen, manakala saham Amerika Syarikat terjejas teruk dengan kejatuhan yang besar dalam satu hari sejak November tahun lalu.
            Undi yang berpecah itu menyaksikan tidak ada  pemenang yang jelas, dengan calon tengah-kiri Pier Luigi Bersani mendahului lawan, memperoleh 29.6 peratus undi berbanding dengan pencabar terdekat, iaitu bekas Perdana Menteri Silvio Berlusconi dan sekutunya memperoleh 29.2 peratus undi Dewan Rakyat.  Meskipun memperoleh undi majoriti di Dewan Rakyat, untuk Dewan Senat, Bersani kekurangan majoriti mutlak, yang beliau perlukan untuk meraihkan kemenangan lengkap. Selain itu, tengah-kiri diragui kemampuannya menangani krisis kewangan kerana setakat pilihan raya itu, parti tersebut tidak memberikan penjelasan yang jelas tentang dasar ekonomi.
Orang yang benar-benar tewas dalam pilihan raya tersebut ialah Mario Monti, teknokrat yang  dilantik sebagai Perdana Menteri Itali pada November 2011, menggantikan Silvio Berlusconi yang dipilih oleh rakyat.   Perlantikan seperti itu  (juga berlaku di Greece) atas kehendak Brussels dan Berlin dianggap sebagai pencabulan terhadap demokrasi semata-mata demi menyelamatkan kapitalisme yang bergelut dengan krisis.  Monti yang diberikan harapan yang tinggi untuk menyelamatkan Itali daripada krisis kewangan, akhirnya terbukti gagal kerana beliau diperhatikan membenarkan dirinya ditakrifkan oleh langkah jimat-cermat yang tidak popular.  Dalam pilihan raya itu, beliau memperoleh 10.6 peratus undi, sekadar “cukup makan,” tetapi tidak cukup untuk memainkan peranan sebagai dalang politik, yang beliau idam-idamkan dari segi strategi. 
Sebaliknya, yang muncul sebagai pemenang ialah Gerakan Lima Bintang, iaitu kumpulan politik baru, pimpinan Beppe Grillo, yang berkempen atas pentas memansuhkan jimat-cermat, yang memperoleh 25.5 peratus undi.  Gerakan tersebut hanya muncul sebagai parti tiga setengah tahun lalu, diabaikan oleh akhbar, dan langsung tidak mendapat liputan dalam stesen televisyen milik Berlusconi. Sebagai alternatif, Gerakan Lima Bintang terpaksa berusaha sendiri untuk berkembang, terutamanya bergantung pada pandai menggunakan Internet, dan enggan menerima wang kerajaan yang dapat diperoleh untuk membantu kempennya.  “Grillo ialah fenomena Itali,” menurut Spiegel Online International, “tetapi pencapaian partinya merupakan pernyataan keberangan dan kebimbangan yang membara yang merebak di seluruh Eropah Selatan yang dilanda krisis.  Gerakan warga baru terbentuk, iaitu gerakan yang sama-sama tidak mempercayai sistem politik yang mapan dan menuntut lebih banyak demokrasi akar umbi.”
Pilihan raya  juga menyaksikan kepulangan semula  Silvio Berlusconi yang bergelumang dengan skandal seks dan pesta “Bunga Bunga,” ke pentas politik Itali. Berlusconi yang terpaksa meletakkan jawatan Perdana Menteri, memperoleh undi kedua terbesar, yang sekali gus menandakan penolakan para pengundi terhadap pengganti beliau, iaitu Mario Monti, yang berusaha menaikkan cukai, memotong pencen, dan memotong defisit belanjawan.
Untuk pertama kali dalam memori saya, ulas Maria Laura Rodota dalam The Observer, tidak ada sesiapa yang mengadakan perayaan selepas pilihan raya umum. Tidak ada perayaan daripada Demokrat, yang diunjurkan muncul sebagai pemenang, tetapi berkesudahan dengan kekalahan.  Tidak juga daripada tujuh orang pengundi (jatuh daripada 13 juta orang pada tahun 2008) yang masih memilih Silvio Berlusconi dan kemudian menjadi tidak kelihatan.  “Bahkan, tidak ada mana-mana perayaan daripada pemenang sebenar, iaitu golongan militan dan pengundi Gerakan Lima Bintang.  Bagaimana Itali berkesudahan memilih dengan parti populis yang nama kedengaran seakan-akan hotel mewah?”  Para pengundi parti pimpinan Beppe Grillo terjejas teruk akibat kemelesetan dan tidak berminat untuk menyambut kemenangan. Jelas Maria Laura, juga tidak ada sesiapa pun yang tahu, atau benar-benar peduli, di manakah ibu pejabat parti itu sebenarnya.
Seperti yang diperhatikan, pilihan raya  tersebut bukan sahaja memutuskan siapakah yang mengawal kerajaan baru, tetapi juga bagaimana Itali  akan terus menangani krisis ekonomi di negara sendiri dan di seluruh Eropah. Namun, dikhuatiri bahawa Rome lebih berpecah belah berbanding dengan Washington yang bergelut dengan kebuntuan politik yang berpanjangan.  Nyata bahawa Itali juga terpaksa menghadapi situasi seperti itu apabila  Grillo, bekas pelawak, menolak kemungkinan partinya bergabung dengan tengah-kiri untuk membentuk kerajaan baru.
Keputusan pilihan raya itu menyebabkan pasaran panik. Pasaran saham di seluruh Eropah menjunam.  Sementara para pelabur memutuskan bahawa rakyat Itali memberontak terhadap jimat-cermat Kesatuan Eropah  yang diilhamkan oleh Jerman, tetapi pandangan ini, dikatakan ditolak di Berlin.  Prestasi kuat Berlusconi yang di luar jangkaan,  boleh dihujahkan tercetus daripada bukan sekadar penolakan terhadap jimat-cermat.
Joseph E. Stiglitz yang mengulas keputusan pilihan raya itu dalam Project Syndicate, menegaskan sepatutnya menghantar mesej yang jelas kepada para pemimpin Eropah bahawa dasar jimat-cermat yang mereka laksanakan ditolak oleh para pengundi.  Bagi Penerima Hadiah Nobel Ekonomi itu, menggalakkan teknokrat mentadbirkan negara, yang seakan-akan mengetepikan proses demokratik, dan memaksa mereka melaksanakan dasar yang membawa kesengsaraan terhadap orang ramai dengan berleluasa.  “Meskipun pemimpin Eropah enggan meninggalkan jimat-cermat,” tulis Stiglitz, “dari segi realiti, adalah bahawa kebanyakan negara dalam Kesatuan Eropah dalam kemelesetan.”  Kehilangan output di Itali sejak permulaan krisis, jelas beliau, adalah seteruk tahun 1930-an.  Pengangguran dalam kalangan belia Greece kini melebihi 60 peratus, dan Sepanyol lebih 50 peratus.  Dengan kemusnahan modal insan, struktur sosial Eropah berkecai, dan masa depannya dihumbankan ke dalam bahaya.  Bagi Stiglitz, “Eropah memerlukan satu dekad atau lebih untuk memulihkan kerugian yang ditanggung akibat proses jimat-cermat ini.”
The Editors dalam Bloomberg yang mengulas pilihan raya Itali turut mengingatkan bahawa langkah jimat-cermat tidak akan popular dalam kalangan pengundi, melainkan mereka diyakinkan bahawa kesengsaraan dikongsi secara meluas dan hanya sementara waktu.  “Akan tetapi,” hujah The Editors, “hal ini tidak mudah.  Bahkan jika kerajaan terus melaksanakan program jimat-cermat mereka, maka mereka mungkin hanya berjaya membunuh pertumbuhan ekonomi yang mereka perlukan untuk memulihkan keutuhan kewangan.”
Walau bagaimanapun, dikatakan bahawa wujud salah faham tentang daya pujukan Beppe Grillo.  Sebenarnya, bukan undi menentang jimat-cermat, tetapi undi menentang golongan pemerintah dan rasuah.  Dalam pada itu, undi menunjukkan pecah belah Itali amat dalam, iaitu dari segi wilayah dan generasi. 
Dalam konteks yang lebih luas, keputusan pilihan raya Itali itu, seperti yang dibahaskan oleh Robert J. Samuelson, “kembali semula krisis euro.”  Melalui makalahnya dalam The Washington Post, Samuelson menegaskan bahawa pilihan raya terbaharu itu memadamkan optimisme.  Keputusannya seakan-akan campuran kekaburan dan anarki, hujah beliau yang turut mengulas prestasi Berlusconi:  berulang-ulang kali mengumumkan kematian dari segi politik, bangkit dari kuburan, dan hampir menang.  Antara pakatan tengah-kanan Berlusconi dengan kumpulan tengah-kiri Pier Luigi Bersani yang menang dalam undi popular, wujud ketidaksefahaman dasar utama, dan dengan itu, tidak banyak asas untuk membentuk kerajaan dengan majoriti parlimen.
Rakyat Itali menghantar mesej bahawa pilihan raya bukan sekadar antijimat-cermat semata-mata, tetapi juga anti-Jerman.  Retorik Berlusconi adalah sangat anti-Jerman.  Dalam politik Itali sekarang, sememangnya bahaya untuk kelihatan menjadi pengikut setia Canselor Angela Merkel. “Dalam satu pukulan yang mengagumkan,” tulis Samuelson, “pengundi Itali menolak kedua-duanya, iaitu respons utama Eropah terhadap hutang kerajaan yang tinggi, iaitu memotong perbelanjaan, meningkatkan cukai, dan arkitek yang paling berkuasa terhadap dasar tersebut, Angela Merkel dari Jerman.  Jika Itali perlu diberikan pelan penyelamat, rundingan telah pun kelihatan berliku-liku.”
Rasa geram terhadap jimat-cermat bukannya misteri,  jelas Samuelson, “ekonomi Itali menguncup enam suku tahun berturut-turut.  Pada tahun 2013, ekonomi negara itu akan menguncup satu peratus lagi, dan kadar pengangguran pada Disember lalu ialah 11.2 peratus.  Pokoknya, rakyat Itali tidak banyak memperoleh pulangan daripada jimat-cermat mereka.  Sementara cukai meningkat.”
Krisis ekonomi global yang berlaku sejak beberapa tahun lalu, dan tidak menunjukkan tanda untuk reda, seperti yang berlaku di Eropah, terutamanya di zon euro, bukan sahaja mengakibatkan kapitalisme muflis dan  globalisasi terumbang-ambing, bahkan demokrasi semakin comot.  Kapitalisme dan demokrasi yang sepatutnya seiring jalan, kelihatan menyimpang antara satu sama lain.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...