Artikel Popular

Wednesday, July 6, 2011

Penjaga Budak Guru Bahasa Kedua

RABU,  6 Julai 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH

Pada akhir September 2009, di Johor Bahru, berlangsung Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang menghangatkan semula sesuatu yang agak  lama sejuk.  Dalam persidangan itu,  lahir   “keyakinan untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia suatu hari nanti.”  Antara hujahnya ialah pada masa ini, terdapat lebih kurang 6000 bahasa yang masih digunakan,  tetapi hanya 20 bahasa yang bertaraf bahasa rasmi yang penuturnya berjumlah lebih 50 juta orang.  Bahasa Melayu ialah salah satu daripada 20 bahasa itu. Untuk mengukuhkan lagi alasan,  maka statistik tentang jumlah penutur bahasa ini diperturunkan:  Jika dicampurkan  pengguna bahasa itu di Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura serta di negara lain, maka jumlah penuturnya adalah hampir 300 juta orang, menjadikannya sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (lebih kurang 1.4 bilion penutur), Mandarin (satu  bilion penutur), Hindi dan Urdu (700 juta penutur), dan Sepanyol (lebih 300 juta penutur). Para sarjana luar negara yang “didatangkan” khas ke persidangan  itu turut melahirkan keyakinan mereka tentang bahasa Melayu sebagai bahasa dunia, dengan pelbagai pujian dan sanjungan yang ada kalanya untuk “menyedapkan hati” tuan rumah.
 Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia, seperti  yang dilaporkan, meluluskan  resolusi tiga perkara, termasuk mendesak kerajaan memberikan kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Kuasa itu juga perlu diberikan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk tujuan sama.  Resolusi berkenaan turut mendesak  kerajaan supaya  memperkukuhkan semula fungsi Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan menyediakan dana mencukupi untuk menggerakkan aktivitinya.  Selain itu, kerajaan diminta menyediakan peruntukan bagi memantapkan  dan memperluas jaringan antarabangsa di pusat-pusat pengajian Melayu di luar negara yang memperluas fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kedua.
Secara keseluruhannya, rancangan untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu, lebih  tertumpu pada  sebelah penawaran, dengan pelan tindakan dipertanggungjawabkan kepada kerajaan atau agensi kerajaan.  Sebaliknya, sebelah permintaan kurang diberikan perhatian.  Meskipun seperti yang dinyatakan di atas,  jumlah penutur bahasa Melayu agak  besar, sebenarnya jumlah ini  merupakan “pengguna”  yang sedia.  Sedangkan, potensi  pengguna di luar Alam  Melayu boleh dikatakan terlalu sedikit; atau dengan kata lain, permintaan masih rendah.  Lazimnya, permintaaan terhadap sesuatu bahasa didorongkan oleh faktor pendidikan, ekonomi, politik dan ketenteraan, dan budaya.
Jika dilihat dalam konteks permintaan terhadap bahasa asing  di peringkat antarabangsa, gambarannya  kurang memberangsangkan.   Pada Januari 2010, akhbar The New York Times dengan judul  “Foreign Languages Fade in Class:  Except Chinese” melaporkan  bahawa beribu-ribu sekolah awam di Amerika Syarikat menghentikan pengajaran bahasa asing pada dekad lalu.  Akhbar itu yang merujuk kepada  kajian yang dilaksanakan oleh Center for Applied Linguistics, dengan pembiayaan kerajaan, menegaskan “berita muram bagi negara yang memerlukan lebih banyak ahli bahasa untuk menjalankan perniagaan dan diplomasi global.”
Bilangan rakyat Amerika yang  mempelajari bahasa asing dilaporkan meningkat sebelum ini, hanya sekadar melihat keadaan gelembung meletup (bubble burst).  Banyak sekolah di Amerika yang memulakan pengajaran bahasa Jepun pada tahun 1980-an, selepas Jepun muncul sebagai saingan ekonomi.  Walau bagaimanapun, menurut kajian itu, beribu-ribu orang menggugurkan bahasa itu.  Bukan sahaja  bahasa Jepun mengalami kemerosotan sedemikan, tetapi bahasa lain, apabila beribu-ribu sekolah yang menawarkan pengajaran bahasa Perancis, Jerman, atau Rusia menghentikan pengajaran bahasa berkenaan. Menurut   laporan terbaharu,  meskipun bahasa Jepun dan bahasa lain penting di Amerika, tetapi kekangan belanjawan menyebabkan pengajaran bahasa berkenaan terpaksa diketepikan.  
 Kajian Center for Applied Linguistics, walau bagaimanapun, menunjukkan kemajuan yang menakjubkan terhadap bahasa Cina, iaitu meningkatnya bilangan sekolah di Amerika yang menawarkan pengajaran bahasa itu.  Sesetengah sekolah membiayai kelas bahasa Cina dengan peruntukan mereka sendiri, tetapi beratus-ratus sekolah mendapat pertolongan.  Kerajaan China menghantar para guru dari China ke sekolah-sekolah di seluruh dunia, dan membayar gaji mereka.  “Pada masa belanjawan yang ketat, banyak sekolah Amerika mendapati tawaran itu sukar ditolak.”  Meskipun angka sebenar tidak diketahui, pengiraan kasar menunjukkan bahawa 1600 buah sekolah awam dan swasta di Amerika mengajar bahasa Cina, meningkat daripada 300 buah atau lebih pada dekad lalu.
Sementara di Britain,  apabila keputusan General Certificate of Secondary Education (GCSE)    diumumkan pada Ogos tahun 2010, didapati bilangan murid yang mengambil bahasa Perancis dan bahasa asing lain merosot secara dramatik, kerana mereka mengambil mata pelajaran sains tunggal. Bilangan murid yang mengambil mata pelajaran bahasa merosot sejak kerajaan menjadikan bahasa pilihan dalam GCSE enam tahun lalu.  Kemerosotan dalam bahasa Perancis adalah ketara, iaitu hampir separuh, sekadar melebihi 170,000 orang murid jika dibandingkan dengan lebih 300,000 orang pada tahun 2004, dan jatuh daripada 10 mata pelajaran paling popular pada tahun ini.  Lebih banyak murid yang memilih untuk mempelajari geografi dan seni untuk GCSE.
Dalam keluaran Ogos 2010,  The New York Times mendedahkan kaedah baru dalam penyebaran bahasa  yang  tidak melibatkan tenaga pengajar atau ahli bahasa.  Juga tidak memerlukan institusi formal dan kerajaan tidak perlu menyediakan peruntukan.  Dengan tajuk “Looking for Baby Sitters: Foreign Language a Must”  akhbar itu melaporkan bahawa ibu bapa  mencari penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak yang dapat mengajar bahasa kedua untuk anak-anak mereka. Lazimnya,  ibu bapa tidak menguasai bahasa kedua itu, dan oleh itu,  mereka mengharapkan orang lain  mengajarkannya untuk anak-anak mereka.
Menurut  akhbar itu,  wujud kecenderungan  dalam kalangan ibu bapa di Amerika bahawa seseorang itu bukan sahaja menjaga  anak-anak mereka, tetapi  dia juga bercakap dengan   anak-anak mereka secara eksklusif  dalam  bahasa Sepanyol.  Bagi ibu bapa berkenaan, kemasukan anak-anak mereka di pusat jagaan kanak-kanak merupakan langkah pertama untuk mempelajari bahasa asing.  Seorang ibu dilaporkan berkata, “Satu kemestian bahawa penjaga budak  bercakap bahasa Sepanyol.  Kami berasa terlalu kuat bahawa anak kami mendengar bahasa lain,”  meskipun si ibu itu dan suaminya tidak menguasai bahasa Sepanyol. 
Walaupun  majoriti ibu bapa mencari penjaga untuk anak-anak mereka – penjaga yang akan bercakap dengan anak-anak mereka dalam bahasa Inggeris,  blog dan laman Web keibubapaan (parenting) popular menunjukkan bahawa bilangan yang ketara dalam kalangan ibu bapa yang mencari penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak yang dapat membantu anak-anak mereka belajar bahasa kedua, iaitu bahasa yang mungkin ibu bapa berkenaan  tidak dapat tuturi.  Ibu bapa dilaporkan mensyaratkan jika pengasuh kanak-kanak  bekerja dengan mereka, dia hanya bercakap dengan anak-anak mereka dalam bahasa Sepanyol.  Bagi ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka mempelajari bahasa Sepanyol, mereka menegaskan bahawa “pengasuh itu  tidak akan diambil bekerja jika tidak kerana bahasa Sepanyol.” 
Ibu bapa menyatakan alasan yang berbeza untuk mengupah penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak untuk bercakap atau bertutur bahasa kedua dengan anak-anak mereka.  Sesetengah ibu bapa menghadapi kesukaran untuk memilih bahasa asing dan mahu menjadikan kehidupan yang lebih mudah untuk anak-anak mereka.  Sesetengahnya percaya langkah itu menjadikan mereka lebih pintar.  Dan lazimnya, di Bandar Raya New York, banyak ibu bapa mempunyai hubungan dengan bahasa lain dan mahu memperkukuhkan hubungan itu.  Ibu bapa mula sedar akan manfaat untuk anak-anak mereka untuk mempelajari bahasa lain.
Wujudnya kesedaran baru ini dalam kalangan ibu bapa agak memeranjatkan kerana tidak berapa lama dahulu, banyak ibu bapa yang mendesak  pengasuh kanak-kanak supaya tidak menggunakan bahasa ibundanya dan hanya bercakap dalam bahasa Inggeris dengan anak-anak mereka.  Hal ini demikian kerana mereka khuatir bahasa lain mungkin mengelirukan perkembangan bahasa Inggeris mereka.
 “Sebaik-baik sahaja anda tribahasa,” seorang ibu dilaporkan berkata, “anda boleh memecahkan bahasa baru yang lebih memudahkan anda untuk mempelajari bahasa keempat, kelima, dan keenam anda.”
Menurut  kajian “Bilingualism Consequences for Language, Cognition, Development, and the Brain” yang diterbitkan dalam The Asha Leader Online pada Oktober 2009, setiap tahun beribu-ribu anak kelas menengah dan kelas atas Amerika mempelajari bahasa asing untuk pengayaan.  Anak-anak ini, ibu bapa mereka, dan guru mereka didorong oleh kepercayaan bahawa mengetahui bahasa lain “adalah baik untuk anda.”
 Penyelidikan  menunjukkan bahawa pembelajaran bahasa kedua akan memudahkan seseorang untuk mempelajari bahasa tambahan. Dipercayai bahawa kedwibahasaan adalah maha penting untuk otak.  Orang yang bercakap dua bahasa mempunyai “kelebihan yang ketara.”  Sejak umur awal, orang dwibahasa adalah “lebih mampu untuk mengikhtisarkan maklumat.”  Meskipun budak yang membesar di rumah yang menggunakan dwibahasa lebih perlahan jika dibandingkan budak  ekabahasa dari segi penguasaan bahasa, tetapi sebaik-baik sahaja mereka mempelajari kedua-dua bahasa itu, mereka kelihatan mempunyai beberapa kelebihan intelektual.  Budak-budak dwibahasa, memperlihatkan kebaikan yang luar biasa dari segi pembelajaran untuk “mengetepikan maklumat yang mengelirukan.”
Usaha  ibu bapa supaya anak-anak mereka menguasai bahasa asing melalui  pengasuh kanak-kanak, sesungguhnya merupakan penyelesaian yang menarik kerana usaha ini memberikan pendedahan yang konsisten kepada kanak-kanak.  Namun begitu, timbul persoalan bahawa  berapa lama pengasuh itu akan bersama-sama kanak-kanak berkenaan, dan dengan siapa lagi kanak-kanak itu  boleh menggunakan bahasa tersebut. Nampaknya, ibu bapa memahami persoalan yang mendepani mereka lalu  mereka berhasrat  menggunakan pengasuh kanak-kanak, selagi dia mahu bekerja, bahkan selepas anak-anak mereka mula bersekolah.
Sesungguhnya, banyak kaedah yang boleh diambil untuk menyebarkan sesuatu bahasa di peringkat antarabangsa.  Orang yang ingin belajar bahasa kedua atau bahasa asing pastinya mengutamakan kaedah yang lebih mudah menurut pertimbangan mereka.  Selain kaedah konvesional dengan kewujudan institusi formal, dan kini melalui Internet, penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak juga dapat memenuhi keperluan dan  kemahuan  untuk mempelajari bahasa asing atau bahasa kedua.  Melihat peranan penjaga budak dan pengasuh kanak-kanak yang sedemikian rupa, maka boleh dikatakan berlaku pembaharuan, inovasi, dan kreativiti  dari segi  pengembangan bahasa, dan bukannya asyik memanaskan sesuatu yang telah basi. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Pelita Bahasa, Jun 2011.)

Sunday, July 3, 2011

Orang Politik dan Kehidupan Seksual

ISNIN,  4 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Selepas Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika itu, ditangkap di New York City atas tuduhan cuba merogol pembantu hotel Sofitel pada 14 Mei lalu, majalah Time muncul dengan kulit depan,  "Sex.  Lies.  Arrogance.  What Makes Powerful Men Act Like Pigs."  Di dalamnya terkandung  makalah yang ditulis oleh Nancy Gibbs bahawa kejadian itu mencetuskan debat yang hangat tentang seks, undang-undang, kuasa, dan hak istimewa.  Dalam tulisan itu  Nancy turut  menyentuh skandal seks bekas Gabenor California, Arnold Schwarzenegger yang mempunyai anak hasil hubungan sulitnya dengan bekas staf pembantu rumahnya.  Meskipun kedua-dua kes itu berbeza, kedua-duanya membuktikan penyalahgunaan kuasa dan pengkhianatan kepercayaan. Beliau juga menyatakan situasi Strauss-Kahn lebih serius jika dibandingkan dengan Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi, yang menghadapi perbicaraan rasuah, penipuan cukai, dan paling relevan, mengadakan hubungan seks dengan pelacur bawah umur dan kemudian menggunakan jawatannya untuk menutup kecurangan itu.

Melihat seorang demi seorang ahli politik terlibat dalam skandal seks atau mengadakan hubungan sulit dengan wanita lain, termasuk yang terbaharu, Senator John Edwards, bekas calon Naib Presiden Parti Demokratik tahun 2004, Nancy Gibbs menulis:  Memasuki politik dan anda memasuki rumah kaca; tidak ada rahsia dan tidak ada tempat untuk bersembunyi.  Beliau merujuk Pscychological Science yang mendapati semakin tinggi lelaki atau wanita meningkat dalam hierarki perniagaan, maka besar kemungkinan mereka memikirkan atau melakukan zina. Nancy  turut memetik hujah pengarang kajian itu bahawa "dengan kuasa, muncul kedua-duanya, iaitu peluang dan keyakinan dan dengan keyakinan, muncul perasaan hak kelayakan seksual.  "Apabila lelaki mempunyai lebih banyak peluang, mereka cenderung bertindak berdasarkan peluang itu," kata ahli psikologi, Mark Held yang dipetik oleh Nancy.


Kehidupan seks dalam kalangan tokoh politik di mana-mana sahaja menjadi pengetahuan umum dan sering didedahkan.  Tidak kurang yang mengakui penglibatan mereka itu lalu terpaksa meletakkan jawatan.  Ahli perniagaan atau tokoh perniagaan juga terlibat dalam skandal seks, tetapi yang sering dibicarakan oleh media dan sasaran pendapat awam adalah yang melibatkan ahli politik.   


Pernah suatu ketika dahulu, iaitu pada tahun 1960-an, bekas Presiden Soekarno dikatakan terkenal dengan cerita seks peribadinya, dan pernah dikatakan bahawa semasa melawat Moscow, hubungan seksnya dengan wanita di sana dirakamkan secara sulit.  Oleh sebab ketika itu, era Perang Dingin antara blok Kesatuan Soviet dengan blok Amerika Syarikat, Moscow dikatakan cuba menggunakan rakaman itu untuk  mengugut Soekarno supaya tunduk pada komunis, kalau tidak,  mereka mengedarkan rakaman itu untuk ditonton oleh rakyat Indonesia.  Namun, Soekarno yang memang terkenal dengan kepintarannya dilaporkan berkata,  "Siarkan.  Biar rakyat  saya menonton sendiri bagaimana hebatnya Presiden mereka."  Setakat mana benarnya cerita  itu tidak dapat dipastikan, tetapi berlegar menjadi pengetahuan umum di negara kita. 


Setelah seorang demi seorang tokoh terkenal didapati terlibat dalam kelakuan seksual yang tidak menyenangkan, iaitu ketika itu Anggota Perwakilan Amerika Syarikat, Anthony Weiner, dan sebelum itu, Arnold Schwarzenegger, Tiger Woods, John Edwards, dan banyak lagi, dan tidak lama dahulu Presiden Bill Clinton nyaris-nyaris didakwa, maka soalannya sepatutnya bukan:  Mengapa mereka melakukannya?  Sebaliknya, tegas Beth Green, "Why Are We Addicted to Sex?" soalan mereka sepatutnya:  Mengapa kita terlibat dalam kelakuan seks yang menyakitkan, tidak memuaskan, berisiko dan mengaibkan, dan bagaimana kita dan orang orang lain mencapai kesejahteraan dan kebersatuan yang akan menyebabkan kelakuan itu usang?


Beth Green mempunyai alasan kukuh mengapa beliau mengubah  "mereka" kepada "kita" berhubung dengan kehidupan seks:  "Sebagai kaunselor selama 30 tahun, saya sangat lazim dengan kehidupan seks lelaki dan wanita, dan lazimnya kita gemar mengakui, kelakuan yang kita libatkan itu dianggap "tidak menyenangkan."  Banyak lelaki yang berkahwin mempunyai hubungan seks dengan wanita yang bukannya isteri mereka, dan banyak wanita mengadakan seks dengan lelaki ini, dan selalunya dengan pengetahuan sepenuhnya tentang taraf perkahwinan lelaki itu.  Wanita yang berkahwin melakukan perkara yang sama.


"Siapakah orang yang melakukan kelakukan seperti ini?  Adalah kita.  Justeru, mengapa kita terkejut apabila mendapati 'pemimpin' kita melakukan perkara yang sama?"  Setelah membincangkan keperluan dan kehendak seks manusia, dan seseorang itu tidak perlu "menyibuk" dengan kelakuan seksual orang lain, Beth Green, menamatkan penulisannya dengan amanat, "elok berhenti bertindak terkejut, dan elok tukar terkejut menjadi tindakan."

Semestinya, pada masa sekarang, jelas bahawa orang dalam bidang politik mempunyai hubungan seks di luar konvensional dan kadangkala nilai bagaikan orang alim yang ditunjukkan kepada para pengundi,  pemerhatian James  Love dalam  "The Sex Lives of Political Figures." Mana-mana kisah cinta politik, kisah bersahaja, seks yang dibayar, seks berisiko atau aneh, main cinta, seks gender yang sama, dan kahwin banyak akan menjadi panjang, dan secara relatifnya, tidak ada kena mengena dengan parti atau ideologi parti. Diungkapkan semula dalam bahasa harian kita, "tidak boleh kata mengata, bab perempuan, sama-sama naik."

"Semestinya," tambah beliau, "juga jelas bahawa tokoh politik berdusta tentang kehidupan seks mereka.  Pendustaan ini diberitahu untuk semua jenis alasan, sesetengahnya layan sendiri, sesetengahnya di luar pertimbangan kepada pihak ketiga yang hidup juga diasak oleh sikap berterus terang, dan sesetengah berdusta bahawa semata-mata cuba mewujudkan beberapa sempadan kepada 'hak untuk mengetahui' orang awam."  Walau bagaimanapun, James Love mengakui bahawa tiada bukti bahawa para pemimpin yang bagus mempunyai kehidupan seks monogami atau membosankan, tidak juga yang seseorang itu boleh menegaskan sebaliknya.  Beliau turut mengingatkan bahawa kedua-duanya, iaitu tidak realistik dan bodoh untuk mendesak ahli politik "memberitahu kebenaran" tentang kehidupan seks mereka.  Orang berdusta tentang seks, dan selalunya tindakan ini positif, bukannya negatif.  


"Adakah anda benar-benar mahu tahu segala-galanya tentang kehidupan seks ibu bapa anda, anak-anak anda, guru sekolah mereka, pengurus Safeway tempatan, atau kawan satu kereta anda? tanya beliau, "mengapa anda mahu tahu segala-galanya tentang kehidupan seks anggota Kongres, hakim atau gabenor?  Love mencadangkan dan menasihati bahawa hasil terbaik mungkin memberitahu ahli politik supaya menyimpan kehidupan seks untuk diri mereka. "Jangan jadikan perkahwinan bahagia anda helaian tengah kempen anda.  Jangan-jangan sekali sukarela diwawancara oleh tentang kegemaran sexting anda.  Jangan minta perhatian yang berlebih-lebihan terhadap kehidupan seks anda, atau kekurangan kehidupan seks." Untuk ahli politik kita, di sini nasihat berguna daripada beliau, "Jangan muncul di kaca televisyen untuk mengutuk skandal seks kotor orang lain," atau dengan kata lain, "jangan menyibuk jaga tepi kain orang."  Akan tetapi, Love menasihati, "yang paling penting, jangan berasa berkewajipan untuk memberitahu kebenaran tentang kehidupan seks anda," - maksudnya,"pandai makan, pandai simpan." 


Bagi Love, kehidupan seks  perkara remeh jika dibandingkan dengan janji yang ahli politik semasa kempen pilihan raya, kemudian selepas menang, melupakan atau  tidak mengotakan segala janji berkenaan.  Begitu juga jika dibandingkan dengan pendustaan yang lain yang lebih serius, maka beliau meringkaskan, "berasa benar-benar bebas untuk berdusta kehidupan seks anda.  Akan tetapi, berasa kurang bebas untuk berdusta tentang sesuatu yang lain yang berkait dengan tugas anda sebagai pegawai yang dipilih."


Satu alasan banyak ahli politik berkelakuan buruk sekarang adalah bahawa kita kurang menghabiskan masa untuk memikirkan apakah yang dimaksudkan dengan berkelakuan baik, tulis kolumnis, David Brooks. Hal ini kurang menjadi masalah pada abad lalu apabila para pemimpin, guru, dan paderi mengadakan debat terperinci apakah yang dimaksudkan mempunyai peribadi yang baik. Brooks memetik Edmund Burke yang menggubah rangkap yang panjang dan terkenal, mentakrikan standard kecemerlangan politik,  dan dengan panjang lebar memetik  Anthony Trollope yang pada abad ke-19 menulis siri novel popular mengacau apakah yang dimaksudkan kelakuan baik dalam kehidupan politik.


Secara lebih khusus, kehidupan seks, seperti yang didedahkan akhir-akhirnya, kebanyakannya melibatkan ahli politik lelaki, memetik Marlo Thomas, lelaki berkelakuan buruk Strauss-Kahn,  Schwarzenegger,  Edwards,  Weiner. Dalam kes Weiner, dia bukan sahaja mendustai  satu negara tentang salah laku seksualnya dalam talian, tetapi dia juga membohongi bekas kekasihnya, Kirsten Power.  Kirsten yang pernah muncul di kaca televisyen untuk mempertahankan Weiner kepada berjuta-juta orang selepas dia mendesak Kirsten bahawa dia tidak foto lucah melalui Twitter.  


Mengapa lelaki berkelakuan buruk? Dalam "When it Comes to Scandal, Girls Won't be Boys," Sheryl Gay Stolberg menjelaskan wujud kaitan antara seks dan kuasa, iaitu lelaki yang sangat berkuasa tertarik pada wanita, wanita yang sangat berkuasa menolak lelaki. Penyelidikan menunjukkan jurang gender yang meluas dari segi cara pendekatan wanita dan lelaki menyertai politik.  Wanita mempunyai alasan yang berbeza untuk menyertai politik, adalah lebih keberatan untuk melakukannya, dan kerana hanya sebilangan kecil daripada mereka dalam politik, amat sangat sedar penelitian yang mereka lakukan, semuanya kelihatan menuju kepada perbezaan dari cara mereka mengendalikan tugas apabila mereka dipilih. Sheryl memetik  Debbie Walsh, Pengarah  Center for American Women and Politics di Rutger University bahawa wanita menceburi politik untuk melakukan sesuatu, manakala lelaki menceburi politik untuk menjadi orang penting.  "Wanita menceburi politik kerana wujudnya beberapa isu awam yang mereka prilhatin, beberapa perubahan mereka mahu lakukan, beberapa isu yang merupakan keutamaan kepada mereka, manakala lelaki menceburi politik kerana mereka melihat laluan kerjaya mereka."


Sehebat mana dan setinggi mana kedudukan seseorang lelaki, akhirnya tumbang di kaki wanita,  demikian pemerhatian  Sara Litpon, "Those Manly Men of Yore." Jawapan konvensional adalah apabila masuk bab seks, jenis tertentu manusia, tidak kira bagaimana pintar, tidak dapat berfikir sama sekali; dia sekadar bertindak.  "Oleh sebab perseikatan seksualiti ini dengan keperempuanan, lelaki yang gagal mengawal dorongan seksual mereka atau  mudah tergoda dengan daya tarikan wanita mendapati sifat kelakian mereka dicabar."  Sara membangkitkan kisah Marc Anthony yang diperolok-olokkan bulat-bulat setelah "dilembutkan dan dilemahkan" oleh keinginannya terhadap Cleopatra.  Apabila raja dan wira perang Pedro II dari Aragon menghabiskan malam sebelum peperangan bukannnya bersembahyang atau mengadakan mesyuarat tergempar, tetapi berseronok di atas ranjang dengan wanita, baginda dilabelkan keperempuan-perempuanan.


Kedurjanaan si lelaki diselamatkan oleh kesetiaan sang isteri, seperti Anne Sinclair mempertahankan suaminya, Strauss-Kahn.  Apabila suaminya bersiap sedia untuk pilihan raya Presiden Perancis lima tahun, Anne Sinclair memberitahu akhbar di Paris bahawa dia "agak berbangga" dengan reputasi suami sebagai kaki perempuan, chaud lapin (hot rabbitt)  panggilan Penggoda Hebat.  "Memang penting," kata Anne, "untuk lelaki dalam politik untuk mampu menggoda."  Apabila suaminya ditangkap atas tuduhan cuba merogol pembantu hotel itu, Anne mempertahankan suaminya.  "Saya tidak percaya, walau sesaat pun tuduhan yang dihadapkan terhadap suami saya.  Kemurnian hatinya akan terbukti juga akhirnya."


Sementara Huma Abedin, pembantu yang membingungkan kepada Setiausaha Negara Hillary Clinton seakan-akan dipersendakan angkara suaminya, Anthony Weiner, anggota Kongres yang suka berfoya-foya yang menggodanya.  Huma Abedin dikatakan isteri Weiner yang menakjubkan, dan menurut Weiner, "Kami akan mengharungi ini.  Saya sangat-sangat mencintai dia dan dia mencintai saya."  Dia juga memberitahu bahawa isterinya tahu tentang aktiviti dalam taliannya dengan wanita sebelum mereka berumah tangga lagi, tetapi isterinya tidar sedar bahawa dia berdusta minggu lalu tentang foto eksplisit yang diposkan kepada akaun Twitter dia. Bahkan, ada yang menasihati Huma apa yang perlu dia lakukan pada saat  yang amat mencabar itu:   kurang perjalanan kerana dia mengandungi, habiskan lebih banyak masa dengan suaminya, suruh suaminya diam, ingat bahawa anda bukan Hillary,  tumpukan pada bayi. 


Dalam "No Guide to Survive a Political Scandal,"  Michael D. Shear menegaskan tidak ada lagi masa mewah menggerenyet untuk ahli politik Washington berbanding dengan detik bahawa skandal seks meletup ke dalam pandangan awam.  Untuk berjaya mengharungi skandal politik biasanya memerlukan bru pelik stand-by-your-man daripada isteri; pembela yang rela dalam kalangan kepimpinan parti; ketiadaan keterangan fizikal yang menjijikkan; para pengundi yang bersedia melihat dari sudut lain; dan dos yang berat keyakinan diri yang tertinggi.  Akan tetapi, tegas Shear yang menulis dalam The New York Times, perkara yang luar biasa tentang skandal seks era moden adalah bahawa sukar untuk mengetahui terlebih dahulu hanya bagaimana untuk mengharunginya.  Sebagaimana kempen yang membolehkan ahli politik ke Washington sejak mula-mula lagi, tiada road map tunggal yang boleh menolong ahli politik mengharungi kegilaan media yang pastinya, mengikuti pendedahan dramatik.  Akhirnya, bergantung pada keadaan.


Menoleh ke tahun 1791, iaitu ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Alexander Hamilton memulakan hubungan sulit dengan Maria, kemudian hubungan itu didedahkan, maka untuk melindungi dirinya, Hamilton menerbitkan risalah, Kate Zernike menulis bahawa lebih dua abad dan banyak skandal kemudian, Twitter menggantikan risalah sebagai medium detik ini.  Tambah beliau, "dan menjadi alat baru untuk ahli politik terlibat dalam salah laku seksual."  Dalam "Technology and the Political Sex Scandal," Zernike menulis "jika ahli politik mengakui bahawa mereka tidak boleh lari daripada mabuk dan pesta minum-minum di hadapan orang awam, sesetengahnya hanya menemui saluran keluaran baru untuk dalam talian kelakuan yang teruk.  Mereka mungkin memahami bahawa mereka tidak boleh kelihaan meninggalkan majlis dengan pelobi yang berlainan jantina, tetapi menghantar gambar galaj dalam tallian pada tengah malam dianggap benar-benar berbeza."


Apabila Anthony Weiner akhirnya terpaksa meletakkan jawatan, Joel Shatzky membela anggota Kongres itu menjadikan saya sedar bahawa kita hidup pada era yang sensasionalisme yang semakin menjadi-jadi digunakan sebagai pengganti wacana politik serius.  Beliau berhujah bahawa jika orang awam Amerika benar-benar percaya kelakuan seks haram boleh membawa kesan negatif terhadap prestasi tokoh terkenal, dan dengan itu, menjangkakan bahawa pihak yang bersalah sepatutnya meletakkan jawatan, apakah yang mungkin terjadi terhadap negara kita seandainya FDR  (Franklin D.  Roosevelt) dipaksa meletakkan jawatan ketika beliau berkhidmat sebagai pemimpin kita semasa Perang Dunia Kedua atau JFK  (John F.  Kennedy)  ketika Krisis Peluru Berpandu Cuba?


Sebagaimana pendustaan, fitnah memfitnah, mungkir janji, dan menuding jari, kehidupan seksual  juga menjadi darah daging orang politik. Untuk mengatakan orang politik bersih segala-galanya, sesungguhnya itu suatu pendustaan yang tiada tolok bandingnya.  Tambahan pula, sempadan antara bersih dengan kotor, kebaikan dengan keburukan,  semakin kabur, sekadar ditafsirkan di manakah seseorang itu berdiri.  Jika seseorang mencampakkan ideologi dan fahaman politiknya seketika dan berfikir secara waras dan rasional, jelas bahawa orang politik menjadi hamba pada  kehidupan atau kelakuan seksual. 





Demokrasi dan Anarki

AHAD,  3   Julai 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Demokrasi juga mempunyai sisi gelap, memetik judul buku Michael Mann, The Dark Side of Democracy:  Explaining Ethnic Cleasing yang ulasannya pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat  pada tahun 2008, dan telah pun dimasukkan dalam blog ini.  Demokrasi juga mempunyai cacat cela yang lain, iaitu  dikaitkan dengan kemiskinan, seperti yang dbahaskan dalam Povery and Democracy:  Self-Help and Political Participation in Third World Cities yang diedit oleh Dirk Berg-Schlosser dan Norbert Kersting.  


Demokrasi merupakan perkataan yang sangat popular sekarang.  Hakikatnya, tidak ada negara di dunia hari ini yang kerajaan tidak mengatakan bahawa kerajaan mereka demokrasi.  Demikian pemerhatian Immanuel Wallerstein dalam komentar dwibulanannya, "Democracy - Everywhere?  Nowhere?"  Namun, beliau menegaskan bahawa nampaknya, terlalu sedikit persetujuan tentang apakah yang kita maksudkan apabila kita berkata negara adalah demokratik. Selepas menyatakan bahawa demokrasi berasal daripada orang Greece, iaitu demos, atau orang ramai,  dan kratia, atau pemerintahan, iaitu pihak berkuasa yang membuat keputusan, beliau memetik Lucien Febvre yang mengatakan bahawa selalunya penting untuk melihat sejarah perkataan.  


"Perkataan demokrasi," tulis Wallerstein, "tidak selalunya terlalu popular dari segi universal.  Perkataan ini pertama kali mucul ke dalam penggunaan politik moden bersama pada bahagian pertama abad ke-19, terutamanya di Eropah Barat.  Pada masa itu, perkataan itu mempunyai kualiti nada keganasan hari ini."  Setiap orang kini mendakwa mereka mengutamakan demokarasi, seperti yang terjadi pada kita pada hari ini, tambah beliau lagi. "Walau bagaimanapun, masalahnya adalah bahawa tidak setiap orang yang yakin bahawa kita hidup di negara yang benar-benar demokratik, iaitu orang ramai, semua orang ramai adalah benar-benar yang memerintah, iaitu membuat keputusan.


Wallerstein mencadangkan supaya kita memikirkan demokrasi sebagai tuntutan dan aspirasi yang belum wujud di mana-mana lagi, dengan membangkitkan  bahawa "orang ramai"  selalu bertindak balas menerusi protes, melalui mogok, melalui pemberontakan ganas.  Adakah "demokratik" apabila demonstrasi diabaikan?  Atau adakah "demokratik" apabila kerajaan mengalah dan tunduk pada kehendak  "orang ramai"?  Dan siapakah orang ramai?  Adakah mereka majoriti dari segi bilangan?  Atau adakah kumpulan utama mempunyai hak yang sepatutnya dijamin?  Wajarkah kumpulan penting mempunyai beberapa autonomi relatif?  Dan apakah jenis tolak ansur antara "majoriti" dengan "minoriti" penting membentuk hasil "demokratik?"


Meskipun kepulauan Greece  merupakan tempat lahir demokrasi Barat 2500 tahun lalu, Robert D. Kaplan dalam  bukunya, Mediterranean  Winter:  The Pleasures of History and Landscape in Tunisia, Sicily, Dalmatia, and the Peloponnese, memerhatikan bahawa "bermulanya suku akhir abad  ke-20, Greece berkembang menjadi  negara Timur Tengah bukan Islam" - menjadi realiti masa kini: Dataran Syntagma di Athens menyerupai Dataran Tahrir di Kaherah. Apabila parlimen Greece meluluskan rancangan jimat cermat selama lima tahun yang boleh menenggelamkan dan menyelamatkan negara itu,  drama sebenar bermula di luar parlimen apabila satu lagi pendekatan untuk demokrasi menyaksikan penunjuk perasaan bertempur dengan polis rusuhan.  Gas pemedih mata memenuhi udara dan Dataran Syntagma, pusat saraf gerkan penentangan baru Greece, menjadi kacau-bilau.  Dalam beberapa minit, plaza itu menyerupai zon peperangan.


Memetik  Costas Douzinas dan Petros Papasconstantinou, "Greece is Standing up to EU Neocolonialism,"   Syntagma menjadi Dataran Tahrir dalam gerak perlahan.  Di sana tercetus pemberontakan yang aman dan demokratik yang lebih mudah untuk bermula.  "Syntagma tempat orang ramai berkumpul menjadi dewan rakyat atau parlimen untuk orang biaas, berhapan dengan dewan pertuanan yang lumpur dan menambah penyertaan popular untuk prinsip perwakilan yang gagal."  Meskipun Greece terpaksa bergelut dengan krisis ekonomi  dan pergolakan sosial, Douzinas dan Papasconstantinou,  masih mempunyai keyakinan yang agak berlebih-lebihan:  "Apa-apa jua hasilnya, demokrasi langsung kembali semula ke tempat lahirnya dan mengubah makna politik.  Dalam beberapa hari lalu terbukti bahawa orang ramai yang berkumpul bebas dan warga yang nekad dan cekal boleh mencapai kejayaan dalam menentang kuasa yang sangat kuat.  Hal ini merupakan janji dan harapan Athens tawarkan kepada Dublin, Lisbon, dan London."  


Namun, untuk menyempurnakan misi yang cukup besar tentang demokrasi, juga memerlukan pengorbanan yang tidak kurang besarnya, "Greece: As Petrol Bombs Fly," tulis editorial guardian.co.uk  pada pertengahan Jun lalu.  "Demonstrasi massa di luar bangunan  kerajaan adalah satu perkara.  Akan tetapi, berpuluh-puluh ribu orang warganegara di luar parlimen itu sendiri menghantar mesej orde yang berbeza.


Selama tujuh tahun tinggal di Greece, beberapa perkara menjengkelkan Kaplan lebih daripada untuk melihat koresponden asing menjelaskan kekacauan politik tempatan dengan ungkapan, seperti "Lagipun, orang Greece mencipta teater" dan "bukan sahaja demokrasi  perkataan Greece, tetapi juga anarki.  Tulis Kaplan dalam bukunya, Balkan Ghosts:  A Journey Through History untuk mengingatkan bahawa kedua-duanya, iaitu demokrasi dan anarki mempunyai "pertalian darah."  Lebih daripada itu, untuk menyatakan bahawa Greece bukan sahaja terkenal dengan demokrasi, tetapi juga pernah terjebak dalam kancah anarki.  


Jika semuanya berkemungkinan, maka dikatakan orang Greece akan berkembang maju dalam persekitaran penganut faham anarki.  Mereka tidak memberikan respons yang baik terhadap  autoriti, undang-undang,  dan peraturan.  Bahkan hari ini, bagi orang Greece, undang-undang hanyalah cadangan semata-mata, bukannya kuasa yang mengikat.  Hanya golongan benar-benar memerlukan keselamatan kolektif Greece Purba untuk membentuk beberapa jenis kerajaan, dan mereka cuba untuk menjadikannya tidak menyakitkan seberapa yang boleh, oleh yang demikian:  Demokrasi.


Berikutan berlaku rusuhan di Greece pada tahun 2008, Tim Marshall menulis dalam blogs. news.sky.com bahawa rusuhan itu munculnya daripada sejarah panjang kuasa warganegara, dan melontarkan misil ke arah polis dan membakar bangunan.  Beliau menjelaskan bahawa anarki ialah perkataan orang Greece, anarchos.  Satu maknanya ialah "tanpa pemimpin."  Demokrasi adalah daripada demos, sekali lagi mempunyai beberapa makna, tetapi berakar umbi pada idea bahawa manusia boleh menyertai demos mereka, atau perhimpunan tempatan, dan menjadi bahagian demos, iaitu orang ramai.  Dan apakah ini ada kena mengena dengan orang Greek menahan bongkah?  Rusuhan kelihatan muncul bersama-sama idea kedua-duanya, iaitu anarchos dan demos. 


Greece yang kini bergelut dengan krisis hutang sehingga terpaksa memohon pelan penyelamat kedua daripada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ada sesuatu yang menimbulkan kebimbangan, seperti yang dibangkitkan oleh Arianna Huffington baru-baru ini. Keadaan  ini sepatutnya tidak tentang jimat cermat, tetapi adalah tentang masa depan demokrasi, tulis Arianna akibat krisis Greece yang berpanjangan.  "Apa yang berlaku di Greece mungkin sangat elok memberitahu kita, sama ada demokrasi akan pulih daripada krisis kesahan yang diperburukkan oleh krisis kewangan, atau sama ada demokrasi akan susut - diperlemahkan oleh betul-betul kuasa yang mencetuskan krisis pada mulanya."  Pada penghujungnya, dengan nada retorik berbaur emosi, beliau menulis, "Dan bukan  hanya sekadar bahawa tempat saya dilahirkan dan dibesarkan, tetapi kerana perjuangan orang Greece, iaitu perjuangan untuk menuntut kembali demokrasi ialah perjuangan kita juga."

Sebelum ini,  Aditya Chakraborrty menulis bahawa adalah silap untuk memikirkan bahawa sifat krisis Greece adalah terutamanya ekonomi sosial; krisis tersebut kini politik dan sistemik juga.  Dan krisis ini  akan menjadi dalam, kecuali jentera parti memperkenalkan sesuatu yang dapat menyatakan dengan jelas altenatif yang boleh dipercayai.  Akan tetapi, setakat ini, dalam arus perdana, wujud kekosongan.


Tentang anarki, Robert D. Kaplan, menulis perkara itu dalam The Atlantic pada Februari 1994, kemudian diterbitkan bersama-sama makalah lain dalam The Coming Anarchy:  Shattering the Dreams of the Post Cold War.  Antaranya, beliau berhujah  bahawa "Afrika Barat menjadi simbol demografik, alam sekitar, stres masyarakat di seluruh dunia, yang anarki jenayah muncul sebagai bahaya "strategik" yang sebenar."  Kaplan yang meragui demokrasi dan pasaran bebas berikutan kemenangan Barat dalam Perang Dingin, menulis dalam prakata, "Akan tetapi, sebagaimana selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, kemenangan kita menunjukkan dalam perjuangan akan datang untuk kelangsungan, yang kejahatan dan kecelakaan memakai topeng baru."


Dalam bab seterusnya, "Was Democracy Just a Moment?"  Robert Kaplan cuba mengingatkan bahawa demokrasi tidak selalunya indah, terutamanya terhadap usaha untuk mengembangkan sistem ini di negara bekas komunis dan negara autoritarian.  Beliau menegaskan bahawa Hitler dan Mussolini setiap seorang berkuasa melalui demokrasi.  "Demokrasi tidak selalunya menjadikan masyarakat lebih sivil," tulis Kaplan, "tetapi demokrasi selalunya tanpa belas kasihan mendedahkan kesejahteraan masyarakat tempat demokrasi itu beroperasi."  Namun, beliau mengakui bahawa "pengajaran yang boleh diambil bukannya kediktatoran adalah baik dan demokrasi adalah buruk, tetapi demokrasi muncul dengan berjayanya hanya sebagai batu tukup (capstone) untuk pencapaian sosial dan ekonomi yang lain."  


Yang menarik untuk dipetik di sini ialah pandangan Kaplan tentang pilihan raya dan pembentukan negara.  Bagi beliau, negara tidak pernah dibentuk melalui pilihan raya.  Geografi, pola penempatan, kebangkitan borjuis terpelajar, dan secara tragik, pembunuhan etnik membentuk negara.  Pada bahagian lain dalam bab tersebut, beliau berhujah bahawa kestabilan sosial adalah hasil daripada pewujudan  kelas menengah. Bukannya demokrasi, tetapi sistem autoritarian, termasuk monarki yang mewujudkan kelas menengah, yang setelah mencapai saiz tertentu dan keyakinan diri, memberontak terhadap golongan yang sangat diktator yang menghasilkan kemakmuran mereka. 


Robert Kaplan, seperti yang diketahui memperjuangkan autoritarian lembut yang diamalkan di Singapura, dan golongan autokratik  di Timur Tengah.  Berikutan tercetusnya pemberontakan Arab, banyak cerdik pandai dan melompat keriangan kerana ini akan menyebarkan demokrasi dan kebebasan di rantau itu, tetapi Kaplan mempunyai pendirian yang berlainan, iaitu dengan keraguan,  seperti yang dapat dilihat dalam tulisan beliau, "One Small Revolution" dan "Arab Democracy and the Return of the Mideterranean World."


Di Tunisia,  kejatuhan kerajaan diktator Zine al-Abedin Ben Ali yang memerintah selama 23 tahun meninggalkan kekosongan politik dan sosial, yang menurut Juan Cole, memerangkapkan negara itu antara demokrasi dengan anarki. "Rakyat Tunisia bangun daripada tidur pada pagi Sabtu untuk  meraikan kegembiraan yang amat sangat dengan kedatangan hak kebebasan politik, tetapi banyak yang bimbang tentang kedatangan serentak anarki sosial." 


Adakah demokrasi satu langkah ke arah anarki? Demikian soalan yang dibangkitkan dan dibahaskan dalam "Anarchy and Democracy" yang cuba menunjukkan kemungkinannya.  Demokrasi tulen, iaitu satu orang satu undi, hanya satu langkah jauhnya daripada anakisme.  Kehendak majoriti hanya memerintah secara tidak teratur minoriti, yang diberikan separuh peluang, yang mengambil alih pada mulanya peluang.  Hanya majoriti mengawal kuasa, seperti tentera dan polis, menghentikan sistem daripada runtuh sepenuhnya.  Menjurut tulisan itu lagi, "berdasarkan pengalama sejarah, lagi sekali kita boleh merumuskan bahawa orang Greece Athenian purba memang betul.  Masyarakat memerlukan kerajaan dan perintah, tetapi tidak terlalu banyak kerajaan dan perintah.  Sekat dan imbangan memang perlu untuk memastikan kuasa daripada tertumpu dalam beberapa tangan sahaja, dan hak orang ramai untuk menghapuskan pemimpin yang teruk adalah paling utama.  Sistem demokratik membenarkan kebebasan orang ramai, tetapi masih melindungi masyarakat daripada kelakuan ekstrem."


James L. Ray mengemukakan makalah yang cukup menarik dari segi rangka teoritis dan analisis tentang persaingan antara anarki dengan demokrasi di Eropah pasca-Perang Dingin.  Makalah tersebut mengajukan kontroversi teoritis (dengan implikasi dasar yang jelas) dalam persoalan khusus berkenaan, sama ada anarki atau demokrasi akan terus wujud di Eropah.  Persoalan ini, tegas beliau, boleh ditafsirkan sekurang-kurangnya dalam dua cara asas.  Tafsiran pertama berasaskan andaian bahawa kedua-duanya, iaitu anarki dan demokrasi, akan terus wujud di Eropah.  Persoalan ini kemudiannya menjadi persoalan fenomena mana, anarki atau demokrasi mempunyai impak yang lebih besar terhadap masa depan hubungan antarabangsa di Eropah.  Dalam istilah yang mudah, jika anarki mengatasi demokrasi, maka peperangan antara negara Eropah akan tercetus.  Sebaliknya, jika demokrasi mengatasi anarki, maka menurut saranan penyokong keamanan demokratik, dengan apa-apa cara jua, keamanana kemungkinannya memerintah.  


Walau bagaimanapun, dalam kesimpulan, Ray sekadar mengatakan, sama ada masa depan anarki ataupun demokrasi di Eropah tidak terjamin sepenuhnya. Kesatuan Eropah mungkin berkembang ke takat bahawa sifat anarki subsistem antarabangsa mungkin dilemahkan pada darjah penting menjadikannya besar kemungkinan  kekal aman.  Masa depan banyak demokrasi, khususnya di Eropah Timur dan Eropah Tengah tidak pasti.


Sesuatu yang menarik untuk dinyatakan di sini bahawa pernah dibahaskan bahawa demokrasi dan rasuah merupakan saudara kandung anarki politik.  Namun, dari satu segi yang lain, untuk mengelakkan anarki, kerajaan perlu membuktikan bahawa  negaranya bukan "tanpa pemimpin."  Anarki, merujuk istilah neorealis, ialah ketiadaan entiti seperti kerajaan pusat, dan dengan itu, kerajaan pusat perlu memastikan serta   memperlihatkan bahawa rantaian perintah dan jangkauan kawalan sentiasa kukuh.  






.









Saturday, July 2, 2011

Planet Sesak


SABTU,  2 Julai 2011
Oleh:  Zulkifli Salleh


Wajah perkotaan terlakar megah di mana jua
menenggelamkan sempadan memagari desa
kehidupan kota buruan manusia
sesak bukan petaka - dalamnya ada duka.

Tatkala malam memanjat senja
gelombang manusia  bergegas, berasak-asak
di deretan kedai,  pasar,  dan restoran 
menerobos kesibukan menuju haluan
tertib dan  sabar berbaris panjang
menanti bas, merentas  lampu isyarat, memesan makanan.

Di Nathan Road
para  pelancong mundar-mandir 
mencari   oleh-oleh tanda kenangan
atau hanyut dalam  arus kesibukan.
  
Di gerai jalanan terbuka
kepulan asap bersayap ke  udara
deruman kenderaan memecah gempita
aroma  makanan tetap  memekar selera.


Planet sesak
kelaparan tidak mengenal kebersihan
keselesaan bukan keutamaan.


Kowloon
6 Disember 2008


(Nota:  Sajak ini pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera Disember 2009.  Saya merakamkan penghargaan saya kepada Rozninah Abd. Azib, editor majalah ini yang bukan sahaja menggesa saya supaya menyempurnakan penulisan sajak ini yang tertangguh, bahkan beliau mencadangkan beberapa perkataan yang lebih  sesuai untuk menggantikan perkataan asal saya.  Untuk para pembaca, saya inginkan memaklumkan bahawa gambar yang saya muatkan dalam sajak ini saya peroleh daripada Google Image.   Saya tidak dapat memastikan ke manakah perginya gambar yang saya ambil sendiri semasa di sana.)  



Friday, July 1, 2011

Babi Gagal Sondol Pasaran!

JUMAAT,  1 Julai 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH


Secara simbolik, situasi pasaran saham dikaitkan dengan dua haiwan.  Lembu jantan untuk pasaran yang  cergas, manakala beruang untuk pasaran yang lembap.  Sejak  krisis kewangan tercetus pertengahan September lalu, pasaran saham dunia kehilangan larian lembu jantan, sebaliknya lebih banyak dikuasai oleh lenggok beruang.  Dalam tempoh itu, pasaran lebih diwarnai oleh kebimbangan, ketakutan, dan pesimisme.
Hanya pada bulan April, kebanyakan pasaran saham mula menunjukkan pemulihan.  Misalnya,   Indeks Purata Industri Dow Jones  (Dow)  yang jatuh kepada 6594.44 mata pada pada 5 Mac, berjaya memasuki wilayah 8000 mata  pada bulan berikutnya, meskipun pada bulan  itu juga  indeks berundur beberapa kali.  Sementara Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pula mengalami peningkatan yang berterusan sejak  hari Khamis 9 April apabila Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, mengumumkan barisan Kabinetnya.  KLCI   ditutup pada 917.89 mata,  10.02 mata lebih tinggi daripada hari sebelumnya, manakala  volum urus niaga meningkat daripada 613.012 juta saham kepada 715.124 juta saham, dan   nilainya meningkat kepada RM990.704 juta daripada RM945.836 juta.   Ahli ekonomi berpendapat bahawa barisan Kabinet baru itu selari dengan jangkaan pasaran.
Keadaan ini berterusan hingga  hari Jumaat 24 April apabila KLCI ditutup pada 992.68 mata dengan volum 2.082 bilion saham bernilai RM1.667 bilion berbanding dengan  982.09 mata, dengan volum 1.366 bilion bernilai RM1.276 bilion  pada hari sebelumnya. Kenaikan ini ditafsirkan sebagai respons positif  para pelabur terhadap langkah liberalisasi pasaran yang melibatkan 27 subsektor perkhidmatan. 
Keriangan, keterujaan, dan optimisme  dalam kebanyakan pasaran saham, pastinya diharapkan berlanjutan ke minggu terakhir April sebagai persediaan  untuk bulan seterusnya.  Namun,  sejak  hujung minggu, media antarabangsa dan tempatan memberikan liputan tentang ancaman selesema babi yang berpunca dari Mexico, merebak ke beberapa buah negara.  Akibatnya, pada hari Isnin dan Selasa,  pasaran saham dunia  bagaikan disondol oleh babi, dan larian lembu jantan  seakan-akan berakhir.  Dengan kata lain, selesema babi  menggempurkan  pasaran yang mula menunjukkan pemulihan.
Dalam tempoh dua hari, kebimbangan dan ketakutan mula mewarnai pasaran saham, malahan kerajaan Taiwan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan campur tangan jika  selesema babi menyebabkan pasaran saham negara itu terus jatuh.  Pada 27 April, beberapa rangkaian berita kabel mula mensensasikan berita yang berbaur cemas;   Bloomberg:  “Selesema babi menyondol syarikat penerbangan Asia membangkitkan memori tentang SARS,” manakala CNBC: “Pasaran bertindak balas secara  berlebih-lebihan;”  “menambahkan lagi ketidakpastian dalam ekonomi.” 
Pada hari itu juga harga minyak jatuh kepada kira-kira AS$50 per tong  kerana dolar yang teguh dan  laporan berita selesema babi menjejaskan perjalanan musim panas dan mencetuskan gementar di seluruh pasaran dunia.  Kerisauan terhadap selesema ini menyebabkan kejatuhan harga minyak dan pasaran ekuiti.  Wabak berkenaan dijangkakan mengurangkan permintaan terhadap bahan api kapal terbang kerana orang ramai kurang berjalan.  Walau bagaimanapun, penganalisis Daniel Flynn dari Alaron Trading Corp. berkata, “harga minyak kemungkinan meningkat semula apabila ketakutan terhadap merebaknya selesema babi lenyap.”
Ancaman selesama babi yang kemudian dikenali Influenza A(H1N1) boleh menyebabkan kemelesetan yang dialami oleh Amerika Syarikat semakin dalam.  Ekonomi negara itu yang menunjukkan tanda awal tentatif pemulihan, berhadapan dengan kemungkinan ancaman baru yang serius, iaitu selesema babi.  Merebaknya wabak ini boleh menjejaskan industri pelancongan, makanan, dan pengangkutan khususnya, memperdalamkan lagi kemelesetan di Amerika dan kemungkinan seluruh dunia.  Kesatuan Eropah  menasihati warganya supaya mengelak perjalanan yang tidak penting ke Amerika Syarikat dan Mexico.  Para pelabur di Wall Street yang berasa bimbang, mencampakkan  saham syarikat penerbangan, hotel, pengusaha pelayaran pesiaran, dan beberapa firma makanan atas alasan takut bahawa selesema ini akan mengecilkan permintaan pengguna.
Di Wall Street, saham penerbangan dan saham  berkait dengan perjalanan mengalami kerugian yang ketara pada hari Isnin. Namun, dari segi volum, kejatuhan volum yang kecil pada hari itu menandakan bahawa berlaku pengambilan keuntungan dan bukannya ketakutan dalam jualan.  Craig Peckham, ahli strategi pasaran di Jefferies & CO, menganggap selesama  sebagai “alasan mudah” bagi para pelabur untuk menunaikan keuntungan yang mereka buat dalam beberapa minggu kebelakangan.
Para pelabur  dilaporkan mengambil sikap berhati-hati  kerana kes selesema babi meningkat.  Mereka  juga sedar bahawa ketakutan kesihatan sebelum ini hanya mempunyai kesan bertolak-tolakan jangka pendek terhadap pasaran, termasuk selesema burung, penyakit Lembu Gila, dan virus Nil Barat – tidak ada satu pun pernah merebak kepada pandemik global.  Terlalu awal untuk melihat kesan selesema babi terhadap pasaran sehingga boleh menimbulkan cemas, tetapi sesuatu yang perlu diberikan perhatian.
“Oleh sebab ketakutan memuncak terhadap wabak selesema babi yang mengancam nyawa manusia,” tulis Jack Healy dalam The New York Times, “para pelabur pada hari Isnin membuat persembahan  kewangan yang setara dengan mencuci tangan dan mengenakan pelitup pembedahan.  Mereka banyak membeli saham drug, menolak dengan angkuh mata wang peso Mexico, dan mengelak daripada pengeluar daging babi.”  Dengan merujuk kepada kejatuhan Dow sebanyak 51.29 mata (0.6 peratus),  kepada 8,025 mata pada hari itu,  Healy  dalam makalahnya, “Stocks Drop Amid Swine Flu Concerns,” menegaskan bahawa pasaran yang lebih jelas menggigil pada separuh pertama hari berkenaan, dan mengorbankan keuntungan sederhana kerana para pelabur memerhatikan berapa jauh selesema ini merebak, dan sama ada kebimbangan terhadap pandemik dibesar-besarkan atau sah.
Kebimbangan dan ketakutan terhadap selesema babi  berterusan pada hari berikutnya. Harga saham dan komoditi jatuh  kerana kebimbangan terhadap selesema ini akan menjejaskan pemulihan ekonomi global.  Ketakutan   merebak dengan pantas dalam ekonomi dunia yang lemah, dan ancaman pandemik ini menyebabkan  pemulihan ekonomi dunia yang mula kelihatan, menempuh suatu perjalanan yang semakin jauh. Pasaran saham Amerika, Eropah, dan Asia Pasifik yang merudum pada hari Isnin berterusan pada hari Selasa: Dow 8,016.95 (-8.05) mata, FTSE 100 4,096.40 (-70.61) mata, Nikei 8,493.77  (-232.57) mata, Hang Seng 14,555.11 (-285.31) mata, Indeks Kospi 1,300.24 (-39.59) mata, Straits Times 1,808.41 (-10.20) mata, dan KLCI  965.70 (-14.42) mata.
Jika dibandingkan dengan urus  niaga pada 24 April, kebanyakan pasaran pada 28 April, kecuali Shanghai dan Jakarta, mengalami penurunan.   Bagi bursa saham  Malaysia, liberalisasi sektor kewangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada hari Isnin tidak dapat mengekang landaan selesema babi.  Namun, beberapa  penganalisis  berhujah bahawa jika kerajaan tidak mengumumkan dasar itu kemungkinan pasaran saham negara ini  jatuh lebih teruk.
“Pasaran saham dunia jatuh pada hari Selasa,” lapor AP, “kerana para pelabur bimbang bahawa sebarang pandemik selesema babi boleh menjejaskan pemulihan ekonomi global apabila WHO berkata kini adalah terlalu lewat untuk mengawal virus dan mendesak setiap negara melakukan apa yang termampu untuk mengurangkan kesan.”  Meskipun semua  kematian yang disyaki dan kebanyakan daripada 2000 atau jangkitan berlaku di Mexico, namun para pelabur di seluruh dunia membuat keputusan untuk mencari perlindungan, meninggalkan aset yang berisiko, seperti saham, dan mencari semula aset yang selamat, seperti dolar dan yen.
“Pasaran ekuiti,” tegas Stuart Bennett, penganalisis di Calyon Credit Agricole, “mengalami penjualan yang berterusan di tengah-tengah kebimbangan bahawa penularan virus akan melemahkan harapan pemulihan ekonomi berlaku pada akhir tahun ini.”  Sementara Brian Bethune, ahli ekonomi di IHS Global Insight dilaporkan berkata: “Anda boleh menegaskan bahawa selesema babi boleh memperluas lagi risiko bahagian bawah terhadap ekonomi.”
Ekonomi Amerika Syarikat boleh mengecut sedikit lagi daripada yang dijangkakan kini.  Namun, kebanyakan pakar tidak fikir bahawa meletusnya selesema babi dengan sendirinya akan menghapuskan banyak pekerjaan di Amerika atau memperburukkan lagi ekonomi.  Simon Johnson, bekas ketua ahli ekonomi kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menjangkakan hanya “pukulan kecil” terhadap aktiviti ekonomi. 
“Tetapi, jika masalah ini berlarutan beberapa bulan, merebak secara meluas, dan mendorong  kepada kes selesema yang berleluasa, malahan melibatkan kematian di  Amerika, kerosakannya boleh menjadi semakin teruk.  Selesama ini boleh melambatkan pemulihan ekonomi Amerika hingga ke tahun 2010,” kata Mark Zandi, ketua ahli ekonomi di Moody’s Economy.com.  “Keyakinan pengguna telah pun berselumu, dan sesuatu seperti wabak itu boleh menjejaskan lagi keyakinan mereka.”
Tatkala selesema babi terus menular ke beberapa buah negara  dan melanda pasaran, WHO mengeluarkan amaran bahawa negara paling miskin akan menerima kesan yang paling teruk daripada pandemik ini.  Bagi Mexico pula,  selain peso merudum, negara itu dijangka meminjam AS$47 bilion daripada IMF.  Seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg.com., mata wang peso yang merosot 32 peratus dalam tempoh enam bulan hingga 9 Mac kerana ekonomi kedua terbesar di Amerika Latin itu terjebak ke dalam kemelesetan dan keganasan dadah yang semakin berleluasa, telah meningkat kepada 12 peratus dalam tempoh enam minggu sebelum kerajaan mula melaporkan kes selesema babi pada 23 April.  Seterusnya, pada awal Mei, Setiausaha Kewangan Mexico, Agustin Carstens dilaporkan mengakui bahawa negara itu dalam kemelesetan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh mengecut 4.1 peratus sebahagiannya kerana selesema babi.
Kathryn Hopkins melalui makalah yang diterbitkan dalam akhbar The Guardian pada 28 April, menyatakan:  “Selesema babi pastinya  menjejaskan ekonomi dunia yang telah pun lemah, meskipun pada tahap ini sukar untuk membuat penilaian yang tepat.  Dalam makalah, “Swine Flu:  What the Economists Say,”  Kathryn yang memetik beberapa pendapat ahli ekonomi, menyebut  bahawa pandemik selesema global yang paling teruk yang dianggarkan oleh Bank Dunia pada tahun lalu mungkin mencecah kos 4.8 peratus KDNK dunia (atau lebih AS$3 trilion). 
Namun, keadaan cemas akibat selesema babi tidak terus merasuk para pelabur, dan kebanyakan pasaran menamatkan urus niaga bulan April dengan memberangsangkan.  Meskipun belum dapat dipastikan bahawa  pasaran lembu jantan (bull market) kembali semula, sekurang-kurangnya pasaran kelihatan cergas, dan bersiap sedia untuk meneruskan  rentak ini  pada bulan seterusnya.  Jika dibandingkan dengan 28 April ketika   pasaran  menjunam,  kebanyakan pasaran  bingkas semula pada hari Khamis 30 April.
Dalam  urus niaga terakhir bulan April, saham Asia mengalami pemulihan, antaranya kerana data ekonomi Amerika dan Jepun yang menandakan kemelesetan global berkurangan.  Para pelabur dikatakan kembali semula ke pasaran setelah meninggalkannya beberapa hari lalu kerana kebimbangan penularan selesema babi dan kerugian yang ditanggung oleh beberapa bank utama. Berbanding dengan hari sebelumnya, Nikkei meningkat 334.49 mata (3.9 peratus) kepada 8,828.26 mata, Hang Seng Hong Kong meningkat 564.04 mata (3.8 peratus) kepada 15,520.99 mata, manakala Kospi Korea Selatan menokok 30.94 mata (2.31 peratus) kepada 1,369.36 mata.  Sementara KLCI meningkat sebanyak 23.28 mata (2.41 peratus) kepada 990.74 mata – seakan-akan menyediakan tapak yang kukuh untuk bermain dalam  wilayah 1,000 mata sebaik-baik sahaja urus niaga bulan Mei bermula.
Seperti yang dilaporkan oleh The Wall Street Journal pada 1 Mei, pasaran saham di seluruh dunia mengalami pemulihan yang lebih kuat sejak tahun 1991.  Meskipun  jatuh 17.61 mata (0.2 peratus) kepada 8168.12 pada hari Khamis, tetapi Dow mengakhiri bulan April dengan peningkatan sebanyak 7.4 peratus untuk dua bulan yang terbaik sejak bermulanya pasaran lembu jantan pada tahun 2002.  Tambah akhbar itu lagi, pasaran saham dunia  melepasi wabak selesema babi yang melanda 11 buah negara dan memaksa WHO meningkatkan tahap berjaga-jaga kepada lima.  Malah, Chrysler LLC yang diisytiharkan muflis pada 30 April gagal menyekat keuntungan pasaran.
Namun,  Dow yang  meningkat sebanyak 168.78 mata (2.1 peratus) kepada 8,185.73 pada 29 April,  jatuh sebanyak 17.61 mata (0.22 peratus) kepada 8,168.12 pada hari berikutnya.  Kejatuhan Dow ini, menurut The Wall Street Journal, “tetapi, berkesudahan dengan peningkatan sebanyak 7.4 peratus pada bulan April untuk dua bulan terbaik sejak bermulanya pasaran lembu jantan yang lalu, iaitu pada tahun 2002.”
Kecergasan  pasaran turut dirasai di Kota London apabila 30 April, FTSE meningkat  54.12 mata kepada 4,243.71 mata.   Pertumbuhan  ekuiti yang  dilihat melalui peningkatan harga saham lebih 20 peratus sejak mencecah jurang pada bulan Mac.   “Dalam minggu lalu,” tulis  Larry Elliot,  editor ekonomi, dalam The Guardian, “perasaan optimis mengetepikan banyak sekali berita buruk – angka pertumbuhan dari Amerika dan Britain, potensi pandemik selesema babi, dan pengangguran di zon euro tertinggi dalam tempoh 44 bulan – untuk memacu pasaran saham dunia kepada tahap tertinggi dalam tempoh empat bulan.”
Walaupun  pada bulan Mei, serangan selesema babi masih berterusan serta jumlah negara yang menjadi sasarannya  bertambah, jangkaan  bahawa tidak ada jalan keluar yang mudah untuk kemerosotan ekonomi global,  dan berita yang dianggap boleh menjejaskan pasaran datang satu demi satu,  tetapi pasaran masih cergas. Pada bulan itu diumumkan bahawa 10 daripada 19 buah bank di Amerika yang terlibat dalam ujian stres perlu mengumpulkan AS$75 bilion modal baru untuk mengelakkan kerugian pada masa akan datang;  defisit perdagangan Amerika  semakin luas, iaitu AS$27.6 bilion pada bulan Mac; dan 539,000 hilang pekerjaan di negara itu pada bulan April, dan kadar pengangguran meningkat kepada 8.9 peratus, tertinggi sejak 25 tahun lalu.        
Hanya pengumuman oleh Jabatan Perdagangan Amerika pada 13 Mei bahawa  jualan runcit di negara itu yang tanpa diduga merosot 0.4 peratus pada bulan April selepas jatuh 1.3 peratus bulan Mac, menyebabkan saham yang cergas  sejak beberapa minggu lalu mengalami kejatuhan.  Dow jatuh sebanyak 184.22 mata (2.18 peratus) kepada 8,284.89 mata; dan FTSE jatuh sebanyak 94.17 mata (2.1 peratus) kepada 4,331.37 mata, antaranya  kerana terpaksa tunduk kepada kejatuhan jualan runcit itu.
Pada hari berikutnya,  beberapa pasaran  Asia turut mengikut rentak Wall Street:   Nikkei  jatuh sebanyak 246.76 mata (2.6 peratus) kepada 9,093.73 mata, Kospi jatuh 33.57 mata (2.37 peratus) kepada 1,380.95 mata, Straits Times jatuh 63.18 mata (2.89 peratus) kepada 2,122.11 mata, Hang Seng jatuh 517.93 mata (tiga peratus) kepada 16,541.69 mata,  Indeks SET  jatuh 26.16 mata (4.73 peratus) kepada   526.55 mata, dan KLCI jatuh 10.85 mata (1.06  peratus) kepada 1,011.99 mata. 
Walau bagaimanapun, kecuali Dow yang jatuh 62.68 mata (0.75 peratus) kepada 8,268.14 mata dan FTSE  jatuh 14.47 mata (0.33 peratus) kepada 4,348.11 mata,  kebanyakan pasaran bingkas semula pada 15 Mei jika dibandingkan dengan hari sebelumnya.  Misalnya, Nikei kepada 9,265.02 mata, Kospi kepada 1,391.73 mata, Straits Times kepada 2,139.78 mata, Hang Seng 16,790.70 mata, Indeks SET kepada 533.92 mata, dan KLCI kepada 1,014.21 mata.
Setakat pertengahan Mei, serangan selesema babi dan pengumuman beberapa berita buruk   gagal menumpaskan  pasaran, meskipun  dalam keadaan ekonomi dunia yang lemah.  Bahkan, tidak berlaku  pengunduran pasaran secara berterusan.  Misalnya,  KLCI yang pada 4 Mei – urus niaga pertama bulan berkenaan,   memecah tahap 1000 mata apabila ditutup pada 1009.36 mata, meningkat 18.62 mata (1.88 peratus),   masih menguasai wilayah ini.
Namun, para penganalisis mengemukakan pandangan yang berbaur-baur terhadap perkembangan pasaran sekarang.  Sesetengahnya berpendapat bahawa para pelabur mencergaskan pasaran, walaupun adanya pengumuman berita buruk, seperti peningkatan kadar pengangguran.  Dikatakan  bahawa keyakinan ekonomi global telah meningkat, antaranya seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Keyakinan Global Profesional Bloomberg meningkat kepada 38.72 mata pada bulan Mei daripada 21.2 mata April, peningkatan tertinggi sejak tinjauan ini dilakukan pada November 2007.  Ada yang berpendapat bahawa setelah terpikat dengan pasaran sejak dua bulan lalu, para pelabur mahu melihat isyarat bahawa keadaan bertambah baik sebenar ekonomi sedang berlaku.  Jika isyarat ini  tidak muncul, nescaya mereka akan mula menjualkan saham mereka.  Mereka juga dikatakan menunggu katalis baru untuk terus mencergaskan pasaran.
Dalam teka-teki yang sukar ini pasaran menghadapi dua kemungkinan: larian lembu jantan yang berterusan atau lenggok beruang akan kembali semula. Yang pasti, sondolan babi tidak mungkin melemahkan keyakinan para pelabur dan  menggugat kecergasan pasaran.  Sebaliknya, faktor ekonomi dan petunjuk perniagaan yang menentukan sikap pelabur dan mencorakkan pasaran.

           (Nota:  Tulisan asal  makalah yang  pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Julai 2009.  Jadual yang ada edisi bercetak tidak dapat dimuatkan dalam blog ini kerana masalah teknikal.)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...