Artikel Popular

Thursday, August 20, 2015

Kontrak Sosial yang Gagal: Bahasa Melayu

KHAMIS, 20 Ogos 2015
Oleh  ZULKIFLI  SALLEH






Pada Ogos ini, genap 58 tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan pada bulan September, genap 52 tahun pembentukan Malaysia, sebuah perjalanan sejarah yang  panjang, sarat dengan kejayaan dan kegagalan, kegembiraan dan kesedihan, keterujaan dan keresahan.  Dalam tempoh tersebut, pelbagai dasar nasional diperkenalkan dan dilaksanakan. Lima tahun dari sekarang, Malaysia mengorak langkah untuk mencapai status negara maju yang mungkin tanpa “acuan sendiri.”   Hal ini demikian, kerana  kegagalan pembinaan bangsa (nation-building) yang memang kelihatan dengan ketara.  Dan faktor utama kegagalan pembinaan bangsa berpunca daripada kegagalan mendaulatkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara merdeka.  Tidak seperti Indonesia, yang dianggap  berjaya dalam pembinaan bangsa melalui bahasa Indonesia (atau bahasa Melayu-Indonesia) yang dilaksanakan sejak zaman   Sukarno dan Suharto.
            “Zaman surut bahasa Melayu,” itulah pesan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dalam pertemuan tidak rasmi dengan para  pegawai kanan Dewan Bahasa dan Pustaka pada Mei 1997 di sebuah hotel di Port Dickson.  Anwar ketika itu pemangku Perdana Menteri berehat di hotel  tersebut bersama-sama isteri dan keluarga beliau selepas beliau menjalankan tugas rasmi di Melaka, manakala pegawai kanan DBP berbengkel di hotel yang sama.  Atas jemputan Datuk A. Aziz Deraman, Ketua Pengarah ketika itu, Anwar sudi menyampaikan amanat dalam suasana yang santai.  Anwar  meminta kami di DBP jangan “terlalu keras” dalam memperjuangkan bahasa Melayu kerana “ada seseorang yang akan berasa hati.”   Beliau juga meminta kami bersabar dan memberikan harapan kepada kami bahawa beliau akan pulihkan zaman surut itu.  Namun begitu, lebih setahun kemudian, harapan itu pudar  bersama-sama berkecainya impian beliau untuk menerajui negara Malaysia. Selebihnya sejarah!
            Sesiapa yang melihat tajuk Berita Harian dalam ruangan sastera keluaran 7 Julai lalu, “Bahasa Melayu ‘ditekan’,” dan mereka mengikuti perkembangan bahasa Melayu,  sesungguhnya tidak berasa terkejut dan juga tidak akan  mengatakan sekadar sensasi. Sebenarnya, itulah hakikat yang dialami oleh bahasa Melayu sejak dua dekad lalu apabila wujudnya usaha terancang dan pelbagai tekanan untuk meminggirkan bahasa Melayu dengan berselindung di sebalik kepentingan bahasa Inggeris yang kononnya bahasa global. Justeru,  salah satu langkahnya dilaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI) pada tahun 2003. Tidak cukup dengan semua itu, beberapa tahun lalu dan kini bergema balik, gesaan  pelaksanaan semula sekolah aliran Inggeris.
            Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya, The Colour of Inequality:  Ethnicity, Class, Income, and Wealth in Malaysia, dalam menyorot  ketidaksamaan ekonomi dan hubungan kaum di negara ini dari segi sejarah, turut menyentuh “kontrak sosial” atau “tolak ansur” yang dibuat antara UMNO, MCA, dan MIC tentang status setiap kumpulan  kaum dalam konteks perjuangan kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan. Tolak ansur itu ialah orang Melayu menerima orang bukan Melayu sebagai warganegara, manakala orang bukan Melayu menerima kedudukan istimewa orang Melayu tanpa had masa.  Tambah Muhammed, hasil rundingan ini ditunjukkan dalam Perlembagaan Malaysia, terutamanya Perkara 89,  Perkara 152, dan Perkara 153.  Perkara 152 adalah tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan ini akan dicapai melalui pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan. Beliau merumuskan, “syarat kewarganegaraan agak mudah dilaksanakan.”  Dan bagi beliau, kontrak sosial atau tolak ansur itu, “negara Melayu yang wujud sejak 500 tahun kini dikongsi dengan orang lain. Negara ini  berubah selama-lamanya.”
            Apabila dilihat nasib bahasa Melayu sekarang, yang “ditekan” memetik semula tajuk Berita Harian,  kontrak sosial yang dibentuk lebih setengah abad lalu memang merugikan satu pihak dan memenangkan satu pihak yang lain.  Sementara “lebih sejuta orang diberikan kerakyatan,” seperti yang dicatatkan oleh Muhammed Abdul Khalid, manakala bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terkial-kial kalaupun tidak sekadar tinggal “nyawa-nyawa ikan.”
Dalam memoirnya yang belum diterbitkan, bekas Timbalan Perdana Menteri kedua, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, pernah menyentuh  tiga perkara, iaitu kewarganegaraan, soal bahasa, dan kedudukan istimewa orang Melayu. Tentang soal bahasa, hujah  beliau, “pucuk pimpinan Perikatan membuat kesimpulan bahawa Tanah Melayu merdeka harus ada bahasa penyatu, supaya pelbagai kaum menjadi satu bangsa.  Pilihan yang jelas ialah bahasa Melayu. Pada pokoknya, jika orang Cina – itu masalah politik sebenar, kerana kaum yang lain tidak dominan – hendak dipujuk agar menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mereka patut diberikan taraf warganegara sebagai balasan. Inilah asas sebenar kesepakatan antara tiga pihak di negara ini, terutamanya antara Melayu dengan Cina” (rujuk Ooi Kee Beng, Bukan Kerana Pangkat:  Tun Dr Ismail dan Masanya).
Tun Dr. Ismail juga seperti dipetik oleh Ooi Kee Beng,   membangkitkan tiga peruntukan Perlembagaan,  yang merupakan “hasil tolak ansur yang dicapai antara pelbagai kaum di negara ini.”  Soal kewarganegaraan boleh dikatakan telah terhurai dengan semangat tolak ansur itu.  Dua setengah juta rakyat yang pada tahun 1957 tidak layak menjadi warganegara telah menjadi warganegara sejak itu.  Akan tetapi, soal bahasa belum selesai.  Tempoh 10 tahun penerapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah berlalu, dan percanggahan tafsiran tentang masa depan taraf bahasa Inggeris dan bahasa lain menyebabkan “syak dan curiga antara satu kaum dengan yang lain.” Masalah ketiga melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu, dan tafsiran saling bercanggahan yang terbit daripadanya.
Keprihatinan Tun Dr. Ismail ketika itu adalah bahawa tidak wujud kejayaan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini, sedangkan kewarganegaraan dapat dilaksanakan dengan mudah, dalam sekelip mata.   Pastinya, ketika itu juga sudah rasa kurang senang dan rasa keluh-kesah terhadap pelaksanaan bahasa Melayu kerana semangat nasionalisme masih berkobar-kobar dan nasionalisme bahasa sering muncul di tengah pentas. Perasan itu terbawa-bawa dalam penentangan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia ketika itu yang dilancarkan oleh  puak ultra-UMNO dan pejuang bahasa antaranya, untuk menyingkirkan beliau selepas Peristiwa 13 Mei 1969. 
Walau bagaimanapun, keadaan berubah sama sekali apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih pucuk pimpinan negara menggantikan Tunku Abdul Rahman yang meletakkan jawatan pada tahun 1970.  Pada era Tun Razak, pelbagai dasar nasional dilaksanakan, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan, dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan – yang mempunyai hala tuju yang jelas ke arah pembinaan bangsa dan pembinaan negara (state-building). Sejak itu, bahasa Melayu benar-benar berada di landasan yang betul hingga awal tahun 1990-an sebelum bahasa kebangsaan ini mengalami “zaman surut.”
Jika diperhatikan bahasa Melayu  tercicir dalam Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada  tahun 1991. Wawasan 2020   menggariskan kunci kepada pencapaian negara maju dengan mengatasi sembilan cabaran strategik, menyebut “bangsa Malaysia” (dalam cabaran pertama),  tetapi langsung  tidak menyatakan kedudukan bahasa Melayu sebagai “bahasa penyatu” semua kaum di negara ini.
Kontrak sosial yang “tidak seimbang” antara bahasa Melayu dengan kewarganegaraan turut dibangkitkan oleh Ramlah Adam dalam bukunya, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005):  “Dasar-dasar politik Perikatan ternyata telah melahirkan suatu keadaan yang bertentangan yang mengundangkan pertelingkahan sesama sendiri. Misalnya, dalam memberi jaminan bahawa bahasa Melayu akan menjadi bahasa kebangsaan dalam masa 10 tahun, bahasa dan kebudayaan bangsa-bangsa lain akan dipelihara.  Ini dengan sendirinya memberi suatu ruang untuk mencabar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.”  Pastinya, usaha untuk mencabar pelaksanaan itu semakin sukar dibendung sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana PPSMI membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan yang  antibahasa Melayu menusukkan  jarum mereka.   Tambah Ramlah lagi, “soal kerakyatan juga menjadi duri dalam daging bagi kerjasama parti-parti anggota Perikatan.”
Dalam buku itu, Ramlah   membezakan antara Tunku Abdul Rahman dengan Dato’ Onn Jaafar dalam perjuangan bahasa.  “Pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga menjadi satu senjata tajam Dato’ Onn membidas Tunku Abdul Rahman dan UMNO... Berbeza dengan Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn sangat tegas sekali memperjuangkan pendaulatan bahasa Melayu. Kesungguhan itu telah ditunjukkan oleh Dato’ Onn apabila pada bulan Mac 1955, Parti Negara telah mencadangkan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.”
Beberapa  tahun lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyarankan agar ditubuhkan Suruhanjaya Khas menyiasat kelayakan keturunan mereka yang diberikan hak kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Beliau mengemukakan  saranan tersebut  dalam “Konvensyen Transformasi Ekonomi dan Pelajaran Melayu Pulau Pinang 2013”  di Permatang Pauh.  Menurut Tun Dr. Mahathir, “Orang Melayu ‘murah hati’. Kita sedia berkongsi tanah air dengan mereka, membenarkan mengekalkan  identiti, bahasa,  dan budaya mereka. Kemudian kita kongsi kuasa dengan mereka yang bukan peribumi negara ini. Orang Melayu benarkan orang asing ini bebas berniaga dan mengumpulkan harta. Orang Melayu tidak pernah meminta apa-apa pun daripada  mereka.”
Dalam sidang media  selepas  program “Bicara Minda Tun Dr.  Mahathir Mohamad”  di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam pada Januari 2013, Tun Dr. Mahathir membangkitkan isu kewarganegaraan dan beliau mengkritik Tunku Abdul Rahman. Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melakukan perkara lebih teruk dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing. "Dia (Tunku Abdul Rahman) beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?” Dalam sidang media itu, beliau mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah semasa pentadbirannya.
Kalaupun Tunku Abdul Rahman melakukan kesilapan kerana “tolak ansur” yang merugikan ini, Tun Dr. Mahathir dan dua orang Perdana Menteri selepas beliau juga melakukan kesilapan kerana tidak ada keazaman politik yang kuat untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.  Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sekadar menyarankan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mempertingkat penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan muridnya ke tahap yang lebih tinggi apabila dengan gaya berseloroh beliau mengatakan, “Jangan guna ‘gua,’ ‘lu’ lagi. SJKC kena belajar bahasa kebangsaan dengan baik.”  Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 itu, Najib turut  memberikan jaminan terhadap kedudukan sekolah Cina.  “Bagi komuniti Cina,” seperti yang dicatatkan oleh Muhammed Abdul Khalid, pendidikan vernakular dianggap sebahagian budaya mereka, dan mana-mana percubaan oleh kerajaan untuk mengubah ini adalah dianggap sebagai mencabul jati diri budaya mereka.”
Dalam ruangan Bingkasan Editor, Pelita Bahasa keluaran Oktober 2014, mendedahkan hakikat bahawa terdapat sebahagian besar daripada salah satu kaum utama di negara ini yang tidak menguasai bahasa Melayu. Apa-apa sahaja usaha yang cuba dilakukan oleh kerajaan untuk menaikkan taraf penggunaan bahasa kebangsaan telah ditolak oleh kaum berkenaan.
Sememangnya, kita tidak perlu meratapi sesuatu yang sudah berlalu, ibarat “nasi sudah menjadi bubur.” Asyik  menoleh zaman silam tanpa memikirkan masa kini dan merenung masa depan sememangnya sesuatu yang kurang bijak.  Justeru,  yang penting, ialah  belajar daripada kesilapan masa lalu,  dengan pucuk pimpinan negara memberikan penegasan semula terhadap pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang.  Itu pun kalau mereka mempunyai keazaman politik!


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...