Artikel Popular

Monday, September 8, 2014

Abad Pasifik Milik Siapa?

ISNIN, 8  September 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada September tahun  lalu (2011),  Robert  D.  Kaplan menulis dalam akhbar The Washington Post tentang anjakan kuasa di Asia berikutan kemerosotan Amerika Syarikat dari segi ekonomi dan ketenteraan.  Pada tahun 2020, dengan memetik kajian Rand pada tahun 2009,  bahas beliau, Amerika Syarikat tidak mampu mempertahankan Taiwan daripada serangan udara China.  Dalam tulisan itu, Kaplan, bagaimanapun, tidak menyatakan kedatangan abad Pasifik, sebaliknya menegaskan bahawa perbincangan tentang kemerosotan Amerika tanpa mengetahui suratan takdir kuasa, seperti China adalah tergesa-gesa. 

Tatkala perhatian terus tertumpu pada Asia, antaranya kerana dua daripada empat buah negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) dari Asia, krisis  ekonomi di Barat,  perubahan landskap politik di Timur Tengah, dan  pengunduran tentera Amerika dari Iraq dan Afghanistan, Hillary Clinton muncul dalam Foreign Policy keluaran November lalu dengan “America’s Pacific Century.”  Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu menegaskan bahawa masa depan politik akan diputuskan di Asia, bukannya di Afghanistan atau Iraq, dan Amerika Syarikat akan betul-betul di pusat tindakan. 

Hillary memulakan penulisannya seakan-akan meluahkan kekesalannya kerana sepanjang 10 tahun lalu, negaranya banyak memperuntukkan sumber kepada  dua peperangan.  Justeru, satu daripada tugas penting tataurus negara Amerika sepanjang dekad yang akan datang untuk memasungkan  peningkatan yang besar  pelaburan dalam bidang diplomatik, ekonomi, strategik, dan sebagainya di rantau Asia-Pasifik.  Beliau mengakui bahawa rantau ini menjadi pemacu utama politik dunia, dari benua kecil India ke pantai barat Amerika, rantau yang merentangi dua lautan, iaitu Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, semakin dihubungkan oleh perkapalan dan strategi.  Rantau ini, tambah  beliau lagi, memasukkan banyak jentera utama ekonomi global, di samping pemancar besar gas rumah hijau.  Rantau yang wujudnya beberapa sekutu utama Amerika dan kuasa sedang muncul yang penting, seperti China, India, dan Indonesia.

            Memanfaatkan pertumbuhan dan dinamisme Asia, jelas Hillary, adalah penting untuk ekonomi dan kepentingan strategik Amerika dan keutamaan penting bagi Presiden Barack Obama. Pasaran terbuka di Asia menyediakan  Amerika Syarikat peluang yang tidak pernah berlaku dahulu untuk pelaburan, perdagangan, dan akses kepada barisan hadapan teknologi.   Sementara dari segi strategik, beliau menjelaskan bahawa mengekalkan keamanan dan keselamatan di sepanjang Asia-Pasifik adalah semakin penting untuk kemajuan global, sama ada menerusi kebebasan pelayaran bertahan di Laut China Selatan, melawan usaha pemeridian Korea Utara, ataupun memastikan ketelusan dalam aktiviti ketenteraan pemain utama rantau ini.

            Dalam mengalu-alukan kedatangan abad Pasifik, Hillary Clinton meletakkan negaranya, Amerika Syarikat sebagai pemain utama, meskipun beliau tidak menafikan peranan negara lain di rantau ini.  Dari segi strategi serantau, beliau mengemukakan enam garis tindakan penting: memperkukuh perseikatan keselamatan dua hala, memperdalam hubungan kerja antara Amerika dengan kuasa yang sedang muncul, termasuk China, terlibat dengan institusi pelbagai hala serantau, memperluas perdagangan dan pelaburan; meneruskan kehadiran ketenteraan yang lebih luas, dan memajukan demokrasi dan hak asasi  manusia.

            Beliau juga menggolongkan China, India, Indonesia, Singapura, New Zealand, Malaysia, Mongolia, Vietnam, Brunei, dan negara Kepulauan Pasifik sebagai sebahagian usaha yang lebih luas demi memastikan pendekatan yang lebih tuntas untuk strategi dan pembabitan Amerika di rantau ini.   Dalam kalangan negara itu, pastinya China yang kini memperlihatkan salah satu cabaran yang paling besar dan perhubungan dua hala yang penting yang Amerika Syarikat pernah uruskan.

 Walau bagaimanapun, Hillary tidak menafikan peranan pelbagai hala  dalam menangani cabaran transnasional yang kompleks yang kini dihadapi oleh Asia yang memerlukan institusi yang mampu menggembleng tindakan kolektif.  Dalam hubungan ini, beliau melihat pentingnya ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), yang menurut pemerhatian beliau wujud permintaan supaya Amerika memainkan peranan aktif dalam menentukan agenda institusi tersebut.    “Semakin jelas bahawa kemajuan ekonomi bergantung pada hubungan diplomatik yang kuat, dan kemajuan diplomatik bergantung pada hubungan ekonomi yang kuat,”’ tulis Hillary.

Selain ASEAN dan APEC yang sudah mantap dan terkenal, kini Amerika mengorak langkah dengan merealisasikan Perkongsian Rentas Pasifik (TPP), yang menggembleng ekonomi dari seluruh Pasifik, yang maju dan yang membangun, menjadi komuniti perdagangan tunggal  Matlamatnya bukan sekadar mencipta lebih banyak pertumbuhan, tetapi pertumbuhan yang lebih baik yang memberikan manfaat kepada setiap warga rantau ini yang diukur dari segi kualiti kehidupan.
Namun, Amerika tetap Amerika, mana-mana kerjasama serantau yang melibatkan negara itu seolah-olahnya tidak sempurna tanpa kehadiran tenteranya.  Seperti yang dibahaskan oleh Hillary Clinton, “pertumbuhan ekonomi Asia yang menakjubkan sepanjang dekad lalu dan potensi untuk meneruskan pertumbuhan pada masa depan  bergantung pada keselamatan dan kestabilan yang sejak sekian lama dijamin oleh tentera Amerika Syarikat, termasuk lebih 50,000 orang tentera lelaki dan wanita yang berkhidmat di Jepun dan Korea Selatan.”  Tambah beliau dengan mengingatkan betapa pentingnya kehadiran negaranya:  “Cabaran perubahan pesat yang berlaku di rantau ini sekarang, daripada pertikaian wilayah dan maritim kepada ancaman baru terhadap kebebasan pelayaran kepada impak yang teruk daripada bencana alam, memerlukan Amerika Syarikat meneruskan kedudukan kuasa yang lebih teragih dari segi geografi, tidak mudah luntur dari segi operasi, dan mapan dari segi politik.”
Pada penghujung makalah yang amat panjang itu, Hillary membangkitkan sesuatu yang bagi beliau sudah berakhir, tetapi sebenarnya kini sedang bangkit semula: Perang Dingin.  “Pada dekad lalu,” tulis beliau, “dasar luar Amerika beralih daripada menangani faedah keamanan pasca-Perang Dingin kepada tuntutan komitmen di Iraq dan Afghanistan.  Oleh sebab kedua-dua peperangan itu akan  selesai,  kita perlu memesatkan usaha untuk menunjungi realiti global baru.  Kita tahu bahawa realiti baru ini memerlukan kita untuk melakukan inovasi, bersaing, dan membimbing dalam cara baru. Kita perlu mara dan memperbaharui kepimpinan kita.” 
Sebenarnya, Hillary Clinton mengimpikan kedatangan abad Pasifik yang dicorakkan oleh Amerika Syarikat.  Demi memastikan negaranya memainkan peranan penting pada zaman kebangkitan Asia,  beliau secara bijak mengubah istilah, iaitu dari “abad Asia” ke “abad  Pasifik.”    Untuk mengatakan bahawa beliau tidak tahu menahu akan kedatangan abad Asia memang tidak masuk akal kerana pada dekad terakhir abad ke-20, sering kedengaran bahawa abad ke-21  abad Asia,  tetapi tiba-tiba  pudar  berikutan krisis kewangan Asia 1997/1998.  Pada Ogos 2011, Bank Pembangunan Asia (ADB) menerbitkan buku, Asia 2050:  Realizing the Asian Century menegaskan bahawa tambahan penduduk tiga bilion orang, Asia boleh menikmati taraf hidup sama dengan penduduk Eropah masa sekarang, dan rantau ini boleh menghasilkan lebih separuh output global pada pertengahan abad ini.  Masa depan yang penuh harapan untuk rantau ini ada kalanya dirujuk sebagai “Abad Asia,” meskipun munasabah, tidak bermakna sesuatu yang ditakdirkan.

Melampaui abad Pasifik, dalam konteks yang lebih luas, persoalan yang sering dibangkitkan adalah tentang abad ke-21 dan negara manakah yang menguasai abad ini.   Memang diakui bahawa agihan kuasa global berubah dengan pantas yang menyaksikan kebangkitan China dan negara membangun, manakala tiga tonggak dunia Barat, iaitu Amerika Syarikat, Eropah, dan Jepun dilanda kemelesetan ekonomi yang berpanjangan dan para pengundi yang tidak puas hati.  Namun, dalam menentukan siapakah yang menguasai abad ke-21, jawapan muktamad sukar dicari, antaranya kerana wujud penafian  tentang kemerosotan Pax Americana, bahkan kemerosotan itu dianggap sebagai mitos.

 Ishaan Tharoor yang menulis dalam Time pada Februari tahun ini, adakah abad ke-21 perlu menjadi “abad Amerika?”  menegaskan bahawa “dalam beberapa dekad akan datang, China dijangkakan menggerhanakan Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar di dunia, sedangkan tentera laut Amerika Syarikat yang menguasai samudera planet ini tidak dicabar, tetapi kini semakin diperhatikan oleh China.”
“Whose Century, the 21st?” demikian tajuk makalah  Pierre Buhler dalam akhbar The New York Times yang melihat banyak sidang kemuncak pada tahun lalu,  daripada yang melibatkan para pemimpin Eropah untuk melaksanakan pakej pelan penyelamat untuk euro, kepada G-20, gelanggang baru kuasa global, kepada mesyuarat APEC di Hawaii,  tempat Barack  Obama dilahirkan dan membesar, kepada Sidang Kemuncak Asia Timur di Indonesia, yang beliau turut hadir.
“Nilai simbolik mesyuarat sedemikian,” tulis Buhler, “selalunya dibesar-besarkan.  Akan tetapi, mesyuarat itu menawarkan peluang untuk mengambil banyaknya perubahan yang secara diam-diam membentuk semula landskap kuasa dunia.  Mesyuarat itu menunjukkan berapa banyak pusat graviti ekonomi dunia beranjark ke Timur, ke Asia, dan pada takat apakah keadaan  ini menyendengkan keseimbangan kuasa keseluruhan.”   Pentadbiran Obama, menurut pemerhatian Buhler, begitu ghirah untuk memberikan perhatian yang lebih besar terhadap cabaran dan peluang di Asia.  Bukan hanya pentadbiran itu memperoleh keanggotaan dalam Sidang Kemuncak Asia Timur, tetapi secara diam-diam merorientasikan semula dasar luar terhadap Asia, melampaui  China dan India.  

Buhler juga memetik tulisan  Hillary Clinton itu,  yang menurut beliau, mengabaikan anggapan “Abad Asia” atau “Abad China.”  Implikasi perisytiharan Hillaray itu,  tegas Buhler, “adalah bahawa abad ke-20 yang merupakan ‘Abad Atlantik Amerika’ yang kini berakhir.”  Tambah beliau, “Amerika Syarikat tanpa ragu-ragu mempunyai bukti kelayakan untuk memainkan peranan sedemikian di rantau Pasifik ini, yang Hillary dengan murah hati memperluas ke India, dengan sokongan negara Asia yang khuatir untuk mengimbangi kebangkitan China pada masa yang tidak pasti.”  Namun, Buhler meragui kemampuan Amerika Syarikat di rantau ini berbanding dengan kejayaan negara itu memperoleh kedudukan di Eropah selepas Perang Dunia Kedua.  Hal ini demikian kerana Amerika Syarikat kini terpaksa memikul beban hutang yang dilumpuhkan oleh kebuntuan politik dan dibebani oleh daya saing rendah dalam sektor yang boleh diperdagangkan. 

Melalui tulisannya dalam akhbar dalam talian, The Huffington Post, Charles A. Kupchan menegaskan bahawa meskipun diakui secara meluas tentang perubahan landskap global, pendapat sangat berbeza dalam menentukan negara mana yang muncul di tempat paling atas.  Banyak penganalisis meramalkan abad ke-21 akan menjadi milik China yang sejak berdekad-dekan mengalami pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan menjadikan kebangkitannya yang mantap kelihatan tidak dapat ditahan.  Kebanyakan ahli politik Amerika dengan sokongan pengulas, seperti Robert Kagan dan Robert Lieber yang begitu cepat menolak prospek perubahan pengawal, menegaskan bahawa hegemoni Amerika Syarikat masih hidup dan masih kukuh.  Mereka berhujah bahawa ekonomi Amerika Syarikat akan bangkit semula dan kekuatan ketenteraan Amerika tidak tergugat.

Ketiadaan konsensus tentang negara mana akan menyelia dunia yang sedang muncul ini, sebagaimana yang sepatutnya. Tulis Kupchan, “Hal itu demikian kerana abad ke-21 tidak akan dikuasai oleh mana-mana negara.  Era keutamaan Barat sampai ke penghujungnya.  Sementara itu,  tidak ada sebuah negara yang sedang bangkit di dunia akan mempunyai kombinasi kebendaan dan kekuatan ideologi yang diperlukan untuk melaksanakan hegemoni global.”  

Baik abad Pasifik mahupun abad ke-21, sebenarnya milik siapa? Jawapannya memang sukar. Tanpa menguasai abad ke-21, sesebuah negara itu, baik Amerika Syarikat mahupun China,  sukar untuk mencorakkan abad Pasifik. Tidak mungkin gabungan dua buah  negara itu kerana   hakikatnya  “dua ekor harimau tidak boleh hidup dalam sebuah kandang!”
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Julai 2012.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...