Artikel Popular

Wednesday, March 28, 2012

Soros Gasak Fundamentalisme Pasaran

RABU, 28  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH


Dalam buku terbaharunya, Financial Turmoil in Europe and The United States:  Essays, dalam pengenalan,  George Soros   mengkritik fundamentalisme pasaran.  Sepintas lalu, pastinya memeranjatkan apabila orang, seperti Soros   mengkritik pasaran yang menjadikan beliau kaya-raya. Namun, bagi mereka yang mengikuti tulisan spekulator mata wang itu, tentunya tidak berasa terkejut kerana  beliau pernah menggasak kapitalisme dalam The Crisis of Global Capitalism.  

Berikutan krisis kredit, beliau mengkritik paradigma pasaran kewangan yang diterima umum bahawa pasaran cenderung ke arah keseimbangan dan penyelewengan daripada keadaan itu adalah rawak, tegas beliau adalah kedua-dunya, iaitu palsu dan mengelirukan, seperti yang beliau bahaskan dalam The New Paradigm for Financial Markets:  The Credit of 2008 and What it Means

Dalam buku terbaharunya yang merupakan himpunan makalah beliau, Soros membangkitkan bahawa berikutan pemilihan Ronald Reagan sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Margaret Thatcher Perdana Menteri United Kingdom, fundamentalisme pasaran menjadi kepercayaan dominan di dunia. Puak fundamentalis pasaran percaya bahawa pasaran kewangan akan memastikan peruntukan optimum sumber sekiranya kerajaan berhenti campur tangan dalam pasaran.  Mereka memperoleh kepercayaan itu daripada hipotesis pasaran cekap dan teori jangkaan rasional.  

"Doktrin ini yang difahami oleh beberapa orang sahaja," tulis Soros, "berasaskan andaian tertentu yang mempunyai kerelevanan yang sedikit dengan dunia sebenar, walau bagaimanapun, doktrin ini sangat berpengaruh." Doktrin ini bahas beliau, menguasai jabatan ekonomi di universiti Amerika yang terkenal dan dari sana, merebak jauh dan meluas.  Pada tahun 1980-an, doktrin ini menjadi panduan dasar di Amerika Syarikat dan United Kingdom.  Kedua-dua buah negara ini memulakan pembatalan kawal dan mengglobalisasikan pasaran kewangan. Inisiatif ini merebak, seperti virus. 

Seterusnya, Soros menegaskan bahawa "malangnya, kepercayaan asas fundamentalisme pasaran memang jelas silap.  Pasaran kewangan jika dibiarkan kepada perantinya sendiri, tidak semestinya cenderung ke arah keseimbangan."  Beliau mengingatkan bahawa sejarah menunjukkan bahawa pasaran kewangan wujud, pasaran ini sentiasa memacu krisis kewangan.  Setiap krisis mendorong respons daripada pihak berkuasa.  Maksudnya, bagaimana pasaran kewangan dimajukan, bergerak seiringan dengan perbankan pusat dan kawal selia pasaran.

Dengan mengkritik fundamentalisme pasaran, maka George Soros boleh diletakkan "sekapal" dengan ahli ekonomi dan pengulas yang lain, antaranya Joseph Stiglitz, Paul Krugman,  Roger Bootle, Robert Skidelsky,  Nouriel Roubini,  John Cassidy, dan beberapa intelektual Marxis,  seperti Samir Amin,  Immanuel Wallerstein, Robert Brenner,  John Bellamy Foster, dan David Harvey.   


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...