Artikel Popular

Thursday, July 14, 2011

Perang terhadap Agensi Penarafan


KHAMIS,  14  Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH






Tatkala sebuah demi sebuah negara di zon euro bergelut dengan krisis hutang, dari Ireland ke Greece ke Portugal, dan yang terbaharu Italy dijangkakan menjadi mangsa domino Eropah keempat, Kesatuan Eropah mengiystiharkan perang terhadap agensi penarafan.  Dua hari lalu, Ireland menjadi negara ketiga di zon itu yang penarafan kreditnya diturunkan gred kepada taraf junk  ketika Eropah menyusup ke dalam peperangan yang mereka perlu bertungkus-lumus dengan agensi penarafan kredit.

Ekonomi Ireland yang terganggu menerima satu lagi pukulan apabila penarafan kreditnya diturunkan kepada taraf junk atas alasan ketakutan bahawa negara itu memerlukan pelan penyelamat yang seterusnya.  Negara itu menyertai Portugal dan Greece untuk menjadi negara ketiga di zon euro yang diturunkan kepada gred bukan pelaburan.  Penurunan gred yang  oleh Moody's berlaku tatkala para pemimpin akan mengadakan sidang kemuncak pada hari Jumaat dalam usaha untuk mengekang kesan sampingan krisis hutang kedaulatan melanda benua itu. Penarafan Ireland diturunkan kepada Ba1 daripada Baa3 pada malam Selasa.  Negara itu yang mempunyai penarafan atas Aaa hanya dua tahun lalu, hilang taraf  pelaburannya sebaik-baik sahaja pasaran harta yang melambung meledak, menyebabkan perbankan runtuh yang memerlukan pelan penyelamat yang cukup besar yang menyaksikan hutang negara itu meningkat.


Moody's  memaklumkan bahawa alasan penurunan  gred Ireland itu adalah besar kemungkinan apabila pakej penyelamat semasa  Kesatuan Eropah/Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang bernilai 85 bilion euro tamat pada tahun 2013, Ireland kemungkinannya memerlukan pelan penyelamat yang seterusnya sebelum negara itu boleh kembali semula ke pasaran bon.  


Kerajaan Ireland mengeluarkan amaran bahawa pemulihan ekonomi telah dirosakkan oleh keputusan Moody's untuk menurunkan gred penarafan kreditnya kepada junk, dan menegaskan tindakan itu memang tidak wajar.  Menteri Ekonoi, Richard Bruton berkata Ireland menjadi "terperangkap" dalam masalah negara lemah yang lain dalam zon euro, dan bahawa negara itu pada laluan untuk menepati sasaran yang dipersetujui dengan  IMF.  Beliau mengakui bahawa penurunan gred itu akan  menjejaskan kemampuan Ireland untuk membangunkan semula ekonominya.


"Ini bermakna bagi para pelabur tertentu, Ireland kini terkeluar dari radar mereka, mereka tidak akan menyentuh peminjaman Ireland,  itu buruk untuk kami, yang menyebabkan seluruh tugas pemulihan menjadi lebih sukar," kata Bruton.  "Memang penting untuk berkata bahawa agensi penarafan melihat strategi Eropah dan kami terperangkap dalam pandangan mereka tentang penyelesaian  Eropah.  


Para pelabur menurunkan nilai hutang kedaulatan Ireland pada pagi Rabu, meningkatkan hasil atau kadar faedah terhadap bon 10 tahun Ireland lebih 14 peratus.


Suruhanjaya Eropah dalam responsnya berkata, "dukacita" dengan keputusan  Moody's itu, dan menambah keputusan itu "terlalu banyak berbeza dengan data terbaharu, yang menyokong bahawa Ireland akan mengalami pertumbuhan semula pada tahun ini, dan pelaksanaan yang nekad terhadap program jimat cermat oleh Dublin."


Pesuruhjaya yang bertanggungjawab terhadap pasaran tunggal Kesatuan Eropah, ahli politik Perancis, Michel Barnier, secara berselang-seli mencemuh dan mengancam tiga agensi besar yang menguasai 90 peratus industri penarafan:  Standard & Poor's, Moody's, dan Fitch. Seperti yang dilaporkan oleh The Guardian, "EU Declares War on Agencies as Ireland's Rating Gets Junk Status,"  kata-kata beliau itu menyusuli kritikan hebat pada hari Isnin daripada pesuruhjaya sejawatan, Viviane Reding, yang berkata agensi penarafan "kartel" sepatutnya "dihancurkan" kerana mereka cuba untuk menentukan nasib Eropah dan mata wang tunggalnya.  


"Kami  berasa terperanjat bahawa agensi akan menurunkan gred negara tanpa sebarang amaran," kata Barnier tentang  keputusan minggu lalu daripada Moody's tentang Portugal, mengatakan hutangnya junk dan meramalkan negara itu Greece baru.  "Anda tidak boleh menilai negara sebagaimana anda menilai syarikat atau produk."


Barnier berkata beliau akan mengumumkan "langkah keras" pada November ini yang bertujuan mengawal kuasa agensi penarafan.  Mereka akan dipaksa memberikan justifikasi terhadap keputusan mereka dengan mendedahkan perincian analisis dan kriteria mereka.  Sama ada mereka didaftarkan secara betul di Eropah juga akan diteliti.  "Saya mahu mempunyai ketelusan tentang kaedah mereka, terutamanya apabila mereka menarafkan negara."


Sebelum ini, Moody's menurunkan gred bon Portugal  juga kepada taraf junk yang membuka fasa baru yang berbahaya dalam krisis zon euro. Tatkala bank-bank besar zon mata wang bersama itu mengadakan  pertemuan di Paris untuk memperhalusi pelan mereka untuk pelan penyelamat kedua Greece, Moody's mengeluarkan analisis yang mengakibatkan kemusnahan tentang kewangan Portugal kerana agensi memotong penarafan kredit negara itu sebanyak empat takuk, memaksa negara itu memasuki wilayah junk.


Agensi berkata  mereka semakin bimbang bahawa Portugal tidak dapat mencapai sepenuhnya  rancangan pengurangan defisit belanjawannya dengan  dan menghadapi "cabaran yang sukar dalam memotong perbelanjaan, meningkatkan pematuhan cukai, mencapai pertumbuhan ekonomi, dan menyokong sistem perbankannya."  Wujud "besar kemungkinannya" bahawa Portugal  tidak mampu meminjam pada kadar yang mapan dalam pasaran, memaksa pelan penyelamat, selain 80 bilion euro yang diterima daripada IMF dan Kesatuan Eropah pada April lalu.


Presiden European Central Bank (ECB), Jean-Claude Trichet juga turut terbabit dalam menyerang kuasa agensi penarafan kredit yang terkenal di dunia sebagai respons terhadap keputusan Moody's yang memeranjatkan, iaitu menurunkan gred Portugal.  Dalam kritikan hebat terhadap agensi "oligopolistik," seperti Fitch, Moody's, dan Standard & Poor's, beliau mengakui bahawa adalah "sedikit naif" untuk mempercayai bahawa adalah penyelesaian yang mudah untuk menyusun semula pasaran penarafan.  


Roger Bootle  dalam bukunya, The Trouble with Market:  Saving Capitalism fro Itself turut meletakkan kesalahan terhadap agensi penarafan yang gagal melihat krisis kewangan sedang berlaku.  "Agensi penarafan, iaitu organisasi komersial yang dibayar untuk menilai tahap risiko bon, semua jenis sekurit, bahkan kerajaan.  Mereka tidak melihat krisis datang."  Namun, akhir-akhir ini agensi ini begitu aktif memberikan penarafan kepada sesebuah negara.  Tindakan agensi ini memberikan penarafan yang "negatif" kepada sesebuah negara dijangkakan boleh memburukkan lagi keadaan, seperti yang dialami oleh Greece dengan mengisytiharkan mungkir.  Bahkan Amerika Syarikat  tempat bermulanya krisis kewangan global tidak terkecuali daripada  penilaian agensi penarafan apabila  Standard & Poor's menyemak semula tinjauannya terhadap hutang kedaulatan negara itu daripada stabil kepada negatif


Simon Rogers dan Ami Sedghi melalui Datablog The Guardian menunjukkan bagaimana Fitch, Moody's, dan Standard & Poor's menilai penarafan kredit setiap negara, termasuk negara kita, Malaysia, dan data yang terbaharu ialah pada 15 April lalu.


Merujuk kes Portugal yang terpaksa pertolongan daripada IMF dan Kesatuan Eropah pada April lalu, Robert   M.  Fishman yang menulis dalam The New York Times, mengingatkan sepatutnya menjadi amaran kepada demokrasi di mana-mana sahaja.   Permohonan negara ketiga untuk pelan penyelamat selepas Greece dan Ireland pada tahun lalu, iaitu daripada Portugal tidak benar-benar tentang hutang.  Portugal mempunyai prestasi ekonomi yang kukuh pada tahun 1990-an dan mengurus pemulihannya daripada kemelesetan global lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa buah negara lain di Eropah.  Nasib malang yang menimpa Portugal menurut perkiraan Fishman berpunca daripada tiga pelakon utama, iaitu peniaga bon, spekulator, dan penganalisis penarafan kredit yang memberikan tekanan yang tidak wajar dan sembarangan atas alasan pendek akal atau ideologi, yang kini berjaya menyingkirkan satu pentadbiran yang dipilih secara demokratik dan berpotensi mengikat tangan satu lagi kerajaan selepas ini.  Beliau mengingatkan jika dibiarkan tanpa kawal selia, kuasa pasaran ini mengancam untuk menggerhanakan kapasiti kerajaan demokratik, bahkan mungkin Amerika, untuk membuat pilihan mereka sendiri tentang cukai dan perbelanjaan.


Asia Timur, angkara spekulator mata wang menyaksikan krisis kewangan tahun 1997-1998, dan kini, Kesatuan  Eropah, khususnya zon euro bergelut dengan krisis yang berpanjangan angkara "gangguan" penilaian agensi penarafan.  Justeru, amaran Fishman tentang ancaman  tiga pelakon yang boleh menumbangkan kerajaan  demokratik, seolah-olahnya semua kerajaan terpaksa tunduk pada mereka.









































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...