Artikel Popular

Thursday, April 12, 2012

Jerman Bukannya Greece Sepatutnya Meninggalkan Zon Euro

JUMAAT, 13 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Apabila Greece dibantu dengan pelan penyelamat kedua, antara respons awal ialah langkah itu belum pasti menyelamatkan negara itu, dan bahkan zon euro yang bergelut dengan krisis hutang. Orang ramai tidak perlu menunggu lama untuk melihat krisis yang berpanjangan itu terus melanda zon euro kerana tiba pula giliran Sepanyol, manakala Greece menghadapi kadar pengangguran terbaharu yang tinggi, iaitu 21.8 peratus dan kos peminjaman Italy meningkat tinggi.

Memburukkan lagi keadaan, Sepanyol dan Italy, dilaporkan bertelagah, saling menuding jari berhubung dengan fasa terbaharu dalam krisis zon euro.  Hartawan George Soros yang kerap kali mengemukakan pandangan dan menulis tentang krisis euro itu, di samping mencadangkan Jerman bertindak sebagai penyelamat, dalam komen terbaharunya menyatakan krisis zon itu semakin teruk. 


Tatkala Greece dilanda krisis hutang dan terpaksa mengemis  pelan penyelamat kedua daripada troika - Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan Bank Pusat Eropah (ECB), ada yang mencadangkan negara itu meninggalkan zon mata bersama itu.  Namun banyak negara di zon itu, termasuk Jerman yang dianggap "poket dalam," tetapi terhegeh-hegeh, mahu Greece kekal dalam zon euro. Namun, strategi euro Canselor Angela Merkel, seperti yang  diperhatikan,  tidak menjadi. 

Ketika persoalan, sama ada Greece meninggalkan zon euro ataupun tidak, masih belum reda, Michael Sivy yang menulis dalam Time mencadangkan Jerman yang dianggap sebagai tonggak sepatutnya meninggalkan zon itu. Walaupun Greece dilihat membawa masalah kepada zon euro, tegas Sivy, masalah sebenar zon euro dapat diselesaikan jika Jerman meninggalkannya, disertai, mungkin oleh beberapa buah negara kaya lain. 

Memang Jerman pernah menyediakan rancangan untuk Greece meninggalkan zon euro.  Hujah negara lemah meninggalkan zon itu, seperti yang dipetik  oleh  Sivy, adalah bahawa negara itu mampu mengelakkan daripada dasar jimat-cermat yang dikenakan oleh Jerman.  Apabila negara tersebut meninggalkan zon itu, mata wang nasional baru negara itu akan susut nilai dengana cepat, menjadikan ekonomi mereka lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa kerana eksport   mereka lebih murah untuk orang asing membeli.

Namun, tegas Sivy, dari segi realiti, masalah paling besar dihadapi oleh negara Eropah yang menghadapi masalah kewangan bukannya hutang, tetapi kos buruh yang tinggi. Kredit mudah yang dinikmati sepanjang dekad lalu membolehkan kos buruh meningkat dengan pantas di sesetengah negara, yang kurang mampu untuk mengeksport barang mereka atau bersaing untuk dengan import  murah.

"Antara tahun 2000 hingga 2007," bahas Sivy, "kos burang yang tinggi mengurangkan daya saing sebanyak 10 peratus hingga 20 peratus di Italy dan Sepanyol.  Dan bahkan, dengan semua dasar jimat-cermat sejak tahun 2008, Sepanyol dan Italy mampu meningkatkan daya saing mereka hanya pada titik peratusan yang rendah. Negara berkenaan tidak akan mampu bersaing dari segi ekonomi hingga mereka dapat menurunkan kos buruh dengan ketara.  Dan, sangat sukar dari segi politik untuk memperoleh persetujuan para pekerja untuk menerima potongan upah antara 10 hingga 20 peratus."

Memetik Roger Bootle yang menulis dalam The Telegraph bahawa Jerman sepatutnya meninggalkan euro, Sivy menegaskan bahawa euro menjadi mata wang yang jatuh dari segi nilai, berbanding dengan mata wang nasional baru Jerman dan juga dengan dolar.  Negara Eropah yang lemah akan terus memegang euro, tetapi masih memperoleh penurunan nilai yang mereka perlukan, yang akan mengurangkan kos buruh mereka jauh daripada menyeksakan berbanding dengan melalui pemotongan upah. 

Sebagai tambahan, jelas Sivy, "nilai hutang belum bayar mereka akan merosot bersama-sama dengan nilai euro, dan mereka lebih berkemungkinan mampu membayar hutang dan mengelakkan kemungkiran."  Tegas beliau lagi, "ringkasnya, ini bukan mengenai wang, tetapi mengenai kestabilan.  Dan, kali ini, mungkin lebih mudah untuk mengekalkan orde tanpa bantuan Jerman."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...