Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dalam konteks global, Malaysia pernah dikenali
sebagai negara membangun atau negara Dunia Ketiga berbanding dengan
negara maju atau negara Dunia Pertama. Malaysia yang bergerak daripada
perindustrian penggantian import kepada perindustrian berorientasikan eksport,
kini tergolong dalam senarai negara perindustrian baru (NICs) bersama-sama
Afrika Selatan, Mexico, Brazil, China, India, Filipina, Thailand, dan Turki,
menyertai Harimau Asia - Hong Kong, Korea Selatan, Singapura, dan Taiwan. Bagi
aliran pemikiran atau pendekatan pergantungan yang banyak mempengaruhi debat
pembangunan-kemunduran antara tahun 1970-an hingga 1980-an, Malaysia
disebut satelit dalam hubungannya negara maju yang dikenali sebagai metropolis,
atau disebut pinggir berbanding dengan
pusat.
Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, tidak dapat tidak,
naik turun ekonomi Malaysia banyak
bergantung pada ekonomi dunia. Apabila
dunia terjebak dalam kemelesetan, Malaysia turut terjerumus, dengan ekonominya
menguncup 1.7 peratus pada tahun 2009, sama dengan dunia jika berdasarkan ramalan Tabung Kewangan Dunia (IMF), yang menguncup 1.7 peratus, tetapi tinggi
sedikit daripada dunia yang menguncup 1.4 peratus jika berdasarkan ramalan Bank Dunia.
Daripada pelbagai dasar bijak kerajaan, Malaysia berjaya memindahkan ekonomi daripada pengeluar
komoditi utama kepada pembuatan dan ekonomi yang diterajui oleh
perkhidmatan. Namun begitu, kebelakangan
ini Malaysia terpaksa berhadapan dengan cabaran kerana kebangkitan persaingan
daripada negara kos rendah, seperti China, India, dan Vietnam, manakala
kekurangan tenaga kerja berkemahiran dan
persekitaran pelaburan yang terbatas mengehadkan kemampuannya untuk meningkat
kepada ekonomi nilai ditambah yang tinggi. Malaysia
terus mengorak langkah untuk menjadi
sebuah negara maju pada 2020, meskipun terpaksa menempuh beberapa rintangan,
seperti krisis kewangan Asia 1997/1998 dan kemelesetan semasa.
Selepas keluar
daripada kemelesetan, ekonomi Malaysia, menurut
Bank Dunia, yang susut 2.3
peratus 2009, melantun 4.1 peratus pada tahun ini, 5.6 peratus pada 2011, dan 5.9 peratus pada 2012. Sementara Institut Penyelidikan Ekonomi
Malaysia (MIER) meramalkan pada awal tahun ini bahawa ekonomi Malaysia akan
berkembang sebanyak 3.7 peratus untuk 2010
dan lima peratus pada 2011. Ketika memaklumkan pertumbuhan suku tahun
keempat 2009 berkembang 4.5 peratus, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib
Tun Abdul Razak berasa yakin bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
2010 boleh mencecah lima peratus berbanding unjuran empat peratus.
Pada November lalu, Unit Perancang Ekonomi (UPE) menganggarkan bahawa ekonomi Malaysia mesti
tumbuh sekurang-kurangnya 5.4 peratus setahun sepanjang dekad yang akan datang. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang
bertanggungjawab terhadap UPE, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata bahawa pertumbuhan ini membolehkan
Malaysia menyertai liga ekonomi maju pendapatan tinggi. Beliau melahirkan keyakinan bahawa Malaysia
dapat mencapai sasaran pertumbuhan 5.4 peratus pada tahun 2011, tahun pertama
pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh.
Namun begitu, MIER mengingatkan bahawa
sasaran kerajaan untuk
pertumbuhan lima peratus pada 2010 tidak realistik dan boleh membesarkan lagi
defisit belanjawan. Dalam situasi
semasa, sasaran ini sukar dicapai. Malahan,
apabila Datuk Seri Mohd.
Najib memaklumkan Malaysia akan berusaha
ke arah mencapai pertumbuhan KDNK enam peratus hingga 2020 untuk mencapai
sasaran menjadi negara pendapatan tinggi, ada yang berpendapat bahawa untuk mencapai sasaran pertumbuhan
pada kadar itu bukanlah suatu perkara
yang mudah, lebih-lebih lagi memandangkan struktur ekonomi Malaysia yang lebih bergantung pada perdagangan luar
berbanding dengan penggunaan domestik.
Walau apa-apa pun angkanya, yang jelas, Malaysia belum
dapat mencapai semula kadar pertumbuhan
9.1 peratus antara tahun 1990
hingga 1997, iaitu di belakang China yang mencatatkan pertumbuhan 11.5 peratus. Selepas krisis kewangan Asia, Malaysia tidak dapat menebus
“dekad yang hilang” kerana antara
tahun 2000 – 2008, pertumbuhan KDNK, secara purata sekitar 5.5 peratus, di
belakang negara serantau, seperti China,
Vietnam, dan India.
Pelaburan swasta penting dalam pertumbuhan ekonomi jangka
panjang. Kadar pertumbuhan yang tinggi dalam pelaburan swasta memberikan sumbangan yang kuat terhadap
aktiviti ekonomi dan pertumbuhan KDNK Malaysia.
Apabila Datuk Seri Mohd. Najib memaklumkan
bahawa Malaysia akan berusaha ke arah mencapai KDNK tahunan secara purata enam peratus hingga
tahun 2020, fokus kerajaan adalah
terhadap pelaburan swasta. Semasa
membentangkan Bajet 2010 pada 23 Oktober lalu, dalam strategi pertama, iaitu
memacu negara ke arah ekonomi pendapatan tinggi, beliau menegaskan bahawa sektor swasta pernah
menerajui pertumbuhan ekonomi.
Apabila Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop menyatakan sasaran pertumbuhan minimum 5.4 peratus, untuk mencapai status negara pendapatan tinggi yang
melibatkan pendapatan per kapita Keluaran Negara Kasar (KNK) atau Gross National Product
per capita AS$15,000 pada
2020, antaranya memerlukan pertumbuhan
pelaburan swasta 10.5 peratus setahun atau secara purata hampir-hampir RM90
bilion pelaburan swasta setahun. “Ini
sepatutnya dapat dicapai kerana pada masa sekarang, pelaburan swasta menyumbang
9.5 peratus KDNK. Secara perbandingan,
pelaburan swasta adalah menyumbang 25 peratus KDNK pada tahun pertumbuhan yang
pesat dan sebelum krisis kewangan 1998.”
Sebelum krisis kewangan Asia, pelaburan swasta meningkat secara berterusan dan
bergerak seiringan dengan KDNK. Pada
tahun 1980, nisbah pelaburan swasta dengan KDNK kira-kira 19 peratus, kemudian
meningkat kepada 22 peratus (1990), dan mencecah 32 peratus KDNK pada tahun
1997. Dalam tempoh pascakrisis
pelaburan swasta merosot jika
dibandingkan dengan tempoh sebelumnya. Satu
isu yang mendepani ekonomi Malaysia pascakrisis kewangan Asia, seperti yang
dibahaskan dalam Economic Review keluaran Julai 2007, ialah lemahnya pertumbuhan pelaburan
swasta. Pada tahun 1998, pelaburan
swasta di Malaysia merudum sebanyak 55 peratus dan 23 peratus lagi pada 1999
akibat kesan sampingan (fallout)
krisis kewangan Asia. Berikutan
pemulihan sekejap pada 2000, pelaburan swasta jatuh lagi sebanyak 20 peratus
pada 2001 dan 15 peratus lagi pada 2002. Dalam tempoh sebelum krisis kewangan
Asia, pelaburan swasta berkembang pesat
dengan kadar purata 19.5 peratus setahun.
Hal yang sama dibangkitkan pada November lalu oleh Malaysia Economic
Monitor November 2009 yang merupakan kajian dwitahunan Bank Dunia,
yang
menyatakan pelaburan di Malaysia mencapai tahap tertinggi
dalam kalangan negara di rantau ini sebelum krisis kewangan Asia, tetapi juga
kejatuhan seterusnya paling dramatik dan berkekalan. Sebagaimana Thailand dan ekonomi krisis yang
lain, penguncupan dalam pelaburan agregat adalah berpunca terutamanya oleh
kejatuhan tergesa-gesa dalam pelaburan swasta.
Pelaburan swasta yang pernah menjadi jentera pertumbuhan Malaysia dari
awal 1980-an, menjunam ketika krisis kewangan Asia dan sejak itu kekal
meleset. Antara tahun 1970 hingga 1996,
pelaburan swasta merupakan jumlah yang cukup besar dalam jumlah pelaburan. Pelaburan swasta kekal pada kira-kira 10 peratus
KDNK antara tahun 2003 hingga 2007, jatuh daripada kira-kira 30 peratus pada
1997.
Untuk mengukur
kedudukan Malaysia di peringkat global, beberapa pemeringkatan atau penarafan
antarabangsa yang boleh dijadikan rujukan atau ukuran. Pada tahun lalu, dalam pemeringkatan rasuah global oleh Transparency International’s Corruption
Perceptian Index 2009 kedudukan Malaysia jatuh daripada tangga ke-47
tahun 2008 kepada tangga ke-56
daripada 180 buah negara tahun 2009.
Sementara Doing
Business 2010: Reforming through Difficult Times yang diterbitkan oleh Perbadanan Kewangan
Antarabangsa (IFC) dan Bank Dunia, mencatatkan 287 pembaharuan
antara Jun 2008 hingga Mei 2009, meningkat 20 peratus jika dibandingkan dengan
tahun sebelumnya. Laporan yang melibatkan 131 ekonomi di seluruh dunia yang
diterbitkan pada September tahun lalu, memaklumkan bahawa Singapura terus menguasai tangga
teratas, diikuti oleh New Zealand, Hong Kong, Amerika Syarikat, United Kingdom,
dan Denmark, kedudukan Malaysia jatuh
daripada tangga ke-21 pada 2009 kepada tangga ke-23 pada 2010. Dalam kalangan negara Asean, selain
Singapura, berbanding dengan Malaysia, Thailand
“lebih mesra” perniagaan, menduduki tangga ke-12.
Malaysia juga
merosot daripada tangga ke-21
kepada tangga ke-24 dalam The Global Competitiveness Report 2009-2010
yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada akhir tahun lalu. Daripada 133 buah negara, Switzerland
menduduki tempat teratas, diikuti oleh Amerika Syarikat, Singapura, Sweden, dan
Denmark (Jadual 1). Kemerosotan
kedudukan Malaysia adalah berpunca daripada penilaian yang lemah terhadap
rangka institusi negara ini, keselamatan, iaitu potensi serangan pengganas dan
jenayah - kedua-duanya mengenakan kos
perniagaan yang signifikan. Selain itu,
defisit belanjawan yang berjumlah hampir lima peratus KDNK turut menyebabkan
kemerosotan itu. Walau bagaimanapun,
kebanyakan dimensi lain, Malaysia mendapat markah yang tinggi, seperti
kecanggihan perniagaan dan inovasi.
Untuk mengekalkan daya saing, menurut laporan itu, Malaysia perlu
bersedia untuk pertukaran kepada ekonomi berasaskan pengetahuan yang dipacu
oleh inovasi.
Sejak Goldman
Sachs mencipta istilah BRIC pada tahun
2003, ekonomi negara berkenaan – Brazil, Rusia, India dan China – yang terdiri daripada
10 buah negara terbesar di dunia dari segi penduduk dan KDNK, sering menjadi
perhatian dan perbandingan. Ekonomi
keempat-empat negara itu yang membangun dengan pesat dan dijangkakan mengatasi
negara terkaya di dunia masa kini pada tahun 2050. Goldman Sachs meramalkan China dan India akan
menguasai pembekalan global untuk barang dikilang dan perkhidmatan, manakala
Brazil dan Rusia akan menguasai pembekalan global untuk bahan mentah.
Jim O’Neill, Ketua Ahli Ekonomi Goldman Sachs dalam “BRICs are Still on Top” yang diterbitkan dalam Newsweek Isu 2010, membahaskan pasaran sedang muncul – Brazil, Rusia, India, dan China yang
memainkan peranan baru dan lebih kuat dalam ekonomi global. Dengan hujah bahawa satu satu perkara untuk
mendapat pertumbuhan yang kuat apabila segala-galanya di tempat lain kelihatan
elok, tetapi kekuatan hanya benar-benar terbukti menerusi keadaan luaran yang
kurang menggalakkan, tegas O’Neill, dalam keadaan kacau-bilau baru-baru ini,
ekonomi BRIC berjaya mengharunginya. Beliau juga menyenaraikan negara pasaran yang
sedang muncul yang besar lain, dikenali
kumpulan N11 atau “Next 11” yang banyak daripadanya muncul daripada krisis
dalam keadaan yang lebih baik daripada yang dijangkakan. Dalam senarai itu termasuk Indonesia, Mexico,
Nigeria, dan Turki.
Amerika Syarikat bersama-sama BRIC berkemungkinan besar
menerajui pemulihan pelaburan langsung asing (FDI) pada masa akan datang,
seperti yang ditunjukkan oleh respons perbadanan transnasional (TNCs) dalam World
Investment Prospects Survey 2009 – 2011. Persidangan Tentang Perdagangan dan
Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) dalam World
Investment Report 2009: Transnational Corporations, Agricultural
Production and Development memaklumkan bahawa meskipun berlaku kemelesetan
global, tetapi tren aliran pelaburan
langsung asing (FDI) menunjukkan bahawa pasaran yang sedang muncul, terutamanya
BRIC dapat mengharungi gelombang ini.
Aliran masuk FDI global, menurut laporan itu, merosot sebanyak 14.2 peratus,
iaitu kepada AS$1,697.4 bilion pada 2008, terutamanya berpunca daripada kemerosotan
29.2 peratus FDI di negara maju, iaitu kepada AS$962.3 bilion. Sebaliknya,
aliran masuk FDI ke negara BRIC meningkat sebanyak satu pertiga, iaitu kepada
AS$265.2 bilion. Jumlah ini, bahkan
lebih tinggi daripada peningkatan sebanyak 17.3 peratus dalam aliran masuk FDI
ke negara membangun.
Bahagian negara
BRIC daripada jumlah aliran masuk FDI meningkat daripada 10 peratus pada 2007
kepada lebih tinggi, itu 15.6 peratus pada 2008. Aliran masuk FDI untuk China dan India terus
meningkat, Malaysia dan Thailand merosot sedikit, manakala Indonesia dan Vietnam mampu
mempertahankan pertumbuhan, meskipun berlaku krisis ekonomi global. Secara
perbandingan untuk tahun 2008, negara
BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) menguasai aliran masuk FDI jika
dibandingkan dengan lain di Asia, termasuk Malaysia (Jadual 2). Pada
tahun lalu, menurut sumber rasmi, akibat kemelesetan ekonomi dunia, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia ialah RM20 bilion; meskipun mengatasi sasaran
di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga,
jumlah ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan tahun 2008 yang
mencecah RM62.8 bilion.
Perbezaan semakin
ketara antara negara BRIC dengan negara maju dan pasaran global dari segi
aliran keluar FDI. Seperti yang ditunjukkan oleh World Investment Report
2009: Transnational Corporations,
Agricultural Production and Development, aliran keluar FDI global jatuh sebanyak 13.5 peratus pada 2008,
kepada AS$1,857.7 bilion, dengan negara maju mencatatkan kejatuhan 16.7
peratus, dan negara membangun
mencatatkan sedikit peningkatan, iaitu sebanyak 2.5 peratus, manakala aliran
keluar FDI dari negara BRIC meningkat dengan jumlah yang menakjubkan, iaitu
sebanyak 53.9 peratus, kepada AS$142.7 bilion.
Dengan jumlah ini, bahagian negara BRIC dalam aliran keluar FDI
meningkat lebih dua pertiga, daripada 4.3 peratus pada 2007 kepada 7.7 peratus
pada 2008.
Kajian UNCTAD dalam World Investment Prospects Survey 2009 –
2011 yang dijalankan antara April – Jun 2008, menunjukkan beberapa
perubahan tanggapan TNCs tentang lokasi
15 ke atas untuk FDI sejak tahun lalu.
Hanya negara baru yang ditambah dalam senarai ialah Thailand,
menggantikan Turki dan Afrika Selatan (yang terikat pada kedudukan ke-15 tahun
lalu). Anggota negara yang menduduki
tempat kelima ke atas tidak berubah, yang berubah hanya dari segi
pemeringkatan: Amerika Syarikat mengambil tempat kedua, memotong India, dan
Brazil bergerak ke tempat keempat, memotong Rusia. Dalam kalangan negara lain, United Kingdom,
dan dalam keadaan tertentu, Australia, bertambah baik kedudukan masing-masing,
sehingga menjejaskan dua negara Asean, iaitu Vietnam dan Indonesia.
Berbanding dengan tahun lalu, World
Investment Prospects Survey 2009 – 2011,
menunjukkan berlaku beberapa perubahan dalam pemeringkatan negara tahun
ini. Negara BRIC – Brazil, Rusia, India,
dan China merupakan dalam senarai lima negara teratas untuk FDI. TNCs menganggap pertumbuhan pasaran, diikuti
oleh terdapatnya buruh murah, dan dalam sesetengah keadaan, akses kepada sumber
asli merupakan beberapa aset lokasi utama negara membangun. TNCs menyebut bahawa kualiti persekitaran
perniagaan dan saiz pasaran merupakan kekuatan utama kebanyakan ekonomi
maju.
IMF dalam World
Economic Outlook yang dikeluarkan pada Januari tahun ini, mengunjurkan output
dunia ialah 3.9 peratus pada 2010 dan 4.3 peratus pada 2011. Sementara negara BRIC diunjurkan –
Brazil 4.7 peratus (2010) dan 3.7
peratus (2011), Rusia masing-masing
3.6 peratus dan 3.4 peratus, India masing-masing 7.7 peratus dan 7.8
peratus, dan China masing-masing 10.0 peratus dan 9.7 peratus, manakala Asean-5
(Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam) 4.7 peratus (2010) dan
5.3 peratus (2011). Secara
berbandingan, untuk tahun 2010 dan 2011, berdasarkan unjuran IMF, Bank
Dunia, MIER, dan pihak kerajaan, seperti
yang dinyatakan di atas, pertumbuhan
KDNK Malaysia jika dibandingkan dengan negara BRIC: setanding atau lebih baik
daripada Brazil dan Rusia, tetapi di bawah India dan China.
Untuk mencapai status negara maju pada 2020, Bank Dunia dalam
Malaysia Economic Monitor November 2009 mencadangkan
strategi empat tonggak: Malaysia
mengkhusus ekonomi seterusnya, meningkatkan kemahiran tenaga kerjanya,
menjadikan pertumbuhan lebih inklusif, dan mengkukuhkan kewangan awam. Dari
segi kemahiran tenaga kerja agak memeranjatkan apabila Ketua Pengarah UPE,
Datuk Noriyah Ahmad, baru-baru ini memaklumkan, “tenaga kerja
Malaysia kini secara relatifnya tanpa kemahiran dengan 80 peratus menerima
pendidikan hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau sama taraf dengannya,
dan hanya 25 peratus pekerjaan di Malaysia adalah dalam kategori kemahiran
tinggi.”
Malaysia juga dikatakan terpaksa menempuh cabaran untuk
beralih daripada ekonomi pendapatan sederhana kepada ekonomi pendapatan tinggi.
Menurut Bank Dunia, “ini merupakan cabaran yang sukar, hanya beberapa buah
negara dapat mencapainya dalam tempoh pascaperang dan ini memerlukan kepimpinan
yang kuat dan konsisten dalam tempoh yang panjang.” Di bawah tajuk
repositioning for growth, cabaran jangka sederhana yang
utama, seperti yang dinyatakan dalam Malaysia
Economic Monitor November 2009, adalah untuk ekonomi Malaysia menyertai kumpulan pilihan negara pendapatan
tinggi. Malaysia mengalami pertumbuhan
yang padu sepanjang dekad lalu, tetapi bergantung pada model ekonomi yang terutamanya
berasaskan pengumpulan modal, walaupun
kadar pelaburan swasta tidak pernah pulih daripada 20 titik peratusan
yang jatuh selepas krisis kewangan Asia 1997/1998. Untuk Malaysia menaiki tangga pendapatan
seterusnya, Malaysia perlu memberikan keutamaan terhadap penambahbaikan suasana
pelaburan untuk meningkatkan kadar pelaburan dan memberikan tumpuan terhadap
pertumbuhan produktiviti.
Pada tahun 2008, negara
pendapatan tinggi mengikut hitungan Bank Dunia ialah pendapatan per kapita KNK AS$11,906 atau lebih. Pada tahun 2020, iaitu sasaran Malaysia untuk
mencapai status negara berkenaan, pendapatan per kapita KNK ialah minimum
AS$14,818. Namun begitu, Malaysia masih menempuh perjalanan yang jauh untuk
bebas daripada perangkap pendapatan
sederhana. Seperti yang dibahaskan oleh
Fong Chan Onn dalam The Star “per kapita KNK Korea Selatan ialah AS$16,450, Singapura AS$34,346, Hong Kong AS$29,559, manakala Malaysia masih pada
AS$7,469. Perlu diingatkan bahawa pada awal 1970-an, kita adalah setara dengan
negara berkenaan. Dalam masa lima tahun,
negara itu akan pergi lebih jauh lagi.”
Dalam satu dekad,
sesungguhnya, banyak yang ingin dicapai oleh Malaysia: negara maju dan negara
pendapatan tinggi dengan pertumbuhan
purata enam peratus setahun. Pada masa yang sama, negara terpaksa menyaingi BRIC dari segi pertumbuhan dan FDI,
sedangkan negara bukan merupakan
ekonomi yang paling menarik untuk FDI jika dibandingkan dengan BRIC. Selain itu, untuk merancakkan pertumbuhan,
negara perlu bergantung pada pelaburan swasta yang nampaknya tidak bangkit-bangkit
daripada kejatuhan lebih satu dekad. Sesungguhnya, pemeringkatan atau penarafan antarabangsa dan
angka rasmi yang lain dapat menceritakan segalanya tentang kedudukan ekonomi
Malaysia di peringkat global, iaitu banyak yang perlu dilakukan dalam satu
dekad.
Jadual 1: Indeks daya saing 2009 untuk 30 buah negara teratas berbanding dengan 2008
Negara/ekonomi
|
Taraf
2009
|
Mata
|
Taraf
2008
|
Switzerland
|
1
|
5.60
|
2
|
Amerika Syarikat
|
2
|
5.59
|
1
|
Singapore
|
3
|
5.55
|
5
|
Sweden
|
4
|
5.51
|
4
|
Denmark
|
5
|
5.46
|
3
|
Finland
|
6
|
5.43
|
6
|
Jerman
|
7
|
5.37
|
7
|
Jepun
|
8
|
5.37
|
9
|
Kanada
|
9
|
5.33
|
10
|
Belanda
|
10
|
5.32
|
8
|
Hong Kong
|
11
|
5.22
|
11
|
Taiwan, China
|
12
|
5.20
|
17
|
United Kingdom
|
13
|
5.19
|
12
|
Norway
|
14
|
5.17
|
15
|
Australia
|
15
|
5.15
|
18
|
Perancis
|
16
|
5.13
|
16
|
Austria
|
17
|
5.13
|
14
|
Belgium
|
18
|
5.09
|
19
|
Korea Selatan
|
19
|
5.00
|
13
|
New Zealand
|
20
|
4.98
|
24
|
Luxembourg
|
21
|
4.96
|
25
|
Qatar
|
22
|
4.95
|
26
|
Amiriah Arab
Bersatu
|
23
|
4.92
|
31
|
Malaysia
|
24
|
4.87
|
21
|
Ireland
|
25
|
4.84
|
22
|
Iceland
|
26
|
4.80
|
20
|
Israel
|
27
|
4.80
|
23
|
Arab Saudi
|
28
|
4.75
|
27
|
China
|
29
|
4.74
|
30
|
Chile
|
30
|
4.70
|
28
|
Sumber: The Global Competitiveness Report
2009-2010.
Jadual 2: Aliran FDI negara BRIC dan beberapa negara terpilih
Asia mengikut suku tahun (juta dolar)
Aliran masuk FDI
|
Aliran keluar FDI
|
|||||||||
Negara
|
2008:
S1
|
2008:S2
|
2008:
S3
|
2008:
S4
|
2009:
S1
|
2008:
S1
|
2008:
S2
|
2008:
S3
|
2008:
S4
|
2009:
S1
|
Brazil
|
8 799
|
7 910
|
14 145
|
14 203
|
5 342
|
4 453
|
4 125
|
6 829
|
5 050
|
- 392
|
Kemboja
|
224
|
272
|
186
|
133
|
87
|
6
|
6
|
6
|
6
|
-
|
China
|
27 414
|
24 974
|
21 986
|
18 022
|
21 777
|
..
|
..
|
..
|
..
|
..
|
Hong
Kong
|
19 588
|
14 806
|
11 097
|
17 513
|
11 792
|
12 381
|
25 084
|
6 938
|
15 518
|
4 558
|
India
|
14 197
|
11 891
|
8 782
|
6 684
|
6 256
|
..
|
..
|
..
|
..
|
..
|
Indonesia
|
1 460
|
2 040
|
1 921
|
2 498
|
3 511
|
1 730
|
1 436
|
1 517
|
1 217
|
814
|
Korea
Selatan
|
- 674
|
- 212
|
1 633
|
1 454
|
- 63
|
4 116
|
2 702
|
3 916
|
2 061
|
1 132
|
Laos
|
72
|
37
|
55
|
64
|
58
|
..
|
..
|
..
|
..
|
..
|
Malaysia
|
1 045
|
5 342
|
256
|
1 410
|
828
|
1 973
|
4 448
|
5 774
|
1 864
|
- 130
|
Pakistan
|
983
|
2 104
|
1 117
|
1 234
|
691
|
5
|
36
|
5
|
- 11
|
- 6
|
Filipina
|
266
|
434
|
555
|
265
|
44
|
- 6
|
77
|
102
|
64
|
52
|
Rusia
|
20 537
|
22 679
|
16 799
|
10 305
|
9 993
|
15 818
|
16 342
|
11 174
|
9 056
|
12 892
|
Singapura
|
8 268
|
3 649
|
3 561
|
7 246
|
3 220
|
2 656
|
751
|
4 012
|
1 509
|
1 478
|
Taiwan
|
597
|
1 107
|
989
|
2 739
|
263
|
3 165
|
2 623
|
2 174
|
2 331
|
980
|
Thailand
|
2 959
|
2 230
|
2 545
|
2 357
|
2 324
|
541
|
1 215
|
186
|
893
|
573
|
Sumber: World Investment Report 2009:
Transnational Corporations, Agricultural Production and Development.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi April 2010, kecuali rajah tidak dapat diterbitkan.)
No comments:
Post a Comment