Artikel Popular

Monday, April 16, 2012

Kota untuk Orang Kaya-raya

ISNIN, 16 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kota lazimnya menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat: kaya, miskin, tua, muda, lelaki, wanita. Di tengah-tengah bangunan pencakar langit, kelihatan kawasan setinggan, kawasan sesak, kawasan melarat. Tidak kurang juga warga asing atau pendatang yang kadangkala mengaburi kehadiran warga tempatan.

Sejak beberapa minggu yang lalu, kita dimaklumkan oleh pelbagai laporan tentang negara dan kota.  Yang terbaharu laporan tentang kota yang menjadi pilihan dan tumpuan orang yang kaya-raya untuk mereka diami. Richard Florida mengulas perkara ini dalam The Atlantic Cities memetik  The Wealth Report 2012,  yang diterbitkan oleh firma hartanah Knight Frank dan Citi Private Bank.

London, Hong Kong, dan New York, menduduki tiga kota teratas untuk orang kaya-raya (the ultra-rich).  Turut tersenarai dalam 10 lokasi yang kini  diutamakan   oleh orang kaya-raya, ialah Paris, Singapura, Miami, Geneva, Shanghai, Beijing, dan Berlin.


Laporan tersebut berasaskan data terperinci tentang bilangan, agihan, lokasi yang diutamakan nilai bersih tinggi individu (ditakrifkan isi rumah dengan lebih AS$100 juta dalam aset.)


Kini, wujud 63,000 isi rumah di seluruh dunia dengan AS$100 juta atau lebih aset, meningkat 29 peratus sejak tahun 2006 dan diunjurkan meningkat, bahkan lebih tinggi pada masa depan.


Laporan berkenaan juga meminta para responden meramalkan kota paling penting dalam masa 10 tahun, iaitu pada tahun 2022:  London, New York, Beijing, Shanghai, Singapura, Hong Kong, Paris, Sao Paulo, Geneva, dan Berlin.  Untuk Asia-Pasifik, jelas bahawa dikuasai oleh "kota naga." Dalam senarai itu Beijing dan Shanghai meningkat, menggantikan Paris yang jatuh dari tangga keempat ke tangga ketujuh, manakala Miami terkeluar sama sekali.  Sao Paulo turut tersenarai menduduki tempat kelapan. 


Menurut laporan tersebut, orang kaya-raya lebih menilai kota yang menawarkan "jaminan dan keselamatan peribadi," disusuli oleh "keterbukaan ekonomi dan "kestabilan sosial" dengan "perumahan mewah" dan "peluang pendidikan yang hebat."


Dalam ulasan beliau itu, Richard Florida memetik Chrystia Freeland yang membahaskan kebangkitan elit global baru yang sedikit banyak ada kaitannya dengan orang kaya-raya yang mendiami kota pilihan mereka.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...