Artikel Popular

Tuesday, April 9, 2013

Orang Kaya-raya Sembunyi Kekayaan di Luar Pesisir

SELASA, 9 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Rahsia orang kaya-raya di seluruh dunia menyembunyikan kekayaan mereka akhirnya terbongkar, seperti yang didedahkan oleh The Guardian dan The Huffingfton Post. Berjuta-juta rekod dalaman bocor daripada industri kewangan luar pesisir Britain, mendedahkan kali pertama identiti beribu-ribu orang pemegang kekayaan tanpa nama dari seluruh dunia, daripada presiden kepada plutokrat, anak perempuan diktator terkenal dan hartawan British dituduh menggelapkan aset daripada bekas isteri.

Kebocoran dua juta e-mel dan dokumen lain, terutamanya dari tempat berlindung luar pesisir Kepulauan British Virgin, mempunyai potensi untuk mencetuskan kejutan gelombang seismik seluruh dunia terhadap perdagangan luar pesisir yang melambung. 

Rekod rahsia itu diperoleh oleh International Consortium of Investigative Journalists, (ICIJ), mendedahkan antaranya doktor, doktor gigi Amerika dan penduduk kampung kelas menengah Greece, di samping keluarga dan sekutu pemerintah kuku besi yang lama berkuasa, penipu Wall Street, hartawan Eropah Timur dan Indonesia, eksekutif korporat Rusia, pengedar senjata api antarabangsa.

Britain, menurut James Ball, negara utama dalam skandal luar pesisir.

Nota:  ICIJ akan mendedahkan ahli politik Malaysia yang memiliki syarikat luar pesisir.



Monday, April 8, 2013

Hukum Rimba dan Wibawa Negara

ISNIN,  8 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Akhbar Kompas yang sempat saya baca ketika menginap di Hotel  Grand Pacific,  Bandung minggu lalu, sungguh menarik perhatian saya, dan pernah saya poskan dalam status Facebook.  

Dalam keluaran 2 April, akhbar itu muncul pada halaman depan dengan, "Hukum Rimba Membahayakan" sambil "membangkitkan kepercayaan kepada negara makin menipis."    Kekerasan yang marak di sejumlah daerah belakangan ini menunjukkan kepercayaan kepada hukum, kepemimpinan, dan pemerintah semakin hilang,   menurut Kompas.  Situasi ini mirip hukum rimba yang dianggap membayakan.  Agar tidak semakin memburuk, kondisi ini harus segera diatasi.

Mantan Ketua Umum Pengurus Pusat Muhammadiyah, Ahmad Syafii Maarif, yang dipetik oleh akhbar tersebut, berkata, "Semua kekerasan itu mencerminkan kepercayaan masyarakat kepada negara kian menipis.  Hal itu terjadi akibat lemahnya keteladanan oleh pemimpin nasional. Sebahagian elit politik, dari tingkat pusat sampai kepala daerah, justeru bermasalah, terlibat kasus kriminal atau tersangkut korupsi." 

Ketidaksamaan pendapatan yang melanda  banyak negara, termasuk Amerika Syarikat, turut dibangkitkan oleh Kompas, "Aparat penegak hukum juga tidak berwibawa kerana justeru menciptakan ketidakadilan.  Pada saat bersamaan, kesenjangan sosial ekonomi masih tajam.  Walau pertumbuhan ekonomi disebut mencapai enam persen, hal itu tanpa pemerataan kepada masyarakat luas."

Dalam keluaran berikutnya, iaitu pada 3 April, Kompas  muncul dengan "Perkuat Otoritas Negara" sambil menggesa "pulihkan kepercayaan hukum." Hukum rimba yang marak di masyarakat, bahas akhbar itu, harus segera dicegah agar tidak memicu krisis lebih parah.  Pemimpin negeri ini bersama-sama wajib memperkuat otoritas negara dengan membenahi wibawa hukum.  Semua pihak harus terlibat memulihkan kepercayaan hukum. 

"Semua pihak harus mengambil pelajaran dari kondisi kehidupan bermasyarakat, berbangsa, dan bernegara saat ini.  Apa yang terjadi saat ini merupakan produk dari interaksi di antara banyak faktor yang terdapat di tingkat negara, bangsa, dan masyarakat."  Dengan demikian, tambah akhbar itu lagi, perbaikan atas kondisi ini pun harus melibatkan semua pihak sambil memetik Daniel Sparringa, Staf Khusus Presiden Bidang Komunikasi Politik yang berkata, "Evaluasi kritis dan koreksi total harus segera dilakukan.  Semua orang harus terlibat dalam gerakan nasional untuk pemulihan mandat, integrasi sosial, dan ketertiban umum."


Sunday, April 7, 2013

Eropah Terus Mencari Penyelamat

AHAD, 7 April  2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Krisis zon euro yang berterusan tiga tahun setengah, iaitu bermula pada Oktober 2009, memburu mangsa terbaharunya, kali ini Cyprus. Sementera negara kaya, iaitu Luxembourg, dijangkakan termasuk dalam senarai.

Sejak itu, Eropah tidak henti-henti mencari penyelamat daripada Canselor Jerman, Angela Merkel kepada Perdana Menteri Italy, Mario Monti, yang akhirnya terpaksa berundur, dan kepada Mario Draghi, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB). Namun, Eropah terus terjebak dalam krisis yang teruk, dan dengan itu, pencarian penyelamat belum berakhir.

Dalam keluaran 8 April, Time muncul dengan kulit depan "Can This Woman Save Europe?" persoalan yang ditujukan kepada Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde.  Dalam rencana utama yang ditulis oleh Vivienne Walt (hanya pelanggan majalah ini dapat akses), Lagarde dikatakan menghadapi tugas sukar untuk mencegah bank daripada memusnahkan ekonomi dunia.  


Saturday, April 6, 2013

Tunisia: Dari Revolusi Melati ke Protes Separuh Bogel

SABTU, 6 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tunisia tempat tercetusnya Revolusi Melati yang seterusnya mencetuskan Pemberontakan  Arab, yang menyaksikan seorang demi seorang rejim tumbang, bahkan dijangkakan menjalar ke beberapa buah negara lain di dunia, kini menjadi tumpuan semula.  Namun, tumpuan kali ini bukan terhadap revolusi yang pernah diberikan harapan yang tinggi untuk menyuburkan demokrasi di dunia Arab, tetapi kerana muncul gerakan baru yang dikenali protes separuh bogel, femen.

Terpengaruh dengan gerakan yang berasal dari Ukraine itu, Amina, gadis Tunisia yang berusia 19 tahun, mengeposkan foto separuh bogel dirinya pada laman Web Femen yang dia wujudkan untuk kumpulan di negaranya beberapa minggu lalu. Akibat perbuatannya itu, Amina, menurut Jeffrey Tayler,  dimasukkan dihantar ke hospital psikatrik.  Dia juga dilaporkan diancam hukuman mati, iaitu direjam dengan batu.

Walau bagaimanapun, Amina tidak keseorangan kerana dia mendapat sokongan kumpulan feminis Ukraine yang melancarkan protes di seluruh Eropah, yang mereka sebut "jihad separuh bogel."  Protes itu mencetuskan kontroversi bukan kerana separuh bogel, tetapi kerana menggunakan perkataan "jihad," dilaporkan, mengisytiharkan 4 April sebagai Hari Jihad Separuh Bogel Antarabangsa, dan penunjuk perasaan itu merancang untuk melarahkan pakaian mereka di Paris.



Friday, April 5, 2013

Keterhakisan Negara Sekular

JUMAAT, 5 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



“A Bastion of Religion Sees Rise in Secularism,” demikian tajuk akhbar The New York Times dalam keluaran 12 Disember lalu  sambil mempamerkan gambar foto patung Jesus, salah satu yang tertinggi di dunia, berdiri di Swiebodzin,  pekan kecil bahagian barat Poland,  sebagai usaha komuniti untuk mengekang kebangkitan gelombang sekularisme.
Sesungguhnya,  penentangan demi penentangan  terhadap sekularisme merupakan sesuatu yang  mudah untuk diperhatikan.  Di Israel misalnya, impian sekular Zionis dengan  para penyokongnya, daripada Theodor Herzl kepada David Ben-Gurion, adalah pada asasnya demokratik, kini diancam dengan serius oleh gerakan peneroka agama, orang Yahudi Ortodoks yang versi teologi Zionisme berbeza sama sekali, iaitu  menamatkan Israel sebagai negara sekular Zionis. Majalah  Newsweek  baru-baru ini mendedahkan    transformasi  secara besar-besaran dalam tentera Israel, iaitu orang Yahudi yang sangat berpegang kuat pada agama kini memenuhi jawatan kepimpinan dengan bilangan yang melebihi bahagian mereka daripada jumlah penduduk umum.  Dalam  makalah “Onward, Jewish Soldiers”  tulis  Dan Ephron,  “kebangkitan dalam tentera  knitted skullcaps adalah mengubah tentera Israel dan ini membimbangkan teman senegara sekular mereka.”
Sementara di India, keputusan  Mahkamah Tinggi Allahabad pada awal Oktober lalu tentang masjid Babri adalah   memberikan kemenangan kepada nasionalis Hindu dalam usaha mereka untuk menyusun semula identiti India dalam pengertian Hindu.  Demikian tulis  Kapil Komireddi  dalam guardian.co.uk,  “tamparan terhadap sekularisme India.”  Beliau menambah,   yang lebih mendukacitakan,   bagaimanapun, ialah mudahnya golongan sekular India menerima keputusan itu.  Keputusan Mahkamah Tinggi itu mungkin boleh diterbalikkan oleh Mahkamah Agung, tetapi sesuatu yang teruk telah berlaku:  India menjadi serupa dengan Pakistan.
Di dunia Kristian,      Pope Benedict  XVI yang   sentiasa berusaha  untuk menentang tanggapan lunturnya kepercayaan agama di Eropah dan beliau  menggembleng perjuangan baru menentang sekularisme. Dalam rangka lawatannya ke beberapa buah negara pada tahun lalu, beliau mempunyi misi yang jelas: menyerang sekularisme.  Semasa melawat Britain,  Pope Benedict XVI memberikan amaran terhadap “bentuk agresif sekularisme,” walaupun “beliau melihat sendiri bagaimana kukuhnya legasi Kristian dan masih aktif di setiap peringkat kehidupan sosial.”  Seterusnya,  ketika melawat Sepanyol, beliau mencuba menghimpunkan para penyokong setia untuk  menghentam  “sekularisme yang  agresif.”  Pada tahun  sebelumnya,  beliau melawat Republik Czech dengan membawa keazaman untuk memerangi kuasa sekularisme.
Yang jelas,  Pope Benedict XVI  tidak keseorangan, sebaliknya beliau  mempunyai pengikutnya dalam kalangan pemimpin untuk  menentang sekularisme.  Ketika  melawat Rumah Putih pada April 2008, Pope   dilaporkan “memuji Amerika Syarikat, tetapi memberikan amaran tentang cabaran sekularisme.  Sebarang kecenderungan untuk menganggap agama sebagai soal peribadi mesti ditentang.”   George W. Bush, Presiden Amerika ketika  itu,  memuji  Pope   kerana amanatnya menolak sekularisme.  Beliau  meniru bahasa tipikal Benedict XVI yang berkata, “kita mesti menolak kediktatoran relativisme ini.” 
Di mana-mana sahaja  sekularisme  sedang diserang.  “Di  Indonesia dan Malaysia,” tulis Ayaan Hirsi Ali dalam The Wall Street Journal, “gerakan Islam menuntut peluasan undang-undang Syariah.”  Sementara di Turki, bahas beliau, “walaupun masih wujud golongan sekular yang menghormati legasi Mustafa Kemal Atartuk, tetapi golongan ini tidak menduduki kementerian kerajaan yang penting, dan penguasaan mereka terhadap tentera adalah longgar.”  Sungguhpun kelihatan tidak bijak untuk memetik bekas anggota Parlimen Belanda yang meninggalkan agamanya, tetapi begitulah tanggapan beliau terhadap dunia Islam: penolakan terhadap sekularisme.   
Sebelum ini beliau pernah berkata bahawa “orang Muslim mesti memilih antara Islam dengan Barat sekular,” tetapi suaranya itu boleh dikatakan   tidak  diendahkan  di dunia Islam.  Demikian juga seruan Tariq Ramadan agar ada tolak ansur antara Islam dengan sekularisme, nampaknya  menerima nasib yang sama.
Dalam keluaran November 2007,   The Economist  memberikan liputan yang luas dan mendalam tentang  agama yang  akan menggoncangkan politik di mana-mana sahaja pada abad ini;  agama   akan melakukannya sekurang-kurangnya apabila agama dipisahkan daripada negara.  Makalah   “The New Wars of Religion”  berkata bahawa dahulu, pada abad ke-20,  kebanyakan ahli politik dan intelektual Barat (dan bahkan sesetengah paderi) menganggap agama menjadi terpinggir dalam kehidupan awam; kepercayaan agama kebanyakannya dianggap tidak relevan dalam dasar luar.  Sebaliknya, pada abad ke-21, agama memainkan peranan yang penting.  “Dari Nigeria ke Sri Lanka, dari Chechnya ke Baghdad, orang dibunuh atas nama Tuhan; dan wang dan sukarelawan membanjiri wilayah ini.”
Tambah makalah itu lagi, “Segala-galanya tidak berkakhir di sini.  Di luar Eropah Barat, agama memaksa diri sendiri secara dramatik menerobos ke dalam dataran awam.  Pada tahun 1960, John Kennedy merayu kepada orang Amerika supaya menganggap agama Katolik beliau tidak relevan; kini lahir semula Kristian menduduki Rumah Putih.  Parti Islam memerintah Turki yang pernah dianggap negara sekular; nasionalis Hindu mungkin berkuasa semula dalam pilihan raya akan datang di India; sekarang, lebih banyak kanak-kanak di Israel dan Palestin menghadiri sekolah agama yang memberitahu mereka bahawa Tuhan menganugerahi mereka seluruh Tanah Suci itu.”   Makalah berkenaan  mengakui kuasa baru ini   adalah berpunca daripada  kegagalan fahaman sekular, “kepulangan semula politik agama bermula pada tahun 1970-an apabila kepercayaan terhadap kerajaan di mana-mana sahaja pecah berderai.”
Sebagaimana  spesies haiwan dan tumbuhan, negara sekular  mengalami nasib yang sama: kepupusan.  Dalam hubungan ini,  Samuel Huntington yang berminat memberikan tumpuan terhadap isu besar dunia moden dan selalu berminat dalam menerapkan kerapian intelektual untuk hal-hal kehidupan sebenar, sempat  memberikan pemerhatian  terhadap keterhakisan negara sekular. Dalam bukunya, Who Are We?:  The Challenges to America’s National Identity, beliau  menulis,   dalam suku abad terakhir abad ke-20, kemaraan ke arah sekularisme adalah terbalik.  “Kebanyakan kebangkitan global agama terus  menerobos, kelihatan  di kebanyakan tempat di dunia, kecuali Eropah Barat. Di mana-mana sahaja negara di dunia ini, gerakan politik agama semakin memperoleh penyokong.”
Bagi mendiang Huntington, abad ke-21 ialah permulaan sebagai zaman agama.  Model negara sekular Barat dicabar dan digantikan.  Di Iran, usaha Syah untuk mewujudkan negara sekular moden Barat menjadi mangsa Revolusi Iran.  Pembinaan negara bangsa  sekular Lenin di Rusia, Atartuk di Turki, Nehru di India, dan Ben-Gurion di Israel,  akhirnya terpaksa tunduk kepada politik atau gerakan agama.  Sementara di Mesir, nasionalisme lama era Nasser kini dicabar dan digugat oleh arus politik Islam yang cukup kuat.  Huntington cuba menarik perhatian bahawa “apabila pilihan raya diadakan di dunia Arab, parti-parti politik Islam secara konsisten meningkatkan kekuatan mereka sejak bermula abad baru ini.  Di seluruh dunia, para pemimpin  berusaha untuk bentuk baru orde nasional berasaskan nilai agama.” 
Apabila Huntington  berkata,  “Amerika Syarikat tidak keseorangan dalam memenuhi dataran awamnya yang terbuka itu,” maksudnya memang jelas, iaitu banyak negara  berlumba-lumba meninggalkan sekularisme dan berubah menjadi negara agama.  Misalnya,  kini,   Amerika didakwa sebagai   “negara Kristian.”  Pada era Pentadbiran  Bush, golongan penguasa Kristian (Christian dominionalists)  percaya bahawa jenis orang Kristian mereka sahaja sepatutnya mempunyai hak politik sepenuhnya. Sementara  Anggota Perwakilan Republikan, Ron Paul dari Texas, pada tahun 2003 pernah menulis dalam eseinya:  “Anggapan pengasingan yang ketat antara gereja dengan negara tidak mempunyai asas, sama ada dalam teks Perlembagaan ataupun penulisan Bapa Pengasas kita.”
Dalam kempen  tahun 2004, menurut pemerhatian, sekularisme menjadi kata yang jijik.    Demokrat, terutamanya Howard Dean, diberikan amaran bahawa mereka tidak mempunyai peluang untuk menang Pilihan Raya Presiden, kecuali mereka menerima pakai kedudukan  “me-toosim” agama dalam usaha untuk meyakinkan para pengundi bahawa politik berasaskan nilai sebagaimana  suci  yang didakwa Presiden Bush. 
Kini, sememangnya   tidak sukar  untuk melihat  bagaimana   Amerika Syarikat mengisi dataran awam yang terbuka:  Tinjauan pendapat apakah agama Presiden Barack Obama? Kristian atau Islam?;  tentangan  terhadap rancangan pembinaan masjid  dan pusat Islam berhampiran Ground Zero; ancaman pembakaran al-Qur’an oleh Pastor Terry Jones sempena ulang tahun kesembilan 11 September;  perisytiharan   oleh Albert Mohler, Presiden  Southern Baptist Seminary bahawa yoga bercanggah dengan  Kristian;  dan kenyataan yang lebih keras oleh  Mark Driscoll, Pastor gereja mega daripada  Mars Hill Church pada awal tahun lalu bahawa yoga ialah “fahaman jahiliah (paganisme)  mutlak.”    
Ketika   Pilihan Raya Separuh Penggal 2010,   isu agama turut diketengahkan: daripada kepercayaan agama calon  kepada pengasingan gereja dan negara. “Agama tampil ke hadapan di Kentucky” demikian liputan berita dalam pertandingan yang sengit untuk kerusi Senat apabila   Jack Conway daripada Demokrat mempersoalkan kepercayaan  agama Rand Paul, calon Republikan, semasa beliau menuntut di universiti.   Dalam pilihan raya itu juga,  pengasingan gereja dan negara digembar-gemburkan sebagai isu kempen.  Komen Ken Buck calon Senat  Colorado  daripada Republikan pada tahun 2009 ditayangkan semula:  “Saya amat tidak bersetuju dengan konsep pengasingan gereja dan negara. Perkara ini tidak ditulis dalam Perlembagaan.”  Calon Republikan, Sharron Angle  untuk Senat Devada serta  Dan Severson, calon Republikan untuk Setiausaha Negeri Missouri melengkapkan  diri mereka dalam senarai ahli politik yang menolak sekeras-kerasnya  pengasingan gereja dan negara di  negara Kristian itu. Calon Republikan untuk Dewan Perwakilan, Glen Urquhart (Delaware), bukan sahaja  mempersoalkan pengasingan gereja dan negara, bahkan beliau pergi lebih jauh  dengan mengatakan bahawa “Adolf Hitler yang memperkenalkan konsep  pengasingan gereja dan negara.”
Kejahilan agama di Amerika, seperti yang diperhatikan, adalah sebagai ancaman terhadap hak kebebasan awam.  Sebilangan rakyat  negara itu,     menggalakkan permusuhan yang tidak wajar terhadap kerajaan sekular, berdasarkan andaian yang silap tentang permusuhan kerajaan sekular itu terhadap agama.  Maka, tidak hairan terlalu banyak orang menganggap pengasingan gereja dan negara sebagai beban terhadap penyataan agama, bukan menganggapnya instrumen kebebasan agama.
Balik ke negara kita,  Malaysia,  perisytiharan sebagai negara Islam dibuat oleh    Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad,   sempena Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Parti Gerakan Malaysia pada 29 September 2001.  Tun Mahathir yang terkenal dengan keberanian politik  dipetik sebagai berkata, “UMNO berhasrat menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia ialah negara Islam.  Ini berasaskan pandangan ulama yang menjelaskan bahawa apakah yang dibentuk sebagai negara Islam.  Jika Malaysia bukannya negara Islam kerana negara ini tidak melaksanakan hudud, maka tidak ada negara Islam di dunia.”
Kemudian,   pada Julai 2007,   Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak,  Timbalan Perdana Menteri ketika itu,  turut  mengisytiharkan bahawa Malaysia bukan negara sekular, tetapi negara Islam dengan tafsirannya sendiri.  Beliau menegaskan bahawa negara ini tidak pernah dikaitkan dengan sekularisme, tetapi selalu dipacu oleh asas-asas Islam sebagaimana dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan bahawa Islam ialah agama rasmi.
Sebagai respons terhadap Dr.  Mahathir itu, meskipun mengambil masa yang agak lama,  peguam Tommy Thomas yang membentangkan kertas kerja   “Is Malaysian an Islamic State” sempena Persidangan Undang-undang Malaysia ke-13,  mengemukakan pandangan yang cukup mendalam dari segi perundangan,  politik, dan sejarah.  Akhirnya, beliau menyimpulkan bahawa Malaysia bukannya negara Islam:  Untuk tempoh 44 tahun hingga September 2001, tiada seorang pun yang menyatakan bahawa Malaysia ialah negara Islam; Perdana Menteri Dr. Mahathir, dengan itu, orang pertama secara mengisytiharkan di hadapan khalayak ramai bahawa Malaysia ialah negara Islam; kenyataan Dr. Mahathir pada 29 September 2001 tidak berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang; kenyataan beliau itu dibuat semata-mata untuk tujuan politik.  
Menggunakan Perlembagaan Persekutuan sebagai hujah bahawa Malaysia negara sekular, sesungguhnya ialah  “pertahanan yang tidak dapat dipertahankan.”  Bahkan, sesiapa yang mengatakan Malaysia negara sekular, orang itu hanya “berbohong pada diri sendiri” – memetik  Dr. Aziz Bari.  Dalam wawancara dengan   Mingguan Malaysia,  beliau  menegaskan bahawa Malaysia bukannya negara sekular.  Dengan merujuk kepada penghakiman silap bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang selalu dipetik oleh peguam dan ahli politik, Karpal Singh dalam menafikan bahawa Malaysia negara Islam, Aziz berkata, “Kalau ada yang tidak setuju bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan mendakwa negara ini sebagai sekular ia umpama membohongi diri sendiri. Jika dilihat secara jelas Perlembagaan dalam Perkara 3(1) sudah tercatat, agama bagi Persekutuan adalah Islam.”  
Tentang penegasan Aziz Bari  bahawa  sesiapa yang menafikan Malaysia ialah negara Islam adalah berbohong pada diri sendiri,  elok  ditambah  di sini: Pertama,   “berbohong pada diri sendiri tidaklah seteruk  berbohong kepada orang ramai.”  Kedua, golongan ini masih berkeliaran seperti yang dilihat terhadap komen individu tertentu tentang penghakiman    Mahkamah Persekutuan yang melibatkan bekas pasangan Shamala Sathiyaseelan dan Dr. Jeyaganesh Mogarajah yang memeluk Islam.   Kononnya, “mahkamah kehilangan jejak  hakikat bahawa ini ialah negara sekular dan bahawa warganegara mempunyai hak, seperti yang dalam Perlembagaan sekular kita.” 
Pada hakikatnya, pertarungan antara  agama  dengan sekularisme semakin sengit, manakala pemisahan antara agama (atau gereja mengikut pengertian Barat) dengan negara kian dinafikan dan  semakin kabur.   Di  banyak tempat,   menyaksikan  kemaraan agama  sehingga menjadikan  peta dunia negara sekular semakin terhakis. Hanya yang tidak dapat dipastikan ialah dalam jangka panjang, siapakah  yang akan menang. Pendukung  sekularisme mendakwa bahawa sekularisme akan mencipta kemenangan kerana hakikatnya, sekularisme sukar ditundukkan kerana  apabila masyarakat menjadi semakin moden,  agama akan hilang inspirasinya.  Namun begitu, bagaimana jika   modenisme pudar serinya yang bermakna sekularisme hilang tempat berteduh.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Mac 2011.)

Thursday, April 4, 2013

Beban Sebuah Hegemoni

KHAMIS, 4  April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Wednesday, April 3, 2013

Kilauan Emas

RABU, 3 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tatkala pemulihan masih lemah, pertumbuhan  lembap, di tengah-tengah kesengitan perang mata wang, dan para penggubal dasar terpaksa membuat pilihan yang sukar, iaitu   antara jimat cermat  dengan  rangsangan, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, mencetuskan satu lagi pertarungan idea.   Zoellick yang menulis    dalam Financial Times awal November lalu  mencadangkan supaya ekonomi dunia sepatutnya mempertimbangkan untuk menerima pakai semula standard emas global yang diubah suai untuk membimbing pergerakan mata wang. Beliau mencadangkan pengganti diperlukan,  yang beliau sebut Bretton Woods II, iaitu sistem mata wang terapung yang diamalkan sejak Bretton Woods menetapkan rejim pertukaran tetap runtuh pada tahun 1971.  Sistem itu perlu melibatkan dolar, euro, yen, paun sterling, dan renminbi yang bergerak ke arah pengantarabangsaan dan kemudian akaun modal terbuka.  Tambah beliau, sistem yang dicadangkan itu sepatutnya juga mempertimbangkan penggunaan emas sebagai titik rujukan antarabangsa tentang  jangkaan pasaran tentang inflasi, deflasi, dan nilai mata wang masa hadapan.  Meskipun buku teks mungkin berpandangan  emas sebagai wang lama, tegas beliau, pasaran menggunakan emas sebagai aset monetari alternatif pada masa sekarang.
Melihat saiz pasaran emas itu sahaja, untuk pulang kepada standard emas, seperti yang dicadangkan oleh Robert Zoellick, jawapannya adalah tidak.  Emas merupakan logam yang berharga oleh kebaikan penawarannya yang terbatas, dan penawaran emas tahunan tidak dapat bergerak serentak dengan mana-mana peningkatan dalam penawaran wang, khususnya apabila Bank Pusat  menggunakan quantitative easing (aka mencetak wang) untuk mengepam ekonomi mereka dengan wang tunai.  Tidak seperti Bank Dunia, seperti yang pernah dihujahkan, banyak orang tidak percaya bahawa standard emas akan pulang kerana tidak cukup penawaran emas di dunia untuk membolehkan logam itu memainkan peranannya. Mana-mana mata wang rizab memerlukan penawaran yang boleh tumbuh sepesat perdagangan global. Penawaran emas jelas sekali kekurangan keperluan asas ini. 
Pada harga AS$1300 seauns, semua emas di dunia, iaitu semua barang kemas, duit syiling, jongkong, molar, dan seni gereja, nilainya dianggarkan AS$6.5 trilion.  Namun, oleh sebab  sejumlah besar emas global  tidak diniagakan secara bebas, maka hanya lima peratus semua  emas fizikal biasanya  diniagakan setiap tahun.  Ini menjadikan pelaburan dalam pasaran emas kira-kira AS$320 bilion.
Hans Redeker, ketua global strategi pertukaran asing di BNP Paribas dipetik sebagai  berkata bahawa penawaran wang akan bergantung pada amaun emas yang seseorang pegang.  Justeru, pertambahan dalam penawaran wang tidak ada kena-mengena dengan keadaan ekonomi.  Orang ramai memang terdesak mencari jalan untuk menahan gelombang kecairan (daripada monetary easing Amerika Syarikat), tetapi untuk membawa balik standard emas memang tidak realistik. Tambah beliau:  “Mencampakkan emas ke dalam campuran mata wang global tidak membantu menahan kecairan berlebihan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat, yang akan memarakkan inflasi, khususnya di China dan Asia yang sedang muncul.
Standard emas semata-mata, menurut banyak penganalisis,  tidak berfungsi kerana mata wang rizab perlu mampu tumbuh,  dan penawaran  emas yang ketat di peringkat global menghalang pertumbuhannya. Pulang   “ke hari-hari lama yang indah” bukan sahaja  sukar diterima akal, bahkan juga tidak dapat dipercayai, dan pada hakikatnya, langkah tersebut memastikan dunia dengan pantas terhumban ke zaman gelap ekonomi.  Standard emas yang ketat akan mengekang amaun cetakan wang dan manipulasi mata wang  -  aktiviti yang sekarang ini mencetuskan kemarahan di seluruh dunia, tetapi juga boleh melucutkan keupayaan negara untuk permulaan lompatan (jump-start) pertumbuhan. 
Golongan  yang tidak bersetuju berhujah bahawa mana-mana cadangan untuk menghidupkan semula standard emas mengabaikan pengajaran sebenar sejarah ekonomi.  Bagi mereka, standard emas menghangatkan lagi tekanan perlindungan tahun 1930-an.  Dengan menjadikan pelarasan kadar pertukaran lebih sukar,  standard emas menghalang respons dasar monetari terhadap kemerosotan.  Keadaan ini memaksa negara untuk mengambil langkah perlindungan, termasuk tarif yang tinggi, kuota import, dan kawalan pertukaran.  Langkah tersebut membantu memusnahkan  perdagangan dunia ketika dekad yang menggerunkan itu. 
Satu lagi sejarah ekonomi yang dijadikan hujah ialah pincang tugas standard emas berkait rapat dengan Kemelesetan Besar 1930-an.  Negara yang tidak mempunyai standard emas berjaya mengelakkan daripada Kemelesetan itu, manakala negara yang mempunyai standard emas tidak pulih daripada Kemelesetan hinggalah negara berkenaan meninggalkannya, seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat pada awal 1933.  Meninggalkan standard emas, dan dengan itu, negara berkenaan dapat membebaskan diri mereka upah dan deflasi harga yang terus kekal pada standard emas yang diperlukan.  Dijangkakan masalah yang sama yang dilakukan oleh standard emas, seperti malapetaka pada 1930-an, pastinya berulang sekarang.  Standard emas tidak menjadikan dasar fiskal negara yang ada lebih mampan, tidak mencegah harga relatif emas daripada berubah secara drastik, dan tidak menjadikannya sama sekali lebih mudah untuk para pekerja menyerap potongan gaj nominal yang signifikan.  Selain itu, dibahaskan bahawa pengalaman sejarah dengan standard emas menunjukkan kedua-duanya, iaitu inflasi dan deflasi terus berlaku kerana kelainan dalam penawaran dan permintaan untuk emas akan mengubah harga emas jika dibandingkan dengan komoditi lain.
Dari segi kebenaran,  standard emas telah pun menjadi peninggalan yang kejam.   Tulis John Maynard Keynes  pada  tahun 1923 dalam  Essay in Persuasion yang merupakan himpunan esei, antaranya  lebih 100 halaman untuk  bahagian pulang kepada standard emas.     “Oleh sebab saya menganggap kestabilan harga, kredit, dan pengangguran adalah kepentingan paling utama, dan oleh sebab saya berasa tidak yakin bahawa standard emas yang ketinggalan zaman akan bahkan memberi kita sedikit kestabilan yang standard emas  itu patut beri, saya menolak dasar memulihkan standard emas pada kesetaraan atau pariti  praperang.”  Apabila pada 21 September 1931, standard emas di Great Britain digantung, Keynes meraikannya dengan berkata hanya sebilangan orang Inggeris yang tidak berasa gembira dengan putusnya belenggu emas.  Sambil mengisytiharkan berakhirnya standard emas, beliau berkata, “kita rasa bahawa kita akhirnya bebas untuk melakukan apakah  yang wajar.  Fasa romantik berakhir, dan kita boleh mula membincangkan secara realistik, apakah dasar untuk kebaikan.  Keynes  yang tidak dapat menyembunyikan keriangannya, menambah:   “Saya percaya bahawa peristiwa besar minggu lalu membuka babak baru dalam sejarah monetari dunia.  Saya menaruh harapan bahawa peristiwa itu boleh meruntuhkan halangan yang dilihat tidak dapat dilalui.”
Tidak lama kemudian, walau bagaimanapun, Robert Zoellick dilaporkan berkata bahawa beliau tidak menyokong  pulang  kepada standard emas untuk kadar pertukaran, tetapi menjelaskan harga  logam itu ibarat “gajah di dalam bilik” yang para penggubal dasar perlu akui. Beliau tidak menyokong pulang ke abad ke-19 apabila penawaran wang dikaitkan dengan emas. Penjelasan ini pasti memeranjatkan kerana dikatakan bahawa mana-mana ahli ekonomi yang tahu bahawa beliau bercakap tentang keinginan untuk melihat pulang kepada standard  emas, dan oleh itu, mengawal penawaran wang yang berleluasa oleh manusia jahat yang mempunyai pelbagai agenda dan motif.  
Meskipun  sesetengah  penganalisis  tidak bersetuju dan Zoellick memberikan penjelasan serta mengakui wujud salah faham, tetapi hal ini tidak mengubah  pendirian pihak lain supaya cadangan tersebut tidak ditolak dan menggesa supaya diadakan debat tentang pengenalan semula standard emas dalam beberapa bentuk.  Antara hujah,  bon mungkin merupakan perlindungan tradisional dalam pasaran yang bergelora, tetapi jangan lupa bahawa emas, perlindungan untuk nilai sejak zaman purba, yang benar-benar berkilau.  Sebagaimana bon, emas mendapat faedah daripada pelarian untuk keselamatan yang dicetuskan oleh krisis hutang Eropah. 
Emas  juga dipandang orang kerana ketakutan yang menjadi-jadi terhadap  defisit belanjawan di negara Eropah, termasuk    Amerika Syarikat dan dasar monetari yang longgar akan melemahkan nilai mata wang kertas sepanjang masa.  Orang ramai berasa kecewa terhadap mata wang kertas, dan dengan itu, mereka ingin memiliki sesuatu yang benar, dan sejak berabad-abad, emas terbukti benar.  Pulangan juga benar, seperti yang dapat dilihat pada dana bersama emas, termasuk syarikat perlombongan dan berjenis-jenis logam yang berharga, bergerak tinggi sebanyak 40 peratus.  Emas sendiri meningkat daripada AS$1,096.95 pada permulaan tahun kepada AS$1,420.78 seauns pada akhir tahun 2010.
Mata wang  sepatutnya mempunyai sokongan emas.  Jika seseorang memberikan wang kepada kerajaan, dia boleh mendapat emas (atau perak) sebagai pulangan.  Namun begitu, hanya baru-baru ini, kerajaan membuat keputusan meninggalkan emas dan sebaliknya mengeluarkan mata wang “fiat” menyebabkan idea untuk memegang emas kelihatan aneh, tetapi menarik.   Dave Kansas yang menulis dalam The Wall Street Journal  mengemukakan data bahawa United Kingdom menjual separuh rizab emas dari tahun 1999 hingga 2002.  Walau bagaimanapun, baru-baru ini, bahas beliau, Ketua Bank Dunia itu,  dengan nyaring tertanya-tanya kalau-kalau emas sepatutnya memainkan beberapa peranan dalam menyusun semula sistem kewangan global.  “Dengan mata wang yang terlalu turun naik, emas sebagai penyimpan  nilai dan penyokong wang kerajaan semakin perhatian jika dibandingkan dengan beberapa tahun lalu.”  
 Meskipun amat  meragui  jika Zoellick memikirkan untuk pulang kepada standard, tetapi Jeffrey Frankel, Profesor di Harvard University’s Kennedy School of Government, mengakui bahawa dunia bergerak jauh daripada sistem monetari yang dolar merupakan aset rizab antarabangsa yang paling dominan. Dalam ruangan “Room for Debate” The New York Times,  Frankel memerhatikan emas juga akan menyertai semula sistem monetari dunia.  “Emas dianggap sebagai anakronisme baru-baru ini sebagaimana  beberapa tahun lalu.  Bank-bank Pusat di dunia secara beransur-ansur menjual stok mereka, tetapi semua berubah pada 2009.  People’s Bank of China,  Reserve Bank of India, dan Bank-bank Pusat lain di Asia membeli emas, dan boleh difahami bahawa mereka ingin mempelbagaikan rizab mereka.  Jelas bahawa Bank-bank Pusat berhenti menjual emas, bahkan dalam kalangan negara maju dan bahawa rizab bank agregat meningkat sepanjang tahun itu.” Bagi beliau, “keadaan ini merupakan sistem aset rizab berbilang.” 
Di dunia yang terlalu banyak ketidakstabilan, hujah Simon Johnson, Profesor di M.I.T. Sloan School of Management dan Felow Kanan di Peterson Institute for International Economics, dalam ruangan “Room for Debate” wujud pencarian yang boleh difahami untuk sesuatu yang menawarkan nilai stabil, iatu sesuatu yang diutamakan yang tidak boleh terjejas oleh kerenah kerajaan atau skim terbaharu Bank Pusat.  Malangnya, kata beliau, “pencarian ini terbukti hanya sebagai daya tarikan seperti mencari  ahli alkimia pada zaman pramoden; tidak wujud keajaiban emas.  Bagi beliau, ura-ura untuk pulang kepada standard emas sebagai mengalih perhatian daripada masalah sebenar yang dihadapai oleh  Amerika:   pengangguran yang tinggi, sistem kewangan yang tidak stabil, dan masalah belanjawan jangka panjang.  Maka, soal beliau, “bagaimana standard dapat membantu?”
Bagi urus niaga ekonomi antarabangsa, mencadangkan mana-mana jenis  pulang kepada standard emas adalah setara dengan mahu lebih banyak kadar pertukaran tetap, iaitu meninggalkan kadar ditentukan pasaran dan pulang kepada sistem, sekurang-kurangnya dalam bahagian, bagaimana sistem itu dikendalikan sebelum 1971. Akan tetapi, bahas Johnson, “sukar untuk membayangkan bagaimana ini akan membantu dengan perhatian yang berat kepada mata wang utama, yang lagi sekali menjadi persoalan kontroversi hari ini.”  Merujuk kepada pengalaman 1930-an, beliau mengingatkan bahawa tiada siapa yang ingin “kestabilan” yang berkait dengan Kemelesetan Besar.
Walau bagaimanapun, debat tentang pulang kepada standard emas tidak berkesudahan, sekurang-kurangnya hingga akhir  tahun lalu.   Majalah Fortune dalam “Special Issue:  Investor’s Guide 2011” muncul dengan makalah “Gold Fever” oleh  Paul Keegan,  manakala Newsweek dalam “Special Edition – Issues 2011:  The Key to Power”  dengan  “Everything Gold is New Again” yang disesuaikan   daripada buku terbaharu Shayne McGuire, Hard Money: Taking Gold to a Higher Investment Level.  Kedua-dua makalah itu  mendedahkan kegilaan terhadap emas, seperti yang ditulis oleh Keegan, “berjuta-juta orang di seluruh dunia menghidap demam emas, suatu keadaan yang mengganggu proses kognitif normal,” dan “hanya satu  pelaburan yang berdaya maju dan cair yang membolehkan seseorang menarik keluar kekayaannya daripada sistem kewangan ialah emas,”  tulis McGuire.
Kedua-duanya  meletakkkan keyakinan pada   emas, antaranya kerana  nilainya yang sentiasa meningkat.  Dengan harga emas meningkat tiga kali ganda  sepanjang lima tahun lalu, mencecah harga AS$1400 seauns pada November (2010), hujah Keegan, keadaan semakin kelam-kabut.  Emas kelihatan memasuki arus perdana.  Terdapat persetujuan yang jelas bahawa emas adalah atau lambat-laun akan gelembung.  Sementara McGuire berhujah bahawa setiap mata wang dari segi sejarah akhirnya jatuh berbanding dengan emas, lebih dramatik ketika meningkatnya liabiliti dan bertambahnya ketidakmampuan untuk menampung liabiliti.  Sepanjang dekad lalu, saham jatuh 24 peratus, manakala emas meningkat 280 peratus.  Emas mengatasi saham, bahkan ketika kerancakan (rally) pasaran saham 2002-2007. Namun,  kesan memasukkan amaun yang secara tiba-tiba pelaburan wang ke dalam logam yang berharga, bagi beliau dapat dijelaskan ibarat “menolak gajah ke dalam peti surat.”
Keegan bahkan  memetik pandangan Richard Hurowitz, pengurus dana butik yang dikenali Octavian Advisors bahawa tergila-gila akan emas pada masa sekarang sebenarnya adalah mengekalkan  pola budaya purba.  Emas ialah mata wang dan bukannya komoditi kerana emas diterima sebagai pembayaran di seluruh dunia,  dan emas lebih stabil berbanding dengan dolar atau yen kerana pengeluar tunggalnya, iaitu Alam Semula Jadi mematuhi dasar monetari yang terlalu kedekut.
 “Ketika wang kertas hilang nilainya,” bahas Keegan harga emas meningkat.  Itulah sebabnya golongan pendukung kebebasan menganggap emas satu mata wang sebenar, lebih boleh dipercayai daripada wang sah “fiat” yang dikeluarkan oleh negara.”
Berikutan keruntuhan beberapa bank besar dan  beberapa syarikat kewangan perlu diselamatkan oleh kerajaan, manakala orang ramai kehilangan kekayaan mereka, maka kilauan emas semakin menjadi daya tarikan.   Walau bagaimanapun, turut disedari bahawa  pulang kepada standard emas bukannya  dasar yang  patut diteruskan.  Kos yang ditanggung kerana meninggalkan dasar monetari adalah tinggi, sedangkan manfaat daripada kestabilan harga tidak berapa besar.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Mac 2011.)

Tuesday, April 2, 2013

Realilti Baru

SELASA, 2 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Monday, April 1, 2013

BRIC, BRICS, atau BIIC?

ISNIN, 1 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China)  sekali lagi menjadi tumpuan, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan William Pesek dan   The Editors,  kedua-duanya dalam Bloomberg.

Oleh sebab sidang kemuncak BRIC kali ini berlangsung di Durban,  timbul persoalan mengapa kota itu dijadikan pilihan, sedangkan Afrika Selatan bukan anggota empat negara pasaran sedang muncul itu.  Tanggapan umum, seakan-akan BRIC bertukar menjadi BRICS (Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan).

Dalam hubungan ini, J.P.P. yang menulis dalam The Economist cuba menjelaskan kekeliruan yang berbangkit daripada hakikat bahawa Afrika Selatan menyelinap masuk ke dalam kumpulan, yang mendakwa mewakili pasaran muncul di dunia dan bertindak sebagai menyeimbangi  G8 dan G20 yang dikuasai oleh ekonomi dunia kaya. 

Wujud hanya satu masalah dengan BRICs, tegas J.P.P., iaitu tidak ada negara Afrika yang tergolong.  Hal ini agak memalukan.  "Mengabaikan Afrika," tulis beliau, "menunjukkan benua itu tidak relevan dari segi ekonomi, hanya baik dari segi menyediakan bahan mentah untuk benua lain.  Hal ini juga menimbulkan keraguan terhadap dakwaan kumpulan itu untuk bercakap bagi dunia sedang muncul."  Dua buah negara Afrika mungkin merupakan calon, jelas beliau, iaitu Nigeria dan Afrika Selatan.  Akan tetapi, hanya sebuah yang memastikan akronim tidak berubah.  Dan oleh itu, pada tahun 2010, kelab BRICs menjadi BRICS.

Dalam pada itu, Graham Allison berhujah bahawa China tidak tergolong dalam BRICS kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  China jauh lebih tinggi daripada negara lain dalam kumpulan itu.  Pada tahun 2001, KDNK China sama dengan KDNK semua RIBS (Rusia, India, Brazil, dan Afrika Selatan) yang digabungkan.  Dalam masa lima tahun sejak krisis kewangan global,  hujah Allison, hanya kenaikan pertumbuhan ekonomi China lebih besar daripada Rusia dan India yang digabungkan.  "Sesungguhnya, dalam separuh dekad sejak krisis kewangan, 40 peratus semua pertumbuhan dalam ekonomi global berlaku di China.

Tahun lalu, jelas Allison, ekonomi China berkembang sebanyak AS$1 trilion; Rusia dan India tumbuh sebanyak AS$100 bilion; Brazil dan Afrika Selatan menguncup.  Pada tahun 2001, China menduduki tangga keenam dalam kalangan ekonomi dunia.  Hari ini, negara itu menduduki tangga kedua, dan dalam laluan untuk mengatasi Amerika Syarikat dan menjadi ekonomi terbesar dunia pada dekad akan datang.

Bukan setakat BRICs menjadi BRICS, tetapi juga menjadi BIIC, iaitu memasukkan Indonesia dan menggugurkan Rusia. Kemasukan Indonesia dalam BRIC pernah dibahaskan oleh Fareed Zakaria pada tahun lalu, tetapi beliau menggugurkan India. Nampaknya, kedudukan India dan Rusia dalam BRIC dipersoalkan, manakala Indonesia pula mempunyai potensi untuk menganggotai akronim  yang diperkenalkan oleh Goldman Sachs. 



Sunday, March 31, 2013

Hilang dalam Terjemahan

AHAD, 31 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Majlis Bahasa Sweden, iaitu badan kawal selia yang bertanggungjawab "memupuk" bahasa Sweden, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, menarik keluar istilah ogooglebar yang diterjemahkan sebagai ungoogleable daripada senarai perkataan baru selepas didesak oleh Google.  

Badan tersebut yang menjelaskan misinya sebagai "memantau pembangunan bahasa Sweden yang dituturkan dan ditulis," menambah istilah berkenaan dalam senarai perkataan baru tahun lalu, mentakrifkan perkataan itu sebagai:  "(Sesuatu) yang anda tidak dapat cari pada Web dengan menggunakan enjin carian."

Menurut laman Web The Local, enjin carian gergasi beribu pejabat di California itu meminta Majlis Bahasa Sweden membetulkan takrif mereka.  Namun, pihak majlis enggan dan sebaliknya, menarik keluar istilah itu daripada senarai perkataan sama sekali.

Megan Garber yang mengulas tindakan pihak  majlis itu mencadangkan supaya ogooglebar dan 14 perkataan Sweden yang lain digabungkan  ke dalam bahasa Inggeris segera.  Alasan beliau melalui tulisannya dalam The Atlantic adalah bahawa banyak perkataan Inggeris berasal daripada bahasa Sweden.

Nyata bahawa Majlis Bahasa Sweden enggan tunduk pada desakan Google - sesuatu yang wajar dicontohi oleh badan seumpama itu yang juga wujud di negara kita! 





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...