Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Liputan yang sentiasa mendapat liputan dalam akhbar
adalah tentang akhbar itu sendiri: tentang kemerosotan jumlah edaran dan
sumbangan periklanan, tentang cabaran Internet terhadap akhbar, tentang plagiat
dan penipuan editor dan wartawan,
tentang akhbar disaman oleh pihak tertentu, dan tentang penutupan
sesebuah akhbar. Akibat krisis kewangan 2008 – 2009, banyak
akhbar di Amerika Syarikat yang terpaksa memfailkan kemuflisan di mahkamah,
atau beralih kepada penerbitan dalam talian.
Pastinya,
yang paling menarik pendedahan oleh akhbar The
Guardian pada awal Julai lalu tentang penggodaman telefon yang dilakukan oleh The News
of the World yang selepas itu mendapat
liputan luas akhbar dan media lain yang seakan-akan mengheret Britain ke kancah
skandal Watergate. Berikutan
pendedahan skandal itu, empayar media Murdoch seakan-akan senasib dengan Tembok
Berlin: runtuh. Dalam usaha mengawal
tangkis kerosakan, mogul media, Rupert Murdoch memaklumkan bahawa akhbar berusia 168
ditutup, muncul dengan keluaran terakhir pada 10 Julai 2011,
meninggalkan dua juta pembaca tanpa akhbar hari Ahad. Keputusan penutupan itu dilihat sebagai
mengorbankan akhbar semata-mata demi
menyelamatkan seorang wanita, iaitu Rebekah Brooks, Ketua Eksekutif News
International, syarikat induk The News of
the World. Walau bagaimanapun,
selepas 11 hari tekanan politik terhadap skandal penggodaman telefon itu, pada 15 Julai lalu, Rebekah mengumumkan perletakan
jawatannya atas alasan tidak mahu terus menerus
“menjadi sasaran debat.” Antara
respons terhadap pengumuman itu, “Rebekah pergi, tetapi persoalan masih kekal,”
“dia menjadi sebahagian masalah dan bukannya penyelesaian.”
Segala-galanya
bermula dengan pendedahan The Guardian
bahawa Glenn Mulcaire, penyiasat bebas yang pernah bekerja dengan The News of The World menggodam telefon
bimbit kepunyaan murid perempuan, Milly Dowler – ketika itu Rebekah mengedit
akhbar itu. Milly hilang pada usia 13 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di
Walton-on-Thames pada 21 Mac 2002.
Hari-hari selepas kehilangannya, pesanan suara (voicemail messages) mula dipintas.
Pesanan lama dibuang untuk memberikan ruang kepada pesanan baru,
mendorong sesetengah orang percaya bahawa gadis itu masih hidup. Selepas itu, satu demi satu pendedahan
tentang penggodaman telefon, termasuk terhadap doktor bekas Perdana Menteri,
Gordon Brown, Putera Charles dan isterinya, dan Putera William.
Penggodaman telefon membawa kepada penyebaran skandal dan
ledakan persoalan. Organisasi media,
dunia persuratkhabaran, dan profesionalisme kewartawanan dihadapkan ke muka pengadilan yang amat perit
yang menyaksikan pertembungan antara kebebasan dengan privasi. Atau dengan kata
lain, kebebasan media mesti ditunjangi oleh hak dan tanggungjawab. Timbalan Perdana Menteri Britain, Nick Clegg
mentakrifkan prinsip dalam bersuara memerlukan “kebebasan, kebertanggungjawaban,
dan kejamakan.” Beliau mengesani keaiban
The News of the World kepada secara fundamental, hubungan yang dirosakkan antara
politik, media, dan polis.
Bahkan, Perdana Menteri Britain, David Cameron turut
“dibicarakan,” dan beliau terpaksa bersusah payah untuk menjauhkan dirinya
daripada skandal penggodaman itu selepas beliau berhadapan dengan persoalan
tentang keputusanya melantik Andy Coulson untuk berkhidmat sebagai pengarah
komunikasinya. Coulson ialah editor akhbar itu yang ketika dialah banyak
penggodaman telefon berlaku, telah ditangkap oleh polis. Cameron yang enggan memohon maaf atau
mengakui kesilapan yang dilakukannya hanya mengakui, “hubungan antara ahli
politik dengan media menjadi terlalu rapat.”
Skandal penggodaman telefon itu dikatakan secara radikal mengubah tanggapan
awam tentang bagaimana ahli politik bekerja, bahaya kuasa korporat tunjukkan kepada demokrasi, dan pada
takat yang polis Metropolitan sanggup bertolak ansur dan melakukan rasuah yang
kini terbabit begitu jauh seakan-akan mereka bekerja untuk Murdoch. Berikutan pendedahan itu, sesetengah pihak
mempersoalkan peranan, kebebasan, dan
kebertanggungjawaban akhbar. Skandal
penggodaman telefon itu juga mendedahkan bahawa penulis, kolumnis, dan penulis blog hanyalah khadam yang bekerja untuk tuan
mereka, iaitu ahli korporat.
Namun, diakui mustahil bahawa hanya akhbar-akhbar milik
News Corporation yang menggunakan kaedah pemberitaan yang tidak
berprinsip. Penyiasatan awam yang
ditubuhkan segera akan pastinya mendedahkan contoh yang tidak menyenangkan yang
lain. “Kematian The News of the World,” Eric Pfanner dalam The New York Times, menggalakkan desakan untuk beberapa cara yang
merisaukan, termasuk kawalan seterusnya terhadap wartawan British. Menggodam telefon bimbit remaja yang dibunuh,
adalah antara mangsa lain, tidak wajar, tidak beretika, dan salah dari segi
undang-undang.” Akan tetapi, dalam “The State of British Journalism” itu,
Pfanner mengingatkan bahawa Britain
telah mempunyai beberapa sekatan yang sangat ketat terhadap media berita jika
dibandingkan dengan mana-mana negara Barat, termasuk undang-undang fitnah bertulis atau
libel yang menggerunkan dan kanun
privasi tidak bertulis. British
tidak memerlukan peraturan yang lebih banyak terhadap media berita. Yang diperlukan ialah memisahkan raja akhbar
yang sangat berkuasa dan ahli politik daripada berkongsi katil yang sama.
Melalui
“Phone Hacking: British Politics Bas
Been Corrupted by a Cosy Camaraderie” yang diterbitkan dalam The Telegraph, Janet Daley mengkritik hubungan akrab yang
berlebih-lebihan antara akhbar yang mencemarkan budaya politik. Kebenaran menurut
beliau, adalah bahawa untuk semua kekuatan yang berseteru dan bersifat
penyiasatan yang banyak, kewartawanan politik British pada asasnya, kelab yang
dianggotai oleh kedua-duanya, iaitu ahli politik dan wartawan. Wujud keakraban
yang mesra antara akhbar dengan golongan
pemerintah di Britain yang sahabat-sahabat wartawan Amerikanya mendapati
mengejutkan - sesuatu yang tidak berlaku
di negara mereka: “Setiap orang di
Britain tahu hal orang lain.”
Sebahagian tugas wartawan adalah untuk membawa ahli politik makan tengah
hari secara tetap. Sebaliknya, agak
memeranjatkan walau bagaimana sekalipun pada amnya terbuka dan mesranya
masyarakat Amerika, hubungan antara wartawan dengan ahli politik jauh lebih
formal dan terlalu rasmi jika dibandingkan dengan mereka di Westminster. “Sebagaimana begitu banyak lingkungan
kehidupan di negara ini, iaitu dunia seni, bidang tertentu akademia dan
golongan atasan profesion perundangan merupakan contoh yang terpancul dalam
minda,” tegas Janet, “adalah mustahil sama sekali untuk hidup dalam
kewartawanan politik sebagai orang luar.”
Oleh sebab pengaruh
media terhadap politik dan masyarakat terlalu besar, Ed Miliband, pemimpin
Parti Buruh, menggesa supaya empayar Murdoch mesti dihapuskan. Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar The Observer, beliau mendesak diwujudkan
peraturan pemilikan media yang baru dengan mengatakan ketua News Corporation
mempunyai kuasa yang terlalu banyak di United Kingdom. Bagi beliau, peraturan pemilikan media semasa
sudah ketinggalan zaman, menjelaskan peraturan itu sebagai “peraturan analog
untuk zaman digital” tidak mengambil kira kemunculan digital massa dan
penyiaran satelit. Miliband berkata
bahawa penghentian oleh News International dalam bidanya untuk BSkyB,
perletakan jawatan ketua eksekutif, Rebekah Brooks, dan penutupan The
News of the World, tidak memadai untuk memulihkan kepercayaan dan
menenangkan orang awam.
Simon Jenkins yang
menulis dalam guardian.co.uk sebaik-sebaik skandal itu terbongkar, “How News of the World Editors Lost
Self-control – and All Respect for the Law,”
mengingatkan kesukaran dalam dunia persuratkhabaran sekarang. “Mengedit akhar pada permulaan abad ke-21
merupakan tugas yang berat. Konsep
pengantaraan peristiwa dunia kepada kumpulan pembaca terpilih berkecai ke dalam
dekad. Pemberita, penulis, editor, dan
pencetak berkelana ke sana ke mari, seperti mangsa letupan bom, diselubungi
dalam gumpalan debu digital. Profesion
kewartawanan terhuyung-hayang ke sana sani, menyendal udara. Tiada siapa yang benar-benar tahu apakah yang
berlaku.” Tambah beliau, pendedahan
berterusan tentang amalan pemberitaan The
News of the World menunjukkan bom itu adalah bunuh diri. Para editor di akhbar yang sesuatu yang perlu
ialah keazaman manusia kelihatan hilang semua hormat terhadap undang-undang,
apatah lagi kawalan kendiri. Menggodam
telefon Milly Dowler merupakan sebahagian budaya gangguan yang dianggap untuk
mengetahui tiada batasan.
Bagi Simon Jenkins, dunia persuratkhabaran kini dalam situasi yang cukup
mencabar dan terancam akibat kemaraan
Internet dan media sosial, seperti blog,
Facebook, dan Twitter. Berkembangnya
rangkaian sosial meletakkan pencerobohan ini hampir-hampir tanpa batasan,
tetapi juga mengambilnya melampaui skop akhbar yang banyak duit. Keadaan ini menjadikan privasi peribadi,
kerahsiaan kerajaan, dan kebijaksanaan umum terlalu rapuh yang kegasangan
sebaik sahaja dibeli untuk harga akhbar boleh dipuaskan dengan percuma, dengan
hanya mengklikkan tetikus. Selera orang
awam untuk perkara-perkara yang remeh tentang peribadi terbukti tidak akan
kering-kering. Sementara itu, blog, Facebook, dan Twitter pada hakikatnya
mustahil untuk menggunakan kawalan undang-undang, apatah lagi mengawas cita
rasa atau etika. Beliau mengingatkan bahawa tekanan terhadap editor dan pemilik
akhbar bukan hanya “kurang intelektual atau kurang canggih,” tetapi juga untuk
meninggalkan semua rasa bersalah dan menahan diri yang mendalam.
Penyebaran web menyebabkan media konvensional menjadi panik, tulis
Jenkins. “Bagi semua akhbar, skandal
penggodaman telefon The News of the World menjadi detik kebenaran. Skandal ini menunjukkan bagaimana tekanan
komersial daripada web dan dari dalam perbadanan besar memutarbelitkan etika. Kewartawanan selalunya menguji sempadan
pencerobohan penyiasatan, tetapi tidak boleh melanggar atau mencampuri proses
undang-undang.”
Akhbar British dikatakan mewakili yang paling baik dan yang teruk dalam
kewartawanan penyiasatan, tidak dibimbangi oleh pihak berkuasa, nekad untuk
mendapatkan kebenaran, tetapi mudah untuk mengelirukan keunggulan atau ideal
pemberitaan dalam kepentingan awam dengan melaporkan segala-gala yang mungkin
menjadi minat orang awam. Kekeliruan itu
bukan sahaja merebak dalam media pasaran
massa, tetapi juga mencemari kewartawanan terbitan lebar sehelai kerana akhbar
bercetak terpaksa bertungkus-lumus kerana kemerosotan hasil periklanan
berikutan kebangkitan revolusi digital.
Akhbar milik Murdoch, seperti yang diperhatikan menjangkiti wacana awam. Akhbar pesaing terpaksa bersaing untuk tajuk berita yang
penuh sensasi, untuk skandal palsu, untuk gosip selebriti yang
direka-reka. “Akan tetapi,” tulis
Margaret Drabble dalam akhbar The
Independent, “pastinya, orang awam berminat. Orang awam, atau sesetengah orang awam, akan
berduyun-duyun menghadiri upacara penggantungan, seperti yang mereka lakukan di
Iran seandainya mereka mempunyai sedikit peluang.” Akibatnya, tegas beliau, kewartawanan yang
buruk menyingkirkan kewartawanan yang baik, dan orang awam dipaksa menyaksikan
akhbar yang mulia secara tidak jujur mengelakkan daripada penafisan orang ramai
yang berminda tinggi dengan melakukan ringkasan tentang cerita yang lebih
memalukan daripada akhbar lain.
Tuduh menuduh berlaku dalam kalangan media sendiri. Akhbar The Guardian yang beria-ria benar
mendedahkan skandal penggodaman telefon itu dilihat sebagai satu usaha untuk
membangkitkan kebencian orang ramai terhadap Rupert Murdoch. Selain akhbar berkenaan, saluran berita kabel, BBC turut dianggap mengambil kesempatan untuk membalas dendam terhadap empayar Murdoch.
Seperti yang diketahui, Murdoch juga memiliki Fox News yang tidak dapat tidak, merupakan pesaing BBC.
Kuasa BBC dan kebencian dari segi sejarah terhadap empayar Murdoch,
dikatakan adalah hanya satu aspek peperangan yang lebih besar yang kini
melangkaui Atlantik, yang sasarannya bukan akhbar yang boleh secara sah, didakwa
melakukan perbuatan yang tidak berhati perut, tetapi adalah terhadap Fox News.
Namun, ada juga yang menyanjung peranan akhbar
kerana melalui akhbarlah penggodaman itu akhirnya diketahui umum. Dalam hubungan ini, The Guardian sekali lagi mencipta nama dalam dunia kewartawanan
kerana pada tahun lalu, akhbar itu bersama-sama beberapa akhbar lain, antaranya
The New York Times, bekerjasama dengan WikiLeaks
Julian Assange, mendedahkan kabel diplomatik kedutaan Amerika
Syarikat. Kini, The Guardian sekali
lagi menjadi tumpuan cerita berita yang sangat penting, kedua-duanya dari segi
isi dan bagaimana fungsi kewartawanan. Tulis Peter Osnosdan Clive Priddle dalam theatlantic.com, “How Britain’s Guardian
is Making Journalism History,” akhbar
ini menerajui usaha untuk mendedahkan perbuatan membuka telefon dan skandal
penggodaman data telefon. Usaha itu
berkemungkinan memberikan ancaman yang paling serius terhadap masa hadapan News
International milik Rupert Murdoch dalam beberapa dekad kebangkitannya sebagai
perusahaan berita yang paling berkuasa di Britain (di samping BBC), dan menjadi
semakin jelas, sumber rasuah jenayah.
Akhbar datang, akhbar pergi, akhbar muncul, akhbar
menghilang, tetapi para wartawan tetap memainkan peranan penting untuk mendedahkan
sesuatu yang mungkin tidak diketahui oleh orang awam, atau mereka tidak mampu
mendedahkannya sendiri. Para wartawan
sentiasa memberikan kesegaran terhadap dunia persuratkhabaran, meskipun ada
kalanya tindakan mereka itu melanggar
undang-undang atau tidak beretika. Apa
yang berlaku dalam The News of the World
yang kemudiannya terbongkar atas daya
usaha The Guardian bukan sekadar
memperlihatkan betapa kuatnya kuasa akhbar, tetapi juga mempamerkan warna-warni
dalam dunia persuratkhabaran. Sebagaimana
dalam kehidupan manusia, akhbar juga mempunyai asam garamnya yang kadangkala
mengerikan, kadangkala menghiburkan, kadangkala menakutkan, kadangkala
menyeronokkan. Justeru, hanya manusia yang dangkal dan jahil yang
tergamak memboikot atau mengadakan upacara pembakaran akhbar, seperti yang
berlaku di negara kita.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Ogos 2011.)
No comments:
Post a Comment