Artikel Popular

Tuesday, August 20, 2013

Jimat Cermat Gagal

SELASA, 20  Ogos 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tatkala  negara Eropah berlumba-lumba melaksanakan jimat cermat,  Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke memberitahu Kongres   bahawa jika langkah seperti itu turut dilaksanakan di negara mereka, nescaya membawa risiko yang terlalu tinggi kerana ekonomi Amerika Syarikat diancam kemelesetan. Dalam testimoni untuk Kongres   pada Julai tahun lalu itu,  beliau berkata bahawa Pentadbiran Obama sepatutnya melengah-lengahkan langkah untuk mengurangkan defisit belanjawan dengan memotong perbelanjaan atau menaikkan cukai.  Pendirian Bernanke yang menentang penjimatan fiskal  hingga pemulihan ekonomi dilihat berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Britain dan negara zon euro, yang mempercayai tindakan kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.

            Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) juga mempunyai pendirian yang sama yang menasihati anggota negara kayanya bahawa sepatutnya mempertimbangkan penangguhan  penjimatan jika kelemahan terbaharu dalam aktiviti ekonomi masih wujud.  OECD turut menasihati United Kingdom supaya memikirkan semula langkah jimat cermat kerana negara itu, seperti yang berlaku pada awal September lalu, mencatatkan defisit perdagangan yang terburuk dalam barang dan perkhidmatan sebanyak 13.2 bilion paun. Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) ketika itu, Dominique Strauss-Kahn,  dalam ucapannya di Brookings Institution di Washington pada April tahun ini, tidak ketinggalan untuk memberikan amaran terhadap pemotongan belanjawan terlalu jauh dan mewujudkan pengangguran jangka panjang.  Bagi beliau,  pengetatan fiskal boleh merendahkan pertumbuhan dalam jangka pendek dan langkah ini, bahkan boleh meningkatkan pengangguran jangka panjang, mengubah kitaran menjadi masalah struktur.  Pokok pangkal adalah bahawa pelarasan fiskal mesti dilakukan dengan memberikan perhatian yang tajam terhadap pertumbuhan.  
            Ireland dikatakan anak yang menonjolkan diri untuk helang defisit, apabila negara lain masih berpeluk pada John Maynard Keynes, iaitu melaksanakan pakej rangsangan fiskal, negara itu dengan megah merangkul jimat cermat.  Kerajaan di Dublin mengumumkan  tiga belanjawan cantas dan bakar terhadap sektor awam dan hak kelayakan. Akibatnya, seperti yang dinyatakan oleh Larry Elliot dalam guardian.co.uk akhir September lalu, “pengangguran tiga kali ganda, penghijrahan bakat disambung semula, tetapi semuanya dianggap harga yang berbaloi dibayar.”   Elliot yang menyalahkan langkah jimat cermat yang sepatutnya diteladani oleh United Kingdom,  menambah,  “potongan belanjawan melemahkan keupayaan ekonomi untuk tumbuh.  Kerajaan Irish mahu mencantas defisit belanjawan negar itu daripada 12 peratus kepada kurang tiga peratus pada 2014, sesuatu yang sukar dicapai, bahkan jika ekonomi tumbuh dengan pesat.”
            Negara Eropah  beria-ia untuk melaksanakan jimat cermat yang boleh dikatakan mendahului negara lain di dunia, tetapi pelaksanaannya tidak berjalan lancar kerana mendapat tentangan daripada rakyat mereka,  khususnya para pekerja.  Pada akhir September 2010,  lebih 100,000  orang pekerja dari 30 buah negara  Eropah mengadakan protes antijimat cermat di hadapan bangunan Kesatuan Eropah, di Brussels,   menentang potongan perbelanjaan kerajaan, untuk menyatakan “tidak untuk jimat cermat.”  Tunjuk perasaan  juga berlaku di Sepanyol,  Greece, Portugal, Ireland, Slovenia, dan Lithuania.
            Kita memasuki Zaman Jimat Cermat.  Isytihar   Robert J. Samuelson dalam Newsweek pada Oktober lalu, “jimat cermat telah tiba di Eropah dan dalam perjalanan ke Amerika Syarikat.  Kerajaan seluruh Eropah memotong perbelanjaan sosial dan menaikkan cukai, atau berfikir-fikir untuk melakukannya.  Negara kebajikan dan pasaran bon bertembung, dan negara kebajikan sedang berundur.  Bahkan, negara kaya mendapati kos terlalu tinggi, tetapi jimat cermat yang dilaksanakan secara tiba-tiba boleh menghalang tercetusnya   krisis kewangan yang baru.”  Samuelson yang nampaknya mempertahankan langkah jimat cermat, berhujah bahawa “jimat cermat mengubah ekonomi dan politik.  Zaman Hak Kelayakan adalah tentang hadiah percuma; Zaman Jimat Cermat mengenai mengambil balik.  Zaman Hak Kelayakan adalah tentang memaksimumkan pertumbuhan ekonomi; Zaman Jimat Cermat adalah tentang meminimumkan kebalikan ekonomi.” 
       Beliau turut mengakui bahawa kerajaan terpaksa mengambil langkah tidak popular ini, iaitu memotong belanjawan dan menaikkan cukai:  “Kita perlu tidak mengancam pemulihan dengan mencatas defisit belanjawan serta-merta, tetapi kita perlu bertindak secara meyakinkan untuk mengawal defisit pada masa hadapan.  Jimat cermat tidak menyeronokkan, tetapi bagaimana sakit sekalipun, langkah itu masih merupakan separuh daripada kita.”
            Dasar jimat cermat secara salah menunjukkan bahawa perbelanjaan keperluan sosial merupakan faktor kerajaan bergelut dengan defisit belanjawan.  Jimat cermat didapati tidak perlu dari segi ekonomi, jimat cermat merupakan bencana dari segi ekonomi. Sejak pelaksanaannya, jimat cermat diperhatikan dengan penuh keraguan, dan bahkan dijangkakan menjejaskan pemulihan yang masih lemah.  Pasaran yang menuntut pelaksanaan jimat cermat mewujudkan dalam proses itu, hutang-deflasi, dan bersama-sama tercetus kekacauan sosial.  Untuk Eropah khususnya, rantau itu menjadi rantaian yang lemah dalam ekonomi global.  Dijangkakan fasa seterusnya krisis ekonomi dunia, euro akan sama ada mengukuhkan kedudukan ataupun runtuh. Sementara itu, potongan belanjawan pula gagal memujuk para pelabur ke negara yang akan mungkir terhadap hutang mereka.  
       Tatkala  Greece dan Ireland yang melaksanakan jimat cermat,  masih bergelut dengan krisis hutang yang membangkitkan persoalan antara kedua-dua negara itu, negara mana yang “menang” dalam perlumbaan kemungkiran, Portugal juga menyertai Mediterranean Club itu. Ketiga-tiga negara  didesak melaksanakan jimat cermat yang mencetuskan protes kerajaan dan mogok umum kerana tiga zon euro itu terpaksa mematuhi  terma pelan penyelamat mereka.   Portugal   melakukan apa-apa sahaja yang dituntut oleh helang fiskal, tetapi masih memohon pelan penyelamat, seperti yang diperhatikan oleh Benjamin Fox dalam New Statesman,  “How Austerity and the Financial Sector Broke Portugal.”  Selepas banyak minggu dan bulan yang menyeksakan, Portugal menjadi negara terkini mengaku kalah kepada pasaran kewangan dan terpaksa memohon pinjaman kecemasan daripada Kesatuan Eropah dan IMF.  Meskipun kononnya negara itu melakukannya apa yang pasaran beritahu dan meluluskan tiga belanjawan, Portugal masih mempunyai pemotongan kredit mereka.  “Tragedi Portugal,” tulis Fox, “adalah bahawa kerajaan melakukan apa yang diberitahu dan masih dikenakan hukuman.  Kerajaan mencatas perbelanjaan awam, upah, dan pencen demi menenangkan pasaran kewangan dan helang jimat cermat yang menguasai politik Eropah.”
      Pada akhir Mac lalu, Perdana Menteri Jose Socrates terpaksa meletakkan jawatan selepas gagal memperoleh sokongan Parlimen untuk pakej jimat cermat terbaharu, iaitu yang keempat dan paling keras yang dikemukakan oleh kerajaan minoriti dalam tempoh kurang setahun.  Walaupun kerajaan memberikan amaran bahawa penolakan pakej jimat cermat itu akan mengasak Portugal paling hampir untuk mencari pelan penyelamat, pihak pembangkang enggan menerima peningkatan cukai dan pemotongan perbelanjaan sosial yang seterusnya, dengan hujah bahawa langkah ini menyusahkan  angota yang paling mudah terjejas dalam masyarakat. 
       Dalam makalah itu juga Fox melihat Sepanyol yang tidak seperti Greece dan Ireland, mempunyai kewangan awam yang kukuh dan dalam beberapa tahun melaksanakan rancangan bersepadu untuk mengurangkan peminjaman kerajaan.  Masalah sistemik negara itu ialah kadar pengangguran yang tinggi, yang tertinggi di Kesatuan Eropah dan mencecah 40 peratus dalam kalangan mereka yang berusi 18 hingga 25 tahun.
       Dalam “Turbulence Ahead,” Joseph E.  Stiglitz yang menulis dalam Newsweek pada Januari tahun ini mengingatkan meskipun menurut angka, kemelesetan teruk telah pun berlalu, tiada pemulihan yang boleh dinyatakan benar-benar berlaku tanpa mengurangkan kadar pengangguran. Para pemimpin ekonomi menerima pakai misi jimat cermat yang tidak bijak, dan bukannya memastikan orang ramai bekerja semula.  Wang tunai rangsangan di Eropah dan Amerika kini semakin kabur, sedangkan  pemulihan yang benar-benar kuat tidak berlaku.  Mengingatkan pengalaman sebelum ini, beliau berhujah, “daripada Presiden Hoover semasa Kemelesetan Besar kepada respons global terhadap krisis Asia Timur akhir tahun 1990-an, memang jelas bahawa pemotongan perbelanjaan kerajaan melemahkan ekonomi dan bukannya mengurangkan rasa tidak senang. Tindakan mencatas perbelanjaan memincangkan pertumbuhan ekonomi; kita menyaksikan kesannya di Ireland, Greece, dan negara lain yang terletak pada barisan depan.” Stiglitz mengemukakan andaian mudah yang masuk akal tentang kitaran yang berlaku berikutan pemotongan:  “Mereka yang tidak bekerja untuk tempoh yang berpanjangan melihat akaun simpanan mereka terjejas dan kemahiran mereka lemah.  Kurang perbelanjaan bermakna ekonomi lebih perlahan.  Pertumbuhan yang anemia meneruskan kepincangan kedudukan fiskal negara, mendorong lebih banyak pemotongan.”
            Sebelum ini, dalam “Alternatives to Austerity” yang diterbitkan dalam guardian.co.uk pada awal  Disember 2010, Stiglitz memerhatikan bahawa akibat kemelesetan yang teruk, negara terjebak dalam defisit masa aman yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan meningkatkan kebimbangan tentang hutang negara mereka yang membesar.  Di banyak negara, keadaan ini membawa kepada pusingan baru jimat cermat, iaitu dasar yang tentunya mengheret ekonomi negara dan global menjadi semakin lemah dan keadaan yang lembap yang jelas dalam rentak pemulihan.
            Kerajaan Eropah, tegas Stiglitz semasa berucap di Copenhagen pada Mei lalu, seperti yang dipetik oleh Bloomberg Businessweek, dicengkam erat oleh “fetisyisme defisit.  Bagi beliau, langkah jimat cermat “tidak berfungsi” dan mencegah negara daripada mewujudkan pekerjaan untuk  menjanakan pertumbuhan ekonomi dan.  Jimat cermat merupakan eksperimen yang telah dicuba sebelum ini dengan hasil yang sama.  Memotong belanjawan dalam kitaran pertumbuhan rendah membawa kepada pengangguran yang tinggi dan menghalang pemulihan. 
       Jimat cermat, meminjam Paul Krugman, delusi atau penipuan diri sendiri.  Melihat apa yang berlaku pada  Portugal, Ireland, dan Britain, beliau yang menulis dalam The New York Times, “semua peristiwa ini sama, iaitu bukti bahawa mencatas perbelanjaan ketika pengangguran yang tinggi adalah silap.”  Para penyokong jimat cermat meramalkan bahawa pemotongan perbelanjaan akan membuahkan hasil yang cepat dalam bentuk keyakinan yang meningkat, dan bahawa sebilangan kecil kesan yang tidak menyenangkan jika ada, terhadap pertumbuhan dan pekerjaan.  “Akan tetapi,” isytihar Krugman, “mereka silap.”  Sepatutnya tegas beliau, wujudkan pekerjaan sekarang, tangani defisit kemudian merupakan strategi yang betul.  Malangnya, strategi itu ditinggalkan di muka risiko khayalan dan harapan delusi.  “Dari satu segi, kita secara konstan diberitahu bahawa jika tidak mencatas perbelanjaan segera kita akan hanya menerima nasib seperti Greece, tidak mampu meminjam, kecuali pada kadar faedah yang sangat tinggi.  Dari satu segi yang lain, kita diberitahu jangan bimbang tentang impak pemotongn perbelanjaan terhadap pekerjaan kerana jimat cermat fiskal akan biasanya mewujudkan pekerjaan dengan menaikkan keyakinan.”

        Pastinya, ada yang tidak sealiran dengan Paul Krugman, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Niall Ferguson, “Austerity Works” yang diterbitkan dalam Newsweek. Memang benar bahawa ekonomi Greece, Ireland, dan Portugal, iaitu tiga negara yang komited terhadap program jimat cermat sebagai syarat untuk pelan penyelamat Kesatuan Eropah dan IMF, merosot sepanjang tahun lalu.  Kadar pengangguran di atas 10 peratus di ketiga-tiga negara itu.  Sementara itu, ekonomi United Kingdom tumbuh dengan perlahan.  “Akan tetapi,” bahas Ferguson, “untuk membuat kesimpulan daripada keadaan ini bahawa Amerika Syarikat boleh menangguhkan percubaan serius terhadap penstabilan fiskal adalah silap sama sekali, dan membawa bahaya yang semakin dalam.”  

        Dengan menyindir beliau menambah, “anggota kelab Deficits Forever ialah orang yang malas dari segi intelektual apabila mereka menegaskan bahawa ekonomi United Kingdom tumbuh dengan perlahan kerana jimat cermat tidak berfungsi, bermakna bahawa perkara akan menjadi lebih baik seandainya perbelanjaan mengikut nafsu diteruskan.  Mungkin.  Akan tetapi, mungkin tidak.  Ahli politik yang bertanggungjawab tidak akan mengambil risiko kerana kos melakukan kesilapan adalah terlalu tinggi.  Sekadar tanya orang Greece.

Meskipun langkah  jimat cermat mencetuskan perdebatan yang hangat, setakat ini, langkah tersebut, boleh dikatakan gagal.  Dasar ekonomi kini jelas dipacu oleh idea bahawa jimat cermat bagus, tetapi seperti yang diperhatikan,  masalahnya tidak ada satu pun usul yang menyokong jimat cermat adalah benar. 

Melampaui jimat cermat, sebenarnya langkah itu merupakan usaha puak neoliberal untuk kembali semula, selepas terpaksa berundur seketika, terutamanya akibat tercetusnya krisis kewangan dan kemelesetan terbaharu yang menyaksikan fundamentalisme pasaran tumpas. Puak neoliberal mendakwa bahawa seperti isi rumah, kerajaan mesti hidup mengikut kemampuan mereka. Jika dahulu, iaitu pada tahun 1973 mereka menggunakan Chile untuk tapak eksprimen mereka, kali ini mereka memilih Eropah, dan sekali gus cuba  menghidupkan semula slogan Margaret Thatcher, iaitu “tiada alternatif.”  
        (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Ogos 2011.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...