Artikel Popular

Monday, February 4, 2013

Pasaran Saham Lawan Ekonomi Sebenar

ISNIN, 4 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFKLI  SALLEH


Selain pasaran saham Amerika Syarikat yang pada Jumaat lalu untuk pertama kali pada masa lima tahun Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) ditutup lebih 14,000 mata, pasaran Eropah juga mempamerkan kerancakan, meskipun ekonomi sebenar masih muram.  

Amerika Syarikat misalnya,  ekonominya menguncup pada suku terakhir tahun 2013 dan kadar pengangguran pada Januari tahun ini meningkat kepada 7.9 peratus, menandakan pewujudan pekerjaan perlahan, menurut  tafsiran G.I. dalam The Economist yang membawa berita buruk dan berita baik. Heidi Moore yang menganggap krisis pengangguran ditinggalkan jauh dalam laporan pekerjaan bulanan, turut menegaskan "dalam ekonomi sebenar, kita masih mempunyai angka signifikan tentang orang yang menganggur, dan lebih penting, kita mempunyai kumpulan teras orang yang tanpa pekerjaan jangka panjang, yang menjadi lebih menganggur semakin lama mereka tidak mempunyai pekerjaan."

Sementara di Eropah, pasaran saham yang melambung, dengan FTSE 100 memperoleh lebih 1000 mata dalam masa enam bulan,   menurut pemerhatian Phillip Inman, bercanggah dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang masih sukar.  Zon euro, bahas beliau, terus  bergelut dengan kemelesetan yang berpunca daripada pelaksanaan jimat-cermat, manakala "Perancis muflis keseluruhannya." 

Melihat dua senario yang berbeza, iaitu pasaran saham yang kembali bertenaga dengan larian lembu jantan, dan ekonomi sebenar yang masih terhuyung-hayang, maka seperti yang dibahaskan oleh Robert Kuttner, "ekonomi yang lemah, debat yang silap."

Pastinya, tumpuan  debat yang silap itu adalah terhadap pelaksanaan jimat-cermat yang sentiasa menjadi sasaran kritikan Paul Krugman, dengan rangsangan yang diragui oleh Robert J. Samuelson, yang beliau anggap sebagai perangkap.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...