Artikel Popular

Sunday, February 17, 2013

Sepuluh Tahun Protes Perang Iraq

AHAD, 17 Februari 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Pada 15 Februari genap satu dekad protes warga dunia  terhadap Amerika Syarikat dan Britain serta beberapa buah negara sekutu yang merancang menyerang  Iraq, atas alasan kononnya  Presiden Saddam Hussein membina senjata pemusnah besar-besaran. Protes itu menyaksikan kebangkitan berjuta-juta orang penduduk dunia,  terbesar dalam sejarah,   dari New York ke London, dari Barcelona  ke Tel Aviv, dari Rom ke Vancouver, di jalan-jalan  Arab,  menentang Presiden George W. Bush.  Dan, untuk pertama kali, tiga kuasa Eropah, iaitu Rusia, Perancis, dan Jerman, bersatu menentang rancangan  jahat Amerika Syarikat dan Britain.

Akibat serangan itu (dan serangan terhadap Afghanistan), Amerika Syarikat terjebak dalam perang trilion dolar dan menanggung malapetaka sebuah lagi Vietnam. Bahkan, dari segi tentera Amerika yang terbunuh di Iraq dan Afghanistan,  menurut Sarah Grey dan Leo Zeilig, lebih banyak jika dibandingkan dengan yang di Vietnam.  Negara kuasa besar itu terpaksa keluar dengan kaki yang tempang dan muka yang lebam, mencipta sebuah kekalahan yang teruk.  

Kini, terbukti bahawa helang yang berterbangan di Washington ketika itu - memaksa Bush menyerang Iraq, adalah silap, hujah Mehdi Hasan, "Iraq kini semakin teruk."  Sadam pergi, tetapi kos yang ditanggung, tegas Mehdi terlalu tinggi, perang Iraq merupakan bencana strategi.

Bersempena ulang tahun satu dekad itu, Oliver Laughland dan Bella Mackie bertanya, "Adakah anda bantah pencerobohan terhadap Iraq?"  Pada 15 Februari 2003, tulis Laughland dan Macke, sehingga 30 juta orang berarak membantah rancangan untuk menceroboh Iraq.  Di London sahaja, penganjur menganggarkan lebih satu juta orang berduyun-duyun dan berkumpul di Hyde Park untuk mendaftarkan diri mereka untuk menentang rancangan pencerobohan itu. "Protes berlaku di lebih 60 buah negara pada 15 dan 16 Februari.  Lebih 100,000 orang berarak di Bandar Raya New York.  Akan tetapi, di seluruh dunia, orang ramai turun di jalan-jalan raya, beribu-ribu orang, dari Tunisia ke Fiji, Palestin ke Mexico, bahkan kumpulan ahli sains yang kecil turut membantah."

Kedua-dua penulis ini memetik Salma Yaqoob yang menulis lebih setahun kemudian, mengakui kegagalan gerakan antiperang menyekat pencerobohan tersebut, tetapi gerakan itu memberikan impak terhadap politik global.

Kira-kira 10 juta hingga 15 juta orang di seluruh dunia berkumpul dan berarak di lebih 600 buah kota, Ishaan Tharoor mengimbas kembali protes yang beliau juga terlibat dalam kontinjen antiperang di tengah bandar Manhattan.  Beliau memetik makalah dalam The New York Times yang mengisytiharkan, "Wujud dua kuasa besar. iaitu Amerika Syarikat dan pendapat awam dunia."


Pada 19 Mac 2003, Presiden George W. Bush menceroboh Iraq, namun tegas David Corn, 4486 orang tentera Amerika terbunuh, 32,226 orang anggota perkhidmatan cedera, dan lebih 100,000 orang awam Iraq terkorban. Kos peperangan lebih AS$3 trilion.  Bush berjaya mengguling Saddam Hussein, tetapi terbukti bahawa tidak ada senjata pemusnah besar-besaran dan tidak wujud operasi signifikan antara rejim Sadam dengan al-Qaeda. 

Sepuluh tahun lalu, 17 juta orang dalam kalangan kita - memetik Sarah Grey dan Leo Zeilig sekali lagi, "adalah sangat marah dan mempunyai harapan yang tinggi untuk turun di jalan-jalan. Kita mampu melakukannya sekali lagi, dan kita mesti."



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...