Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selepas Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) ditutup lebih 14,000 mata pada Jumaat lalu, untuk pertama kali sejak Oktober 2007, pada Isnin semalam, indeks berundur kepada 13,880.08 mata, jatuh sebanyak 129.71 mata. Kebimbangan politik di Sepanyol dan Italy, dilaporkan menyebabkan pasaran lintang-pukang. Boleh dikatakan dalam tempoh lima tahun ini, pasaran saham global sentiasa terumbang-ambing.
Walau bagaimanapun, carta harian The Economist, menunjukkan di sesetengah pasaran membangun, indeks seakan-akan tidak mempedulikan krisis, sebaliknya pasaran kelihatan rancak. Dari 1 Januari 2007 hingga 31 Disember 2011, pasaran Thailand bingkas 200 peratus, paling tinggi, diikuti oleh Indonesia 140 peratus, Chile lebih sedikit daripada 100 peratus, manakala Malaysia yang menduduki tangga keempat mencatatkan hampir 100 peratus.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan bahawa dana global banyak melabur dalam hutang kedaulatan Malaysia jika dibandingkan dengan bon Thailand atau Thai untuk tahun keempat pada tahun 2012, didorong oleh hasil sebenar yang tinggi dan penarafan kredit yang selamat terhadap tiga ekonomi terbesar di rantau ini.
Pemilikan asing terhadap nota mata wang tempatan meningkat sebanyak AS$8.4 bilion dalam 11 bulan pertama, berbanding dengan AS$4.9 bilion di Indonesia dan AS$6.6 bilion di Thailand dalam setahun penuh. Malaysia diberikan penarafan A3 oleh Moody's Investors Service, tiga tahap lebih tinggi daripada Indonesia dan satu langkah lebih daripada Indonesia, manakala bon 10 tahun Malaysia membayar 2.3 peratus selepas mengambil kira inflasi, berbanding 0.9 dn 0.1 peratus masing-masing untuk Indonesia dan Thailand.
No comments:
Post a Comment