Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada Sabtu kelmarin, saya menemani isteri ke Ampang Park. Sementara dia dengan urusan dia, saya dengan urusan saya: ke BSN, ke Pos Malaysia yang terletak di tingkat atas untuk membayarkan beberapa bil.
Selesai membayar bil yang agak banyak juga, saya turun ke tingkat bawah ke kedai muzik. Alang-alang ke Ampang Park, saya ingin ke sana dengan dua tujuan: membeli cecair pencuci CD dan DVD, dan kedua, yang penting membeli (kalau ada) DVD Rihanna dengan lagu terbaharunya, "Diamonds." Sebenarnya, saya dan isteri kerap juga ke kedai muzik jika kebetulan kami ke sana.
Namun, apa yang saya cari itu tidak ada, yang ada hanya CD. Saya memberitahu taukenya (saya anggap wanita Cina ini tauke kerana ada seorang gadis pembantu) bahawa saya ingin mendapatkan DVD untuk dimainkan dalam kereta saya kerana ada kelengkapan untuk menonton DVD, walaupun saya dapat mendengar lagu terbaharu itu melalui radio, baik di rumah mahupun dalam kereta, atau menontonnya melalui +MTV (saluran 713 Astro).
Kemudian, tauke itu mencadangkan saya membeli DVD Beyonce, lalu diunjukkannya kepada saya. Saya memberitahu tauke itu, memang Beyonce terkenal, jauh lebih terkenal jika dibandingkan dengan Rihanna, walaupun tidak kurang glamur. Bahkan, sejak akhir-akhir ini, Beyonce mencetuskan kontoversi, iaitu ketika beliau muncul untuk pertunjukan sempena upacara angkat sumpah Presiden +Barack Obama untuk penggal kedua dan Super Bowl, dengan pakaian yang mengejutkan, dan sering mendapat liputan, antaranya oleh Anna Klassen dalam +The Daily Beast dan Noah Berlatsky dalam +The Atlantic.
Tauke itu juga mencadangkan saya membeli DVD +Shakira, yang bagi saya, memang popular kerana beliau diundang menyanyi ketika majlis penutupan Bola Sepak Piala Dunia di Afrika Selatan, "Waka Waka," dan pertunjukan budaya sempena persidangan serantau di Colombia, yang turut dihadiri oleh Obama dan Mitchell.
Saya sebenarnya, bukan peminat muzik tegar, hanya meminati lagu tertentu, baik lagu Melayu, Indonesia, mahupun Inggeris dan Hindustan. Memang, saya membeli beberapa kaset atau CD tertentu, antaranya lagu nyanyian +Celine Dion, Toni Braxton, +Mariah Carey, +Madonna, dan +Elvis Presley.
Ketika saya masih bujang, teman serumah memiliki pemain piring hitam, maka jika dia mainkan lagu, saya turut mendengarnya. Kalau saya kesepian, saya "menggatal" juga memainkan piring hitam milik kawan saya itu. Banyak lagu yang dia beli, terutamanya lagu Melayu, Indonesia, dan Inggeris. Kalau lagu Indonesia, pastinya nyanyian Broery Marantika dan Bob Tutipoli; kalau lagu Inggeris, yang masih ingat ialah Boney M, Abba, Manhattan, Tina Charles, dan Elvis Presley.
Dia juga memiliki piring hitam "Lara's Theme", iaitu muzik latar Doctor Zhivago, yang bagi saya, sebuah filem yang menyayat hati, walaupun dipenuhi oleh kisah cinta dan babak asmara Zhivago (Omar Sharif) dengan Lara (Julie Christie). Meskipun seperti yang saya katakan, saya bukan penggemar muzik tegar dan jauh sekali, pengulas muzik, bagi saya, muzik latar tersebut sungguh menarik, secocok dengan ceritanya. Satu lagi muzik latar yang menarik, bagi saya, adalah dalam The God Father - muzik ini saya gunakan sebagai nada dering telefon bimbit yang kini telah rosak.
Ketika mula-mula mendengar "Diamonds" yang saya tidak tahu apakah judulnya, saya bertanyakan anak siapa penyanyinya. Sejak itu, saya sering mendengar lagu itu dan kadangkala kalau kebetulan menonton di MTV. Pagi tadi, ketika dalam kereta, saya memberitahu anak saya bahawa saya gagal mendapatkan DVD Rihanna, lalu dia menjawab, "Mana ada DVD Rihanna. Dia tidak sepopular Beyonce atau Celine Dion. Payah-payah sangat muat turun sahaja dalam Internet. Dapat muzik percuma."
Sebentar kemudian, Rihanna muncul dengan "berliannya."
Sebentar kemudian, Rihanna muncul dengan "berliannya."
No comments:
Post a Comment