Artikel Popular

Tuesday, August 28, 2012

Pilihan Raya Presiden: Siapa Mendahului Siapa?

SELASA, 28 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa,   Florida, sepatutnya bermula pada Isnin semalam,  terpaksa dilewatkan kerana   Taufan Issac. Hal  ini  membimbangkan pihak penganjur kemungkinan ancaman ribut ini "menawan" persidangan penting mereka, terutamanya dari segi liputan media.

Dalam pada itu, kekhuatiran ini mungkin reda kerana calon mereka, Mitt Romney, menurut tinjauan pendapat terbaharu yang dikeluarkan oleh The Washington Post/ABC News, mendahului penjawat kini, dengan 47 peratus berbanding 46 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar. Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat Reuters/Ipsos menunjukkan bahawa Romney menghadapi cabaran besar untuk menewaskan Obama pada  6 November ini.  Sementara di Florida, Obama masih mendahului Romney, dengan 50 peratus berbanding 46 peratus, menurut Time/CNN/ORC, tinjauan pendapat yang dilakukan hanya sebelum calon dan perwakilan tiba di negeri itu untuk menghadiri persidangan. 

Tinjauan pendapat kebangsaan, menurut analisis Nate Cohn, menunjukkan persaingan sengit dalam kalangan berkemungkinan pengundi. Sementara dalam kalangan pengundi berdaftar, tinjauan pendapat Gallup adalah selari dengan The Washington Post/ABC News, iaitu memihak kepada Romney, juga 47 peratus berbanding 46 peratus untuk Obama.



Nate Silver dalam analisis terbaharunya, menunjukkan bahawa Obama masih  mendahului lawannya,   iaitu 299.0 berbanding Romney 239.0 untuk badan perwakilan pemilih.  Sementara peluang Obama untuk memenangi pilihan raya ini ialah 69.3 peratus berbanding 30.7 peratus untuk Romney.

Anggota pasukan Obama, menurut Mark Halperin, masih percaya bahawa badan perwakilan pemilih memihak kepada mereka; mereka melihat atau tidak ada prospek untuk pihak lawan untuk menguasai undi Hispanic, ibu tunggal, atau pengundi muda; mereka fikir Medicare dan pemotongan cukai untuk golongan kaya merupakan muslihat mereka yang sukar digugat; mereka menganggap Romney calon yang lemah, yang biodata dan latar belakangnya mudah terdedah pada serangan populis; dan mereka fikir bahawa kemahiran calon mereka dan digemari jauh lebih berkuasa untuk digugat.  Inilah teori Chicago sebelum ini dan pada hari ini. 

Hakikatnya, kemenangan calon bergantung pada badan perwakilan pemilih yang berbeza-beza mengikut negeri, misalnya 55 untuk California dan sekadar tiga, misalnya Alaska.  William Galston yang menulis dalam The New Republic,  cuba memberikan bimbingan awal tentang badan perwakilan pemilih untuk menjangkakan siapakah calon yang akan menang.  

Galston memberikan taksiran paling konservatif untuk Obama, dengan asas 201 badan perwakilan pemilih dan Romney 181, tidak termasuk Pennsylvania yang mempunyai 20 badan perwakilan pemilih yang dijangkakan memihak kepada Obama, dan satu lagi negeri, Missouri (10 badan perwakilan pemilih) berkemungkinan memihak kepada Romney.  Justeru, asas Obama meningkat kepada  221 badan perwakilan pemilih, manakala Romney kepada 191. 

Pertarungan seterusnya adalah di tiga buah negeri yang Romney mesti menang dan dua lagi yang Obama mesti menang.  Romney 3 ialah Florida (29), North Carolina (15), dan Ohio (18). "Tidak ada  calon Republikan yang pernah sebagai Presiden," tegas Galston, "tanpa Ohio, dan Romney mustahil menjadi yang pertama."  Tidak ada jalan untuk 270 badan perwakilan pemilih untuk calon Republikan tanpa menang di Florida.

Sementara di Ohio, berdasarkan lima Pilihan Raya Presiden yang lalu, kemungkinan besar memihak kepada Obama jika diperhatikan enam tinjauan pendapat terbaharu: Obama memperoleh purata 47.2 peratus, iaitu 0.7 peratus lebih daripada bahagian kebangsaan.  "Memo untuk kempen Romney: apa-apa sahaja anda lakukan di Ohio, tidak berkesan." 

Obama 2 pula ialah Wisconsin (10), yang Obama sebanyak 14  titik peratusan pada tahun 2008, dan Michigan (16) yang beliau menang 16 titik peratusan. Tinjauan pendapat tahun ini menunjukkan persaingan sengit, dan pemilihan Paul Ryan sebagai calon Naib Presiden Republikan menyumbang kepada kesengitan pertandingan.  Menang, salah sebuah negeri ini akan menjadi pengubah permainan, meluaskan opsyen Romney untuk meraih 270 badan perwakilan pemilih dan menyempitkan peluang Obama.

Dengan andaian Romney menang di Florida, North Carolina, dan Ohio.  Katakan Romney menang di ketiga-tiga negeri ini, dan Obama menang di Wisconsin dan Michigan.  Maka, kedudukannya, 253 untuk Romney dan 247 badan perwakilan pemilih untuk Obama.  Dan lima buah negeri lagi yang tinggal untuk menentukan kemenangan:  Virginia (13), New Hampshire (empat), Iowa (enam) Colorado (sembilan), dan Nevada (enam).  Obama menang kesemua lima negeri pada tahun 2009, empat negeri dengan margin mengatasi margin nasional, dan Virginia kurang sedikit daripada margin nasional.

Untuk lima negeri ini, Galston banyak menggunakan andaian, iaitu "jika" untuk menentukan siapakah  yang mara ke Rumah Putih.  Jika Obama menang di Virginia, beliau memerlukan dua negeri lagi,  dengan yang terendah New Hampshire dan yang tertinggi Colorado.  Jika beliau tewas di Virginia, beliau perlu menang di empat negeri untuk menambahkan 253, menjadi 272 badan perwakilan pemilih, betul-betul "cukup makan."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...