Artikel Popular

Thursday, August 2, 2012

China Cuba Ambil Hati Orang Islam?

JUMAAT, 3 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam makalahnya yang diterbitkan dalam The National Interest, "Is China Courting American Muslims?"  Massaoud Hayoun mendedahkan bahawa tatkala kesahan wacana politik terhadap  orang Islam semakin menjadi-jadi di Amerika Syarikat, China membina masjid untuk menarik negara jirannya, Kazkhstan ke Guangzhou untuk Sukan Asia tahun 2010.  Syarikat pembinaan milik negara China menyiapkan landasan yang membolehkan orang Islam berulang-alik antara kota suci Makkah dengan Madinah pada tahun yang sama dan memecah tanah dalam pembinaan Masjid Agung monumen Algiers pada tahun 2012.

Sementara Hong Kong berusaha mewujudkan perundangan untuk mewujudkan "pasaran modal Islam keseluruhannya dalam mempromosikan kewangan Islam," satu usaha untuk menarik modal dan perniagaan Islam ke wilayah itu, menurut Financial Services and Treasury Bureau.

Sebaliknya, di Amerika Syarikat, Islamofobia semakin menjadi-jadi, contoh terbaharu kenyataan Michele Bachmann terhadap Huma Abedin, dan jika sikap seperti ini berterusan,  orang Islam di negara itu beralih arah ke China dan India.  

Tinjauan pendapat yang dikeluarkan oleh Arab American Institute  pada tahun 2011, kecuali Arab Saudi, dari Maghribi, Mesir, Lubnan, Jordan, dan Amiriah Arab Bersatu, mempunyai pendapat yang memihak kepada China berbanding dengan Amerika Syarikat.

Jurang perdagangan semakin melebar dalam beberapa tahun ini.  Volum perdagangan China-Timur Tengah mengatasi volum perdagangan Amerika Syarikat-Timur Tengah pada tahun 2009 sebanyak AS$3 bilion dan pada tahun 2010 sebanyak AS$67 bilion.  Pada tahun 2011, perdagangan Amerika Syarikat-Timur Tengah bernilai AS$153 bilion, tetapi perdagangan China-Timur Tengah telah pun mencecah AS$120 bilion hanya dalam separuh pertama tahun fiskal yang lalu.

Walau bagaimanapun, Hayoun tidak menulis sikap China terhadap orang Islam secara sembarangan kerana beliau juga membangkitkan layanan buruk China terhadap orang Islam Uighur dan pendirian Beijing yang memihak kepada rejim Assad di Syria, boleh mengubah sikap Arab dan Islam: menghakis kepercayaan.

Layanan buruk dan penindasan  Beijing terhadap orang Islam Uighur yang mendiami wilayah Xinjiang telah pun diketahui umum. Bersempena bulan Ramadan sekarang, dilaporkan bahawa pihak berkuasa melarang mereka daripada berpuasa.  Bahkan, pemimpin Uighur diberikan makanan dan minuman supaya makan pada waktu siang.  Selain itu, aktiviti bulan Ramadan disekat, seperti mendesak sekolah memastikan pelajar tidak memasuki masjid.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...