Artikel Popular

Thursday, August 2, 2012

Dari Poland Tanpa Perpaduan

KHAMIS, 2 Ogos 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Mitt Romney menamatkan lawatan enam hari "dasar luar" beliau ke London, Israel, dan Poland, dengan kegagalan.  Atau secara berlapik, seperti yang dikatakan oleh  Bruce Crumley, tidak dapat memenuhi harapannya untuk memperlihatkan dirinya sebagai negarawan antarabangsa, atau gagal mencari suara diplomatiknya.  

Setelah mengaibkan tuan rumah Sukan Olimpik, London, Romney semasa di Israel, mengeluarkan komen yang menyakitkan terhadap umat Palestin.  Beliau, seperti dibahaskan oleh Peter Coy dalam Bloomberg Businessweek, keliru tentang Palestin dan budaya yang menyebabkan tercetusnya keberangan Palestin terhadap komen itu yang menurut editorial Los Angeles Times tidak memberikan faedah.

Ketidakberhasilan lawatan beliau itu diakui oleh anggota Republikan sendiri, menurut Bloomberg,  lalu mereka menggesa segera memberikan perhatian terhadap rancangannya untuk mewujudkan pekerjaan. Mereka seolah-olahnya mahu bakal calon Presiden mereka, cepat-cepat melupakan episod buruk itu. Setakat mana kegagalan lawatan Romney itu mempengaruhi pendirian para pengundi di negara, tidak dapat dipastikan kerana Presiden Barack Obama sendiri tidak dalam kedudukan yang selesa.  Dijangkakan para pengundi tidak mempedulikan kebodohan Romney itu.

Kekecohan lawatan itu terbawa-bawa ke Poland apabila seorang pegawainya bertelagah dengan para wartawan yang ingin mengemukakan soalan kepada Romney.  Dalam usaha meraih sokongan para pengundi keturunan Poland di negeri yang menjadi medan pertarungan,  beliau menggunakan kesempatan melawat Poland dengan mengatakan pertemuan dengan bekas Presiden negara itu yang juga bekas pemimpin Solidarity, Lech Walesa.

Walau bagaimanapun, pihak  kesatuan sekerja yang mempunyai 700,000 ahli itu memaklumkan bahawa mereka tidak terlibat dengan pertemuan itu, menurut John Nichols yang menulis dalam The Nation. Solidarity juga memberitahu bahawa mereka tidak mengundang Romney supaya melawat Poland.  Para pegawainya, dilaporkan mengkritik pertemuan antara Romney dengan Walesa. 

"Kami mendapat tahu daripada kawan kami di pusat kesatuan sekerja Amerika, iaitu AFL-CIO yang mewakili lebih 12 juta orang pekerja tentang sokongan Mitt Romney untuk menyerang kesatuan sekerja dan hak buruh." 


Romney sesat di Eropah.  Tulis Anne Applebaum dalam Slate,  lupakan sahaja kebodohan beliau semasa di London kerana ada masalah yang lebih besar:  Romney ke sana dengan pemikiran yang ketinggalan zaman dan naratif yang semakin mengelirukan tentang dasar Amerika Syarikat.  Beliau seakan-akan beranggapan bahawa beliau melawat "Eropah Baru," iaitu British, Sepanyol, dan Italy yang tidak wujud lagi.

Lawatan Romney telah pun berakhir, tetapi memori paling tidak,  berbekas seketika.  Romney yang masih kepenatan itu, menerima berita bahawa Presiden Barack Obama mendahului beliau di tiga buah negeri yang menjadi medan pertarungan, iaitu Ohio, Florida, Pennyslvania, menurut tinjauan pendapat  Quinnipiac University/New York Times/CBS News.  Di tiga buah negeri itu, Obama memperoleh sokongan sekurang-kurangnya 50 peratus.  Sejak tahun 1960, tidak seorang pun yang menang sebagai Presiden tanpa memenangi dua buah negeri berkenaan.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...