Artikel Popular

Thursday, March 8, 2012

Adakah China Benar-benar No. 1?

KHAMIS, 8  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) terus menjadi tumpuan.  Rusia baru sahaja selesai dengan Pilihan Raya Presiden,  yang seperti dijangkakan,  menyaksikan kemenangan untuk Vladimir Putin.  Sementara India, yang mengadakan Pilihan Raya Negeri Uttar Pradesh,  yang padat dengan 200 juta orang penduduk,  menyaksikan kekalahan kepada Parti Kongres, manakala di Gujarat, genap 10 tahun pogrom

Tatkala politik Rusia dan India menjadi tumpuan, seperti yang diperkatakan dalam blog semalam, Brazil memotong United Kingdom untuk menduduki tempat keenam dari segi kuasa ekonomi dunia.  Hari ini pula, Robert J. Samuelson menulis dalam The Washington Post, adakah China benar-benar No. 1?  satu persoalan yang sering dibangkitkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan pernah dikaji dalam Pew Global Attitudes Project yang menunjukkan China sedang mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia. 

Meskipun China dijangkakan pada bila-bila masa sahaja akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar dunia, Samuelson memaklumkan, kebanyakan ahli ekonomi tidak fikir begitu.  Dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memetik angka Bank Dunia,  pada tahun 2010, menurut Samuelson, ekonomi China adalah kira-kira 70 peratus saiz Amerika.  Nilai KDNK China ialah AS$10.2 trilion berbanding dengan KDNK Amerika Syarikat yang bernilai AS$14.6 trilion. Walau bagaimanapun, beliau menyatakan wujud  ketidaksepakatan tentang nilai KDNK China pada tahun 2010:  AS$15 trilion, dan bahkan dianggarkan AS$17 trilion. 

Dari segi taraf hidup, seperti yang diukur oleh pendapatan per kapita, bahas Samuelson, Amerika Syarikat jauh mengatasi China, mengikut mana-mana anggaran KDNK. "Ingat bahawa semua pengeluaran dan pendapatan China tersebar dalam kalangan 1.34 bilion penduduk, manakala KDNK Amerika Syarikat dibahagikan dalam kalangan 309 juta orang."  Menggunakan angka Bank Dunia, hujah Samuelson, "pendapatan per kapita Amerika Syarikat berjumlah AS$47,153 pada tahun 2010, berbanding dengan AS$7,599 China.  Andaikan KDNK China AS17 trilion, meningkatkan pendapatan per kapita kira-kira AS$12,700, kira-kira satu perempat Amerika Syarikat.

Dengan andaian pertumbuhan China lapan peratus setahun dan Amerika Syarikat pula tiga peratus setahun, jangkaan Samuelson, maka China akan memotong Amerika Syarikat pada tahun 2018.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...