Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Roger Bootle dalam bukunya yang pernah diulas sebelum ini, iaitu The Trouble with Markets: Saving Capitalism from Itself, dalam usaha menyelamatkan kapitalisme pernah membayangkan kewujudan beberapa jenis kapitalisme yang diamalkan di beberapa buah negara. Amerika Syarikat: sebahagian pergaduhan ramai, sebahagian dikawal selia dengan ketat; United Kingdom: kapitalisme terbuka dikuasi kewangan; Perancis dan Jerman: kapitalisme birokratik; Scandinavia: kapiitalisme negara kebajikan; Rusia: kapitalisme raja perompak; Singapura: kapitalisme terurus; dan China: kapitalisme negara.
Sementara The Economist dalam keluaran 21 - 27 Januari tahun ini, muncul dengan liputan yang luas tentang kapitalisme negara. (Saya bercadang untuk menulis kapitalisme negara dalam masa yang terdekat.)
Sejak berlakunya krisis ekonomi semasa, sebilangan cerdik pandai dan ahli ekonomi tidak henti-henti mencadangkan demi menyelamatkan kapitalisme, maka negara dan penggubal dasar mencari model baru. Untuk Britain misalnya, Will Hutton yang menulis dalam The Guardian mencadangkan negara itu mendakap model baru kapitalisme.
Dalam tulisan itu, Hutton memetik David Rothkopf tentang debat di seluruh dunia, iaitu usaha untuk mentakrifkan apakah kapitalisme pada abad ke-21 yang sepatutnya. Sesetengah negara, seperti Singapura dan Israel, membangunkan kapitalisme usahawan negara kecil. Kemudian wujud kapitalisme stakeholder Jerman dan negara Nordic; kapitalime pembangunan demokratik Brazil dan India; kapitalisme "pasaran sosialis" diperjelaskan sendiri; dan aktivisme kerajaan bahkan berfungsi di Amerika Syarikat, menyaksikan pemulihan industri kereta.
Untuk Britain, Hutton menjelaskan, "Kita mesti mempunyai struktur pemilikan yang jamak dan pelbagai, terutamanya firma keluarga, koperasi dan syarikat milik pekerja yang bersaiz sederhana, dan syarikat berhad awam perlu menjadi kurang mempunyai obsesi terhadap matlamat keuntungan jangka pendek. Kita perlu memastikan sistem cukai, perundangan, dan kawal selia memacu amaun maksimum dari segi pembabitan dan pengawasan, dan jika tidak dicapai, untuk memikirkan cara baru memenuhi jurang itu."
Pencarian model yang tanpa kesudahan untuk menyelesaikan krisis ekonomi, atau lebih tepat krisis kapitalisme. Sejak dari dahulu lagi, Karl Marx dan Rosa Luxemburg telah pun mengemukakan jalan penyelesaiannya, iaitu kapitalisme sentiasa memerlukan wilayah baru untuk berkembang. Namun, wilayah yang diperlukan itu kian terbatas, dan bahkan tidak wujud lagi.
No comments:
Post a Comment