Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Ketuanan Melayu yang meledak dalam beberapa hari ini,
menurut tafsiran cerdik pandai politik dan pandangan umum, lahir daripada
perjuangan nasionalis Melayu menentang Malayan Union, dan dikaitkan dengan
perjuangan UMNO, sedangkan kelahiran
parti ini merupakan lanjutan daripada penentangan tersebut. Ketuanan
Melayu yang dianggap keperdanaan dalam penentangan Malayan Union, Perjanjian Persekutuan tahun 1948 dan kemerdekaan Tanah
Melayu tahun 1957, pernah bergema semula pada pertengahan tahun 1980-an.
Dalam Sulalat
al-Salatin atau Sejarah Melayu, dinyatakan hubungan tuan dengan
rakyat, apabila Demang Lebar Daun berwaad dengan Seri Teri Buana. Untuk berwaad, Demang Lebar membahasakan Seri
Teri Buana “Yang Dipertuan” dan “patik” untuk dirinya sendiri. Beliau memohon janji daripada Seria Teri
Buana: “Tuanku, segala anak cucu patik
setia akan jadi hambalah ke bawah Duli Yang Dipertuan. Hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu tuan
hamba.” Waad ini diitafsirkan sebagai “kontrak
sosial” antara raja dengan rakyat.
Dari segi sejarah politik tanah air, konsep ketuanan Melayu dapat dikesan dalam
perjuangan golongan radikal Melayu, iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM), Kesatuan Rakyat
Indonesia Semenanjung (KRIS), dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), yang
mengimpikan sebuah negara bangsa “Indonesia Raya” atau “Melayu Raya.” Sejak awal lagi, PKMM merupakan parti berfokus Melayu dan idea
sebuah negara tidak terhad kepada Semenanjung Tanah Melayu sahaja,
tetapi mencakupi semua penutur bahasa Melayu
dalam satu entiti politik yang menyatukan bangsa di Tanah Melayu dan
saudara-mara mereka di Indonesia seperti yang wujud pada zaman Majapahit
sebelum penjajah memisahkan mereka.
Dr.
Burhanuddin al-Helmy, pemimpin PKMM, dalam
bukunya setebal 52 halaman, tulisan Jawi, Sejarah Perjuangan Kita,
antaranya menulis: “Kerana hanya begitulah sahaja, baru dapat menimbulkan rasa
keyakinan dan kepercayaan yang teguh
yang akan menjadi ‘asas dan dasar’ kita memperjuangkan cita-cita suci menuju
matlamatnya – iaitu ‘merdeka’ – merdeka dalam erti kata yang sebenar-benarnya,
iaitu kemerdekaan bangsa, agama, dan tanah air. (Bangsa Melayu menjadi tuan di
tanah airnya sendiri).” Ayat dalam kurungan itu memang jelas akan maksudnya, tidak perlu, “sudah
terang lagi bersuluh.”
Pada
hakikatnya, keperluan individu-individu
untuk harga diri menyebabkan mereka percaya kumpulan mereka lebih baik daripada kumpulan
lain. Pertimbangan mereka tentang kebangkitan dan kejatuhan diri dengan
peruntungan diri yang dengan kumpulan itu mereka mengenali diri mereka dan pada
takat tertentu dengan orang lain yang tidak termasuk dalam kumpulan mereka.
Justeru,
ketuanan Melayu sepatutnya difahami dalam konteks jati diri dan maruah, dan
bukannya cuba memperlekehnya, apatah lagi,
“memberikan jawapan yang silap kepada soalan yang silap.” Jika
diperhatikan, ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh golongan radikal dan golongan nasionalis adalah
demi jati diri, harga diri, dan maruah bangsa di sebuah negara
terjajah selama beratus-ratus tahun. Bangsa yang terpaksa tunduk pada hegemoni
Eropah, tetapi pada dasarnya, mereka masih mampu mempertahankan kesinambungan tatanegara atau politi Melayu: Raja-Raja Melayu, agama Islam,
bahasa Melayu, dan adat istiadat Melayu.
Untuk memahami ketuanan
Melayu, sewajarnya kita merujuk konsep jati diri dan maruah yang diperkenalkan
oleh Francis Fukuyama. Dalam buku terbaharunya, Identity: The Demand for
Dignity and the Politics of Resentment, Fukuyama menegaskan, jati diri berkembang pada mulanya daripada
perbezaan antara diri dalaman sebenar seseorang dengan dunia luaran peraturan
sosial dan norma yang tidak mengiktiraf nilai atau maruah (dignity) diri
dalaman dengan secukupnya. Beliau menjelaskan bahawa diri dalaman ialah asas
maruah manusia, tetapi sifat maruah itu ialah
pemboleh ubah dan berubah sepanjang masa. Dalam banyak budaya awal, maruah dianggap dimiliki oleh sebilangan orang,
selalunya pahlawan yang rela berkorban nyawa dalam peperangan. Dalam masyarakat
lain, sifat semua manusia berasakan nilai intrinsik mereka. Dalam kes lain,
maruah kepada keanggotaan seseorang dalam kumpulan yang besar yang berkongsi
memori dan pengalaman. Akhir sekali, maksud dalaman maruah mencari
pengiktirafan. Tidak ada gunanya seseorang itu mengatakan dirinya bernilai atau
bermaruah sekiranya orang ramai tidak mengiktirafnya secara terbuka.
Thomas
Hobbes, John Locke, dan Jean-Jacques Rousseau, pernah
menjelaskan keadaan semula jadi (state
of nature) ialah cara dan metafora untuk membincangkan sifat semula jadi
manusia. Walau bagaimanapun, keadaan
semula jadi yang diperkenalkan oleh tiga pemikir moden awal – Hobbes, Locke,
dan Rousseau – yang wujud sejak dari awal dunia sebelum kewujudan masyarakat
manusia – hanya metafora untuk sifat semula jadi manusia, iaitu ciri paling
asas manusia yang wujud secara bebas daripada masyarakat atau budaya tertentu. Manusia tidak dapat
tidak, akan memerlukan hormat yang
sangat tinggi berbanding dengan yang lain. Untuk menafikannya adalah menafikan
kemungkinan kecemerlangan manusia. Isothymia menuntut supaya kita
mengiktiraf kesamaan asas rakan manusia kita. Thymos ialah bahagian jiwa
yang mencari pengiktirafan.
Maruah
dan pengiktirafan saling berkait. Ahli falsafah Jerman Friedrich Hegel
menegaskan bahawa sejarah manusia dipacu
oleh perjuangan untuk pengiktirafan. Tuntutan ini pada mulanya
datangnya daripada pahlawan yang rela menggadai nyawa mereka dalam peperangan
yang sengit, bukan demi wilayah dan kekayaan, tetapi demi pengiktirafan.
Keinginan
supaya negara mengiktiraf maruah asas seseorang
merupakan teras gerakan demokrasi sejak Revolusi Perancis, dan
berlanjutan dalam revolusi sezaman.
Dalam Identity, Fukuyama
membangkitkan peristiwa yang berlaku di Tunisia pada Disember 2010 dan Revolusi
Maruah di Ukraine yang bermula pada November 2013. Revolusi Melati di
Tunisia, berlaku secara spontan, tanpa
arahan, tanpa pemimpin, dan tanpa organisasi. Revolusi ini dilakukan
seorang diri oleh penjual sayur, Mohamed Bouazizi yang tidak
menganggotai mana-mana parti politik, tidak menegakkan apa-apa slogan, dan
bahkan tidak menuntut pembaharuan demokratik. Bouazizi ketika itu
berusia 26 tahun, tidak mempunyai ijazah
universiti, bertindak membakar dirinya
di depan pejabat daerah, yang akhirnya mencetuskan revolusi di Tunisia dan dengan
cepat merebak ke dunia Arab: Mesir, Libya, Yaman, dan Syria.
Berdekad-dekad
sebelum berlakunya Pemberontakan Arab kedua
itu, orang Melayu berbelas-belas ribu atau berpuluh-puluh ribu orang turun di jalanan di
setiap negeri, mendesak pengiktirafan maruah, menentang Malayan Union. Di Tanah Melayu, buat pertama kali, wanita menyertai
demonstrasi terbuka di jalanan. Orang
Melayu dan para penyokong mereka membantah kedudukan Raja-Raja Melayu yang merupakan nilai
simbolik yang sangat besar kepada orang Melayu, yang diturunkan martabat
mereka, dan mengkritik konsesi politik kepada orang bukan Melayu. Selama ini, British dianggap sebagai
“pelindung” dan bukannya “penjajah” di Negeri-Negeri Melayu. British sendiri pernah berjanji bahawa
negeri-negeri ini akan sentiasa sebagai Negeri-Negeri Melayu dan mereka hanya
diminta membantu supaya negeri tersebut ditadbir secara aman.
Apabila golongan radikal dan nasionalis Melayu memperjuangkan
ketuanan Melayu sebelum negara mencapai
kemerdekaan, pada hakikatnya, mereka menegakkan maruah bangsa dan menuntut
pengiktirafan, sejajar dengan status sebagai anak watan. Sebagai bangsa yang mempunyai maruah, mereka
tidak mahu diri mereka diaibkan. Tindakan seperti ini sejajar dengan peringatan Sultan Nazrin
Muizzuddin Shah, “Sedarlah! Apabila Melayu memilih untuk merendahkan bangsanya
sendiri, maka akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk
menghinanya. Lalu Melayu akan dipandang fakir – adat budayanya akan
tersingkir.”
Menurut
Fukuyama, meskipun Martin Luther, Immanuel Kant, Rousseau, dan Hegel memahami
maruah dalam cara berbeza, mereka ialah universalis, kerana mereka mempercayai
kesaksamaan maruah semua manusia berasaskan potensi mereka untuk kebebasan
dalaman. Tuntutan pengiktirafan maruah
untuk golongan yang terpinggir dan tidak dihormati selalunya berubah
menjadi gerakan politik: nasionalisme dan Islamisme. Pada abad ke-19 dan ke-20,
nasionalisme dicetuskan secara pesat oleh golongan intelektual, elit politik,
dan sekali-sekala oleh elit ekonomi.
Keterpinggiran
pernah dialami oleh rang Melayu; mereka
tinggal di kawasan luar bandar, bergantung pada pertanian yang lebih bersifat
sara diri, dan tersisih daripada kegiatan ekonomi moden yang lazimnya tertumpu
di bandar. Dengan ketuanan Melayu yang diperjuangkan itu – memetik Fukuyama
sekali lagi: “Golongan elit membangunkan daya tarikan yang canggih dan
membangkitkan emosi terhadap golongan yang mereka fikirkan boleh membentuk jati
diri nasional dan menyokong mereka untuk perjuangan nasionalis.”
Dengan
terhapusnya Malayan Union dan terbentuknya Kerajaan Persekutuan pada 1 Februari
1948, Raja-Raja Melayu kembali bertakhta
dan berkuasa semula di negeri masing-masing. Menurut catatan Leon Comber, “oleh
sebab Raja-Raja Melayu diiktiraf sebagai raja berdaulat, maka bermakna dari
segi perlembagaannya, Persekutuan Tanah Melayu ialah negeri Melayu.”
Fukuyama
yang pada suatu masa dahulu mengisytiharkan kemenangan demokrasi liberal,
akhirnya akur bahawa jati diri atau jati diri politik, ialah idea moral yang sangat berkuasa. Penegasan ini mengingatkan kita bahawa tidak ada satu bangsa pun di dunia ini yang
mahu maruah mereka dihina dan diperlekeh.
Memang aneh, tatkala kebanyakan
gerakan sosial sezaman memperjuangkan jati diri dan menegakkan maruah mereka, ada
sebilangan ahli politik tanah air yang kononnya berpandangan global, mengisytiharkan ketuanan Melayu sudah
berkubur.
Dalam
konteks yang yang lebih luas, dengan ketuanan Melayulah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan seterusnya,
negara bangsa Malaysia terbentuk. Akan tetapi, “kontrak sosial” atau “tolak ansur” yang
dipersetujui, menurut Muhammed Abdul Khalid
dalam bukunya, The Colour of Inequality:
Ethnicity, Class, Income, and Wealth in Malaysia, “negara Melayu
yang wujud sejak 500 tahun kini dikongsi dengan orang lain. Negara ini berubah selama-lamanya.” Walau bagaimanapun, Muhammed
yang kini berkhidmat sebagai penasihat ekonomi Perdana Menteri, dalam
menghasilkan sebuah buku yang sangat berpengaruh yang membincangkan dan membahaskan
ketidaksamaan – kembar kesaksamaan – tidak pula menuding jarinya terhadap ketuanan Melayu. Dengan kata lain, antara ketuanan Melayu
dengan kesaksamaan, tidak wujud hubungan sebab-musabab sama sekali, “jauh panggang dari api.” Sebarang usaha
untuk mengaitkan kedua-duanya, diibaratkan “mencari geliga ular sawa dalam
mulut naga” yang pastinya, tidak akan ditemui hingga ke hujung benua.
Sebarang
usaha untuk menafikan kesinambungan
ketuanan Melayu, apatah lagi dengan mereka-reka alasan yang karut-marut, lebih menampakkan kejahilan sejarah individu (individu-individu) tertentu. Sesungguhnya, ketuanan Melayu bukan retorik
politik yang menimbulkan kejijikan, dan
bukan juga punca segala kejahatan dan
kecelakaan semata-mata kerana “sekali
air bah, sekali pasir berubah.” Apabila melihat ledakan yang berlaku dalam
beberapa hari ini, terutamanya dalam media sosial, jelas menunjukkan bahawa ketuanan Melayu sebagaimana asal-usulnya, merentas ideologi politik, akan berkembang mekar sepanjang zaman, dan
tidak akan terhakis dalam memori sejarah.
No comments:
Post a Comment