Artikel Popular

Wednesday, July 23, 2014

Gajah Lawan Naga

RABU, 23  Julai 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam buku terbarunya, The Origins of Political Order:  From Prehuman Times to the French Revolution, Francis Fukuyama, menulis satu topik yang menarik yang kini sering mendapat perhatian: “China versus India.”  Meskipun tidak panjang, iaitu hanya dua setengah halaman, Fukuyama memerhatikan bahawa pada awal abad ke-21, berjilid-jilid karya diterbitkan tentang prospek relatif  China dan India sebagai negara pasaran sedang muncul yang berkembang pesat.  Beliau juga memerhatikan bahawa banyak perbincangan ini berkisar pada ciri sistem politik.  China sebagai negara autoritarian, banyak mencipta kejayaan jika dibandingkan dengan India dari  segi mempromosikan projek infrastruktur yang besar.  China dapat melaksanakan projek pembangunan dengan mudah, meskipun terpaksa memindahkan jumlah penduduk yang banyak sehingga berjuta-juta orang.   Sebaliknya, India dengan demokrasi majmuk, terpaksa menghadapi tentangan daripada pelbagai kumpulan sekiranya kerajaan ingin melaksanakan sesebuah projek. 
            Fukuyama mengingatkan bahawa masalah banyaknya perbandingan ini adalah gagal mengambil kira bagaimana sistem politik China dan India berakar umbi dalam struktur sosial dan sejarah mereka.  Jelas beliau lagi, jenis kerajaan kuku besi  yang bangkit di China atau Rusia, iaitu sistem yang melucutkan  seluruh masyarakat, bermula dengan golongan elit, harta, dan hak peribadi,  tidak pernah wujud di bumi India, bukan  semasa kerajaan Hindu peribumi, bukan semasa pemerintahan Mogul, dan bukan semasa pemerintahan British.  Keadaan ini membawa kepada situasi paradoks yang protes terhadap ketidakadilan sosial, yang melibatkan bilangan yang sangat besar, secara tipikal tidak pernah ditujukan kepada pihak berkuasa politik pemerintahan India, seperti yang berlaku di Eropah dan China.  Sebaliknya, protes tersebut ditujukan kepada orde sosial yang dikuasai oleh golongan Brahmin. 
Keadaan seperti ini tidak berlaku di China, yang negara yang kuat dengan institusi moden dibangunkan lebih awal. Negara China yang kuat, yang dimajukan dengan cepat selalunya mampu melakukan tugas yang India tidak mampu, daripada pembinaan Tembok Besar untuk berlindung daripada penceroboh nomad, kepada projek hidroelektrik yang sangat besar pada abad ke-21. 
Untuk mengatakan bahawa di China tidak wujud penentangan rakyat, seperti yang Francis Fukuyama perhatikan, sememangnya tidak tepat sama sekali.  Revolusi Melati yang tercetus di Tunisia lebih setahun lalu, dikatakan merebak ke China. Krisis  global juga merebak ke China kerana pertumbuhan ekonomi mula  tegun.  Baru-baru ini, berlaku protes nelayan di Wukan terhadap kader yang korup yang menjual tanah awam, sedangkan penduduk kampung tidak  yang mendapat apa-apa, yang mendapat liputan luas media asing.   Meskipun China mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan dan kemakmuran semakin meningkat, rasa tidak puas hati rakyat semakin mendalam dan semakin merebak. 
Seperti yang dinyatakan oleh Li Xiaorong dalam  blog The New York Review of Books pada Januari tahun lalu, “What I Told Obama About  Beijing’s Human Rights Problem,”  berjuta-juta orang membanjiri pejabat-pejabat kerajaan untuk mengadu tentang ketidakadilan berhubung dengan kurangnya perlindungan buruh, pergaduhan berhubung dengan hak tanah dan rumah, dan demonstrasi yang dianjurkan oleh guru, golongan veteran, pekerja bank, mangsa pencemaran, dan oleh ibu bapa yang anak-anak mereka diracuni oleh produk tenusu atau mati di bangunan sekolah yang ketika gempa bumi Szechuan tahun 2008.  Berlaku protes oleh golongan minoriti etnik dan agama tentang diskriminasi dan pemusnahan budaya.  Menurut statistik kerajaan sendiri, dalam setiap lima tahun lalu, kira-kira 90,000 “protes massa” berlaku.  Jumlah sebenar tanpa diragui adalah lebih tinggi daripada itu.
China dan India, ialah dua negara dalam BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) yang dijangkakan mengubah orde dunia baru.  Ketika dunia dilanda kemelesetan pada tahun 2009, kedua-dua negara, iaitu China dan India masih mampu mencipta pertumbuhan. Joel Kotkin yang menulis dalam Newsweek akhir Julai 2011, pernah membayangkan “India Penakluk Dunia” bahawa selepas sekian lama gerhana, negara purba itu akhirnya kembali sebagai kuasa dalam perniagaan dan budaya global. Malangnya, tidak lama selepas itu,  didapati  pertumbuhan dan  pelaburan langsung asing (FDI) India merosot sehingga mendorong Fareed Zakaria yang menulis melalui blognya, membuat spekulasi bahawa “I” bukan lagi untuk India, tetapi berkemungkinan digantikan oleh Indonesia. 
Walau bagaimanapun, pelayaran China juga tidak  selalunya tanpa gelora, seperti yang dibayangkan oleh Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times pada Disember 2011, “Will China Break?” yang menunjukkan kemungkinan China menjadi pusat gempa baru krisis.  Perkara yang paling jelas, bahas Krugman, “tentang ekonomi China sepanjang dekad lalu ialah cara penggunaan isi rumah, meskipun meningkat,  ketinggalan di belakang pertumbuhan secara keseluruhan.  Setakat ini, perbelanjaan pengguna hanya kira-kira 35 peratus KDNK, kira-kira separuh tahap di Amerika Syarikat.”  Jelas Krugman, Amerika Syarikat merupakan pembeli barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh China.  Negara itu juga banyak bergantung pada pelaburan hartanah yang berhadapan dengan risiko keruntuhan.  Sebagaimana Amerika Syarikat beberapa tahun lalu, di China, sistem kewangan mungkin lebih banyak terdedah berbanding dengan data tentang pendedahan perbankan konvesional.
Antara China dengan India, China adalah jauh di hadapan kerana dari segi ekonomi global, negara itu menduduki tempat kedua di belakang Amerika Syarikat, selepas berjaya menyingkirkan Jerman untuk tempat ketiga dan seterusnya Jepun untuk tempat kedua.  Pada Julai tahun lalu, Pew Global Attitudes Project menunjukkan  bahawa dalam 15 daripada 22 negara yang ditinjau, keseimbangan pendapat adalah bahawa China, sama ada akan menggantikan atau telah pun menggantikan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar utama dunia.  Pandangan ini, khususnya meluas di Eropah Barat, apabila sekurang-kurangnya enam dalam 10 di Perancis (72 peratus), Sepanyol (67 peratus), Britain (65 peratus), dan Jerman (61 peratus) melihat China menggantikan Amerika Syarikat.
Jelas kajian itu lagi, sekurang-kurangnya beberapa pandangan yang berubah ini tentang keseimbangan global kuasa mungkin menggambarkan hakikat bahawa Amerika semakin dilihat di belakang China dari segi ekonomi.  Pandangan seperti ini, terutamanya wujud di Eropah Barat, apabila peratusan yang menamakan China sebagai kuasa ekonomi yang teratas telah meningkat oleh digit berganda di Sepanyol, Jerman, Britain, dan Peracis sejak tahu 2009.  Di negara lain di dunia, sebilangan yang yakin bahawa China merupakan kuasa ekonomi global.  Majoriti atau majmuk di Eropah Timur, Asia, dan Amerika Latin masih menamakan Amerika Syarikat sebagai kuasa ekonomi dominan dunia.  Di Timur Tengah, rakyat Palestin dan orang Israel bersetuju bahawa Amerika terus menduduki tempat teratas ekonomi global, manakala Jordan dan Lubnan  lebih melihat China dalam peranan ini. Dengan ketara,  sebanyak margin hampir 2-dengan-1, orang Cina  masih percaya bahawa Amerika Syarikat  ialah kuasa ekonomi dominan dunia.
Berdasarkan Pew Global Attitudes Project  ini jelas bahawa saingan China ialah Amerika Syarikat, dan bukannya India. Bahkan, ketika zon euro masih bergelut dengan krisis hutang, harapan diberikan terhadap China untuk menjadi penyelamat, dan bukan lagi kepada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa.  
Namun, hal ini tidak bermakna bahawa tidak ada kewajaran atau kerasionalan untuk membandingkan China dengan India.  Majalah Time dalam keluaran 21 November tahun lalu muncul dengan dua liputan utama yang menarik, pertama “The Chindian Century”  dan   “Which One Economic Model Prevail?”  Makalah pertama, yang ditulis oleh Zoher Abdoolcarim membayangkan abad China dan India jika kedua-dua negara berpadu tenaga. Akan tetapi, sebelum menyelamatkan dunia, China dan India perlu menentukan ekonomi dan masyarakat mereka.  Pertumbuhan kedua-dua negara itu mula perlahan, meskipun untuk China, hal ini adalah baik kerana membantu menyejukkan ekonomi yang terlalu panas. 
“Di kedua-dua negara,” tulis Abdoolcarim, “eksport merosot, inflasi pada tahap yang menyakitkan, ketidaksamaan pendapatan semakin melebar, dan ketidakadilan, seperti pengambilan tanah mencetuskan merebaknya protes.”  Tambah beliau, “kedua-kedua negara membebaskan berjuta-juta penduduk daripada belenggu kemiskinan, tetapi tidak terhitung jumlahnya berjuta-juta yang lain, seperti belia, pekerja, petani terus terpinggir dan terdesak untuk mata pencarian yang memuaskan.  Sementara China tidak mematuhi peraturan, India pula mempunyai banyak peraturan yang perlu dipatuhi.”
Makalah kedua mengandungi dua makalah, iaitu “The Case for India:  Free to Succeed” yang ditulis oleh Michael Schuman dan “The Case for China:  The Power of Planning” oleh Bill Powell yang mempertahankan kes masing-masing.  Bagi Schuman, dalam membandingkan India dan China, kebanyakan ahli ekonomi dan komuniti perniagaan melihat perkara yang silap.  Birokrat Beijing mungkin lebih baik dari segi membina jalan raya, tetapi kerajaan yang menentukan dan mencabuli hak asasi manusia  tidak akan memastikan kejayaan ekonomi negara.  Separuh abad lalu sejarah ekonomi Asia memberitahu kita  bahawa pembangunan mapan hakikatnya bergantung pada keusahawanan, sektor swasta yang kuat, kedaulatan undang-undang, dan keterbukaan politik.  “India, bukannya China,”  bahas beliau, “mempunyai building blocks yang penting bagi kemajuan ekonomi.  Dan itulah sebabnya India akan memotong China sebagai ekonomi sedang muncul utama di dunia.” 
Berbanding dengan China, bahas Schuman lagi, “India mempunyai kelebihan demografik dalam menjanakan pertumbuhan pada masa hadapan.  Yang paling penting, India mempunyai model ekonomi yang lebih hebat berbanding dengan China, iaitu tegap, teguh, dan dilengkapi dengan baik untuk mengekalkan kemajuan yang pesat dalam jangka panjang.  Itulah sebabnya ekonomi India mempunyai sumber pertumbuhan seimbang.  Permintaan domestik yang kuat memacu KDNK India, menawarkan perlindungan ekonomi daripada kejutan luaran.”
Bill Powell yang menulis model China, membahaskan bahawa negara itu kini ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, mengalami pertumbuhan hampir 10 peratus setahun sepanjang dekad pertama abad ini.  Pertumbuhan pendapatan per kapita pada tahun 2010 meningkat sembilan peratus.  Produktiviti pembuatan berkembang 10 peratus setahun.  “Negara itu,” tulis Powell, “tidak seperti India, terus-menerus mempunyai lebihan akaun semasa yang besar dan hanya mencatatkan sedikit defisit belanjawan tahun ini (2011).  China juga mempunyai lebih AS$3 trilion (dan pengiraan) nilai rizab pertukaran asing.”
Tegas Powell, negara autoritarian yang diamalkan oleh China dan tindakan keras kerajaan terhadap puak penentang, seniman, dan wartawan jangan dikelirukan.  Sebaliknya, tegas beliau, tadbir urus kerajaan sepatutnya  dilihat dari segi “mewujudkan keadaan supaya sektor swasta dapat berkembang”  yang telah pun dilaksanakan di negara itu.  Kerajaan bukan sahaja membina infrastruktur, tetapi juga membangunkan sumber manusia.  Meskipun dari segi demografi India yang menang kerana dalam tempoh 20 tahun, China akan menjadi masyarakat berumur, sedangkan India mempunyai jumlah besar yang orang muda, Powell mengingatkan, “Pertama, India perlu mendidik pekerja pada masa hadapan, seperti yang pernah dilakukan oleh China.” Tanpa menafikan kemungkinan India muncul sebagai ekonomi murah secara relatif  dengan infrastruktur bertaraf dunia, namun bahas beliau, “ketika India sampai di situ, China akan terus mara.  China akan muncul sebagai ekonomi yang paling berkuasa di planet ini.”
Sebenarnya, dari segi jumlah penduduk, umur median (dalam tahun), celik huruf, pengguna Internet, tenaga buruh, dan pariti kuasa beli KDNK, China mendahului India.  Demikian juga dari segi nilai import, eksport, perbelanjaan ketenteraan sebagai peratusan KDNK, dan rizab pertukaran asing dan emas, juga China mendahului India.  Satu-satunya India mendahului China ialah kadar inflasi pada tahun 2010, dengan India 12.0 peratus berbanding China 3.2 peratus.
Dalam The New York Review of Books keluaran Mei 2011, Amartya Sen pernah membandingkan India dengan China dari segi kualiti kehidupan, melampaui pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK).  Memetik statistik daripada Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dari segi jangkaan hayat pada kelahiran di China ialah 73.5 tahun berbanding India 64.4 tahun.  Kadar kematian bayi ialah 50 orang per 1000 orang di India, berbanding hanya 17 orang di China; kadar kematian kanak-kanak di bawah lima tahun ialah 66 orang per 1000 untuk India dan 19 orang untuk China; dan kadar kematian ketika bersalin ialah 230 orang per 100,000  kelahiran yang hidup di India dan 38 orang di China. Tahun min persekolahan  di India dianggarkan 4.4 tahun, berbanding dengan 7.5 tahun di China.  Kadar celik huruf China ialah 94 peratus, berbanding dengan 74 peratus India menurut jadual awalan banci tahun 2011.
Demikian juga perbelanjaan untuk “sektor sosial,” iaitu kesihatan, pendidikan, pemakanan, dan sebagainya, meskipun meningkat di India, tetapi masih di belakang China. Misalnya, perbelanjaan kerajaan terhadap penjagaan kesihatan di China adalah hampir lima kali ganda jika dibandingkan dengan di India.  Sementara kerajaan China membelanjakan hampir dua peratus KDNK (1.9 peratus) untuk penjagaan kesihatan, perkadaran hanya atas satu peratus (1.1 peratus) di India.
China lawan India, bermakna negara autoritarian lawan demokrasi, kapitalisme negara lawan perusahaan swasta. Dari segi politik, kedua-duanya, iaitu China dan India mempunyai Tibet, tetapi yang dimaksudkan Tibet India ialah Kashmir.

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Mac 2012.)

Saturday, July 19, 2014

Gelombang Autokrasi dan Oligarki di Eropah

SABTU,  19 Julai 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Serangan berkembar yang dilakukan oleh  Anders Behring Breivik seorang diri, meledakkan bangunan kerajaan di Oslo, dan beberapa jam kemudian, menyerang perkhemahan belia di Pulau Utoya pada akhir Julai tahun lalu (2011), mengorbankan 76  nyawa,  membangkitkan kesedaran tentang  kewujudan neo-Nazi bukan sahaja di negara itu, tetapi juga di negara lain, seperti   Sweden, Belgium, dan Jerman.   Banyak orang menyertai neo-Nazi dan ideologi  kanan jauh yang lain berasa diri mereka dilucutkan kuasa dan dipinggirkan, dan percaya bahawa cara untuk mengatasi masalah ini dengan berpatah balik ke masa lalu yang “tulen” yang indah, berasaskan kaum dan pada takat tertentu berasaskan agama.
            Kira-kira empat tahun lalu, pernah ditonjolkan kebangkitan neo-Nazi di Eropah Timur dan Rusia.  Tujuh puluh lima tahun selepas Hitler berkuasa di Jerman pengaruh ideologinya yang mendatangkan keburukan hidup dengan bilangan yang meningkat dari segi serangan rasis yang dilaporkan, terutamanya di negara bekas Kesatuan Soviet. Di Rusia, salah satu kawasan pergolakan utama untuk kegiatan neo-Nazi, aktivis hak asasi manusia menganggarkan wujud kira-kira 70,000 skinheads.  Sementara di republik Baltic, iaitu Estonia, Luthuania, dan Latvia, kumpulan neo-Nazi kebanyakannya terpinggir daripada politik arus perdana.  Negara lain yang menyaksikan kebangkitan neo-Nazi, meskipun kecil, ialah  Ukraine, Slovak, Republik Czech, Poland, dan Hungary.  Negara demokrasi yang lama wujud di Eropah Barat juga didapati tidak kebal daripada sebatan neo-Nazi dengan serangan dan gerakan kanan jauh di negara, seperti Sepanyol dan Greece.  Merentas benua itu, gambaran kelihatan secara meluas adalah sama, puak kanan jauh menarik golongan belia yang menganggur, tidak terpelajar dan mereka yang menentang imigrasi.  
            Dalam keluaran 15 Ogos, 2011, Newsweek muncul dengan rencana utama, “Fascist Russia?”  ditulis oleh Owen Matthews dan Anna Nemtsova, mendedahkan bahawa Kremlin bermain permainan yang bahaya dengan tunduk pada kehendak puak kanan jauh yang menimbulkan kebencian. Beberapa jam selepas tragedi di Norway itu, puak bawah tanah ultranasionalis Rusia meraikan, “Breivik ialah wira kulit putih.”  Parti ultranasionalis yang dikenali sebagai Demokrat Nasional, adalah bertujuan menghentikan “pengisalaman Rusia” dan menghentikan penghijrahan peribumi Caucasus ke Rusia Eropah.  Pemimpinnya, Dmitry Fiaktistov mahukan “kawasan etnik Rusia yang tulen” diwujudkan supaya orang Rusia dapat diasingkan, seperti orang Yahudi Israel dan umat Palestin di Tebing Barat.
            Neo-Nazi dan Fasis di Eropah selalunya dilihat dalam konteks kebangkitan  kanan jauh dan parti populis, seperti yang pernah dicatatkan oleh Jamie Barlett dalam Foreign Policy  bahawa parti-parti  populis melanda Eropah, dan Facebook.  Dalam makalah “Europe Facebook Fascists,”  Barlett menulis. “di Eropah, parti-parti populis ditakrifkan oleh penentangan mereka terhadap penghijrahan dan keprihatinan untuk melindungi budaya kebangsaan dan Eropah, terutamanya terhadap ancaman yang ditanggapi daripada Islam.  Sepanjang dekad lalu, pertumbuhan mereka sungguh luar biasa.  Pernah muncul sebagai parti pinggiran, parti-parti ini kini memperoleh sokongan yang signifikan di Austria, Belgium, Perancis, Italy, Belanda, dan bahkan (atau khususnya) benteng sosialis Scandinavia. Di sesetengah negara, mereka merupakan kedua atau ketiga terbesar dan dianggap anggota perlu banyak kerajaan campuran konservatif.”
            Kanan jauh sedang bangkit di seluruh Eropah, seperti yang didedahkan melalui kajian  kumpulan pemikir British,  Demos, sebagai generasi baru orang muda, penyokong berasaskan web yang menerima kumpulan nasionalis yang tidak mahu bertolak ansur dan  antiimigran.  Kajian itu  mendedahkan bahawa penyokong puak kanan jauh menggunakan periklanan pada halaman kumpulan Facebook, mereka memujuk lebih daripada 10,000 pengikut daripada 14 buah parti dan organisasi jalanan di 11 buah negara. Kajian juga mendedahkan merebaknya seluruh benua itu sentimen nasionalis yagn tidak mahu bertolak ansur dalam kalangan orang muda, terutamanya lelaki.  Amat sinis tentang kerajaan mereka sendiri dan Kesatuan Eropah, mereka membuat generalisasi ketakutan tentang masa hadapan dengan terfokus pada identiti budaya, dengan penghijrahan, terutamanya merebaknya pengaruh Islam yang ditanggapi, untuk membangkitkan kebimbangan.
            Laporan kajian itu diterbitkan selepas tiga bulan Anders Brevik, penyokong kanan jauh, mengganas, memberikan sorotan penting tersebar luasnya perasaan antiimigran, terutamanya rasa syak wasangka terhadap orang Islam.  Sebagaimana antisemitisme merupakan faktor penyatu untuk parti-parti kanan jauh pada tahun 1910-an, 1920-an, dan 1930-an, Islamofobia menjadi faktor penyatu pada dekad awal abad ke-21.
Bagi mereka, “bukan rasis untuk menentang kumpulan imigran jika dilakukan dari sudut pandangan mempertahankan tradisi dalam negara mereka.”   Generasi baru ini terdiri beratus-ratus ribu orang di seluruh Eropah yang kecewa dengan politik arus perdana dan institusi politik Eropah dan bimbang tentang keterhakisan budaya dan jati diri nasional mereka, dan mereka beralih kepada gerakan populis, yang mereka rasakan berbicara kebimbangan ini.
Generasi baru ini mempunyai tahap terlalu rendah kepercayaan dan keyakinan terhadap institusi politik arus perdana, terutamanya sistem kehakiman.  Mereka melihat Kesatuan Eropah, sekarang khusus, sebagai jauh, tidak berkesan, dan membazirkan wang.  Legasinya bukan kebebasan untuk bepergian (travel) dan sumber peluang ekonomi, tetapi kehilangan kawalan sempadan dan pencairan budaya. 
Meskipun faktor ekonomi memainkan peranan minimum, namun dipercayai bahawa krisis zon euro berkemungkinan merangsang pengambilan ahli untuk parti-parti populis anti-Kesatuan Eropah yang gemar memainkan isu perpecahan nasional.  Krisis zon euro yang berpanjangan menyebabkan banyak rakyat menanggung akibatnya, seperti kehilangan pekerjaan dan hilang hak kelayakan akibat pelaksanaan langkah jimat-cermat, sedangkan para pemimpin masih menunjukkan keadaan tidak dapat membuat keputusan dan penggubal dasar terus  terhegeh-hegeh.
Bagi  kanan jauh, mereka  menjadikan modal daripada krisis zon euro itu.   Di  seluruh Eropah, kanan jauh melihat peluang dalam merebaknya perasaan tidak puas hati terhadap langkah jimat-cermat dan membentuk retorik mereka untuk menawarkan opsyen yang semakin dilihat sebagai alternatif yang boleh dilaksanakan untuk memperjuangkan status quo.
Dalam keluaran Mac 2011, iaitu beberapa bulan sebelum keganasan di Norway,  The Economist memberikan liputan tentang kebangkitan kanan jauh apabila parti-parti antipenghijrahan populis meraih prestasi yang kuat di seluruh Eropah Utara.  Perancis bukan hanya negara Eropah yang menanggung akibat kebangkitan kanan jauh.  Di lengkok negara menjalar ke timur jauh dari Belanda, parti-parti populis memotong lilitan menerusi politik, merayau kepada para pengundi  dengan pelbagai paduan atau campuran nasionalisme,  keraguan Eropah (dan keraguan euro), dan xenofobia secara terus terang.   Jelas majalah itu, negara yang perlu diperhatikan ialah Finland  tempat  True Finns   muncul daripada tidak dikenali kepada mempunyai tawar-menawar politik, menyertai kerajaan selepas Pilihan Raya pada 17 April 2010.  Parti tersebut memperluas rayuannya daripada berasaskan desa dan menebas pengundi dari semua tempat.  Parti itu menerima  pakai gaya antiimigran, tetapi parti itu membangkitkan isu permusuhan terhadap Kesatuan Eropah dan terutamanya pelan penyelamat  anggota zon euro yang  miskin di selatan dengan menggunakan kekayaan negara di utara.
Parti Nordic lain yang memperlihatkan pengaruh terhadap kerajaan ialah Danish People’s Party (DF).  Di bawah pengaruh parti tersebut, pakatan tengah-kanan minoriti, DF menggalang untuk dekad lalu yang mengubah dasar penghijrahan Denmark menjadi satu dasar yang paling ketat di Eropah.  Sementara di Sweden menyaksikan kemenangan besar Sweden Democrats dalam Pilihan Raya Umum pada September 2010, menjejaki kaki ke parlimen untuk kali pertama.  Di Belanda pula,  Freedom Party (PVV) yang antiimigran dan anti-Islam, masih berpengaruh, meskipun prestasi tidak mengagumkan dalam Pilihan Raya wilayah.  Negara lain yang tidak kebal daripada kebangkitan kanan jauh ialah Britain apabila sejak tahun 2009, British National Party menjadi wakil dalam Parlimen Eropah, manakala di Belgium, Vlaams Belang kekal berpengaruh dalam politik disfungsi di negara itu.
Ketika Eropah bergelut dengan kebangkitan kanan jauh, di beberapa negara lain di benua itu  menyaksikan  Rusia kembali semula kepada kediktatoran sedekad lalu, dan Ukrine turut mengikut jejak.  Belarus tidak pernah bebas.  Dan kini sesuatu berlaku yang seseorang tidak pernah terduga ketika beberapa negara Eropah Tengah menyertai Kesatuan Eropah dan Nato, salah satu daripadanya, Hungary kembali semula kepada autokrasi.  Di Budapest, sekurang-kurangnya era penentang kembali semula.  
Hungary yang kini  ketinggalan jika dibandingkan dengan negara jirannya di Eropah Tengah,  diperintah oleh Fidesz Party  yang  mentakrifkan dirinya sebagai “Kristian, sayap kanan, dan nasionalis.” Selepas kemenangan muktamad, iaitu 52.7 peratus  dalam Pilihan Raya pertengahan tahun 2010, parti  Perdana Menteri Viktor Orban itu berasa gembira.  Orban menggunakan keputusan itu untuk menenggelamkan institusi negara.  Kerajaan populis sayap kanan  itu mendapat perhatian pada awal tahun ini apabila kerajaan tersebut merancang mengenakan kawalan yang ketat  terhadap bank pusat Hungary.  Kerajaan pimpinan Orban bukan hanya berminat menggunakan kawalan yang lebih besar terhadap institusi kewangan, tetapi juga memulakan Kulkturkampf, iaitu revolusi budaya yang dianggap cenderung mengenakan ideologi sayap kanan dan xenofobia terhadap semua lapisan masyarakat, merangkumi daripada golongan minoriti dan agama kepada media, kehakiman, dan seni.
Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times pada Disember tahun lalu,  muncul dengan “Depression and Democracy”  menyentuh persoalan kelunturan  demokrasi  akibat kemelesetan yang berpanjangan.  Beliau  yang menyentuh kebangkitan kanan jauh di Austria dan Finland, mengingatkan:  “Dan ini merupakan negara kaya yang ekonomi adalah diurus dengan agak baik.  Keadaan kelihatan sungguh  tidak menyenangkan di negara miskin Eropah Tengah dan Eropah Timur.”  Bulan lalu, tulis Krugman, European Bank for Reconstruction and Development  mendokumentasikan kejatuhan ketara dalam sokongan  awam untuk demokrasi di negara “Kesatuan Eropah baru,” iaitu negara yang menyertai Kesatuan Eropah selepas keruntuhan Tembok Berlin.  Tidak memeranjatkan, kehilangan kepercayaan terhadap demokrasi adalah sangat besar di negara yang terjejas  akibat kemerosotan ekonomi yang teruk.  Dan, sekurang-kurangnya sebuah negara, iaitu Hungary, institusi demokratik sedang terhakis.
Hujah Krugman, tidak jelas apa yang dapat dilakukan tentang Hungary yang terjerumus ke dalam autoritarian yang nampaknya agak terlewat untuk Kesatuan Eropah untuk bertindak.  Selain itu,  beliau mengingatkan kemungkinan kewujudan semula pemerintahan autoritarian, di bawah topeng nipis demokrasi, di tengah-tengah Eropah.  Dan keadaan ini ialah  contoh apa yang mungkin berlaku lebih banyak lagi jika kemelesetan ini berterusan.   “Meskipun bukan ulang tayang sepenuhnya Kemelesetan Besar, tetapi tidak menolong menyedapkan hati.  Pengangguran di Amerika Syarikat dn Eropah masih membawa kecelakaan yang parah. Para pemimpin dan institusi semakin diragui.  Dan nilai demokratik dikepung.”
Dari perspektif yang lain, tetapi amat serius, apa yang berlaku di Eropah sekarang, jika dirujuk  pemerhatian Michael Hudson, “peralihan yang boleh membawa maut daripada demokrasi sosial kepada oligarki.  Hudson yang menulis dalam CounterPunch secara sinis menulis, “selamat datang era baru polarisasi oligarki kewangan menggantikan kerajaan demokratik dan merendahkan taraf penduduk kepada hamba hutang (debt peonage).”  Bagi beliau, “kewangan lawan kerajaan, oligarki  lawan demokrasi.”  Jelas Hudson, demokrasi sosial zon euro kini digantikan.  Di bawah naungan politik kecemasan kewangan, upah dan taraf hidup akan dikikis  dan kuasa politik beranjar daripada kerajaan yang dipilih kepada pemerintahan teknokrat bagi pihak bank dan institusi kewangan besar. Buruh sektor awam akan diswastakan, dan dinyahkesatuan, manakala keselamatan sosial, rancangan pencen dan insurans kesihatan dikikis.
Menurut Hudson, kuasa negara bangsa terhakis.  Satu daripada tiga ciri mentakrifkan negara bangsa ialah kuasa untuk mencipta wang.  Ciri kedua ialah kuasa untuk mengenakan cukai. Kedua-dua kuasa ini dipindahkan daripada tangan wakil yang dipilih secara demokratik kepada sektor kewangan, sebagai akibat terikatnya tangan kerajaan.  Ciri ketiga negara bangsa ialah kuasa mengisytiharkan peperangan.  Apa yang berlaku kini ialah sama dengan peperangan, tetapi terhadap kuasa kerajaan.  Jelas beliau lagi, “sekurang-kurangnya di negara yang menanggung hutang paling teruk, para pengundi Eropah menyedari tindakan oligarki yang perancangan dan kawalan pencukaian dan belanjawan kerajaan dipindahkan ke dalam tangan eksekutif yang dicalonkan oleh kartel banker antarabangsa.”
Apa yang berlaku di Eropah kini, akibat krisis yang berpanjangan, terutamanya di zon euro, menyaksikan gambaran politik yang bercelaru, antaranya kebangkitan kanan jauh dan demokrasi pula terpaksa demi menyelamatkan kapitalisme.  Sementara modal terus-menerus menundukkan negara bangsa, dalam erti kata bahawa kuasa negara bangsa dirampas oleh sektor kewangan yang amat berkuasa. Meskipun bukan ulang tayang sepenuhnya Kemelesetan Besar 1930-an, tetapi implikasi dari segi politik dan sosial, tetap tidak jauh berbeza.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat,  Mac 2012.)

Wednesday, May 28, 2014

Tahun Krisis

SELASA, 28  Mei 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tahun 2011 diwarnai oleh pergolakan politik dan kekacauan sosial yang berpunca daripada krisis ekonomi yang berpanjangan.  Dari Dataran Tahrir ke Wall Street berlaku kebangkitan yang luar biasa dan menakjubkan di serata dunia yang memperlihatkan keberangan terhadap golongan elit ekonomi  yang menguasai sejumlah besar kekayaan, dan terhadap elit politik yang  bersekongkol dengan  mereka. Di mana-mana sahaja menyaksikan golongan 99 peratus bangkit menentang golongan satu peratus demi menuntut agihan pendapatan yang lebih adil.   
Selain krisis ekonomi dan kewangan, pada tahun 2011, dunia dilanda krisis makanan, dan bahkan krisis air apabila dilaporkan lebih satu bilion orang tidak mempunyai akses untuk air minuman yang selamat.  Impak kesihatan dan ekonomi adalah terlalu besar apabila lebih 7000 orang kanak-kanak hampir  mati setiap hari kerana air yang kotor.   
            Secara keseluruhannya, sepanjang tahun lalu, perhatian lebih banyak tertumpu terhadap krisis zon euro yang jalan penyelesaian seakan-akan buntu.  Jika bertitik tolak daripada krisis hutang Greece, maka bermakna zon mata wang bersama yang kini terdiri daripada 17 buah anggota, menghadapi krisis lebih setahun.  Krisis hutang zon euro  itu dikatakan mempunyai kesan domino apabila sebuah demi sebuah di zon euro bergelut dengan krisis hutang.  
            Negara pinggir zon euro yang dikenali oleh akronim "PIIGS” (Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol) menghadapi krisis yang berpanjangan yang bukan sahaja mencemaskan Eropah, tetapi juga menghantui dunia yang masih bergelut dengan pemulihan ekonomi yang lemah dan pertumbuhan yang perlahan. "Terkandas di tengah dengan Eropah,"  demikian gambaran yang jelas kelihatan,  dan Eropah,  akibat krisis tersebut,   menjunam ke dalam curam yang amat dalam. Pada pertengahan November lalu, seakan-akan menyaksikan beberapa anggota  “PIIGS”  meronta dan menyondol.  Dalam tempoh kurang daripada seminggu, dua Perdana Menteri yang dipilih rakyat, pertama George Papanderou dari Greece, kemudian Silvio Berlusconi dari Italy,  terpaksa meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada golongan teknokrat, iaitu masing-masing kepada Lucas Papademos dan Mario Monti. 
Masalah Italy yang membangkitkan kebimbangan terhadap masa depan Kesatuan Eropah, seperti yang dibahaskan oleh  Fareed Zakaria melalui Facebook-nya   bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu menghampiri sifar - tidak ada pertumbuhan sama sekali.  "Ekonomi Italy, tidak berkembang untuk seluruh dekad ini. Tidak ada penyusunan semula hutang yang akan berfungsi jika ekonominya terus beku untuk dekad yang seterusnya."   Dalam satu tulisan sebelum ini, Fareed menegaskan bahawa masalah sebenar Eropah ialah Italy, dan bukannya Greece.  Meskipun banyak liputan diberikan terhadap Greece, negara itu ialah nanonegara yang menyumbangkan hanya dua peratus KDNK Kesatuan Eropah. Sebaliknya, Italy, sebuah daripada tujuh ekonomi terbesar di dunia.  Hutangnya lebih besar daripada hutang Sepanyol, Portugas, Ireland, dan Greece yang disatukan kesemuanya.  "Italy terlalu besar untuk gagal, tetapi juga mungkin terlalu besar untuk diselamatkan."
Tatkala Italy bergelut dengan krisis hutang dan pergolakan politik, tiba-tiba perhatian turut tertumpu pada Perancis yang didapati tidak stabil.  Ancaman krisis zon euro merebak ke Perancis dan Paris  didesak untuk menjamin pasaran bahawa negara itu dapat mengekang situasi yang terjejas di zon tersebut selepas angka rasmi menunjukkan kemerosotan pengeluaran perindustrian yang boleh melenyapkan mana-mana peluang pertumbuhan untuk tahun 2012.  Seperti   didedahkan  oleh Nils Pratley dalam guardian.co.uk pada 11 November 2011,  hutang negara zon euro yang berprestasi buruk sepanjang dua hari lalu, bukannya Italy, tetapi Perancis. Bank-bank Perancis lebih banyak memikul hutang Italy jika dibandingkan dengan bank-bank lain, iaitu kira-kira 300 bilion euro.  Pada tahun 2012, Perancis dijangkakan pengalami pertumbuhan hanya 0.6 peratus.
Sementara Sepanyol yang mengadakan pilihan raya umum pada 20 November 2011 yang membawa kemenangan besar-besaran kepada Parti Rakyat pimpinan Mariano Rajoy tidak dapat mengawal negara itu daripada bergelut dengan krisis hutang yang teruk.  Malangnya, Perdana Menteri yang baru dipilih itu tidak mempunyai kuasa untuk meredakan pasaran. Bahkan, beliau mengingatkan  bahawa  beliau tidak membawa tongkat sakti  dan tidak akan mampu untuk melakukan keajaiban segera, meskpun kadar hasil bon Sepanyol terapung secara bahaya ke arah tahap tujuh peratus yang ahli ekonomi anggap tidak mapan. Sepanyol dikatakan mangsa kelima untuk jatuh ke dalam lengkok kemelesetan Eropah, dengan kadar pengangguran 22.6 peratus, atau 46 peratus untuk pengangguran dalam kalangan belia. Sebelum Kemelesetan Besar, hutang awam negara itu hanya 36 peratus KDNK, dan mengalami lebihan belanjawan hampir dua peratus KDNK pada tahun 2007 dan 2008. Namun, kini Sepanyol menjadi mangsa terbesar modal murah daripada bank-bank Jerman, Belanda, dan Perancis,   dan dinyahstabilkan seterusnya oleh dasar longgar European Central Bank.
Dalam kalangan anggota zon euro, Perancis dan Jerman diletakkan harapan yang tinggi untuk merongkaikan krisis yang berlarutan.  Namun,  kedua-dua pemimpin, iaitu Presiden Nicolas Sarkozy dan Canselor Angela Merkel, kelihatan terhegeh-hegeh, antaranya kerana tekanan politik dalam negara dan tidak mahu “saku dalam” mereka digunakan untuk menyelamatkan sebuah demi sebuah negara di zon berkenaan.  Antara Perancis dengan Jerman, harapan lebih diberikan terhadap Jerman, tetapi terbukti bahawa Angela Merkel tidak sanggup melakukannya, malahan kedengaran suara sinis mengapa terlalu  diharapkan kepada srikandi, ke mana perginya wira? 
Pada tanggapan umum dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan zon euro, ekonomi Jerman secara relatifnya kukuh.  Namun, agak memeranjatkan apabila Spiegel Online International pada 22 November lalu mendedahkan bahawa kewangan Jerman tidak sekukuh seperti yang dipercayai.  “Kerajaan Jerman suka bermegah dirinya tentang kewangannya yang padu dan mendakwa negaranya ialah tempat selamat untuk para pelabur.  Akan tetapi, pengurusan belanjawan Jerman tidak seindah seperti yang orang ramai percaya, dan hutang negara mengatasi had Kesatuan Eropah.  Dari beberapa segi, kewangan Italy lebih baik.”   Laporan terbaharu, bank kedua terbesar di negara itu, iaitu Commerzbank, memerlukan suntikan modal kecemasan.
Krisis hutang zon euro yang terus merayau-rayau mencari mangsanya, yang melampau zon berkenaan.   Hungary menjadi mangsa pertama di Eropah Timur yang dijangkiti oleh krisis zon euro, terpaksa memohon pertolongan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).   Neil Shearing dari Capital Economics dipetik sebagai berkata Hungary merupakan tanda amaran.  “Negara yang risiko paling genting di wilayah itu, maka anda boleh menjangkakan masalah untuk bermula.  Kami takut ini mungkin mereka ke Ukraine dan Balkan.  Eropah Timur memerlukan pembiayaan luaran yang sangat besar untuk sistem perbankan.  Mereka tidak mampu menggulung (roll over) hutang jika berlaku pembekuan kredit di Eropah Barat.”  Hungary terpaksa menaikkan hutang luaran menyamai 18 peratus KDNK sepanjang tahun 2012, manakala 14 peratus untuk Crotia dan 13 peratus untuk Bulgaria. Eropah Timur dilaporkan bergantung pada pemberi pinjaman di zon euro dan subsidiari mereka untuk kira-kira 80 peratus sistem perbankan mereka.  Keadaan ini meletakkan wilayah tersebut mudah terdedah pada kerkahan kredit apabila kumpulan asing memotong buku pinjaman sebanyak dua trilion euro sepanjang 18 bulan untuk memenuhi keperluan Kesatuan Eropah.
Edward Carr yang menulis dalam The Economist, “Staring into the Abyss” berhujah bahawa apa yang berlaku terhadap mata wang, anda juga perlu melihat apa yang berlaku terhadap Eropah.  Euro tidak akan selamat sehingga menjawab beberapa persoalan yang Eropah hindarkan untuk beberapa banyak tahun. Pokok pangkalnya, bagaimana negara-negara Eropah sepatutnya  bertindak balas terhadap dunia yang berubah dengan pantas di sekeliling mereka.  Ketakutan tentang sama ada kerajaan Greece, Portugal, Ireland, Sepanyol, dan yang paling membimbangkan, Italy akan membayar balik hutang mereka AS$4.2 trilion atau lebih, meranapkan bank-bank Eropah yang memilik hutang mereka.  Bank-bank yang dalam kesusahan melemahkan keyakinan dan kredit.  Pelaksanaan jimat-cermat fiskal membawa kemelesetan, mendalamkan lagi ketakutan bahawa kerajaan tidak mampu membayar balik hutang mereka, yang seterusnya melemahkan bank-bank.
Di tengah-tengah krisis hutang yang kelihatan sukar dibendung, pertumbuhan ekonomi di zon euro merosot dengan pantas. Data terbaharu daripada agensi Eurostat, ekonomi blok 17 buah negara itu berkembang hanya 0.2 peratus antara Julai – September 2011.  Pertumbuhan yang kukuh datangnya dari Jerman yang berkembang 0.5 peratus dan Perancis berkembang 0.4 peratus sepanjang tiga bulan tersebut.  Finland dan Austria, kedua-duanya berkembang sebanyak 0.3 peratus, manakala Sepanyol dan Belgium beku. 
IMF baru-baru ini memaklumkan bahawa pertumbuhan KDNK global adalah perlahan pada tahun 2011, yang menurunkan unjuran kepada empat peratus berbanding dengan lima peratus pada tahun 2010.  Sementara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam laporannya pada bulan November lalu memaklumkan bahawa tinjauan ekonomi United Kingdom adalah teruk yang memasuki  bulan ketujuh, dikhuatiri ekonomi negara itu menjunam  semula ke dalam kemelesetan.  Akan tetapi, laporan OECD juga menunjukkan bukan hanya Britain yang mengalami tinjuan ekonomi yang muram, tetapi Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Jepun, Italy, dan Perancis, semuanya mengalami kelembapan.  Gambaran antarabangsa yang gelap ini akan membolehkan kerajaan yang terlibat menegaskan bahawa pertumbuhan yang lemah, pengangguran yang tinggi, dan defisit belanjawan yang besar merupakan akibat yang di luar kawalan.
Selain kemelesetan curam berganda dan kebekuan ekonomi, "dekad yang hilang" juga menghantui dunia.  Paling tidak, untuk  Eropah yang  bergelut dengan krisis hutang  dan    Amerika Syarikat yang masih menghadapi  kelembapan ekonomi  serta  kadar pengangguran yang tinggi. “Dekad yang hilang” Jepun  kini dikhuatiri akan diulang tayang di peringkat global.  Bahkan, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, memberikan amaran tentang risiko "dekad yang hilang" untuk ekonomi global, kecuali setiap negara bertindak bersama-sama untuk menentang ancaman terhadap pertumbuhan.  "Di dunia kita yang semakin saling berhubung, tidak  ada negara atau wilayah mampu bertindak sendirian," kata beliau dalam ucapannya untuk forum di Beijing. "Awan gelap berkumpul di ekonomi global."
Daniel Indiviglio menulis dalam The Atlantic, "Welcome to America's Lost Decade",  iaitu "Penjepunan" Amerika mungkin berlaku di sana kerana Amerika Syarikat mengalami tempoh yang lama untuk pertumbuhan.  Beliau memetik beberapa amaran bahawa Amerika Syarikat berkemungkinan lebih teruk daripada Jepun apabila negara itu bermula dengan "dekad yang hilang." Amerika mungkin dalam satu dekad atau lebih bergelut dengan pertumbuhan yang dan kadar pengangguran yang tinggi secara relatif adalah berpunca daripada terlalu banyak meminjam pada semua tahap, bahas Indiviglio.  "Pengguna, negeri, dan kerajaan persekutuan meminjam wang terlalu banyak.  Masalah untuk pemilik rumah, terutamanya teruk, kerana banyak yang kini memiliki aset adalah kurang nilainya jika dibandingkan dengan ketika mereka semasa harga rumah melambung.  Hutang  pinjaman pelajar yang meningkat dengan pantas menjadikan keadaan lebih teruk."
Selepas lebih tiga tahun  Lehman Brothers runtuh, pasaran kewangan global masih terhuyung-hayang.  Sistem kewangan United Kingdom dilaporkan lebih mudah terdedah kepada kejutan besar jika dibandingkan dengan mana-mana masa sejak keruntuhan Lehman Brothers pada tahun 2008. Sementara kekhuatiran bahawa zon euro akan berkecai mengharu-birukan lagi pasaran sejak beberapa bulan lalu, meskipun dijangkakan bahawa perpecahan itu adalah mustahil.  Bahkan, dijangkakan Kesatuan Eropah lebih mudah runtuh jika dibandingkan dengan zon euro.
Oleh sebab zon euro terus bergelut dengan krisis hutang, maka banyak tumpuan diberikan untuk menyelesaikan masalah hutang negara yang terlibat melalui pelan penyelamat yang disediakan oleh IMF dan Kesatuan Eropah, di samping melaksanakan pemotongan belajawan dan langkah jimat-cermat.  Dari segi politik, beberapa pemimpin negara digantikan bukan sahaja melalui demokrasi, tetapi juga dengan cara yang mengaibkan iaitu teknorasi.  Pemimpin ini tidak dipilih oleh rakyat negara yang berkenaan, tetapi ditunjukkan oleh Brussels dan Berlin.
Tumpuan terhadap krisis hutang menyebabkan berlaku pengabaian masalah dalam ekonomi sebenar, iaitu pertumbuhan yang rendah dan pengangguran yang tinggi.  Di Eropah khususnya, benua tersebut memerlukan pertumbuhan, tetapi di benua itu, sebagaimana di beberapa negara lain, pertumbuhan tidak kunjung datang. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Januari 2012.)

Friday, March 28, 2014

Kebekuan Ekonomi, Kelumpuhan Politik

JUMAAT,  28  Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Ahli ekonomi Princeton, Angus Deaton, menganalisis data daripada tinjauan Gallup harian tentang kegembiraan rakyat Amerika berhubung dengan  taraf hidup mereka.  Analisis beliau yang diposkan oleh Suzy Khimm dalam blog The Washington Post, mendapati politik bahkan lebih menyebabkan rakyat Amerika berasa tertekan berbanding dengan kemelesetan. 
            Krisis hutang yang berpanjangan di  zon euro, manakala    Amerika Syarikat pernah berbulan-bulan bergelut dalam  krisis siling hutang dan pada awal Ogos lalu, Standard & Poor’s (S&P) menurunkan penarafan kredit jangka panjang negara itu daripada AAA kepada AA+, maka kian disedari bahawa sekurang-kurangnya di sebelah menyebelah Atlantik, politik banyak mengusutkan keadaan, menjadikan krisis bertambah buruk.  Berikutan kejatuhan pasaran saham global, terutamanya sejak Ogos tahun ini sebagai reaksi terhadap satu demi angka ekonomi yang buruk dari Amerika Syarikat dan Eropah, maka  wujud pandangan bahawa pasaran juga bimbang tentang, sama ada ahli politik  Eropah benar-benar memahami dan menghayati masalah hutang.  Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick pernah  memberitahu BBC bahawa para pemimpin zon euro perlu melakukan sesuatu yang lebih banyak dan bukan hanya terus-menerus dengan pelan penyelamat untuk negara anggota yang bergelut dengan beban hutang. 
Setelah lebih setahun zon euro bergelut dengan krisis hutang, semakin jelas bahawa para pemimpin di zon itu khususnya, dan di Eropah umumnya, masih terhegeh-hegeh. Harapan diberikan kepada Canselor Jerman, Angela Merkel dan Presiden Perancis untuk menyelamatkan zon euro, namun kedua-dua pemimpin ini tidak memperlihatkan komitmen yang tinggi atas alasan takut dihukum oleh rakyat masing-masing melalui peti undi.   Akibatnya, krisis semakin bahaya,  semakin sukar dikawal, masa semakin suntuk, dan  bahkan dijangkakan boleh mencetuskan satu lagi krisis kewangan global.  
“Saya menyalahkan ahli politik, seperi Angela Merkel kerana tidak menunjukkan kepimpinan dari segi ini,” tulis Timothy Garton Ash dalam guardian.co.uk.  “Akan tetapi, kepimpinan sedemikian akan melibatkan tindakan yang sungguh berani, perjuangan yang sukar untuk memujuk orang awam yang keberatan di apa yang masih kebanyakannya demokrasi negara berdaulat.  Jika ini bukannya demokrasi negara berdaulat, nescaya seluruh dunia kewangan, dari Washington ke Beijing, akan menungu minggu ini dengan nafas yang tenang tentang undi sebuah parti kecil di parlimen Slovakia.”
Yang sering kedengaran ialah  amaran demi amaran  tanpa tindakan yang konkrit, seperti yang pernah diperingatkan oleh   Canselor George Osborne  bahawa  "masa suntuk" untuk mencari penyelesaian kepada krisis zon euro dan menyeru para pemimpin Eropah menghantar "isyarat yang jelas" bahawa mereka sedang menangani krisis itu.  Bahkan,   bekas Canselor  Kenneth Clarke pada pertengahan September lalu,  pergi lebih jauh  dengan mendakwa para pemimpin Amerika Syarikat dan Eropah "kelumpuhan" di tengah-tengah ketakutan akan krisis kewangan global yang lebih dalam.  Kerajaan jelas kelihatan tidak mampu menangani prospek satu lagi kerkah kredit,  dan beliau  menuduh mereka bermain "politik jangka pendek."  Satu perkara yang beliau perhatikan daripada krisis ini ialah malangnya, kepimpinan politik di Amerika Syarikat dan sebahagian besar Eropah Barat secara keseluruhannya ditundukkan oleh dimensi krisis, tidak mampu bertindak.
Rusuhan yang berlaku di London dan Athens, menurut pemerhatian Rana Foroohar yang menulis “The End of Europe” dalam Time keluaran akhir  Ogos lalu, ialah satu kesan sampingan zaman baru jimat-cermat.  “Politik populis adalah lagi satu,” tambah beliau.  “Sebagaimana kemerosotan ekonomi di Amerika Syarikat membantu memarakkan Tea Party, krisis hutang Eropah memarakkan kebangkitan semula politik sayap kanan yang menyebabkan berlakunya polarisasi.”  Dalam bahagian lain makalah itu, beliau mengkritik Kesatuan Eropah yang bersikap mementingkan diri apabila ekonomi yang tergapai-gapai membiakkan kebangkitan nasionalisme, kebimbangan terhadap imigran atau kaum pendatang dan menggelorakan kesangsian antara negara kaya dengan negara kurang mewah. Foroohar juga memetik pendapat bahawa Eropah merupakan pusat masalah kewangan global.  Masalah diperburukkan lagi oleh ketidakupayaan  atau ketidaksediaan para penggubal dasar untuk menangani isu hutang.
Barat kini, menurut pemerhatian John Lanchester yang menulis hal ekonomi global dalam London Review of Books pada awal September, dicengkam kuat oleh ideologi antiperbelanjaan, meskipun terpaksa bergelut dengan pertumbuhan yang lemah. Dalam makalahnya  “The Non-Scenic Route to the Place We’re Going Anyway,”  beliau yang mengenal pasti ciri yang menonjol tentang krisis semasa ialah hutang, kegagalan politik, dan keruntuhan struktur sistem perbankan global, secara berjenaka mengesyorkan negara Barat yang mencapai pertumbuhan yang lemah agar mencontohi Belgium. Hal ini demikian kerana negara itu walaupun tidak mempunyai kerajaan yang sah lebih setahun, masih mencipta pertumbuhan 0.7 peratus.  "Tiada kerajaan," tulis Lanchester, "bermakna tiada sesiapa yang menyibuk akan semua kerajaan lain lakukan: tiada potongan dan tiada pakej 'jimat-cermat'.  Sektor awam Belgium berbelanja seperti biasa, dan dengan itu, meneruskan pertumbuhan ekonomi."
Lanchester yang mendedahkan kegagalan politik akan menyebabkan kedua-duanya, iaitu Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat mula menjadikan pemandangan ekonomi sezaman menyerupai ekonomi pada tahun 1930-an ketika berlakunya Kemelesetan Besar.  Memang terasa tertekan apabila melihat dunia maju bukan sahaja berjalan semasa tidur menuju kepada satu lagi kemelesetan, tetapi juga mendakap mesra dasar yang kemungkinan besar tercetusnya kemelesetan.  Beliau mengingatkan bahawa "kerajaan tidak boleh secara serentak memotong perbelanjaan, manakala pada masa yang sama meneruskan pertumbuhan ekonomi mereka.”
Sementara Ezra Klein yang menulis dalam The Washington Post memerhatikan bahawa  krisis ekonomi menjadi krisis politik.  Beliau memulakan penulisannya dengan  memetik Rich Miller dan Simon Kennedy  bahawa "ekonomi dunia terpaksa membayar harga untuk demokrasi."  Tatkala pemulihan dari Amerika Syarikat ke Eropah hilang rentak atau momentum, para penggubal dasar terjebak dalam kebuntuan yang dibentuk oleh keutamaan politik dan ideologi kerajan yang para pengundi pilih. Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat bergaduh tentang bagaimana untuk mengawal defisit belanjawan dan memacu pertumbuhan pekerjaan, manakala para pegawai di seluruh zon euro berbeza pendapat tentang bagaimana cara terbaik untuk melindungi masa hadapan mata wang tunggal itu.
"Jika fasa satu krisis ekonomi ialah krisis kewangan," tulis Klein, "dan fasa dua ialah krisis pekerjaan, kita kini menyaksikan fasa tiga: krisis politik."  Beliau memerhatikan bahawa  ahli politik di seluruh dunia mendapati diri mereka tersekat dalam tabiat buruk yang sama:  Dasar yang diperlukan untuk membantu ekonomi sekarang, seperti perbelanjaan di Amerika dan integrasi fiskal seterusnya di Eropah, adalah tidak popular.  Jika anda meluluskannya dan anda mungkin kehilangan pekerjaan anda.  Akan tetapi, membiarkan ekonomi menjadi semakin teruk juga tidak popular.  Membiarkan keterukan itu berlaku dan anda akan kehilangan pekerjaan anda.  Justeru, bahas beliau, kerajaan di seluruh dunia cuba berjalan di laluan tengah.  Di Amerika, kita mempunyai rangsangan yang sangat besar yang tidak pernah kita lihat sebelum ini, tetapi masih hanya separuh hingga satu pertiga apa yang diperlukan untuk menutup jurang output. Akibatnya,  tiada kemelesetan besar, tetapi tempoh berpanjangan pengangguran yang tinggi
Ezra Klein mengakui bahawa memang mudah dan wajar menyalahkan ahli politik terhadap segala masalah ini.  Beliau sekali lagi memetik Miller dan Kennedy yang menulis bahawa di Barat, ahli politik dikekang oleh keutamaan awam.  Kelumpuhan kita, adalah sebahagian harga demokrasi.  Dalam jangka panjang, harga itu berbaloi untuk dibayar. Akan tetapi, dalam jangka pendek, berhadapan sesungguhnya, dengan harga yang tinggi.
Dalam “The US Today;  Economic Stagnation, Political Paralysis,” Mark Weisbrot menulis dalam guardian.co,uk:   “Melihat pengangguran massa dan perbelanjaan rangsangan disekat di Washington, tidak hairan orang  ramai mengadakan demonstrasi jalanan.   Dalam fenomena yang tidak dilihat sejak Kemelesetan Besar:  protes massa menyasarkan dasar ekonomi.” Jelas Weisbrot, seperti di Eropah, dengan gerakan 15-M di Sepanyol, mogok umum di Greece, dan protes massa di negara lain telah menarik sokongan popular, iaitu gerakan “99 peratus” menyasarkan Wall Street sebagai respons terhadap kegagalan golongan politik kita melakukan apa yang jelas perlu, bahkan demi masa depan yang terdekat.  (Maksud 99 peratus ialah berbilion-bilion rakyat yang terpaksa bertungkus-lumus untuk menyara hidup mereka, sedangkan satu peratus golongan terkaya di dunia, mengawal berbilion-bilion aset.)
Protes massa di Amerika Syarikat yang dimaksudkan oleh Mark Weisbrot itu ialah Menduduki Wall Street yang bermula sejak September lalu, kian memperlihatkan kekuatan dan mendapat sokongan serta liputan media.    Protes yang bermula di Kanada  merebak ke  New York itu bukan sahaja merebak ke kota-kota lain di Amerika Syarikat, tetapi juga ke 900 buah kota di seluruh dunia, iaitu di Eropah, Afrika, dan Asia, memperlihatkan solidariti antarabangsa, seperti yang berlaku pada pertengahan Oktober.  Penunjuk perasaan yang terlibat bersatu dalam satu suara, akan membiarkan ahli politik  dan elit kewangan yang ahli politik hulurkan khidmat mereka, mengetahui bahawa terpulang kepada orang ramai untuk memutuskan masa depan mereka.  Demonstrasi global berlaku pada hari yang sama tatkala menteri kewangan dan banker pusat dari negara G-20 bermesyuarat di Paris untuk membincangkan penyelesaian terhadap krisis hutang yang melanda Eropah. Protes global itu ditujukan kepada ketamakan korporat, berlebihan eksekutif, dan jimat-cermat awam.” Atau dalam kata-kata Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post, “Menduduki Wall Street merupakan reaksi terhadap golongan kaya.”

Menduduki Wall Street adalah mempunyai kesamaan dengan gerakan populis yang menuntut perubahan di hampir setiap wilayah utama di dunia.  Demikian pemerhatian David Ignatius melalui  kolumnya dalam The Washington  Post yang merupakan reaksi lewat terhadap krisis kewangan tahun 2008, iaitu sejenis spring global ketidakpuasan.  Namun begitu, beliau mengakui bahawa aktivis antikorporat yang berkumpul di Zuccotti Park, Manhattan, mempunyai agenda yang berbeza daripada penunjuk perasaan di Dataran Tahrir,  Kaherah, atau rusuhan jalanan musim panas lalu di Britain dan Greece, atau penunjuk perasaan antirasuah di New Delhi.  Gerakan ini kebanyakannya tiada pemimpin atau ideologi yang jelas, dan dengan itu, mereka sukar dikategorikan. 
Ignatius yang mengingatkan bahawa di seluruh dunia bangkit keberangan terhadap golongan elit, juga mengakui bahawa penunjuk perasaan juga berkongsi beberapa asas:  penolakan terhadap elit politik tradisional; kepercayaan bahawa  “globalisasi” memberikan manfaat kepada golongan kaya berbanding dengan massa atau rakyat jelata; kemarahan tentang perniagaan dan rasuah politik yang terjalin erat; dan kesalinghubungan dan pemerkasaan yang dipupuk oleh Facebook dan media sosial lain.
Akur  bahawa dunia berhadapan dengan tahap pertama krisis perbankan kedua, dan mungkin terlalu lewat untuk mengelakkan kemelesetan curam berganda, tetapi masih berkemungkinan untuk mengelakkan kemelesetan curam tiga kali ganda, Robert Skidelsky yang menulis dalam Newstateman “mencadangkan perlu adanya analisis intelektual yang kuat, dan keazaman politik kolektif untuk melaksanakannya.” Malangnya, yang jelas,   keazaman politik yang beliau maksudkan itu tidak wujud di sebelah menyebelah Atlantik.  Akibatnya, Amerika Syarikat dan Eropah kelihatan  menjunam ke dalam kebekuan ekonomi dan kelumpuhan politik. 
Namun begitu,  di sebalik kebekuan dan kelumpuhan ini, dunia kini menyaksikan kebangkitan sosial yang sangat luar biasa dari Dataran Tahrir ke Wall Street, dan merebak ke kota-kota lain di seluruh dunia.   
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Disember 2011.  Perkataan "kebekuan" lebih sesuai digantikan dengan "genangan.")


Tuesday, March 25, 2014

Israel yang Terasing

SELASA,  25 Mac 2014
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Melalui kolumnya dalam akhbar The New York Times, pada awal Oktober lalu, Nicholas D. Kristof mengkritik kepimpinan Israel yang  mengamalkan keburukan yang dilakukan  oleh pemimpin Palestin sejak berdekad-dekad, iaitu mereka merupakan musuh yang teruk untuk rakyat mereka sendiri. Kini, bahas Kristof, Israel diletakkan dalam bahaya secara keseluruhannya oleh para pemimpin sendiri dan pendirian yang maksimalis.  Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengasingkan negaranya, dan secara lancang, sikap tidak bertolak ansurnya terhadap penempatan kelihatan seperti dasar yang memusnahkan negaranya.  Tatkala pertarungan diplomatik berlaku di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan permohonan Palestin untuk memperoleh taraf negara, Israel minggu lalu, tulis Kristof “mengumumkan rancangan untuk pembinaan 1100 buah rumah baru di bahagian Baitulmuqqadis di luar sempadan pra-1967-nya.  Netanyahu tidak menghargai pendirian Presiden Barack Obama terhadap permohonan Palestin itu, sebaliknya mengaibkan Obama secara terang-terang.”
            Sejak  peristiwa serangan komando Israel  terhadap flotila Gaza, kapal Mavi Marmara pada 31  Mei 2010,   membangkitkan kemarahan Turki kerana Israel enggan memohon maaf, kedua-dua negara itu seakan-akan di kancah Perang Dingin.  Hingga kini,  keberangan Ankara  terhadap Israel belum reda, bahkan semakin garang apabila Perdana Menteri Recep Tayyip Edorgan  menuduh Israel “anak yang dimuakan.”
 Dalam wawancaranya dengan stesen televisyen al-Jazeera beberapa bulan lalu, Recep Tayyip Erdogan memaklumkan bahawa serangan Israel terhadap bantuan flotila Gaza   merupakan "punca peperangan,"  tetapi negaranya memperlihatkan "kesabaran" daripada mengambil apa-apa tindakan.  Beliau menegaskan bahawa serangan Israel itu yang membunuh sembilan orang aktivis berlaku di perairan antarabangsa, dan dengan itu, "menyalahi undang."
Krisis diplomatik antara Turki dengan Israel sejak lebih setahun lalu, menurut pemerhatian   Henri J. Barkey, membawa perisytiharan Perang Dingin oleh kerajaan Turki terhadap Israel.  Beliau menulis dalam The National Interest:  "Turki mengusir duta Israel, menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Israel kepada tahap setiausaha kedua dan membatalkan hubungan ketenteraan." Tambah beliau, “Pemberontakan    Arab, terutamanya peristiwa di Syria, dan rancangan pengunduran Amerika Syarikat dari Iraq, bahas beliau, "meletakkan Turki kepada tahap penting yang tidak pernah berlaku sebelum ini."
Negara Yahudi itu kini semakin  terasing selepas terpaksa menarik balik diplomatnya dari Kaherah apabila penunjuk perasaan menggempurkan bangunan tempat terletaknya kedutaan Israel dan bertempur dengan polis pada September lalu.    Perseikatan antara Turki dengan Mesir, bahas   editorial The Guardian, menyebabkan Israel berhadapan dengan pengasingan serantau.  Benyamin Netanyahu, sama ada boleh bersedia untuk satu lagi peperangan atau menerima bahawa Israel tidak boleh lagi mengenakan kehendaknya terhadap jirannya. Editorial itu mengingatkan bahawa Mesir tidak lagi mengambil pendirian seperti yang dilakukannya apabila Israel melancarkan kempen ketenteraan terhadap Gaza pada tahun 2008 seandainya satu lagi peperangan tercetus. Perdana Menteri Netanyahu kini menghadapi pilihan sebenar.
Erdogan yang memperlihatkan sokongan padu Ankara terhadap usaha Palestin mendapatkan taraf negara,  menggunakan kesempatan berucap  di PBB  untuk melanyak Israel habis-habisan.    Beliau dilaporkan menyebut satu per satu senarai panjang rasa tidak puas hati  terhadap Israel, bekas sekutu serantau.  Beliau menjelaskan konflik Israel-Palestin sebagai "luka berdarah" yang komuniti antarabangsa tidak boleh terima lagi, menuduh Israel menghalang semua percubaan untuk menyelesaikan masalah.  Daripada senjata nuklear kepada mengawal wilayah yang diduduki kepada bantuan kemanusiaan, dan  Israel menentang harapan dan norma dunia.
Pemberontakan Arab banyak membawa perubahan di dunia Arab, suatu realiti baru yang seolah-olahnya tidak cuba difahami      Israel untuk  mengenali jirannya yang berubah. Pemberontakan ini, seperti yang sering diperkatakan menjadikan rejim Arab yang korup, Israel, dan Amerika Syarikat sasaran utama kemarahan dan penghinaan.  Sesungguhnya, perginya autokrat dan datangnya demokrat bukan suatu petanda yang baik untuk Israel kerana kepentingannya dan Amerika Syarikat di wilayah itu lebih terjamin di bawah autoritarian.  Dengan menggunakan istilah  Kebangkitan Arab, Daniel Levy menulis dalam The Nation, “selepas berdekad-dekad kekuasaan (supremacy) strategik Israel yang hampir hegemoni di Timur Tengah, tapak beranjak.  Untuk para pemimpin Israel, Kebangkitan Arab  dan penyingkiran Mubarak mewakili keruntuhan struktur sokongan utama ini benteng  yang mengekalkan postura serantau Israel.  Benteng ini berselemu untuk beberapa waktu. 
Berikutan pemberontakan itu,  dua buah negara diperhatikan  dalam peralihan yang mendalam.  Satu ialah Turki, dengan tentera dari segi angka lebih kuat daripada Britain, Perancis, dan Jerman yang dicantumkan bersama-sama.  Satu lagi ialah Mesir, yang pemerintahan sementara tentera yang dominan. “Keterasingan Israel,” seperti yang dibangkitkan oleh  The Economist,  “diperlihatkan oleh keterhakisan hubungannya dengan Turki dan Mesir.  Bahkan, atas kebimbangan serangan yang sama, seperti yang berlaku di Mesir, diplomat Israel secara sementara meninggalkan Jordan, sebuah lagi negara Arab yang Israel mempunyai perjanjian damai.”  Sementara Richard Haass yang menulis dalam Time awal Oktober membangkitkan hal yang sama, iaitu protes popular di dunia Arab terbukti memberikan kesan buruk terhadap Israel.  Protes tersebut boleh meletakkan perjanjian damai Mesir-Israel dalam bahaya dan demikian juga  hubungan Israel dengan Jordan.
Usaha  Palestin memohon taraf negara di PBB mencabar hegemoni Amerika Syarikat, meskipun Pentadbiran Obama  memberikan amaran akan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB.  Namun,  undi di Perhimpunan Agung boleh memberi Palestin kemenangan simbolik, iaitu pengiktirafan sebagai negara pemerhati bukan anggota, sama seperti Vatican.  Usaha Palestin itu juga   boleh mengaibkan Israel di mata dunia, dan hakikat ini disedari oleh Israel seandainya Palestin berjaya meraih dua pertiga undi  daripada 193 anggota PBB.  Untuk meningkatkan “minoriti moral,” seperti yang disebut oleh Netanyahu, Israel terpaksa memujuk Kesatuan Eropah untuk mengundi menentang usaha Palestin itu.  Namun,   tidak semua negara Kesatuan Eropah  ingin mendengar rayuan itu, sekurang-kurangnya Perancis dan Sepanyol akan menyebelahi Palestin.  “Oleh sebab Palestin mendesak untuk taraf negara,” tulis Karl Vick dalam Time, “maka Israel mendapati dirinya terasing.”
Agak memeranjatkan  apabila Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat yang baru, Leon Panetta, turut mengingatkan bahawa Israel semakin terasing di Timur Tengah, dan menyeru para pemimpin negara itu mesti memulakan sekali lagi perbincangan dengan Palestin dan memulihkan hubungan dengan Mesir dan Turki.  Beliau yang berkata demikian sempena lawatannya ke Israel pada awal Oktober lalu, menegaskan bahawa pergolakan yang berlaku di Timur Tengah menyebabkan keadaan menjadi kritikal untuk Israel untuk mencari jalan untuk berhubung dengan negara lain di wilayah  itu supaya dapat mewujudkan kestabilan.  Bagi beliau kelebihan dari segi ketenteraan tidak mempunyai apa-apa makna sekiranya Israel terasing:  “Adakah cukup untuk mengekalkan kelebihan ketenteraan jika anda mengasingkan diri anda dalam arena diplomatik?  Keselamatan sebenar hanya boleh dicapai oleh kedua-duanya, usaha diplomatik yang kukat, di samping usaha yang kuat untuk merancang kekuatan ketenteraan anda.”
            Israel kini diserang, tulis Benny Morris dalam Newsweek  ketika Pihak Berkuasa Palestin (PLO) merancang untuk mendapatkan taraf negara di PBB yang menandakan penolakan semua usaha untuk tolak ansur secara aman.  Bagi beliau, Israel bukan sahaja diancam dari luar, iaitu oleh negara Arab Islam dan masyarakat Arab, pencerobohan penunjuk perasaan di Mesir ke atas kedutaan Israel di Kaherah, ancaman nuklear Iran, dan kepungan Presiden Bashar al-Assad di Syria, tetapi juga dari dalam Israel sendiri, iaitu oleh pergolakan dalaman yang membawa protes massa terbesar dalam sejarah negara itu.  Morris yang memerhatikan bahawa berakhirnya Israel menulis bahawa di Israel sendiri tidak wujud lagi masyarakat yang liberal demokratik, egalitarian yang diimpikan oleh David Ben-Gurion, yang pernah wujud suatu ketika dahulu; sebaliknya, Israel bergaduh dengan rakyat Arad dan sesama sendiri.
            “Ini bukan lagi Israel,” tulis Benny Morris, “krisis yang dalam, dalaman, dan eksistensial telah berlaku.  Keadaan ini berpunca sebahagiannya daripada ciri negara yang berubah, iaitu lebih sayap kanan, lebih menyekat, jauh kurang liberal, dan jauh kurang egalitarian.  Banyak golongan Israel yang sederhana bimbang akan negara itu menjurus ke lembah kemusnahan.  Sesungguhnya, golongan pemerintah negara itu, termasuk Benjamin Netanyahu dan Perdana Menteri sebelum beliau, Ehud Olmert dan Ehud Barak, hidup dalam kemewahan, dan merasakan bahawa mereka terpisah daripada realiti. 
            Dalam begitu banyak pemerhatian atau ulasan bahawa Israel kini hidup dalam keterasingan, Michael Oren menafikannya sambil menegaskan bahawa negara itu tidak berdiri seorang diri.  Oren, yang menulis dalam The Washington Post mempersoalkan adakah Israel benar-benar terasing kini jika dibandingkan dengan dahulu?  Dengan membangkitkan berapa pengalaman lalu, antaranya Britain yang secara terasing melawan Nazi pada permulaan Perang Dunia Kedua,  beliau menambah, pengasingan, pastinya, tidak  secara automatik merupakan gejala dasar yang buruk. Bahkan, dengan bangga Michael Oren, yang juga Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat, menegaskan bahawa “meskipun Palestin terus berusaha mengasingkan kami, Israel tidak keseorangan.  Dan, kami banyak mempunyai sahabat yang sangat besar, terutamanya di Amerika Syarikat, yang kami tahu tidak mahu membiarkan Israel berdiri seorang diri di wilayah yang bahaya itu.” Namun, dalam keghairahan dan keangkuhan untuk menunjukkan kelebihan  Israel  itu, Oren secara tidak langsung,  mengesahkan tuduhan Erdogan, “anak yang dimuakan.”
            Tatkala Israel yang kian terasing itu, agak memeranjatkan kerana kerajaannya mencapai persetujuan dengan Hamas – pertubuhan yang dianggap sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom. Memetik sindiran Robert Fisk dalam The Independent, “kerajaan demokratik tidak berurusan dengan pengganas sehingga mereka sendirinya melakukannya.”  Kedua-dua pihak, iaitu Israel dan Hamas bersetuju  membebaskan tahanan masing-masing, iaitu antara Gilad Shalit, tentera Israel yang ditawan oleh pejuang Palestin pada tahun  2006,  dengan lebih  1000 pejuang Palestin yang dalam tahanan Israel.  Persetujuan yang dicapai pada Oktober lalu, dianggap oleh sesetengah pihak sebagai kemenangan bagi Hamas, dan pada masa yang sama menjejaskan populariti musuhnya, iaitu PLO – musuh Hamas,  yang memuncak dalam kalangan rakyat Palestin berikutan usaha mendapatkan taraf negara itu.
            Pada pihak Israel pula, persetujuan itu boleh mengurangkan keterasingan yang dihadapi sekarang kerana suatu perkara yang mudah untuk negara itu “bertolak ansur” dengan Hamas.  Bahkan, Turki turut mengalu-alukan persetujuan itu sebagai “pencapaian positif” yang boleh mengurangkan ketegangan di wilayah itu.  Jika langkah Palestin memohon taraf negara di PBB boleh dianggap sebagai kekalahan moral terhadap Israel, persetujuan dengan Hamas pula boleh dianggap kemenangan moral kepada Israel.  Selain Turki, kerajaan Britain, Kesatuan Eropah, dan Eropah yang lain melahirkan sokongan mereka. 
Selain itu, Israel dikatakan tanpa disedari umum, juga memohon maaf kepada Mesir berhubung dengan peristiwa yang berlaku pada Ogos lalu apabila tenteranya menembak mati lima orang polis Mesir di Sinai ketika bertempur dengan pejuang Palestin.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Disember 2011.)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...