Artikel Popular

Friday, April 19, 2013

Kajian: Orang yang Terkenal dan Kaya Pendek Umur

JUMAAT,  19 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Orang yang terkenal, daripada +Marilyn Monroe kepada +Michael Jackson, meninggal dunia  pada usia yang muda; demikian juga pelakon, James Dean.  Presiden John F. Kennedy yang terkenal dan kaya juga meninggal dunia pada usia yang muda, termasuk adiknya, Robert Kennedy, dan anaknya, John F. Kennedy, Jr.

Kajian  yang dipetik oleh Lindsay Abrams dalam The Atlantic, menunjukkan bahawa orang yang terkenal dan kaya pendek umur.  Para penyelidik di Sydney meneliti umur dan punca kematian yang dilaporkan dalam 1000 obituari yang diterbitkan berturut-turut dalam The New York Times, dari tahun 2009 hingga 2011.


Thursday, April 18, 2013

Upah Minimum

KHAMIS, 18 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Berikutan ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar antara golongan kaya dengan golongan miskin, maka kewujudan golongan kelas menengah dan upah minimum semakin mendapat perhatian.  Presiden Barack Obama dalam ucapan State of The Union pada tahun ini, antaranya tertumpu pada dasar upah minimum.

Sementara di negara kita, kerajaan mulai tahun ini memperkenalkan dasar upah minimum, manakala Pakatan Rakyat dalam manifestonya menjanjikan peningkatan upah minimum.  Baru-baru ini, kerajaan British dilaporkan, mengumumkan bahawa upah minimum negara akan meningkat sebanyak 12 peratus sejam, kepada 6.31 paun sterling untuk orang dewasa dan sebanyak lima peratus, kepada 5.03 paun sterlilng untuk pekerja yang berumur antara 18 hingga 20 tahun, mulai Oktober ini.

Carta harian,  +The Economist  menunjukkan beberapa buah negara di dunia, meningkatkan upah, iaitu selain Britain, ialah Amerika Syarikat, dengan upah minimum persekutuan akan meningkat sebanyak 24 peratus, berpotensi membantu kira-kira 15 juta orang pekerja.

Wednesday, April 17, 2013

Penerbangan Tambang Murah

RABU, 17 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Penerbangan tambang murah semakin menjadi kelaziman di peringkat global.  Bagi penduduk Malaysia khususnya dan Asia Tenggara amnya,  +Air Asia, sememang tidak asing lagi.  Nama syarikat penerbangan lain, antaranya Malindo Air  dan Jetstar.

Melalui carta hariannya, +The Economist, menunjukkan bahawa penerbangan tambang murah menjadi kelaziman, sering  diratapi, ciri percutian dan perjalanan perniagaan di seluruh dunia.  Di lapangan terbang British misalnya, lebih 50 peratus penumpang tahun lalu berasak-asak dalam penerbangan tambang murah.  Negara lain yang turut menunjukkan penerbangan tambang murah popular ialah Filipina, dengan  Cebu Pacific, Rusia, Jepun, dan China.


Tuesday, April 16, 2013

Pilihan Raya Kudap-kudapan

SELASA, 16 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung pada 5 Mei ini, turut mendapat liputan media asing, misalnya +The Economist dalam keluaran terbaharu.  Melalui makalah yang ditulis di Singapura itu, majalah berkenaan menyatakan bahawa inilah kali pertama kerajaan menghadapi kemungkinan sebenar kalah.  Bahkan, jika tidak kalah sekalipun, dan keanehan itu masih memihak kepada kerajaan, pilihan raya ini mempunyai impak yang mendalam terhadap politik Malaysia.

Najib Razak yang menerajui Barisan Nasional,  menurut majalah itu, dibantu oleh ekonomi yang kuat, mengagihkan kudap-kudapan, iaitu bantuan kewangan untuk keluarga miskin, peningkatan gaji untuk penjawat awam, dan menjanjikan perumahan mampu milik dan lebuh raya baru.

Yang menarik, makalah itu menjangkakan bahawa, sama ada Najib Razak ataupun Anwar Ibrahim akan berakhir kerjaya politik selepas pilihan raya ini.  Jika prestasi BN lemah, beliau akan diketepikan daripada UMNO.  Bagi Anwar pula, seperti yang beliau akui sendiri, kekalahan bermakna berakhirnya kerjaya politiknya.


Monday, April 15, 2013

Ramah terhadap Pelawat Asing: Malaysia di Tangga ke-56

ISNIN, 15 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Para pemimpin Malaysia selalu berbangga dan mewar-warkan bahawa negara ini menjadi daya tarikan pelancong asing. Kempen atau promosi di luar negara untuk menarik para pelancong asing.  Dalam pada itu, Malaysia juga terkenal dengan sikap kasar pemandu teksi, dan bahkan, ada pelancong asing menjadi mangsa rogol mereka.

Dari segi keramahan penduduk tempatan terhadap pelawat asing, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia, yang turut dipetik oleh The Huffington Post, Malaysia menduduki tangga ke-56, di belakang Thailand (ke-13), Singapura (ke-16), dan Filipina (ke-26), manakala Indonesia (ke-114), didahului oleh Kemboja (ke-100) dan Vietnam (ke-108).

Laporan yang melibatkan 140 buah negara itu, menunjukkan bahawa Iceland paling ramah, diikuti oleh New Zealand, Maghribi, Macedonia, dan Austria.  Negara lain yang tersenarai 10 teratas ialah Senegal (keenam), Portugal (ketujuh), Bosnia dan Herzegovina (kelapan),  Ireland (kesembilan), dan Bukina Faso (ke-10), manakala Bolivia adalah paling bawah diikuti oleh Venezuela, Rusia, Kuwait. Latvia untuk senarai lima negara paling bawah.

Kota Mega yang Berkembang Pesat

ISNIN, 15 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kota-kota di Asia kelihatan berkembang pesat.  Seperti yang ditunjukkan oleh Joel Kotkin dan Wendell Cox  dalam +Forbes, tujuh kota mega terbesar di dunia, bertempat di Asia, berasaskan pembundaran data penduduk terkini yang dikeluarkan bulan lalu oleh Demographia.  Kota terbesar masih kawasan Tokyo-Yokohama, yang didiami 37 juta penduduk, diikuti oleh Jakarta, Seoul-Incheon, Delhi, Shanghai, dan Manila.

Saturday, April 13, 2013

Bagaimana Remaja di AS Berbelanja?

SABTU, 13 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak remaja, pastinya banyak perkara yang mereka perlu fikirkan, antaranya pendidikan, masa depan, dan dengan siapakah anak itu berkawan, bergaul. 

Dalam The Atlantic, +Derek Thompson  muncul dengan makalah yang boleh dikatakan menarik, iaitu tentang bagaimana remaja di Amerika Syarikat berbelanja, yang mungkin dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa serta penggubal dasar di negara kita.  Thompson yang memetik laporan yang dikeluarkan oleh Piper Jaffray, menunjukkan bahawa remaja di negara itu banyak berbelanja untuk pakaian (21 peratus), makanan (18 peratus), dan aksesori/penjagaan peribadi (10 peratus). 

Golongan remaja juga banyak berbelanja kasut (sembilan peratus) dan lapan peratus masing-masing untuk kereta dan elektronik.  Untuk muzik dan wayang gambar (tujuh peratus), permainan video (enam peratus), dan konsert dan acara (enam peratus).  Untuk buku, remaja di negara itu hanya berbelanja sebanyak dua peratus, iaitu sama dengan untuk perabot, manakala lain-lain tiga peratus.  


Friday, April 12, 2013

Empayar Global Baru

JUMAAT,  12  April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

(Para pembaca yang dihormati, makalah ini tidak lengkap kerana masalah teknikal. Mohon maaf.  -  Zulkifli Salleh)






Thursday, April 11, 2013

Hilang dalam Manifesto: Bahasa Melayu

KHAMIS, 11 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Saya mendapat berita bahawa Parlimen Malaysia dibubarkan pada 3 April ketika kenderaan yang membawa kami sekeluarga keluar dari tempat letak kereta di Pasar Baru, Bandung.  Ketika itu, anak bongsu saya yang bersama-sama ke sana, menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kawannya di Kuala Lumpur.  Selepas sarapan di hotel tempat saya dan keluarga menginap, iaitu Grand Pacific, saya sempat membuka Facebook yang mula tersebar berita bahawa kemungkinan Parlimen dibubarkan pada hari itu.

Namun, saya tidak berasa apa-apa keterujaan tentang pembubaran Parlimen kerana, sama ada dibubarkan atau tidak, tempohnya akhir berakhir juga pada hujung bulan ini.  Maksudnya, sekadar  menghitung detik dan ketika sahaja. 

Di peringkat negeri pula, selain Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mencipta sejarah, iaitu terbubar dengan sendirinya, tidak ada usaha di negeri lain untuk membubarkannya, bahkan di negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR), iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor, hanya bertindak "tunggu dan lihat."

Pulang ke tanah air, saya sempat menonton siaran langsung pelancaran manifesto Barisan Nasional (BN) oleh Pengerusinya, Najib Razak.  Sebagaimana, manifesto, PR, aku janji BN juga lebih cenderung memberikan habuan kepada rakyat dengan "menabur dedak, hampas kelapa, atau hampas sagu."  Kedua-dua pihak terjebak dalam pertarungan politik populis.  Di pihak PR, mereka menuduh manifesto BN itu "memplagiatkan" manifesto mereka, lalu liputan Bloomberg tentang pelancaran manifesto BN mendapat perhatian yang meluas.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya hanya mengumumkan pada 10 April bahawa Pilihan Raya Umum akan berlangsung pada 5 Mei dan penamaan calon pada 20 April, bendera, kain rentang, papan iklan, sepanduk BN dan PR kelihatan lebih awal lagi. Kedua-dua belah pihak juga mendabik dada tentang kehebatan manifesto masing-masing, seolah-olahnya manifesto mereka "turun dari langit", iaitu tanpa cacat celanya.  Pendek kata, manifesto lebih banyak tertumpu pada aspek kewangan, tetapi mengabaikan aspek yang penting: pembinaan bangsa yang tidak dapat tidak, bahasa Melayu menjadi tonggaknya.

Bercakap tentang manifesto yang begitu banyak menjanjikan habuan kepada rakyat, saya tertanya-tanya akan usaha kedua-dua pihak, iaitu BN dan PR, untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang kedaulatannya pada tahap "hidup segan mati tak mahu."  Saya dapat mengesani bahawa bahasa Melayu  tenggelam dalam kedua-dua manifesto, iaitu tidak dipedulikan.  Hal ini demikian, kerana medan pertempuran utama ialah habuan kewangan. 

Semasa mengikuti siaran langsung pelancaran manifesto BN, saya sedar bahawa Najib menyatakan usaha untuk memperkasa bahasa Melayu dalam pendidikan.  Namun, bersama-sama bahasa Inggeris, sains, dan matematik, seolah-olahnya membayangkan bahasa usaha memperkasa  bahasa Melayu tidak akan sempurna tanpa melibatkan bahasa Inggeris khususnya.

Pendek kata, kita dapat menjangkakan bahawa tidak wujud politik bahasa dalam Pilihan Raya Umum ke-13.  Fikiran dan minda pengundi khususnya, dan rakyat amnya, dibentuk oleh Najib Razak dan Anwar Ibrahim dalam acuan politik populis dengan bermacam-macam habuan atau ganjaran kewangan.

Saya terdorong untuk membangkitkan isu bahasa Melayu dalam manifesto kerana saya tertarik dengan laporan Time tentang politik bahasa yang berlaku di Quebec, wilayah yang golongan majoriti bertutur dalam bahasa Perancis, yang melancarkan perang terhadap bahasa Inggeris.  Tidak seperti di Quebec, para pemimpin Melayu, baik dalam BN, mahupun PR, tidak mempunyai keazaman untuk memulihkan kedaulatan bahasa Melayu.  

Dengan kata lain, kedua-dua belah pihak, terutamanya Najib Razak dan Anwar Ibrahim masih "bernaung di bawah ketiak"  Dr. Mahathir Mohamad. Mereka hanya membiarkan bahasa Melayu terus musnah, angkara Mahathir sejak  satu dekad pemerintahannya, iaitu sejak tahun 1993 hingga 2003: zaman surut bahasa Melayu.

Wednesday, April 10, 2013

Krisis Euro: Soros Terus Lanyak Jerman

RABU, 10 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Hartawan terkenal, +George Soros,  adalah antara individu yang tidak jemu membicarakan krisis zon euro yang berlaku lebih tiga tahun. Dalam tulisannya dapat dikesan bahawa beliau mengharapkan Jerman memainkan peranan penting untuk menyelesaikan krisis tersebut, dan dalam pada itu, beliau mengkritik Canselor +Angela MerkeI yang bersikap bena tak bena untuk menyelesaikannya.  Bahkan, semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada tahun lalu, Soros bertelagah dengan Angela Merkel.

Dalam tulisan terbaharunya, yang diterbitkan dalam The Guardian dan Project Syndicate, bagaimana menyelamatkan Kesatuan Eropah, Soros memberikan kata dua kepada Jerman, sama ada menerima bon euro atau meninggalkan euro.  Krisis euro, menurut pemerhatian beliau, telah pun mengubah Kesatuan Eropah daripada persekutuan sukarela untuk kesamaan negara menjadi hubungan pemiutang-penghutang yang daripada situ tidak mudah untuk mencari jalan keluar.  

Beliau dilaporkan  menggesa Angela Merkel agar mempertimbangkan langkah untuk meninggalkan euro.  Bagi beliau, prospek mata wang tunggal itu lebih baik tanpa Jerman, anggota dominan zon euro.

Dalam syarahan di Frankfurt, pusat kewangan Jerman, peniaga dana lindung nilai itu memberitahu negara terkaya Eropah itu yang pergi terlalu jauh ketika pelan penyelamat Cyprus, sendiri menjunam ke arah kemelesetan dan sepatutnya, sama ada meninggalkan euro atau mengubah pendiriannya selama ini yang menentang bon euro, iaitu bentuk hutang kedaulatan yang bermakna setiap pinjaman negara anggota dijamin oleh seluruh zon euro.

"Keutamaan pertama saya," jelas Soros, "ialah bon euro; keutamaan kedua saya ialah Jerman meninggalkan euro."  Maka, tegas beliau, terpulang kepada Jerman untuk memutuskan, sama ada bersedia untuk membenarkan bon euro ataupun tidak.

Tentang Eropah, ulas Stefan Kornelius, Angela Merkel, tidak ada pilihan, dan kerana desakan serta kepentingan politik, beliau tidak boleh lagi terus terhegeh-hegeh. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...