Artikel Popular

Wednesday, July 4, 2012

Pasaran Gagal, Model Punah

RABU, 4 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Mary Schapiro, Pengerusi Securities and Exchange Commission baru-baru ini memberitahu Kongres bahawa rakyat Amerika hilang kepercayaan pasaran saham.  Para pelabur mempunyai "keprihatinan tentang integriti pasaran," dan pasaran Amerika Syarikat kini diancam dengan "keengganan (bagi pihak pelabur) untuk memasuki pasaran semula."

Hampir empat tahun lalu, iaitu tatkala Amerika Syarikat dilanda krisis ekonomi pada tahap "jatuh bebas," Alan Greenspan, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan mengaku di hadapan Jawatankuasa Pengawasan Dewan bahawa beliau terlalu mempercayai kuasa pembetulan sendiri pasaran bebas dan gagal menjangkakan kuasa pemusnahan sendiri pemberian pinjaman gadai janji sewenang-wenangnya.  Beliau juga mengakui kecatatan pasaran bebas yang beliau anuti dengan taksubnya. 

Sejak krisis ekonomi  melanda dan dunia hampir-hampir terjebak ke dalam Kemelesetan Besar,  sesetengah ahli ekonomi dan para pengulas hilang kepercayaan terhadap pasaran dalam erti kata bahawa pasaran tidak boleh dibiarkan bebas sebebas-bebasnya, sebaliknya memerlukan campur tangan kerajaan, iaitu kawal selia.  Andaian bahawa ketika kemelesetan kerajaan tidak patut campur tangan kerana dalam jangka panjang, pasaran akan seimbang dengan sendirinya turut dipersoalkan dan diragui.  Memetik John Maynard Keynes, "dalam jangka panjang, kita semua mati."

Walau bagaimanapun, Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post tidak mentafsirkan apa yang berlaku dalam konteks pasaran, sebaliknya beliau memerhatikan bahawa "kita hidup dalam model dunia yang punah."  Mengapa para pemimpin dunia tidak mudah menyelesaikan ekonomi global yang menggerutup adalah kerana model ekonomi yang Amerika Syarikat, Eropah, China bergantung sedang runtuh.  Model berbeza, tetapi kerosakan yang berlaku adalah serentak dan saling membekalkan  antara satu sama lain. Akibatnya adalah bahawa pemulihan global mengendur, manakala pesimisme dan ketidakpastiaan meningkat.

Melampaui pasaran ialah ekonomi sebenar yang di mana-mana sahaja kelihatan muram. Di zon euro yang dilanda krisis,  kadar pengangguran meningkat kepada 11.1 peratus pada bulan Mei, manakala pengangguran dalam kalangan belia mencecah 22.6 peratus. Sementara  sektor pembuatan terjejas, iaitu PMI yang diukur oleh Markit pada 45.1 bulan Jun, mengulangi angka Mei, yang telah pun teruk sejak Jun 2009.  Kedua-dua itu dianggap berita buruk bukan sahaja untuk zon euro, tetapi juga untuk Eropah. "Kucar-kacir sebenar untuk zon euro," ulas R.A. dalam The Economist.

Merentas Atlantik, sektor pembuatan Amerika Syarikat juga  merosot apabila pada Jun, indeks aktiviti pembuatan jatuh kepada 49.7 daripada 53.5 Mei, terendah sejak Jun 2009, sekali lagi selepas kemelesetan berakhir. 


Tuesday, July 3, 2012

Pengutip Sampah dan Petunjuk Ekonomi

SELASA, 3 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Mungkin sesetengah kita pernah melihat orang menggeledah tong sampah di hadapan  rumah kita untuk mencari tin minuman, bekas plastik, dan sebagainya yang akan dikumpulkan dan dijual.  Kita juga selalu terserempak dengan basikal sorong, basikal roda tiga, dan motosikal roda tingga yang sarat dengan sampah.  Untuk menilai  kemampuan sesebuah kerajaan mentadbir, kecekapannya mengutip sampah dijadikan ukuran.

Di Greece yang mengalami krisis hutang, manakala   krisis politik belum reda, pengutip sampah berkeliaran di Athens. Dianggarkan 80,000 warga Athens, menurut Jennifer Hattam yang menulis dalam The Atlantic City, mengutip dan memproses cebisan dalam ekonomi tak formal kota itu. 

Kini, dalam tahun kelima berturut-turut Greece mengalami kemelesetan, kehidupan pengutip sampah di Athens tidak lagi kelihatan berbeza dengan mereka yang mendiami tempat lain di negera itu.  Hampir 1.1 juta rakyat Greece tanpa pekerjaan, kebanyakannya di Athens dan kawasan bandar lain.  Tiga puluh peratus kedai di kota itu ditutup, jenayah terus meningkat, tiada tempat bertuduh yang pernah tidak wujud, kini kelihatan lazim di jalan-jalan di kota itu.

Untuk mengukur buruk baiknya keadaan ekonomi, seseorang tidak perlu menunggu data rasmi kerajaan atau organisasi lain.  Memadai memerhatikan keadaan di pusat beli-belah: lengang atau sesak dengan manusia, kedai-kedai dibuka atau ditutup; dibuka lewat, tutup awal.  Atau memerhatikan keadaan di jalan raya, sesak atau sebaliknya.  Juga memerhatikan banyak atau sedikitnya lori yang mengangkut barang di lebuh raya.

Kisah pengutip sampah di Athens mencerminkan keperitan hidup warga  kota itu dan penduduk   Greece.

Globalisasi Membunuh

SELASA, 3 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Media, dan sesungguhnya, ahli sains sosial, secara konstan memberitahu kita bahawa dua perkara yang menguasai  dunia yang kita diami sejak dekad terakhir abad ke-20: globalisasi dan keganasan. Tulis Immanuel Walerstein dalam World-System Analysis:  An Introduction, "kedua-duanya dipersembahkan kepada kita sebagai fenomena yang sebahagian besar baru.    Yang pertama, penuh dengan harapan gilang-gemilang dan yang kedua dengan bahaya yang dahsyat."

Globalisasi yang wujud lebih 500 tahun lalu, seusia dengan kapitalisme, membolehkan modal, manusia, dan maklumat bergerak merentas sempadan pada penghujung abad lalu.  Ditambah pula dengan globalisasi keganasan,  krisis ekonomi, dan wabak penyakit.

Globalisasi buatan Amerika bukan sahaja mengeksport budaya Amerika ke seluruh dunia, tetapi juga menyebarkan masalah kesihatan mereka, iaitu diabetes, seperti yang dibahaskan oleh Neal Emery dalam The Atlantic. Hampir seluruh abad ke-21, besar kemungkinan  orang membina dua jenis diabetes, banyak bergantung pada kekayaan negara negara, juga biologi mereka.  Mereka yang tinggal di dunia maju dapat bertahan ke zaman lama dan akhirnya tunduk pada "penyakit mewah," iaitu kanser, penyakit kardiovaskular, dan diabetes.  Sebaliknya, kurang pemakanan, keganasan, dan penyakit yang mudah berjangkit membinasakan penduduk negara membangun.

Namun kini,  tegas Emery, "penyakit mewah" merebak ke negara berpendapatan rendah dan sederhana: kolera bersama-sama dengan kanser; kurang pemakanan bersama-sama diabetes. Kesan diabetes adalah penting.  Sejak tahun 1980, jumlah penghidap diabetes di seluruh dunia meningkat daripada 152 juta orang kepada antara 285 dengan 347 juta orang sekarang.  Daripada jumlah ini, tiga perempat pesakit yang tinggal di dunia membangun, yang orang yang menderita penyakit ini lebih enam kali tinggi daripada penghidap HIV.  

Diabetis merebak dalam kalangan penduduk miskin berpunca daripada tiga kuasa sosial, iaitu penduduk berumur, pembandaran, dan pertumbuhan ekonomi.  Menurut model ini, jelas Emery, apabila orang berpindah ke kota, mereka meninggalkan kerja kasar dan menerima pakai gaya hidup yang lebih banyak duduk.  Hal ini, bersama-sama dengan hidup yang lebih lama dan peningkatan pendapatan yang membolehkan orang ramai membeli lebih banyak makanan, mungkin memacu peningkatan kadar keobsesan di seluruh dunia.

Seperti yang dijangkakan, jelas Emery lagi, meningkatnya pembandaran, pembangunan ekonomi,  gaya hidup lebih banyak duduk, dan jumlah makanan yang dapat diperoleh secocok dengan kadar diabetes yang tinggi.  Walau bagaimanapu, selepas data ini diselaraskan, korelasi tersebut tidak wujud lagi, misalnya hubung kait antara pembandaran dengan diabetes.  Sebenarnya, korelasi antara kedua-duanya wujud kerana kehidupan di kota mendedahkan orang ramai kepada penggunaan lebih banyak gula.  

Kemewahan dan pembandaran, tegas Emery mungkin tidak menyebabkan diabetes, sebaliknya penyakit itu berpunca daripada gula yang ditapis dan makanan yang diproses. 


Remaja Guna Internet untuk Dedah

SELASA, 3 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kebanyakan orang muda Amerika memberitahu bahawa Internet membentuk siapakah mereka,  berdasarkan kajian terbaharu The Atlantic dan The Aspen Institute yang dijalankan oleh Penn Shoen Berland and Associates.  Sementara laporan baru Pew Internet Poject mendedahkan 93 peratus remaja yang berumur antara 12 tahun hingga 17 tahun menggunakan dalam talian, sebagaimana 93 peratus golongan remaja dewasa yang berumur 18-29 tahun.  

Satu kajian lain yang dipetik oleh Bloomberg dan The Washington Post,  menunjukkan bahawa satu perempat remaja Amerika menghantar gambar bogel mereka menerusi elektronik, dan mereka yang terlibat dalam sexting adalah hampir dua kali ganda. 

Kira-kira separuh daripada hampir 1000 orang pelajar yang berumur 14-19 tahun dari sekolah awam tinggi di Texas memberitahu bahawa mereka diminta menghantar foto bogel secara elektronik, menurut kajian yang diterbitkan oleh Archives of Pediatric and Adolescent Medicine.  Satu pertiga lagi meminta remaja lain menghantar gambar bogel mereka.

Kajian juga menunjukkan bahawa 28 peratus remaja yang bertukar mesej bogel besar kemungkinan  mengadakan hubungan seks.



Monday, July 2, 2012

"Obamacare": Perang Tanpa Kesudahan?

ISNIN, 2 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




"Obamacare" atau pelan penjagaan kesihatan seakan-akan satu peperangan yang panjang, tercetus sebelum diluluskan oleh Kongres pada tahun 2010, terus sengit apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Agung, dan meletup apabila mahkamah tinggi Amerika Syarikat membuat keputusan pada 28 Jun baru-baru ini, mengesahkan kelangsungannya. 

Keputusan  Mahkamah Agung bahawa Affordable Care Act tidak bercanggah dengan Perlembagaan  memang memeranjatkan banyak orang,   bahkan CNN dan Fox News membuat laporan sebaliknya, meskipun  ada yang  menjangkakan  mahkamah itu mungkin mengesahkannya. "Pencapaian yang paling menarik untuk Mahkamah Agung," tulis Stephen L. Carter dalam Bloomberg.  Atau dalam retorik  Randy Barnett yang menulis dalam The Washington Post, "Kita hilang penjagaan kesihatan, tetapi Perlembagaan menang."  

Laporan dan ulasan tentang keputusan itu sungguh menarik dan sarat dengan kontroversi dan penuh polemik, antara semua itu, menurut  Alexander Klein dalam The Daily Beast, sembilan adalah yang terbaik untuk dibaca  Sementara The Week mendedahkan apa yang berlaku di belakang tabir: Hakim John Roberts sangat tidak selesa, Presiden Barack Obama fikir bahawa undang-undang menolak pelan kesihatan yang diperkenalkan oleh beliau, kempen Obama juga keliru, dan CNN sangat tidak teratur. 

Yang paling memeranjatkan keputusan  John Roberts yang dilantik oleh Presiden George W. Bush, dikatakan mengubah undinya untuk menyertai empat hakim liberal, memihak kepada pelan penjagaan kesihatan, menjadikan keputusan 5-4, dan menurut Howard Kurtz, mengatasi kepartisan, dan mengubah legasinya, tegas Robert Schrum. Adakah beliau mengubah fikirannya pada saat akhir?  Sementara David Cole menulis dalam The Nation, bagaimana dan mengapa  Roberts mengesahkan "Obamacare"?  


Berikutan keputusannya itu, Ketua Hakim John Roberts mendapat perhatian; beliau, menurut Jeffrey Rosen yang menulis dalam The New Republic, menggunakan "Obamacare" untuk mendedahkan identitinya yang sebenar.  Dan, beliau juga dianggap sebagai orang yang sederhana serta berani untuk menurut.  Time yang sebelum memberikan perhatian kepada Hakim Anthony Kennedy dalam menentukan keputusan perbicaraan, tetapi berikutan keputusan Mahkamah Agung itu, majalah itu memberikan tumpuan kepada John Roberts, "apakah keputusan penjagaan kesihatan maksudkan untuk negara ini."


Republikan yang sejak awal menentang  "Obamacare," bahkan tidak seorang anggota Perwakilan yang menyokong rang undang-undang ini pada tahun 2010, nampaknya sukar menerima keputusan Mahkamah Agung itu.  Beberapa gabenor daripada parti itu terus terang mengatakan bahawa mereka akan melawan balik, dalam erti kata mereka tidak melaksanakan di peringkat negeri masing-masing.  Republikan menegaskan bahawa mereka akan memansuhkan pelan penjagaan kesihatan itu, tetapi diragui kerana sudah terlewat, malahan usaha itu dianggap sebagai fantasi.  Sementara Demokrat mengingatkan bahawa Republikan akan tewas jika berkempen untuk  memansuhkan "Obamacare."


Oleh sebab pada bulan November ini akan diadakan Pilihan Raya Presiden, yang pastinya menyaksikan pertarungan antara Barack Obama dengan Mitt Romney, maka pelan penjagaan kesihatan dan keputusan Mahkamah Agung itu, banyak mempengaruhi kempen semasa dan sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan pengundian. Tinjauan pendapat baru menunjukkan bahawa para pengundi tidak menyukai keputusan Mahkamah Agung itu, tetapi tinjauan pendapat yang lain menunjukkan sokongan terhadap "Obamacare" meningkat. 


Bagi Presiden Barack Obama, keputusan Mahkamah Agung yang mengesahkan kelangsungan pelan penjagaan kesihatan, seperti yang dibahaskan oleh Mark Landler dalam The New York Times, "beliau sedang mencipta legasinya, meletakkan namanya sebaris dengan  Franklin D.  Roosevelt, Lyndon B. Johnson, dan Ronald Reagan."  Kemenangan itu merupakan satu cabaran terhadap dirinya dan masa depan Affordable Care Act banyak bergantung pada pilihan raya November ini. 


Dari segi politik, Obama, menurut Michael Tomasky yang menulis dalam The Daily Beast, meraih sokongan pengundi bebas, sedangkan Romney sukar memperolehnya. Namun, hujah Robert W. Merry dalam The National Interest, "kemenangan dari segi undang-undang, kekalahan dari segi politik." 


Sementara lawannya, iaitu Mitt Romney yang terkejut dengan keputusan Mahkamah Agung itu, diperhatikan cuba mencari kelebihan pada penjagaan kesihatan yang beliau juga pernah perkenalkan ketika beliau berkhidmat sebagai Gabenor Massachusetts.  Beliau nampaknya dapat menggembleng sokongan kerana dalam masa 24 jam selepas keputusan Mahkamah Agung itu, beliau berjaya mengumpulkan AS$4.6 juta daripada lebih 47,000 derma dalam talian. 


Namun, keputusan Mahkamah Agung itu, bahas Alec McGillis dalam The New Republic, bukannya baik untuk Romney. Seandainya undang-undang penjagaan kesihatan itu ditolak, nescaya Romney boleh  menjaja ke sana ke mari bahawa seluruh penggal pertama Obama adalah sifar.  Bukan sahaja Obama tidak mampu memulihkan ekonomi sepenuhnya, tetapi juga isu yang beliau sendiri pilih untuk dua tahu pertama ketika ekonomi teruk, akhirnya terbukti membuat kerja suruhan yang bodoh.


Menjadikan pelan penjagaan kesihatan medan pertarungan, sesungguhnya satu pilihan yang sukar bagi Romney kerana seperti yang dinyatakan di atas dan sering dibangkitkan di Amerika Syarikat, beliau sendiri pernah memperkenalkan pelan itu di Massachusetts pada tahun 2006 yang kemudian ditiru oleh Obama. Oleh sebab itu, untuk mengelakkan daripada tersadung dalam pertarungan ini, beliau sering menegaskan bahawa pelan penjagaan kesihatan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya Persekutuan.


"Mandat individu," seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Agung terhadap "Obamacare," menurut Sam Stein, sangat sama dengan "Romneycare."  Keputusan mahkamah itu untuk mengesahkan mandat individu Affordable Care Act sebagai cukai mendorong  Republikan untuk mendakwa bahawa Presiden Barack Obama menaikkan cukai terhadap berjuta-juta golongan kelas menengah Amerika.  Akan tetapi, hujah Kyle Cheney, "mereka akan menghadapi masalah kerana mandat individu Mitt Romney di Massachusetts berfungsi betul-betul dalam cara yang sama.  Dan orang ramai mula sedar."  Bahkan, orang ramai diingatkan jangan mudah terpengaruh dengan naratif Republikan bahawa "Obamacare" ialah cukai terhadap kelas menengah.  


Nampaknya, Republikan mula sedar bahawa mereka akan tersadung jika mereka menggambarkan bahawa "Obamacare" sebagai kenaikan cukai kerana Romney memperkenalkan undang-undang yang sama.  Pemimpin Minoriti Senat daripada Republikan, iaitu Mitch McConnel yang muncul dalam program Fox News ketika diajukan  soalan,  sekadar menjawab, "Saya fikir Gabenor Romney perlu bercakap tentang yang pernah dilakukan di Massachusetts."


Dalam hubungan ini, Paul Begala mengungkapkan kiasan yang menarik tentang asal-usul dan perkembangan  pelan penjagaan kesihatan: "Semua yang Ketua Hakim Roberts lakukan ialan mengesahkan dasar yang difikirkan Heritage Foundation, dibidani oleh Newt Gingrich, dibesarkan oleh Mitt Romney, dan dijadikan anak angkat ketika dewasa oleh Barack Obama."


Oleh sebab pelan penjagaan kesihatan akan menghantui kedua-duanya, iaitu Obama dan Romney, maka dijangkakan isu ini tidak akan bertahan lama.  Paling tidak, pada hari Jumaat ini apabila laporan kadar pengangguran Jun dikeluarkan, bermakna medan pertarungan akan beralih  semula kepada ekonomi.


Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan, sama ada medan pertarungan ini memihak kepada Romney kerana menurut Richard J. Carol yang menulis dalam Bloomberg, Presiden Amerika Syarikat daripada Parti Demokratik adalah lebih baik untuk ekonomi.





Krisis Euro Ancam Kestabilan Global

ISNIN, 2 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Meskipun lebih dua tahun berlalu, krisis zon euro tidak menampakkan tanda untuk reda. Kesan jangkitan menjadi-jadi, dari Greece ke Ireland ke Portugal, dan yang terbaharu ke Sepanyol, manakala bukan sedikit pemimpin yang tumbang atau disingkir, yang terbaharu Nicolas Sarkozy dari Perancis. Bahkan, jika krisis berterusan, Presiden Barack Obama, mungkin terpelanting dari Rumah Putih. Bukan sahaja zon euro dijangkakan berkecai, bahkan juga Kesatuan Eropah turut runtuh.  Perdana Menteri David Cameron bercadang untuk mengadakan pungutan suara yang pastinya jika dilaksanakan, menentukan masa depan kesatuan itu.

Krisis zon euro  membadai jauh, merentas Atlantik dan menerobos Pasifik.  Dunia membangun terpaksa menanggung beban, manakala negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) tidak mampu mengelak. Krisis hutang ini, menurut Roger Bootle, membangkitkan pesimisme.

Namun, krisis yang berlarutan ini bukan membawa implikasi ekonomi,  politik, dan sosial semata-mata, tetapi juga melibatkan ancaman kestabilan global. "Tatkala para pemimpin Eropah berkumpul untuk sidang kemuncak Kesatuan Eropah minggu ini," tulis Steven Grundman dan A.J. Wilson dalam The National Interest, "wujud pertaruhan yang besar untuk keselamatan global jangka panjang sebagaimana pertaruhan untuk kestabilan ekonomi jangka pendek."

Jelas kedua-dua penulis ini, perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan merebak ke seluruh masyarakat Eropah selatan.  Penerima faedah pertama daripada trend ini ialah parti arus perdana dan secara meluas parti pembangkang, seperti Parti Rakyat Sepanyol dan Demokrasi Baru Greece.  Jika jimat-cermat, kebekuan ekonomi, dan pengangguran yang tinggi berterusan, maka para pengundi berasa bahawa politik konvensional tidak mampu menyelesaikan masalah mereka.  Bahkan kita, puak Kiri dan Kanan dikatakan memperoleh sokongan. 

Sementara puak pelampau mencari golongan yang ingin dipersalahkan, menjadikan kaum imigran sasaran mereka.  Puak imigran ini memasuki Eropah, sama ada secara sah ataupun secara haram dua dekad lalu.  Di Greece misalnya, menyaksikan puak fasis, seperti Parti Ufuk Keemasan yang berazam akan mengusir kaum imigran di negara itu.

Sementara pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia yang kini mencecah 75 juta orang,  jelas Steven Grundman dan A.J. Wilson, iaitu 36 peratus di Italy dan Portugal dan lebih 50 peratus di Sepanyol dan Greece, menyebabkan timbul perasaan hati dalam kalangan mereka. 

"Kemerosotan yang pantas dalam kemakmuran Eropah mempunyai kesan penting terhadap orde politik di wilayah itu," hujah Grundman dan Wilson. 

Sesungguhnya, kesan krisis euro semakin dalam dan semakin jauh.  Kini, kestabilan global menjadi pertaruhan. 


Sunday, July 1, 2012

Euro: Italy Menang Pertarungan, Kalah Peperangan

AHAD, 1 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika sidang kemuncak Kesatuan Eropah di Brussels, Perdana Menteri Italy Mario Monti dan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy, dilaporkan berjaya mendesak Canselor Jerman Angela Merkel agar dana pelan penyelamat zon euro digunakan untuk menangani kos peminjaman kedaulatan Sepanyol dan Italy yang meningkat.  

Merkel kelihatan dipaksa secara aib kembalikan pendirian, selepas "diserang" oleh Perancis, Italy, dan Sepanyol.  "Perikatan Latin" baru ini, tegas Liam Halligan, jelas terlibat dalam keadaan yang agak bertenaga, mengancam untuk menyekat urus janji mana-mana seluruh Eropah, kecuali Jerman, Finland, dan negara "mampu bayar zon euro" lain menjamin akses mudah untuk dana pelan penyelamat. Walau bagaimanapun, Italy, bagi Halligan, "menang pertarungan euro ini, tetapi kalah peperangan." 

Dalam sidang kemuncak itu, Monti  "memberontak"  - Italy dan Sepanyol mengalahkan Merkel. Mario berasa terlalu lega, bahkan beliau bercakap tentang bola sepak. Beliau bangga dan gembira bahaa pasukan kebangsaan Italy menewaskan Jerman dalam perlawanan separuh akhir, meskipun beliau bukannya peminat bola sepak.

Tatkala pasukan Italy bersiap sedia untuk menentang Sepanyol untuk menentukan juara Euro 2012, Perdana Menterinya, Mario Monti berkemungkinan kehilangan jawatannya.  Tidak ada pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak Kesatuan Eropah di Brussels yang akan bahkan   Canselor Jerman Angela Merkel dan Perdana Menteri Sepanyol Mariano Rajoy yang terpaksa berhadapan dengan kehilangan, kecuali Monti, jelas The Economist.  

Monti teknokrat yang dipilih menggantikan Silvio  "Bunga Bunga" Berlusconi, melaksanakan kenaikan cukai dan pembaharuan pencen yang berani, kini berhadapan dengan kegagalan.  "Angka yang mula-mula membawa Monti berkuasa mengancam untuk menyingkirkan beliau keluar."  Bekas Perdana Menteri itu pada 22 Jun lalu mengejutkan orang ramai untuk pertama kali tentang kemungkinan beliau kembali semula. 

"Bukan sahaja tebaran bon kerajaan meningkat semula, tetapi juga kepopularan kerajaan jatuh.  Tinjauan pendapat terkini menunjukkan bahawa kurang satu pertiga rakyat Italy fikir kerajaan melakukan kerja yang bagus."

Mario Monti, pernah digambarkan oleh Time, sebagai orang yang paling penting di Eropah, tetapi kini masa depan politiknya kelihatan kabur.  Mungkin menunggu masa untuk disingkirkan.


Bagaimana pula dengan pasukan bola sepaknya? 






Belajar Mandarin!

AHAD, 1 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jangan keliru! Bukan belajar bahasa Inggeris, ya! Dan laporan yang sama sekali tidak mengejutkan    datangnya daripada media arus perdana dunia tentang rakyat Amerika berlumba-lumba belajar bahasa Mandarin.  

R.L.G. menulis dalam The Economist bahawa kanak-kanak Amerika mengikuti program Mandarin sejak tadika. Program Mandarin adalah bertutur secara ketat selepas sekolah, secara sukarela, tetapi semua anak-anak pergi belajar selepas  sekolah dan belajar bahasa itu untuk 2.5 jam sehari. 

Dalam tulisannya itu, R.L.G. memetik makalah dalam The Wall Street Journal tentang ibu bapa Amerika pergi ke Asia demi membolehkan anak-anak mereka belajar Mandarin kerana mereka menyedari bahawa bertutur dalam bahasa itu adalah penting.  Dengan peningkatan pengaruh global China, ibu bapa berkenaan mahu anak-anak mereka mampu berkomunikasi secara fasih dengan 1.3 bilion penduduk China.  Fenomena ini sama dengan apa yang berlaku pada tahun 1980-an apabila ekonomi Jepun melambung dan berlaku keghairahan untuk belajar bahasa Jepun.

Akan tetapi, kali ini, jelas akhbar itu, kelas selepas sekolah tidak cukup bagi sesetengah orang.  Keluarga memasuki anak-anak mereka dalam program keasyikan Mandarin yang tumbuh dengan cepat dari California ke Maine.  Mereka mengupah tutur, Skyping dengan guru di Beijing dan mengambil pengasuh kanak-kanak yang bertutur dalam bahasa Cina.  Sesetengah keluarga menyimpan bilik mainan mereka dengan video Disney dalam bahasa Mandarin, tidak perlu dinyatakan Iphone apps yang bertujuan melahirkan kanak-kanak sebagai penutur Mandarin. 

Selain di China, negara yang menjadi pilihan ibu bapa Amerika untuk anak-anak mereka belajar  Mandarin ialah Singapura. 


Ketagihan dan Perceraian

AHAD, 1 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketagihan boleh membawa kepada perceraian? Bagaimana ketagihan terhadap Internet, terutamanya Facebook yang dikatakan boleh menyebabkan seseorang itu berasa kesepian?

Pakar undang-undang keluarga, Henry Gornbein yang menulis dalam blog The Huffington Post mendedahkan pengalaman beliau dalam mengamalkan undang-undang keluarga lebih 40 tahun.  

"Saya menyaksikan banyak sekali perceraian yang melibatkan pasangan yang ketagih, termasuk ketagihan alkohol, dadah, fornografi, dan perjudian," jelas beliau.  "Sepanjang kerjaya saya, saya mewakili kedua-dua pihak, iaitu pasangan yang ketagih dan pasangan yang suami/isteri ketagih." 

Gorbein percaya bahawa dalam banyak perkahwinan apabila salah seorang pasangan ketagih, nescaya suami/isteri menjadi enabler. Hal ini merupakan bahagian utama masalah.  "Saya pernah melihat situasi yang pasangan yang ketagih akan mendapatkan pertolongan, mencuba untuk mengubah kelakuan, dan perkahwinan mula retak kerana perubahan personaliti yang mengakibatkan atau hakikat bahawa perkara tidak lagi seimbang."

Beliau juga menegaskan kesan buruk televisyen, filem, dan iklan majalah yang sarat dengan alkohol dan seks.  Terlalu banyak penekakan terhadap glamor minum, menunjukkan bahawa jika mengambil minuman yang betul dan anda akan menemui lelaki atau wanita yang betul, tetapi bagaimana akibatnya?  Bagaimana tragedi manusia yang ketagihan bawa? Bagaimana  bukan sahaja membawa kepada perceraian, tetapi dapat mengakibatkan kemalangan serius, kecederaan atau kematian?


Pungutan Suara untuk Kesatuan Eropah?

AHAD, 1 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala krisis zon euro terus memuncak, Charles A. Kupchan menulis dalam The Washington Post, membayangkan krisis yang lebih teruk akan berlaku.  Tegas beliau, euro dapat diselamatkan, bagaimana pula Kesatuan Eropah?

Kira-kira sebulan kemudian, Perdana Menteri British David Cameron dipetik sebagai berkata bahawa beliau mungkin mengadakan pungutan suara atau referendum berkait dengan hubungan Britain  dengan Kesatuan Eropah jika negaranya diancam oleh kehilangan kedaulatan seterusnya kepada Brussel. Beliau menegaskan, "Bagi saya, dua perkataan, iaitu 'Eropah' dan 'pungutan suara' boleh bergerak bersama-sama."

Cameron terpaksa membuat kenyataan itu kerana Liam Fox, bekas Setiausaha Pertahanan, bersedia untuk mendesak agar diadakan rundingan semula yang segera tentang hubungan Britain dengan Kesatuan Eropah.  Jika negara anggota lain gagal menyokong penyelesaian ini, Fox percaya bahawa sepatutnya diadakan pungutan suara dengan kerajaan mencadangkan penarikan  United Kingdom daripada Kesatuan Eropah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...