Artikel Popular

Friday, December 9, 2011

Pahlawan Perang Dingin Melawan Balik

JUMAAT,  9 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi sesetengah cerdik pandai dan penganalisis, kemerosotan kemenangan  Parti Rusia Bersatu yang pro-Kremlin, iaitu kira-kira 50 peratus berbanding dengan 64 peratus sebelum ini, diperburukkan lagi oleh tunjuk perasaan anti-Perdana Menteri, Vladimir Putin, seakan-akan politik beliau sampai ke penghujungnya.  Harapan beliau untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Rusia pada Mac tahun depan kelihatan kabur.   Seperti yang dibahaskan oleh Maxim Trudolyubov dalam The New York Times, Putin dan partinya tidak lagi sekuat sebelum 4 Disember.  Meskipun majoriti atas kertas, mereka tidak boleh lagi bertindak atas nama orang ramai. 

Sementara itu, gerakan antikerajaan Rusia dilaporkan semakin memperoleh rentak apabila berpuluh-puluh ribu orang berkata mereka bersedia untuk turun ke jalan-jalan hujung minggu ini dalam cabaran terbesar terhadap pemerintahan Vladimir Putin.  Suatu kebangkitan seakan-akan berlaku di Rusia, manakala  penunjuk perasaan mempunyai mesej yang jelas: Rusia tanpa Putin.

Namun, Steve LeVine yang menulis dalam Foreign Policy, mengingatkan bahawa adalah  silap sama sekali untuk membayangkan sesuatu, seperti Pemberontakan Arab akan menimpa Putin.  Beliau mengingatkan bahawa suara autoritatif menunjukkan bahawa Putin mungkin terpaks berjuang untuk jawatan Presiden penggal ketiga dengan cara yang hingga kini tidak dapat difikirkan.  Meskipun para pengundi berkata "mereka berasa letih" terhadap Parti Rusia Bersatu dengan alasan utama ialah rasuah, muslihat pilihan raya, dan manipulasi sinis untuk kekal berkuasa, LeVine menegaskan bahawa jangan sekali-kali menganggap Putin terkeluar.  Bahkan, Putin masih mampu bermegah dengan kemenangan parti itu jika dibandingkan dengan apa yang terjadi parti pemerintah di Portugal, Sepanyol, dan United Kingdom di tengah-tengah kegawatan politik krisis pascakewangan. 

Putin, seperti yang lazim dikenali ialah pahlawan Perang Dingin, yang pastinya sentiasa bersiap sedia untuk menyerang balik.  Beliau juga dikenali pahlawan pasca-Perang Dingin dan pahlawan Perang Dingin Baru sehingga mendorong Presiden Barack Obama mengingatkan beliau bahawa cara Perang Dingin telah ketinggalan zaman. Bahkan, lebih empat tahun lalu,  Putin  menggunakan bahasa Perang Dingin terhadap Amerika Syarikat.  Daniel Johnson pernah menulis bahawa Putin mencetuskan Perang Dingin baru.

Justeru, apabila sebilangan rakyat Rusia menguji beliau sejak beberapa hari  lalu dengan melancarkan tunjuk perasaan, Putin, seperti yang diulas oleh Simon Shuster dalam Time, "empayar menyerang balas."  Meskipun ada kecenderungan untuk membandingkan apa yang berlaku di Rusia sekarang dengan Pemberontakan Arab, Shuster mengingatkan bahawa perbandingan itu adalah terlalu awal.  Pembangkang masih tidak mempunyai pemimpin dan tidak tersusun, manakala kerajaan memperlihatkan bahawa mereka mempunyai cukup alat untuk meredakan arus kebangkitan itu. 




Tatakala berhadapan dengan detik yang genting seperti itu, Putin mempunyai kebijakan untuk memilih seterunya.  Beliau mengheret Amerika Syarikat dengan menuduh Setiausaha Negara, Hillary Clinton, yang menggalakkan musuh politiknya mengadakan demonstrasi jalanan di Moscow dan St. Petersburg.  Putin memperlihatkan keberangan gaya Perang Dingin yang pastinya merosakkan hubungan antara kedua-dua negara itu. 

"Mungkin Vladimir Putin memahami memahami Amerika lebih baik daripada yang kita fikirkan," tulis Stephen Stromberg dalam The Washington Post.  "Beliau sedar bahawa tidak kira bagaimana anehnya kedengaran, anda akan selalunya menyalahkan Hillary Clinton."  Stromberg juga memetik respons Putin terhadap ketidakpuasan di kota-kota utama Rusia berikutan pilihan raya yang dipertikaikan:  "Perkara pertama yang Setiausaha Negara lakukan ialah dengan berkata mereka tidak jujur dan tidak adil, tetapi beliau, bahkan tidak menerima lagi bahan daripada pemerhati."  Putin juga tidak teragak-agak untuk menggasak Hillary Clinton yang boleh disifatkan mencampuri urusan dalaman Rusia.  


Hillary yang "terbang tinggi" sejak akhir-akhir ini, berikutan kejayaan rancangannya menumpaskan Muammar Gaddafi di Libya dan lawatan bersejarahnya ke Myanmar, kini dalam kes Rusia, beliau benar-benar tersadung.  Namun, tidak dapat dipastikan sejauh manakah keberkesanan strategi Putin  menuding jari ke arah musuh Perang Dingin kerana ini melibatkan krisis kesahan beliau yang terburuk.  

Amerika Syarikat boleh diibaratkan  "bertemu buku dengan ruas."  Putin, pahlawan Perang Dingin tidak mudah mengaku kalah, bahkan beliau akan melawan balik, meskipun dengan  musuh tradisi yang terkenal dengan kehebatannya dalam "menjaga tepi kain orang." 

Thursday, December 8, 2011

Perang Dingin Baru di Asia?

JUMAAT,  9 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Michael Klare menulis sesuatu yang cukup menarik dan amat provokatif, meskipun beliau sekadar mengemukakan persoalan: Perang Dingin baru di Asia?  Dengan mendakwa bahawa Pentadbiran Obama bermain api dalam dasar China, dalam usaha untuk mengalihkan perhatian daripada dua peperangan yang membawa malapetaka di Timur Tengah   yang Lebih Besar, pentadbiran itu mungkin mula melancarkan Perang Dingin baru di Asia, dan sekali lagi, melihat minyak sebagai punca kekuasaan global. 

Klare membangkitkan dasar baru yang ditunjukkan oleh Presiden Barack Obama sendiri pada 17 November lalu semasa berucap di Parlimen Australia apabila beliau meletakkan wawasan geopolitik yang bahaya dan terlalu bahaya.  Amerika Syarikat tidak lagi memberikan tumpuan terhadap Timur Tengah yang Lebih Besar, seperti yang dilakukan untuk dekad lalu, sebaliknya negara kuasa besar itu kini menumpukan kuasanya di Asia dan Pasifik.

Daripada kehadiran Amerika Syarikat di Laut China Selatan  kepada rancangan penempatan tenteranya  di Australia, jelas bahawa Amerika menjadikan China sebagai sasarannya, paling tidak dalam usaha pengimbangan kuasa.  Amerika Syarikat juga, seperti yang dilaporkan oleh The Jakarta Post, meminta Indonesia membantu untuk melawan peningkatan kuasa China, terutamanya di Laut China  Selatan, yang beberapa penganalisis dasar luar berkata mencerminkan strategi "proksi mengikut perang" Amerika Syarikat. 

Demikian juga lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton  ke Myanmar baru-baru ini bukan sekadar untuk melihat sendiri pembaharuan, terutamanya  dari segi demokrasi dan kebebasan yang dilaksanakan oleh negara paria itu, tetapi juga untuk mengekang kemaraan China di rantau ini.  Hannah Beech yang menulis beberapa makalah sempena lawatan itu, sekali lagi  muncul dengan memburu naga untuk menunjukkan betapa kuatnya pengaruh China di negara yang selama ini terasing dari dunia luar. 

Pastinya, kemungkinan Perang Dingin baru tidak memeranjatkan sama sekali kerana Asia pernah menjadi kancah Perang Dingin yang diberikan tafsiran menarik oleh Immanuel Wallerstein.  Sebenarnya, Amerika Syarikat sekadar membuka semula medan lama. 

James Petras yang menulis dalam laman webnya, membangkitkan bahawa Presiden Barack Obama meningkatkan pertaruhan ketenteraan di perbatasan  China dan Rusia.  Selepas menerima kekalahan ketenteraan dan politik di Afghanistan dan Iraq dan gagal menyokong pelanggan lama di Yaman, Mesir, dan Tunisia, dan menyaksikan penyepaian rejim boneka di Somalia dan Sudan Selatan, rejim Obama tidak belajar apa-apa.  Sebaliknya, beliau berpaling ke arah konfrontasi ketenteraan yang lebih besar denga kuasa global, iaitu Rusia dan China. Obama mengambil dasar pengepungan dan provokasi terhadap China, ekonomi kedua  terbesar dunia dan pemiutang Amerika Syarikat yang paling penting, dan Rusia yang merupakan pembekal minyak dan gas utama kepada Kesatuan Eropah dan kuasa senjata nuklear kedua sangat kuat di dunia. 


Untuk China, James Petras menjelaskan Obama mengumumkan pengepungan ketenteraan terhadap China berasaskan penempatan maritim, armada aerial yang menghadapi pantai China.  Dasar yang direka untuk melemahkan dan mengganggu akses China kepada bahan mentah dan hubungan komersial dan kewangan di Asia.  Petras juga memetik perisytiharan Obama bahawa Asia merupakan rantau keutamaan bagi pengembangan ketenteraan Amerika Syarikat, pembinaan pangkalan dan perseikan ekonomi yang secara langsung terhadap China, mencabar Beijing di kawasan yang berhampiran dengannya. 


Petras juga membangkitkan  ucapan Presiden Barack Obama di Parlimen Australia yang jelas dalam mentakrifkan matlama imperialis Amerika Syarikat. Juga perjanjian penempatan tentera Amerika Syarikat  di bahagian utara Australia menghadapi China. Sementara Hillary Clinton meluangkan bahagian terpenting tahun 2011 dengan melakukan percubaan yang terlalu provokatif, untuk negara Asia yang mempunyai sempadan maritim dan bersengketa dengan China. Hillary dengan menggunakan kekerasan melibatkan Amerika Syarikat ke dalam pertikaian ini, menggalakkan dan memburukkan lagi tuntutun Vietnam, Filipina, dan Brunei di Laut China Selatan.  


Petras juga membangkitkan Perkongsian Rentas Pasifik yang dipersetujui baru-baru ini, kehadiran Obama dalam mesyuarat pemimpin Asia Timur Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan lawatannya ke Indonesia, dan lawatan Hillary Clinton ke Myanmar. 

Selain China, rejim Obama, bahas Petras,  melancarkan rodokan ketenteraan berhadap utama ke atas sempadan Rusia.  Lebih tertumpu ke Eropah,  Amerika Syarikat menggerakkan ke hadapan tapak peluru berpandu dan pangkalan Tentera Udara di Poland, Rumania, Turki, Sepanyol, Republik Czech, dan Bulgaria. 

Perang Dingin baru sedang menyelubungi Asia, sesuatu yang nampaknya tidak dapat dielakkan lagi.  Amerika Syarikat bukan sahaja membuka medan lama, tetapi juga secara terbuka mengisytiharkan siapakah  musuhnya dan mengenal pasti siapa pula sekutunya.



Menghitung Detik: Eropah Kalah Sebelum Berjuang?

KHAMIS,  8  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Esok ialah detik penentuan untuk zon euro dan Kesatuan Eropah, sama ada terus hidup ataupun  berkecai. Jika dirujuk begitu banyak penulisan,  jelas bahawa suratan takdir tidak memihak kepada zon euro, kesatuan Eropah, dan bahkan juga Eropah itu sendiri.  Daripada Timothy Garton Ash dalam The Guardian kepada Niall Ferguson dalam Newsweek, tidak kurang cerdik pandai atau pengulas sebelah menyebelah Atlantik, yang rata-ratanya membayangkan tidak ada lagi masa depan, paling tidak, untuk zon euro - yang dalam kata-kata Petros Fassoulas, "berakhirnya zon euro yang kita kenali," kalaupun tidak Eropah  secara keseluruhannya. 

Beberapa bulan lalu, Rana Foroohar menulis dalam Time, berakhirnya Eropah;  kemudian pada bulan lalu, Matt Miller menulis dalam The Washington Post, kemerosotan Barat. Sememangnya, tidak sukar untuk membaca penulisan yang seakan-akan yang menggambarkan bahawa Eropah (atau Barat) dalam porak-peranda.  Semalam, Jeremy Warner menulis dalam The Telegraph meneriakkan nada yang serupa, dengan  menegaskan bahawa globalisasi berpaling tadah kepada Barat yang menciptanya. 

Tatkala banyak pihak, termasuk Amerika Syarikat,  berasa resah gelisah tentang krisis yang melanda zon euro khususnya, dan Eropah amnya, para pemimpin benua itu  pula, seperti yang  dibahaskan oleh Andreas Whittman "melengah-lengahkan masa untuk menyelamatkan mata wang tunggal itu." Masa amat suntuk bagi euro dan Eropah. Sementara bekas Setiausaha Luar British, Jack Straw yang menulis dalam The Telegraph, mengingatkan bahawa keangkuhan elit zon euro boleh membunuh Kesatuan Eropah. 

Kalau dipegang kata-kata bekas Presiden Suruhanjaya Eropah, Jacques Delors bahawa "zon euro cacat sejak mula lagi menyebabkan krisis semasa tidak dapat dielakkan lagi," maka seseorang dapat menjangkakan nasib yang akan menimpa zon itu dan Kesatuan Eropah. Para pemimpin Eropah pada tahun 1990-an memejamkan mata terhadap kelemahan ekonomi beberapa negara anggota, dan respons sekarang terhadap isu yang timbul pada amnya tidak cukup.

Eropah boleh dikatakan dalam keadaan serba kena, dan sudah jatuh ditimpa tangga.  Kesatuan fiskal yang dicadangkan oleh Canselor Angela Merkel dan Presiden Nicolas Sarkozy,  seperti yang dibahaskan dalam editorial The Washington Post, merupakan strategi yang bahaya: Adakah cadangan ini berjaya, sedangkan yang lain gagal?  

Jika beberapa hari lalu, agensi penarafan, Standard & Poor's (S&P) memberikan amaran bahawa 15 buah negara zon euro akan diturunkan gred, kini tiba pula giliran Kesatuan Eropah itu sendiri untuk dimasukkan ke dalam bakul yang sama tatkala para pemimpin  bersiap sedia  dalam misi "hidup mati"  dalam sidang kemuncak yang berlangsung di Brussels. 


Setelah sakit begitu lama, tidak banyak harapan yang diberikan, seperti yang dibahaskan oleh Timothy Garton Ash dengan penuh pesimistik bahawa Eropah tidak dapat diselamatkan di Brussel Jumaat ini. Paling baik, Eropah akan hidup untuk menghadapi trauma lain.  Selepas "10 hari untuk selamatkan euro," akan adaa 10 minggu, 10 bulan, 10 tahun.  Beliau memetik perjalanan maut zon euro yang diungkapkan oleh Paul Kruman bahawa krisis Eropah sebagai "menyeramkan dan membosankan" yang berlaku satu demi satu krisis. Beliau juga memetik Angela Merkel yang membandingkan menyelamatkan zon euro dengan maraton, sambil menambah "sebenarnya lebih seperti perlumbaan berhalangan merentas desa, dengan lompatan air baru yang besar sepanjang setiap horizon palsu."


Pertama, persoalan segera, sama ada kerajaan zon euro dapat memenangi semula keyakinan pasaran.  Seterusnya, persoalan apakah campuran kesatuan fiskal, campur tangan Bank Pusat Eropah (ECB) yang lebih besar, dan jaminan Jerman untuk sekurang-kurangnya beberapa hutang negara zon euro lain akan menenangkan pasaran untuk tempoh yang panjang, dan sama ada batu asah yang perlahan bagi politik Kesatuan Eropah mempunyai waktu untuk tiba.  Lompatan air seterusnya dalam perlumbaan berhalangan ini, yang mengikut rapat yang terakhir, maka dengan itu, persoalan negara manakah di zon euro bersetuju dengan apa yang langkah politik untuk menyelia kesatuan fiskal. 


Sesungguhnya, esok ialah hari penentuan bukan sahaja untuk zon euro dan Kesatuan Eropah, tetapi juga Eropah itu sendiri.  Apakah Eropah akan benar-benar berakhir? 

Wednesday, December 7, 2011

Turun Gred, Kini Zon Euro Menjadi Sasaran

KHAMIS, 8  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala masa kian suntuk bagi zon euro dan Kesatuan Eropah untuk mengelakkan daripada berkecai,  Canselor Angela Merkel dan Presiden Nicolas Sarkozy merangka pelan penyelamat, iaitu memperkenalkan perjanjian Kesatuan Eropah yang baru yang secara automatik mendenda negara yang menggunakan mata wang euro jika mereka melanggar had kewujudan terhadap perbelanjaan berlebihan.  Rancangan pemimpin Jerman dan Perancis itu  dikatakan berjaya meredakan pasaran seketika.   Sementara bagi Angela Merkel, yang banyak pihak meragui komitmennya untuk mengeluarkan zon euro daripada krisis, namun seperti yang dibahaskan oleh Katinka Barysch, mempunyai rancangan untuk mengatasi krisis euro -  meredakan keraguan terhadap beliau selama ini.

Walau bagaimanapun, berita gembira itu tidak dapat mekar lama kerana Perdana Menteri British, David Cameron mengancam untuk menggunakan veto jika perjanjian Kesatuan Eropah  gagal melindungi Kota London.  Yang lebih mengejutkan lagi, tawar-menawar besar yang dipelopori oleh Jerman dan Perancis untuk menyelamatkan euro dan memulihkan keyakinan  terhadap  mata wang tunggal itu terpaksa menghadapi cabaran pertama, apabila 15 buah negara zon  diberikan amaran oleh Standard & Poor's (S&P) bahawa penarafan kredit mereka boleh diturunkan gred. Perancis dan Jerman juga tidak terkecuali.

S&P mengkaji penarafan kredit 15 buah daripada 17 buah negara zon euro, dan berjanji untuk merumuskan kajian itu dengan seberapa cepat yang mungkin selepas sidang kemuncak Kesatuan Eropah pada minggu ini.  Fokus pasaran banyak tertumpu pada enam buah negara yang diberikan penarafan tertinggi, terutamanya Jerman, yang status AAA yang tidak difikirkan dalam keraguan sebelum Isnin malam. 

Dengan amaran itu, S&P sekali lagi dilihat terjebak dalam proses politik, betul-betul sebelum para pemimpin Eropah bersedia untuk berjumpa di sidang kemuncak yang bertujuan menamatkan krisis hutang kedaulatan yang melanda benua itu.  Agensi penarafan yang pernah dikritik oleh Warren Buffet pada Ogos lalu selepas menurunkan gred Amerika Syarikat berhubung dengan kebuntuan kerajaan, mengkaji Jerman, Perancis, dan 13 buah negara lain di zon euro, berkata, "pertikaian yang berterusan dalam kalangan penggubal dasar Eropah tentang bagaimana menyelesaikan" risiko  krisis hutang benua itu memusnahkan kestabilan kewangan mereka.  Langkah S&P itu berlaku selepas empat bulan agensi itu memotong gred Amerika Syarikat kepada AA+ dengan alasan perbincangan politik  yang "terlalu sukar" berhubung bagaimana untuk mengurangkan defisit belanjawan Amerika yang lebih AS$1 trilion menjejaskan kualiti kredit ekonomi terbesar di dunia itu.

Tindakan agensi penarafan menentukan gred untuk sesebuah negara menimbulkan kontroversi sejak akhir-akhir ini, terutamanya apabila melibatkan negara Eropah dan Amerika Syarikat.  Demikian juga dengan langkah S&P untuk menurunkan gred 15 buah negara zon euro itu, seperti yang dibahaskan oleh Samira Shackle: "Siapa S&P  dan mengapa harus kita peduli?"   Dengan meletakkan kebanyakan negara zon euro dalam "pemerhatian kredit," bermakna bahawa enam negara dengan penarafan tertinggi, iaitu AAA, termasuk Jerman dan Perancis, kini mempunyai peluang 50 peratus untuk melihat penarafan mereka diturunkan gred.  Hal ini boleh membawa kesusahan yang serius kepada Eropah kerana dana pelan penyelamat, iaitu Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah bergantung pada status AAA dua negara itu untuk mengekalkan taraf kredit yang tinggi itu. Penurun kredit negara ini boleh memarakkan lagi krisis dengan menjadikan lebih mahal untuk menyelamatkan negara zon euro yang dalam kesusahan.

Wujud usaha di Eropah, tulis Shackle, "untuk mengawal agensi penarafan dengan lebih ketat, mengurangkan kuasa tiga buah firma besar ini (S&P, Moody's, dan Fitch), tetapi untuk sementara waktu, pasaran dan sesetengah ekonomi terbesar di dunia, masih bergantung pada belas kasihan mereka."

Langkah S&P itu diperhatikan,  berkesudahan dengan mempunyai kesan yang sangat besar di Eropah berbanding apa yang dilakukannya di Amerika Syarikat.  Adakah wajar agensi penarafan itu cuba menekan  para pemimpin Eropah dengan cara ini?  S&P dianggap merumitkan kerja pemimpin Kesatuan Eropah untuk menyelesaikan masalah hutang.  "Jika  peniaga merancang untuk meluangkan masa bulan Disember dengan berseronok dengan mengadakan parti, mereka perlu berfikir sekali lagi.  Semalam melihat rangka pelan Merkel-Sarkozy untuk menstabilkan euro, dan semalam juga melihat S&P diancam oleh pembaharuan Kesatuan Eropah, secara ingkar meletakkan seluruh zon pada pemerhatian kredit negatif."  Tulis Buttonwood dalam The Economist  yang melihat langkah S&P itu dengan dua hasil dalam beberapa bulan akan datang.  

Bagi Ann Pettifor yang menulis dalam The Guardian, beliau  melihat ancaman S&P itu  dalam konteks yang luas, meskipun beliau mengakui agensi-agensi  penarafan tidak selalunya boleh dipercayai, sopan,   dan  jujur.  Beliau  mempertahankan S&P yang menggambarkan ahli politik enggan menyelesaikan sistem perbankan global yang musnah.  Tambah beliau, "S&P dapat melihat dengan jelas, sebagaimana budak kecil dalam khalayak orang ramai bahawa jimat-cermat memusnahkan pelaburan dan pekerjaan, dan dengan itu, pendapatan."


Sebagaimana di Amerika Syarikat, kelumpuhan politik di Eropah juga  mendorong agensi penarafan "campur tangan" yang ada kewajarannya, tetapi pada masa yang sama, boleh diibaratkan "mencurahkan minyak ke dalam api."   Seperti yang dikatakan oleh Ann Pettifor, seperti ahli politik zon euro, S&P hanya mengikuti peristiwa, dan bukannya membentuk peristiwa. 

Dekad yang Hilang di Serata Tempat

RABU,  7  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dua hari lalu, dekad yang hilang mendapat liputan dalam komen akhbar The Guardian daripada peperangan kepada ekonomi.  Pertama,  melalui editorialnya, berhubung dengan Afghanistan akibat banyaknya keputusan yang silap dibuat dalam satu dekad. 

Sementara itu, Aditya Chakrabortty menulis bagaimana Britain akan menghadapi dan mengatasi kehilangan dekadnya, yang beliau cadangkan supaya belajar daripada Jepun.  Dalam makalah itu, Chakrabortty merujuk dua berita buruk yang menyelubungi Britain.  Pertama tentang ekonomi negara itu kira-kira 13 peratus lebih kecil daripada yang kerajaan andaikan pada masa melambung.  Kedua, ramalan bahawa keluarga British purata akan menjadi miskin pada tahun berbanding dengan mereka pada tahun 2002.  United Kingdom yang keluar daripada penjagaan  intensif, tetapi terpaksa bergelut dengan kebekuan jangka panjang. 

Dalam membandingkan dekad yang hilang antara Jepun dengan Britain, beliau menegaskan bahawa sepanjang 20 tahun lalu, kerajaan negara matahari terbit iltu melaksanakan rangsangan fiskal, seperti yang dapat dilihat dlam defisit belanjawan besar tahunan, dengan itu, infrasktruktur diperbaharui secara konstan.  Sebaliknya, di Britain, kerajaan pakatan merancang untuk memotong perbelanjaan terhadap projek baru yang besar, tetapi tidak ada tanda bahawa sektor swasta akan membayar bil. 

Hujah beliau, dua aspek yang menunjukkan Britain dekad yang hilang jauh lebih teruk berbanding dengan Jepun.  "Pertama, syarikat Jepun mengekalkan staf mereka: kadar pengangguran sepanjang 20 tahun lalu tidak pernah mengatasi enam peratus. Berbanding dengan tradisi British ambil pekerja dan pecat, kadar pengangguran telah mencecah sembilan peratus.  Kedua, orang Jepun menghormati kesamaan yang bermakna bahawa bahkan ketua pegawai ekseutif dalam firma besar hanya menerima upah 16 kali pekerja purata.  Di Britain, bos FTSE dibayar hampir 88 kali daripada apa yang pekerja peroleh. 

Merentas Atlantik, dekad yang hilang untuk Amerika dijangkakan berakhir  hingga  tahun 2016, tulis Robert Lenzner dalam Forbes, yang antaranya memetik Martin Wolf dalam Financial Time: "Kita benar-benar terhumban ke dalam dekad yang hilang."  

Dalam "How the U.S. Can Avoid a Lost Decade," Michael Silvy yang menulis dalam Time menyatakan masalah global hari ini boleh melumpuhkan ekonomi Amerika Syarikat dan pasaran saham untuk 10 tahun akan datang, tetapi dapat dicegah.   Istilah "dekad yang hilang," menurut beliau,  lebih dikenali dalam kaitannya dengan kebekuan yang lama di Jepun yang berpunca daripada keruntuhan pasaran saham pada tahun 1989 di negara itu dan pelan penyelamat bank yang menyusul.  Yang terkini, menjadi terkenal di United Kingdom, sebagai cara merujuk ramalan kemerosotan tidak selari dalam taraf hidup.  Versi Amerika tentang dekad yang hilang tidak benar-benar selari dengan yang dialami oleh Jepun atau United Kingdom, tetapi masih menakutkan.  

Sehubungan dengan itu, Silvy membangkitkan tiga persoalan.  Pertama, mengelakkan satu lagi kemelesetan tidak memadai.  Kedua, kemelesetan kewangan lebih merosakkan jika dibandingkan dengan kemelesetan biasa.  Ketiga, kejutan luaran boleh membawa kemelesetn curam berganda.  Beliau mengingatkan bahawa "untuk mengelakkan dekad yang hilang, adalah sedikit penting untuk menumpukan usaha memulihkan pertumbuhan, sebagaimana keluar daripada kemelesetan.  Strategi kelangsungan tidak memadai."

Kemelesetan curam berganda, kebekuan ekonomi, dan dekad yang hilang, adalah antara ungkapa yang sering kedengaran yang menandakan bahawa ekonomi banyak negara, dan  bahkan dunia masih belum pulih sepenuhnya.  Ketiga-tiga ungkapan itu sentiasa menghantui negara yang pemulihan lemah dan pertumbuhan perlahan. 

Tuesday, December 6, 2011

Asia di Tepi Lurah Risiko

RABU,  7 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Lebih  sebulan lalu, editor Dewan Ekonomi, Junaidah Ahmad Ghazali menghubungi saya meminta saya menulis sorotan ekonomi dunia 2011 untuk keluaran tahun baru majalah berkenaan.  Kami  menyentuh  krisis zon euro yang banyak memenuhi perbincangan di sana sini.  Lalu beliau menanyakan saya berhubung dengan beberapa pendapat bahawa Malaysia dan negara  Asia lain tidak terjejas akibat krisis tersebut kerana rantau ini mempunyai pengalaman daripada krisis kewangan 1997-1998.  

Jawapan saya adalah mudah: dalam dunia yang saling berhubung  ini, segala-galanya  merebak dengan pantas.  Bahkan, krisis ekonomi di negara kecil sekalipun, seperti yang berlaku di Dubai dan kemudian Greece,  cukup untuk mengharu-birukan pasaran global.  

Sejak sekian kali kita diberitahu dan diberikan jaminan oleh pemimpin dan pakar ekonomi negara kita bahawa Malaysia terselamat daripada  krisis zon euro, biarpun krisis itu semakin hari semakin teruk.  Bermacam-macam alasan yang dikemukakan, antaranya kononnya  ekonomi Malaysia tidak banyak bergantung pada zon yang dilanda krisis itu.  Pastinya, pandangan seperti kedengaran aneh kerana amaran demi amaran dikeluarkan: jika  zon euro runtuh, dunia turut dilanda  malapetaka, dan demikian juga Amerika Syarikat.  

Malam tadi, berehat sambil menonton saluran televisyen Bloomberg, menunggu kemunculan anchorwoman, Margaret Brennan, lazimnya sebaik sahaja loceng pembukaan Bursa Saham New York dibunyikan, tiba-tiba saya terpandang rerayap bahawa menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) ekonomi Asia berhadapan dengan risiko yang "lebih besar" akibat kemerosotan global.

Laporan Asia Economic  Monitor yang dipetik mengingatkan  bahawa kemungkinan kemelesetan di Amerika Syarikat dan Eropah dan ancaman nyahstabil aliran modal akan mengheret Asia ke lurah risiko yang dinyatakan itu.  Cabaran paling besar untuk penggubal dasar di negara Asia Timur yang sedang muncul adalah untuk melindungi pertumbuhan daripada satu lagi ancaman krisis ekonomi global.  Ketidakpastian terhadap ekonomi dunia bermakna para pegawai di rantau ini mesti mempunyai "kebolehubahan yang cukup" untuk menyelaraskan dasar dengan segera.  

"Tinjauan optimistik yang berhati-hati untuk Asia Timur yang sedang muncul  bergantung pada risko bahagian bawah yang lebih besar sekarang berbanding dengan beberapa bulan lalu," kata ADB.  "Pemulihan ekonomi global boleh terkial-kial jika zon euro dan Amerika Syarikat terjebak semula ke dalam kemelesetan, menyebabkan satu lagi krisis kewangan global.  Aliran modal yang besar dan nyahstabil boleh merumitkan  pengurusan makroekonomi rantau ini dan mengancam pertumbuhan."

Sediakan payung sebelum hujan. Hindarkan keasyikan  dengan  psikologi penafian.

Menduduki Kremlin

SELASA, 6 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Lebih 8000 orang dilaporkan oleh The Independent,  penuh sesak di Moscow pusat semalam untuk membantah kemenangan  parti  Perdana Menteri, Vladimir Putin dalam pilihan raya parlimen yang berlangsung Ahad lalu, dalam salah satu perhimpunan terbesar antikerajaan di negara itu dalam sejarah terbaharu.  Mereka berteriak, melaung, dan meniup wisel dalam protes terhadap Putin, yang akan bertanding  untuk kembali semula ke Kremlin sebagai Presiden dalam pilihan raya Mac tahun depan.

Parti Putin, Rusia Bersatu memperoleh undi kira-kira 49.5 peratus, seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, dengan hampir semua kertas undi dikira.  Meskipun Parti Rusia Bersatu masih menguasai lebih separuh kerusi parlimen Rusia, peratusannya jatuh daripada 64 peratus pada tahun 2007, menandakan bahawa rakyat Rusia semakin keletihan dengan era Putin. Parti itu kehilangan 77 kerusi parlimen yang dimenangi sebelum ini.  Pemerhati  antarabangsa menyatakan bahawa daripada 150 pusat pengundian, 34 pusat pengundian adalah "sangat teruk."

Penunjuk perasaan itu, kebanyakannya orang muda, membanjiri taman di Moscow tengah itu untuk mendengar pemimpin pembangkang liberal mendesak penyingkiran Putin dalam perhimpunan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa.  Akan tetapi, apabila cuba berarak ke Lubyanka, ibu pejabat Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan yang ditakuti, lapor The Guardian,  mereka disambut dengan belasahan  polis rusuhan, dan ada  yang diheret ke dalam lori sedia menunggu.  

Contoh pemalsuan dan pencabulan kertas undi  yang tersebar luas melalui YouTube, Facebook, dan Twitter, membangkitkan kemarahan.  Pemerhati antarabangsa juga mempersoalkan keputusan pilihan raya itu.  Organisasi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE), berkata bahawa pilihan raya itu dicemari oleh "kerapnya pencabulan tatacara dan contoh manipulasi yang jelas, termasuk tanda  serius menyumbat peti undi."

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, berkata bahawa Washington "memandang serius" tentang perjalanan pilihan raya.  "Para pengundi Rusia wajar mendapat penyiasatan penuh tentang semua laporan yang boleh dipercayai berhubung dengan penipuan dan manipulasi pilihan raya, dan kami berharap terutamanya bahawa pihak berkuasa Rusia akan mengambil tindakan,"

Dalam protes  anti-Putin itu, penunjuk perasaan menuntut pilihan raya yang jujur.  Mereka mengutuk undi sebagai memalukan, dan meneriak, "Rusia tanpa Putin!" dan "Revolusi!"  Namun, Presiden, Dmitry Medvedev menegaskan bahawa pilihan raya berjalan secara adil dan demokratik. 

"Penunjuk perasaan ini," tulis Simon Shuster dalam Time, "ialah generasi Internet Rusia, yuppie, dan pelajar kolej yang kemarahan akhirnya melimpah  dari ruang blog ke jalan-jalan di ibu negara itu.  Hal ini tidak berlaku dalam sekelip mata.  Riak kekecewaan sebelum pilihan raya menujukkan perubahan lautan politik sejak berbulan-bulan.  Sekurang-kurangnya sejak Putin mengumumkan pada akhir September lalu bahawa beliau akan kembali untuk penggal ketiga sebagai Presiden tahun depan, popularitinya menjunam secara dramatik, membangkitkan gelombang parodi dalam talian terhadap beliau sebagai autokrat yang lanjut usia. Pada bulan November, kekecewaan itu menjelmakan penyataan massanya yang pertama, apabila Putin secara terbuka diejek oleh khalayak dalam ucapara seni mempertahankan diri."

Hal yang sama dibangkitkan oleh Julia Ioffe dalam The New Yorker,  bahawa ketegangan berbulan-bulan beralih ke dalam pilihan raya.  Parti Rusia Bersatu yang ditubuhkan pada tahun 2001 untuk menyokong Vladimir Putin, yang ketika itu Presiden dan kini Perdana Menteri, merosot secara berterusan hingga ke dalam peti undi; Putin yang meskipun popularitinya tinggi, beliau diejek secara terbuka.  "Selepas beliau dan Dmitry Medvedev mengumumkan pada bulan September, bahawa mereka akan bertukar tempat, memberikan semula Presiden kepada Putin, orang ramai kelihatan dalam perasaan merengus, iaitu perasaan untuk protes dan melakukan apakah orang Rusia, terutamanya yang terpelajar dan kosmopolitan dalam kalangan mereka tidak pernah lakukan: undi.  Sebagai respons, Kremlin kelihatan panik; dan   bertindak keras,  mengganggu pemerhati pilihan raya."  

Para pengundi menyatakan ketidakpuasan mereka terhadap rejim Vladimir Putin, tulis editorial The Washington Post.  "Putin tidak dalam kedudukan bahaya untuk detik ini:  Parti Rusia Bersatu masih menguasai majoriti parlimen, dan beliau masih menjadi pilihan dalam pilihan raya Presiden yang dijadualkan Mac tahun depan.  Akan tetapi, rakyat Rusia turut menyumbang kepada apa yang  berlaku dalam limpahan global pada tahun 2011, iaitu ketidakpuasan popular terhadap pemerintah, terutamanya di negara autoriatarian." 

Kebangkitan rakyat berlaku di merata-rata tempat, dari Dataran Tahrir ke Wall Street.  Tatkala gerakan Menduduki Wall Street belum memperlihatkan tanda untuk berundur, kini bangkit pula Menduduki Kremlin.  "Orang yang dilupakan" - memetik Immanuel Wallerstein, benar-benar nekad untuk mencorakkan peta dunia yang baru: "keadilan sosial global"  - juga memetik Wallerstein.  



Monday, December 5, 2011

Ketidaksamaan Pendapatan Melebar dengan Cepat

SELASA,  6  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)  dalam laporan terbaharunya, yang dipetik oleh The Guardian dan The Washington Post,  memaklumkan bahawa ketidaksamaan pendapatan dalam kalangan orang dalam usia bekerja melebar dengan pantas di Britain jika dibandingkan dengan mana-mana negara kaya sejak pertengahan tahun 1970-an.  Hal ini berpunca daripada kenaikan elit perkhidmatan kewangan yang menerusi pendidikan dan perkahwinan menumpukan kekayaan ke dalam tangan segelintir individu.  

Ahli ekonomi daripada organisasi kumpulan pemikir itu berkata bahawa pendapatan purata tahunan di United Kingdom golongan 10 peratus atas pada tahun 2008 hanya bawah sedikit 55,000 paun, kira-kira 12 kali lebih tinggi daripada golongan 10 peratus yang pendapatan purata 4700 paun.  Perbezaan ini meningkat daripada nisbah lapan dengan satu pada tahun 1985 dan signifikan tinggi daripada jurang pendapatan purata di negara maju yang nisbahnya sembilan dengan satu. 

Walau bagaimanapun, laporan OECD menjelaskan bahawa bahkan di negara yang dianggap "lebih adil," seperti Jerman, Denmark, dan Sweden, jurang upah antara golongan kaya dengan miskin melebar, iaitu daripada lima dengan satu pada tahun 1980-an kepada enam dengan satu sekarang.  Di negara yang kuasa sedang meningkat, iaitu Brazil, Rusia, India, dan China (BRIC), nisbahnya membimbangkan, iaitu 50 dengan satu.  

OECD memberikan amaran tentang kenaikan golongan satu peratus atas dalam masyarakat kaya dan kejatuhan bahagian pendapatan yang dialami oleh golongan miskin. Trend ini, terutamanya ketara di Britain, dengan kenaikan dramatik dalam ketidaksamaan pendapatan yang dimarakkan oleh penciptaan golongan kaya super.  Bahagian satu peratus golongan yang memperoleh pendapatan meningkat daripada 7.1 peratus pada tahun 1970 kepaad 14.3 peratus pada tahun 2005. 

Sebelum ini, iaitu pada Mei lalu, OECD menyenaraikan 10 buah negara yang teruk dari segi ketidaksamaan pendapatan: New Zealand, Australia, Italy, United Kingdom, Portugal, Israel, Amerika Syarikat, Turki, Mexico, dan Chile. 

Sejak tercetusnya krisis ekonomi dan kebangkitan gerakan Menduduki Wall Street, ketidaksamaan pendapatan semakin mendapat perhatian.  Baru-baru ini, Jared Bernstein menulis dalam The Huffington Post mengapa ketidaksamaan meningkat begitu banyak. Faktor yang berkait rapat pada teras masalah ketidaksamaan, hujah beliau,  ialah kombinasi toksik "jangkaan rasional,"  hipotesis pasaran cekap, ekonomi lelehan, dan bertambahnya wang dalam politik.  

Hujah Bernstein lagi,  selagi dasar kekal tersentap dari segi kemampuannya untuk menyediakan majoriti tenaga kerja dengan beberapa langkah kuasa atau daya, beberapa kuasa tawar-menawar, untuk mendesak bahagian saksama mereka dalam pertumbuhan yang mereka sendiri tolong wujudkan, maka ketidaksamaan akan melebar dengan cepat.

Ketidaksamaan pendapatan lazimnya dikaitkan dengan kemiskinan, pengangguran, kebekuan upah, dan pastinya juga dengan keterhakisan negara kebajikan.

Krisis Hutang: Masih Mengharapkan Jerman?

ISNIN,  5 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Akhbar The Guardian  dalam keluaran Ahad semalam, muncul dengan peringatan  bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah hanya mempunyai masa lima hari untuk menyelesaikan krisis hutang kedaulatan atau kalau tidak, Kesatuan Eropah sendiri akan runtuh.  Berbelah bahagi antara perlunya kestabilan dengan keinginan perpaduan atau solidariti, para pemimpin Kesatuan Eropah perlu mencari penyelesaian segera untuk zon euro yang pecah dan menerima secar terbuka  rancangan jangka panjang untuk kesatuan fisikal pada Jumaat  malam.  

Akhbar itu memetik Perdana Menteri Portugal, Pedro Passos Coelho yang dilaporkan berkatan, "Kita perlu mencari respons, respons yang lebih kuat berbanding dengan sebelum ini.    Jika kita tidak melakukannya, nescaya boleh membawa berakhirnya Kesatuan Eropah."

Sebelum ini, Canselor  Jerman, Angela Merkel dilaporkan mengambil tindakan keras untuk menghentikan keruntuhan euro.  Beliau mendesak kawalan yang ketat terhadap dasar cukai dan perbelanjaan dalam kalangan negara yang menggunakan mata wang tunggal itu. Selain itu, Angela Merkel dilaporkan mengadakan  perbincangan dengan Presiden Nicolas Sarkozy di Paris pada hari ini di tengah-tengah usaha terburu-buru untuk bersetuju urus janji untuk menstabilkan zon euro.  Kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan perincian tindakan ke arah integrasi fiskal yang lebih erat di zon mata wang tunggal itu. 

Dalam keadaan terdesak itu, para pemimpin negara zon euro yang mengalami krisis hutang terpaksa memohon pertolongan Tabung Kewangan Antarabangsa, perlunya campur tangan Amerika Syarikat sekali lagi,  dan    Bank Pusat Eropah (ECB) mesti  bertindak demi menghentikan keruntuhan zon euro itu.  Tatkala zon euro seakan-akan "bergayut pada dahan yang rapuh" dalam mengharapkan pertolongan, harapan masih diletakkan pada Jerman, meskipun keazaman negara itu dan pemimpinnya Angela Merkel sentiasa diragui dan kewujudan Fourth Reich sekadar mitos. 

Sebelum berlangsungnya sidang kemuncak di Brussel akhir minggu ini, negara-negara lain di Eropah memandang Jerman untuk bertindak sebagai penyelamat, tetapi warga Berlin tidak berminat membincangkan krisis zon euro.  "Hanya Jerman mampu menyelamatkan zon euro, dengan itu, Jerman mesti bertindak," tulis Thomas Kleine-Brockhoff dalam The Washington Post, dua hari lalu yang juga memetik Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski yang juga merayu kepada Berlin, "Saya kurang takut Jerman berkuasa berbanding dengan saya mula takut Jerman tidak aktif."  Kleine-Brockhoff juga memetik Timothy Garton Ash yang  yang menulis Jun lalu,  tentang pergantungan pada Jerman untuk menyelamatkan  krisis zon euro itu.

Memang harapan yang tinggi diletakkan pada Jerman untuk menyelamatkan zon euro, tetapi mahukah  Angela Merkel mendengar segala harapan itu?  Sesungguhnya, sudah banyak harapan yang diberikan , tetapi Jerman tetap  keberatan.



Sunday, December 4, 2011

Runtuhnya Tembok Berlin: Mitos Bersejarah?

ISNIN,  5  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Berpuluh-puluh  ribu orang, termasuk penentang, pencipta lagu, paderi, dan pemimpin politik yang membantu  merancang keruntuhan komunisme di bekas blok timur, meredah kesejukan, gerimis yang tidak henti-henti, untuk memperingati 20 tahun sejak runtuhnya Tembok Berlin dan berakhirnya Perang Dingin. Dengan   diketuai oleh Canselor Jerman, Angela Merkel, para pemimpin dunia, iaitu Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Presiden Rusia, Dmitri Medvedev,  termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton, dan pemimpin Kesatuan Eropah, berkumpul di ibu negara Jerman.  Turut hadir sempena “detik ‘epik’ dalam sejarah” – memetik kata Merkel – ialah   Presiden Kesatuan Soviet yang terakhir, Mikhail Gorbachev dengan ditemani Lech Walesa, bekas pemimpin kesatuan sekerja Solidarity dan bekas Presiden Poland.   Sebagaimana 20 tahun lalu, orang ramai yang berkumpul di Bornholmer Strasse, di timur laut Berlin itu, meneriak “Gorby!  Gorby!” sebagai pengiktirafan terhadap peranan Gorbachev.

 Demikian antara  liputan media tentang finale untuk hari peringatan, ucapan, dan acara yang berlangsung pada 9 November lalu untuk meraikan keruntuhan Tembok Berlin. Sempena perayaan dan peringatan itu majalah dan akhbar antarabangsa turut menyiarkan beberapa makalah yang ditulis, baik dalam editornya sendiri dan kolumnis, mahupun oleh intelektual terkenal, seperti  Niall Ferguson, Timothy Garton Ash, dan Slavoj Zizek.  Malah, Gorbachev turut menulis dan diwawancara.

Semasa berucap di hadapan Brandenburg Gate di Berlin,  Angela Merkel antaranya menyebut:  “Sebagaimana kita berjaya melakukan di kota yang dipisahkan pada tahun 1989, sememangnya juga suatu kemungkinan untuk mengatasi sekatan pada masa kita sendiri.”  Beliau memberitahu orang ramai yang bersorak kegembiraan  yang berkumpul dalam hujan unuk memperingati ulang tahun runtuhnya tembok itu dengan mengatakannya sebagai “hari perayaan semua Eropah.” Sementara Brown dilaporkan berkata, “kerana keberanian anda, dua Berlin menjadi satu, dua Jerman menjadi satu, dan kini dua Eropah menjadi satu.”
Presiden Barack Obama dalam amanat yang ditayangkan melalui video dalam acara yang besar itu mengalungkan penghargaan kepada penentang dan perusuh yang membawa kejatuhan tembok 20 tahun lalu:  “Kita tidak boleh lupa 9 November 1989, tidak juga melupakan pengorbanan yang merobohkan tembak itu”  dengan mendapat tepukan dan sorakan. 
Mungkin secara kebetulan, keriangan itu turut dirasai oleh pasaran saham New York  apabila Purata Industri Dow Jones (Dow) meningkat 203.52 mata (2.03 mata) kepada  10,226.04 mata, tertinggi setakat ini untuk tahun 2009. Keriangan pasaran ini mula kelihatan sejak awal urus niaga apabila sebelum tengah hari, dengan  Dow  telah pun mencecah paras 10,145.62 mata.
Runtuhnya Tembok Berlin diberikan pelbagai tafsiran yang mencerminkan rasa sangat gembira dan  harapan yang menggunung tentang masa depan manusia dan dunia: “Revolusi terakhir,” “kemenangan Eropah,” “kelahiran Eropah baru,” “kemenangan terhadap totalitarisme.”  Apabila Tembok Berlin runtuh dan Perang Dingin berakhir, ada yang mengatakan bermakna berakhirnya hanya dunia yang kita pernah kenali.  Dari sudut ekonomi, berlaku suatu peralihan  daripada (Karl) Marx kepada pasaran.  Dengan runtuhnya tembok itu, berakhirnya Perang Dingin yang menandakan kemenangan kapitalisme, sebagai membuka peluang baru dan meruntuhkan konstren atau kekangan lama.
Sementara Timothy Garton Ash menulis dalam The Guardian:  “Detik kebebasan Berlin yang mengubah sejarah dunia.”  Kata kunci untuk 9 November tetap kebebasan: kebebasan peribadi lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang terpenjara di sebalik tembok selama 28 tahun dan 91 hari.  Walau bagaimanapun, Garton Ash nampaknya lupa suatu hakikat penting bahawa di samping kebebasan, di mana-mana jua manusia menuntut keadilan.
 Sering diperdebatkan tentang faktor keruntuhan,  siapakah yang bertanggungjawab, dan siapakah pemenang Perang Dingin. “Tiga kuasa,” tulis Garton Ash, “tanpanya peristiwa bersejarah ini tidak akan berlaku: lampu hijau dan contoh pembaharuan dari atas (Gorbachev), tekanan popular dari bawah (Walesa dan aktivis Jerman Timur), dan media Jerman Barat yang menyebarkan mesej bahawa tembok telah dibuka, malah sebelum benar-benar dibuka, dan oleh itu, membantu menjadikannya berlaku.
Dikatakan bahawa satu-satunya  orang yang layak diberikan penghargaan kerana runtuhnya tembok yang pernah berdiri megah ketika pertarungan ideologi, ialah  Mikhail Gorbachev, dan bukannya Presiden Reagan.  Segala-galanya berlaku dengan amat pantas dan Amerika tidak mampu menarik gelombang itu, meskipun  jika negara itu mahu melakukannya.
Seperti yang diketahui umum,   para wartawan, ahli politik, dan sejarawan Amerika  menggembar-gemburkan  bahawa Amerika Syarikat memenangi Perang Dingin. Namun,  Gorbachev dalam wawancara dengan The Nation, sama sekali menafikan hakikat  kemenangan itu. Sebaliknya,    beliau menegaskan bahawa seandainya kepimpinan baru di Soviet dan dasar luar baru negara itu  tidak wujud, Perang Dingin tidak akan berakhir.  Bagi beliau, ini bukannya berpunca dari satu tindakan, tetapi merupakan proses.  “Kita semua (Amerika dan Soviet) memenangi Perang Dingin kerana kita menghentikan perbelanjaan AS$10 trilion, pada setiap pihak.”
 Menoleh kepada sejarah, pada 13 Ogos 1961, tentera Jerman Timur memasang dawai berduri yang menghalang sepanjang Berlin untuk menyekat perjalanan antara bahagian timur dengan barat kota itu.  Kini, walaupun igauan ngeri telah pun berlalu, tetapi mimpi indah belum menjelma.  Di Eropah sendiri, berakhirnya Perang Dingin dikhuatiri berlaku pembahagian semula benua itu daripada antara Eropah Barat dengan Eropah Timur kepada antara Eropah Tengah dengan Balkan. 
Yang pasti, sejarah belum berakhir dan Perang Dingin baru sedang membara.  Meskipun Kesatuan Soviet telah berkecai, hantu Perang Dingin masih merayau di seluruh dunia dengan memakai topeng baru.  Krisis antara Rusia dengan Georgia pada tahun lalu dan tindakan Rusia menyekat bekalan gas ke beberapa buah negara Eropah dilihat sebagai antara  bibit Perang Dingin baru.
Tatkala golongan realis berasa kesunyian akibat berakhirnya Perang Dingin, ada orang yang  mula berfikir  “kemungkinan Perang Dingin kedua akan menimpa kita – perjuangan yang berpanjangan antara kita dengan syaitan-syaitan jenayah, tekanan penduduk, kemerosotan alam sekitar, wabak penyakit, dan konflik budaya.” 
Meskipun Gorbachev dinobatkan sebagai wira, dan tanpa beliau, Tembok Berlin mungkin kekal seadanya, namun dalam makalahnya yang diterbitkan dalam The Guardian jelas terbayang kehampaan beliau apabila melihat “menara impian yang dibinanya dengan segala kejerihan, kini  retak di sana sini dan mulai condong.”  Dalam  “The Berlin Wall Had to Fall, But Today's World is No Fairer”  beliau mencadangkan supaya peristiwa itu ditinjau semula dan melihatnya secara kurang emosi dan lebih rasional. Beliau menegaskan bahawa pemerhatian optimistik pertama yang perlu dilakukan bahawa pengumuman “berakhirnya sejarah” belum lagi berlaku, meskipun ramai yang mengatakan sudah berlaku. 
Walaupun tabir besi, sekatan, dan sempadan telah lesap, memungkinkan jalinan hubungan antara negara, namun dengan nada agak emosi dan rasa hampa, Gorbachev mengatakan  bagi  berjuta-juta orang di seluruh dunia adalah jelas  bahawa dunia ini bukannya tempat yang selamat: “Banyaknya persengketaan tempatan dan perang etnik dan agama yang tercetus seakan-akan sumpahan terhadap peta baru politik dunia, mengorbankan jumlah mangsa yang sangat besar.” 
Tambah beliau lagi, bukti yang jelas kelakuan tidak rasional dan tidak bertanggungjawab dalam generasi baru ahli politik ialah bahawa perbelanjaan untuk pertahanan, baik negara besar mahpun negara kecil, kini lebih besar daripada ketika Perang Dingin.  Sepanjang beberapa dekad lalu, dunia tidak menjadi tempat yang lebih baik, misalnya ketidaksamaan antara negara kaya dengan negara miskin masih kekal atau kian meningkat.


Dalam makalah “20 Years of Collapse” yang diterbitkan The New York Times, Slavoj Zizek menulis apabila kabus yang menakjubkan tentang revolusi baldu (velvet revolutions) dilenyapkan oleh realilti demokratik-kapitalis baru, orang ramai bertindak balas dengan kekecewaan yang tidak dapat dielakkan yang terjelma dengan sendiri, iaitu nostalgia untuk masa Komunis “lama yang bagus.”  Penyokong puak Kanan yang sama yang pada dekad lalu meneriak, “Lebih baik mati daripada merah! adalah kini sering kedengaran, “Lebih baik  merah daripada makan hamburger.” Namun, Zizek mengingatkan bahawa nostalgia Komunis  sepatutnya tidak dianggap sebagai terlalu serius, jauh sekali untuk menyatakan hasrat untuk kembali kepada realiti Sosialis yang suram, sebaliknya lebih merupakan bentuk ratapan kesedihan. 
Sementara wira anti-Komunis meneruskan protes untuk tinggal dalam mimpi mereka tentang masyarakat baru keadilan, kejujuran, dan perpaduan, bekas Komunis mampu menyesuaikan diri mereka yang tanpa belas kasihan dengan peraturan kapitalis baru dan dengan dunia kejam yang baru kecekapan pasaran, termasuk semua taktik kotor baru dan lama dan rasuah. Mereka lebih kapitalis berbanding dengan kapitalis liberal Barat itu sendiri. 
Dalam makalah itu Zizek seolah-olahnya ingin mengatakan bahawa kapitalisme menang di medan politik, tetapi tewas di medan ekonomi: Kapitalisme menewaskan Komunisme, tetapi harga yang dibayar untuk kemenangan ini ialah bahawa Komunis kini menewaskan kapitalisme di buminya sendiri.
Melihat sambutan yang sungguh meriah  dan liputan media pula macam bertali arus, timbul persoalan apakah istimewa dan signifikannya peristiwa yang berlaku dua dekad itu?  Mungkinkah ini tidak lebih sebagai gembar-gembur tentang sebuah kemenangan yang kosong dan sebuah impian yang palsu?  Mungkinkah ini hanya rasa sangat gembira yang akhirnya mengikis segala kerasionalan? Benarkah bahawa peristiwa bersejarah, revolusi baldu  pada 1989 seakan-akan bukan sekadar peristiwa lalu, tetapi juga peristiwa masa kini dan mungkin masa depan?
Sebahagian persoalan di atas dijawab oleh Niall Ferguson yang menulis  dalam Newsweek yang meninjau  peristiwa yang berlaku satu dekad lebih awal.  Beliau mencadangkan bahawa lupakan kejatuhan tabir besi kerana peristiwa yang berlaku pada tahun 1979 lebih penting: Soviet melaksanakan dasar yang memusnahkan diri sendiri dengan menceroboh Afghanistan; British mula memulihkan ekonomi pasaran bebas di Barat dengan pemilihan Margaret Thatcher; Deng Xiaoping meletakkan China pada laluan ekonomi baru dengan melawat Amerika Syarikat, dan melihat dengan matanya sendiri apakah pasaran bebas  boleh capai; dan  Iran menunjukkan era baru pertembungan peradaban dengan menggulingkan Syah dan mengisytiharkan Republik Islam.
“Tiga puluh tahun kemudian,” tulis Ferguson, “setiap satu empat peristiwa ini meninggalkan kesan yang sangat dalam terhadap Amerika dan dunia berbanding dengan peristiwa 1989.” Bagi profesor sejarah di Harvard University ini, 1989 kurang dianggap tahun titik perubahan berbanding dengan 1979.  Selama 30 tahun kita masih dihanyukan oleh gelombang sejarah 1979.  Tembok Berlin hanya satu daripada banyak peninggalan Perang Dingin yang ditenggelami oleh gelombang itu.
Setelah kabus berlalu, maka awan mendung kian jelas kelihatan bahawa hakikatnya, peristiwa bersejarah itu telah berubah menjadi mitos bersejarah.  Hakikatnya, sebagaimana kemenangan dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua, kemenangan dalam Perang Dingin tidak menjamin kemakmuran, kesejahteraan, dan keamanan.  Harapan kewujudan orde dunia baru, tetapi akibat perang terhadap keganasan, berubah menjadi kecauan dunia baru. 
Memang aneh bahawa tatkala  Mikhail Gorbachev mula berasa hiba dan kesal terhadap sebuah kemenangan yang dicapainya dahulu, ada warga dunia masih bersorak keriangan sehingga mengabaikan kejahatan dan kecelakaan yang mendepani mereka. Bagi Gorbachev sesungguhnya, kini beliau hidup seperti dalam kesunyian: mengkhianati Revolusi Rusia semata-mata demi memburu sebuah kemenangan baru yang tidak memberikan apa-apa erti sama sekali.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Disember 2009.)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...