Artikel Popular

Tuesday, November 12, 2013

Krisis Makanan Fenomena Global

SELASA,  12  November 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH





Pada awal Ogos 2011 lalu, ketika skandal penggodaman telefon di Britain masih menghantui dunia politik dan media, liputan dan ulasan tentang serangan di Norway belum reda, dan Amerika Syarikat pada saat akhir berjaya mengelak daripada krisis siling hutang, akhbar The Guardian masih mempunyai ruang untuk melaporkan belanjawan isi rumah terjejas akibat pembekuan upah dan kenaikan harga makanan.  Hanya satu perempat pekerja di Britain yang menikmati kenaikan upah pada tahun 2011, tetapi harga makanan meningkat 5.2 peratus pada tahun itu.  Memetik British Retail Consortium (BRC) bahawa harga makanan meningkat lebih lima peratus setahun lalu dan pembeli-belah semakin mencari peluang untuk tawar-menawar.
            Sesungguhnya, kini,  tidak sukar untuk menatap berita atau laporan tentang krisis makanan di seluruh dunia.  Sejak awal tahun ini dapat dikesan bahawa komoditi berpesta seperti yang berlaku pada tahun 2008.  Harga minyak mencecah yang tertinggi sejak  Oktober tahun lalu,  iaitu hampir-hampir AS$100 setong.  Harga makanan yang diukur oleh indeks The Economist kembali semula  pada harga puncak Julai 2008.  Di negara membangun, kenaikan harga makanan boleh menjadi bencana kemanusiaan, di samping bencana ekonomi.  Di Asia pada awal tahun 2008, kenaikan harga beras membawa kepada merebaknya  kekacauan dan percubaan terdesak oleh kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak bekalan. 
Laporan Oxfam bahawa sejak Julai 2010, harga banyak tanaman naik secara dramatik.  Harga jagung, gandum, dan gula semuanya meningkat lebih 70 peratus, manakala harga beras, iaitu makanan ruji untuk banyak orang di dunia miskin, bernasib baik kerana masih stabil.  Harga makanan yang tinggi dan tidak boleh diramalkan berpunca daripada kombinasi faktor yang berbeza.  Kurangnya pengeluaran akibat cuaca buruk, sebahagiannya oleh perubahan cuaca, kenaikan harga minyak menyebabkan baja dan pengangkutan lebih mahal, permintaan yang meningkat terhadap biobahan api yang mengambil alih tanah daripada pengeluaran pertanian, halangan eksport, dan pembelian panik berikutan spekulasi kewangan, semuanya memainkan peranan dalam meningkatkan harga makanan. Sementara itu,  laporan Oxfam pada akhir Mei lalu yang dipetik secara meluas meramalkan kos purata tanaman makanan utama akan meningkat antara 120 peratus hingga 180 peratus pada tahun 2030.  Oxfarm mengeluarkan amaran tekanan yang kuat terhadap orang ramai telah pun terpaksa  bersusah payah dengan makanan yang tidak cukup.  Perubahan cuaca, dengan suhunya yang tinggi dan kemarau yang panjang, akan menyebabkan sekurang-kurangnya separuh harga hadapan meningkat, terutamanya kerana kekurangan air yang mendatangkan bencana.  Keadaan ini merupakan benar-benar krisis dari segi suhu yang meningkat, kemarau yang berpanjangan, dan harga makanan yang meningkat dalam menghadapi peningkatan penduduk yang pesat.  
            Pada Julai lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan secara rasmi krisis makanan di beberapa tempat di Somalia yang kebuluran dan mengulangi gesaan yang terdesak untuk lebih banyak bantuan daripada negara penderma.  "Jika kita tidak bertindak sekarang, kebuluran akan merebak ke semua lapan wilayah Somalia selatan dalam masa dua bulan akibat hasil tanaman yang tidak menjadi dan merebaknya penyakit berjangkit," kata Mark Bowden, Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Somalia, dalam satu kenyataan.  "Kita masih memerlukan semua sumber untuk makanan, air  bersih, tempat perlindungan, dan perkhidmatan kesihatan untuk menyelamatkan nyawa beratus-ratus ribu orang Somalia yang dalam keadaan terdesak." 
            Kebuluran yang berlaku di wilayah Bakool dan Shabelle Rendah di Somalia di tengah-tengah kemarau yang teruk di Afrika timur untuk 60 tahun.  Kemarau di sana meletakkan 11 juta orang yang dianggarkan berhadapan dengan risiko, tetapi Somalia negara paling teruk  kerana negara telah punah-ranah akibat sedekad persengketaan.  Food Security and Nutrition Analysis Unit (FSNAU) memaklumkan krisis tersebut menunjukkan situasi tidak terjamin makanan yang paling serius di dunia hari ini, dari segi skala dan keterukan.  Perisytiharan itu akan menjadi yang pertama dalam siri "krisis makanan di Tanduk Afrika, dan kali pertama istilah kebuluran digunakan secara rasmi sejak hampir satu juta orang Etiopia mati kebuluran pada tahun 1984.  Lebih 11 juta orang  di Somalia, Etiopia, dan Kenya dilaporkan sangat-sangat memerlukan makanan selepas dua tahun kemarau yang membunuh kebanyakan haiwan yang hanya merupakan sumber makanan, kekayaan, dan pendapatan mereka.  
            Kebuluran, seperti yang kita pelajari sepanjang 30 tahun lalu, bukan hanya tentang kekurangan makanan, tulis Eliza Griswold dalam The Daily Beast pertengahan Julai lalu ketika krisis makanan melanda Tanduk Afrika.  “Orang ramai kebulur adalah akibat ekonomi dan politik.  Makanan berfungsi sebagai senjata, terutamanya di Somalia, yang tiada kerajaan untuk berbicara untuk lebih 20 tahun, tempoh terpanjang jika dibandingkan dengan mana-mana negara.”
Krisis makanan selalunya dikaitkan dengan pertambahan penduduk, bencana alam, seperti kemarau atau banjir, dan peperangan atau persengketaan. Kini, dunia dilanda krisis makanan sekali lagi, yang kedua dalam masa tiga tahun.  Salah satu faktornya ialah pemberontakan dan protes di dunia Arab dan tempat lain. Harga makanan dunia yang mencecah rekod pada Januari tahun ini, dipacu oleh kenaikan yang tinggi dalam harga gandum, jagung, gula, dan minyak.
Semasa Hay Festival 2011,  Deborah Doane, Pengarah World Development Movement menggesa dalam usaha mengawal kenaikan harga makanan, pasar raya sepatutnya dikawal selia dengan lebih baik.  “Pasar raya tidak berasa kesengsaraan kenaikan harga makanan. Mereka mengelakkan kesengsaraan itu dengan membebaninya terhadap para pengguna.  Kita memerlukan ombudsman pasar raya,” kata Pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang melancarkan kempen bagi pihak golongan miskin di dunia.  Beliau juga menggasak bank pelaburan, seperti Goldman Sachs, yang mengaut keuntungan yang besar daripada perniagaan komoditi makanan, seperti gandum dan gula, menuduh mereka turut terlibat dalam menyebabkan kenaikan harga makanan tidak boleh mapan yang menjejaskan penduduk   di negara membangun yang terpaksa bertungkus-lumus untuk mendapatkan makanan ruji asas.
Editor Harper’s Magazine, Frederick Kaufman mendedahkan hubungan langsung antara kenaikan yang begitu tinggi kos makanan dengan Wall Street, terutamanya Goldman Sachs.  “How Goldman Sachs Created the Food Crisis”  dalam jurnal Foreign Policy  April lalu, Kaufman mengingatkan jangan salahkan orang Amerika yang berselera, kenaikan harga minyak, atau  tanaman yang diubahsuaikan dari segi genetik kenaikan harga makanan.  “Wall Street melakukan kesalahan kerana kos lingkaran makanan.” Pada tahun 2003, pasaran hadapan komoditi masih lengang, iaitu berjumlah AS$13 bilion.  Akan tetapi, apabila krisis kewangan global menyebabkan para pelabur ketakutan pada awal 2008, dan oleh sebab, paun, dan euro mengelakkan daripada keyakinan pelabur, maka komoditi, termasuk makanan, seakan-akan pilihan terakhir, tempat terbaik untuk dana lindung nilai, dana pencen, dan dana kekayaan kedaulatan untuk melabur.  Beliau memaklumkan bahawa penganalisis dari Jabatan Pertanian Amerika Syarikat memberitahunya, “Kamu mempunyai orang yang tidak mempunyai petunjuk apakah sebenarnya komoditi, tiba-tiba membeli komoditi.”  Pada 55 hari pertama 2008, spekulator mencurahkan AS$55 bilion ke dalam pasaran komoditi, dan pada Julai, AS$318 bilion memasuki pasaran.  Sejak itu, inflasi makanan masih stabil.  “Wang mengalir, dan banker bersiap sedia dengan kasino baru derivatif makanan yang berkilau-kilau. Maka, berlaku gelembung makanan.”
Frederick Kaufman mengingatkan bahawa pasaran derivatif makanan baru mencapai bahagian supranasional, di luar jangkauan undang-undang kedaulatan.  Beliau menarik perhatian bahawa turun naik yang sepatutnya mewujudkan peluang yang besar untuk kerjasama global, tetapi tidak menjadi kenyataan.  Sebaliknya, negara yang berasa gugup bertindak, seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing,” daripada eksport kepada menyorok biji-bijian kepada perebutan neomerkantilis di Afrika.  Dan usaha oleh aktivis dan agensi antarabangsa yang prihatin untuk mengawal spekulasi biji-bijian lenyap entah ke mana.  Sedangkan, dana indeks terus maju, banker mengaut keuntungan, dan golongan miskin di dunia terhuyung-hayang di ambang kebuluran.
Dalam keluaran Mei/Jun, Foreign Policy menerbitkan makalah Lester Brown, “The New Geopolitics of Food” yang mengalu-alukan ekonomi makanan baru tahun 2011.  Harga makanan, tegas beliau, meningkat, tetapi impaknya tidak sama dirasai.  Bagi orang Amerika, yang membelanjakan kurang satu persepuluh pendapatan mereka di pasar raya, kenaikan harga makanan yang kita perhatikan setaka ini tahun ini adalah kejengkelan, bukannya malapetaka.  “Akan tetapi, bagi dua bilion miskin di planet ini yang membelanjakan antara 50 hingga 70 peratus pendapatan mereka untuk makanan, kenaikan harga ini mungkin bermakna terpaksa makan dari dua kali sehari ke sekali sehari.”  Beliau mengenal pasti bahawa kenaikan harga yang berlaku sekarang dipacu oleh trend kenaikan permintaan dan menjadikannya lebih sukar untuk meningkatkan pengeluaran: antaranya, pertumbuhan pendudukan yang pesat, peningkatan cuaca yang menjejaskan tanaman, dan saliran kekeringan.  Tegas beliau, “setiap malam, sebanyak 219,000 orang tambahan memerlukan makanan di peringkat global.”
Lebih membimbangkan, tiada lagi negara, seperti Amerika Syarikat pada suatu  dahulu yang mampu membekalkan biji-bijian jika mana-mana negara  dalam kesusahan, dan dengan itu, dapat mengelakkan malapetaka.  Bagi Lester Brown, itulah sebabnya krisis makanan tahun 2011 memang benar, dan mengapa boleh mencetuskan rusuhan roti bersama-sama revolusi politik, seperti yang berlaku di dunia Arab.  Jika sebelum ini dikatakan bahawa alam sekitar, perubahan cuaca, minyak, dan air akan mengancam kestabilan serantau, Brown menambah bahawa kekurangan makanan semakin membentuk politik global.
Dengan memetik pemikiran Thomas Maltus yang terkandung dalam bukunya, An Essay on the Principle of Population yang diterbitkan pada tahun 1798, Michael Schuman menulis, melihat di sekeliling kita hari ini, memang mudah untuk merumuskan bahawa Malthus adalah terus mata.  Dalam “A Future of Price Spikes” yang diterbitkan dalam majalah Time akhir Julai lalu, Schuman menegaskan wujud ketidakseimbangan antara pertumbuhan penduduk dengan bekalan makanan. Kecuali produktiviti ladang meningkat dengan pesat, maka kos makanan boleh juga meningkat.  “Harga makanan yang hampir tinggi dari segi sejarah, dipacu meningkat oleh jumlah penduduk yang lapar yang semakin besar.  Setiap kali berlaku kemarau atau banjir, maka  bangkit rasa takut akan kekurangan makanan global.  Kira-kira 925 juta orang yang masuk tidur dengan perut lapar setiap malam.”  Tambah beliau lagi, “setiap hari, kita menambah 219,000 mulut untuk disuap, sedangkan tanah, air, dan sumber lain yang diperlukan untuk mengeluarkan  makanan tambahan hampir terbatas.”  Bayangkan kesukaran yang akan dihadapi untuk menyuap setiap mulut  apabila akhir tahun ini penduduk dunia mencecah tujuh bilion orang.  Dalam makalahnya itu, Schuman memetik Lester Brown “tiada peradaban yang mampu bertahan dengan kemusnahan yang berlaku terhadap sistem sokongan semula jadinya.” 
Walau bagaimanapun, Schuman mengakui bahawa Malthus tidak semuanya betul.  Meskipun penduduk dunia meningkat kira-kira tujuh kali ganda sejak zaman beliau, pengeluaran makanan lebih atau kurang adalah sejajar dengan peningkatan penduduk itu, sekurang-kurangnya cukup bahawa kita tidak mengalami kebuluran besar-besaran.  (Berjuta-juta orang yang kebulur kerana alasan politik.)  Namun, industri makanan global mencapai titik kritikal.  Pada musim 2010-2011, kita menggunakan lebih banyak biji-bijian berbanding dengan yang kita keluarkan, dan akibatknya, harga makanan meningkat secara dramatik.  Di peringkat global, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO),  kos makanan 39 peratus lebih tinggi hari ini berbanding hanya setahun lalu.  Rizab biji-bijian merosot berbanding dengan keperluan manusia. FAO mengunjurkan bahawa pengeluaran makanan mesti meningkat 70 peratus pada tahun 2050 untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan penduduk yang berkembang.
Krisis makanan lazimnya lebih tertumpu pada tanaman di bumi berbanding dengan makanan laut yang juga merupakan keperluan manusia, yang turut berkurangan.  Hal mudah difahami kerana manusia kebulur akibat kekurangan sumber tanaman berbanding dengan sumber laut, meskipun makanan laut juga mula mencecah titik kritikal.  Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan 32 peratus stok ikan global adalah dieksploitasi secara berlebihan atau pupus.  Laporan terbaharu oleh International Programme on the State of Ocean mendapati spesies marin dunia menghadapi ancaman “yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia” dan perikanan berlebihan merupakan sebahagian masalah.  Tangkapan di seluruh dunia kelihatan pada tahap mendatar, iaitu kira-kira 80 juta tan setahun sejak pertengahan 1990-an.  Jumlah ikan yang ada, meskipun pada tahan mapan, tidak cukup untuk menampung  penggunaan makanan laut global, yang meningkat daripada 10 kg seorang setahun kepada hampir 17 kg seorang setahun pada masa sekarang. 
Sebagai alternatifnya, penggunaan manusia akan beralih kepada ikan ternak, seperti yang cuba diketengahkan oleh Bryan Walsh.  Dalam “The End of the Line” yang diterbitkan dalam Time pertengahan Julai, beliau menegaskan ikan merupakan makanan liar yang  terakhir, tetapi lautan kita dalam keadaan bersih terpilih.  Justeru, pilihan yang ada ialah ikan ternak menggantikan ikan yang ditangkap.  Namun,   untuk mengusahakan akuakultur memerlukan kawasan tanah dan air, sedangkan kedua-dua sumber asli itu  bukan sahaja berkurangan, bahkan semakin tidak  mampu menampung pengusahaan tanaman dan ternakan. 
Sememangnya,  Ngozi Okonjo-Iweala, Pengarah Urusan Bank Dunia, memberikan ingatan yang tepat apabila beliau berkata, “masalah keselamatan makanan merupakan masalah keselamatan global.”  Adakah para pemimpin dan penggubal dasar di negara kita menumpukan perhatian terhadap masalah ini?
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Oktober  2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...