Artikel Popular

Monday, November 11, 2013

Kapitalisme Muflis

ISNIN,  11  November 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Kira-kira dua tahun lalu, iaitu ketika dunia  bergelut dengan krisis kewangan dan  terjebak dalam kemelesetan, sejarawan terkenal, Eric Hobsbawm, menulis dalam The Guardian bahawa abad ke-20 telah berlalu, tetapi kita masih belum belajar untuk hidup pada abad ke-21, atau sekurang-kurangnya berfikir dengan cara yang sesuai dengan abad baru ini.  Dalam makalahnya, “Socialism Has Failed.  Now Capitalisme is Bankrupt. So What Comes Next?” beliau menegaskan apa-apa jua logo ideologi yang kita terima pakai, anjakan daripada pasaran bebas kepada tindakan awam perlu lebih besar daripada pemahaman ahli politik. 
Beliau menarik perhatian bahawa kita hidup menerusi dua percubaan praktik untuk mencapainya dalam bentuk tulen masing-masing, iaitu ekonomi negara terancang secara pusat jenis Kesatuan Soviet dan ekonomi kapitalis pasaran bebas yang tidak disekat dan tidak dikawal.  Yang pertama gagal pada tahun 1980-an, manakala yang kedua gagal di hadapan mata kita sekarang ketika berlakunya krisis paling besar kapitalisme global sejak tahun 1930-an.  “Kita belum tahu lagi bagaimana serius dan berpanjangannya kesan krisis dunia sekarang,” tulis Hobsbawm, “tetapi krisis itu menandakan berakhirnya jenis kapitalisme pasaran bebas yang menguasai dunia dan kerajaan dunia pada tahun-tahun sejak Margaret Thatcher dan Presiden Ronald Reagan.”
Beliau mengiystiharkan  kapitalisme pasaran  muflis, tetapi tidak sesiapa yang berfikir secara serius untuk kembali semuula kepada sistem sosialis jenis Soviet bukan sahaja kerana  kegagalan politik mereka, bahkan juga kerana semakin lembap dan tidak cekapnya ekonomi mereka.  “Masa hadapan, seperti sekarang dan masa lalu, kepunyaan ekonomi campuran yang awam dan swasta saling menocang.”
Kegagalan sosialisme di Kesatuan Soviet dan Eropah Timur kini terbenam dalam liputan sejarah, meskipun di Amerika Latin, sosialisme memperlihatkan kebangkitan yang agak menakjubkan. Namun,  yang ingin dibahaskan di sini bukannya tentang kematian atau kebangkitan sosialisme, tetapi tentang kemuflisan kapitalisme akibat krisis yang berpanjangan.
Ekonomi yang lemah semakin lemah, manakala para pemimpin terhegeh-hegeh dan penggubal dasar terkial-kial menyebabkan keadaan bertambah buruk.  Dari Amerika Syarikat ke Eropah ke Jepun, ekonomi lembap yang diperburukkan lagi oleh tindakan sesetengah kerajaan melaksanakan langkah jimat cermat sejak tahun lalu, sedangkan pemulihan ekonomi masih lemah.  Akibatnya, dunia dijangkakan terjebak semula ke dalam kemelesetan, atau  terbenam ke dalam kemelesetan curam berganda. Bahkan, dikhuatiri bahawa dunia mungkin mengalami nasib seperti Jepun, iaitu “dekad yang hilang,” pada tahun 1992, selama 17 tahun,  apabila ekonomi lembap.
  Banyak negara masih bergelut dengan krisis hutang, misalnya di zon euro;    krisis hutang bukan sahaja berulang-alik antara Ireland dengan Greece, tetapi kesan domino  menjalar ke Portugal, Sepanyol, dan Italy.  Greece terpaksa memohon pelan penyelamat kedua baru-baru ini, setelah Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan yang pertama bernilai 110 bilion euro pada tahun lalu.  Di zon tersebut terutamanya, sebuah demi sebuah  negara bergelar “orang sakit Eropah,” dan dilabelkan dengan akronim yang jijik: daripada PIGS (Portugal, Ireland, Greece, dan Sepanyol) kepada PIIGS (dengan “I” yang baru ialah Italy). Apabila beberapa  negara terpaksa bergelut dengan krisis hutang, maka ada yang mencadangkan supaya zon yang dianggotai oleh 16 buah negara yang menggunakan mata wang bersama dibubarkan:  tidak berbaloi untuk diselamatkan.  
Dari segi krisis politik-ekonomi semasa, Amerika Syarikat dan Eropah  dikatakan “dua kali lima.”  Di Washington, para pemimpin berhujah tentang siling hutang berbulan-bulan lamanya, yang akhirnya diluluskan oleh Kongres pada saat akhir pada 2 Ogos lalu, yang nyaris-nyaris menyebabkan negara itu tidak mampu menjelaskan hutang. Sementara di Brussels, para pemimpin  mengheret Kesatuan Eropah ke kancah yang sangat dalam.  Namun, dikatakan masalah asas adalah sama;  kedua-duanya, iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mempunyai kewangan awam yang tidak terkawal dan sistem politik yang terlalu disfungsi untuk menyelesaikan masalah. 
Fareed Zakaria melalui makalahnya dalam “Special Report:  Lessons from the Debt Debacle” majalah Time keluaran pertengahan Ogos, menyenaraikan beberapa buah negara dari segi nisbah hutang sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi:  Sepanyol 74 peratus, Jerman 87 peratus, United Kingdom 89 peratus, Perancis 97 peratus, Amerika Syarikat 101 peratus, Portugal 111 peratus, Ireland 120 peratus, Italy 129 peratus, dan Greece 157 peratus.
Kini, diakui bahawa istilah “negara gagal” bukan hanya membawa maksud sesebuah negara yang gagal memerintah wilayahnya, seperti  Somalia dan pada takat tertentu, Afghanistan dan Pakistan, tetapi juga negara yang tidak dapat mengawal hal ehwal kewangannya, seperti Greece, Ireland, dan Portugal.    Greece misalnya,  hilang kedaulatannya kerana terpaksa menswastakan aset negara atas desakan Kesatuan Eropah dan IMF, kalau tidak, bantu tidak akan dihulurkan kepada negara itu.
Tatkala pertumbuhan ekonomi global pada amnya masih lemah, kadar pengangguran di sesetengah negara masih tinggi, misalnya Amerika Syarikat 9.1 peratus, United Kingdom 7.7 peratus, Jerman enam peratus, Perancis 9.7 peratus,  Belanda lima peratus, dan Sweden tujuh peratus, Italy lapan peratus, dan Sepanyol 20 peratus.  Tatkala pertumbuhan masih lemah dan pengangguran masih tinggi, pada awal Ogos lalu, dunia dirasakan sedang menjunam ke dalam krisis kewangan kedua apabila dalam masa hanya lima hari, AS$2.5 trilion lenyap daripada nilai saham global.  Dalam keadaan pasaran terumbang-ambing, pada malam Jumaat 5 Ogos lalu, agensi penarafan kredit, Standard & Poor’s  (S&P)  menurunkan penarafan kredit kedaulatan jangka panjang Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+, yang negara itu peroleh 70 tahun lalu.  Akibatnya, seperti yang dijangkakan, pada Isnin berikutnya, pasaran lintang-pukang, dari Asia ke Eropah ke Amerika Syarikat.  Pada hari itu, indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh sebanyak 635 mata (5.6 peratus), kepada 10,810 mata, hari terburuk sejak tahun 2008.
Presiden Barack Obama dalam usaha menenangkan para pelabur yang berebut-rebut mencampakkan saham mereka, mengiystiharkan bahawa Amerika Syarikat  “selalunya negara tiga A” tanpa menghiraukan gred  yang diberikan oleh agensi penarafan dan menegaskan kerajaan mengekalkan keupayaan untuk membayar hutang.  Kira-kira tiga tahun lalu, beliau berjaya mempengaruhi para pengundi yang membolehkan beliau mara ke Rumah Putih,  tetapi pada hari itu, beliau gagal meyakinkan para pelabur:  pasaran   terus merudum. 
Krisis hutang mendorong Timothy Garton Ash untuk merumuskan bahawa Amerika Syarikat dan Eropah kini  terlibat dalam kemerosotan (decadence) daya saing.  Dua tatanegara (polity) utama di Barat kelihatan tidak mampu menyelesaikan hutang dan beban defisit yang dibina oleh versi kapitalisme demokratik liberal. Dalam “Debt Crisis: In Our Competitive Decadence, We Face Eurogeddon and Dollargeddon” dalam guardian.cok.uk, Garton Ash menulis bahawa dua ekonomi terbesar di dunia terhuyung-hayang di pinggir eurogeddon dan  dollargeddon. Tegas beliau, pesaing kembar Barat dalam kemerosotan adalah berbeza dalam banyak cara, tetapi jika diteliti,  wujud persamaan yang mendalam, iaitu krisis struktur kapitalisme demokratik liberal.  “Atau jika anda lebih suka menekankan politik, demokrasi kapitalis liberal sebagaimana sistem ini dibangunkan di kawasan tengah Barat sepanjang dekad lalu.”
Di kedua-dua belah Atlantik,” tulis Garton Ash lagi, “kita hidup di luar kemampuan kita.  Perhatikan graf dan anda boleh lihat hutang korporat, isi rumah, awam yang menimbun sepanjang 40 tahun lalu.  Kini, dengan pemiliknegaraan hutang swasta berikutan krisis kewangan, dan kemerosotan pertumbuhan dan hasil kerajaan, angka hutang awam semakin bertimbun-timbun, seperti tolok suhu pada kereta yang terlalu panas, hingga tahap 90 peratus, 100 peratus, 110 peratus KDNK.
Selain ekonomi dan kewangan yang bercelaru, Amerika Syarikat dan Eropah juga berkecamuk dari segi politik, yang diistilahkan oleh Garton Ash, “peputarbelitan demokrasi” yang tunduk pada segolongan orang yang lantang demi kepentingan jangka pendek dan bukannya mencadangkan kepada kebanyakan orang apakah yang mereka perlukan dalam jangka yang lebih panjang.  “Ini ialah politik yang hiperresponsif terhadap wang, kepentingan istimewa, kempen media, kumpulan pendesak, kumpulan fokus, dan tinjauan pendapat terbaharu atau pilihan raya subnasional.”
Yang lebih memburukkan lagi keadaan, di Amerika Syarikat dan Eropah, kerajaan telah bercerai-berai atau berpecah-pecah.  Perdebatan yang memakan masa berbulan-bulan di Washington tentang siling hutang  memperlihatkan ketidakcekapan sistem politik negara itu.  Apabila S&P menurunkan gred penarafan kredit Amerika Syarikat alasan yang diberikan bukannya ekonomi, tetapi politik:  "amalan menempah bahaya politik" dalam debat tentang hutang yang menjadikan keupayaan kerajaan Amerika Syarikat untuk menguruskan kewangannya "kurang stabil, kurang berkesan, dan kurang boleh diramalkan.”
Demikian juga di Eropah yang para penggubal dasar tidak mampu  muncul dengan respons terhadap krisis hutang yang lengkap demi menenangkan pasaran.  Akibatnya, ekonomi besar di rantau itu, seperti Italy dan Sepanyol menyertai Greece dalam menghadapi krisis hutang yang teruk.  Krisis hutang zon euro mendedahkan bahawa  Eropah ketandusan kepimpinan yang amat diperlukan untuk menyelamatkan zon berkenaan daripada krisis yang berpanjangan. Pemimpin ekonomi terbesar, seperti Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy tidak memperlihatkan komitmen mereka untuk menyelesaikan masalah di zon.  Alasan dari segi  ekonomi,  tidak mahu menjadikan negara mereka negara penyelamat, dan  politik,  tidak sanggup menghadapi risiko tentangan  rakyat  jika mereka membuat keputusan  menyelamatkan negara di zon euro yang bermasalah.
Eric Hobsbawm, seperti yang dipetik pada permulaan tadi, berkata,  kapitalisme muflis,  manakala Timothy Garton Ash berkata, krisis demokrasi kapitalis liberal.  Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz pula  menganggap krisis ideologi kapitalisme Barat bahawa hanya beberapa tahun lalu, ideologi yang sangat berkuasa, iaitu kepercayaan terhadap pasaran bebas dan terlepas daripada belenggu menghumban dunia di pinggir kehancuran. Dalam makalahnya yang diterbitkan dalam Social Europe Journal, beliau menegaskan,  “Bahkan, ketika hari kegemilangannya, iaitu dari awal 1980-an hingga 2007, kapitalisme gaya Amerika yang tidak dikawal selia membawa kesejahteraan kebendaan hanya untuk golongn yang sangat kaya di negara yang terkaya di dunia.  Sesungguhnya, sepanjang perjalanan kekuasaan selama 30 tahun ideologi ini, kebanyakan rakyat Amerika mendapati pendapatan mereka merosot atau beku tahun demi tahun.”  Tambah beliau, lagipun, pertumbuhan output di Amerika Syarikat adalah tidak mapan dari segi ekonomi.  Oleh sebab terlalu banyak pendapatan negara Amerika Syarikat dikuasai oleh segelintir golongan, pertumbuhan boleh berterusan hanya melalui penggunaan yang dibiayai oleh timbunan hutang yang menggunung.
Stiglitz sedar  harapannya bahawa krisis kewangan akan mengajar Amerika dan orang lain pengajaran tentang perlunya kesamaan yang lebih besar, kawal selia yang lebih kuat, dan keseimbangan yang lebih antara pasaran dengan kerajaan, tidak menjadi kenyataan.  Sebalik, tulis beliau, “kebangkitan semula ekonomi sayap kanan, dipacu seperti biasa oleh  ideologi dan kepentingan istimewa, sekali lagi mengancam ekonomi global, atau sekurang-sekurangnya ekonomi Eropah dan Amerika, tempat idea ini terus hidup subur.”
Sementara di Eropah, tegas Stiglitz, negara yang menghadapi krisis, seperti Greece dan lain-lain lagi, du jour perubatan adalah hanya sekadar pakej jimat-cermat  dan penswastaan yang sudah lapuk, yang akan mengakibatkan negara berkenaan miskin dan lebih mudah terjejas.  “Ubat ini gagal di Asia Timur, Amerika Latin, dan tempat-tempat lain,” tegas beliau, “dan langkah ini juga akan gagal di Eropah tidak berapa lama lagi, bahkan telah pun gagal di Ireland, Latvia, dan Greece.” 
Yang membimbangkan ialah dunia dikatakan menghadapi risiko kemelesetan atau lebih tepat kemelesetan curam berganda tanpa penyerap kejutan kerana kadar faedah di kebanyakan negara maju hampir sifar dan defisit fiskal hampir mencecah had selamat.  Justeru, persoalan sekarang bukan hanya terlalu besar untuk gagal, tetapi terlalu besar untuk diselamatkan.  Meskipun empat tahun berlalu dan banyak wang yang dicurahkan untuk pelan penyelamat, pakej rangsangan ekonomi, dan pemiliknegaraan bank dan institusi kewangan, krisis masih berlegar-legar di hadapan pintu menanti mangsa dengan penuh rakus.

Kematian Keynesian kali kedua apabila banyak negara melaksanakan strategi keluar dan langkah jimat-cermat, sesungguhnya  membawa padah.  Bagi kapitalisme,  yang diisytiharkan sebagai pemenang selepas berakhirnya Perang Dingin, sejak akhir-akhir ini kelihatan muflis, bukan sahaja dari segi idea, tetapi dari segi amalan.  Bersama-sama sosialisme, kapitalisme berada dalam lipatan sejarah yang sama: satu lena dalam  kegagalan, satu lagi dalam  kemuflisan.    
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...