Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Ketika protes tercetus di Turki dan kemudian Brazil, The Economist muncul dengan rencana utama tentang protes di
serata dunia, yang banyak mempunyai asal
usul yang berbeza. Di Brazil, orang ramai bangkit menentang kenaikan
tambang bas, di Turki menentang pembinaan projek. Rakyat Indonesia
menolak harga bahan api yang tinggi, rakyat Bulgaria menentang kronisme
kerajaan. Di zon euro, orang ramai berarak menentang jimat-cermat, dan
Pemberontakan Arab menjadi protesperma menentang setiap yang kusut.
Tambah The Economist lagi, sebagaimana
tahun 1848, 1968, dan 1989, apabila orang ramai juga menemui suara kolektif,
penunjuk perasaan banyak mempunyai persamaan. Sepanjang minggu lalu, dari
sebuah negara ke sebuah negara lain, pembantah bangkit dengan kelajuan
membingungkan. Mereka lebih aktif dalam demokrasi berbanding dengan
kediktatoran. Mereka cenderung merupakan orang biasa, iaitu golongan
kelas menengah, tidak melobi dengan senarai tuntutan.
Tiba-tiba pada awal Julai, tanpa diduga berlaku protes di
Mesir, yang dalam sekelip mata menumbangkan Mohamed Morsi, yang dipilih sebagai
Presiden Mesir setahun lalu. Sebelum
peristiwa tersebut, ketua tentera Mesir Jeneral Abdel-Fattah
el-Sissi memberikan kata dua kepada
Morsi supaya menyelesaikan protes yang
berlaku. Seterusnya, el-Sissi muncul melalui televisyen negara pada
3 Julai, mengumumkan penggulingan Morsi ketika tentera menahan pemimpin Islam
itu. Pertikaian antara Morsi dengan tentera dikatakan membawa kepada
rampasan kuasa. Walaupun penggulingan itu dibahaskan, sama ada rampasan kuasa tentera
ataupun tidak, wujud persetujuan bahawa adalah berpunca daripada kebangkitan
rakyat atau keazaman rakyat.
Sekali lagi, The
Economist muncul dengan rencana utama, Mesir tragedi. Morsi memang diakui
tidak cekap, tetapi majalah itu mengingatkan bahawa penggulingan beliau
sepatutnya dikesali dan bukannya untuk diraikan. Namun, majalah itu juga mengakui bahawa
melihat jumlah penunjuk perasaan yang menjangkau 14 juta orang turun di
jalanan, menunjukkan bahawa penentang Morsi bukannya sebilangan kecil mereka
yang berasa tidak puas hati. Bahkan, menurut BBC, ada yang menganggarkan jumlah rakyat Mesir yang terbabit dalam
protes ialah 30 juta orang, satu jumlah yang sengaja dibesar-besarkan. Namun, yang nyata, kebanyakan rakyat
kelihatan menentang Morsi. Satu
alasannya menurut The Economist, ketidakcekapan Morsi yang tidak melakukan
apa-apa untuk menyelamatkan ekonomi Mesir daripada runtuh. Nilai mata wang dan rizab pertukaran asing
merosot, inflasi meningkat, dan kadar pengangguran dalam mereka yang berusia di
bawah 24 tahun adalah lebih 40 peratus.
Seterusnya, The
Economist muncul dengan rencana utama yang lebih provokatif, iaitu adakah
Pemberontakan Arab gagal? Kira-kira dua tahun setengah selepas revolusi di
dunia Arab, tegas majalah itu, tidak ada sebuah negara pun yang jelas menuju ke
arah kestabilan, iaitu demokrasi yang aman.
Negara yang diletakkan harapan yang tinggi, iaitu Tunisia, Libya, dan
Yaman masih terumbang-ambing. Eksperimen
kacau-bilau dengan demokrasi di Mesir, negara yang paling banyak penduduk jika
dibandingkan dengan tiga buah negara tersebut, berkesudahan dengan presiden
yang dipilih dijadikan tahanan. Syria pula
berlaku pertumpahan darah perang saudara.
“Tidak hairan sesetengah orang mula berfikir bahawa
Pemberontakan Arab ditakdirkan gagal,” tulis The Economist. “Timur Tengah, hujah mereka, tidak bersedia untuk
berubah. Satu alasannya adalah bahawa
wilayah itu tidak mempunyai institusi demokratik, justeru kuasa rakyat akan
usang menjadi anarki atau mengapi-apikan pengenaan semula kuasa diktator. Alasan lain adalah bahawa satu kuasa
bersebati di wilayah itu ialah Islam yang dibahaskan, tidak cocok dengan
demokrasi. Timur Tengah, simpul mereka,
adalah lebih baik jika Pemberontakan Arab tidak berlaku sama sekali.”
Walau bagaimanapun, The
Economist masih menaruh harapan
terhadap Pemberontakan Arab dan kemekaran demokrasi di Timur Tengah, sekali gus
menganggap semua pandangan itu tidak sesuai dengan masa, iaitu sama sekali
silap. Peralihan demokratik hujah
majalah itu, selalunya ganas dan memakan
masa yang panjang. Akibat teruk Pemberontakan Arab, iaitu di Libya pada
mulanya, kini di Syria, memang menakutkan, tetapi kebanyakan warga Arab tidak
mahu berpatah balik.
Pemberontakan Arab, hujah The Economist, selalunya lebih baik dijelaskan sebagai kebangkitan,
dalam erti kata bahawa revolusi sebenar tidak banyak kelihatan di jalanan
berbanding dengan dalam minda.
“Internet, media sosial, televisyen satelit, dan dahagakan pendidikan
dalam kalangan wanita Arab, juga dalam kalangan lelaki, tidak boleh saling
wujud bersama-sama kediktatoran lama yang sedang berakhir. Rakyat Mesir, antaranya, belajar bahawa
demokrasi bukannya sekadar persoalan pilihan raya dan bukan juga keupayaan
membawa berjuta-juta orang penunjuk perasaan turun di jalanan. Perjalanan ke arah demokrasi selalunya
berkecamuk, bahkan melibatkan pertumpahan darah. Perjalanannya mungkin memakan masa
berdekad-dekad, tetapi masih dialu-alukan.”
Majalah itu juga menyangkal pandangan bahawa oleh sebab
Pemberontakan Arab mengalami kemajuan yang tidak seimbang, maka jawapannya
ialah pemodenan autoritarian, yang memerlukan pemimpin, seperti Augusto
Pinochet, Lee Kuan Yew, atau Deng Xiapoing, demi mewujudkan kestabilan dan
memastikan ekonomi tumbuh. Warga Arab dapat bermegah bahawa tidak ada raja falsafah
yang mempunyai keazaman untuk memupuk demokrasi ketika ekonomi berkembang
mekar. Sebaliknya, adik beradik lelaki
diktator dan sepupu wanita pertama mengaut
semua peluang ekonomi yang baik.
Penggulingan Mohamed Morsi, hanya beberapa hari selepas
beliau diminta memenuhi kata dua Jeneral Abdel-Fattah el-Sissi, bukan sahaja
membangkitkan persoalan masa depan demokrasi di Mesir khususnya, dan dunia Arab
amnya, bahkan juga tentang Pemberontakan Arab yang seakan-akan menjunam ke arah
kegagalan. Perkembangan terbaharu di Mesir, iaitu tercetusnya pemberontakan
popular dengan dibantu oleh kuasa tentera, maka sekali lagi pesimistik
menghantui. Memang mudah untuk sesiapa
berasa pesimistik terhadap Pemberontakan Arab, melihat kacau-bilau yang
Timur Tengah alami sekarang. Perasaan
seperti ini pernah wujud, iaitu ketika Presiden Libya Muammar Gaddafi yang
seakan-akan sukar untuk dipaksa berundur.
Namun, setelah beberapa bulan bertempur dan dengan bantuan Nato, Gaddafi
berjaya digulingkan juga, dan dengan itu, senarai panjang rejim di dunia Arab yang akan
mengalami nasib yang sama, tidak terpadam sama sekali.
Sebaik-baik sahaja Presiden Zine el-Abidine Ben Ali
digulingkan berikutan tercetusnya Revolusi Melati di Tunisia, Abolhassan
Bani-Sadr, menulis sebuah makalah yang diterbitkan dalam The New York Times dan The
Huffington Post pada akhir Januari 2011, tentang pengalaman beliau: Apakah yang saya pelajari daripada revolusi
yang gagal di Iran. Bani-Sadr, presiden
pertama Iran selepas revolusi, kini hidup dalam buangan di Paris,
mengalu-alukan pemberontakan di Tunisia, yang bagi beliau, penting di dunia
Arab dan Islam. Namun, beliau
mengingatkan bahawa “seperti yang saya sangat ketahui daripada pengalaman
peribadi saya, masa depan yang terbuka termasuk bukan sahaja kemungkinan
demokrasi, tetapi kemungkinan kebangkitan semula kediktatoran.”
Untuk mencapai demokrasi dan menghapuskan prospek orang
kuat baru mengambil alih kuasa, hujah Bani-Sadr, beberapa syarat perlu
dipenuhi. Pertama, gerakan itu mesti
menjauhkan dirinya daripada rejim lama dan elit rejim berkenaan. Revolusi hanya
berlaku apabila sistem yang wujud dirobohkan sama sekali dan dibina yang
baru. Setakat ini, struktur politik dan
ekonomi neoliberal yang menyokong kediktatoran Zine el-Abidine Ben Ali,
meskipun goyang dan lemah, pada takat yang lebih luas, masih belum
terjejas. Elit yang sama masih
berkuasa. Kedua, seluruh struktur rejim
yang kuku besi, iaitu badan eksekutif, kehakiman, dan perundangan, sepatutnya
direvolusikan. Sememangnya, silap untuk mengehadkan
objektif gerakan itu hanya pada mengubah personaliti.
Balik kepada Mesir yang menyaksikan penggulingan Morsi
dan tentera berkuasa semula untuk suatu tempoh yang tidak dapat dipastikan,
maka dapat dikesani kebenaran peringatan Bani-Sadr lebih dua tahun lalu,
iaitu elit rejim purba masih berkeliaran
dan sukar dihapuskan Kuasa tentera merebut
peluang daripada ketidakcekapan dan kelemahan Morsi sebagai pemimpin dan
keberangan rakyat terhadap beliau, apalagi, di Mesir, tentera secara tradisi,
sangat berkuasa. Mana-mana pemimpin yang tidak sealiran dengan tentera, meskipun dipilih
oleh rakyat, mampu mereka campakkan ke
luar dengan sewenang-wenangnya, seperti yang berlaku terhadap Morsi.
Selalunya, demokrasi baru memerlukan masa untuk bangkit
mengatasi pemimpin autoritarian yang lalu.
Dalam proses ini, apa-apa sahaja boleh berlaku, seperti “kebangkitan
semula kediktatoran” – memetik semula Bani-Sadr, membayangkan kesukaran untuk
menghapuskan rejim purba. Selepas Zine
el-Abidine Ben Ali digulingkan, suatu persoalan yang agak kelakar bunyinya yang
pernah dibangkitkan, ialah “Ali Baba sudah pergi, bagaimana pula 40 orang
penyamun” – membuktikan bahawa rejim purba sukar dihapuskan, meskipun hakikatnya, pemimpin diktator berjaya
ditumbangkan.
Namun, seperti yang dibahaskan oleh Sheri Berman yang
masih yakin dengan Pemberontakan Arab, nostalgia terhadap rejim purba adalah
silap. Permulaan yang palsu dan masalah, huru-hara, dan kacau-bilau, dan bahkan
ada kalanya keganasan, hujah Berman yang menulis dalam Foreign Affairs, adalah wujud dan selalunya bahagian yang perlu
dalam proses itu yang akhirnya menghapuskan autoritarianisme dan menurap laluan
ke arah demokrasi liberal. “Kesilapan
asas yang kebanyakan pengulas Pemberontakan Arab lakukan,” tulis Berman, “ialah
memperlekeh skala, skop, dan kerosakan (perniciousness) autoritarianisme.
Kekejaman bukan sekadar jenis orde politik, tetapi juga merupakan sistem
ekonomi dan sosial, sesuatu yang meresapi kebanyakan aspek kehidupan di
sesebuah negara dan berakar umbi dengan kukuh dalam institusi formal dan tidak
formal.”
Mengambil pengalaman yang berlaku terhadap Morsi di
Mesir, jelas bahawa memerintah tidak
semudah membantah! Seseorang itu, apatah
lagi jika mempunyai karisma, mungkin
mampu mengerahkan dan menggembleng satu kumpulan yang besar sehingga
menjangkau berjuta-juta orang untuk turun di jalanan melancarkan protes. Namun, apabila dia berkuasa, membantah padam dengan sendirinya, dan
sebaliknya dia perlu memulakan permainan yang sama sekali baru, iaitu
memerintah: mewujudkan kestabilan politik dan pertumbuhan serta kemakmuran
ekonomi kerana dengan cara ini, kekacauan sosial dapat dielakkan.
No comments:
Post a Comment