SABTU, 27 April 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Edisi bahasa Inggeris buku ini diterbitkan oleh Harvard
University Press pada tahun 1979, manakala edisi bahasa Melayu, Jepun Nombor 1: Pengajaran untuk Amerika (Dewan Bahasa
dan Pustaka, Kuala Lumpur, RM18.00) diterbitkan pada tahun 1994. Memandangkan
perbezaan tempoh antara penerbitan edisi asal dengan edisi terjemahan begitu
lama, iaitu kira-kira 15 tahun, mungkin persoalan utama dibangkitkan oleh para
pembaca ialah adakah buku ini telah ketinggalan zaman?
Jika dilihat dari segi perkembangan semasa,
iaitu Jepun masih menari di atas pentas dunia hingga mengagumkan penduduk di
buana ini, idea Ezra F. Vogel masih dapat dipertahankan. Kejayaan Jepun dan
keunggulan pengurusan ala Jepun telah banyak diperkatakan. Perkara pokok di
sebalik kejayaan dan keunggulan itu ialah kegigihan rakyat Jepun menimba ilmu
pengetahuan, seperti ditegaskan oleh Vogel.
Kegigihan mereka untuk menimba ilmu
pengetahuan telah meletakkan Jepun sebagai sebuah negara yang mempunyai daya
saing yang kebal dan tidak mudah digugatgagitkan oleh mana-mana negara di buana
ini. Bahkan, Amerika Syarikat yang menyebabkan Jepun tersungkur dalam Perang
Dunia Kedua,. kini terpaksa akur dan melutut kepada Jepun. Jika ketika perang
itu tentera Jepun berkeliaran di Asia
Tenggara, kini barang keluaran Jepun pula membanjiri bukan sahaja rantau Asia
Tenggara, malahan seluruh pelosok dunia.
Sebenarnya, saranan Daniel Bell dan Peter
Drucker bahawa masyarakat pascaperindustrian (kini Drucker menyebut masyarakat
pascakapitalis) ialah masyarakat berilmu telah mendapat sambutan yang hangat
dalam kalangan tokoh terkemuka Jepun. Malahan, para sarjana Amerika yang
terkemuka yang dianggap paling inovatif memikirkan masa depan, seperti Herman
Kahn, Peter Drucker, John Kenneth Galbraith, dan Daniel Bell telah diberi masa
dan perhatian yang lebih banyak oleh ahli perniagaan di Jepun jika dibandingkan
dengan Amerika.
Jepun telah meletakkan iltizam yang tinggi
terhadap usaha menimba pengetahuan secara berkumpulan. Oleh yang demikian,
setiap lapisan rakyat, organisasi, kerajaan, swasta, kota, dan desa telah
digembleng untuk menimba ilmu dan
maklumat.
Sehubungan dengan itu, rakyat Jepun mempunyai
minat dan kegemaran membaca yang tinggi. Mereka menghabiskan masa yang banyak
untuk membaca buku, akhbar, dan majalah. Dalam bidang ilmu yang boleh dikatakan
tidak terbatas, banyak terbitan bersiri dihasilkan supaya menjadi sumber
maklumat bagi pakar Jepun. Setiap tahun, hampir 30,000 judul buku baharu telah
diterbitkan, dan sejak Perang Dunia Kedua (hingga tahun 1970-an, kira-kira 150,000
judul telah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun.
Sementara televisyen pendidikan mendapat
peruntukan yang paling banyak,
dengan sebahagian rancangan kepada pendidikan asas dan
bukannya hiburan elit.
Jepun juga amat gigih menghantar kakitangan
ke luar negara semata-mata untuk menimba pengetahuan. Misalnya, Kementerian
Kewangan menghantar pegawai muda ke luar negara untuk mengkaji sistem cukai,
undang-undang cukai, pentadbiran,
perniagaan, ekonomi, dan sebagainya. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan
Industri (MITI), menghantar pegawainya
ke luar negara ketika Jepun mengantarabangsakan perdagangannya
Pakar asing, terutamanya yang berpengetahuan
luas diundang supaya memberikan ceramah, menulis atau mengunjungi Jepun.
Masyarakat Jepun amat menghargai
sumbangan intelektual mereka.
Sesungguhnya,
banyak lagi kegigihan Jepun menimba ilmu telah dikemukakan dalam buku
ini. Secara ringkas, dapat dikatakan bahawa rakyat Jepun menimba ilmu sepanjang
hayat mereka.
Hasil kegigihan tersebut Jepun dikatakan mempunyai
kelebihan bersaingan dari segi pendidikan yang berjaya melahirkan masyarakat
berilmu. Dengan kata lain, Jepun mengutamakan pembangunan manusia. Jepun telah
memandang jauh ke hadapan bahawa masyarakat pasca perindustrian dan pasca
kapitalis ialah masyarakat berilmu untuk menggantikan modal sebagai sumber
terpenting.
Meskipun Vogel mengehadkan buku ini kepada
pengajaran untuk Amerika, namun negara-negara lain patut menimba pengalaman
Jepun. Kejayaan Jepun telah mendorong kita supaya memikirkan bahawa faktor
pengeluaran, seperti sumber asli dan modal tidak lagi penting, sebaliknya ilmu
pengetahuan. Apakah negara yang rakyatnya kurang minat membaca, dan oleh itu,
kurang meminati ilmu dapat mengikuti jejak Jepun?
Walaupun banyak negara mengagumi Jepun, satu persoalan ialah sampai bilakah Jepun
terus menari di atas pentas dunia? Apakah suria akan terbenam jua? Sejarah
membuktikan dalam persaingan antarabangsa, Amerika Syarikat telah menyingkirkan
British, manakala Amerika Syarikat pula disingkirkan oleh Jepun.
No comments:
Post a Comment