ISNIN, 2 Julai 2018
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Beberapa kajian menunjukkan bahawa wujud kelebihan atau kebaikan untuk penutur
dwibahasa, baik orang dewasa mahupun kanak-kanak. Orang yang bertutur dalam dwibahasa atau
alih-mengalih kod, apabila dia semakin tua, penyakit Alzheimer
lambat berlaku. Semakin awal seseorang terdedah pada
dwibahasa, maka semakin banyak kelebihan yang akan diperolehnya. Justeru, ibu bapa digalakkan mendidik
anak-anak mereka supaya bertutur dalam dwibahasa.
Sebagai imbas kembali, beberapa
tahun lalu, Pelita Bahasa pernah menerbitkan makalah yang merujuk kajian Samantha Fan dan Zoe Liberman di
Univeristy of Chicago, diterbitkan dalam Psychological Science, yang mendapati kanak-kanak dwibahasa, dan
juga mereka yang hanya terdedah pada bahasa lain secara tetap, mempunyai
kelebihan dalam perkara memasuki ke dalam minda orang lain. Fan dan Liberman
bersama-sama dua lagi yang lain, iaitu
Boaz Keysar dan Katherine D. Kinzler dalam kajian yang berjudul, “The
Exposure Advantage: Early Exposure to a Multilingual Environment Promotes
Effective Communication,” menyatakan dalam abstrak bahawa pendedahan bahasa
awal adalah penting untuk perkembangan sistem bahasa formal, tetapi mungkin
tidak cukup untuk berkomunikasi secara cekap.
Untuk memahami tujuan penutur, kita mesti mengambil perspektif
penuturnya. Pendedahan multibahasa
mungkin menggalakkan komunikasi berkesan dengan mempertingkatkan pengambilan
perspektif.
Kajian itu,
menurut The Economist, menyertai longgokan kajian lain yang
menunjukkan bahawa wujud kelebihan kognitif untuk yang dwibahasa. Para
penyelidik mendapati bahawa penutur dwibahasa mempunyai fungsi eksekutif yang
lebih baik (mengawal perhatian dan perancangan tugas kompleks). Mereka yang
menghidap demensia, secara purata, hampir lima tahun kemudian daripada penutur
ekabahasa. Penutur dwibahasa penuh
sebelum ini menunjukkan mempunyai kemahiran teori minda yang lebih baik. Akan
tetapi, ujikaji ini merupakan yang pertama menunjukkan bahawa faedah sedemikian
juga berakru kepada mereka yang hanya terdedah pada bahasa lain semata-mata.
Banyak tahun, kajian menunjukkan bahawa
dwibahasa mempunyai himpunan faedah
kognitif, iaitu penumpuan yang lebih baik, kemahiran antara perorangan yang
semakin baik, dan bahkan keupayaan untuk pengalaman masa yang berbeza. Kajian
baharu menemui satu lagi kelebihan bertutur dalam lebih satu bahasa.
Kanak-kanak dwibahasa adalah lebih baik dalam mengecam suara dan menanggapi maklumat tentang siapakah
yang bercakap berbanding dengan rakan sebaya mereka yang ekabahasa, menurut
kajian yang ditemui oleh Sekolah Budaya, Pendidikan, dan Pembangunan Manusia di Steinhardt, New York University. Demikian menurut laporan The Independent
pada Jun 2017, “Bilingual Children Are
Better at Recognising People’s Voices, Study Find.”
Akhbar
itu memetik Susannah Levi, yang merupakan pengarang utama dan pembantu profesor sains
komunikatif dan kekacauan di Steinhardt, bahawa kanak-kanak dwibahasa mempunyai
kelebihan tanggapan apabila memproses maklumat tentang suara
penutur. “Kelebihan ini wujud dalam aspek sosial tanggapan pertuturan, yang
tumpuan bukannya terhadap memproses maklumat linguistik, tetapi sebaliknya
terhadap memproses maklumat tentang siapakah yang bercakap. Pertuturan secara
serentak membawa maklumat tentang apakah yang dikatakan dan siapakah yang
berkata,” jelas Levi.
Untuk
merumuskan kesimpulannya, Levi menilai kumpulan kecil 41 orang kanak-kanak,
iaitu 22 orang penutur bahasa Inggeris ekabahasa dan 19 orang kanak-kanak
dwibahasa, yang semua bertutur dalam bahasa Inggeris dan sama ada bertutur
ataupun didedahkan kepada bahasa kedua (selain bahasa Jerman), setiap hari.
Kanak-kanak ini dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan umur – mereka yang
berusia 10 tahun dan yang lebih tua diasingkan daripada kumpulan yang lebih
muda.
Untuk
menilai kemahiran pengecaman suara, kanak-kanak berkenaan diberikan tatasusunan
tugas. Semuanya, misalnya, mereka
mendengar seseorang berkata sepasang perkataan yang mereka ketahui dalam bahasa
Inggeris dengan aksen Jerman. Mereka
kemudiannya mendengar perkataan yang sama dalam bahasa Jerman dan ditanyakan,
sama ada perkataan itu dituturkan oleh orang yang sama ataupun oleh dua orang
yang berbeza.
Mungkin
yang tidak memeranjatkan, kanak-kanak yang lebih tua mencapai prestasi yang
lebih baik jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang lebih muda, yang
memperkukuh dapatan daripada kajian sebelum ini yang menunjukkan bahawa
menanggapi maklumat tentang siapakah yang berkata bertambah baik adalah
mengikut umur.
Akan
tetapi, kanak-kanak dwibahasa juga
mencapai prestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang
hanya bertutur dalam satu bahasa. “Kajian ini merupakan ujian kuat faedah
kedwibahasaan kerana kajian ini melihat perbezaan dalam kedua-dua bahasa yang
biasa kepada semua peserta dan bahasa
yang tidak biasa kepada mereka,” jelas Levi. “Kelebihan dwibahasa berlaku,
bahkan dalam bahasa yang tidak biasa.”
Levi
memberitahu mungkin wujud pelbagai alasan bagi kelebihan dwibahasa ini, iaitu
kanak-kanak dwibahasa mungkin lebih
biasa mendengar pertuturan beraksen dan bahasa berganda, mereka mungkin
lebih baik dalam memberikan tumpuan, mempunyai kawalan kognitif yang lebih
baik, dan kemahiran tanggapan sosial yang lebih kuat.
Meskipun
kami perlu menjalankan lebih banyak kajian untuk menjelaskan mengapa
kanak-kanak dwibahasa lebih baik dan lebih pantas mempelajari suara yang
berbeza, kajian kami ini menyediakan satu lagi contoh faedah bertutur dan
memahami pelbagai bahasa,” jelas Levi.
Satu
lagi kajian yang dijalankan oleh lima orang penyelidik, iaitu Elma Blom, Tessel
Boerma, Evelyn Bosma, Leonie Cornips,
dan Emma Everaert, juga mendapati kelebihan kanak-kanak
dwibahasa. Dalam “Cognitive Advantages of Bilingual Children in Different Sociolinguistic
Contexts,” yang diterbitkan
melalui laman web Frontiers in Psychology pada
April tahun ini, menyatakan, banyak kajian menunjukkan
bahawa kanak-kanak dwibahasa mengatasi kanak-kanak ekabahasa tentang tugas
menguji fungsian eksekutif, tetapi kajian lain tidak menunjukkan apa-apa kesan
kedwibahasaan. Kajian yang melibatkan tiga orang daripada penyelidik, iaitu Blom, Boerma, dan Everaert dari Utrecht
University, membandingkan tiga
kumpulan kanak-kanak dwibahasa di Belanda, berumur enam hingga tujuh tahun,
dengan kumpulan kawalan ekabahasa.
Para
penyelidik itu meminati terutamanya menguji, sama ada kelebihan kognitif
dwibahasa ditinggirendahkan atau dimodulet oleh konteks sosiolinguistik
penggunaan bahasa. Kesemua tiga kumpulan dwibahasa itu terdedah pada bahasa
minoriti, di samping bahasa dominan negara (Belanda). Dua kumpulan dwibahasa
didedahkan kepada bahasa wilayah (Frisian, Limburgish), dan kumpulan dwibahasa ketiga didedahkan pada
bahasa migran (bahasa Poland). Semua kanak-kanak itu menyertai dua tugas memori
kerja (lisan, visuospatial) dan tugas perhatian (perhatian pilihan, penindasan
gangguan). Kanak-kanak dwibahas mengatasi kanak-kanak ekabahasa dari segi
perhatian pilihan. Kesan kognitif kedwibahasaan paling jelas kelihatan dalam
kumpulan Frisian-Belanda dan dalam subkumpulan kanak-kanak migran yang secara
relatifnya, cekap dalam bahasa Poland. Kesan ini kurang kuat dalam sampel Limburgish-Belanda. Penyiasatan tentang pola respons ujian flanker, iaitu menguji penindasan
gangguan, menunjukkan bahawa kanak-kanak dwibahasaa lebih kerap menunjukkan
kesan persaingan respons berbanding dengan kanak-kanak ekabahasa, menunjukkan
bahawa kanak-kanak dwibahasa memberikan perhatian terhadap aspek tugas yang
berbeza berbanding dengan kanak-kanak ekabahasa. Kesan kedwibahasaan muncul
untuk lisan dan memori kerja visuospatial (visuospatial
working memory).
Kajian itu melibatkan 176
orang kanak-kanak, yang dikelompokkan ke dalam empat kumpulan yang berbeza
(ekabahasa Belanda, Frisian-Belanda, Limburgish-Belanda, bahasa Poland-Belanda), dengan 44 orang
kanak-kanak dalam setiap kumpulan. Semua
kanak-kanak, sama ada berumur enam atau tujuh tahun (72 – 95 bulan) pada masa
ujian. Selain umur, beberapa kriteria
pemilihan digunakan. Kanak-kanak dengan
kepintaran tanpa lisan di bawah 70 tidak dimasukkan, sebagaimana kanak-kanak
yang set data penuh yang tidak dapat diperoleh. Seterusnya, dalam kumpulan
dwibahasa, kanak-kanak hanya dimasukkan
jika sekurang-kurangnya salah seorang ibu bapa mereka bertutur dalam bahasa
bukan Belanda dengan kanak-kanak berkenaan, untuk memastikan bahawa semua
kanak-kanak ini dapat dianggap dwibahasa.
Oleh sebab kajian tersebut terlalu teknikal dan ilmiah
sifatnya, maka makalah ini hanya memetik
inti pati kajian itu secara ringkas.
Hasil kajian menyokong hipotesis bahawa
kedwibahasaan mempengaruhi
perkembangan perhatian dan mengesahkan bahawa kesan kedwibahasaan terhadap
kognisi ditemui di seluruh latar sosiolinguistik, iaitu kanak-kanak memperoleh
bahasa wilayah dan kanak-kanak mempelajari bahasa imigran.
Kajian ini menunjukkan bahawa kesan kognitif
kedwibahasaan ditemui dalam kanak-kanak yang menjadi dwibahasa kerana mereka
terdedah terhadap bahasa wilayah, selain
bahasa kebangsaan, dan dalam kanak-kanak yang
menjadi dwibahasa kerana (salah seorang) ibu bapa mereka ialah imigran
atau pendatang. Perbandingan tugas yang berbeza menunjukkan bahawa pengalaman
dwibahasa mempengaruhi terutamanya bagaimana kanak-kanak mengarahkan perhatian
mereka terhadap persekitaran: kelihatan bahawa mereka menganggap lebih banyak
maklumat merupakan potensi tugas-relevan dan mereka secara relatifnya berjaya
dalam menggunakan maklumat ini dalam tugas yang mereka perlu fokus dan
memberikan perhatian secara terpilih.
Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa bagi kanak-kanak
imigran, kecekapan di rumah atau bahasa imigran adalah penting untuk kelebihan
kognitif untuk membangun dan menunjukkan bahawa kesan kognitif untuk penutur bahasa wilayah adalah ditinggirendahkan atau dimodulet oleh perbezaan dari segi latar sosiolinguistik.
No comments:
Post a Comment