RABU, 17 April 2019
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tujuan utama perbincangan buku Ekonomi Buruh: Teori Permintaan dan
Penawaran yang ditulis oleh Zulkifly Osman (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur), ialah pasaran buruh dengan
huraian yang terperinci tentang permintaan dan penawaran buruh. Kedua-dua aspek ini amat penting dan
merupakan dua faktor utama dalam menentukan upah dan agihan buruh. Secara
terperinci, buku ini terbahagi kepada
tiga bahagian Pertama, permintaan terhadap buruh, kedua, penawaran
buruh, dan ketiga, keseimbangan dalam pasaran buruh.
Enam bab
pertama yang merupakan bahagian pertama buku ini merangkumi perbincangan
tentang permintaan buruh. Perbincangan
dimulakan dengan melihat sepintas lalu konsep permintaan buruh dan masalahnya
berasaskan data yang terdapat di Malaysia.
Kemudian, perbincangan diteruskan dengan huraian yang lebih khusus
tentang teori asas permintaan buruh
serta implikasi dasar berasaskan teori berkenaan. Hurian tersebut bermula
dengan teori asas permintaan buruh dan kemudianya diubahsuaikan, khusus
terhadap andaian yang digunakan supaya
dapat menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku dalam pasaran buruh. Yang menjadi tumpuan ialah pembentukan keluk
permintaan buruh dan seterusnya mengenal pasti faktor-faktor yang mungkin
mempengaruhi permintaan tersebut.
Sementara itu,
lima bab terakhir membincangkan beberapa aspek utama penawaran buruh serta
teori penawaran buruh dengan lebih khusus. Dalam bab berkenaan dibincangkan
faktor-faktor yang dapat mempengaruhi penawaran buruh, seperti jumlah penduduk,
kadar penyertaan tenaga buruh, jam kerja usaha kerja, usaha kerja, dan tingkat
latihan serta kemahiran. Masalah yang
berkaitan dengan penawaran buruh, misalnya pengangguran, khususnya di Malaysia
turut dibincangkan.
Bebarapa
implikasi dasar yang berhubung dengan penawaran buruh serta masalahnya turut
dibincangkan. Umpamanya, persoalan tentang kerja lebih masa, kerja sampingan
serta ponteng kerja yang amat rapat hubungannya dengan penawaran buruh di
peringkat individu turut diberikan perhatian.
Sementara Konsep Asas Ekonomi Kewangan Antarabangsa
oleh Chua Yee Yen (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,) pula mengandungi 76
konsep asas dalam aspek ekonomi berkenaan yang disusun mengikut abjad.
Sebagaimana buku pertama, buku ini juga menggunakan formula matematik dan rajah
untuk menjelaskan satu-satu perbincangan. Hal seperti ini memang tidak dapat
dielakkan dalam kebanyakan buku ekonomi. Beberapa formula matematik perlu
digunakan untuk menjelaskan beberapa konsep tertentu, seperti arbitraj kadar
bunga, arbitraj komoditi, arbitraj segi tiga, kadar syarat perdagangan, dan
sebagainya.
Menerusi buku
ini para pembaca dapat memahami bagaimana urus niaga di peringkat antarabangsa
dijalankan. Urus niaga itu melibatkan
individu, dan institusi di sesebuah negara dengan individu dan institusi di
negara lain. Urus niaga ini pula
melibatkan urus niaga semerta dan urus niaga hadapan. Adanya sistem
kewangan antarabangsa, maka risiko urus niaga dapat dihindarkan, pada amnya.
Buku ini juga
memuatkan beberapa institusi yanga ada kaitannya dengan kewangan antarabangsa,
seperti ASEAN. Bank Dunia, Bank Eksport-Import, Bank Pembangunan Asia, Bank
Penyelesaian Antarabangsa, Kesatuan Ekonomi Eropah (EEC), Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF), perbadanan multinasional (MNC), OPEC, dan UNCTAD. Asal usul
institusi tersebut dibincangkan dalam buku ini. Yang lebih penting lagi ialah
bagaimana institusi tersebut mempengaruhi ekonomi dan kewangan sesebuah negara,
khususnya negara membangun. Misalnya, peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR)
setiap anggota IMF adalah mengikut bahagian kuota yang ditetapkan. Kita juga
dapat melihat bagaimana penguasaan negara maju dalam kewangan antarabangsa.
Oleh itu, buku ini tidaklah terlalu akademik, tetapi juga sesuai untuk
pembacaan umum.
Beberapa
peristiwa yang berlaku dalam ekonomi kewangan antarabangsa turut dibincangkan
dalam buku ini. Misalnya, krisis mata
wang antarabangsa 1971 – 1973, mesyuarat
Bretton Woods, perjanjian Bretton Woods, dan perjanjian Smithsonian. Kesemua peristiwa ini mempengaruhi arah
aliran ekonomi kewangan antarabangsa. Di samping itu, perkembangan ekonomi dan
politik dunia juga turut mempengaruhi ekonomi kewangan antarabangsa. Misalnya, penubuhan Organisasi Kerjasama
Ekonomi dan Pembangunan (OECD) berpunca
daripada kemusnahan ekonomi akiabt Perang Dunia Kedua dan berpunca daripada
perpecahan Organisasi Kerjasama Ekonomi Eropah (OEEC).
Menerusi buku
ini para pembaca dapat memahami mengapa
kuota dan tarif terhadap barang import dikenakan oleh sesebuah negara. Di
negara membangun, kuota dan tarif dikenakan bukan setakat bertujuan mengutip
hasil pendapatan negara. Akan tetapi,
menerusi kuota dan tarif, keluaran tempatan, khususnya keluaran industri dapat
dilindungi dan seterusnya dapat bersaing dengan keluaran industri luar negara.
Tanpa kuota dan tarif memanglah sukar bagi keluaran tempatan yang serba-serbi
kekurangan dapat bersaing dengan keluaran industri luar negara.
(Dewan
Masyarakat, Disember, 1989.)
No comments:
Post a Comment