Artikel Popular

Monday, December 26, 2011

Khabar Gembira dari Amerika Latin

ISNIN,  26  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Jumlah penduduk yang hidup dalam kemiskinan di Amerika Latin dan Carribean, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, jatuh dengan ketara dari tahun 1990 ke 2010,  iaitu daripada 48.4 peratus kepada 31.4 peratus.  Memetik laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bahawa hal ini berlaku ketika penduduk tumbuh daripada 440.7 juta kepada 582 juta orang.    

Khabar tentang kadar kemiskinan melampau, bahkan lebih baik, iaitu jatuh daripada 22.6 peratus pada tahun 1990 kepada 12.3 peratus pada tahun lalu.  Dengan pengurangan ini, bemakna Amerika Latin hampir mencapai matlamat yang ditetapkan oleh PBB pada tahun 2000, mengurangkan kemiskinan melampau tahun 1990 hingga separuh pada tahun 2015.  Agihan pendapatan yang tidak sama yang memang terkenal di Amerika juga kurang.  Laporan PBB itu menunjukkan bahawa koefisien Gini, yang digunakan secara meluas untuk mengukur ketidaksamaan, menurun secara stabil di 10 buah negara Latin sepanjang dekad lalu.

Amerika Latin yang bertahan "dekad yang hilang" pertumbuhan perlahan pada tahun 1980-an, yang mengakibatkan kedua-duanya, kemiskinan dan ketidaksamaan meningkat. Pembaharuan struktur yang negara berkenaan lakukan ketika harga pelepasan hutang sepanjang masa membawa manfaat dalam bentuk kesejahteraan yang lebih luas, iaitu lebih tahan lama. Perdagangan bebas antara negara Latin, dan antara Amerika Latin dengan Amerika Syarikat juga membantu.   

Sebelum ini, The Economist juga merujuk laporan yang sama menunjukkan kemajuan dalam mengurangkan kemiskinan di Amerika Latin dan Carribean.    

Yang tidak kurang menarik tentang benua yang beberapa negara di wilayah itu  pernah  dikenali "republik pisang," kartel dadah, pergolakan dan kekacauan,  The Guardian melaporkan, pada hari ini, Brazil mengambil tempat United Kingdom sebagai ekonomi keenam terbesar di dunia pada tahun 2011. Dengan kemaraan Brazil itu, sebuah lagi negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) mengatasi negara maju.  Sebelum ini, China memotong Jerman untuk tempat ketiga dan seterusnya Jepun untuk tempat kedua, kini mengikuti rapat Amerika Syarikat.    

Walau bagaimanapun,  Time yang memetik laporan PBB itu membayangkan era melambung Latin Amerika kemungkinan berakhir.  Pertumbuhan di benua itu yang lebih enam peratus pada tahun lalu, akan perlahan, iaitu kepada 4.3 peratus tahun ini dan 3.7 peratus pada tahun 2012. Ekonomi Brazil, terbesar di benua itu, sebenarnya mendatar pada sukut ketiga 2011; Argentina yang tumbuh dengan pesat, iaitu sembilan peratus tahun ini akan jatuh kepada 4.8 peratus tahun hadapan, dan pelarian modal dijangkakan berlaku dengan pesat.  Sementara pertumbuhan Mexico akan jatuh daripada empat peratus tahun ini kepada 3.3 peratus pada tahun hadapan.  

Untuk Argentina, Cristina Fernandez yang memengani pilihan raya untuk penggal kedua, seperti yang dibahaskan oleh The Economist bersedia untuk melawan graviti.  Beliau terpaksa menghadapi  ekonomi yang perlahan  dengan adunan retorik, kawalan, dan jimat-cermat. Kerajaan masih menafikan bahawa inflasi merupakan masalah, bahawa sejak bertahun-tahun di bawah 10 peratus, sedangkan ahli ekonomi bebas menganggarkan hampir 25 peratus. Pada November lalu, kerajaan mengumumkan langkah penakut untuk memotong subsidi yang kini berjumlah 4.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  "Argentina bukan syurga," tulis Minguel Bonasso dalam The Guardian. 

Khabar gembira dari benua itu seakan-akannya berbaur, tetapi berbaur dalam erti kata dunia secara keseluruhannya, pada tahun ini masih belum pulih sepenuhnya daripada kemelesetan 2008-2009: tahun kegagalan para penggubal dasar. Ekonomi dunia, seperti yang diperingatkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dalam bahaya.  Sementara zon euro terus terumbang-ambing, dan  dijangkakan  jangkitan merebak pada tahun hadapan. Bahkan, pinjaman 489 bilion euro yang disediakan oleh Bank Pusat Eropah (ECB) untuk bank-bank zon euro gagal meredakan pasaran.  

Tatkala banyak negara di dunia masih bergelut dengan krisis dan pertumbuhan yang lembap, sekurang-kurangnya, negara Amerika Latin dapat menarik nafas lega.  



Gempar Buah Dada

ISNIN,  26  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Tahun 2011 secara keseluruhannya, bukan tahun yang baik dalam konteks hubungan antara Britain dengan Perancis. Meskipun kedua-dua negara itu (bersama-sama Amerika Syarikat dan Nato) menyerang Libya, krisis zon euro menyebabkan hubungan Britain dan Perancis selalu tegang.  Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy pernah menyuruh Perdana Menteri British, David Cameron diam berhubung dengan krisis zon itu yang berpanjangan.  Ketegangan berlanjutan apabila dalam sidang kemuncak Kesatuan Eropah baru-baru ini, Cameron mengheret London melawan zon euro,  atau  mengasingkan Britain daripada Eropah, meskipun tindakan beliau itu dianggap sebagai hak  Britain, dan Eropah tidak perlu marah.   

Berikutan ura-ura agensi penarafan bercadang menurunkan gred Perancis, berlaku sekali lagi ketegangan antara kedua-dua negara itu apabila pemimpin Perancis mendakwa bahawa ekonomi negaranya lebih besar daripada negara jirannya itu.  Tindak-tanduk Perancis itu mendorong Boris Johnson menulis secara sinis, menyelitkan tulisannya itu dengan "katak" dan "lembu mati."  Kini, kedua-dua negara itu berhadapan dengan risiko penurunan gred. 

Pendek kata, ada-ada sahaja punca yang mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara itu, daripada pemimpin kepada rakyat.  Tatkala kebanyakan rakyat di dua buah negara tersebut bersiap sedia untuk menyambut kedatangan Hari Krismas, berlaku kegemparan  apabila dilaporkan  lebih 50,000 wanita British terlibat dengan bahan implan buah dada yang rosak. Mereka diberikan amaran tentang keselamatan kerana kerajaan Perancis bersedia untuk mengarahkan produk berkenaan dikeluarkan daripada  setiap wanita yang menanamkan produk ke dalam buah dada mereka.  

Bahan implan itu dibuat oleh syarikat Perancis, daripada silikon substandard mengikut gred perindustrian dan dieksport ke seluruh dunia.  Lapan kes kanser, termasuk satu kematian, secara tentatif dikaitkan dengan bahan itu di Perancis dan beratus-ratus wanita lain dilaporkan pecah dalam peranti itu. Di negara itu, dilaporkan kira-kira 30,000 wanita terlibat dengan bahan implan yang disediakan oleh Poly Implant Prothese (PIP) yang ditutup pada tahun lalu.  Dua minggu lalu, mereka dilaporkan menuntut keadilan.  Sementara ketua syarikat itu kini, diburu oleh Interpol atas alasan melakukan jenayah yang melibatkan "nyawa dan kesihatan."

Bahan implan buah dada mengheret Britain dan Perancis ke dalam kancah pertikaian. Berlaku percanggahan antara pihak berkuasa British dengan Perancis dari segi nasihat kepada wanita yang terlibat dengan bahan implan buah data yang rosak kerana dua kerajaan mengisytihakan mereka berbeza pendapat. Nasihat yang bercanggah ini menyebabkan wanita yang terbabit menghadapi dilema.  

Membesarkan buah dada, seperti yang dinyatakan oleh Laurie Penny, kini lazim dalam kalangan wanita di Amerika Syarikat dan United Kingdom, dan bilangannya meningkat, meskipun ketika kemelesetan ekonomi. Wanita seolah-olahnya  tidak lagi berbangga  dengan kecantikan semula jadi, walaupun mereka terpaksa menanggung kos dalam mencari harga diri yang rendah.

Ada orang memberitahu bahawa untuk membesarkan buah dada wanita sememangnya tidak sukar, yang sukar adalah untuk mengecilkannya. Kaedahnya ialah  dengan  "rawatan asli" tanpa memerlukan pembedahan.  Serahkan kepada lelaki  untuk melakukannya.  Namun, tidak dapat dipastikan setakat mana kebenarannya kerana tidak disokong oleh kajian saintifik.  Lagipun, nasihat itu disampaikan dalam bentuk  "jenaka" dalam kalangan lelaki.


Sunday, December 25, 2011

"Jamban" Wanita Pertama Direnungi

AHAD,  25  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Kehadiran Lisa Surihani sebagai "tetamu" bersempena Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung baru-baru ini, mendapat liputan media, termasuk media sosial, seperti yang dapat dilihat dalam blog dan Facebook.  Penampilan beliau dengan wajahnya yang jelita, pinggangnya yang ramping, dan punggungnya yang kemas,  berbeza sama sekali dengan  anggota Puteri UMNO yang "meraikan" beliau, yang kebanyakan "rendang." Satu, enak dan tidak puas mata memandang;  satu lagi,  berat dan letih mata memandang.   

Kalau banyak mata memandang kepada Lisa, baik secara langsung mahupun melalui media, sememangnya  bukan  kerana "mata rabun."    Kalau ada mata  meleret dari hujung rambut ke hujung kaki, pastinya kerana orang berkenaan tidak mahu melepaskan peluang kehadiran beliau.  Kalau ada perwakilan lelaki yang menghadiri Persidangan UMNO itu memasang angan-angan, mereka  boleh dimaafkan, meskipun boleh dianggap gelenyar. 

Namun, yang kelihatan aneh dan kedengaran lucu apabila "jamban" (buntut) wanita bukan artis   jelita, seperti Lisa Surihani, menjadi renungan.  "Kenakalan" ini terjadi terhadap Wanita Pertama.    Dan renungan  itu pula datangnya daripada orang politik.  Jangan keliru, jangan terbayang akan "Wanita Pertama"   Malaysia.  Sebaliknya, Wanita  Pertama  yang bersemayam di Rumah Putih.

Tersenarai bersama-sama tokoh wanita, seperti Margaret Thatcher,  Hillary Clinton, dan Ratu Elizabeth yang terkenal dengan beg tangan masing-masing, Michelle Obama yang terkenal dengan beg tangan biru Reed Krakoff, sememangnya, tidak perlu dipersoalkan lagi. Namun, tiba-tiba buntut beliau turut mendapat perhatian.  

"Michelle Obama mengajar kita tentang pemakanan yang betul, tetapi beliau sendiri mempunyai 'jamban' yang besar," Jim Sensenbrenner,  anggota Perwakilan Republikan dari Wisconsin, dilaporkan berkata demikian oleh The Huffington Post.   

Nampaknya, beliau mempunyai mata yang amat tajam yang dapat merenung jauh ke dalam "jamban" Michelle.  Mungkin Presiden Barack Obama sendiri tidak menyedari betapa besarnya buntut isterinya itu. Oleh sebab Obama sekeluarga bercuti untuk menyambut Hari Natal, elok juga beliau meluangkan waktu untuk "mengukur" atau memerhatikan "jamban" isterinya yang kini jadi renungan.  Atau, mungkin juga Obama sendiri gemar yang berbuntut besar? 


Betulkah Michelle Obama mempunyai "jamban" yang besar? tanya Amy Sullivan, sebagai respons terhadap dakwaan Sensenbrenner itu.  Apa yang Amy Sullivan benar-benar maksudkan adakah anggota Perwakilan Republikan itu melihat tangan Michelle.  Bahas Amy, "saiz relatif beberapa bahagian badan Michelle tidak ada kena mengena dengan kesihatan beliau.  Satu mitos terbesar tentang kesihatan dan saiz badan adalah bahawa anda sepatutnya  kurus macam lidi (rail-thin) untuk menjadi sihat.  Dan, secara perbandingan, semua orang kurus adalah sihat."

Setelah menerima kritikan keras daripada media, Sensenbrenner mengeluarkan kenyataan ringkas yang menyatakan kekesalannya kerana melemparkan komen yang tidak sesuai dan beliau menghantar nota peribadi kepada Wanita Pertama itu memohon maaf. 

Akiba Solomon yang menulis dalam The Daily Beast, mencadangkan anggota Kongres itu sepatutnya membahaskan isu yang dibangkitkan oleh Wanita Pertama, dan bukannya menyerang peribadinya. "Saya juga fikir," tulis Akiba Solomon, "Sensenbrenner,  (Rush) Limbaugh, dan kawan-kawan mereka takut bagaimana Wanita Pertama kulit hitam mengubah skrip menyahinsanikan yang berabad-abad usianya, tentang wanita warna dalam media dan melampaui media."

Di mana-mana sahaja, orang politik, kebanyakannya terkenal dengan mulut celupar, meskipun akibat keceluparan itu, ada yang terpaksa menerima padah.  Pendek kata, menggunakan bahasa yang sopan dan tertib jarang-jarang wujud dalam kamus mereka.  

Bagaimana reaksi Presiden Barack Obama apabila "jamban" kesayangannya dipersenda?   Mungkin beliau hanya berkata, "betapa berat mata memandang, berat lagi tangan meraba." Apabila sudah menjadi pasangan hidup, kecil, besar, molek, buruk "jamban," terpaksalah diterima seadanya.



Saturday, December 24, 2011

BRIC: India Tersingkir, Indonesia Tergolong?

SABTU,  24  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Pada tahun 2001, Jim O'Neill dari Goldman Sachs mencipta konsep BRIC.  Bersama-sama rakan-rakannya, beliau  banyak menerbitkan penyelidikan tentang BRIC, yang menjadi sinonim dengan kemunculan Brazil, Rusia, India, dan China sebagai peluang pertumbuhan pada masa hadapan.  Idea bahawa pasaran sedang muncul tersebut akan memainkan peranan peranan baru dan lebih kuat dalam ekonomi global.  Meskipun berlaku krisis ekonomi global, Goldman Sachs percaya bahawa BRIC masih  di atas.  Semenjak pengenalan konsep itu, negara BRIC sentiasa menjadi tumpuan, dan tidak sukar untuk mendapatkan sumber tentang keempat-empat negara tersebut.   

Negara berkenaan pernah mengadakan pertemuan formal pertama di Rusia pada tahun 2009 untuk menuntut suara yang lebih besar dalam sistem kewangan global dan sistem monetari yang lebih dipelbagaikan.  Bahkan, pernah dikatakan bahawa  negara BRIC  cuba menganjak kuasa keseimbangan global.  China dan negara BRIC lain dijangkakan akan membina semula orde ekonomi dunia baru, seperti yang pernah dibahaskan oleh Ashley Seager dalam The Observer. 


Walau bagaimanapun, sempena 10 tahun pengenalan konsep BRIC, Fareed Zakaria, menulis dalam blognya pada 21 Disember, bahawa sebuah daripada empat buah negara itu.  Beliau memetik Jim O'Neill yang berkata negara berkenaan amat mengecewakan.  Bukan Rusia, meskipun negara itu baru-baru ini dalam kesusahan; bukan Brazil yang ekon omi menguncup dalam suku tahun lalu; dan pastinya bukannya China, yang semakin gagah.  

Fareed menulis  bahawa O'Neill berkata bahawa "negara yang benar-benar mengecewakan ialah India."  Beliau menunjukkan minggu lalu bahawa ketidakmampuan India menarik pelaburan asing  sebenarnya boleh membawa kepada krisis keseimbangan bayaran.  Fareed menegaskan bahawa beberapa angka memberitahu cerita yang menyusahkan.  Pertumbuhan India terbenam di bawah tujuh peratus untuk kali pertama dalam masa dua tahun.  Rupee India merupakan mata yang paling teruk di Asia pada tahun ini, jatuh kepada terendah dari segi sejarah berbanding dolar.  Defisit India meningkat dan pendanaan kekeringan.  India menerima kurang AS$20 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dalam tempoh enam bulan 2011, manakala China mendapat tiga kali daripada jumalh tiu, bahkan Rusia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jumlahnya lebih tinggi.

Masalah sebenar India, seperti yang dijelaskan oleh Fareed Zakaria, bukannya ekonomi.  India mempunyai sektor swasta yang dinamik.  Akan tetapi, kerajaan tidak berfungsi.  Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Manmohan Singh bergelut dengan masalah politik.  Demokrasi yang terbesar di dunia seolah-olahnya lumpuh. 

"New Delhi," tulis Fareed, "beberapa tahun melahirkan kebanggaan kerana menjadi sebahagian BRIC. Jika  India tidak dapat bertindak bersama-sama, 10 tahun dari sekarang, orang mungkin masih menyanjung BRIC, kecuali bahawa "I" dalam BRIC mungkin bermasud untuk Indonesia, bukan India."

Sebenarnya, The Economist dalam keluaran terbaharu, "Special Holiday Double Issue"  turut mendedahkan kelumpuhan politik India bahawa telah diketahui umum Manmohan Singh tidak sehaluan dengan ketua Parti Kongres, Sonia Gandhi.  Sekutu Kongres dalam kerajaan pakatan, iaitu Trinamul Congress,   yang diketuai oleh Mamata Banerjee merupakan sekutu yang tidak boleh dipercayai.  Walau bagaimanpun, dalam ruangan "Economic and Financial Indicators," majalah itu menjangkakan ekonomi India tumbuh sebanyak 7.6 peratus. 

Jika India benar-benar tersingkir, adakah Indonesia akan menggantikannya?  


Friday, December 23, 2011

Anjing dan Ikan Mara ke Rumah Putih

JUMAAT,  23  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Nampaknya, kisah haiwan masih belum dingin. Belek punya belek The Economist keluaran 10 Disember, ternampak  "sarang tebuan," yang dimaksudkan Pakistan yang merupakan sekutu Amerika yang paling bahaya.   Sementara di negara kita, khususnya dalam media sosial,  lembu terus mengganas, meskipun ada beberapa  cerita berbingkai, termasuk yang terbaharu, "wayang tinggi." 

Kisah haiwan dalam bidang politik, secara metafora memang tidak asing.  Niccolo Machiavelli pernah dianggap haiwan politik. Jangan lupa juga Animal Farm George Orwell,  dan "semangat haiwan" John Maynard Keynes yang menjadi topik perbincangan sekarang.  

Tatkala calon-calon Parti Republikan bersaing sengit untuk menentukan siapa yang layak mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Presiden 2012, Leslie Bennetts menulis dalam The Daily Beast,  "Dogs and Presidential Candidates:  Man's Best Friend Dominates the Race."  Sementara menunggu sumbangan yang tidak ternilai kepada politik politik Amerika, tulis Bennetts,  "bukti setakat hari ini menunjukkan bahawa menaksir cara calon melayan anjingnya, tidak perlu menyatakan kelicikan lain pengetahuan calon itu, mungkin meneguhkan cara untuk menilai sifat dan kelayakannya untuk menjadi Presiden.  Mujur bagi kita semua, kempen ini menawarkan banyak sekali bahan."  

Dalam kalangan calon itu, Mitt Romney mempunyai cerita tentang anjing apabila beliau bersama-sama keluarga ke Kanada yang perjalanan mengambil masa 12 jam, dengan anjing diletakkan di atas atap station wagon.  Cara Romney melayan anjingnya sedemikian rupa menyebabkan berlaku pertikaian lidah antara People for Ethical Treatment of Animals (PETA) dengan beliau.

Bennetts menjelaskan beberapa calon lain, seperti  Herman Cain, yang telah pun menarik diri kerana terbongkar skandal seks,  Rick Santorum, dan Rick Perry  mempunyai isu anjing. Jika Romney terpilih mewakilik Republikan, beliau akan dijangkakan berpasangan dengan Chris Christie, yang para penganalisis menggambarkan Gabenor New Jersey memainkan peranan "anjing serangan" Romney.   Hanya Newt Gingrich yang tidak mempunyai anjing.

Dalam arena politik Amerika sekarang, selain anjing, ikan juga turut menjadi tumpuan, seperti yang ditulis oleh Jeffrey Kluger, "America Votes with the Fishes" dalam Time beberapa hari lalu. Ikan yang dimaksudkan itu golden shiner yang ukurannya antara 7.5 hingga 12.5 cm, tetapi agresif yang manusia gunakan sebagai ikan umpan. Akan tetapi, golden shiner mempunyai pendapat yang kuat, dipegang sangat dalam dan hebat, boleh memberitahu banyak perkara tentang bagaimana demokrasi Amerika berfungsi. 

"Haiwan sosial," tulis Kluger, "iaitu ikan sekawan, burung kawanan, sekawan haiwan berkuku, manusia yang menonton berita kabel, mengesahkan apa yang selalu difikirkan tentang beberapa  pola kelakuan yang agak mudah: majoriti memerintah; minoriti mengikut, kecuali minoriti lantang luar biasa atau bersifat mutlak."  Maka, golongan itu dapat menggunakan pengaruh dan menampakkan saiz kecilnya."

Pasukan antarabangsa penyelidik diketuai oleh ahli biologi evolusi, Iain Couzin daripada Princeton University memutuskan untuk menguji andaian itu dan untuk menggunakan ikan sebagai pengundi model.  Ikan sekawan gemar dituntun.  Model komputer yang dibangunkan oleh ahli biologi, Simon Levin, mendapati bahawa hanya memerlukan masa lima minit untuk ikan sekawan untuk mula berenang ke arah sumber  makanan untuk 95 peratus yang lain untuk mengikut, bahkan jika ikan itu tidak tahu ke mana tempat tuju.  

Bermula dengan pengaturcaraan piawai untuk kelakuan ikan, dengan setiap ekor ikan cenderung untuk berkumpul dan menyepakati arah perjalanan ikan berkenaan, tetapi tidak terlalu rapat kerana mungkin berlanggar, maka penyelidik mewujudkan ikan kawanan sebenar yang terdiri daripada dua kumpulan: minoriti yang terlalu komited ke arah yang direnangi, dan majoriti bergerak ke arah lain, tetapi dengan kurang berazam.  Seperti yang diramalkan, minoriti diperintah, dengan majoriti mengambil alih hanya apabila komitmen kumpulan itu sama dengan atau lebih besar daripada komitmen kumpulan kecil.  Apabila kumpulan ketiga, iaitu kumpulan ketiga yang tidak komited ditambah, perkara berubah, tetapi bukan dengan cara yang model piawai cadangkan.

Walau bagaimanapun, Kluger menjelaskan, implikasi terhadap sistem politik manusia, tidak jelas secara keseluruhannya, meskipun sejarah moden untuk kedua-dua parti utama di Amerika Syarikat itu menunjukkan beberapa kelakuan seperti ikan yang sangat berbeza. Beliau juga mengakui tidak bermakna bahawa ahli strategi politik akan mula tumpukan pengumpulan ikan secepat mungkin.  "Hanya, sama ada kita mengakuinya atau tidak, manusia, termasuk anggota Demokrat dan Republikan merupakan haiwan sosial dan bermain oleh peraturan yang sangat sama.  Mereka tidak menyebut mereka keldai dan gajah sesuka hati."

Jika benar anjing dan ikan mara  ke Rumah Putih, bagaimana di negara kita?  Adakah lembu juga begitu ke Sri Perdana?  Tidak mustahil kerana orang ramai terbayang lembu setiap hari, manakala  Najib Razak masih terkial-kial, terhegeh-hegeh, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Sekadar memberitahu "jawab bila tiba masanya."  Semakin lama masa diambil, semakin kukuh lembu berkubu dalam pendapat awam.  Kalau lembu (lembu jantan) boleh dikorbankan, mengapa tidak dikorban seseorang  demi kelangsungan politik. Berundur atau diundurkan! 

Apakah tahun 2012 ialah tahun yang ditentukan oleh haiwan, sama ada di Washington ataupun di Putrajaya?



Thursday, December 22, 2011

Jalan Global

KHAMIS,  22  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Jangan keliru. Tulisan  ini bukan tentang desa global atau desa sejagat yang amat popular pada dekad terakhir abad ke-20. Dunia tanpa sempadan dan berakhirnya negara bangsa.  Sebaliknya, tulisan ini tentang Jalan Global yang  datang  ke  Wall Street: Gerakan Menduduki.   

Berkeley Journal of Sociology dalam satu keluarannya  muncul dengan liputan yang menarik, iatu memahami gerakan Menduduki: perspektif dari sains sosial yang menggabungkan esei, ulasan kritis, dan akhirnya penyelidikan sains sosial tentang gerakan Menduduki. Antara penulisnya ialah Mike Davis,  David Harvey, dan Slavoj Zizek. 

Sementara Saskia Sassen yang menyumbang  "The Global Street Comes to Wall Street"  menulis bahawa perjuangan dan demonstrasi jalanan merupakan kemodenan global kita.   Selepas meninjau kebangkitan di dunia Arab dan protes yang berlaku di seluruh dunia, termasuk Wall Street,  Sassen berhujah bahawa jalan bandar, sebagai ruang awam adalah dibezakan daripada anggapan Eropah klasik tentang ruang yang diritualkan untuk aktiviti awam, dengan medan dan jalan berhias.  "Saya fikir ruang 'jalan' yang pastinya termasuk dataran dan mana ruang terbuka yang boleh didapati, sebagai terdedah dan ruang kurang diritualkan.  Jalan merupakan ruang tempat bentuk baru sosial dan politik dapat dibuat, dan bukannya ruang untuk melakukan rutin yang diritualkan." 

Sassen membezakan antara "jalan dan dataran" dengan "medan dan jalan berhias."  Yang pertama menunjukkan tindakan, manakala yang kedua menunjukkan ritual. 

Hujah  beliau lagi, kota ialah ruang tempat golongan yang tidak berupaya dapat mencipta sejarah.  Itu bukan untuk mengatakan kota hanya ruang, tetapi sesuatu kritikal.  Dengan kemunculan dan boleh dilihat dengan satu sama lain, dapat meminda ciri tidak berupaya.  Namun, Sassen mengakui terdapat jenis berbeza tidak berupaya. 

Sassen merumuskan bahawa beberapa ciri penting aneka luas perjuangan yang berlaku di Timur Tengah dan Afrika Utara, tetapi juga dengan ciri spesifik sendiri di tempat yang berbeza, seperti kota-kota di China, Israel, Chile, Greece, Sepanyol, dan Amerika Syarikat mendorong beliau untuk berhujah bahawa persoalan ruang awam adalah penting untuk memberi retorik dan pembukaan operasi kepada golongan tidak berupaya.  Akan tetapi, ruang awam ini perlu dibezakan dengan konsep ruang awam dalam tradisi Eropah. 

"Hal ini," jelas beliau, "membawa saya kepada konsep Jalan Global, berbeza dengan medan dan jalan berhias tradisi Eropah.  Dan ini menuntut perhatian terhadap wilayah, iaitu kategori yang diratakan ke dalam satu makna, iaitu wilayah nasional sepanjang abad lalu, yang kini hidup menerusi pendudukan, seperti yang berlaku di Dataran Tahrir dan Menduduk Wall Street."

Pastinya, Jalan Global ini  terbentang luas, meskipun  golongan yang berkuasa  berusaha memusnahkannya, atau paling tidak, mengepungnya daripada diterobosi dan ditembusi. 





Wednesday, December 21, 2011

Lembu Jantan di Wall Street

RABU,  21 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam beberapa hari ini, baik dalam akhbar mahupun majalah,  ada-ada sahaja kisah haiwan. Majalah Time dalam talian  seperti yang dinyatakan dalam penulisan  blog sebelum ini, muncul dengan "Haiwan Tahun 2011."  Sementara SE Smith menulis dalam The Guardian bahawa jalan-jalan di kota raya New York bukannya untuk kuda.  Dalam The Daily Beast pula, Leslie Bennetts menulis bagaimana sahabat karib, iaitu anjing muncul untuk mencalonkan perlumbaan ke Rumah Putih pada tahun ini.  

Tidak ketinggalan kisah katak berhubung dengan krisis Kesatuan Eropah yang ditulis oleh Boris Johnson dalam The Telegraph sambil menyelit kisah "lembu mati." Dalam kisah yang berbeza, The Economist muncul dengan usaha untuk menyelamatkan katak di India.  (Saya sempat membaca sepintas lalu makalah ini yang hanya sekejap dimasukkan dalam talian semalam.) 

Haiwan yang mengancam dan terancam turut mendapat liputan.  The Huffington Post melaporkan haiwan yang boleh membawa wabak penyakit, manakala The Independent melaporkan bahawa burung yang paling terancam di Bumi ini membuat sarang untuk memulakan kehidupan baru di Slimbridge, Gloucestershire.  

Ketika membaca semula beberapa makalah tentang Menduduki Wall Street yang masih mendapat liputan media, seperti The Nation, The Huffington Post, dan The Washington Post, saya terjumpa dengan tulisan Mark Jenkins, "Assessing the art of the Occupy Movement."   


Dalam menaksir seni gerakan Menduduki,  Jenkins antara menulis, "meskipun aktivis gerakan ini tidak mempunyai agenda tunggal, banyak imej lebih kuat berbanding dengan yang yang ditunjukkan.  Fundamental Menduduki, jika tidak rasmi, menyasarkan kekayaan dan kuasa kekayaan, selalunya dijelmakan oleh "Mengenakan Lembu Jantan," patung yang berdiri hampir dengan Wall Street.  Pelukis Menduduki menggambarkan haiwan itu ditanjul, dikasi, diletupkan, dieviserat oleh beruang, dan selalunya  dibahagi-bahagikan seperti di kedai penjual daging untuk stik, daging potong, dan daging panggang.

Jelas Jenkins, lembu jantan mewakili Wall Street, bahkan untuk pembantah yang berkemah jauh dari Manhattan.  Haiwan gangsa yang berotot juga menandakan keangkuhan, yang menjadikannya unggul untuk tujuan Menduduki.

Balik ke negara kita Malaysia, nampaknya lebih sebulan kisah lembu berkeliaran dalam blog dan Facebook.  Lembu yang terus "segak" (menanduk) pemiliknya hingga tunggang-langgang  dan  parti yang diwakili terhuyung-hayang. Banyak cerita berbingkai yang dihidangkan untuk tatapan umum, ada jenaka, ada yang serius, tetapi semua  cerita ini memperkukuhkan tema utama kisah lembu ini, jauh sekali untuk mencacatkannya.  Meskipun ugutan demi ugutan dikeluarkan, seperti tindakan undang-undang dan "selak kain," sesuatu yang berkubu kukuh dalam pendapat awam sukar dirombak, dipadamkan.  Tindakan menyingsing lengan baju yang konon untuk mencerminkan simbolik kepahlawanan, tetapi tindakan itu tidak lebih pada tanggapan umum, hanya sebagai pahlawan yang tempang. Atau kalau diambil iktibar daripada Napoleon Bonaparte:   Waterloo. 


Pendedahan kisah lembu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010, bagi parti pembangkang, mereka bagaikan menemui "lombong emas" yang boleh dikatakan "tidak habis makan." Untuk penjawat awam, inilah kali pertama mereka tidak menjadi sasaran kritikan terhadap penyelewengan dan ketirisan yang berlaku kerana dilindungi oleh lembu.

Tatkala kita menghitung detik ketibaan tahun 2012, mungkin banyak lagi keluar cerita haiwan, baik dari dalam mahupun luar negara; baik lembu  mahupun haiwan lain. 


Media Besar, Pemikiran Pun Besar: Pembantah

RABU,  21  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Sekali lagi Time sebagai meneruskan tradisi, muncul dengan "Person of the Year."  Untuk tahun 2011, makalah ini menobatkan The Protester (Pembantah). Memilih Pembantah, sesungguhnya, suatu keputusan yang tepat lagi bijak kerana hampir di seluruh pelosok dunia, menyaksikan kebangkitan rakyat yang luar biasa yang menyebabkan banyak pihak, termasuk media arus perdana dan Washington terpinga-pinga. 

Richard Stengel, Editor Urusan yang menulis editorial, "A Year in The Making," menjelaskan isu  "The 2011 Person of the Year" merupakan hasil nilai pemberitaan dan pemikiran selama setahun.  Dari permulaan Musim Bunga Arab, tulis Stengel, "kami mendedikasikan banyaknya sumber  kepada cerita sejarah dunia ini. Kami juga memerhatikan tatkala bibit protes merebak ke England, kemudian Ke Amerika, dan kini Rusia."

Untuk isu yang besar seperti ini, pastinya para pembaca ingin mengetahui kisah di sebalik tabir bagaimana warga Time  bekerja.  Hal ini turut dijelaskan oleh Stengel: "Kurt Andersen dan saya melawat Mesir dan Tunisia untuk menjejaki semangat revolusi ini hingga ke akar umbinya.  Kurt,  penulis esei dan novelis Amerika yang sangat bagus, menulis makalah cakupan yang menjelaskan kaitan dan makna yang lebih besar dalam kalangan pembantah  di berbelas-belas buah negara." 

Tenaga editorial lain, baik yang turun ke lapangan, mahupun di peringkat penyuntingan, turut dinyatakan oleh Stengel. Tidak kurang tenaga fotografi yang menjelajah lebih 40,000 km  dan mengambil gambar pembantah dari lapan buah negara.

Kurt Andersen sendiri menulis rencana utama, "The Protester" sebuah makalah yang amat panjang, tetapi cukup menarik, tidak jemu untuk membaca. Memang tidak mudah untuk menghasilkan sebuah tulisan yang sedemikian rupa kerana ini melibatkan banyak peristiwa di banyak tempat. Sebelum menulis Pendahuluan Revolusi yang mula-mula tercetus di Tunisia, Andersen menarik perhatian bahawa apabila peristiwa utama disiarkan melalui media, yang dicetuskan oleh sebilangan orang demi rakyat jelata atau massa, pembantah merupakan pencipta sejarah.  

Beliau mencatatkan  beberapa protes yang berlaku sejak tahun 1960-an hingga kedatangan Berakhirnya Sejarah Francis Fukuyama yang mengiystiharkan "kemenangan" liberalisme Barat, yang akhirnya terbukti tidak dapat bertahan lama, seperti yang dapat dilihat di Seattle pada tahun 1999.

Pada 17 Disember tahun lalu, Andersen mengimbas kembali, Mohamed Bouazizi, yang menjaja hasil kebun dengan kereta sorongnya di pekan Sidi Bouzid, membakar dirinya . Segala-galanya bermula apabila alat timbangnya dirampas oleh polis wanita dan polis didakwa menampar beliau. Bouazizi terus pergi ke bangunan ibu negeri wilayah untuk mengadu, tetapi tidak dilayan.  Akhirnya, di pintu pagar bangunan itu, beliau membakar dirinya.

"Anak saya membakar dirinya dengan maruah," Mannoubia, ibu Bouazizi memberitahu Andersen.  "Di Tunisia, maruah lebih penting daripada roti," Basma, adik perempuan Bouazizi turut memberitahu.

Di Sidi Bouzid dan Tunis, di Iskandarian dan Kaherah; di kota-kota Arab dan bandar-bandar yang merentasi 6000 batu dari Teluk Parsi ke Lautan Atlantik; di Madrid dan Athens dan London dan Tel Aviv; di Mexico dan India dan Chile," tulis Andesen, "tempat warganegara digembleng menentang jenayah dan rasuah; di New York dan Moscow dan berbelas-belas kota Amerika Syarikat dan Rusia, rasa benci dan meluat dan kemarahan terhadap kerajaan dan kroni mereka tidak dapat dikawal lagi dan marak dengan sendirinya."

Setelah meninjau sebuah demi sebuah tempat yang tercetusnya protes, termasuk Menduduki Wall Street,  membandingkan protes semasa dengan revolusi dunia tahun 1968, dan mengingati semula Revolusi Perancis  tahun 1848, Andersen "singgah" di Rusia yang kini menyaksikan protes antirejim Rusia terbesar pada abad ke-21.  "Mereka membantah rasuah dan  kurangnya kebebasan dan demokrasi sebenar.  Hal ini demikian, kerana Rusia, sebagaimana kebanyakan tempat di dunia, tidak benar-benar secara keseluruhannya, tiba pada berakhirnya sejarah." 

Dalam mukadimah "2011 Person of the Year,"  Rick Stengel, menulis:  "Sejarah selalu muncul hanya dalam tinjauan kembali.  Peristiwa menjadi signifikan hanya apabila ditoleh kembali. Tidak ada sesiapa yang tahu bahawa apabila penjaja buah Tunisia membakar dirinya di dataran awam di bandar yang jarang-jarang kelihatan pada peta, beliau akan mencetuskan protes yang membawa kejatuhan diktator di Tunisia, Mesir dan Libya, dan menggelisahkan rejim di Syria, Yaman, dan Bahrain. Atau bahawa  semangat  pertentangan itu akan mendorong rakyat Mexico untuk bangkit menentang keganasan kartel dadah, rakyat Greece berarak menentang pemimpin yang tidak bertanggungjawab, rakyat Amerika menduduki ruang awam untuk memprotes ketidaksamaan pendapatan, dan Rakyat Rusia untuk menyusun diri mereka menentang autokrasi yang korup."  

Tambah Stengel, "protes kini berlaku di negara-negara yang penduduk berjumlah sekurang-kurangnya tiga bilion orang, dan perkataan protes muncul dalam akhbar dan dalam talian secara eksponen lebih banyak pada tahun lalu ini jika dibandingkan dengan mana-mana masa dalam sejarah."

Di mana-mana sahaja, jelas Stengel, "kelihatan orang ramai berkata mereka hilang kesabaran.  Mereka menentang; mereka menuntut; mereka tidak putus asa, bahkan ketika jawapan diberikan dengan kepulan gas pemedih mata atau ketulan peluru."  Meskipun difahami secara berbeza di tempat yang berbeza, bahas beliau, "idea demokrasi muncul di setiap perhimpunan. Asal-usul demokrasi 'orang ramai,' dan bermakna demokrasi ialah 'orang ramai yang memerintah.' Dan mereka melakukannya, jika tidak dalam peti undi, maka di jalan-jalan. Amerika ialah negara yang dibayangkan dalam protes, dan protes dalam sesetengah cara ialah kod sumber untuk demokrasi, dan bukti kekurangan demokrasi."

Protes menurut pemerhatian Stengel, menandakan kebangkitan generasi baru.  Di Mesir, 60 peratus penduduk adalah di bawah 25 tahun.  Teknologi penting, tetapi ini bukan revolusi teknologi. Rangkaian sosial tidak menyebabkan gerakan ini, tetapi rangkaian sosial menjadikan gerakan hidup dan saling berhubung. Beliau menegaskan, "teknologi membolehkan kita menonton, dan menyebarkan virus protes, tetapi ini bukan revolusi berdawai; ini ialah revolusi manusia, tentang hati dan minda, teknologi yang paling lama daripada segala-galanya." Di mana-mana sahaja tahun ini, orang ramai mengadu kegagalan kepimpinan tradisional dan sifat lembap institusi.  Ahli politik tidak boleh melihat melampaui pilihan raya akan datang, dan mereka enggan membuat keputusan yang sukar.  "Itulah satu sebab kami tidak memilih individu tahun ini." 

Protester pada kulit majalah Time, tulis Dan Gillmor,  "mengingatkan kita nilai Media Besar. Editor atasan mempunyai wang dan wartawan untuk memberikan makna isu, seperti Menduduki, meskipun mereka terlewat." Ulas Gillmor, "Time memilih Kurt Andersen untuk menulis renca utama memang bijak, bahkan penuh inspirasi. Beliau ialah penulis dan pemerhati yang bijak.  Menggunakan pemberitaan beliau sendiri dan berkajang-kajang bahan daripada sekurang-kurangnya 10 orang wartawan lain, beliau merangkumkan semua urutan cerita yang masih musuh yang sangat berbeza, tetapi berkait.  Tulisan beliau, lebih daripada pengumuman korporat dan editorial Time, memberi makalah itu keseriusan yang sepatutnya."

Namun, bagi Dan Gillmor, liputan masih tidak sempurna.  "Jika saya menulis makalah ini, saya bahkan lebih banyak menggunakan edge-in communications daripada orang ramai di tempat yang pembantah memaksa perubahan yang paling signifikan. Walaupun begitu, liputan ini mengingatkan apa yang kita dalam dunia media baru sepatutnya dalam minda kita, iaitu apa yang organisasi berita dengan poket yang dalam dapat lakukan, bahkan pada zaman keterhakisan Media Besar."  

Sebenarnya, seperti yang dibahaskan oleh Nina Power, ini bukan pertama kali Time memilih kumpulan sebagai tokoh tahunannya, majalah ini pernah melakunnya sebelum ini, iaitu "The American Soldier" pada tahun 2003. "The Good Samaritans" pada tahun 2005, dan "You" pada tahun 2006.  "Di sebalik imej  yang dibersikhan tentang pembantah generik terletak orang yang dipukul dan dibunuh oleh polis, tentera, dipenjarakan, terkena gas pemedih mata, diseksa. Paradoks protes adalah  bahawa untuk setiap perarakan yang perubahan amat sedikit, wujud peluang yang sama bahawa perarakan itu akan mengubah segala-galanya."

Memang tidak mudah untuk menggambarkan tokoh yang berkait dengan protes untuk diletakkan pada kulit hadapan. Dalam hubungan ini, Time,  dilaporkan, memilih pelukis jalanan di Los Angeles, Sherpard Fairey untuk mereka bentuk kulit hadapan "Person of the Year" yang menggambarkan pembantah tanpa nama mengamati daripada antara topi ketat dengan skap bandana.

Yang tidak kurang pentingnya, memastikan isu yang dinanti-nantikan  dapat diperoleh dalam pasaran seberapa awal yang boleh.  Saya sendiri mendapat naskhah ini pada 17 Disember lalu di kedai buku Time,  Pavilion, boleh dikatakan agak awal juga.





Tuesday, December 20, 2011

"Kami Umat Palestin"

SELASA, 20 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Newt Gingrich terus berusaha  mengukuhkan kedudukannya   sebagai calon  daripada Parti Republikan untuk Pilihan Raya Presiden tahun 2012.  Beliau menyerang pencabarnya dan bahkan,  berani melakukan sesuatu, meskipun dianggap menyalahi undang-undang.  Namun, sokongan terhadap beliau di Iowa dilaporkan merosot. Bahkan, Niall Ferguson mengingatkan bahawa jika Gingrich dipilih untuk menentang Presiden Barack Obama, beliau  akan kalah.

Beliau juga mencetuskan kontroversi dengan mengatakan bahawa orang Palestin hanya merupakan  "umat yang direka."  Fareed Zakaria melalui blognya mengkritik Gingrich bahawa sebagai sejarawan, beliau sepatutnya tahu bahawa Syria, Iraq,  Jordan, dan Israel, tidak ada sebuah pun negara ini yang wujud di bawah Empayar Ottoman.  Walau bagaimanapun, perkara yang sama, adalah benar untuk setiap negara di Afrika.  Oleh itu, soal Fareed, "mengapa sebenarnya, Gingrich memilih orang Palestin?"  

Tindakan Gingrich itu dilihat sebagai usaha beliau untuk meraih undi Yahudi sehingga sanggup meletakkan dirinya meletakkan dirinya begitu rendah.  "Hal ini menunjukkan bahawa Newt lebih menyayangi Israel berbanding dengan Mitt Romney, yang hanya memberitahu akhbar Israel Hayom    bahawa beliau akan memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmuqqadis,"  tulis Thomas Friedman.  

Dalam "We Are Palestinians,"  Daoud Kuttab yang menulis dalam The New York Times, menyusurgalurkan leluhurnya untuk membuktikan kewujudan umat Palestin.   Dakwaan Gingrich bahawa orang Palestin "direka" adalah kerana tidak wujud negara Palestin, bahas Kuttab bahawa kini 107 buah negara mengiktiraf Palestin sebagai anggota penuh Unesco, pastinya tidak bersetuju dengan logik yang digunakan oleh Gingrich itu.  Beliau juga membangkitkan bahawa Gingrich pernah bersalaman dengan Yasser Arafat di South Lawn, Rumah Putih pada tahun 1993 bersempena majlis pertukaran surat pengiktirafan antara PLO dengan Israel.

Kuttab memetik buku  sejarawan Rashid Khalidi, Palestinian Identity:  The Construction of Modern National Consciousness yang berhujah bahawa konflik yang sengit antara umat Palestin dengan  Israel merupakan satu alasan mengapa identiti umat Palestin begitu sukar difahami. Namun, tegas Kuttab, akhirnya, percubaab Gingrich untuk menafikan bahawa umat Palestin mempunyai identiti atau jati diri tidak ada kena mengena dengan sejarh.  Hanya sekadar memuaskan kehendak politik. "Majoriti orang Israel dan umat Palestin faham bahawa mereka mesti berkongsi tanah di antara Mediterranean dengan Sungai Jordan."

Dengan mengatakan bahawa Palestin ialah umat yang direka,  Newt Gingrich mencetuskan isu baru.  Melampaui mana-mana jawatan rasmi yang dipegang oleh kerajaan Israel, Gingrich, bahas H.D.S.  Greenway, bermaksud bahawa umat Palestin tidak wajar memiliki negara mereka sendiri.  Bahkan, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang tidak henti-henti menghalang kewujudan negara Palestin, dari segi rekod, menyokong kewujudan negara Palestin.

Berdasarkan pemahaman Gingrich itu, hujah Greenway, orang Iraq, Jordan, dan Lubnan juga umat yang direka, mewujudkan bangsa mereka sendiri hanya selepas keruntuhan Empayar Ottoman, dan sebagai akibat pemerintahan kolonial Eropah. Mengakui bahawa Gingrich betul bahawa tidak wujud negara yang disebut Palestin, namun tegas Greenway, istilah "Palestin" pada masa Ottoman secara longgar termasuk yang dikenali sekarang Israel, Tebing Barat, dan Gaza, di samping sedikit Lubnan. 

"Mandat Palestin" Britain termasuk apa yang kini dikenali Jordan, juga hinggal British menentukan sempadan di Sungai Jordan dan menyebut wilayah mereka untuk Transjordan timuar, kini Jordan. Greenway menegaskan bahawa Perisytiharan Balfour dan  pemimpin Israel, seperti Golda Meir mengakui kewujudan umat Palestin. 

Menulis lebih jauh lagi, Greenway cuba menarik perhatian bahawa "saya selalu tertarik bagaimana nasionalisme Palestin berkembang sebagai imej kecil nasionalisme Israel." Tambah beliau, "umat Palestin telah menjadikan diri mereka sebagai orang bersejarah, dan saya percaya kebanyakan orang Israel hari ini menerima bahawa dan akan berasa gembira dengan penyelesaian dua negara jika keselamatan dijamin."

Untuk Gingrich, tulis Greenway, "mungkin layak sebagai manusia untuk masa lalu.  Akan tetapi, untuk masa hadapan? Atau bahkan masa kini?"

Hujah yang digunakan oleh Newt Gingrich dalam mengatakan umat Palestin direka ialah dari segi budaya dan bahasa yang menurut kefahaman beliau tidak wujud, sebaliknya yang wujud ialah budaya dan bahasa Arab.  Justeru, jangan pandang remeh terhadap jati diri kerana jati diri boleh digunakan untuk menentukan kewujudan sesuatu bangsa.


"Selamat Tinggal, Keynes"

SELASA,  20  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


"Selamat tinggal, Keynes; selamat datang, jimat-cermat."  Ungkapan yang sering kedengaran lebih setahun lalu apabila banyak negara, terutamanya di Eropah mendakap mesra yang  membangkitkan kemarahan rakyat.  Persetujuan sidang kemuncak Kesatuan Eropah di Brussels  lebih seminggu lalu, yang mencetuskan "London  lawan zon euro,"  sebenarnya menutup mana-mana kemungkinan pengurusan permintaan Keynesian untuk melawan kemelesetan. 

Ireland yang merupakan "anak kesayangan" jimat-cermat kerana negara itu dikatakan yang pertama melaksanakan langkah tersebut, dikatakan berjaya keluar daripada krisis.  Para menteri negara itu mencintai slogan kemeja-T "Ireland bukannya Greece" dan "Ieland bukannya Portugal."  Namun, masalahnya, seperti yang diulas oleh Phillip Inman dalam blog  The Guardian, Dublin rapat dengan Lisbon dan Athens.  "Masalah Ireland jauh daripada selesai."  Kejayaan "palsu" dijadikan "modal" untuk menggula-gulakan orang ramai berhubung dengan pentingnya pelaksanaan jimat-cermat.

Melalui kolumnya dalam The Washington Post, Robert J. Samuelson menulis sesuatu yang menggambarkan seakan-akan  berakhirnya pemikiran John Maynard Keynes.  Perbelanjaan defisit dan perbelanjaan besar-besaran untuk menyelamatkan kemelesetan ekonomi menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban hutang yang berat.  Remedi piawai Keynesian untuk kemerosotan ialah banyak berbelanja dan kurang cukai, mengandaikan kesediaan pasaran bon untuk membiayai defisit yang berlaku pada kadar kadar yang munasabah.  "Jika pasaran enggan terima" bahas Samuelson, "dasar Keynesian tidak berkesan."

Negara kemudiannya hilang kawalan terhadap ekonomi mereka.  Mereka mungkir terhadap hutang yang cukup tempoh atau mesti diselamatkan dengan pinjaman daripada negara yang ramah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bank pusat kerajaan, atau sebagai.  Bagi Samuelson ada beberapa alasan mengapa dasar Keynesian mungkin gagal atau dilemahkan.  Untuk menunjukkan kelemahan Keynesian, beliau mengakhirinya penulisannya dengan menulis:  "Seandainya Keynes masih hidup sekarang, beliau pastinya mengakui keterbatasan dasar Keynesian.  Hutang yang tinggi merumitkan analisis dan memusnahkan penyelesaian.  Apa yang mungkin  berkesan pada tahun 1930-an  tidak menawarkan penyelesaian pada hari ini."

Tidak dapat dipastikan, sama ada Keynesian tidak lagi relevan, kerana masih wujud gesaan supaya kerajaan melaksanakan rangsangan ekonomi memandangkan pemulihan masih lemah dan pertumbuhan terhegeh-hegeh. 

Sememangnya, banyak negara meninggalkan Keynesian, tetapi  Kemelesetan Besar 1930-an semakin menghantui mereka.  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...