Artikel Popular

Monday, October 24, 2011

Ekonomi Menentukan Kemenangan Cristina Fernandez

ISNIN, 24 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Presiden Argentina, Cristina Fernandez  dipilih semula semalam dengan mencapai kemenangan besar dalam sejarah negara itu selepas kerajaan mengagihkan kekayaan daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat.  Balu berusia 58 tahun itu memperoleh 53 peratus undi selepas tiga perempat pusat pengundian melaporkan keputusan di seluruh negara.  Pencabar terdekatnya hanya meraih 17 peratus. Presiden wanita pertama di Amerika Latin ini menjadi jaguh pendekatan Argentina untuk krisis kewangan global, iaitu dengan memiliknegarakan pencen swasta dan menggunakan rizab bank pusat untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan bukannya melaksanakan langkah jimat-cermat, dan memaksa para pelabur dalam hutang asing menanggung beban dahulu berbanding dengan rakyat jelata.  

Cristina Fernandez de Kirchner dilaporkan  berikrar untuk mengekalkan dasar yang mengurangkan kemiskinan, meskipun dipersalahkan oleh para pelabur kerana mencetuskan inflasi lebih 20 peratus selepas mencapai kemenangan besar itu. 

"Anda boleh mengharapkan saya memperluas projek politik yang meningkatkan taraf hidup 40 juta rakyat Argentina," beliau memberitahu para penyokong selepas meraikan kemenangannya untuk penggal kedua.

Kemenangan itu, menurut tafsiran The Washington Post, "merupakan mandat untuk Cristina Fernandez untuk meneruskan dasar ekonomi bukan ortodoks yang berpunca daripada perbelanjaan negara yang besar, tetapi kurang mengendahkan pemegang bon mencuba memungut berbilion-bilion dolar hutang tidak dibayar."  

Beliau diperhatikan menggunakan model nasionalistik yang dibangunkan oleh orang kuat Argentina pada tahun 1950-an, iaitu Juan Peron.   Model berkenaan berasaskan peranan negara yang kuat dalam ekonomi, dasar direka untuk memacu sektor pembuatan dalam negara, dan langkah proburuh, seperti subsidi dan peningkatan upah yang tinggi.

Ahli ekonomi, menurut The Economist, telah lama mengingatkan bahawa ekonomi Argentina adalah  terlampau panas.  Beliau tidak mempedulikan desakan supaya mengurangkan kepanasan itu, sebaliknya meningkatkan subsidi tenaga dan pengangkutan dan perbelanjaan sosial.  Dan banker pusat beliau mencetak peso secara bebas. Setakat ini beliau mempunyai kewajaran:  ketika pemerintahannya, ekonomi tumbuh 6.1 peratus setahun.  Inflasi tinggi, meskipun tidak ada seorang pun tahu berapa tinggi, dianggarkan lebih sedikit daripada 20 peratus.  Akan tetapi, kerajaan memastikan harga meningkat secara stabil dan bukannya membenarkan inflasi pergi, dan melindungi kuasa beli isi rumah dengan memperluas faedah pencen dan kebajikan.

Tatkala ekonomi dunia masih suram dan banyak negara mengalami pertumbuhan yang lembap,  pilihan raya sesungguhnya, sesuatu yang menakutkan elit pemerintah.  Walau bagaimanapun, Cristina Fernandez, melalu dasar ekonomi yang tidak ortodoks berjaya mengharungi cabaran ini.  Seandainya beliau melaksanakan jimat-cermat, seperti yang diamalkan oleh banyak negara Eropah, nescaya tempohnya sebagai Presiden Argentina hanya setakat sepenggal.




Musim Bunga Arab Mekar di Tunisia

ISNIN,  24 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas sembilan bulan Presiden Zine el-Abidine Ben Ali ditumbangkan,  akhirnya pada hari Ahad semalam, Tunisia mengadakan pilihan raya. Pilihan raya bebas pertama, undi pertama untuk musim bunga Arab, tetapi masih dibayangi oleh bekas rejim. Negara yang memulakan   Pemberontakan Arab, kini menyaksikan pilihan raya.  Renungan tentang Tunisia - memetik  James Zogby yang menulis dalam The Huffington Post, sebaik-baik kemenangan kuasa rakyat  yang menakjubkan, kian jelas dan nyata, bahkan lebih signifikan.   

"Dua wajah musim bunga Arab," tulis editorial The Guardian, merujuk pemberontakan Arab yang berbeza antara yang berlaku di Tunisia dengan Libya. Pastinya, antara kedua-duanya, Revolusi Melati lebih mekar dan harum kerana digerakkan oleh rakyat jelata tanpa campur tangan asing, seperti yang berlaku di Libya.

Apabila  berjuta-juta rakyat Tunisia keluar mengundi semalam, negara Arab lain memerhatikannya, demikian lapor The New York Times, dalam kemekaran kebanggaan dan harapan yang mencetuskan pemberontakan yang memberikan inspirasi di seluruh dunia Arab, negara kecil kini menerajui demokrasi.  Rakyat Tunisia memperlihatkan kepada dunia bagaimana melakukan revolusi secara aman tanpa ikon, tanpa ideologi, dan kini mereka akan memperlihatkan kepada dunia mereka membina demokrasi yang sebenar.  Atau dalam kata yang cukup poetik oleh Abigail Hauslohner yang menulis dalam Time, "menuai musim bunga Arab, rakyat Tunisia keluar mengundi."


Rakyat Tunisia berduyun-duyun membanjiri pusat pengundian untuk kedahagaan demokrasi kali pertama dalam 50 tahun, catat Angelique Chrisafis dari Tunis.  Dengan pilihan raya itu, Tunisia sekali lagi membimbing negara Arab untuk membina masa depan melalui demokrasi, meskipun jalan ke pusat pengundian bukan mudah, bahkan selepas diktator Ben Ali melarikan diri bersama-sama keluarganya ke Arab Saudi.



Namun, diakui bahawa di negara itu mungkin tiada demokrasi yang bebas risiko.  Pilihan raya itu merupakan ujian sebenar kemampuan kelas politik untuk bertindak balas secara inovatif terhadap tuntutan popular bagi demokrasi.

Dengan berlangsungnya pilihan raya di Tunisia dan tumpasnya Kolonel Gaddafi di Libya, Pemberontakan Arab memperoleh semula kekuatannya.  Khusus untuk Tunisia, Revolusi Melati terus mekar dan harum bukan sahaja di dunia Arab, tetapi juga di seluruh dunia. Dari jalan  Tunisia ke Wall Street. 


Sesuatu yang menakjubkan bagaimana tindakan membakar diri oleh Mohamed Bouazizi pada 17 Disember tahun lalu, dapat mencetuskan kebangkitan rakyat dan Pemberontakan Arab kedua.

Sunday, October 23, 2011

Menduduki Wall Street: TWSJ Dihentam

AHAD, 23  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Ketika terdedahnya skandal penggodaman telefon di Britain beberapa bulan lalu, anggota penting keluarga yang mengawal   The Wall Street Journal (TWSJ) memaklumkan bahawa mereka tidak akan bersetuju menjual akhbar yang berprestij itu kepada Rupert Murdoch jika mereka sedar bahawa News International terlibat dalam skandal penggodaman telefon ketika persetujuan dicapai. 

Kejahatan yang dilakukan akhbar itu tidak terhenti setakat skandal tersebut.  Dari semasa ke semasa, terdedah cerita tentang perbuatan tidak beretika akhbar berkenaan serta pemiliknya, Murdoch.  Kira-kira seminggu lalu, The Independent melaporkan bahawa The Wall Street  Journal  edisi Eropah disiasat berhubung dengan angka pengedarannya. 

Tatkala Menduduki Wall Street ke seluruh dunia, dan boleh diikuti secara langsung, antaranya melalui The Huffington Post dan  The Nation,  di samping mendapat sokongan tokoh terkenal, antaranya bekas Presiden Bill Clinton,  Howard Buffett, anak kapitalis agung, Warrent Buffett,  beberapa ahli ekonomi terkenal, seperti Joseph Stiglitz, dan bahkan menurut tinjauan, mendapat sokongan  lebih satu pertiga orang ramai,  sebaliknya  The Wall Street Journal memperlihatkan pendiriannya yang mengundang beberapa kritikan.  

Antara kritikan itu datangnya daripada ahli ekonomi yang terkenal, Jeffrey Sachs yang menulis "mesej kepada Wall Street" yang mengkritik kejahilan The Wall Street Journal yang memperlekeh gerakan massa itu.  Bagi Sachs, akhbar itu kelihatan keliru sama sekali dalam keghairahan untuk mempertahankan ketamakan tuannya.  Tambah beliau, mungkin akhbar ini lupa menyatakan beberapa perbuatan tidak beretika beberapa ahli perniagaan dan korporat kerana akhbar ini juga terlibat dalam skandal penggodaman telefon di United Kingdom.  

"Meskipun penunjuk perasaan bukan golongan kaya," tulis Sachs, "mereka berasa mual terhadap korporat yang terus-menerus melobi yang membawa kepada pembatalan kawal selia yang semborono dalam pasaran kewangan; mereka mual terhadap Wall Street dan The Wall Street Journal yang meminta bertilion dolar pinjaman yang kadar faedah hampir sifar dan wang pelan penyelamat untuk bank-bank, tetapi kemudian menentang insurans pengangguran dan perindungan kesihatan yang terjejas akibat krisis kewangan; mereka berasa mual terhadap kadar faedah yang rendah yang tidak munasabah untuk para pengurus dana lindung nilai; mereka berasa mual terhadap Rupert Murdoch dan konconya David Koch yang mencuba menjajakan saluran paip minyak dari Kanada ke Gulf Keystone."

Akhbar itu juga menerbitkan makalah Douglas Schoen yang melaporkan beberapa tinjauannya tentang penunjuk perasaan  Menduduki Wall Street, yang membangkitkan persoalan adakah akhbar itu memberikan gambaran yang tepat?

Memang  elit Wall Street, termasuk The Wall Street Journal,  tidak berasa senang dengan Menduduki Wall Street,  lalu  mereka menggelarkan penunjuk perasaan itu tidak cangggih, tidak bijak, dan dengan beberapa gelaran yang lebih keras. Hal ini demikian kerana penunjuk perasaan bertindak balas terhadap golongan kaya, atau memperlihatkan keberangan mereka terhadap golongan elit politik tradisional. 

Bagi sesetengah masyarakat Malaysia yang membaca The Wall Street Journal dapat memahami kecenderungan akhbar ini, terutamanya dari segi politik jika diikuti penulisan oleh John R. Malott yang muncul sekali-sekala.  Misalnya, dalam makalahnya yang muncul Februari lalu, "The Price of Malaysia's Racism" bekas duta besar Amerika Syarikat ini   seolah-olahnya menggambarkan bahawa rasisme berleluasa di Malaysia, sedangkan hal yang sama berlaku, bahkan lebih teruk di negaranya sendiri.  Demikian juga dengan persengketaan agama yang beliau dedahkan, yang seakan-akan tidak berlaku di Amerika Syarikat, sedangkan agama kian memenuhi dataran awam.  Dalam persengketaan agama ini, beliau cenderung menyalahkan orang Islam; sedangkan jika berlaku persengketaan agama dan kaum, mana-mana pihak yang terlibat wajar dipersalahkan.  Untuk menunjukkan betapa kerap persengketaan berlaku di Malaysia, Malott membangkitkan demonstrasi kepala lembu di Shah Alam pada September  2009.  Dua bulan kemudian, tambah beliau, Datuk Seri Dr. Ahmad Zaid Hamidi, Menteri Pertahanan memberitahu Dewan Rakyat bahawa satu alasan kaum lain tidak berminat menyertai angkatan tentera kerana mereka "tidak mempunyai semangat patriotik."  

Padahal, selang masa antara kedua-dua peristiwa adalah kira-kira setahun dan bukannya dua bulan, iaitu Ahmad Zaid memberitahu Dewan Rakyat dalam sesi terakhir sidang tahun 2010 - selepas pembentangan Belanjawan 2011.  Jika seseorang itu tidak mengetahui fakta yang sebenar, dia bukan sahaja boleh dianggap tidak layak untuk berbicara sesuatu perkara, tetapi juga boleh dianggap berbohong. 





Saturday, October 22, 2011

KDNK per Kapita Mengikut Negeri, 2006 - 2010

SABTU,  22  Oktober 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH






Meskipun  Utusan Malaysia memberikan liputan tentang Himpun, di bahagian dalam akhbar itu terkandung suatu maklumat yang menarik perhatian saya, iaitu  Operasi Banci Ekonomi 2011 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Yang antaranya mengandungi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per Kapita Mengikut Negeri, 2006 - 2010 (pada harga semasa, RM).  

Daripada 15 buah negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, sejak tahun 2006 hingga 2010, KDNK per kapita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah yang teratas; untuk tahun 2010 KDNK per kapita ialah RM55,951, manakala Kelantan yang terendah, RM8273.  Sementara Pulau Pinang menduduki tempat kedua tertinggi, iaitu RM33,456, diikuti oleh Sarawak, dengan RM33,307, dan seterusnya Selangor, dengan RM31,363.  Jika dibandingkan dengan 2006, setiap negeri menunjukkan peningkatan KDNK per kapita pada 2010.  


Pada tahun 2009, akibat kemelesetan,  KDNK per kapita semua negeri, kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, mengalami kejatuhan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, iaitu tahun 2008.


Namun, agak memeranjatkan bahawa Perak yang pernah dianggap "negeri maju," tetapi KDNK per kapita tahun 2010 ialah RM16,088, lebih rendah daripada Wilayah Persekutuan Labuan (RM29,116), Negeri Sembilan (RM27,485), Melaka (RM24,697), Pahang (RM22,743), Johor (RM20,911), dan bahkan Terengganu (RM19,225) serta Sabah (RM17,242). 


Tentang KDNK per kapita negeri kelahiran saya, iaitu Terengganu yang boleh dikatakan masih rendah secara relatifnya, saya sering tertanya-tanya apakah hasil mahsul negeri, iaitu minyak tidak dimanfaatkan untuk memajukan negeri itu dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyatnya? 


Setiap kali saya pulang ke kampung halaman saya, kalau saya tidak memandu sendiri, saya akan gemar memerhatikan dari Kemaman ke Kuala Terengganu, masih terdapat rumah yang terlalu uzur, yang mencerminkan kedaifan penghuninya. Sepanjang perjalanan itu juga saya melihat penduduk tempatan yang menjaja di gerai yang ala kadar, menjual air nira, tembikai, jagung, madu lebah, dan sebagainya.  Terlintas dalam kepala saya, mengapa kerajaan negeri tidak menyediakan gerai tersusun supaya mereka boleh menjaja dengan sempurna dan sekali gus memberikan nilai ditambah kepada barang yang mereka jual, seperti penjualan lemang di Kijal.  


Bahkan, gerai yang menjual jenama Terengganu yang terkenal, seperti kain batik,  keropok,  dan hasil laut, masih "kurang menarik," meskipun gerai berkenaan elok sedikit daripada gerai yang dinyatakan di atas.  


Memang saya akur bahawa dari segi politik, sejak tahun 1999, pucuk pimpinan negeri sering berubah.  Mungkin tidak banyak yang setiap Menteri Besar dapat lakukan, daripada Abdul Hadi Awang kepada Idris Jusoh kepada Ahmad Said.  Namun, ada seorang Menteri Besar yang menerajui Terengganu selama 25 tahun sehingga beliau ditumbangkan  oleh rakyat Terengganu sendiri. 


Yang sering menimbulkan kemusykilan dalam diri saya:  Apakah Menteri Besar berkenaan lakukan selama suku abad? Perlu dinyatakan bahawa sebaik-baik sahaja beliau menjadi Menteri Besar, hasil minyak ditemui, dan dengan itu, Terengganu tidak lagi bergantung pada kelapa sawit semata-mata dan tidak lagi bergantung pada bijih besi yang pupus. 


Saya percaya bahawa untuk meningkatkan KDNK per kapita negeri, sesungguhnya bergantung pada kedinamikan dan keprogresifan pucuk pimpinan setiap negeri.  Tanpa menafikan bahawa  memang ada negeri yang  "bernasib baik" kerana mempunyai hasil mahsul, dan ada negeri yang mempunyai kelebihan kerana adanya  infrastruktur yang boleh menarik para pelabur.  


KDNK per kapita tersebut  juga mencerminkan pembangunan tidak seimbang dan jurang agihan pendapatan yang luas antara negeri di Malaysia - sesuatu yang tidak wajar dibiarkan berterusan.  


Suatu persoalan di sini, berapa banyak negeri yang KDNK per kapita masing-masing mengatasi KDNK per kapita Malaysia?



Friday, October 21, 2011

Gaddafi Tumpas: Siapakah Pemenang?

JUMAAT, 21 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Semalam melalui stesen televisyen dan melalui Internet tersebar berita kematian Kolonel Muammar Gaddafi.  Berita yang bercanggah melaporkan bahawa Gaddafi yang ditawan di tempat kelahirannya, Sirte, dalam keadaan    berlumuran darah diarak untuk tontonan orang ramai.  Beliau dilaporkan ditawan  di dalam terowong kumbahan di kubu terakhirnya, selepas pertempuran sengit di sana, diheret tanpa belas kasihan. Laporan yang bercanggah ini, ditafsirkan sebagai ketidakstabilan Libya.  Dengan kematian itu, Gaddafi mengotakan segala katanya, iaitu berjuang ke titisan darah yang akhir.

"Gaddafi telah dibunuh.  Kita sekarang mesti melupakannya," tulis Alaa al-Almeri, yang mencadangkan inilah masa untuk membina semula Libya sehingga tidak wujud tanda bahawa Gaddafi atau keluarganya yang parasit dan rombongan pengirinya muncul semula.

Kematian Gaddafi menandakan berakhirnya era keganasan dan kekejaman, di Tripoli, seperti yang diperhatikan oleh Omar Abulqasim Alkikli, disambut dengan penuh kegembiraan dan keriangan.  Rakyat Libya, tulis Marc Ginsberg terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mencipta hari amat gembira itu sejak pemberontakan mereka bermula pada pertengahan Februari.  Namun, Richard N. Haass, melihat kematian itu sebagai bermulanya bahagian keras Libya kerana pertempuran antara tentera Majlis Peralihan Kebangsaan dengan tentera yang setia pada bekas rejim itu masih berterusan.  Tambah beliau, yang lebih penting, perjuangan untuk masa depan Libya mesti diteruskan.

Pastinya, Perdana Menteri David Cameron dan Presiden Nicolas Sarkozy meraikan kematian Gaddafi, yang menandakan usaha mereka berbulan-bulan akhirnya membuahkan hasil.  Bagi Presiden Barack Obama, seperti yang dibahaskan oleh David  Ignatius, beliau mengambil tindakan yang betul melalui zon larangan terbang yang diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditambah dengan lobi di PBB untuk mengambil "langkah yang perlu" melindungi rakyat Libya.  Obama juga mengambil pendekatan "penglibatan terhad" Amerika Syarikat dalam melaksanakan serangan terhadap Libya.  

Untuk seketika, pastinya penulisan sarat dengan Gaddafi, dari tempoh beliau berkuasa, kebangkitan rakyat, serangan Nato, kejatuhan Tripoli, hingga kepada kematian beliau.  Pastinya, banyak kutukan dan kecaman ditujukan kepada beliau.  Namun, seperti yang diperingatkan oleh Robert Fisk dalam Independent hari ini, "anda tidak boleh menyalahkan Gaddafi kerana memikirkan dirinya orang baik."  Tambah Fisk, "Kita menyanyanginya.  Kita membencinya.  Kemudian, kita menyanyangi sekali lagi."

Sesungguhnya, Pemberontakan Arab memperlihatkan kekuatan yang luar biasa dengan tiga rejim tumbang, manakala beberapa yang lain terumbang-ambing menunggu giliran masing-masing.  Pemberontakan ini, sesungguhnya, bukan sekadar mengubah  dunia Arab, tetapi juga turut mencorakkan landskap dunia.  "Jalan Arab" kelihatan di mana-mana sahaja, manakala musim bunga Arab mekar dan harum di seluruh dunia.  Jika beberapa bulan lalu, Pemberontakan Arab dikatakan menempuh jalan buntu, dan seakan-akan berkubur,  kini pemberontakan popular itu memperoleh rentaknya semula.  Siapakah yang seterusnya menjadi mangsa?







Euro Terus Bergolak

JUMAAT,  21  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Lebih setahun krisis hutang melanda zon euro dan sebuah demi sebuah negara menerima kesan jangkitannya, dari Greece ke Ireland dan seterusnya ke Portugal, Sepanyol, dan Italy.  Daripada PIGS (Portugal, Ireland, Greece, Sepanyol) kepada PIIGS (Portugal, Ireland, Italy, Greece, Sepanyol).  Pertemuan demi pertemuan diadakan yang melibatkan Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan yang terbaharu G-20 di Perancis  minggu lalu.  Tidak kurang pertemuan antara dalam Kesatuan Eropah itu, khususnya antara Canselor Angela Merkel dengan Presiden Nicolas Sarkozy.  

Namun, seperti yang diungkapkan dengan tepat oleh Damian Reece, "Eropah terus sakit,   tetapi tiada ubat yang mujarab." Bukan sahaja tindakan  gagal   membuahkan hasil, tetapi juga boleh dikatakan tidak ada  tindakan sama sekali. 

Yang terbaharu, seperti yang dilaporkan, pelan penyelamat terpaksa ditangguhkan  akibat perselisihan pendapat antara Berlin dengan Paris.  Maka, sekali lagi Eropah terhumban ke dalam kancah kacau-bilau selepas gagal menyelesaikan perbezaan yang mendalam antara Perancis dengan Jerman, memakssa penangguhan pelan baru untuk menyelamatkan mata wang tunggal itu. 

Kenyataan bersama daripada Presiden Perancis dan Canselor Jerman itu mengakui bahawa urus janji pada hujung minggu kini tidak dapat dicapai dan bahawa perbincangan di Brussels pada Ahad ini akan disusuli oleh sidang kemuncak kedua pada Rabu ini.  Namun, ada ura-ura  bahawa Angela Merkel ingin menangguhkan sidang kemuncak itu, yang ditafsirkan oleh Larry Elliot, "suatu permainan yang bahaya."

Sementara itu, parlimen Greece meluluskan pelan jimat-cermat di tengah-tengah tunjuk perasaan yang melibatkan kematian penunjuk perasaan.  Dalam demonstrasi yang terbaharu di Athens ini, 500,000 penunjuk perasaan yang terlibat, terbesar dalam sejarah.  "Greece berpecah kepada dua," menurut pemerhatian  Costas Douzinas.  Di satu belah ialah ahli politik, banker, dan penceroboh cukai dan raja media yang menyokong penyusunan semula  kebanyakan keganasan sosial yang dipacu oleh kelas dan  budaya Eropah Barat yang pernah wujud.   Greece "yang lain" termasuk golongan majoriti penduduk yang mengadakan demonstrasi terbaharu di Athens, melibatkan 500,000 penunjuk perasaan, terbesar dalam sejarah.  Akibat krisis hutang, garis pemisah di Greece semakin jelas.


Luka yang dalam semakin dalam apabila Standard & Poor's (S&P) mengeluarkan amaran bahawa kemelesetan curam berganda di Eropah akan membahayakan penarafan AAA Perancis dan bersiap sedia untuk menurunkan gred satu demi satu negara di Eropah Selatan.  Tindakan agensi penarafan itu dijangkakan melemahkan strategi krisis hutang Kesatuan Eropah.

Gaddafi Mati Dibunuh

JUMAAT, 21 Oktober  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kira-kira dua bulan selepas kejatuhan Tripoli, namun  Muammar Gaddafi masih bersemangat  untuk berjuang hingga ke titisan yang akhir.  Pada hari Khamis 20 Oktober, Perdana Menteri Libya, Mahmoud Jibril mengumumkan  bahawa bekas diktator itu mati dibunuh di bandar kelahirannya, Sirte yang diserang oleh pejuang, selepas lapan bulan berlakunya pemberontakan di negara itu.  

Beliau dilaporkan mati akibat luka di kepala dan kakinya, tetapi tidak jelas, sama ada beliau terkorban dalam serangan udara Nato terhadap konvoi yang meninggalkan Sirte, pertempuran di darat, atau di dalam terowong konkrit di bandar itu sendiri.  Walau bagaimanapun, pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan, dipetik sebagai berkata, "Gaddafi mati selepas ditembak di kepala dan kaki cuba melarikan diri dari Sirte dalam konvoi yang menjadi sasaran pesawat Nato. Juga dilaporkan wujud laporan yang bercanggah tentang penangkapan dan pembunuhan Gaddafi. 

Dalam sidang akhbar di Tripoli itu, Perdana Menteri sementara berkata, "Kami menunggu detik begitu lama.  Muammar Gaddafi dibunuh." 

Pegawai Amerika Syarikat berkata para pemimpin Libya mengesahkan kematian Gaddafi kepada pihak Washington, pada pukul 3.15 petang, waktu United Kingdom.  Sebelum ini, gambar menunjukkan apa yang dikatakan mayat dan Gaddafi yang berdarah muncul di kaca televisyen ketika pegawai Nato dan Amerika Syarikat cuba mengesahkan kematiannya.  Sesetengah menunjukkan mayat itu diheret di seluruh jalan di Sirte.  Anaknya, Muatassim juga dilaporkan dibunuh atau ditawan di Sirte, manakala seorang lagi anaknya, Saif al-Islam dikatakan melarikan diri.



Dengan kematian itu, berakhirnya pemimpin autokrat yang paling lama, dan yang digambarkan melakukan pelbagai kekejaman.  Beliau memerintah lebih 40 tahun dan mengheret negaranya yang kaya dengan minyak kepada status paria.  Tulis Caryle Murphy dan Tara Bahrampour dalam The Washington Post sebaik-baik sahaja Gaddafi diumumkan mati dibunuh.  


Dengan kematian Gaddafi, adakah zaman berlumuran darah akan berakhir?

Thursday, October 20, 2011

Merisik Linguistik

JUMAAT,  21 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bahasa, seperti yang pernah ditulis oleh David McNally, bukannya rumah penjara, tetapi tapak perjuangan (language is not a prison-house, but a site struggle).  Dalam makalahnya yang diterbitkan dalam  In Defense of History:  Marxism and the Postmodern Agenda (diedit oleh Ellen Meiksins Wood dan John Bellamy Foster), McNally juga mengatakan, “di mana-mana jua yang perjuangan mungkin ditempatkan, bahasa akan ditemui di sana sebagai sebuah sfera yang di dalamnya pengalaman sosial dihidupkan.  Dan bagi mereka yang berjuang demi pembebasan daripada penindasan dan eksploitasi akan sentiasa menemui dalam kata bahasa, makna, tema untuk penyataan, penjelasan, dan penyelarasan perjuangan mereka demi dunia yang lebih baik.”

            Bagi sesiapa yang pernah membaca tulisan  McNally tentang bahasa dan perjuangan itu, pastinya tidak berasa terperanjat apabila pada akhir Mei lalu, seperti yang ditulis oleh  Alexis Madrigal dalam The Atlantic, “Why Are Spy Researchers Building a ‘Metaphor Program’?”  bahawa pasukan penyelidikan yang kecil dalam organisasi perisikan kerajaan Amerika Syarikat mahu memahami bagaimana penutur bahasa Parsi, Rusia, Inggeris, dan Sepanyol melihat dunia dengan membina perisian yang secara automatik menilai penggunaan metafora mereka. Setiap penutur dalam setiap bahasa di dunia menggunakan metafora dengan mudah sekali, dan Intelligence Advanced Research Projects Activity  (IARPA) mahu mengetahui apa yang kita  katakan itu mencerminkan pandangan dunia kita.  Dikenali sebagai Program Metafora, suatu usaha unik dalam kerajaan untuk membuktikan bagaimana bahasa orang ramai mendedahkan minda mereka.  Program yang menggunakan teknologi komputer untuk menganalisis data, melibatkan pasukan penyelidikan yang terkemuka dan memakan peruntukan yang agak besar.
            Dalam tulisannya itu, Alexis Madrigal memetik jurucakap IARPA yang antaranya berkata, “Program Metafora ini akan mengeksploit fakta bahawa metafora merebak dalam percakapan setiap hari dan mendedahkan kepercayaan dan pandangan dunia yang mendasari anggota sesebuah budaya.”  IARPA dilaporkan mahu beberapa orang ahli sains komputer dengan pengalaman dalam memproseskan bahasa dalam bahagian yang sangat besar datang dengan kaedah menarik keluar perhubungan budaya dengan konsep tertentu. 
Beliau juga memaklumkan  pandangan Benjamin Bergen, ahli sains kognitif di University of California, San Diego, yang memberitahu beliau, “Mereka benar-benar mencuba untuk mendapatkan apakah yang orang ramai fikirkan dengan menggunakan bagaimana mereka bercakap.”  Bergen ialah salah seorang berbelas-belas atau lebih penyelidik terkemuka yang dijangkakan bersaing untuk mendapatkan geran penyelidikan yang boleh bernilai berpuluh-puluh juta dolar sepanjang lima tahun, jika imbasan pasukan itu menunjukkan kemajuan ke arah secara automatik membubuhi dan memproseskan metafora merentasi bahasa.  Bergen mengakui masalah metafora adalah khususnya sukar kerana kita bahkan tidak apakah jawapan yang betul untuk pertanyaan yang kita kemukakan. 
“Jika anda fikir tentang jenis automasi prosesan bahasa, memang ada jawapan yang betul,” kata Bergen.  “Dalam mengenal pasti pertuturan, anda tahu apakah perkataan yang sepatutnya.  Justeru, anda boleh melakukan pembelajaran stastitik.  Anda menggunakan manusia, membubuhi korpus dan kemudian menggerakkan beberapa algorithma pembelajaran mesin tentang perkara itu.  Malangnya, di sini kita tidak tahu apakah jawapan yang betul.” 
Berikutan pemakluman program tersebut,  muncul beberapa penulisan, salah satu daripadanya, Robert  Bolton melalui blog  ideacouture.com “The Spy Poets:  IARPA’S New Metaphor Program” yang memulakan penulisan dengan memetik Aristotle, “Perkara yang paling besar setakat ialah untuk menjadi orang yang mahir metafora (master of metaphor)... Ini merupakan tanda genius, kerana metafora yang baik membayangkan tanggapan intuitif persamaan dalam tidak serupa.” Beliau juga menyatakan mandat rasmi Program Metafora:  “Mengeksploitasikan penggunaan bahasa metafora untuk memperoleh wawasan yang mendasari kepercayaan budaya dengan membangunkan dan menerapkan metodologi yang mengautomatikkan analisis bahasa yang mengandungi metafora.”
Bagi Bolton, metafora yang indah dan linguistik digunakan untuk melahirkan apa yang tidak boleh dinyatakan dalam bahasa biasa.  Metafora itu digunakan dalam pertuturan  biasa untuk menyatakan idea yang kompleks atau abstrak, dengan itu, mempunyai makna bahawa analisis metafora linguistik akan digunakan untuk mengeluarkan apa yang orang tidak boleh (atau enggan) menyebut   secara  terang.  Beliau  menyatakan bahawa bagi IARPA, metafora yang anda pilih dalam pertuturan dan penulisan menentukan dan ditentukan oleh kepercayaan yang dinyatakan dan tidak dinyatakan.  Pilihan untuk menggunakan metafora yang berbeza mencerminkan pendirian yang berbeza.
Bolton juga mengemukakan contoh rujukan ringkas Program Metafora, iaitu kajian yang memberi peserta dengan laporan tentang jenayah di kota. “Laporan itu mengandungi statistik, termasuk kadar jenayah dan pembunuhan, di samping satu daripada dua metafora, JENAYAH SEBAGAI BINATANG BUAS atau JENAYAH SEBAGAI VIRUS.  Peserta dipengaruhi oleh metafora tertanam.”  Mereka yang membaca metafora binang berkemungkinan besar mencadangkan lebih banyak polis dan penjara, manakala mereka dalam kumpulan virus  lazimnya mencadangkan menyiasat  punca dan mewujudkan program komuniti. Menurut taklimat IARPA itu, metafora berkait dengan afek.  Dan afek mempengaruhi kelakuan.
Secara harfiah, dari Greek, Bolton menjelaskan bahawa metafora bermaksud pemindahan. “Kita memindahkan kualiti satu benda  kepada yang lain – sesuatu yang biasanya tidak dianggap berkait dengan benda pertama.”  Program IARPA melabelkan dua bahagian dari segi sumber metafora (penyataan yang mengandungi metafora) dan sasarannya (perkara atau benda yang ditafsirkan.  “Penyair menyebutnya masing-masing wahana (vehicle) dan tenor,”  jelas beliau, disusuli dengan  memetik ungkapan yang terkenal:  “Dunia ini sebagai pentas, manusia hanyalah pelakon; mereka mempunyai pintu keluar mereka dan pintu masuk mereka.”  Justeru, kualiti pentas dipindahkan kepada dunia.  Perkara, iaitu  “dunia” ialah tenor atau sasaran, benda yang mengalami pemindahan.  “Pentas” ialah wahana atau sumber yang membawa kualiti yang dipindahkan.
Kritikan terhadap program IARPA ini datangnya daripada Michael Rosen yang menulis dalam guardian.co.uk, “Shakespeare:  The Metaphorical Terrorist” yang menegaskan  bahawa apabila agen Amerika Syarikat menganalisis bahasa dunia untuk Program Metafora, mereka mungkin membuat kesimpulan yang menakutkan.  “Mungkin agen program ini tidak mahu mahu mengehadkan diri mereka pada metafora kerana perkataan tertentu itu selalu digunakan metonymically untuk keseluruhan bahasa kiasan, iaitu perumpamaan, simbol atau sesungguhnya mana-mana penggunaan bahasa yang kelihatan berdiri untuk  sesuatu yang lain atau mewakili sesuatu yang lain,” tegas Rosen.  “Hal itu sendiri bukan perkara mudah, seperti yang akan lihat, tetapi biarkan program ini berdiri untuk seketika.”

Rosen yang seakan-akan meragui kebolehlaksanaan program tersebut, menulis:  “Hamba kepada perjuangan Amerika Syarikat akan mampu membawa tuan mereka dalam perjalanan sepanjang hutan cadangan, resonans, dan kekaburan dalam usaha pencarian mereka untuk menemui sistem nilai dalam penggunaan metafora penutur dan penulis.”  Beliau juga mengingatkan bahawa kita selalu menggunakan perkataan ruang dan masa dengan kurang mempedulikan, sama ada kita benar-benar maksudkannya. 
Sebagaimana Rosen, Natasha Stone yang menulis dalam blog Learning Consultancy Partnership (LCP), “Why Are US Spies Building ‘Metaphor Program’?” cuba membangkitkan masalah dari segi bahasa yang mungkin menjejaskan Program Metafora itu.  Jika perisikan Amerika Syarikat mampu menganalisis penggunaan metafora, bukan hanya mampu memahami penyataan yang digun akan yang penterjemahan automatik akan terlepas secara keseluruhan, tetapi juga memahami bagaimana budaya mentafsirkan dunia.
“Tidak memeranjatkan,” tulis Natasha, “berita rancangan kerajaan Amerika Syarikat mengganggung banyak pihak, meskipun skop projek itu berpotensi memecah tanah, rancangan itu tidak akan mendedahkan apa-apa yang baru atau apa-apa rahsia.  Membangunkan kesedaran bagaimana bahasa membentuk kefahaman kita tentang dunia adalah sangat kuat, bukan hanya untuk kerajaan, tetapi juga untuk individu.”
Lama dahulu, iaitu pada tahun 1946, George Orwell menulis dalam majalah Horizon yang elok juga dipetik secara ringkas di sini bahawa  banyak perkataan disalahgunakan. Perkataan, seperti demokrasi, sosialisme, kebebasan, patriotik, realistik, dan keadilan,  mempunyai beberapa makna yang berbeza yang tidak boleh  diselaraskan antara satu sama lain.  Perkatan lain digunakan dalam makna yang berubah-ubah, dalam kebanyakan keadaan lebih atau kurang ketidakjujuran ialah kelas, totalitarian, sains, progresif, reaksionis, borjuis, dan kesamaan. Perkataan jenis ini selalunya digunakan dengan sedar secara tidak jujur. 
Meskipun  sepintas lalu, Program Metafora itu bertujuan perisikan, sekurang-kurangnya program itu menunjukkan  bahawa pentingnya bahasa.  Hakikatnya, kata yang ditutur bukan sahaja mengandungi maksud tersurat dan tersirat, bahkan juga mencermikan pandangan penuturnya tentang dunia.  Tatkala ahli bahasa dan ahli linguistik kita  asyik bertelagah tentang tatabahasa, antaranya “ialah” atau “adalah,” “baru” atau “baharu” atau sekadar menghangat sesuatu yang sudah basi,   program IARPA  melangkah  jauh, iaitu menyelongkar metafora dalam sesuatu bahasa.
Sesungguhnya, dunia bahasa terlalu luas, tetapi malangnya di tanah air kita, bahasa Melayu selalu dipasung dengan persoalan remeh hingga menyebabkan bahasa ini sukar untuk berkembang.  Mungkin kita boleh mempelajari sesuatu yang berguna daripada Program Metafora itu untuk memajukan bahasa Melayu.
(Nota:  Makalah asal tulisan yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Ogos 2011.)

Wednesday, October 19, 2011

Kadar Pertukaran Asing: 1000 untuk 1

RABU,  19 Oktober 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Majalah Time dalam keluaran 24 Oktober, dalam ruangan "Briefing" menyatakan kedua-dua pihak, iaitu Israel dan Hamas mendakwa bahawa mereka menang selepas mencapai persetujuan untuk menukar tentera Israel, Gilad Shalit yang ditawan pada tahun 2006 dengan kira-kira-kira 1000 orang banduan Palestin yang ditahan oleh Israel.  Kebebasan Shalit dijangkakan meningkatkan lagi sokongan dalam negara terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. 

"Saya telah membawa anak saya pulang ke rumah," Netanyahu dilaporkan memberitahu Noam Shalit pada hari Selasa 18 Oktober semalam, ketika Noam dan  anaknya berpeluk-pelukan untuk kali pertama sejak lebih tahun lalu.  "Warga Israel," beliau mengisytiharkan, "Misi dicapai... pada detik ini, pemimpin mendapati dirinya keseorangan dan mesti membuat keputusan.  Saya mempertimbangkan dan saya membuat keputusan."

Kepulangan Shalit itu disambut secara besar-besaran di Israel.  Timur Tengah menyaksikan hari rasa sangat gembira, menurut kata-kata Hariet Sherwood, dan tangisan di kedua-dua belah pihak yang berpecah belah itu.  "Meskipun kadar pertukaran itu tidak adil," tulis Uri Dromi, "Israel menjadi lebih kerana pertukaran tindakan itu.  Pada masa yang sama, banyak orang Israel berasa bahawa walaupun nyawa Shalit selamat, nyawa orang lain akan terancam." Shalit dikatakan menjadi anak setiap keluarga di Israel, dan mereka mahu dia pulang semula. "Israel sangat gembira, sangat gembira," tulis Karl Vick dalam Time, dengan menambah. dari segi realiti, Israel  perlu membayar harga  untuk  membebaskannya: 1027 orang banduan Palestin dijadikan pertukaran dengan hanya seorang askar.


Tolak ansur Hamas itu juga dilihat sebagai tanda harapan untuk di rantau yang bergolak itu  kerana hakikatnya, memang sukar untuk kedua-dua pihak, iaitu Hamas dan Israel untuk bertolak ansur.  Lebih-lebih lagi Hamas dianggap sebagai pertubuhan pengganas oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom.  Pastinya, persetujuan antara kedua-dua pihak itu, dalam kata-kata Robert Fisk agak aneh kerana "kerajaan demokratik tidak berurusan dengan pengganas sehingga mereka sendiri melakukannya."  Pertukaran  banduan itu dengan Israel, seperti yang dinyatakan  dalam The Washington Post, "memberanikan Hamas, yang mengisytiharkan cuti umum pada hari Selasa itu."  


Lebih daripada itu, seperti yang dibangkitkan dalam editorial The New York Times, kalau Netanyahu boleh berunding dengan Hamas, mengapa beliau tidak boleh berunding dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang baru-baru ini memohon taraf negara untuk Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  Meskipun kebanyakan rakyat Israel menyokong pertukaran Shalit itu, bagi pengkritik, ini satu lagi contoh para pemimpin Israel tiada wawasan strategik.   Pertukaran itu diperhatikan  memecahbelahkan pendapat awam terhadap Netanyahu. 

Pastinya, sesuatu yang menarik ialah persetujuan dicapai  antara Israel dengan Hamas tatkala Israel dikatakan kian terasing di Timur Tengah.  Dan, tatkala Palestin memohon taraf negara yang dengan usaha tersebut populariti Presiden Mahmoud Abbas meningkat. Khusus untuk Israel, terutamanya Benjamin Netanyahu,  kalau tanpa sebab "masakan tempua bersarang rendah."  Secara tersirat, beliau cuba memperlekeh bukan sahaja Mahmoud Abbas, tetapi juga menempelak Presiden Barack Obama yang menurut pemerhatian banyak pihak, tidak sehaluan dengan beliau.






Monday, October 17, 2011

Panik Berlalu, Krisis Masih Membeku

SELASA, 18 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila  Lehman Brothers, firma yang berusia 158 tahun yang dibebani hutang bernilai AS$60 bilion diisytiharkan bankrap pada 15 September 2008, pasaran saham Amerika Syarikat, Eropah, dan Asia-Pasifik lintang-pukang, berwajah muram,  dan    putus asa. Kata-kata yang  paling sesuai,  raksasa  baham  Wall Street. Kekejaman September  terus melanda  pasaran saham pada bulan berikutnya,  belum menunjukkan tanda bila  akan reda.  Gelombang jualan panik merentas dunia apabila   para peniaga yang dihantui ketakutan  kemelesetan melambakkan saham mereka.

              Dengan merujuk kepada kejatuhan pasaran saham pada 6 Oktober,  Sean O’Grady, dalam akhbar The Independent memberikan gambaran yang amat tepat:  “Hari ketakutan melanda pasaran.”  Tegas editor ekonomi akhbar itu lagi, “Takut.  Jika ada satu perkataan untuk merumuskan pasaran kewangan dunia semalam, takut paling sesuai.  Tidak ada orang yang ingin membeli saham, dan  sekali lagi, tidak ada orang yang ingin meminjamkan wang mereka.” “Ribut ini,” tegas Sean O’Grady, “tidak menunjukkan tanda akan reda.” 
Krisis kewangan global mengheret dunia ke kancah kemelesetan dan kemungkinan berlakunya Kemelesetan Besar sekali lagi.  Kebanyakan negara berhempas pulas untuk menyelamatkan ekonomi masing-masing: daripada pelan penyelamat kepada pakej  rangsangan, daripada penurunan kadar faedah kepada pemiliknegaraan, daripada kemunculan semula kawal selia kepada   fahaman perlindungan, daripada Kerajaan Kecil kepada Kerajaan Besar. 
Di peringkat antarabangsa, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, G-8, dan G-20  mengadakan pertemuan demi pertemuan untuk menyelamatkan dunia daripada terus terjebak dalam  krisis yang cukup dalam ini. Mengikut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg, institusi kewangan di seluruh dunia mengumpulkan kerugian lebih AS$1.4 trilion ketika krisis kewangan.  Di Eropah, kerajaan dan bank pusat terpaksa menampung AS$5.2 trilion dalam bentuk jaminan dan pembiayaan. Niall Ferguson, ahli sejarah di Harvard University meramalkan bahawa akibat krisis kewangan,  banyak negara Eropah akan jatuh muflis. 

Tatkala perasaan bimbang menghantui banyak pihak,  kapitalisme Inggeris-Amerika pula  dihadapkan ke muka perbicaraan.   Dalam kalangan penyokong pasaran bebas timbul kekhuatiran  bahawa penguasaan ideologi pasaran bebas yang berjaya  mengetepikan peranan kerajaan dalam ekonomi hingga ke hari ini, iaitu  hasil  Revolusi Reagan pada tahun 1980-an akan  berakhir. Juga  wujud   kemungkinan bahawa  di sesetengah negara, kemelesetan mencetuskan revolusi.
Setelah beberapa bulan mengharungi pancaroba, sinar harapan mula kelihatan.  Dengan memetik kata-kata Presiden Amerika, Barack Obama, “kita mula menahan kemelesetan dan keadaan paling dahsyat mungkin di belakang kita” yang merujuk kepada jumlah bersih kehilangan pekerjaan 247,000 orang pada bulan Julai berbanding 443,000 orang Jun ketika Amerika  bertungkus-lumus untuk keluar daripada kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Data terbaru menunjukkan bahawa Jerman dan Perancis dua penjana zon euro mengalami pertumbuhan semula pada suku tahun kedua, manakala Hong Kong berjaya merangkak keluar daripada kemelesetan yang melanda setahun apabila pada suku tahun kedua, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kota itu meningkat 3.3 peratus yang terselaras secara musim dari suku tahun sebelum ini yang jatuh sebanyak 4.3 peratus.
Jatuh bebas dan  lintang-pukang yang mewarnai  pasaran saham mula berubah, meskipun sesetengah pengulas dan ahli ekonomi berasa pesimistik.  Dan, pesimistik ini  pada mulanya berasas kerana pada Mac tahun ini, kebanyakan pasaran mengalami kejatuhan jika dibandingkan dengan awal tahun.  Hanya sejak bulan berikutnya, pasaran mula menunjukan tanda-tanda pemulihan dan menempa kerancakan.  Walau bagaimanapun,   rentak ini tidak dapat bertahan pada bulan Jun dan   dikatakan kejatuhan  ini sebagai pembetulan.
Pada  bulan Julai, prestasi beberapa pasaran dunia cukup menakjubkan. KDNK China sebanyak 7.9 peratus pada suku tahun kedua – lebih tinggi daripada yang dijangka,  membantu meningkatkan sentimen para pelabur.  Pada pertengahan  Julai, FBM KLCI      mencecah tahap 1,100 mata kali pertama sejak Ogos tahun lalu.  Pada bulan ini juga  Hang Seng  mengatasi paras 20,000 mata, kali pertama sejak keruntuhan Lehman Brother apabila Hang Seng jatuh 43 peratus, manakala  Nikkei  mengatasi paras 10,000 mata, kali pertama sejak pertengahan Jun.
Pada 23 Julai Wall Street mempamerkan persembahan yang cukup menarik. Seawal urus niaga, kira-kira pukul 10.20 pagi waktu di sana, Purata Industri Dow Jones (Dow) mula memasuki wilayah 9,000 mata untuk seketika,  kemudian berundur sedikit.  Kira-kira 25 minit kemudian, Dow mencecah 9,030 mata.  Dalam kemaraan yang cukup dramatik ini, Dow ditutup pada 9,069.29  mata, meningkat 188.03 mata (2.12 peratus) – mencecah lebih 9,000 mata kali pertama sejak Januari 2009. 
Secara keseluruhannya,  beberapa pasaran dunia menunjukkan prestasi yang baik.  Dari awal Januari hingga  31 Julai,  dari segi peratusan, Komposit Shanghai meningkat paling tinggi, iaitu 81.42 peratus, diikuti oleh Komposit Jakarta (61.63 peratus) dan Sensex  sebanyak 58.23 peratus, manakala FBM KLCI yang menggantikan  KLCI mulai 6 Julai meningkat 31.37 peratus.  Namun begitu, dalam tempoh berkenaan, peningkatan Dow dan FTSE masih merangkak-rangkak, masing-masing 1.52 peratus dan 1.02 peratus (rujuk rajah). 
Mungkin terlalu awal untuk meraikan kemenangan dalam pertarungan sengit menentang krisis kewangan global dan kemelesetan. Malahan, di tengah-tengah kerancakan pasaran The Wall Street Journal dalam keluaran awal Ogos  mempercayai bahawa  keadaan ini hanya  larian lembu jantan tua, dan oleh itu,     larian   akan semput. 
 Meskipun krisis kewangan telah reda, tetapi ekonomi terus-menerus menjadi degil dan merupakan masalah yang rumit. Eropah, misalnya,  masih berhadapan dengan kemungkinan bahawa pemulihan adalah perlahan atau bahkan terhenti pada awal 2010 kerana usaha lambat untuk membaiki sistem perbankan di benua itu dan peningkatan pengangguran yang ketara. 
Nouriel Roubini, profesor ekonomi di New York University, semasa persidangan di Paris meramalkan krisis kewangan belum berakhir dan wujud risiko kemelesetan curam berganda (double-dip recession).  Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan,  Alan Greenspan semasa bercakap dalam program televisyen “This Week” ABC, memberikan amaran bahawa double dip atau kembali kepada pengecutan adalah pada tahap risiko kerana harga rumah belum lagi stabil.  Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner yang juga bercakap dalam program ABC itu  tidak menafikan ancaman double dip yang kini menjadi tumpuan pihak berkuasa  Amerika.
Dunia  berjaya menepis daripada berlakunya  Kemelesetan Besar,  tetapi  dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi atau lebih untuk pulih sepenuhnya. Meskipun saat-saat getir krisis ekonomi sudah berlalu,  tetapi dunia kini sedang berhadapan dengan kelembapan ekonomi yang berpanjangan.  Keadaan semasa yang dialami kini sama seperti “abad kegelapan” Jepun pada tahun 1990-an.  Demikian kata Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi ketika menyampaikan ucapan di Simposium Pasaran Modal Dunia di ibu negara baru-baru ini. ''Bagaimana mana dunia berjaya menempisnya? Tidak siapa yang boleh memberi jawapan kepada persoalan tersebut kerana  Tuhan sahaja yang tahu.”
Meskipun  pucuk hijau mula bertunas, namun berdasarkan  laporan tahunan Bank of International Settlements yang beribu pejabat di Basle,  para pembayar cukai di seluruh dunia dijangkakan masih berhadapan dengan kemungkinan menanggung kerugian yang besar kerana kerajaan gagal bertindak pantas untuk mengetepikan aset toksid daripada kunci kira-kira bank-bank utama.  Pemulihan diancam oleh aset toksid, dan meskipun berbulan-bulan tindakan terselaras di seluruh dunia untuk menstabilkan sistem perbankan, bahaya tersembunyi masih terhendap-hendap dalam institusi kewangan dunia.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  dalam World Economic Outlook Update  memaklumkan bahawa ekonomi dunia mula keluar daripada kemelesetan yang tidak pernah berlaku sejak era pasca-Perang Dunia Kedua, tetapi penstabilan tidak seimbang dan pemulihan dijangkakan lembap.  Pertumbuhan ekonomi dalam tempoh 2009-2010, kini diunjurkan kira ½ titik peratusan lebih tinggi daripada yang diunjurkan dalam World Economic Outlook bulan April 2009, mencecah 2.5 peratus pada tahun 2010. 
Ramalan terbaru  Bank Dunia menunjukkan bahawa pada tahun ini ekonomi dunia akan mengecut sebanyak 2.9 peratus dan memberikan amaran bahawa kejatuhan dalam pelaburan di negara membangun akan meningkatkan kemiskinan.  Perdagangan dunia dijangka menjunam sebanyak 9.7 peratus tahun ini, manakala jumlah KDNK bagi negara pendapatan tinggi mengucup sebanyak 4.2 peratus. Pertumbuhan ekonomi di negara membangun sepatutnya  perlahan, iaitu kepada 1.2 peratus.  Bank Dunia juga  menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia berlaku pada tahun depan dengan pengembangan dua peratus, lebih rendah daripada 2.3 peratus yang diramalkan sebelum ini. 
Pada pertengahan tahun ini, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, seperti yang dilaporkan dalam The Wall Street Journal, berkata bahawa meskipun tanda kemelesetan mungkin reda di negara kaya, tetapi  negara membangunan mengalami kejatuhan dalam eksport, kiriman wang, dan pelaburan asing.  Negara membangun kemungkinan memerlukan antara AS$350 bilion hingga AS$635 bilion dalam pembiayaan tahun 2009 untuk mengetepikan hutang. 
Dengan penegasan bahawa kemerosotan global berlaku dalam bentuk “gelombang” negara membangun sepatutnya memberikan tumpuan sekarang terhadap usaha membaiki sistem kewangan.  Bagi Zoellick, dalam gelombang pertama, krisis kewangan melanda Amerika dan Eropah.  Oleh sebab pasaran negara maju kering-kontang, maka gelombang kedua melanggar negara membangun. “Kini, gelombang ketiga melemahkan institusi kewangan di negara berkenaan,” kata beliau, “yang boleh mencetuskan gelombang keempat yang boleh melemahkan lagi institusi kewangan di Amerika danEropah.”
            Kira-kira dua bulan sebelum ini, Zoellick memaklumkan  bahawa krisis ekonomi boleh berubah kepada bencana.  “Krisis kewangan global boleh menjadi ‘bencana kemanusiaan dan pembangunan’ bagi banyak negara miskin. Negara membangun merupakan kawasan utama yang menghadapi akibat yang teruk terutamanya dengan krisis kewangan ini mengheret lebih 50 juta orang ke dalam kemiskinan yang amat teruk, khususnya wanita dan kanak-kanak.”  
Beliau  berkata beberapa ekonomi miskin dilanda oleh gelombang kedua dan ketiga krisis ini.  Tiada seorang pun yang tahu berapa lama krisis berakhir atau bilakah pemulihan akan bermula.  “Telah diakui secara meluas bahawa dunia menghadapi krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, golongan miskin akan menanggung penderitaan yang teruk dan kita mesti terus bertindak dalam masa sebenar demi mencegah malapetaka manusia.” 
Yang jelas, kemelesetan yang kelihatan berakhir masih ditemani oleh kadar pengangguran yang tinggi, dan krisis ini  tidak mudah  terungkai. Pengangguran mungkin terus meningkat, pemulihan akan perlahan, teragak-agak, dan berpatah balik. Dengan pengangguran meningkat, bermakna kesejahteraan psikologi makin teruk.
Menurut  Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kehilangan pekerjaan di seluruh dunia akibat kemelesetan yang bermula di Amerika Syarikat pada Disember 2007 boleh mencecah tahap yang memeranjatkan, iaitu 50 juta orang  pada akhir 2009. ILO juga menjangkakan pengangguran di Asia antara tahun 2008 – 2009 mencecah 7.2 juta orang.  Dikatakan daripada peguam di Paris kepada pekerja kilang di China dan pengawal peribadi di Colombia, golongan yang hilang pekerjaan merebak dengan pantas di seluruh dunia.
Kadar pengangguran yang tinggi, terutama dalam kalangan pekerja muda mencetuskan protes, seperti yang berlaku  di Latvia, Chile, Greece, Bulgaria, dan  Iceland dan menyumbang kepada mogok di  Britain dan Perancis. Seperti yang ditegaskan oleh  Ferguson:  “Banyak berlaku rusuhan di kota-kota besar pada tahun ini.  Jika anda tidak percaya kepada perundangan, anda akan melakukan rusuhan jalanan.” 
Di Amerika, walaupun  ekonomi mungkin semakin baik, tetapi peluang pekerjaan bergerak perlahan.  Para majikan yang memberhentikan pekerja pada tahun lalu tidak mahu tergesa-gesa mengambil pekerja hanya kerana kemelesetan pada penghujungnya.  Ahli-ahli ekonomi berpendapat bahawa pengangguran mungkin tidak akan kembali ke tahap yang baik hingga tahun 2013.  Kemelesetan telah meragut 6.7 juta pekerjaan di negara itu, dan 14.5 juta pekerja yang menganggur gagal mendapatkan pekerjaan. 
Oleh sebab satu dalam setiap 10 orang Amerika akan tanpa pekerjaan pada awal 2010, ahli ekonomi menjangkakan ini akan menggoncangkan keyakinan golongan yang masih bekerja dan tidak menggalakkan perbelanjaan. “Keadaan ini memerlukan masa hingga 15 tahun untuk membaiki sepenuhnya kewangan yang terjejas oleh kemerosotan dalam nilai rumah, saham, dan guna tenaga,” ulas Edmund Phelps, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi.  
Sementara pengangguran di Britain meningkat sebanyak 220,000 orang dalam tempoh tiga bulan hingga Jun 2009 menjadi 2.435 juta orang menganggur, tertinggi sejak tahun 1995.  Pejabat bagi Perangkaan Negara (Office for National Statistics) memaklumkan bahawa kadar pengangguran kini adalah 7.8 peratus daripada jumlah tenaga kerja.  Di negara ini, pengangguran dalam kalangan belia sangat membimbangkan kerana meningkat dengan pantas, dan dikatakan  kemelesetan akan mengakibatkan kehilangan generasi orang muda yang tidak dapat memasuki pasaran pekerjaan. 
Pengangguran di Jerman pada Julai meningkat 52,000 orang kepada 3.46 juta orang pada asas tidak selaras.   Kadar pengangguran di Jepun pada Mei  meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, apabila kadarnya meningkat kepada 5.2 peratus daripada lima peratus April.  Untuk negara lain, Sepanyol, pengangguran lebih empat juta orang dalam suku pertama tahun ini, dengan kadar pengangguran meningkat kepada 17.4 peratus pada akhir Mac.  Pengangguran di negara ini lebih sekali ganda daripada purata Kesatuan Eropah. 
Pada awal tahun ini, kadar pengangguran di Ireland ialah 8.2 peratus, Perancis 8.1 peratus, Greece 7.5 peratus, dan Kanada 7.2 peratus.  Kemelesetan di China menyebabkan 26 juta orang hilang pekerjaan, manakala    di Malaysia, angka terkini menunjukkan pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus pada akhir tahun ini berbanding 3.7 peratus tahun lalu.
Dari hari ke hari, orang ramai yang mendendangkan “kemelesetan berakhir” semakin banyak dan semakin nyaring.  Namun begitu, dengan merujuk kepada Amerika, Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, mengingatkan bahawa penggubal dasar dan ahli ekonomi yang berasa optimis pada hari ini berhadapan dengan risiko keraguan tentang pengakhiran teknikal kemelesetan dengan pemulihan yang kuat.
“Sesungguhnya, silap untuk mengatakan kerana kita keluar daripada erti kata jatuh bebas dan  mungkin kita beralih ke sudut bahawa kita di jalan untuk pemulihan.”  Beliau mengemukakan beberapa kemungkinan halangan negatif yang kemelesetan mungkin tempuhi: kelemahan dalam hartanah komersial; defisit yang besar di peringkat negeri, mendorong banyak lagi kehilangan pekerjaan; dan banyak orang Amerika pada risiko memiliki faedah pengangguran yang telah tamat tempoh.
Nouriel Roubini,  dilaporkan berkata bahawa ekonomi global masih dalam kemelesetan yang tidak akan berkesudahan hingga akhir tahun ini, meskipun “kini ada kemungkinan kelihatan  cahaya di hujung terowong.”  Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku lagi kemelesetan pada akhir 2010 atau 2011 kerana hutang kerajaan yang meningkat, harga minyak yang lebih tinggi, dan kurang pertumbuhan pekerjaan.
Dalam kolumnya dalam The New York Times awal Ogos, Paul Krugman berkata yang menyelamatkan kita daripada Kemelesetan Besar kedua ialah Kerajaan Besar.  Walau bagaimanapun, beliau juga berpendapat bahawa situasi ekonomi tetap teruk, bahkan teruk daripada kebanyakan orang  mungkin fikir tidak berapa lama dahulu.  “Negara (Amerika) kehilangan 6.7 juta pekerjaan sejak kemelesetan bermula.  Sebaik sahaja anda mengambil kira keperluan untuk mencari pekerjaan untuk penduduk dalam umur pekerjaan yang  berkembang, anda kemungkinan kekurangan kira-kira sembilan juta pekerjaan yang sepatutnya kita ada.”
Memang terasa aneh apabila ahli ekonomi Keynesian, seperti Joseph Stiglitz dan Paul Krugman menyatakan kekhuatiran mereka terhadap pengangguran yang pasti membantutkan pemulihan.  Hal ini demikian kerana seperti yang pernah ditunjukkan oleh ahli ekonomi tersohor pada abad ke-20, John Maynard Keynes, ekonomi boleh mencari keseimbangannya dengan pengangguran yang berlaku  berterusan dan serius.  Kapitalisme mungkin kembali kepada pertumbuhan dan menghasilkan keuntungan tanpa kembali kepada guna tenaga penuh.  
Semasa   Simposium Pasaran Modal Dunia, Laura Tyson, Penasihat Ekonomi Presiden Amerika, Barack Obama, mengemukakan pandangan bahawa  dalam menghadapi krisis ekonomi global, negara-negara Asia perlu beralih kepada permintaan dalam negara  bagi memastikan pertumbuhan ekonomi.  Namun begitu,  dalam situasi pengangguran yang tinggi permintaan dalam negara lazimnya lemah, dan oleh itu, mustahil dapat memacu pertumbuhan ekonomi.
 Malahan, di Amerika sendiri keyakinan pengguna masih runcing.  Apabila jualan runcit di Amerika bulan Julai jatuh sebanyak 0.1 peratus selepas peningkatan sederhana selama dua bulan, ini  memudarkan keyakinan bahawa    ekonomi yang akhir-akhir ini seolah-olahnya   keluar daripada kemelesetan.  Kuasa perbelanjaan pengguna adalah kira-kira 70 peratus aktiviti ekonomi, tetapi  dikatakan bahawa isi rumah  tidak berada dalam kedudukan untuk memacu pemulihan ekonomi yang lebih baik.   Seperti yang dinyatakan oleh Chris Rupkey, ketua ahli ekonomi kewangan di Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ Ltd. di New York: “Jika para pengguna kurang yakin, nescaya mereka tidak dapat membantu kita untuk  keluar daripada kemelesetan yang lama dan gelap ini.  Isi rumah masih bimbang tentang masa depan pekerjaan.”
Apabila Jabatan Perdagangan Amerika memaklumkan bahawa upah dan gaji yang memacu pemulihan dalam perbelanjaan jatuh sebanyak 4.7 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Jun tahun ini, kejatuhan terbesar sejak catatan dimula pada tahun 1960,  Bloomberg.com melaporkan bahawa para pengguna mula mengubah kelakuan mereka  dan mereka akan menyimpan lebih banyak akibat tekanan terhadap upah dan guna tenaga masih merosot. 
Semasa melawat London School of Economics (LSE), Ratu Elizabeth bertanya mengapa tiada seorang pun yang meramalkan berlakunya  kerkah kredit. Kemudian, dalam jawapan bertulis kepada baginda yang ditandatangani oleh Profesor Tim Besley dari LSE dan ahli sejarah kerajaan yang terbilang, Peter Hennessy, memaklumkan bahawa “psikologi penafian” yang mencengkam dunia kewangan dan politik terbenam ke dalam krisis.
Keasyikan terhadap pucuk hijau dan  lupa akan rumpai kuning, maka  psikologi penafian ini nampaknya masih tebal. Akibatnya, pelbagai krisis yang masih membeku seakan-akan dilupakan sama sekali. Mungkinkah selepas ini, Ratu Elizabeth akan mengemukakan soalan: Mengapakah psikologi penafian ini masih mencengkam orang ramai?

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Oktober 2009.)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...