Artikel Popular

Wednesday, September 5, 2012

Makanan Organik Tidak Berkhasiat

RABU, 5 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jika kita ke pasar rasa, pastinya kita sering bersua dengan hasil pertanian dan makanan organik.  Pada tanggapan umum, makanan  organik mempunyai khasiat yang tinggi, dan pasaran makanan ini dikatakan sedang berkembang dan mempunyai prospek.

Namun,  Bloomberg dan Time mendedahkan bahawa makanan organik "tidak seindah, seperti yang dijangkakan."  Tidak menambah vitamin, meskipun kos lebih tinggi.  Makanan organik tidak semestinya mengandungi lebih khasiat jika dibandingkan dengan makanan biasa.

Memetik kajian yang diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine, menunjukkan bahawa para pembeli mungkin membazirkan wang mereka, sedangkan tidak ada bukti kukuh bahawa makanan organik lebih berkhasiat atau lebih sihat jika dibandingkan dengan makanan konvensional.  Kedua-duanya, iaitu makanan organik dan konvensional seakan-akan mempunyai risiko sama dari segi pencemaran bakteria, maka para pengguna tidak boleh mengandaikan bahawa satu jenis makanan mempunyai risiko yang rendah atau lebih selamat dari segi asbut bawaan makanan.

Maka, sebagai pengguna, kita perlu fikir semasak-masaknya sebelum membeli barang organik.  Apakah dengan dapatan terbaharu ini, pasaran makanan organik turut terjejas?


Cukai Terus Menghantui Romney

RABU, 5 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ucapan penerimaan pencalonan Presiden yang disampaikan oleh Mitt Romney sempena Persidangan Kebangsaan Republikan baru-baru ini, menurut tafsiran Paul Begala, "kegagalan yang cukup besar."  Laporan Gallup menunjukkan bahawa ketika persidangan itu, Romney hanya menghasilkan lantunan yang rendah.  

Sementara Bain Capital yang menjadi kebanggaan Romney untuk ke Rumah Putih,  dan firma ekuiti itu  menduduki tengah pentas semasa persidangan, menurut The New York Times, sedang disiasat kerana disyaki gagal membayar cukai.

Harry Reid, Pemimpin Majoriti Senat yang pernah mendakwa Romney tidak membayar cukai pendapatan selama 10 tahun, menggunakan kesempatan berucap dalam Persidangan Kebangsaan Demokratik di Charlotte, North Carolina, menggasak calon Republikan kerana keengganannya mengeluarkan penyata cukai pendapatannya.  

Tegas Reid, tidak pernah berlaku dalam sejarah Amerika moden mempunyai calon Presiden yang bersusah payah menyembunyikan dirinya daripada rakyat yang beliau harap untuk berkhidmat.  "Jika anda melihat satu penyata cukai yang beliau keluarkan, memang jelas mengapa.  Memang jelas mengapa hanya satu penyata cukai.  Kita dengar bahawa beliau membayar kadar cukai yang lebih rendah daripada keluarga kelas menengah."

Boleh dikatakan bahawa pelbagai pihak mengkritik Romney kerana keengganannya mengeluarkan penyata cukai pendapatannya kepada orang ramai, termasuk daripada beberapa orang daripada Republikan sendiri.  Pengurus kempen Obama, Jim Messina pernah mencadangkan Romney  memaklumkan penyata cukai pendapatan untuk lima tahun sahaja sudah memadai.  Beliau berjanji jika Romney memenuhi tuntutan itu, kempen Obama tidak akan lagi mengungkitkan perkara itu.  Namun, pihak kempen  Romney masih berdolak-dalik dengan alasan bahawa cukai bukannya suatu isu.

Kritikan terhadap tindak-tanduk Romney itu juga datang daripada Joseph Stiglitz,  yang menulis dalam The Guardian.  Bagi Penerima Hadiah Nobel Ekonomi itu, pengelakan cukai Mitt Romney itu melemahkan ikatan masyarakat Amerika.  Jika ahli politik dan orang di sekelilingnya tidak membayar cukai secara adil, hujah beliau, bagaimana kita mengharapkan  orang lain melakukannya.  

"Tema utama yang mendasari debat politik di Amerika Syarikat," hujah Stiglitz "ialah peranan negara dan perlunya tindakan kolektif.  Sektor swasta, meskipun penting dalam ekonomi moden, tidak dapat memastikan kejayaannya semata-mata.  Misalnya, krisis kewangan yang bermula pada tahun 2008 menunjukkan perlunya kawal selia yang cukup."



Tuesday, September 4, 2012

Jam Hutang

SELASA, 4 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Detikan jam. Demikian ibarat yang diberikan oleh carta harian The Economist bahawa setiap saat ada sahaja negara yang berhutang.  Jam yang dikemaskinikan setakat September 2012 menunjukkan angka global bagi hutang kebanyakan semua kerajaan dari segi dolar.

Negara yang mempunyai hutang yang sangat tinggi ditunjukkan dalam warna merah, manakala yang paling rendah dalam warna hijau.  Ada lapan warna kesemuanya yang mewakili negara berkenaan. Bagi Malaysia, hutang awam kini berjumlah AS$162,098,360,656, iaitu AS$5612.28 untuk setiap orang, dan 55.7 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  Jumlah perubahan hutang tahunan ialah 15.9 peratus.



Syurga, Neraka, dan Jenayah

SELASA, 4 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Adakah kepercayaan pada syurga menyebabkan berlakunya jenayah di dunia? Carta harian The Economist cuba memberikan jawapannya dengan memetik kajian  yang diterbitkan dalam PLos ONE, oleh Azim Shariff dan Mijke Rhemtulla yang membandingkan kadar jenayah dengan kadar kepercayaan terhadap syurga dan neraka di 67 buah negara.

Jangan terperanjat jika kajian itu menunjukkan bahawa di negara yang masyarakatnya percaya akan syurga lebih cenderung melakukan jenayah.  Hal ini demikian kerana mereka mempercayai dosa mereka diampunkan pada hari akhirat  berbanding dengan azab yang akan mereka terima kelak.

Kajian itu melibatkan penganut agama Katolik, Kristian bukan Katolik, Islam, dan agama lain.  Pastinya, kajian seperti ini mencetuskan kontroversi dan dipersoalkan, tetapi kedua-dua pengkajinya  memberikan respons. 




Monday, September 3, 2012

Drama Greece Belum Tamat

ISNIN, 3 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dua kali pelan penyelamat dan dalam masa terdekat, dua kali pilihan raya Parlimen diadakan, tetapi masa depan Greece dalam zon euro masih menjadi tanda tanya.  Jika ditanya adakah zon euro dapat diselamatkan?  Jawapannya "ya" jika Greece keluar dari zon mata wang bersama itu, meskipun dilaporkan bahawa zon euro setakat ini berasa gembira dengan kepimpinan Antonis Samaras.  

Meskipun Greece berusaha untuk mengelakkan kemungkiran terhadap hutangnya, syarikat-syarikat Amerika, menurut The New York Times, bersiap sedia dengan kemungkinan negara itu dipaksa  meninggalkan zon euro.

Siapa yang akan menentukan masa depan Greece di Eropah, Mohamed A. el-Erian berhujah bahawa banyak pihak yang merasakan bahawa nasib Greece, termasuk meneruskan keanggotaannya dalam zon euro, terletak dalam tangan Troika, iaitu para pegawai dari Suruhanjaya Eropah, Bank Pusat Eropah (ECB), dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Mereka dipertanggungjawabkan untuk menilai usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Greece, keperluang kewangannya, dan bagaimana mereka sepatutnya bertemu.

Kestabilan politik dan pembaharuan ekonomi Greece, tegas el-Erian, jelas kritikal untuk negara itu meneruskan keanggotaannya dalam zon euro.  Namun, Greece menghadapi tiga masalah, iaitu pertumbuhan yang sedikit, terlalu banyak hutang, dan elit politik yang kehilangan kredebiliti popular dan kesahan, yang tidak dapat diselesaikan dengan menambahkan beberapa tahun untuk program penyelerasan dan mencari lebih banyak wang.



Sunday, September 2, 2012

Banyak Model Memilih Barack Obama

AHAD, 2 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Presiden Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden kali ini diperhatikan menghadapi kesukaran untuk menggembleng sokongan yang beliau peroleh empat tahun lalu. Beliau dikatakan menghadapi kesukaran untuk mengotakan janji perubahan yang akan beliau lakukan.  

Maka, tidak memeranjatkan jika pencabarnya, Mitt Romney akan muncul sebagai pemenang. Calon daripada Parti Republikan ini, mendapat rentak selepas Persidangan Kebangsaan Republikan di Tampa, Florida. Tambahan pula, Romney mendapat sokongan padu daripada penyumbang dana melalui daya usaha  Karl Rove.  Akan tetapi, Romney  dianggap  "salah seorang calon yang paling tidak popular dalam sejarah politik moden."  


Dalam pada itu, kempen Obama, menurut Major Garrett dalam National Journal, tetap yakin bahawa Obama akan menang dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012. Sementara lantunan yang dicapai oleh Romney, menurut tinjauan pendapat Reuters/Ipsos hanya sekejap, iaitu hanya bersempena persidangan partinya. Pada hari Sabtu semalam, Obama  merampas semula kedudukan yang beliau sebagai pendahulu sebelum ini. Hal ini memperkukuhkan lagi hujah Nate Silver bahawa terlalu awal untuk mengukur   lantunan semasa persidangan.

Enam model yang mengunjurkan keputusan pilihan raya tahun ini, seperti yang diperkatakan oleh Dylan Matthews, kebanyakannya, walaupun tidak kesemuanya memilih Barack Obama sebagai pemenang. Model yang diperkenalkan oleh Helmut Norpoth dan Michael Bednarczuk memilih Obama yang dijangkakan memperoleh 53.2 peratus undi berbanding Romney 46.8 peratus.  Hal ini memberi Obama 88 peratus peluang untuk menang.

Demikian model yang diperkenalkan oleh Robert Erikson dan Christopher Wlezien yang menjangkakan  Obama akan mendapat 52.6 peratus undi berbanding Romney 47.4 peratus, dan ini memberikan peluang untuk Obama menang 80 peratus. 

Model yang diperkenalkan oleh Alan Abramowitz, yang berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahun kedua tahun pilihan raya,  juga memilih Obama yang dijangkakan mendapat 50.6 peratus undi berbanding Romney 49.4 peratus.  Dalam sangat pilihan raya yang bersaing sengit ini, Abramowitz memberikan satu pertiga peluang kepada Romney untuk menang.  Lebih daripada itu, menurut beliau, berkemungkinan besar calon yang memenangi undi popular tanpa memenangi badan perwakilan pemilih.

Sebaliknya, model yang diperkenalkan oleh  Michael S. Lewis-Beck dan Charles P. Tien  memilih Romney sebagai pemenang, iaitu beliau akan mendapat 51.8 peratus undi berbanding 48.2 undi untuk Obama, dan secara kebetulan anggaran mereka itu, 48.2 peratus pasti. Demikian juga model Douglas Hibbs yang memilih Romney yang akan memperoleh 53 peratus undi berbanding Obama 47 peratus.

Jika diambil kira satu lagi model, iaitu model yang diperkenalkan oleh Nate Silver, maka Obama mempunyai  kelebihan berbanding dengan  Romney.  Silver menjangkakan Obama mendapat 50.8 peratus, manakal Romney 48 peratus.  Obama mempunyai 71.6 peratus peluang keseluruhan untuk menang.
Presiden Barack Obama yang nampaknya ketinggalan dari segi pendanaan jika dibandingkan dengan Mitt Romney, tetapi  menurut tinjauan pendapat The Washington Post/ABC News,  mempunyai kelebihan dari segi kerja di lapangan, iaitu hubungan pasukan petugas dengan pengundi. Atau dengan kata lain, "manusia lawan wang."  Kempen Obama juga dari segi sumber manusia,  dilaporkan mendapat sokongan yang dibantu oleh MoveOn.org, dan perseikatan super PAC, AFl-CIO.


Industri Halal

AHAD, 2 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Dispora orang Islam yang berkembang di Barat, dan golongan kelas menengah yang meningkat di negara Islam, menurut Nesrine Malik dalam The Guardian, membentuk apa yang dianggarkan AS$2 trilion pasaran dalam barang dan "pengalaman" halal.  Produk halal itu terdiri daripada minyak wangi, ubat gigi, kosmetik, di samping hotel dan tempat peranginan percutian "halal."

Pendek kata, industri halal berkembang pesat, daripada produk kepada kewangan.  Adakah usahawan dan pemimpin negara Islam memanfaatkan sebaik-baik mungkin perkembangan ini?   

Malaysia misalnya,  terkenal sebagai pusat kewangan Islam, tetapi tidak menjamin bahawa status ini akan terus kekal kerana negara bukan Islam, seperti Singapura dan Hong Kong sedang berusaha ke arah ini.  Malaysia juga memperkenalkan "sijil halal," tetapi langkah yang positif ini terpaksa bergelut dengan  "pita merah" yang boleh membantutkan perkembangan industri.


Saturday, September 1, 2012

Amerika Syarikat Saudagar Senjata

SABTU,  1 September 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Eksport senjata oleh China, menurut The Washington Post baru-baru ini, meningkat pada dekad lalu, membanjiri Afrika Sub-Sahara.  Senjata dari negara itu memasuki zon peperangan, dari Republik Demokratik Congo ke Ivory Coast, Somalia, dan Sudan, tetapi tidak ada bukti bahawa China secara sengaja mencabuli sekatan yang dikenakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap negara berkenaan. 

Namun, jualan jualan senjata dari Amerika Syarikat dalam pasaran global, menurut The New York Times, meningkat tiga kali ganda pada tahun 2011, mencecah rekod tertinggi, dipacu oleh jualan senjata utama kepada negara sekutu di Teluk Parsi akibat kebimbangan terhadap Iran.  Jualan senjata di seberang laut oleh negara itu bernilai AS$66.3 bilion pada tahun lalu, atau lebih tiga perempat pasaran senjata global yang bernilai AS$85. bilion pada tahun 2011.  Rusia menduduki tempat kedua, dengan nilai eksport hanya AS$4.8 bilion.  

Jumlah jualan senjata Amerika "meningkat luar biasa" lebih AS$21.4 bilion pada tahun 2010, dan merupakan jumlah jualan satu tahun terbesar dalam sejarah eksport senjata Amerika Syarikat.  Jumlah tertinggi sebelum ini adalah pada tahun fiskal 2009, apabila jualan senjata Amerika bernilai hampir AS$31 bilion.

Melalui makalahnya dalam The Nation, Robert Dreyfuss mengkritik The Washington Post kerana tidak menyatakan kedudukan  China dalam kalangan negara pengeksport senjata  di dunia, menyatakan bahawa  negara pembeli senjata Amerika terbesar ialah Arab Saudi, iaitu bernilai AS$33.4 bilion  pada tahun lalu.  Nilai  ini mengatasi keseluruhan jumlah jualan senjata Amerika Syarikat kepada semua negara di dunia pada tahun 2009.

Kajian tahunan oleh Perkhidmatan Penyelidikan Kongres yang dipetik oleh Mother Jones, menunjukkan bahawa Amerika Syarikat jauh meninggalkan negara  lain, seperti Rusia, Eropah Barat terbesar, dan China dari segi eksport senjata ke negara membangun yang  turut dilaporkan oleh Time dan carta harian The Economist.   





Dari Togo dengan Mogok Seks

SABTU, 1 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pemimpin pembangkang Togo, Isabelle Ameganvi, seperti yang dilaporkan oleh CNN,  Associated Press, dan  The Huffington Post, menyeru kaum wanita melancarkan mogoks seks  selama seminggudemi menuntut kebebasan pembantah yang ditahan sebelum pilihan raya di negara Afrika Barat itu. 

Mogok seks, menurut The Guardian, merupakan senjata terbaik untuk menentang diktator, Presiden Faure Gnassingbe.  

Meskipun mogok seks itu sasarannya terhada diktator itu, yang turut  menjadi mangsa ialah  suami jika isteri mereka  terlibat dalam mogok itu. Sanggupkah si suami berpuasa seminggu?




Eropah Gagal?

SABTU, 1 September 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Krisis zon euro tidak menunjukkan tanda akan reda dan kesan jangkitan sukar dikawal. Pengangguran di 17 buah negara mata wang bersama itu dilaporkan mencecah 18 juta orang pada bulan Julai atau 11.3 peratus.  Sementara kemelesetan Sepanyol semakin teruk apabila  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  suku  kedua tahun 2012,  jatuh 0.4 peratus dari suku pertama akibat pelaksanaan jimat-cermat.  Canselor Jerman, Angela Merkel yang selama ini diharapkan menyelamat zon euro, terpaksa memohon pertolongan China.  

Pendek kata, memetik Martin Cohen, "kegilaan ekonomi di zon euro."  Eropah pernah dikatakan sedang menghadapi kejatuhan dan impian benua itu malap.   Zon euro berkemungkinan berkecai; demikian juga Kesatuan Eropah.   Demikian juga dengan kapitalisme dan demokrasi yang berkecamuk dan saling menggagalkan antara satu sama lain.

Adakah Eropah gagal? tanya Nicholas Sambanis dalam The New York Times dengan membangkitkan banyak faktor di sebalik krisis yang berlaku: daripada rasuah dan tidak bertanggungjawab secara kolektif di Greece kepada ketegaran institusi Eropah dan konsep yang cacat tentang kesatuan monetari tanpa kesatuan fiskal.  

"Krisis hutang Eropah, tegas Sambanis, "bukan hanya kisah tentang perbelanjaan membazir dan dasar monetari yang tegar.  Krisis hutang Eropah bukan sekadar krisis ekonomi, tetapi juga mencetuskan krisis jati diri, iaitu konflik etnik."

Terjebak ke dalam konflik etnik di Eropah tidak melibatkan keganasan, bahas beliau, tetapi dapat membawa kemusnahan  kedua-duanya, iaitu dari segi ekonomi dan politik, misalnya ketegangan yang semakin memuncak antara Greece dengan Jerman.  Kajian terbaharu mendapati kebanyakan orang Jerman mahu Greece kelaur dari zon euro jika negara itu tidak melakukan pembaharuan dengan segera.

Eropah, menurut Robert D. Kaplan, bergelut dengan dendam geografi yang menyaksikan kedatangan konflik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...