Artikel Popular

Friday, January 6, 2012

Buruh Kanak-kanak

JUMAAT,  6  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Buruh kanak-kanak mempunyai sejarah yang panjang, paling tidak setua dengan kapitalisme itu sendiri, terutamanya ketika Revolusi Perindustrian.  Pada akhir tahun 1700 dan awal 1800-an, apabila kilang berkembang pesat, mula-mula di England, kemudian di Amerika Syarikat.  Pemilik kilang ini menemui sumber baru buruh untuk mengendalikan jentera mereka, iaitu kanak-kanak.

Eksploitasi terhadap kanak-kanak sebagai tenaga buruh hingga sekarang belum menampakkan tanda-tanda untuk berakhir.  Semalam The Huffington Post menerbitkan laporan  yang disediakan oleh Maplecroft yang menunjukkan bahawa keselamatan global yang semakin teruk dan krisis ekonomi meningkatkan risiko pencabulan buruh kanak-kanak di beberapa buah negara. Maplecroft mengkaji keadaan buruh kanak-kanak di 197 buah negara dan merumuskan hampir 40 peratus negara berkenaan menunujukkan "risiko ekstrem" pencabulan.  

Laporan menyenaraikan 10 buah negara yang dianggap "ekstrem" ialah Myanmar, Korea Utara, Somalia, Sudan, DR Congo,  Zimbabwe, Aghanistan, Burundi, Pakistan, dan Etiopia.  Empat negara adalah daripada Asia, manakala enam buah lagi daripada Afrika. 



gend
Extreme risk
High risk
Medium risk
Low risk
No Data

RankCountryRating
1MyanmarExtreme
2North KoreaExtreme
3SomaliaExtreme
4SudanExtreme
5DR CongoExtreme

RankCountryRating
6ZimbabweExtreme
7AfghanistanExtreme
8BurundiExtreme
9PakistanExtreme
10EthiopiaExtreme

Thursday, January 5, 2012

Pertumbuhan Tahun 2012

JUMAAT,  6  Januari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Carta harian The Economist  mengemukakan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar  (KDNK) beberapa negara pada  tahun 2012.  Memeranjatkan bahawa Libya  merupakan negara yang dijangkakan mengalami pertumbuhan terpantas pada tahun ini.  Kepesatan pertumbuhan ini dirangsang oleh pembinaan semula berikutan kejatuhan rejim Muammar Gaddafi.  

Menyertai Libya ialah beberapa negara Timur Tengah, Asia, dan Afrika, seperti Mongolia, Macau, Angola, dan Iraq, dan Niger, manakala China juga turut tersenarai.  Negara lain ialah Qatar, Uzbekistan, dan Bhutan. 

Sebaliknya,  PIIGS (Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol) bersama-sama negara Eropah lain, seperti Luxembourg, Belanda, dan Jerman menyertai negara yang menguncup dengan pantas pada tahun ini.  Dua buah negara Afrika turut tergolong, iaitu Sudan - paling atas, dan Swaziland.





Wednesday, January 4, 2012

Drama Iowa: Siapakah Pemenang Sebenar?

KHAMIS,  5  Januari  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kokus Iowa untuk Parti Republikan telah pun selesai yang menyaksikan persaingan sengit antara Mitt Romney, Rick Santorum, dan Ron Paul, apabila ketiga-tiga pencabar ini saling dahulu mendahului antara satu sama lain.   Liputan langsung kokus itu pada mulanya menunjukkan Ron Paul mendahului pesaingnya, kemudian diambil alih oleh Rick Santorum, kemudian oleh Mitt Romney.  

Santorum dan Romney saling bertukar tempat pertama, tetapi keputusan akhir memihak kepada Romney.  Beliau memperoleh 30,015 undi (24.6 peratus) dengan kelebihan undi mengatasi Santorum yang memperoleh 30,007 undi (24.6 peratus, dan Ron Paul memperoleh 26,219 undi (21.5 peratus).  

Meskipun menang, Romney, calon pilihan ramai, beliau gagal mendapat  25 peratus, dan tidak banyak jauh daripada yang beliau peroleh empat tahun lalu, sedangkan beliau menghabiskan masa lima tahun untuk berkempen di sana.  Jika dilihat dari segi wang yang dibelanjakan dan namanya memang terkenal, kemenangan nipis itu tidak tidak berbaloi, dan sepatutnya kemenangan itu milik Santorum yang hanya membelanjakan AS$1.65 untuk setiap undi yang beliau terima di kokus itu berbanding  dengan Rick Perry yang berbelanja AS$817.  


John Cassidy yang menulis dalam The New Yorker mengiystiharkan "Santorum menang dalam pertandingan dengan Romney." Demikian juga Molly Ball yang menulis dalam The Atlantic yang memuji dan menyanjung Santorum berbanding dengan Romney. Beliau dianggap menang besar.  Santorum menggunakan strategi Frank Finkel, menurut tafsiran  Paul Begala, nampaknya menjadi: beliau tiba lewat di medan pertempuran tatkala musuhnya keletihan. Namun,  Romney dan Santorum dianggap calon yang gagal,   kerana meskipun banyak usaha yang dicurahkan, pihak masing-masing tidak dapat menemui mana-mana calon yang lebih baik atau lebih boleh dipertanggungjawabkan. 

Pastinya, kemenangan ini tidak memeranjatkan kerana Romney, seperti yang ditinjau   oleh Des Moines Register yang dipetik secara meluas, empat hari sebelum pengundian, mendahului pesaing lain dengan 24 peratus, manakala Paul 22 peratus dan Santorum 15 peratus.  Yang menarik, tinjauan itu membayangkan bahawa Santorum mengambil alih tempat kedua Paul. 

Ari Melber yang menulis dalam The Nation mengemukakan empat keputusan paling penting Kokus Iowa itu:  bukan keputusan tiga penjuru, mubaligh Kristian sebenarnya menyukai Paul, Santorum telah puns mensia-siakan kemaraannya, dan Newt Gingrich meneruskan perjuangan untuk menghalang kemenangan Romney. 

Keputusan tersebut menyampaikan mesej yang bercampur-campur, yang dalam pemerhatian Dana Milbank adalah "keadaan tidak dapat membuat keputusan di Iowa dan dalam Parti Republikan itu sendiri," bahkan perpecahan yang mendalam dalam Republikan.  Dengan selesainya Kokus Iowa yang  menunjukkan bahawa Mitt Romney gagal muncul sebagai pemenang yang jelas.   Keputusan itu merupakan berita buruk untuk Republikan, sebaliknya,  berita baik untuk Presiden Barack Obama yang merupakan pemenang sebenar. Sebelah menyebelah Atlantik mengatakan Obama pemenang Kokus Iowa itu. 


Bagi Obama, tegas George E. Condon Jr., bahagian terbaik tentang kokus itu adalah bahawa telah berakhir dan calon-calon Republikan meninggalkan negeri itu tempat mereka berkampung hampir dua bulan lalu, dengan mengambil kesempatan melalui televisyen menyerang beliau.  Meskipun  hanya mempunyai enam undi electoral college, Iowa ialah negeri yang Presiden hitung untuk menang untuk penggal kedua beliau dan berjuta-juta dolar iklan negatif gagal membantu, tetapi menyembunyikan keraguan tentang beliau di negeri yang beliau menang selesa dalam pilihan raya yang lalu.


Meskipun ketika itu keputusan sepenuh belum diketahui, Howard Fineman menegaskan bahawa kita telah pun mengetahui seorang pemenang besar, iaitu Presiden Barack Obama. Kempen yang muram, menjijikkan di Iowa tidak elok untuk Parti Republikan atau negara. Wang yang dibelanjakan pada iklan yang menyerang merupakan undi untuk undi, terlalu besar. Unjuran menyatakan jumlah Republikan yang keluar mengundi kira-kira 118,000 orang, secara kasar, sama seperti tahun 2008, tahun yang persaingan Hillary Clinton-Barack Obama menarik dua kali ganda peserta.  Dalam kata lain, jumlah yang keluar mengundi tidak jenis yang menunjukkan minat dan keghairahan yang menandakan kemaraan Republikan pada musim gugur akan datang. Mereka dilihat mengambil beberapa langkah mundur setelah empat tahun dalam percubaan untuk memikat dan berkempen. Dalam kata-kata yang paling sesuai,  Republikan meninggalkan Iowa dengan ketempangan. 


Apakah keagresifan dan keangkuhan calon-calon Republikan akhirnya membawa padah?  Senjata makan tuan?  

Pendidikan Golongan Serba Kekurangan

RABU,  4  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jangan keliru, tulisan ini bukan  memperkatakan   Pedagogy of the Oppressed oleh Paulo Freire.  Sekadar menyatakan beberapa kajian tentang pendidikan di Amerika Syarikat dan  England bahawa taraf sosioekonomi ibu bapa dan peruntukan  kerajaan penting dalam menentukan prestasi  pelajar.  

Di Amerika Syarikat, seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post, pendapatan dan pendidikan ibu bapa mempunyai hubung kait dengan jurang pembelajaran. Akhbar itu memetik laporan Brookings Institution yang baru sahaja diumumkan bahawa kemampuan kanak-kanak untuk belajar bermula lama sebelum mereka memasuki bilik darjah, dan bahawa jurang tersebut boleh membawa kesan yang berpanjangan terhadap mobiliti kelas sosial.  

Dapatan kajian itu menunjukkan bahawa banyak kanak-kanak dan belia yang datang daripada keluarga yang mempunyai status sosioekonomi yang rendah mempunyai prestasi yang teruk di sekolah.  Secara purata, mereka mencapai prestasi jauh lebih rendah berdasarkan ujian yang dipiawaikan berbanding dengan belia yang lebih maju dan kemungkinan kurang berpeluang untuk menjadi siswazah sekolah tinggi dan menamatkan pengajian kolej.  Tahap rendah pencapaian akademik dan pencapaian pendidikan ini menyumbang kepada tahap rendah kejayaan ekonomi  masa dewasa  dan mobiliti sosial yang rendah dalam masyarakat Amerika. 

Sementara di England,  kajian The Guardian menunjukkan bahawa murid-murid dinafikan nasihat kerjaya ketika catatan pengangguran belia, sekolah mengikis projek untuk membantu kanak-kanak yang serba kekurangan mengikuti pembacaan mereka, dan para guru muzik, seni, dan sukan hilang pekerjaan mereka. Kajian akhbar itu menunjukkan kesan pemotongan perbelanjaan kerajaan terhadap pendidikan. 

Kajian menunjukkan bahawa belanjawan yang merosot telah mengurangkan secara signifikan julat dan kualiti pendidikan yang ditawarkan kepada semua murid di seluruh England, daripada kanak-kanak sedang bertatih kepada remaja.  Bahkan, sekolah-sekolah di kejiranan yang serba kekurangan yang terpaksa melakukan pemotongan yang sangat besar, meskipun menerima premium murid-murid, yang tahun ini (2011) menyamai tambahan 488 paun sterling untuk setiap kanak-kanak yang menerima makanan sekolah percuma. 

Mungkin penggubal dasar dan para pendidik di negara kita boleh mempelajari sesuatu yang bermanfaat daripada kajian yang dinyatakan itu. Dalam bidang pendidikan boleh dikatakan bahawa "padang permainan tidak sama rata."  Justeru, suatu malapetaka jika pihak kerajaan sentiasa tunduk kepada kehendak dan tuntutan golongan berada atau atasan dalam menggubal dan melaksanakan dasar pendidikan di negara ini.

Tuesday, January 3, 2012

Kebekuan Penerbitan?

SELASA,  3 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam "A Literary Deficit" The Economist (10 - 16 Disember) mendedahkan perkembangan penerbitan di Amerika Latin. Meskipun pengedaran akhbar di wilayah itu meningkat sebanyak lima peratus (21 peratus di Brazil dan 16 peratus di Mexico) antara tahun 2005 - 2009, untuk penerbitan buku, gambaran berbaur.  Jualan di (bertutur bahasa Portugis) Brazil, pasaran terbesar,  meningkat.  Namun, gambaran agak  muram di negara yang bertutur bahasa Sepanyol. Di Mexico dan Argentina, pasaran kedua dan ketiga di Amerika Latin, jualan buku jatuh.  

Persatuan penerbit Mexico memaklumkan bahawa jumlah jualan pada tahun 2010 ialah 139 juta naskhah, jatuh 12 peratus dari tahun 2005.  Kebanyakan jualan ialah buku teks yang permitaan masih stabil.  Akan tetapi, empat hingga tahun 2009, jualan novel jatuh  sebanyak 39 peratus (kepada lapan juta naskhah) dan buku kanak-kanak jatuh sebanyak 42 peratus, iaitu kepada 13 juta naskhah.  

Menurut majalah itu lagi,  saiz kecil pasaran bermakna bahawa buku dijual secara tradisional seperti barang mewah di Amerika Latin.  Sepanyol mempunyai sebuah kedai buku bagi setiap 10,000 orang.  Sebaliknya, Argentina mempunyai sebuah bagi setiap 20,000 orang, Brazil sebuah bagi setiap 50,000 orang, dan Mexico sebuah bagi setiap 70,000 orang.

Sementara di Amerika, Barnes & Noble Inc. melaporkan bahawa syarikat itu akan membuat pelaburan yang besar dalam pembaca e-buku Nook dan media digital, berikutan kerugian suku ketiga 2011 kerana jualan buku fizikal terus merosot. Kerugian bersih suku ketiga yang berakhir pada 29 Oktober ialah AS$6.6 juta, atau 17 peratus per saham, berbanding dengan kerugian AS$12.6 juta, atau 22 peratus per saham setahun lalu. 

Tatkala kedai buku di negara itu dikatakan mati atau hampir mati, kedai buku bebas, seperti yang dilaporkan dalam The Washington Post, mempunyai potensi untuk berkembang. Memetik sumber Persatuan Penjual Buku Amerika, organisasi perdagangan kebangsaan bagi kedai buku milik bebas, menyatakan pertumbuhan tujuh peratus pada tahun 2010 dan memperoleh 100 ahli baru dalam masa enam bulan lalu.  Pertubuhan itu kini mengira 1830 kedai ahli di seluruh Amerika Syarikat, meningkatkan sebanyak 400 sejak tahun 2005.  Kedai buku baru dibuka di sekurang-kurangnya 35 buah negeri, dari New York ke California, menandakan bahawa pemilik kedai buku di seluruh negara melihat peluang untuk mencari bidang konkrit dalam dunia e-buku.

Namun, pastinya ada yang tidak berpuas hati terhadap kedai buku dari segi perkhidmatan dan harga.  "Jangan sokong kedai buku tempatan anda," tulis Farhad Manjoo.  "Beli buku menerusi Amazon adalah lebih baik untuk pengarang, lebih baik untuk ekonomi, dan lebih baik untuk anda."

Kini, seperti yang sering diperkatakan bahawa penerbitan digital berkembang pesat dan memberikan saingan hebat kepada penerbitan bercetak.  Misalnya,  sastera digital yang dijangkakan berkembang pesat pada tahun ini, banyak kerja yang memberikan inspirasi telah pun dirancang pada tahun 2011, seperti yang dibahaskan oleh Lisa Gee dalam The Independent.   

"E-buku," tulis editorial The Observer, "menyalakan semula secara besar hebat terhadap kecintaan kita membaca." Golongan muda dan tua membaca, yang tidak berlaku sebelum ini.  Tahun 2011, isytihar, editorial itu, ialah tahun e-buku, menjadi musim panas Kindle.  Dalam kapal terbang, kereta api, dan kereta, kita menyaksikan lautan perubahan dalam kegemaran membaca kita, tidak pernah berlaku sejak Gutenberg.  "Suatu masa dahulu, dikatakan bahawa buku maya bukan jawapannya kepada tiga Bs (beach, bath, dan bed - pantai, bilik mandi, dan katil).  "Akan tetapi, akhir-akhir ini, trend pembacaan yang mendedahkan buku digital dengan  pantai, sabun, dan penggodaan. Pembacaan Kindle  popular mencecah titik penghujung.  

Untuk menyokong hujahnya, editorial itu menunjukkan bahawa pembeli-belah United Kingdom purata kini membelanjakan empat paun sterling setiap bulan untuk e-buku dan 53 peratus pengguna Kindle berkata mereka kini membaca lebih banyak buku jika dibandingkan dengan sebelumnya.

Namun, e-buku bukannya tanpa sebarang kelemahan, seperti yang didedahkan oleh Dan Gillmor bahawa berlaku penipuan harga.  Harga e-buku, seperti buku fizikal benar-benar membebankan pengguna.  Bukan sekadar harga yang tinggi, tetapi terlalu tinggi, banyak penjual buku dalam Amazon (dan di kedai Nook Barnes & Noble) meningkat 30 peratus hingga 50 peratus, daripada kira-kira AS$13 atau AS$15 atau lebih tinggi kerana penerbit mengenakan harga senarai yang tinggi untuk versi digital.  Dan kes selepas kes, harga e-buku untuk buku baru hampir, dan kadangkala bahkan lebih tinggi daripada harga Amazon untuk buku kulit keras. 

Amazon telah pun menjual lebih banyak e-buku berbanding dengan buku kulit lembut.  Orang British membeli 12.7 juta e-buku pada separuh pertama tahun 2011, berlipat ganda jumlahnya jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun 2010.  Akan tetapi, Juliette Garside mengingatkan bahawa  pengawal selia di Eropah dan Amerika Syarikat berasa bimbang bahawa pembeli-belah mungkin dikenakan harga yang tinggi.  Bulan ini (Disember), kedua-duanya, iaitu Suruhanjaya Eropah dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan penyiasatan terhadap jualan e-buku.  

Selain itu,  kepopularan  e-pembaca yang semakin meningkat dikatakan boleh mengancam masa hadapan sastera Inggeris kerana para penulis yang sedang meningkat maju tidak dibayar secukupnya untuk memenuhi keperluan mereka. Graham Swift, pemenang Booker Prize  tahun 1996 kerana novelnya Last Orders, dipetik sebagai berkata penulis baru memperoleh royalti yang rendah untuk karya mereka dalam bentuk e-buku berbanding dengan royalti kulit keras dan kulit lembut tradisional.  Jika golongan penulis berkenan mendapati diri mereka tidak mampu mencari rezeki daripada karya mereka, ini mungkin menyebabkan mereka berasa putus asa dan meninggalkan cerita yang berpotensi hebat tidak ditulis.

Adakah penulis boleh hidup dengan bergantung pada karya mereka sering diperdebatkan.  Jawapan yang lazim ialah bergantung pada jenis karya dan tempat karya itu dipasarkan.  Lazimnya, jika pasaran terlalu kecil, maka sukar bagi penulis untuk mencari makan atas karya mereka.  Di Kanada misalnya, penerbitan buku dianggap lebih sebagai hobi berbanding dengan profesion.  Seperti yang Mark Bourrie tulis dalam The Huffington Post beberapa bulan lalu, "lebih banyak saya tulis buku dan mempromosikan buku itu, maka besar kemungkinan saya berkesudahan hidup dengan elaun pengangguran.  Terlalu sedikit orang di Kanada yang dapat hidup daripada penulisan buku."

Di sebalik gambaran penerbitan buku yang agak berbaur, dan tidak kira sama ada buku p-buku ataupun e-buku, yang penting, bahas Gail Rebuck, "manusia perlu  membaca."  Kemekaran dunia pembacaan dapat dirasai apabila pada akhir tahun lalu, buku terlaris atau terbaik disenaraikan, antaranya   World Book Bestseller, pembacaan hujung minggu yang hebat, dan buku bergambar terbaik, termasuk buku yang tidak dapat dilupakan, manakala buku kembara masih mempunyai mendapat sambutan dalam kalangan pembaca. Sementara galakan penulisan terus diadakan, dan ketinggalan untuk terjemahan bahawa tahun 2011 dikatakan tahun penterjemah dengan kehadiran beberapa karya besar.  Tidak kurang menarik ialah perbincangan tentang versi baru karya Homer, The Iliad  yang diperkatakan dan diulas dalam The New Yorker yang mampu memberikan kesegaran kepada dunia penerbitan. 

Yang penting, seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, dalam dunia penerbitan, para penulis terus menulis dan para pembaca  terus membaca untuk memastikan kelangsungan industri ini. 

Pasukan Obama Mengatur Strategi

SELASA, 3 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tahun 2012, seperti yang diperkatakan oleh Fareed Zakaria dalam blognya, ialah tahun pilihan raya. Tiga negara akan mengadakan Pilihan Raya Presiden pada tahun ini.   Barack Obama dari Amerika Syarikat dan Nicolas Sarkozy dari Perancis berusaha mempertahankan kedudukan masing-masing, manakala Vladimir Putin berusaha untuk kembali semula ke jawatan itu. 

Bagi Presiden Barack Obama, faktor dalam negara, iaitu ekonomi sangat penting.   Pertumbuhan ekonomi yang lemah dan kadar pengangguran yang masih tinggi, merupakan penentu, sama ada beliau dapat terus kekal di Rumah Putih, ataupun menerima nasib, seperti Jimmy Carter dan George H.W.  Bush: Presiden sepenggal.  Keputusan Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010 menyaksikan beliau mengharungi malam yang panjang apabila Demokrat kehilangan Dewan Perwakilan dan banyak jawatan gabenor, meskipun dapat bertahan di  Senat dengan kerusi yang berkurangan. 


Namun, Janet Daley dalam ramalan tahun 2012, Barack Obama tidak akan kehilangan Rumah Putih kerana sedikit tanda pemulihan ekonomi  kelihatan dalam ekonomi, yang Pilihan Raya Presiden adalah mengenai perkara tersebut. Jangkaan ini pastinya berbeza dengan John Cassidy yang menulis dalam blognya bahawa beberapa berita baik, termasuk peningkatan  populariti Barack Obama yang ditunjukkan oleh tinjauan Gallup,  tidak cukup untuk menjamin kemenangan beliau.  

Pilihan Raya Presiden 2012 menyaksikan calon-calon  daripada Republikan bertempur sesama sendiri  di padang yang sesak,  dan kini menghitung detik Kokus Iowa.  Menjelang kokus ini, tinjauan mendapati Mitt Romney  mendahului pencabar lain, dengan memperoleh 24 peratus, diikuti rapat oleh Ron Paul yang memperoleh 22 peratus, diikuti oleh Rick Santorum (15 peratus), Newt Gingrich (12 peratus), 11 peratus untuk Rick Perry, dan Michele Bachmann hanya memperoleh tujuh peratus. 


Setakat ini,   Mitt Romney dan Newt Gingrich dianggap pencabar utama, tetapi Gingrich terencat sedikit baru-baru ini kerana gagal mendapat 10,000 tandatangan di Virginia (seorang lagi calon,  iaitu Rick Perry juga gagal).  Romney dalam kempennya, turut menjadikan  Barack Obama sasaran serangannya, seperti membandingkan Presiden Amerika itu dengan bekas ratu Perancis,  Marie Antoinette yang digulingkan ketika Revolusi Perancis, untuk menunjukkan Obama tidak menjiwai perjuangan rakyat seharian. Tatkala Romney dan Gingrich bersaing sengit, tiba-tiba Rick Santorum turut  mendapat perhatian yang mengacah-acah Barack Obama dengan dakwaan bahawa beliau mempunyai nilai bukan Amerika.  


Dalam pemilihan calon Presiden, Republikan,  daripada  pemerhatian James Zogby dalam bahaya, iaitu "bermain api yang boleh membakar tangan sendiri"  kerana terlampau tunduk pada Tea Party. Republikan juga dikatakan membangkitkan rasa sakit politik yang memberikan kesan terhadap demokrasi dengan melemparkan tuduhan melulu terhadap Barack Obama.  Meskipun isu  ekonomi adalah penting dalam Pilihan Raya yang akan datang, calon-calon Republikan yang terlibat tidak mengabaikan isu agama untuk menarik sokongan "Pengundi Nilai."


Tatkala Republikan sibuk dengan pemilihan calon  Presiden, Barack Obama mengatur strateginya.  Pada awal bulan lalu, beliau dikatakan akan menggunakan strategi menyalahkan Republikan mengapa beliau gagal memulihkan ekonomi. Namun, Mitt Romney mendakwa strategi Obama menyalahkan Kongres akan gagal, seperti beliau sebagai Presiden. 


Pasukan Obama yang membuat persediaan yang rapi lagi teliti, dilaporkan mengatur strategi peta pilihan raya untuk mendapat 270 undi badan perwakilan pemilih (electoral college). Suasana di kem Obama meningkat kini, dengan angka tinjauan pendapat menunjukkan Obama sedikit demi sedikit menghala ke arah utara dan Republikan bergelut dalam apa yang dianggap boleh menjadi berpanjangan, pertarungan yang mahal untuk pencalonan Republikan.


Dalam majlis pungutan dana, pengurus kempen Obama, iaitu Jim Messina merangka lima potensi laluan untuk memperoleh angka ajaib itu. Kempen Obama berkemungkinan bermula dengan negeri yang John Kerry menang dalam pilihan raya tahun 2004, berasaskan teori bahawa negeri biru yang amat kukuh menjamin kemenangan calon Demokratik.  Mengasaskan  251 undi yang Kerry terima dahulu, kempen Obama percaya bahawa mereka dapat memenangi penggal kedua jika mana-mana strategi yang berikut digunakan:  Barat, Florida, Selatan, Barat tengah (Midwest), dan selanjutnya,  termasuk Arizona. 


Tatkala calon-calon Republikan sibuk dengan Kokus Iowa,  para petugas pasukan Obama telah pun bersiap sedia di sana dan di tempat-tempat lain.  Pasukan  Obama mempunyai lebih staf yang dibayar untuk  turun padang di Iowa jika dibandingkan dengan Republikan.  Pasukan Obama melakukan persiapan sepanjang tahun lalu untuk apa yang mereka jangkakan akan lebih sengit jika dibandingkan dengan tahun 2008.  Sementara pegawai kempen percaya Presiden memulakan tahun 2012 dalam kedudukan yang sedikit lebih baik jika dibandingkan dengan kedudukan pada musim panas lalu, mereka juga teringat bahawa bahkan dalam apa yang dianggap kemenangan mudah secara relatif empat tahun lalu, 47 peratus pengundi tidak memilih beliau. 


Andrew Romano yang melawat ibu pejabat kempen Obama di Chicago, menulis dalam Newsweek tentang persediaan rapi pasukan beliau dalam Pilihan Raya Presiden 2012 yang diketuai oleh Jim Messina dan ahli strategi, David Axelrod.  Selain strategi peta tersebut yang mengenal pasti medan pertarungan mesti dimenangi, fakor masa dikatakan memihak kepada Obama kerana beliau tidak mengharungi pemilihan awal, seperti yang dialami oleh calon-calon Republikan sekarang.  Kempen Obama kali ini dikatakan lebih tersusun dan teratur jika dibandingkan dengan tahun 2008, manakala sumbangan derma mula mencurah masuk. "Wang dan tenaga manusia adalah baik seperti mesej yang mereka tolong sampaikan."


Dengan "modal kerja" 251 undi, pasukan Obama mengatur strategi, melancarkan  "seni peperangan":  jangan sekali-kali meninggalkan padang dan pada masa yang sama,  mengenal pasti kubu lawan yang dapat ditawan.  Sesuatu yang ahli politik kita perlu pelajari, iaitu strategi peta dalam proses mempertahankan atau menawan Putrajaya.

Monday, January 2, 2012

Kiri Dunia

ISNIN, 2 Januari 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Socialist Register 2012  dengan  tema "The Crisis and the Left"  menegaskan bahawa krisis ekonomi global yang menutup dekad pertama abad ke-21 menunjukkan bahawa percanggahan kapitalisme tidak dapati diatasi.  Cabaran terhadap analisis sosiali adalah untuk mendedahkan kedua-dua ciri percanggahan ini dalam era neoliberal kewangan yang diglobalisasikan, dan kesan percanggahan ini pada zaman kita.  Krisis perlu difahami sebagai titik tolak yang membuka peluang.  Bagaimana menggunakan peluang ini merupakan cabaran berat  terhadap golongan sosialis oleh krisis ekonomi yang paling teruk sejak tahun 1930-an.  

Sementara Monthly Review dalam editorial sulungnya tahun 2012 memilih gerakan Menduduki sebagai topik perbincangan dengan menegaskan bahawa yang akan terjadi seterusnya tidak mudah diramalkan.  Walau bagaimanapun, menoleh ke belakang, memang jelas bahawa seperti akhir tahun 2011, kita begitu hampir untuk memulakan pemberontakan global yang agung terhadap plutokrasi, iaitu golongan "satu peratus" berbanding dengan matlama gerakan ini. 

Sejak tercetusnya   Musim Bunga Arab dan membawa kepada gerakan Menduduki, atau seperti yang sering dinyatakan dari Dataran Tahrir ke Wall Street, boleh dikatakan para penganalisis dan cerdik pandai sering muncul dalam media, seperti Monthly Review, MRZine, New Left Review, Socialist Review, Counter Punch, The Nation, dan tidak  ketinggalan melalui laman web untuk membahaskan dan mengupas suatu kebangkitan yang sangat besar pada tahun 2011. Bahkan, mereka muncul lebih awal lagi, iaitu sejak krisis ekonomi tahun 2008 - tidak berdiam diri sama sekali.

Walau bagaimanapun, berikutan serangan Amerika Syarikat bersama-sama sekutunya, iaitu Britain dan Perancis (juga Nato) ke atas Libya, menyebabkan puak kiri-liberal kelihatan ganjil kerana pendirian mereka yang tidak konsisten dengan pendirian mereka berhubung dengan pencerobohan ke atas Iraq. Bahkan, Juan Cole pengkritik utama Perang Iraq, yang masih mengatakannya tidak sah, mengambil pendirian yang berbeza, seperti yang dapat dilihat melalui surat terbuka beliau kepada golongan kiri tentang Libya. 

Sesungguhnya, seperti yang dibahaskan oleh Immanuel Wallerstein dalam komentar pertamanya tahun 2012, menurut mana-mana takrif, tahun 2011,  ialah tahun baik untuk kiri dunia.   Alasan asas ialah keadaan ekonomi yang negatif yang kebanyakan dunia hadapi dengan teruk.    Pengangguran tinggi dan menjadi semakin tinggi.  Kebanyakan kerajaan memikul beban yang berat dan kurangnya pendapatan.   Akibatnya, jelas Wallerstein, ialah pemberontakan di seluruh dunia apa yang gerakan Menduduki Wall Street sebut "golongan 99 peratus."  Pemberontakan itu merupakan penentangan terhadap polarisasi berlebihan kekayaan, kerajaan yang korup, dan hakikatnya, sifat tidak demokratik kerajaan ini, sama ada mereka mempunyai sistem pelbagai parti ataupun tidak.

Namun, beliau menjelaskan bahawa bukannya  Menduduki Wall Street, atau indignados mencapai segala-gala yang  mereka harapkan.  Sememangnya, ini ialah bahawa mereka berusaha untuk mengubah wacana dunia, bergerak daripada mantera ideologi neoliberalisme kepada tema, seperti ketidaksamaan, ketidakadilan, kebijajahan. "Untuk kali pertama dalam tempoh yang panjang," bahas Wallerstein, "orang kebanyakan membincangkan betul-betul sifat sistem tempat mereka hidup; mereka tidak lagi memandang remeh."

Dalam komentar itu, Wallerstein membangkitkan persoalan kini untuk puak kiri dunia ialah bagaimana mereka boleh mara dan menterjemahkan kejayaan merewang awal ini menjadi transformasi politik.  Masalah yang mungkin dihadapi agak mudah.  Bahkan, jika dari segi ekonomi, wujud jurang yang jelas dan semakin melebar antara kumpulan yang sangat kecil (satu peratus) dengan kumpulan yang sangat besar (99 peratus), hal ini tidak mengikuti bahawa ini ialah sistem politik.  Di seluruh dunia, kuasa kanan-tengah masih memerintah kira-kira separuh penduduki dunia, atau sekurang-kurangnya mereka yang aktif dari segi politik dengan apa-apa jua pun.  

Justeru, untuk mengubah dunia, jelas beliau, "kiri dunia akan memerlukan darjah perpaduan politik yang belum mereka miliki.  Sesungguhnya, wujud percanggahan yang mendalam tentant kedua-duanya, iaitu objektif jangka panjang dengan taktik jangka pendek."

Walau bagaimanapun, Immanuel Wallerstein mengingatkan bahawa jika kiri dunia tidak menyelesaikan perbezaan antara mereka, beliau tidak yakin bahawa kiri dunia dapat memenangi pertarungan dalam 20 tahun hingga 40 tahun akan datang berhubung dengan apakah jenis sistem pengganti yang kita patut ada kerana sistem kapitalis runtuh muktamad.


Sunday, January 1, 2012

Lebuh Pasar Meniup Gusar

AHAD,  1  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Beberapa jam yang lalu, saya ke  pusat bandar Kuala Lumpur melalui jalan Masjid Negara dan Rumah Persekutuan. Terpaksa membelok ke kanan  kerana jalan Dataran Merdeka ditutup untuk sambutan tahun baru malam tadi. Ketika tiba di hadapan Wisma Straits Trading  yang  agak sesak, saya memberitahu isteri saya bahawa Straits Trading memang terkenal pada tahun 1970-an dahulu.

Tiba di  Lebuh Pasar Besar menghala ke Lebuh Ampang,  masih sesak, saya sempat memerhatikan keadaan sekitar yang dibanjiri oleh warga asing (pastinya bukan pelancong asing).   Kedai-kedai yang pada suatu masa terkenal, kini berubah wajah, menjual barang dan menyediakan perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka.  Tidak seperti dahulu, kedai-kedai ini sudah jatuh standard.   

Saya sempat berbual dengan isteri saya tentang  kawasan ini yang lebih dikenali "Bangkok Bank"  yang suatu masa dahulu perhentian bas yang agak sibuk dengan warga kota.  Di sekitar kawasan ini, terletak kedai kain yang terkenal, seperti Mun Loong (pada tahun 1990-an,  pernah disenaraikan di Bursa Malaysia) dan Fuh Nam.  

Dalam pada itu, fikiran saya menuruni jejak memori di "Bangkok Bank" yang  terkenal sebagai tempat menunggu: menunggu kawan, menunggu kekasih, menunggu pasangan.  Kini, warga asing yang terdiri daripada pekerja berkampung dan berkubu di sini yang mengaburkan sempadan negara bangsa.  Dan, tidak juga menggambarkan  budaya kosmopolitan.  Ketika tiba di lampu isyarat, saya sempat menoleh ke Jalan Tun Tan Siew Sin (dahulu dikenali Jalan Silang) yang juga menjadi perkampungan warga asing ini.  Ketika tersekat di lampu isyarat untuk ke Lebuh Ampang yang juga sesak, saya dapati ada warga asing ini lepak di bangunan yang terletak di sebelah kanan saya. 

Jauh di sudut hati, saya memikirkan bahawa  Kuala Lumpur berubah wajah menjadi huduh dengan berkampung dan berkubunya warga asing di sesetengah kawasan. Pada tahun 1980-an, heboh sekejap dengan kehadiran warga Indonesia di kawasan Chow Kit.  Kemudian, warga asing "menawan" satu demi satu kawasan kota raya ini.  Beberapa tahun lalu, iaitu pada tahun 2008, pada waktu pagi, saya pernah melihat  warga asing "menjaja" pakaian di kaki lima Jalan Sultan. Saya juga pernah melihat mereka berkumpul dan mundar-mandir di belakang hotel murah di Jalan Petaling. Saya diberitahu bahawa Jalan Petaling juga dipenuhi oleh peniaga asing (saya tidak pasti kerana  sudah lama saya tidak meninjau-ninjau di situ). Faktor utama ialah generasi baru tidak berminat meneruskan perniagaan keluarga mereka dan tiadanya tenaga kerja tempatan yang sedia berkhidmat.  Faktor tenaga menyebabkan berakhirnya  Chinatown di San Francisco, seperti yang dicatatkan oleh Bonnie Tsui dalam The Atlantic keluaran Disember.

Apabila banyak warga asing (yang terdiri daripada pekerja dan bukannya pelancong asing) boleh mencemarkan imej kota  raya Kuala Lumpur. Melihat  kehadiran mereka, fikiran saya sering  dihantui oleh pertanyaan yang berbaur resah:  Apa akan jadi terhadap kota raya ini?  Pastinya, bukan warga kosmopolitan; bukan juga penjaja dan kota; bukan tempat perantau;  bukan  kaum tani yang dibandarkan.  Pastinya juga bukan lumpenproletariat - memetik istilah Karl Marx.  


Sebenarnya, imej dan status sesebuah kawasan ditentukan oleh penghuni dan pengunjungnya.  Demikian juga dengan "Bangkok Bank" yang pernah menjadi daya tarikan, tempat warga kota berkumpul menunggu bas dan menunggu "sesuatu,"  mula muncul  dengan wajah yang ngeri, seolah-olah diterokai oleh  warga asing, meskipun muncul sekali-sekala, lazimnya hari minggu atau hari cuti umum.  

Yang jelas, kita mengalami keterhakisan budaya dan jati diri kebangsaan - sesuatu yang pastinya tidak didengar, dan bahkan menggusarkan.  Dan seterusnya, keterhakisan kesahan dan kedaulatan. 

Kereta saya dengan perlahan  memasuki Lebuh Ampang, kemudian membelok ke Jalan Melaka yang tidak lagi sesak - yang suatu masa dahulu, wujud perhentian bas di sebelah Bank Standard Chartered (kini,  sudah  berpindah), bertentangan tidak jauh dari Bangunan AIA, dan  Restoran Bilal menjadi kunjungan ramai (kini, pudar ditelan zaman).   Namun, angin gusar masih belum reda!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...