Artikel Popular

Sunday, November 6, 2011

Krisis Zon Euro: Dari Greece ke Italy

AHAD,  6 November 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Pemberontakan Arab kedua merebak ke seluruh dunia Arab, dari Tunisia ke Mesir ke Libya, dan tidak ketinggalan Syria dan Yaman.  Sementara di zon euro, krisis hutang merebak dari Greece ke Ireland,  dan kini, Italy bersaingan dengan Greece dalam berhadapan dengan krisis. Semasa sidang kemuncak G-20 yang berlangsung di Cannes, Perancis, stesen televisyen Bloomberg pada Jumaat lalu melaporkan bahawa Perdana Menteri Greece,   George Papandreou tidak dijemput dan tidak dikehendaki, manakala Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi dijemput, tetapi tidak dikehendaki. 

Pertama Greece.  Seterusnya Italy?  tulis Charlemagne, kolumnis The Economist. "Negara zon euro yang bermasalah memperoleh wang pelan penyelamat dengan syarat dan pemantauan yang ketat oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Akan tetapi, sidang kemuncak di Cannes yang berakhir hari ini, zon euro yang bermasalah tidak lagi memperoleh banyak wang, dan Italy diletakkan di bawah pemantauan IMF."  Kerajaan Silvio Berlusconi yang menghadapi masalah "kebolehpercayaan," manakala kedudukan negara itu kini secara jelas lebih teruk daripada Sepanyol, yang hingga musim panas dilihat sebagai negara yang berkemungkinan tunduk selepas Greece, Ireland, dan Portugal. 

Tatkala Greece berkemungkinan meninggalkan zon euro, Italy pula berpecah belah kerana negara itu tidak berminat untuk melakukan pembaharuan. Italy, dengan utara perindustrian yang kaya dan selatan yang miskin, ialah mikrokosma zon euro. Negara itu ialah ekonomi ketiga terbesar di zon mata wang tunggal itu, kini berhadapan dengan perjuangan sebenar untuk kekal di zon euro.  Italy memikul beban hutang dua trilion euro sama dengan kira-kira 120 peratus output negara.  Kadar faedah bon 10 tahun Italy kini meningkat kepada 6.4 peratus dalam pasaran bon global, tinggi enam peratus yang para peniaga menekan butang panik, sama ada negara itu terus meminjam. 

Walau bagaimanapun, Silvio Berlusconi menegaskan bahawa Italy tidak mempunyai masalah kewangan, meskipun kos peminjamannya meningkat kepada tahap tinggi yang bahaya dan Presiden Giorgio Napolitano memberikan amaran bahawa negara itu mengalami krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua.  Tatkala ketakutan memuncak bahawa krisis euro merebak ke Italy dan majoriti Perdana Menteri yang bermasalah berterusan kepada keruntuhan, Berlusconi semasa di Cannes, mengetepikan  laporan berakhirnya politik beliau dan menafikan pemantauan IMF yang dirancangkan terhadap program pembaharuannya adalah mengaibkan keterbatasan terhadap kedaulatan kerajaannya. Beliau menegaskan bahawa Italy adalah sangat kukuh dari segi kewangan, dengan hutangnya terkawal, menunjukkan restoran yang penuh  sebagai bukti kekuhan ekonomi.  Perdana Menteri Italy berkata beliau menolak tawan IMF untuk memperluas lini kredit kepada Italy.  

Sidang kemuncak  krisis, tetapi bagi Silvio Berlusconi hanyalah parti besar wonga-wonga, tulis Marina Hyde. Hanya seorang lelaki yang kebal daripada tekanan G-20: mempunyai pembawaan untuk menangani krisis.  Tatkala para pemimpin lain bimbang akan krisis yang melanda zon euro yang berkemungkinan besar menjadi krisis global, Berlusconi kelihatan bersahaja - muka selamba.   Bahkan, pada akhir bulan lalu, seperti didedahkan oleh The Telegraph pada akhir bulan lalu, beliau menghabiskan berjuta-juta euro untuk berfoya-foya dengan gadis panggung, seniwati, dan penyampai televisyen wanita. 

Namun, dilaporkan bahawa Berlusconi secara sukarela setuju IMF mengawasi langkah jimat-cermat yang akan dilakukannya. Tanpa langkah untuk merangsang pertumbuhan dan memotong hutang awam, kebolehpercayaan kewangan Italy adalah sangat lemah dan pasaran serta para pemimpin zon euro takut akan negara itu berkesudahan dengan kemungkiran terhadap beberapa hutangnya.  


Kini, Berlusconi menghadapi ujian yang sangat besar, isytihar David Randall dalam The Independent hari ini.  "Esok, pasaran akan mula meletakkan pertaruhan mereka pada besar kemungkinan Slvio Berlusconi menghentikan jangkitan hutang zon euro daripada merebak dari Greece ke negara yang terlalu besar untuk diselamatkan. Italy, di bawah pengawasan IMF, akan mula melihat jika kerajaan beliau dapat mengekang perbelanjaan yang telah pun menyebabkan hutang negara itu mencecah 120 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)."

Selepas Libya, arah perjalanan kereta api seterusnya adalah ke Syria; untuk zon euro pula perjalanan kereta api dari Greece ke Italy.  Pemberontakan di dunia Arab, krisis hutang di zon euro.  Untuk zon euro, mereka perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri, dan semasa di Cannes IMF memberitahu bahawa organisasi tidak cukup wang untuk menyediakan pelan penyelamat untuk zon tersebut.

SALAM AIDILADHA UNTUK RAKAN BLOG DAN FACEBOOK.



Saturday, November 5, 2011

Bahasa Inggeris Bahasa Kedua di Bumi Sendiri

SABTU, 5 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala pejuang dan pencinta bahasa Melayu berasa kecewa dan marah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memperlihatkan ketidakketegasan dalam memansuhkan  Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dan tatkala penyokong PPSMI melompat keriangan, seperti yang dapat dilihat pada tajuk depan The Star hari ini, "English All the Way" - kemenangan bahasa Inggeris, wajar juga dinyatakan bahawa bahasa itu juga bertaraf bahasa kedua di negara asalnya.    Bahkan,  pernah dibahaskan dalam editorial The Observer  beberapa bulan lalu,  "untuk bertutur dalam bahasa Inggeris sahaja, bermakna mengecilkan ufuk minda anda." 

Selain menggalakkan kanak-kanak menguasai bahasa  asing pada usia lima tahun, seperti yang disyorkan oleh Setiausaha Pendidikan, Michael Gove, data terbaharu mendedahkan bahawa satu dalam enam orang  murid sekolah rendah dan satu dalam lapan murid sekolah menengah bertutur dalam bahasa lain di rumah. Kadar kanak-kanak yang memulakan persekolahan dengan pemahaman bahasa Inggeris yang lemah secara relatif, kini berlipat ganda jika dibandingkan dengan sedekad lalu.  Di sebahagian tempat di London, sebanyak tiga perempat murid  bertutur dalam bahasa lain.  

Maksudnya di negara asalnya, bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua untuk sesetengah pelajar.  Angka yang dikutip daripada sekolah pada Januari setiap tahun menunjukkan kira-kira 16.8 peratus murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa lain di rumah pada 2010/11 berbanding dengan16 peratus pada tahun lalu.  Bilangan ini meningkat hampir satu perempat dalam masa hanya empat tahun.  Di sekolah menengah, 12.3 peratus murid bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, meningkat 11.6 peratus pada tahun lalu.

Dari segi jumlah, kira-kira 957,500 murid berusia lima tahun hingga 16 tahun bertutur dalam bahasa lain di sekolah rendah, sekolah menengah, dan sekolah khas, berbanding dengan 905,600 orang pada 2009/10.  Bilangan mereka adalah tinggi di beberapa tempat di ibu negara England, dengan 78 peratus murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Tower Hamlets, London timur, berbanding dengan 74 peratus di Newham dan 71 peratus di Wesminster.  Kadarnya mencecah kira-kira separuh di Slough, Luton, dan Leicester dan sekurang-kurangnya empat dalam 10 di Birmingham dan Blackburn. 

Tiga hari lalu, iaitu tatkala Mahyuddin Yassin bersiap sedia untuk mengenakan "paku terakhir" pada PPSMI, kemudian beliau berubah fikiran,  Christopher Howse  dengan nada yang agak hiba, seperti nada pejuang dan pencinta bahasa Melayu di negara ini:  "Jika orang Inggeris tidak bertutur bahasa Inggeris, siapa lagi?"  Dalam tulisannya yang diterbitkan dalam The Telegraph, Howse menolak pandangan Dr. Mario Saraceni, dari University of Portsmouth, bahawa England tidak memilik bahasa Inggeris.

Sebenarnya, banyak lagi tulisan atau laporan bahawa bahasa Inggeris goyah di bumi sendiri, apatah lagi dalam Kesatuan Eropah dan di dunia.  Meskipun hal seperti ini didedahkan oleh beberapa akhbar di England dan merupakan sesuatu yang menarik untuk direnungi, malangnya tidak pernah sampai ke negara kita.  Apa-apa sahaja tentang kelemahan bahasa Inggeris, sebarapa boleh diperapkan, bimbang kalau-kalau mendedah pekung di dada.  

Demikian dengan perbalahan bahasa di Belgium - kegagalan dwibahasa,  yang melibatkan penutur bahasa Perancis dengan penutur bahasa Belanda, yang menyebabkan negara itu berhadapan dengan krisis perlembagaan, tidak pernah mendapat liputan di negara kita.  

Musim Tengkujuh Malaysia

SABTU, 5 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Saya tidak pasti waktu sebenar tersebarnya keputusan kerajaan Malaysia pimpinan Najib Razak (aristokrat, autokrat, demokrat, dan...) untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik  (PPSMI)  hingga tahun 2021.  Saya mengetahuinya melalui berita Awani pukul enam petang dengan perasaan yang amat kecewa dan hati yang remuk. Setelah Muhyuddin Yassin "menggula-gulakan" bahawa PPSMI akan dimansuhkan ketika Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu baru-baru ini, bahkan berjanji dua hari lalu untuk mengenakan "paku terakhir," tiba-tiba semalam beliau berpatah balik.  

Malam tadi,  dengan perasaan yang berkecamuk itu saya cuba meninjau Facebook sambil membaca akhbar dan jurnal antarabangsa melalui Internet, saya dapati  rakan Facebook tidak serancak beberapa hari lalu yang penuh keriangan meraikan (termasuk diri saya sendiri, meskipun kadangkala rasa tidak sedap hati) ketegasan Timbalan Perdana Menteri untuk memansuhkan  PPSMI.  Daripada yang  muncul pada Facebook jelas terpancar kekecewaan dan kemarahan  yang amat sangat, termasuk saya sendiri.  

Malam tadi juga, saya diibaratkan "sudah jatuh ditimpa tangga." Dalam perasaan saya sedemikian, perut terasa lapar, pergi ke PappaRich di Jalan Cheras untuk mengisi perut dan menenangkan fikiran yang kusut itu.  Malangnya, di sana pengunjung terlalu banyak, hanya satu dua meja yang masih kosong.  Memikirkan bahawa tidak mudah mendapatkan layanan dan pesanan jika duduk di meja itu, anak saya mengajak saya pulang sahaja.

Pagi ini, ketika dan selepas berjoging, saya dihantui oleh PPSMI, seperti saya dihantuinya, pada tahun 2002 ketika pengumuman untuk melaksanakannya dibuat.  (Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat dalam Majlis Tertinggi UMNO.) Sesungguhnya, keputusan untuk "meneruskan"  PPSMI amat mengejutkan, kerana Timbalan Perdana Menteri mendapat sokongan yang padu.  Jelas bahawa beliau tidak menghargai, bahkan menolak sokongan tersebut.  Beliau menolak suatu peluang keemasan yang pastinya tidak akan muncul lagi untuk selama-lamanya.

Saya terkenang akan GMP atau Gerak Membasmikan PPSMI kerana semalam saya mencadangkan supaya diubahsuaikan menjadi Gerakan Menduduki Putrajaya atau Gerakan Menduduki PPSMI jika kerajaan meneruskan PPSMI.  Cadangan ini sejajar atau seiringan dengan apa yang berlaku di peringkat global, apabila "gerakan Menduduki" wujud di serata tempat. 

Terkenang juga saya Pemberontakan Arab  yang kini mekar di seluruh dunia: dari Dataran Tahrir ke Wall Street.  Saya yakin bahawa rakyat Arab yang bangkit memberontak di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Syria, dan beberapa negara lain tidak mengharapkan pemimpin dan kerajaan yang menggantikan elit rejim purba semesti lebih baik.  Namun, bagi mereka,  elit rejim purba yang memenatkan, yang membosankan, mesti ditumbangkan.

Demikian juga dalam konteks Malaysia, bukan bermakna kerajaan yang menggantikan elit rejim purba kelak terjamin kebaikan mereka.  Namun, masa untuk UMNO-Barisan Nasional (BN) mesti berakhir.  Rakyat, khususnya orang Melayu tidak boleh lagi bertolak ansur dengan kepimpinan mereka.  Terlalu banyak kemungkaran dan kejahatan serta kecelakaan yang UMNO-BN lakukan: daripada bahasa kepada budaya; daripada politik kepada ekonomi.

Saya tidak pasti berapa banyak pejuang atau pencinta bahasa Melayu yang akan menterjemahkan penolakan terhadap UMNO-BN dalam pilihan raya umum akan datang: mungkin 10 orang, mungkin 100 orang, mungkin 1000 orang, mungkin 10,000 orang, mungkin 100,000 orang.  Kalaupun tidak besar dari segi bilangan, mereka boleh  bergabung dengan kumpulan lain yang akhirnya muncul sebagai suatu kebangkitan rakyat, khususnya dalam kalangan orang Melayu-bumiputera. Inilah pungutan suara yang hakiki, berbanding dengan pungutan suara yang dicadangkan oleh bekas rejim, Mahathir Mohamad. Di mana-mana sahaja di dunia ini, kebangkitan rakyat menjadi kuat dan cukup bertenaga kerana wujud penggabungan dan penggemblengan, selain organisasi yang tersusun. 

Dalam ringkasan hujung minggu ini tatkala perasaan berkecamuk dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan PPSMI, saya dapat merasakan kehadiran Musim Bunga Arab.  Kalau sudah wujud "Musim Panas Israel," "Musim Bunga China," mengapa tidak boleh wujud Musim Tengkujuh Malaysia: sebuah kebangkitan rakyat untuk menumbangkan elit rejim purba ini melalui proses pilihan raya.  

Khususnya untuk pejuang dan pencinta bahasa Melayu, sesungguhnya penentangan kita terhadap  PPSMI merupakan sebuah perjuangan yang lama, sejak tahun 2002, dua orang Perdana Menteri telah berganti, dua pilihan raya telah berlalu. Justeru, kita perlu menjelmakan  segala perjuangan yang hakiki, yang abadi ini   di mana-mana jua, termasuk dalam media sosial dan berkesudahan dalam peti undi.  

Sejak semalam,  saya mendengar suara pejuang dan pencinta  semakin lantang, semakin jelas: Katakan "tidak" kepada Najib Razak.  Biarkan Najib, Muhyuddin, dan kerajaan BN meraikan kemenangan bahasa Inggeris seketika, sebelum kita semua mencampakkan mereka  dari Putrajaya.  Jangan sekali-kali memikirkan, sama ada kita membuat keputusan yang betul ataupun tidak, dalam memilih kerajaan baru.  Yang pasti, Najib dan konco-konconya mesti diadili melalui peti undi kerana selagi mereka berkuasa, selagi itu mereka beranggapan bahawa keputusan mereka mendapat restu daripada rakyat, khususnya orang Melayu, termasuk meneruskan PPSMI.  


Najib Razak dalam ucapan sulungnya sempena menjadi Perdana Menteri Malaysia kira-kira dua tahun lalu, pernah berkata bahawa kerajaan pimpinannya ialah kerajaan yang memahami denyut nadi rakyat.  Dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan PPSMI, saya berharap anda memahami denyut nadi sebilangan rakyat: "kami tidak mahu lagi melihat wajah anda (termasuk isteri anda) pada kain rentang, gegantung, di kaca televisyen, apabila tiba masanya kami berpeluang membuat keputusan."  (Saya masih ingat bahawa Najib dalam ucapan sulung itu juga tidak mahu kain rentang, gegantung yang menayangkan wajahnya;  tidak mahu disambut dengan hamparan permaidani merah.)

Untuk pejuang dan pencinta bahasa, setelah kita diaibkan oleh Najib dan Muhyuddin, kita perlu bangkit, mengangkat kepala, meninggikan suara.  Sesungguhnya, keputusan kerajaan meneruskan PPSMI, dengan itu, memberikan kemenangan kepada bahasa Inggeris, dari satu segi, menyatupadukan kita semua.  Sepatutnya kita berterima kasih kepada Muhyuddin Yassin kerana beliau memudahkan kita semua untuk  membuat keputusan yang cukup rasional lagi bijak: tolak UMNO-BN.

Musim Tengkujuh Malaysia sudah tiba, membadai gunung, membanjiri bumi, meranapkan pokok, menumbangkan UMNO-BN! 


SALAM AIDILADHA UNTUK RAKAN BLOG DAN FACEBOOK.  UNTUK MAKLUMAN, SAYA TIDAK PULANG KE KUALA TERENGGANU.  TERINGIN JUGA BERSAMA-SAMA KAWAN MINUM TEH WAKTU PETANG.

Friday, November 4, 2011

Mengapa Presiden Cristina Fernandez Menang?

JUMAAT,  4 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Mana-mana pilihan raya yang diadakan sejak berlaku krisis kewangan/ekonomi tiga tahun lalu, secara keseluruhannya tidak memihak kepada parti pemerintah.  Seperti yang dibahaskan oleh Fareed Zakaria dalam blognya, jika anda pemimpin sesebuah negara hari ini, anda berpeluang memperoleh penarafan yang rendah dari segi sejarah.  Hal ini terjadi pada Obama, Sarkozy, Merkel, bahkan juga terjadi terhadap Perdana Menteri Jepun dan India, dan para pemimpin dunia Arab.  Kita kini hidup pada era ketidakpuasan global.  Sememangnya, ini  tahun protes, dari Musim Bunga Arab ke gerakan Menduduki Wall Street di New York... ke yang sama di London, Madrid, Tokyo, dam banyak lagi.  

Namun, Fareed Zakaria berasa kagum akan pemilihan semula  Cristina Fernandez dalam pilihan raya Argentina baru-baru ini, bahkan dengan margin yang besar, 22 daripada 23 wilayah, menewaskan pencabar terdekat dengan 37 titik peratusan.  Sambil berseluruh, beliau menambah, "tidak, ini bukannya pilihan raya Rusia."  Beliau menjelaskan bahawa melihat suasana menyambut kemenangan Cristina Fernandez itu, sesungguhnya rakyat adalah gembira dan makmur.  Mereka menikmati lapan pertumbuhan, hingga meningkat sembilan peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.  Gaji tahunan meningkat sehingga 30 peratus.  Bayangkan jika bos anda menaikkan gaji anda 30 peratus tahun depan. Anda juga berasa gembira.

Ekonomi Argentina meningkat seperti turnaround yang dramatik, jelas Fareed.  Pada Disember 2001, negara itu diisytiharkan kemungkiran hutang terbesar dalam sejarah, mencetuskan kacau-bilau yang teruk ketika itu, lima orang presiden dalam masa dua minggu. Dan suatu bencana terhadap rakyat Argentina: banyak golongan kelas menengah mendapati simpanan mereka di bank lesap, membawa kepada rusuhan berdarah dan kemiskinan yang meluas.

James Petras dalam laman webnya mengemukakan analisis terperinci dan berkaedah tentang  kemenangan Cristina Fernandez , dan dalam konteks sejarah, beliau membandingkan Cristina dengan Presiden Barack Obama yang difikirkannya tidak akan dipilih semula tahun depan. Dalam konteks sejarah, bahas Petras, Argentina bergelut dengan kemelesetan, pemberontakan, dan pemulihan.

Antara tahun 1998 hingga 2002, Argentina mengalami krisis sosioekonomi yang teruk dalam sejarahnya.  Ekonomi menjunam daripada kemelesetan kepada kemelesetan skala besar, memuncak dalam pertumbuhan negatif digit berganda pada tahun 2001 - 2002.  Pengangguran mencecah lebih 25 peratus dan banyak kawasan kejiranan kelas pekerja, pengangguran lebih 50 peratus.  Berpuluh-puluh ribu orang golongan kelas menengah yang jatuh miskin beratur untuk mendapatkan roti dan sup hanya beberapa blok dari istina Presiden.  Beratus-ratus ribu orang pekerja yang menganggur, piqueteros (pemiket), menyekat lebuh raya utama dan sesetengahnya menyerbu kereta api yang mengangkut lembu dan bijian seberang laut.  Bank-bank ditutup menyebabkan berjuta-juta orang pendeposit kehilangan simpanan mereka.  Berjuta-juta orang penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan kelas menengah menganjurkan majlis kejiranan radikal dan bergabung dengan perhimpunan golongan penganggur.

"Slogan yang paling popular bagi gerakan yang begitu banyak menduduki daerah kewangan, kilang, bangunan awam, dan jalan-jalan ialah Que se vayan todos  (Semua ahli politik pergi jahanam).  Seluruh kelas politik, parti dan pemimpin, Kongres, dan presiden ditolak bulat-bulat."  


Argentina, hujah James Petras, bangkit daripada krisis kepada pertumbuhan yang dinamik.  Malapetaka ekonomi dan pemberontakan popular memberi Nestor Kirchner (Presiden sebelum ini dan suami Cristina yang telah meninggal dunia) peluang untuk melaksanakan anjakan asas daripada ketenteraan dan penjarahan spekulatif kepada program sosial dan pertumbuhan ekonomi mapan.  Kemenangan pilihan raya untuk kedua-duanya, Kirchner dan Cristina mencerminkan kemenangan mereka dalam mewujudkan negara kebajikan kapitalis "biasa." Selepas 30 tahun rejim pemangsa neoliberal yang disokong oleh Amerika Syarikat, ini merupakan perubahan positif yang sangat besar. 

Berikutan sejumlah dan benar-benar kegagalan dan bencana kemanusiaan yang berpunca daripada dasar "pasaran bebas" yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat dan Tabung Kewangan Antrabangsa (IMF), Kirchner/Cristina memungkiri hutang luaran, memiliknegarakan semula beberapa firma yang diswastakan dan dana pencen, campur tangan dalam bank-bank dan melipatgandakan perbelanjaan sosial, memperluas pelaburan awam dalam pengeluaran adn meningkatkan penggunaan popular, dalam perjalanan ke arah pemulihan ekonomi.  Pada akhir tahun 2003, Argentina berubah daripada negatif kepada pertumbuhan lapan peratus.

"Pertumbuhan dinamik Argentina dari segi Keluaran Negara Kasar (KNK) dirangsangkan oleh penggunaan domestik dan perolehan eksport dinamik.  Argentina secara tekal mempunyai lebihan perdagangan berasaskan harga pasaran yang menggalakkan dan daya saing yang meningkat," hujah Petras.

Barangkali banyak yang pemimpin negara kita harus pelajari daripada pengalaman Argentina dalam menguruskan ekonomi, dan yang tidak kurang penting, bagaimana Cristina Fernandez mencipta kejayaan untuk dipilih semula di tengah-tengah kemuraman dan kesuraman ekonomi global.  Model Baru Ekonomi, transformasi ekonomi, dan apa-apa sahaja dasar yang dilaksanakan mesti memacu pertumbuhan dan berlaku kesan lelehan, iaitu rakyat jelata dapat menikmati hasil pertumbuhan tersebut.  Jika tidak, semua pertumbuhan yang dicapai hanya sekadar angka yang  terpisah daripada rakyat jelata.

Thursday, November 3, 2011

Greece: Antara Pelan Penyelamat dengan Kedaulatan

JUMAAT,  4  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pesan orang tua-tua, sesat di hujung  jalan balik ke pangkal jalan.  Demikian tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri Greece,  George Papandreou yang akhirnya membuat keputusan untuk mengadakan pungutan suara berhubung dengan pakej pelan penyelamat yang baru yang diputuskan oleh Kesatuan Eropah minggu lalu.  Setelah bergelut krisis hutang yang menempuh jalan buntu,  Greece yang bergantung pelan penyelamat daripada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),  hilang kedaulatannya kerana dipaksa memotong perbelanjaan, melaksanakan langkah jimat-cermat, menswastakan aset negara.  


Para pemimpin Eropah pula asyik  memberikan perhatian terhadap banker dan bukannya rakyat Greece yang hidup menderita.  Sementara   dalam negara,  Greece berhadapan dengan protes rakyat jelata yang menentang langkah yang diambil oleh kerajaan, iaitu pemotongan perbelanjaan dan langkah jimat-cermat.  Seperti yang dibahaskan oleh Seumas Milne, "pelan penyelamatkan adalah untuk bank-bank, bukan untuk Greece, dan mereka mendalamkan lagi krisis demokrasi  di pusat Kesatuan Eropah. 


Setelah begitu banyak polemik, sama ada Greece patut kekal ataupun keluar daripada zon euro, sama ada menyelamat Greece itu berbaloi ataupun tidak, George Papandreou memberikan jawapannya: kembali kepada rakyat.  Setelah membiarkan dirinya dibuli oleh Kesatuan Eropah serta IMF, dan oleh dua pemimpin penting  di zon euro, iaitu Canselor Angela Merkel dan Presiden Nicolas Sarkozy, Papandreou kini berani mengangkatkan kepalanya.  Papandreou, dalam kata-kata Agustiono Fontevecchia, "detik hidup mati, kegagalan boleh menyebabkan zon euro berkecai."  Beliau, hujah Petros Fassaoulas, "jelas kehabisan modal politik. Rakan kongsinya dalam Kesatuan Eropah tidak mempercayainya. Dalam negara, banyak anggota  dalam partinya sendiri nampaknya bersedia untuk mengundi menentang rancangan pelan penyelamat yang baru (dan langkah jimat-cermat yang datang bersama-samanya)."  Dalam menghadapi pelbagai tekanan, Papandreou yakin bahawa beliau akan memperoleh "ya" yang bermakna Greece kekal di zon euro.  "Rakyat Greece mahu kami kekal di zon euro."


Sebagai respons terhadap tindakan Papandreou mengadakan pungutan suara,   Sarkozy dan Angela Merkel mengeluarkan kata dua bahawa Greece tidak lagi   menerima  wang pelan penyelamat Eropah sehinggalah negara itu memutuskan, sama ada kekal ataupun keluar daripada zon euro.  Bahkan,  Angela  berkata bahawa kestabilan zon euro lebih penting daripada Greece.  


Dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Angela Merkel, Sarkozy   berkata dengan nada sinis: "Sahabat kami Greece mesti memutuskan, sama ada mereka mahu meneruskan perjalanan bersama-sama kami.   Kami tidak boleh  berjanji wang pembayar cukai Eropah, kecuali peraturan yang diterima pakai secara sebulat suara di Brussel dihormati oleh Greece.  Pungutan suara itu tidak lebih  daripada persoalan, adakah Greece ingin kekal di zon euro, ya atau tidak."


Jika  minggu lalu dianggap minggu kematian demokrasi demi menyelesaikan krisis euro dengan bersetuju "bergunting rambut," kini demokrasi menjadi penyelesaian Greece yang sebenar.  "Siapa sangka bahawa Greece menggunakan demokrasi, perkara yang mereka cipta dahulu untuk menangani krisis ekonomi?" tanya Tim Worstall dalam Forbes.   Tambah beliau, apa yang Greece lakukan benar-benar adalah menyingkirkan tekanan yang Troika (Bank Pusat Eropah, Suruhanjaya Kesatuan Eropah, dan IMF) terhadap kerajaan Greece supaya diam dan memaksa jimat-cermat mencekik leher warganegaranya.


Berbicara tentang demokrasi, seperti yang diulas oleh The Economist berhubung dengan pungutan suara yang dicadangkan, "Jika rakyat Greece mencipta menu mereka sendiri, kita boleh mengagak bahawa Kesatuan Eropah akan meminjamkan wang kepada mereka tanpa mengenakan syarat jimat-cermat.  Akan tetapi, Jerman perlu memuaskan hati pengundi mereka sendiri; demokrasi memotong kedua-dua cara.




Heather Horn dalam The Atlantic mengemukakan tafsiran yang sangat menarik  tentang pungutan suara bahawa Greece mencari sesuatu yang  hilang, iaitu kedaulatan. "Sejak sedekad lalu atau lebih," tulis Heather, "ahli teori dan kolumnis dasar luar memberitahu kita bahawa era negara bangsa telah berakhir, kedaulatan negara telah pun terhakis, dan akan menjadi kurang relevan.  Sempadan adalah telap, warganegara dan perbadanan adalah global, dan supranasionalisme memikirkan  struktur, seperti Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) banyak sekali."


Menyanjungi pungutan suara supaya menolak pelan penyelamat, sebaliknya menerima kedaulatan, Heather berhujah, namun, tatkala para pemimpin Eropah dan pasaran terkejut pada hari Isnin itu, kedaulatan negara masih hidup dan sihat di Greece.  Pagi Isnin, Perdana Menteri Papandreous mengumumkan langkah yang meletakkan rancangan yang sukar dimenangi untuk menyelamatkan Greece pada risiko. Rakyat Greece kini mahu mengundi, sama ada mereka benar-benar mahukan pelan penyelamat yang datang dengan syarat yang ketat, dan bukannya mengucapkan "terima kasih."


Namun, perkembangan terkini melaporkan  bahawa Perdana Menteri George Papandreou akan meletakkan jawatan akibat tiada kesepakatan untuk mengadakan pungutan suara berhubung dengan keanggotaan negara itu di zon euro. Juga dilaporkan tekanan terhadap beliau supaya meletakkan jawatan semakin meningkat, beberapa jam selepas para pemimpin Eropah memberitahu bahawa beliau membahayakan rancangan pelan penyelamat besar-besaran dengan mengadakan pungutan suara.  Pungutan suara dibatalkan ketika perbincangan perpaduan nasional masih diteruskan.

Wednesday, November 2, 2011

Drama Greece

RABU,  2 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Greece bukan hanya  bumi kelahiran demokrasi, tetapi juga anarki.  Sejak dilanda krisis hutang dan yang terbaharu keputusan untuk mengadakan referendum atau pungutan suara, Greece sekali meletakkan dunia dalam kebimbangan.    Krisis zon euro yang bermula di Greece sukar diselamatkan lagi sehingga dicadangkan China menjadi penyelamat. 

Greece, tulis The Economist, "bukan hanya tempat bermulanya demokrasi, tetapi juga drama.  Terutamanya drama, yang memang banyak selepas Perdana Menteri George Papandreou, secara tergesa-gesa mengumumkan rancangan pungutan suara berhubung dengan pakej pelan penyelamat yang baru yang diluluskan dalam sidang kemuncak Kesatuan Eropah minggu lalu." 

Sekali lagi, dunia dipertontonkan drama Greece, seperti yang dikiaskan oleh editorial The Washington Post, tidak berlaku sejak tentera keluar dari perut kuda kayu dalam Troy purba, Greece mencetuskan lebih kejutan apabila pada hari Isnin lalu, Perdana Menteri George Papanderou mengejutkan Eropah, dan dunia, dengan pengumuman bahawa beliau tidak akan melaksanakan pakej jimat-cermat ekonomi yang dijanjikan sehingga para pengundi di negaranya yang terjebak dengan hutang meluluskan pungutan suara.  Tambah editorial itu lagi, pengumuman Papandreou itu dibuat menjelang sidang kemuncak G-20 di Cannes, Perancis, dan kurang seminggu selepas Kesatuan Eropah bersetuju menurunkan nilai hutang sektor swasta kepada 50 peratus, dan berbilion-bilion dolar bantuan, sebagai balasan pemotongan belanjawan kerajaan dan pembaharuan struktur.  Pengumuman itu bukan hanya membawa risiko terhadap urus janji pelan penyelamat, tetapi juga masa depan ekonomi dunia.

Tindakan beliau itu diperhatikan akan  meletakkan kerajaan pada risiko di tengah-tengah kritikan keras dari negara sendiri dan para pemimpin asing yang berkata beliau mempertaruhkan ekonomi dunia dalam bahaya.  Sejak pengumuman itu, pasaran Eropah, Amerika Syarikat, dan Asia lintang-pukang semula.

Kacau-bilau yang dicetuskan oleh hanya cadangan Papanderou untuk mengadakan pungutan suara mendedahkan mudah terjejasnya rancangan Eropah dan kurang keyakinan yang diperoleh dalam pasaran.  Para pegawai Eropah atasan, menurut Time, memberikan amaran bahawa Athens boleh dibiarkan jatuh muflis jika negara itu berjaya mengadakan pungutan suara dan para pakar berkata urus janji zon euro yang lebih luas dengan harapan untuk melindungi negara besar, seperti Italy boleh runtuh.  Akhirnya, Greece akan meninggalkan zon euro, menyebabkan kacau-bilau kewangan yang teruk dan mengheret semula ekonomi global ke dalam kemelesetan.  Namun, dijangkakan kerajaan Papandreou boleh runtuh sebelum cadangan pungutan suaran itu dilaksanakan, berikutan kehilangan sokongan besar daripada partinya sendiri.

Dalam analisis berita The New York Times, Steven Erlanger  menulis krisis zon euro akhirnya menghentak jalan berlopak politik benar, dengan rakyat Greece kini mempersoalkan, sama ada komitmen mereka terhadap Eropah dan mata wang tunggalnya masih penting lagi kepada mereka jika dibandingkan dengan kawalan terhadap masa depan dan kesejahteraan ekonomi mereka sendiri.  Kekacauan dalam kerajaan Papandreou bermakana bahawa Greece  sedang berkira-kira untuk mungkir dan kemungkinan meninggalkan zon euro bersama-sama. Banyak ahli politik Greece kelihatan menghitung pada tahap akhir ini, bahawa mereka lebih banyak kerugian dengan tunduk syarat Jerman berbanding dengan mengambil risiko kemungkiran yang berkecamuk, dan bahkan ingin bertindak sendirian dengan mata wang lamanya, iaitu drachma, di luar zon euro. 

"Jimat-cermat," hujah Erlanger, "dalam kata lain, menghadapi benar-benar politik besar yang pertama."  Beliau memetik Jean Pisani-Ferry, Pengarah Bruegel, institusi penyelidikan ekonomi di Brussels, bahawa "Ini jelas kepulangan politik."  Keputusan Papandreou untuk mendesak pungutan suara popular berhubung dengan pelan penyelamat tidak dapat dielakkan akibat kehilangan kedaulatan Greece kepada Brussels dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Canselor Angela Merkel dari Jerman dan Presiden Nicolas Sarkozy dari Perancis bertindak seolah-olahnya mereka ialah kerajaan Greece yang sebenar.


Keputusan Papanderou, meskipun menerima kritikan dari dalam dan luar negara, barisan kabinet  Greece dilaporkan memihak kepada pungutan suara, bersiap-siap untuk meninggalkan zon euro dan kembali kepada drachma. Dengan sokongan kabinet itu, beliau kelihatan kukuh, meskipun didakwa bahawa pungutan suara itu merupakan pertaruhan beliau yang terlalu jauh.  Dan kemungkinan loceng terakhir sebelum kemungkiran Greece dan meninggalkan euro.  Dengan andaian segala-galanya berjalan lancar, pungutan suara itu dirancangkan diadakan pada bulan Januari, dan isu barangkali pelan penyelamat terbaharu.  Akan tetapi, persoalan sebenar ialah: "Euro atau drachma?"

Namun, kerajaan Greece diperhatikan di pinggir keruntuhan kerana Papandreou didesak oleh kerajaannya sendiri supaya meletakkan jawatan di tengah-tengah ketakutan bahawa rakyat Greece akan menentang pakej pelan penyelamat dan pemotongan yang dalam untuk perbelanjaan awam yang dituntut oleh penajanya. Tatkala politik Greece semakin kacau-bilau, berlaku protes politik yang kuat apabila kerajaan bertindak menggantikan ketua tentera dengan pegawai yang lebih menyokong Papandreou. Jika undi adalah "Tidak" bermakna Greece terpaksa keluar daripada mata wang tunggal, membangkitkan keraguan tentang nilai euro dan melenyapkan bertrilion nilai saham dan pinjaman di seluruh benua itu.

Sejak Greece dilanda krisis hutang dan terpaksa melaksanakan langkah jimat-cermat, demonstrasi kian menjadi-jadi.  Pada bulan September lalu,  kekacauan popular berlaku, bahkan dalam bentuk lebih muktamad, diketuai oleh kesatuan sekerja yang memutuskan hubungan mereka dengan parti pemerintah.  Pekerja pihak berkuasa tempatan membiarkan sampah-sarap bertimbun di bandar-bandar.  

Lebih setahun dunia menyaksikan drama Greece, episod yang cukup panjang, penuh cemas dan suspens, tidak kurang gerun dan takut.  Meskipun beberapa kali mencapai klimaks, drama ini belum menunjukkan tanda untuk berakhir.    


Kegoyahan Ekonomi, Kekacauan Sosial

RABU,  2 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Meskipun ekonomi global secara keseluruhannya pulih pada tahun lalu, kesan pemulihan itu tidak dirasai oleh orang ramai kerana bukan sahaja kadar pertumbuhan hilang rentaknya pada tahun ini, tetapi juga kerana kadar pengangguran masih tinggi, misalnya 9.1 peratus di Amerika Syarikat dan 7.9 peratus di United Kingdom.  Pengangguran meningkat daripada 7.7 peratus kepada 7.9 peratus dalam suku kedua tahun ini, dan kemungkinan lebih tinggi.  Menurut The Economist, golongan orang muda lebih merasai kesan pengangguran yang kadarnya meningkat kepada 20.2 peratus, tertinggi sejak awal tahun 1980-an.  Rusuhan yang berlaku lazimnya berkait dengan pengangguran. 

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengeluarkan amaran  bahawa ekonomi antarabangsa yang di pinggir krisis ekonomi baru yang dalam boleh menyebabkan berjuta-juta orang di seluruh dunia dan mencetuskan kekacauan sosial. Amaran itu dikeluarkan tatkala para pemimpin G-20 sedang bersiap sedia mengadakan perbincangan di Cannes untuk mengelakkan dunia daripada terjebak semula ke dalam kemelesetan.  Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  mengingatkan bahawa  memerlukan hingga ke tahun 2016 untuk guna tenaga global dapat  kembali kepada tahap tiga tahun lalu, dan bahawa kemarahan akan merebak ke jalanan di Eropah dan negara lain. ILO berkata bahawa risiko berlakunya kekacauan sosial meningkat dalam 40 peratus di negara yang dikaji. 

"Kita sampai ke detik kebenaran," Raymond Torres, Pengarah ILO International Institute for Labour Studies, dipetik sebagai berkata, sempena penerbitan World of Work Report.  Krisis pekerjaan yang berpunca daripada kelembapan dalam  ekonomi global mencetuskan kekacauan sosial di negara maju dan negara miskin. 

Kajian ILO itu mendapati hanya separuh daripada 80 juta pekerjaan yang diperlukan untuk kembali kepada guna tenaga pada tahap prakrisis kemungkinan dicipta sepanjang dua tahun akan datang.   Dalam indeks "pergolakan sosial" baru, ILO memberitahu bahawa semakin menjadi-jadi ketakgembiraan berhubung dengan kurangnya pekerjaan dan kemarahan terhadap tanggapan bahawa beban krisis tidak dikongsi secara adil.  Indeks tersebut mencatatkan bahawa lebih 45 buah daripada 118 buah negara yang dikaji, berhadapan dengan risiko kekacauan sosial meningkat, dengan isyarat khusus ketegangan dalam Kesatuan Eropah, wilayah Arab, dan pada tahap tertentu di Asia. 

Angka rasmi yang dikeluarkan menunjukkan bahawa kadar pengangguran di 17 buah negara zon euro meningkat tinggi dalam tempoh 15 tahun, iaitu 10.2 peratus.  Orang muda terpaksa menanggung kesan teruk akibat kurangnya pekerjaan, dengan pengangguran belia 29 peratus di Italy, 43 peratus di Greece, dan 48 peratus di Sepanyol.

Selain Pemberontakan Arab yang berlaku sejak awal tahun ini, apabila seorang demi seorang rejim tumbang,  dunia menyaksikan rusuhan di kota-kota Inggeris, dan kini, Menduduki Wall Street, yang bermula di  Zuccotti Park, New York, pada 15 September, memang mengejutkan banyak pihak, termasuk penganjurnya.   Juga berlaku  Menduduki London, yang pihak berkuasa bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap penunjuk perasaan, tetapi tindakan itu mencerminkan keangkuhan  Corporation of London.  


Kini, gerakan Menduduki merebak  ke merata-rata tempat, seperti Menduduki Oregon, Menduduki Oakland,  Menduduki Denver,  yang dikemaskinikan  melalui blog. Apa yang berlaku di New York tidak kekal di New York, demikian   bunyi isytihar,   ketika Menduduki Wall Street memaksuki minggu keempat, dan merebak ke seluruh Asia dan Eropah.  Ibu kota kewangan utama yang lain, dari Hong Kong ke London, turut diduduki. 


"KIta semua penghuni, sekarang" tulis Katha Pollitt, dalam The Nation keluaran 7 November, yang dapat terlebih dahulu melalui dalam talian, dalam usaha menjadikan arus perdana Menduduki Wall Street, tatkala sokongan mencurah-curah.


"Apabila tunjuk perasaan berlaku di lebih 80 buah negara pada 15 Oktober lalu," tulis Arianna Huffington, "setengah juta orang mengadakan tunjuk perasaan di Madrid untuk meluahkan kekecewaan mereka terhadap sistem politik yang mengecewakan rakyat Sepanyol, sebagaimana kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap sistem yang mengecewakan '99 peratus' rakyat Amerika."


Immanuel Wallerstein yang mengagumi kejayaan Menduduki Wall Street, peristiwa penting politik Amerika Syarikat  sejak tahun 1968, menulis "mengapa bermula di negara itu dan apabila berlaku, dan  bukan tiga hari, tiga bulan, tiga tahun lebih awal atau kemudian, pastinya kita tidak tahu."  Wallerstein melalui laman webnya, berhujah  semakin menjadi-jadi kesengsaraan ekonomi bukan sahaja terhadap golongan yang benar-benar miskin papa, tetapi juga segmen miskin yang bekerja yang semakin membesar  (jika tidak, mereka tidak dikenali sebagai "kelas menengah");  perbuatan yang sukar dipercayai (eksploitasi, tamak) golongan satu peratus kaya dalam penduduk Amerika Syarikat ("Wall Street"); contoh kebangkitan kemarahan di seluruh dunia ("musim bunga Arab," indignados Sepanyol, pelajar Chile, kesatuan sekerja Wisconsin, dan banyak lagi).  Segala-galanya telah bermula.  


Golongan satu peratus Amerika yang menjadi sasaran penunjuk perasaan, seperti yang dibahaskan oleh Eduardo Porter dalam mempertahankan tindakan mereka,   terdiri daripada 1.4 juta  keluarga yang memperoleh pendapatan secara purata AS$1 juta pada tahun 2009, data terkini yang diperoleh.  Mereka menerima akibat krisis kewangan 2008, tetapi tanpa waswas semakin pulih.  Golongan satu peratus teratas ini menguasai jumlah pendapatan kasar terlaras di peringkat negara ialah 17 peratus pada 2009, jatuh daripada 27 peratus dari dua sebelumnya.  Akan tetapi, golongan ini masih memperoleh pendapatan yang lebih banyak berbanding dengan seluruh separuh penduduk di bahagian bawah. 


Golongan ini, jelas Barbara Ehrenreich, terdiri daripada mereka yang kesusahan akibat hutang, tiada pekerjaan, dan perampasan, mendorong akhirnya kepada fahaman kepapakedanaan dan jalanan.  Beliau juga  mendedahkan bahawa orang yang tiada tempat berteduh Menduduki Wall Street. Justeru, dalam kata-kata Rebecca Solnit, "Tanah ini ialah tanah anda (yang diduduki)" untuk mewajarkan tindakan penunjuk perasaan itu.  Walau bagaimanapun, Gordon Lafer yang menulis dalam The Nation, menjelaskan bahawa sasaran Menduduki Wall Street bukan hanya terhadap elit ekonomi semata-mata, tetapi juga terhadap sistem politik.

Musim bunga Arab, musim panas Israel, musim sejuk China, sesungguhnya,  bukan sekadar nada poetik, tetapi amaran bahawa kebangkitan rakyat muncul di mana-mana sahaja.  Atau dalam ungkapan yang lebih khusus yang dinyatakan oleh Joshua E. Keating, "dari Dataran Tahrir ke Wall Street."  Baru-baru ini, komrad dari Kaherah, memberikan suntikan semangat bahawa pejuang di  Dataran Tahrir  bersama-sama gerakan Menduduki.






Dalam keluaran 24 dan 31 Oktober, Time memberikan  liputan tentang Menduduki Wall Street, yang menurut Michael Scherer, yang pada mulanya melibatkan kumpulan punk, anarki, sosialis, penggodam, liberal,  dan seniman, semakin memperoleh rentak atau momentum. Beliau menjelaskan gerakan yang bermula di Kanada, di semua tempat.  Editor majalah antipengguna Adbusters, yang beribu pejabat di Vancouver menyeru  "detik Dataran Tahrir" pada 17 September di Manhattan bawah untuk mengadakan tunjuk perasaan terhadap kuasa yang tidak seimbang dimiliki oleh elit korporat Amerika.


 Dalam keluaran yang sama, Ayman Mohyeldin menulis "kisah dua revolusi, tentang persamaan antara Pemberontakan Arab dengan gerakan Menduduki Wall Street.  Kesamaan yang jelas ialah dari segi  semangat dan demografi tunjuk perasaan.  Kedua-duanya ditunjangi oleh golongan belia yang merasakan diri mereka dipinggirkan oleh sistem yang tidak adil.  Dari segi ekonomi pua, pertumbuhan ekonomi, seperti yang berlaku di Mesir, tetapi kekayaan baru itu  tidak  ada  kesan lelehan.  Di Amerika Syarikat, penunjuk perasaan marah akan sistem ekonomi yang menurut mereka, mementingkan golongan elit. 


Seterusnya, dalam keluaran yang berikutnya, majalah itu dalam ruang Spotlight mencatatkan cerita pendudukan yang pada 17 Oktober lalu,  di Zuccotti Park, penunjuk perasaan makan kek.   Menduduki Wall Street berlangsung satu bulan.  Meskipun Menduduki Wall Street dikritik kerana tidak mempunyai tuntutan rasmi, penganjur, Yotam Marom, berkata, "Kami menduduki Wall Street, sepatutnya jelas apakah yang kami mahu diubah."  Ruang itu juga menyatakan golongan satu peratus memperoleh pendapatan tahunan purata AS$1,530,773, manakala golongan 99 peratus berpendapatan  tahunan purata AS$54,792.  


Semakin lama ekonomi terjebak dalam kemelesetan atau kebekuan, pastinya mencetuskan kekacauan sosial yang semakin sengit.  Medan perang kelas dan perjuangan kelas semakin luas, dan pastinya berlaku di banyak negara.  Fenomena ini, sesungguhnya menyebabkan golongan berkuasa tidak lena tidur.  Yang berhadapan dengan pilihan raya akan ditumbangkan melalui peti undi, manakala rejim yang tidak kenal erti persaraan akan ditumbangkan oleh rakyat jelata.  Inilah akibat apabila berlaku pelbagai kepincangan ekonomi, seperti pembangunan tidak seimbang, pengangguran yang tinggi, ketidaksamaan agihan pendapatan, ketamakan elit, kepapaan rakyat.


Adakah para pemimpin kita menginsafi segala yang berlaku di dunia ini?  Atau mereka asyik leka dengan retorik politik yang amat  memualkan.  Keborosan peribadi serta keluarga mereka dan penyelewengan serta ketirisan yang melibatkan wang awam kian berleluasa suatu hari akan mengundang padah.  





Tuesday, November 1, 2011

Greece Mengacau Lagi

SELASA, 1 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Greece tidak henti-henti mengganggu-gugat kestabilan global, bermula dengan krisis hutangnya lebih setahun lalu.  Meskipun banyak cadangan, bahkan desakan supaya  Greece meninggalkan zon euro, negara itu tetap mahu kekal di zon mata wang bersama yang melibatkan 17 negara Eropah itu.  Tidak berapa lama selepas terjebak dalam krisis hutang, Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melancarkan pelan penyelamat 110 bilion euro dengan harapan negara itu dapat keluar daripada krisis itu.  Namun sebaliknya, pelan penyelamat baru diperlukan lagi dan kesan jangkitan merebak ke beberapa buah negara lain di zon itu.  Minggu lalu, di sidang kemuncak di Brussels, para pemimpin Kesatuan Eropah bersetuju "bergunting rambut" untuk menyelesaikan krisis hutang Greece, lalu pasaran menjadi tenang seketika.

Tiba-tiba semalam, Perdana Menteri, George Papandreou mengejutkan para pemimpin Eropah selepas beliau mencadangkan negaranya sepatut mengadakan referendum atau pungutan suara berhubung dengan peristiwa penting urus janji hutang Eropah. Pungutan suara ini dijangkakan boleh mencetuskan kucar-kacir.  Hari ini, dilaporkan pasaran kacau-bilau dengan FTSE 100 pada dagangan awal jatuh 150 mata.  Demikian juga dengan pasaran lain di Eropah, seperti Jerman, Perancis, Sepanyol, dan Italy yang dilaporkan jatuh antara 2.7 peratus hingga empat peratus berikutan tindakan Greece itu.

Namun, dari satu segi yang lain, Greece mengambil langkah wajar, iaitu kembali kepada rakyatnya sendiri berhubung dengan krisis hutang yang dihadapi.  Sejak dilanda krisis hutang, Greece bukan sahaja terpaksa mengemis daripada Kesatuan Eropah dan IMF, tetapi juga hilang kedaulatannya kerana terpaksa menswastakan aset negara.  Sementaranya rakyat negera itu pula mengadakan tunjuk perasaan saban ketika kerana menentang langkah jimat-cermat yang dilaksanakan. 











Minyak: Orde Dunia Baru

SELASA, 1  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Boleh dikatakan tidak ada seketika pun minyak terpisah daripada kehidupan harian: kenaikan harga minyak, minyak puncak, bencana alam melanda kawasan telaga minyak, cabaran Iran dan Venezuela, persengketaan di Nigeria, konflik Rusia-Georgia.  Kesan kenaikan harga minyak: syarikat petroleum mengaut keuntungan, syarikat penerbangan dan pengangkutan mengalami kerugian, pasaran saham merudum, kenaikan harga barang, kenaikan kadar inflasi, dan peningkatan kadar kemiskinan.  Tentera memerlukan minyak.  Pemimpin populis (atau pseudopopulis) memanipulasikan isu kenaikan harga minyak untuk meraih sokongan massa.  Kelembapan ekonomi, pergolakan politik, dan kekacauan sosial juga berpunca daripada kenaikan harga minyak.


Memetik John Leland yang pernah menulis dalam The New York Times, "bayangkan hidup tanpa minyak, perlu bersedia."  Atau memetik  William D. Nordhaus dalam ulasan buku dalam The New York Review of Books, "tenaga, adakah sebagai sahabat atau musuh?"


Ada yang mengatakan bahawa kenaikan harga minyak adalah kerana kekurangan bekalan minyak, sedangkan permintaan meningkat, dan kebanyakan negara pengeluar minyak mengalami minyak puncak.  Namun, ada yang menafikan minyak puncak sebagai masalahnya, tetapi masalah yang sebenar ialah politik.  Syarikat Minyak Besar mahu mengekalkan harga minyak yang tinggi.

Segala-galanya minyak.  Demikian gambaran yang sering diberikan oleh para penentang pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada tahun 2003, meskipun media yang membuat liputan tentang dasar luar Amerika terhadap Iraq dan Teluk Parsi sentiasa memalsukan idea bahawa minyak mempunyai kaitan dengan Perang Iraq.  "Cara terbaik untuk melihat apa yang berlaku hari ini di Iraq dan tempat-tempat lain," tegas Michael Klare, "adalah melalui prisma geopolitik."  Bagi Klare, geopolitik atau persaingan geopolitik, sebagaimana yang dibangkitkan dalam "The New Geopolitics" yang diterbitkan dalam Pox Americana:  Exposing the American Empire, ialah perbalahan dalam kalangan kuasa besar dan yang berhasrat menjadi kuasa besar untuk mengawal wilayah, sumber, dan kedudukan geografi yang penting. 

Dikatakan bahawa kebangkitan yang ketara dalam faham ketenteraan dan imperialisme pada permualaan abad ke-21 besar kemungkinannya merupakan usaha untuk menguasai kepentingan ekonomi dunia dan mengawal bekalan minyak dunia yang semakin berkurangan.  "Kawalan terhadap pemalam minyak," sindir Klare, "mungkin agaknya imej pelukis kartun, tetapi inilah imej yang mendorong dasar luar Amerika Syarikat sejak berakhirnya Perang Dingin, dan semakin menonjol semasa Pentadbiran Bush-Cheney."

Kelompok neokonservatif yang memegang jawatan penting semasa Pentadbiran Reagan, Pentadbiran George Bush, dan Pentadbiran George W. Bush, seperti Dick Cheney, George Schultz, Donald Rumsfeld, William Kristol, dan Zionis yang berpengaruh, seperti Richard Perle dan Paul Wolfowitz memberikan perhatian terhadap Timur Tengah dan geopolitik tentang minyak. 


Sejak tahun 1956, empat peperangan minyak berlaku:   Perang Minyak Pertama (Perang Suez - 1956), Perang Minyak Kedua (Perang Arab-Israel - 1967), Perang Minyak Ketiga (Perang Teluk - 1991), dan Perang Minyak Keempat  (Perang Iraq - 2003).  Kecuali Perang Minyak Pertama yang melibatkan Inggeris-Perancis dan Israel di satu pihak dengan Mesir di satu pihak yang lain, Perang Minyak yang seterusnya, khususnya Perang Minyak Ketiga dan Keempat melibatkan Amerika.  Apabila Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) melaksanakan embargo minyak pada tahun 1973, Amerika membuat persediaan untuk menceroboh Arab Saudi, Kuwait, dan Abu Dhabi demi memulihkan aliran minyak dan menurunkan harga komoditi itu.


Apabila Presiden Bush si ayah melancarkan serangan terhadap Iraq dalam Perang Teluk, beliau secara angkuh menggunakan istilah "orde dunia baru."   Justeru, minyak bukan sahaja merupakan faktor yang mencorakkan  geopolitik, tetapi juga menentukan  orde dunia baru. 


Baru-baru ini, Daniel Yergin menulis dalam The Washington Post tentang orde dunia baru minyak yang telah berubah wilayahnya, iaitu bukan lagi di Timur Tengah.  Untuk selama lima dekad, peta minyak dunia berpusat di Timur Tengah, dan Amerika Syarikat sentiasa bergantung pada bekalan minyak dari rantau itu. Kebergantungan ini mencorakkan dasar tenaga dan dasar ekonomi Amerika Syarikat, tetapi juga geopolitik antarabangsa, dan sesungguhnya, kekayaan seluruh ekonomi global.


Namun, hari ini, tegas Yergin, peta yang sebelum ini tidak boleh dipadamkan, telah berubah, telaga minyak tidak lagi berpusat di Timur Tengah, tetapi di hemisfera Barat.  Paksi tenaga baru bergerak dari Alberta turun ke Dakota Utara dan Texas Selatan, melampaui penemuan baru di pesisir pantai French Guyana, ke deposit yang sangat besar yang baru ditemui di luar pesisir Brazil. 




"Anjakan ini," tulis beliau, "membawa signifikan yang sangat besar untuk bekalan dan politik minyak dunia, meskipun anjakan itu berlaku secara kebetulan tanpa perancangan, sebaliknya adalah hasil kejayaan teknologi."  Untuk Amerika Syarikat, tembah beliau, "sumber baru ini menambahkan bekalan untuk keselamatan tenaga dengan cara yang tidak dijangkakan. Oleh sebab hanya sebuah pasaran minyak dunia, maka sebagaimana negara lain, Amerika Syarikat terdedah kepada gangguan pasaran, dan semata-mata saiz sumber minyak di Teluk Paris akan menjadikannya kepentingan strategik untuk ekonomi dunia.  Akan tetapi, sumber baru ini hampir dengan Amerika Syarikat yang akan menjadikan bekalan negara itu  tidak mudah terjejas." 


Sama ada dapat diperoleh di Timur Tengah ataupun di Hemisfera Barat, minyak sememangnya penting dari segi mencorakkan geopolitik dan menentukan orde dunia baru.  Dengan penemuan sumber ini di Hemisfera Barat, apakah Timur Tengah tidak penting lagi, khusunya untuk Amerika Syarikat?  Jika demikian, negara manakah yang akan memikul tanggungjawab untuk memastikan kestabilan di rantau itu?   Meskipun inovasi membolehkan peta minyak dunia dilukis semula, dan membikin semula masa depan tenaga, tanggapan bahawa Timur Tengah tidak lagi signifikan dari segi geopolitik dan orde dunia baru, agak berlebih-lebihan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...