Artikel Popular

Tuesday, November 12, 2013

Krisis Makanan Fenomena Global

SELASA,  12  November 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH





Pada awal Ogos 2011 lalu, ketika skandal penggodaman telefon di Britain masih menghantui dunia politik dan media, liputan dan ulasan tentang serangan di Norway belum reda, dan Amerika Syarikat pada saat akhir berjaya mengelak daripada krisis siling hutang, akhbar The Guardian masih mempunyai ruang untuk melaporkan belanjawan isi rumah terjejas akibat pembekuan upah dan kenaikan harga makanan.  Hanya satu perempat pekerja di Britain yang menikmati kenaikan upah pada tahun 2011, tetapi harga makanan meningkat 5.2 peratus pada tahun itu.  Memetik British Retail Consortium (BRC) bahawa harga makanan meningkat lebih lima peratus setahun lalu dan pembeli-belah semakin mencari peluang untuk tawar-menawar.
            Sesungguhnya, kini,  tidak sukar untuk menatap berita atau laporan tentang krisis makanan di seluruh dunia.  Sejak awal tahun ini dapat dikesan bahawa komoditi berpesta seperti yang berlaku pada tahun 2008.  Harga minyak mencecah yang tertinggi sejak  Oktober tahun lalu,  iaitu hampir-hampir AS$100 setong.  Harga makanan yang diukur oleh indeks The Economist kembali semula  pada harga puncak Julai 2008.  Di negara membangun, kenaikan harga makanan boleh menjadi bencana kemanusiaan, di samping bencana ekonomi.  Di Asia pada awal tahun 2008, kenaikan harga beras membawa kepada merebaknya  kekacauan dan percubaan terdesak oleh kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak bekalan. 
Laporan Oxfam bahawa sejak Julai 2010, harga banyak tanaman naik secara dramatik.  Harga jagung, gandum, dan gula semuanya meningkat lebih 70 peratus, manakala harga beras, iaitu makanan ruji untuk banyak orang di dunia miskin, bernasib baik kerana masih stabil.  Harga makanan yang tinggi dan tidak boleh diramalkan berpunca daripada kombinasi faktor yang berbeza.  Kurangnya pengeluaran akibat cuaca buruk, sebahagiannya oleh perubahan cuaca, kenaikan harga minyak menyebabkan baja dan pengangkutan lebih mahal, permintaan yang meningkat terhadap biobahan api yang mengambil alih tanah daripada pengeluaran pertanian, halangan eksport, dan pembelian panik berikutan spekulasi kewangan, semuanya memainkan peranan dalam meningkatkan harga makanan. Sementara itu,  laporan Oxfam pada akhir Mei lalu yang dipetik secara meluas meramalkan kos purata tanaman makanan utama akan meningkat antara 120 peratus hingga 180 peratus pada tahun 2030.  Oxfarm mengeluarkan amaran tekanan yang kuat terhadap orang ramai telah pun terpaksa  bersusah payah dengan makanan yang tidak cukup.  Perubahan cuaca, dengan suhunya yang tinggi dan kemarau yang panjang, akan menyebabkan sekurang-kurangnya separuh harga hadapan meningkat, terutamanya kerana kekurangan air yang mendatangkan bencana.  Keadaan ini merupakan benar-benar krisis dari segi suhu yang meningkat, kemarau yang berpanjangan, dan harga makanan yang meningkat dalam menghadapi peningkatan penduduk yang pesat.  
            Pada Julai lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan secara rasmi krisis makanan di beberapa tempat di Somalia yang kebuluran dan mengulangi gesaan yang terdesak untuk lebih banyak bantuan daripada negara penderma.  "Jika kita tidak bertindak sekarang, kebuluran akan merebak ke semua lapan wilayah Somalia selatan dalam masa dua bulan akibat hasil tanaman yang tidak menjadi dan merebaknya penyakit berjangkit," kata Mark Bowden, Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Somalia, dalam satu kenyataan.  "Kita masih memerlukan semua sumber untuk makanan, air  bersih, tempat perlindungan, dan perkhidmatan kesihatan untuk menyelamatkan nyawa beratus-ratus ribu orang Somalia yang dalam keadaan terdesak." 
            Kebuluran yang berlaku di wilayah Bakool dan Shabelle Rendah di Somalia di tengah-tengah kemarau yang teruk di Afrika timur untuk 60 tahun.  Kemarau di sana meletakkan 11 juta orang yang dianggarkan berhadapan dengan risiko, tetapi Somalia negara paling teruk  kerana negara telah punah-ranah akibat sedekad persengketaan.  Food Security and Nutrition Analysis Unit (FSNAU) memaklumkan krisis tersebut menunjukkan situasi tidak terjamin makanan yang paling serius di dunia hari ini, dari segi skala dan keterukan.  Perisytiharan itu akan menjadi yang pertama dalam siri "krisis makanan di Tanduk Afrika, dan kali pertama istilah kebuluran digunakan secara rasmi sejak hampir satu juta orang Etiopia mati kebuluran pada tahun 1984.  Lebih 11 juta orang  di Somalia, Etiopia, dan Kenya dilaporkan sangat-sangat memerlukan makanan selepas dua tahun kemarau yang membunuh kebanyakan haiwan yang hanya merupakan sumber makanan, kekayaan, dan pendapatan mereka.  
            Kebuluran, seperti yang kita pelajari sepanjang 30 tahun lalu, bukan hanya tentang kekurangan makanan, tulis Eliza Griswold dalam The Daily Beast pertengahan Julai lalu ketika krisis makanan melanda Tanduk Afrika.  “Orang ramai kebulur adalah akibat ekonomi dan politik.  Makanan berfungsi sebagai senjata, terutamanya di Somalia, yang tiada kerajaan untuk berbicara untuk lebih 20 tahun, tempoh terpanjang jika dibandingkan dengan mana-mana negara.”
Krisis makanan selalunya dikaitkan dengan pertambahan penduduk, bencana alam, seperti kemarau atau banjir, dan peperangan atau persengketaan. Kini, dunia dilanda krisis makanan sekali lagi, yang kedua dalam masa tiga tahun.  Salah satu faktornya ialah pemberontakan dan protes di dunia Arab dan tempat lain. Harga makanan dunia yang mencecah rekod pada Januari tahun ini, dipacu oleh kenaikan yang tinggi dalam harga gandum, jagung, gula, dan minyak.
Semasa Hay Festival 2011,  Deborah Doane, Pengarah World Development Movement menggesa dalam usaha mengawal kenaikan harga makanan, pasar raya sepatutnya dikawal selia dengan lebih baik.  “Pasar raya tidak berasa kesengsaraan kenaikan harga makanan. Mereka mengelakkan kesengsaraan itu dengan membebaninya terhadap para pengguna.  Kita memerlukan ombudsman pasar raya,” kata Pengarah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang melancarkan kempen bagi pihak golongan miskin di dunia.  Beliau juga menggasak bank pelaburan, seperti Goldman Sachs, yang mengaut keuntungan yang besar daripada perniagaan komoditi makanan, seperti gandum dan gula, menuduh mereka turut terlibat dalam menyebabkan kenaikan harga makanan tidak boleh mapan yang menjejaskan penduduk   di negara membangun yang terpaksa bertungkus-lumus untuk mendapatkan makanan ruji asas.
Editor Harper’s Magazine, Frederick Kaufman mendedahkan hubungan langsung antara kenaikan yang begitu tinggi kos makanan dengan Wall Street, terutamanya Goldman Sachs.  “How Goldman Sachs Created the Food Crisis”  dalam jurnal Foreign Policy  April lalu, Kaufman mengingatkan jangan salahkan orang Amerika yang berselera, kenaikan harga minyak, atau  tanaman yang diubahsuaikan dari segi genetik kenaikan harga makanan.  “Wall Street melakukan kesalahan kerana kos lingkaran makanan.” Pada tahun 2003, pasaran hadapan komoditi masih lengang, iaitu berjumlah AS$13 bilion.  Akan tetapi, apabila krisis kewangan global menyebabkan para pelabur ketakutan pada awal 2008, dan oleh sebab, paun, dan euro mengelakkan daripada keyakinan pelabur, maka komoditi, termasuk makanan, seakan-akan pilihan terakhir, tempat terbaik untuk dana lindung nilai, dana pencen, dan dana kekayaan kedaulatan untuk melabur.  Beliau memaklumkan bahawa penganalisis dari Jabatan Pertanian Amerika Syarikat memberitahunya, “Kamu mempunyai orang yang tidak mempunyai petunjuk apakah sebenarnya komoditi, tiba-tiba membeli komoditi.”  Pada 55 hari pertama 2008, spekulator mencurahkan AS$55 bilion ke dalam pasaran komoditi, dan pada Julai, AS$318 bilion memasuki pasaran.  Sejak itu, inflasi makanan masih stabil.  “Wang mengalir, dan banker bersiap sedia dengan kasino baru derivatif makanan yang berkilau-kilau. Maka, berlaku gelembung makanan.”
Frederick Kaufman mengingatkan bahawa pasaran derivatif makanan baru mencapai bahagian supranasional, di luar jangkauan undang-undang kedaulatan.  Beliau menarik perhatian bahawa turun naik yang sepatutnya mewujudkan peluang yang besar untuk kerjasama global, tetapi tidak menjadi kenyataan.  Sebaliknya, negara yang berasa gugup bertindak, seperti “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing,” daripada eksport kepada menyorok biji-bijian kepada perebutan neomerkantilis di Afrika.  Dan usaha oleh aktivis dan agensi antarabangsa yang prihatin untuk mengawal spekulasi biji-bijian lenyap entah ke mana.  Sedangkan, dana indeks terus maju, banker mengaut keuntungan, dan golongan miskin di dunia terhuyung-hayang di ambang kebuluran.
Dalam keluaran Mei/Jun, Foreign Policy menerbitkan makalah Lester Brown, “The New Geopolitics of Food” yang mengalu-alukan ekonomi makanan baru tahun 2011.  Harga makanan, tegas beliau, meningkat, tetapi impaknya tidak sama dirasai.  Bagi orang Amerika, yang membelanjakan kurang satu persepuluh pendapatan mereka di pasar raya, kenaikan harga makanan yang kita perhatikan setaka ini tahun ini adalah kejengkelan, bukannya malapetaka.  “Akan tetapi, bagi dua bilion miskin di planet ini yang membelanjakan antara 50 hingga 70 peratus pendapatan mereka untuk makanan, kenaikan harga ini mungkin bermakna terpaksa makan dari dua kali sehari ke sekali sehari.”  Beliau mengenal pasti bahawa kenaikan harga yang berlaku sekarang dipacu oleh trend kenaikan permintaan dan menjadikannya lebih sukar untuk meningkatkan pengeluaran: antaranya, pertumbuhan pendudukan yang pesat, peningkatan cuaca yang menjejaskan tanaman, dan saliran kekeringan.  Tegas beliau, “setiap malam, sebanyak 219,000 orang tambahan memerlukan makanan di peringkat global.”
Lebih membimbangkan, tiada lagi negara, seperti Amerika Syarikat pada suatu  dahulu yang mampu membekalkan biji-bijian jika mana-mana negara  dalam kesusahan, dan dengan itu, dapat mengelakkan malapetaka.  Bagi Lester Brown, itulah sebabnya krisis makanan tahun 2011 memang benar, dan mengapa boleh mencetuskan rusuhan roti bersama-sama revolusi politik, seperti yang berlaku di dunia Arab.  Jika sebelum ini dikatakan bahawa alam sekitar, perubahan cuaca, minyak, dan air akan mengancam kestabilan serantau, Brown menambah bahawa kekurangan makanan semakin membentuk politik global.
Dengan memetik pemikiran Thomas Maltus yang terkandung dalam bukunya, An Essay on the Principle of Population yang diterbitkan pada tahun 1798, Michael Schuman menulis, melihat di sekeliling kita hari ini, memang mudah untuk merumuskan bahawa Malthus adalah terus mata.  Dalam “A Future of Price Spikes” yang diterbitkan dalam majalah Time akhir Julai lalu, Schuman menegaskan wujud ketidakseimbangan antara pertumbuhan penduduk dengan bekalan makanan. Kecuali produktiviti ladang meningkat dengan pesat, maka kos makanan boleh juga meningkat.  “Harga makanan yang hampir tinggi dari segi sejarah, dipacu meningkat oleh jumlah penduduk yang lapar yang semakin besar.  Setiap kali berlaku kemarau atau banjir, maka  bangkit rasa takut akan kekurangan makanan global.  Kira-kira 925 juta orang yang masuk tidur dengan perut lapar setiap malam.”  Tambah beliau lagi, “setiap hari, kita menambah 219,000 mulut untuk disuap, sedangkan tanah, air, dan sumber lain yang diperlukan untuk mengeluarkan  makanan tambahan hampir terbatas.”  Bayangkan kesukaran yang akan dihadapi untuk menyuap setiap mulut  apabila akhir tahun ini penduduk dunia mencecah tujuh bilion orang.  Dalam makalahnya itu, Schuman memetik Lester Brown “tiada peradaban yang mampu bertahan dengan kemusnahan yang berlaku terhadap sistem sokongan semula jadinya.” 
Walau bagaimanapun, Schuman mengakui bahawa Malthus tidak semuanya betul.  Meskipun penduduk dunia meningkat kira-kira tujuh kali ganda sejak zaman beliau, pengeluaran makanan lebih atau kurang adalah sejajar dengan peningkatan penduduk itu, sekurang-kurangnya cukup bahawa kita tidak mengalami kebuluran besar-besaran.  (Berjuta-juta orang yang kebulur kerana alasan politik.)  Namun, industri makanan global mencapai titik kritikal.  Pada musim 2010-2011, kita menggunakan lebih banyak biji-bijian berbanding dengan yang kita keluarkan, dan akibatknya, harga makanan meningkat secara dramatik.  Di peringkat global, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO),  kos makanan 39 peratus lebih tinggi hari ini berbanding hanya setahun lalu.  Rizab biji-bijian merosot berbanding dengan keperluan manusia. FAO mengunjurkan bahawa pengeluaran makanan mesti meningkat 70 peratus pada tahun 2050 untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan penduduk yang berkembang.
Krisis makanan lazimnya lebih tertumpu pada tanaman di bumi berbanding dengan makanan laut yang juga merupakan keperluan manusia, yang turut berkurangan.  Hal mudah difahami kerana manusia kebulur akibat kekurangan sumber tanaman berbanding dengan sumber laut, meskipun makanan laut juga mula mencecah titik kritikal.  Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan 32 peratus stok ikan global adalah dieksploitasi secara berlebihan atau pupus.  Laporan terbaharu oleh International Programme on the State of Ocean mendapati spesies marin dunia menghadapi ancaman “yang tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia” dan perikanan berlebihan merupakan sebahagian masalah.  Tangkapan di seluruh dunia kelihatan pada tahap mendatar, iaitu kira-kira 80 juta tan setahun sejak pertengahan 1990-an.  Jumlah ikan yang ada, meskipun pada tahan mapan, tidak cukup untuk menampung  penggunaan makanan laut global, yang meningkat daripada 10 kg seorang setahun kepada hampir 17 kg seorang setahun pada masa sekarang. 
Sebagai alternatifnya, penggunaan manusia akan beralih kepada ikan ternak, seperti yang cuba diketengahkan oleh Bryan Walsh.  Dalam “The End of the Line” yang diterbitkan dalam Time pertengahan Julai, beliau menegaskan ikan merupakan makanan liar yang  terakhir, tetapi lautan kita dalam keadaan bersih terpilih.  Justeru, pilihan yang ada ialah ikan ternak menggantikan ikan yang ditangkap.  Namun,   untuk mengusahakan akuakultur memerlukan kawasan tanah dan air, sedangkan kedua-dua sumber asli itu  bukan sahaja berkurangan, bahkan semakin tidak  mampu menampung pengusahaan tanaman dan ternakan. 
Sememangnya,  Ngozi Okonjo-Iweala, Pengarah Urusan Bank Dunia, memberikan ingatan yang tepat apabila beliau berkata, “masalah keselamatan makanan merupakan masalah keselamatan global.”  Adakah para pemimpin dan penggubal dasar di negara kita menumpukan perhatian terhadap masalah ini?
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Oktober  2011.)

Monday, November 11, 2013

Kapitalisme Muflis

ISNIN,  11  November 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Kira-kira dua tahun lalu, iaitu ketika dunia  bergelut dengan krisis kewangan dan  terjebak dalam kemelesetan, sejarawan terkenal, Eric Hobsbawm, menulis dalam The Guardian bahawa abad ke-20 telah berlalu, tetapi kita masih belum belajar untuk hidup pada abad ke-21, atau sekurang-kurangnya berfikir dengan cara yang sesuai dengan abad baru ini.  Dalam makalahnya, “Socialism Has Failed.  Now Capitalisme is Bankrupt. So What Comes Next?” beliau menegaskan apa-apa jua logo ideologi yang kita terima pakai, anjakan daripada pasaran bebas kepada tindakan awam perlu lebih besar daripada pemahaman ahli politik. 
Beliau menarik perhatian bahawa kita hidup menerusi dua percubaan praktik untuk mencapainya dalam bentuk tulen masing-masing, iaitu ekonomi negara terancang secara pusat jenis Kesatuan Soviet dan ekonomi kapitalis pasaran bebas yang tidak disekat dan tidak dikawal.  Yang pertama gagal pada tahun 1980-an, manakala yang kedua gagal di hadapan mata kita sekarang ketika berlakunya krisis paling besar kapitalisme global sejak tahun 1930-an.  “Kita belum tahu lagi bagaimana serius dan berpanjangannya kesan krisis dunia sekarang,” tulis Hobsbawm, “tetapi krisis itu menandakan berakhirnya jenis kapitalisme pasaran bebas yang menguasai dunia dan kerajaan dunia pada tahun-tahun sejak Margaret Thatcher dan Presiden Ronald Reagan.”
Beliau mengiystiharkan  kapitalisme pasaran  muflis, tetapi tidak sesiapa yang berfikir secara serius untuk kembali semuula kepada sistem sosialis jenis Soviet bukan sahaja kerana  kegagalan politik mereka, bahkan juga kerana semakin lembap dan tidak cekapnya ekonomi mereka.  “Masa hadapan, seperti sekarang dan masa lalu, kepunyaan ekonomi campuran yang awam dan swasta saling menocang.”
Kegagalan sosialisme di Kesatuan Soviet dan Eropah Timur kini terbenam dalam liputan sejarah, meskipun di Amerika Latin, sosialisme memperlihatkan kebangkitan yang agak menakjubkan. Namun,  yang ingin dibahaskan di sini bukannya tentang kematian atau kebangkitan sosialisme, tetapi tentang kemuflisan kapitalisme akibat krisis yang berpanjangan.
Ekonomi yang lemah semakin lemah, manakala para pemimpin terhegeh-hegeh dan penggubal dasar terkial-kial menyebabkan keadaan bertambah buruk.  Dari Amerika Syarikat ke Eropah ke Jepun, ekonomi lembap yang diperburukkan lagi oleh tindakan sesetengah kerajaan melaksanakan langkah jimat cermat sejak tahun lalu, sedangkan pemulihan ekonomi masih lemah.  Akibatnya, dunia dijangkakan terjebak semula ke dalam kemelesetan, atau  terbenam ke dalam kemelesetan curam berganda. Bahkan, dikhuatiri bahawa dunia mungkin mengalami nasib seperti Jepun, iaitu “dekad yang hilang,” pada tahun 1992, selama 17 tahun,  apabila ekonomi lembap.
  Banyak negara masih bergelut dengan krisis hutang, misalnya di zon euro;    krisis hutang bukan sahaja berulang-alik antara Ireland dengan Greece, tetapi kesan domino  menjalar ke Portugal, Sepanyol, dan Italy.  Greece terpaksa memohon pelan penyelamat kedua baru-baru ini, setelah Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan yang pertama bernilai 110 bilion euro pada tahun lalu.  Di zon tersebut terutamanya, sebuah demi sebuah  negara bergelar “orang sakit Eropah,” dan dilabelkan dengan akronim yang jijik: daripada PIGS (Portugal, Ireland, Greece, dan Sepanyol) kepada PIIGS (dengan “I” yang baru ialah Italy). Apabila beberapa  negara terpaksa bergelut dengan krisis hutang, maka ada yang mencadangkan supaya zon yang dianggotai oleh 16 buah negara yang menggunakan mata wang bersama dibubarkan:  tidak berbaloi untuk diselamatkan.  
Dari segi krisis politik-ekonomi semasa, Amerika Syarikat dan Eropah  dikatakan “dua kali lima.”  Di Washington, para pemimpin berhujah tentang siling hutang berbulan-bulan lamanya, yang akhirnya diluluskan oleh Kongres pada saat akhir pada 2 Ogos lalu, yang nyaris-nyaris menyebabkan negara itu tidak mampu menjelaskan hutang. Sementara di Brussels, para pemimpin  mengheret Kesatuan Eropah ke kancah yang sangat dalam.  Namun, dikatakan masalah asas adalah sama;  kedua-duanya, iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mempunyai kewangan awam yang tidak terkawal dan sistem politik yang terlalu disfungsi untuk menyelesaikan masalah. 
Fareed Zakaria melalui makalahnya dalam “Special Report:  Lessons from the Debt Debacle” majalah Time keluaran pertengahan Ogos, menyenaraikan beberapa buah negara dari segi nisbah hutang sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi:  Sepanyol 74 peratus, Jerman 87 peratus, United Kingdom 89 peratus, Perancis 97 peratus, Amerika Syarikat 101 peratus, Portugal 111 peratus, Ireland 120 peratus, Italy 129 peratus, dan Greece 157 peratus.
Kini, diakui bahawa istilah “negara gagal” bukan hanya membawa maksud sesebuah negara yang gagal memerintah wilayahnya, seperti  Somalia dan pada takat tertentu, Afghanistan dan Pakistan, tetapi juga negara yang tidak dapat mengawal hal ehwal kewangannya, seperti Greece, Ireland, dan Portugal.    Greece misalnya,  hilang kedaulatannya kerana terpaksa menswastakan aset negara atas desakan Kesatuan Eropah dan IMF, kalau tidak, bantu tidak akan dihulurkan kepada negara itu.
Tatkala pertumbuhan ekonomi global pada amnya masih lemah, kadar pengangguran di sesetengah negara masih tinggi, misalnya Amerika Syarikat 9.1 peratus, United Kingdom 7.7 peratus, Jerman enam peratus, Perancis 9.7 peratus,  Belanda lima peratus, dan Sweden tujuh peratus, Italy lapan peratus, dan Sepanyol 20 peratus.  Tatkala pertumbuhan masih lemah dan pengangguran masih tinggi, pada awal Ogos lalu, dunia dirasakan sedang menjunam ke dalam krisis kewangan kedua apabila dalam masa hanya lima hari, AS$2.5 trilion lenyap daripada nilai saham global.  Dalam keadaan pasaran terumbang-ambing, pada malam Jumaat 5 Ogos lalu, agensi penarafan kredit, Standard & Poor’s  (S&P)  menurunkan penarafan kredit kedaulatan jangka panjang Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+, yang negara itu peroleh 70 tahun lalu.  Akibatnya, seperti yang dijangkakan, pada Isnin berikutnya, pasaran lintang-pukang, dari Asia ke Eropah ke Amerika Syarikat.  Pada hari itu, indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh sebanyak 635 mata (5.6 peratus), kepada 10,810 mata, hari terburuk sejak tahun 2008.
Presiden Barack Obama dalam usaha menenangkan para pelabur yang berebut-rebut mencampakkan saham mereka, mengiystiharkan bahawa Amerika Syarikat  “selalunya negara tiga A” tanpa menghiraukan gred  yang diberikan oleh agensi penarafan dan menegaskan kerajaan mengekalkan keupayaan untuk membayar hutang.  Kira-kira tiga tahun lalu, beliau berjaya mempengaruhi para pengundi yang membolehkan beliau mara ke Rumah Putih,  tetapi pada hari itu, beliau gagal meyakinkan para pelabur:  pasaran   terus merudum. 
Krisis hutang mendorong Timothy Garton Ash untuk merumuskan bahawa Amerika Syarikat dan Eropah kini  terlibat dalam kemerosotan (decadence) daya saing.  Dua tatanegara (polity) utama di Barat kelihatan tidak mampu menyelesaikan hutang dan beban defisit yang dibina oleh versi kapitalisme demokratik liberal. Dalam “Debt Crisis: In Our Competitive Decadence, We Face Eurogeddon and Dollargeddon” dalam guardian.cok.uk, Garton Ash menulis bahawa dua ekonomi terbesar di dunia terhuyung-hayang di pinggir eurogeddon dan  dollargeddon. Tegas beliau, pesaing kembar Barat dalam kemerosotan adalah berbeza dalam banyak cara, tetapi jika diteliti,  wujud persamaan yang mendalam, iaitu krisis struktur kapitalisme demokratik liberal.  “Atau jika anda lebih suka menekankan politik, demokrasi kapitalis liberal sebagaimana sistem ini dibangunkan di kawasan tengah Barat sepanjang dekad lalu.”
Di kedua-dua belah Atlantik,” tulis Garton Ash lagi, “kita hidup di luar kemampuan kita.  Perhatikan graf dan anda boleh lihat hutang korporat, isi rumah, awam yang menimbun sepanjang 40 tahun lalu.  Kini, dengan pemiliknegaraan hutang swasta berikutan krisis kewangan, dan kemerosotan pertumbuhan dan hasil kerajaan, angka hutang awam semakin bertimbun-timbun, seperti tolok suhu pada kereta yang terlalu panas, hingga tahap 90 peratus, 100 peratus, 110 peratus KDNK.
Selain ekonomi dan kewangan yang bercelaru, Amerika Syarikat dan Eropah juga berkecamuk dari segi politik, yang diistilahkan oleh Garton Ash, “peputarbelitan demokrasi” yang tunduk pada segolongan orang yang lantang demi kepentingan jangka pendek dan bukannya mencadangkan kepada kebanyakan orang apakah yang mereka perlukan dalam jangka yang lebih panjang.  “Ini ialah politik yang hiperresponsif terhadap wang, kepentingan istimewa, kempen media, kumpulan pendesak, kumpulan fokus, dan tinjauan pendapat terbaharu atau pilihan raya subnasional.”
Yang lebih memburukkan lagi keadaan, di Amerika Syarikat dan Eropah, kerajaan telah bercerai-berai atau berpecah-pecah.  Perdebatan yang memakan masa berbulan-bulan di Washington tentang siling hutang  memperlihatkan ketidakcekapan sistem politik negara itu.  Apabila S&P menurunkan gred penarafan kredit Amerika Syarikat alasan yang diberikan bukannya ekonomi, tetapi politik:  "amalan menempah bahaya politik" dalam debat tentang hutang yang menjadikan keupayaan kerajaan Amerika Syarikat untuk menguruskan kewangannya "kurang stabil, kurang berkesan, dan kurang boleh diramalkan.”
Demikian juga di Eropah yang para penggubal dasar tidak mampu  muncul dengan respons terhadap krisis hutang yang lengkap demi menenangkan pasaran.  Akibatnya, ekonomi besar di rantau itu, seperti Italy dan Sepanyol menyertai Greece dalam menghadapi krisis hutang yang teruk.  Krisis hutang zon euro mendedahkan bahawa  Eropah ketandusan kepimpinan yang amat diperlukan untuk menyelamatkan zon berkenaan daripada krisis yang berpanjangan. Pemimpin ekonomi terbesar, seperti Canselor Jerman Angela Merkel dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy tidak memperlihatkan komitmen mereka untuk menyelesaikan masalah di zon.  Alasan dari segi  ekonomi,  tidak mahu menjadikan negara mereka negara penyelamat, dan  politik,  tidak sanggup menghadapi risiko tentangan  rakyat  jika mereka membuat keputusan  menyelamatkan negara di zon euro yang bermasalah.
Eric Hobsbawm, seperti yang dipetik pada permulaan tadi, berkata,  kapitalisme muflis,  manakala Timothy Garton Ash berkata, krisis demokrasi kapitalis liberal.  Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz pula  menganggap krisis ideologi kapitalisme Barat bahawa hanya beberapa tahun lalu, ideologi yang sangat berkuasa, iaitu kepercayaan terhadap pasaran bebas dan terlepas daripada belenggu menghumban dunia di pinggir kehancuran. Dalam makalahnya yang diterbitkan dalam Social Europe Journal, beliau menegaskan,  “Bahkan, ketika hari kegemilangannya, iaitu dari awal 1980-an hingga 2007, kapitalisme gaya Amerika yang tidak dikawal selia membawa kesejahteraan kebendaan hanya untuk golongn yang sangat kaya di negara yang terkaya di dunia.  Sesungguhnya, sepanjang perjalanan kekuasaan selama 30 tahun ideologi ini, kebanyakan rakyat Amerika mendapati pendapatan mereka merosot atau beku tahun demi tahun.”  Tambah beliau, lagipun, pertumbuhan output di Amerika Syarikat adalah tidak mapan dari segi ekonomi.  Oleh sebab terlalu banyak pendapatan negara Amerika Syarikat dikuasai oleh segelintir golongan, pertumbuhan boleh berterusan hanya melalui penggunaan yang dibiayai oleh timbunan hutang yang menggunung.
Stiglitz sedar  harapannya bahawa krisis kewangan akan mengajar Amerika dan orang lain pengajaran tentang perlunya kesamaan yang lebih besar, kawal selia yang lebih kuat, dan keseimbangan yang lebih antara pasaran dengan kerajaan, tidak menjadi kenyataan.  Sebalik, tulis beliau, “kebangkitan semula ekonomi sayap kanan, dipacu seperti biasa oleh  ideologi dan kepentingan istimewa, sekali lagi mengancam ekonomi global, atau sekurang-sekurangnya ekonomi Eropah dan Amerika, tempat idea ini terus hidup subur.”
Sementara di Eropah, tegas Stiglitz, negara yang menghadapi krisis, seperti Greece dan lain-lain lagi, du jour perubatan adalah hanya sekadar pakej jimat-cermat  dan penswastaan yang sudah lapuk, yang akan mengakibatkan negara berkenaan miskin dan lebih mudah terjejas.  “Ubat ini gagal di Asia Timur, Amerika Latin, dan tempat-tempat lain,” tegas beliau, “dan langkah ini juga akan gagal di Eropah tidak berapa lama lagi, bahkan telah pun gagal di Ireland, Latvia, dan Greece.” 
Yang membimbangkan ialah dunia dikatakan menghadapi risiko kemelesetan atau lebih tepat kemelesetan curam berganda tanpa penyerap kejutan kerana kadar faedah di kebanyakan negara maju hampir sifar dan defisit fiskal hampir mencecah had selamat.  Justeru, persoalan sekarang bukan hanya terlalu besar untuk gagal, tetapi terlalu besar untuk diselamatkan.  Meskipun empat tahun berlalu dan banyak wang yang dicurahkan untuk pelan penyelamat, pakej rangsangan ekonomi, dan pemiliknegaraan bank dan institusi kewangan, krisis masih berlegar-legar di hadapan pintu menanti mangsa dengan penuh rakus.

Kematian Keynesian kali kedua apabila banyak negara melaksanakan strategi keluar dan langkah jimat-cermat, sesungguhnya  membawa padah.  Bagi kapitalisme,  yang diisytiharkan sebagai pemenang selepas berakhirnya Perang Dingin, sejak akhir-akhir ini kelihatan muflis, bukan sahaja dari segi idea, tetapi dari segi amalan.  Bersama-sama sosialisme, kapitalisme berada dalam lipatan sejarah yang sama: satu lena dalam  kegagalan, satu lagi dalam  kemuflisan.    
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2011.)

Sunday, November 10, 2013

Italy: Terlalu Besar untuk Gagal

AHAD,  10  November 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada awal Julai 2011, Simon Johnson, bekas Ketua Ahli Ekonomi di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan kini profesor di Massachusetts Institute of Technology, menulis dalam Bloomberg.com bahawa kemungkinan besar Italy menjadi mangsa domino Eropah yang seterusnya.  Meskipun parlimen Greece meluluskan langkah jimat-cermat yang baru dan menteri-menteri kewangan Eropah meluluskan pinjaman baru untuk negara itu, bagi Johnson, tidak bermakna bahawa krisis hutang di rantau itu terkawal.  Bahkan, beliau bersependapat dengan beberapa pihak lain yang tidak menolak kemungkinan bahawa Greece akhirnya mungkir.  Dan tambah Johnson lagi, yang kurang ketara, tetapi tetap membimbangkan, ialah Italy.  Dengan gambaran fiskal yang tidak menentu, negara itu menjadi sasaran tekanan yang seterusnya. 
         Pastinya, jangkaan tersebut tidak memeranjatkan sama sekali kerana apabila akronim yang jijik dilemparkan untuk beberapa buah  negara Eropah yang bergelut dengan krisis ekonomi,  iaitu bermula dengan PIGS  (Portugal, Ireland, Greece, dan Sepanyol) dan kemudian, PIIGS,   “I” yang baru itu ialah Italy. Dalam “Can Europe Be Saved” yang diterbitkan dalam Slate pada pertengahan Mei,  Nouriel Roubini dan Stephen Mihm mengingatkan bahawa negara yang secara kolektif dikenali sebagai PIIGS semakin menanggung tahap hutang awam dan swasta yang tidak mampu dipikul lagi dan masa semakin suntuk untuk menyelamatkan ekonomi negara berkenaan. Antarabangsa (IMF) dan kini profesor di Masschusetts Institute of Technology, menulis dalam Bloomberg.com bahawa kemungkinan besar Italy menjadi mangsa domino Eropah yang seterusnya.  Meskipun parlimen Greece meluluskan langkah jimat cermat yang baru dan menteri-menteri kewangan Eropah meluluskan pinjaman baru untuk negara itu, bagi Johnson tidak bermakna bahawa  krisis hutang di rantau itu terkawal. Bahkan, beliau bersependapat dengan beberapa pihak lain yang tidak menolak kemungkinan bahawa Greece akhirnya mungkir.  Dan tambah Johnson lagi, yang kurang ketara, tetapi tetap membimbangkan, ialah Italy.  Dengan gambaran fiskal yang tidak menentu, negara itu menjadi sasaran tekanan yang seterusnya.
           Pastinya, jangkaan tersebut tidak memeranjatkan sama sekali kerana apabila akronim yang jijik dilemparkan untuk beberapa buah  negara Eropah yang bergelut dengan krisis ekonomi,  iaitu bermula dengan PIGS  (Portugal, Ireland, Greece, dan Sepanyol) dan kemudian, PIIGS,   “I” yang baru itu ialah Italy. Dalam “Can Europe Be Saved” yang diterbitkan dalam Slate pada pertengahan Mei,  Nouriel Roubini dan Stephen Mihm mengingatkan bahawa negara yang secara kolektif dikenali sebagai PIIGS semakin menanggung tahap hutang awam dan swasta yang tidak mampu dipikul lagi dan masa semakin suntuk untuk menyelamatkan ekonomi negara berkenaan.
          Pada bulan berikutnya, The Economist muncul dengan “The Man Who Screwed an Entire Country” yang menyalahkan Perdana Menteri Silvio Berlusconi yang terlibat dengan pesta seks “Bunga Bunga” yang tidak mempedulikan keadaan ekonomi negaranya sama sekali.  Mungkin kerana terganggu oleh kekusutan tindakan undang-undang yang dihadapinya, Berlusconi gagal hampir sembilan tahun sebagai Perdana Menteri untuk memulihkan atau bahkan benar-benar mengakui kelemahan ekonomi Italy yang serius.  Akibatnya, Berlusconi akan meninggalkan negaranya dalam keadaan yang teruk.  Makalah itu mengakui bahawa Italy mengelakkan daripada gelembung perumahan; bank-banknya tidak meletup; kadar pengangguran adalah lapan peratus berbanding dengan lebih 20 peratus di Sepanyol; dan defisit belanjawan pada tahun 2011 ialah empat peratus berbanding enam peratus di Perancis.  Namun, ekonomi Italy tidak bebas daripada sakit:  apabila ekonomi Eropah menguncup, Italy menguncup lebih dalam; apabila Eropah tumbuh, Italy tumbuh sedikit.  Hanya Zimbabwe dan Haiti mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih rendah daripada KDNK Italy pada dekad ke tahun 2010.  Hutang awam masih 120 peratus KDNK, negara ketiga terbesar di dunia kaya, mendapati dirinya terdedah sebagai   backmarker terbesar di zon euro.
          Simon Johnson dalam makalahnya itu  membandingkan antara Greece sebuah  negara yang kecil dengan Italy untuk memperlihatkan bahaya yang menunggu jika negara itu terjebak dalam krisis hutang.   Greece  mempunyai  hutang belum bayar adalah kira 360 bilion euro dan potensi kehilangan kredit dalam mana-mana penyusunan semula adalah antara 100 bilion hingga 200 bilion euro.  Amaun tersebut adalah kecil jika dibandingkan dengan ekonomi 12 trilion euro Kesatuan Eropah.  Sebaliknya, Italy hampir dua trillion euro dalam bentuk hutang belum bayar.  Memang tidak dapat dibayangkan bahawa Jerman dan IMF mampu menyediakan pelan penyelamat untuk melindungi pemiutang Italy. Johnson memperincikan bahawa  pakej penyelamat tersebut akan melibatkan pinjaman dan jaminan sekurang-kurangnya 500 bilion euro dan kemungkinan satu trillion euro untuk meyakinkan pasaran.  Beliau merumuskan bahawa satu fakta yang serius ialah Eropah tidak mempunyai kuasa tembak fiskal untuk menangani krisis Italy, sekurang-kurangnya dalam cara untuk melindungi pemiutang sama sekali.
  Tatkala Greece masih bergelut dengan krisis hutang, bersama-sama Portugal dan Ireland,  Italy turut mendapat perhatian. Selepas Greece, Italy mempunyai nisbah hutang kedaulatan tertinggi di zon euro jika dibandingkan dengan ekonomi keseluruhan.  Ekonomi ketiga terbesar di zon euro menjadi sasaran oleh pasaran kewangan untuk kali pertama dalam masa krisis hutang melanda Eropah selama 18 bulan, European Central Bank (ECB) “mengeluarkan amaran jangkitan jika Greece dibenarkan mungkir.  “Kos peminjaman Italy,” seperti yang dilaporkan oleh guardian.co.uk, pada 11 Julai,  “mencecah tahap tertinggi dalam masa lebih satu dekad, iaitu 5.7 peratus.”  Pada hari itu,  saham Italy merosot lebih tiga peratus kerana takut bahawa negara itu menjadi mangsa seterusnya krisis zon euro yang melanda pasaran. Situasi politik yang berasak-asak di Rome dikatakan mengancam kestabilan fiskal Italy.  Kejatuhan pasaran itu berlaku  ketika menteri-menteri kewangan zon euro bersiap sedia untuk bermesyuarat di Brussels;   mereka cuba menenangkan pasaran bahawa Italy tidak memerlukan pelan penyelamat dan negara itu  mampu keluar daripada situasi  itu dengan usahanya sendiri.   Para pegawai kanan yang turut berada di kota itu berasa bimbang bahawa Italy akan menjadi mangsa krisis hutang, tetapi  jurucakap bagi Herman Van Rompuy, Presiden Majlis Eropah, menafikan bahawa mereka  akan membincangkan keadaan kewangan Italy, yang banyak pelabur  anggap semakin bahaya.
“Minggu ini, Italy cuba untuk memujuk kita bahawa dunia sepatutnya mempunyai keyakinan terhadap kedua-duanya, iaitu kestabilan politik dan kewangan.  Akan tetapi, ini tidak mudah,” tulis James Walston dalam The Telegraph pada 12 Julai.  Sebagaimana The Economist yang dipetik sebelum ini, beliau juga menyalahkan kepimpinan Silvio Berlusconi yang kini bersengketa dengan Menteri Kewangan,  Giulio Tremonti.  Dalam “The Economic  Pain Grow in Italy,” Walston, Profesor Politik di American University of Rome, menegaskan bahawa hingga baru-baru ini, Italy dapat mengelakkan daripada keterukan krisis dunia dan Eropah.  Tidak berlaku gelembung perumahan dan bank-bank adalah stabil, iaitu hampir tidak mempunyai aset toksik.  Namun begitu, beliau merujuk  agensi penarafan yang menilai kepercayaan kredit sesebuah negara untuk menunjukkan keterukan Italy:   Dua penilaian yang dilakukan, satu  ukuran kestabilan, dan satu lagi keyakinan pelabur dalam pasaran bon tentang kemampuan bayar Italy.  Tentang mata yang diperoleh untuk kedua-dua itu, petanda menjadi semakin teruk hari demi hari.
Sepanjang tahun lalu, Tremonti berulang-ulang kali mengingatkan bahawa Italy perlu mengurangkan hutangnya dan pakej jimat cermat tidak dapat dielakkan.  Sebaliknya, Berlusconi yang  menghadapi tuduhan mengadakan hubungan seks dengan pelacur bawah umur, cuba menangani penarafan penerimaan rakyat terhadap dirinya yang merosot dan semakin memecahbelahkan pakatan.  Jelas bahawa beliau kurang ghairah tentang belanjawan jimat cermat.  Persengketaan antara Berlusconi dengan Tremonti yang mendapat pujian kerana beliau menangani ekonomi ketika krisis kewangan dan kerana mengekalkan kawalan defisit belanjawan, sesungguhnya membangkitkan rasa gentar dalam kalangan pelabur.
            Krisis hutang kedaulatan di zon euro kini berlaku terlalu lama, orang ramai boleh dimaafkan kerana terfikir budak lelaki yang meneriak serigala setiap kali bab baru bermula.  Tulis David Prosser dalam The Independent pada 13 Julai lalu, “Cara peristiwa didedahkan di Italy semalam mungkin kelihatan memperkukuh semula pandangan tersebut.  Pasaran saham Eropah dibuka jatuh dengan ketara dan wujud perlumbaan untuk aset perlindungan semalat (safe-haven assets), dan hanya pulih sebaik-baik sahaja kerajaan Italy menjelaskan bahawa khabar angin bahawa mereka bersusah payah untuk melelong bon adalah tidak benar.”  Hasilnya, krisis dapat dielakkan, tetapi untuk tempoh yang terlalu singkat.  Italy mendapat pembiayaan yang diperlukan.  Euro boleh menyimpan tenaga untuk bertarung pada hari lain.  Akan tetapi, Prosser mengingatkan bahawa jangan buat silap dengan memikirkan bahawa zon euro terselamat daripada  tergelincir ke dalam  lurah yang sangat dalam.  “Tanya para pelabur dalam hutang kedaulatan Italy, yang pada suatu ketika meningkat lebih enam peratus semalam, satu tahap paling tinggi untuk tempoh lebih satu dekad.  Di Greece, Portugal, dan Ireland, tujuh peratus terbukti  menjadi titik hujung, iaitu tahap yang para pelabur memutuskan mereka tidak lagi bersedia untuk melabur dalam bon di negara-negara ini.”
            Mangsa domino yang pernah dibangkitkan oleh Simon Johnson benar-benar menghantui Italy. Tahap seterusnya krisis zon euro atau bagaimana Italy  menjadi domino keempat, tulis Andrew Watt dalam Social Europe Journal ketika menteri-menteri kewangan Eropah bermesyuarat di Brussels itu. “Kebakaran terbaharu yang berlaku ialah Italy.  Bon dan saham Italy menerima tekanan yang kuat dalam beberapa hari ini, dan liputan bon Jerman diperluas kepada kira-kira tiga titik peratusan.  Secara ringkas,  Italy yang telah lama dianggap sebagai calon untuk serangan spekulatif oleh pasaran kewangan kerana nisbah hutang yang tinggi dan disfungsi politik, tiba-tiba kelihatan seakan-akan bergoyang-goyang untuk domino keempat, mendahului Sepanyol.” 
Pada minggu kedua Julai itu pasaran digelisahkan oleh petunjuk bahawa krisis hutang yang menjadi-jadi di Eropah boleh merebak ke Italy, ekonomi ketujuh terbesar di dunia.  Negara itu menanggung hutang yang berat untuk beberapa tahun, tetapi tanda krisis muncul minggu lalu apabila para pelabur mula mencampakkan bon Italy.  Bank-bank Jerman dan Perancis memegang kira-kira AS$150 bilion dalam hutang Italy berbanding dengan hanya AS$36 bilion Greece.  Sementara bank-bank Amerika Syarikat memegang kira-kira AS$36.7 bilion dalam hutang Italy. 
Dalam usaha untuk menenangkan pasaran, IMF mendesak Italy mengambil “langkah muktamad” untuk mengurangkan hutang awamnya yang menimbulkan keraguan, sama ada negara itu mampu menanggung beban hutang yang tinggi itu.  Dalam kajian tahunannya tentang ekonomi Italy, IMF mengalu-alukan rancangan kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal hingga bawah tiga peratus KDNK pada tahun 2012 dan hampir sifar pada 2014.
Italy sendiri demi mengelakkan pelan penyelamat, seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Kewangannya, Giulio Tremonti memotong belanjawan demi menenangkan ketakutan pasaran.  Beliau berjanji untuk “menghantar isyarat yang kuat kepada pasaran”  dan pakej langkah untuk mengurangkan defisit belanjawan akan merupakan “perisai” dan diluluskan oleh parlimen dalam seminggu:  “Sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Italy.” Menteri Kewangan itu juga mengumumkan pembukaan lembaran baru penswastaan sebagai sebahagian usaha menenangkan pasaran selepas selepas tiga pasaran menyerang saham dan bonnya.  Langkah tersebut adalah untuk menggalakkan penjualan aset pihak berkuasa tempatan dan pemilikan negara dalam perbadanan besar adalah antara peruntukan baru yang dimasukkan pada saat akhir ke dalam rancangan jimat cermat bernilai 40 bilion euro yang bertujuan menyeimbangkan akaun Italy pada tahun 2014.
Tiga domino pertama, iaitu Greece, Ireland, dan Portugal, bersama-sama hanya enam peratus KDNK zon euro.  Dari segi ekonomi, masalah yang boleh diuruskan, bahkan jika politik adalah membahayakan.  Akan tetapi, Italy sahaja mewakili 16 peratus KDNK di zon itu. Bahkan, jika seluruh bergabung tenaga, sesungguhnya terlalu lemah untuk menyelamatkan Italy jika negara itu runtuh.  Jika Eropah masih nekad untuk menyelamatkannya, seluruh benteng akan runtuh!
Italy sebenarnya  terlalu besar untuk gagal.  Negara-negara lain di zon euro yang digoncangkan oleh masalah fiskal, iaitu Greece, Portugal, dan Ireland, ekonomi mereka secara relatifnya adalah kecil.  Ekonomi Italy  lebih dua kali ganda saiznya jika dibandingkan dengan gabungan tiga negara itu.  Jika para pelabur mengasak  kos peminjaman Italy ke tahap yang tidak mampu ditanggung lagi, nescaya seluruh Kesatuan Monetari Eropah dalam bahaya.  Memetik Hamish McRae yang menulis dalam The Independent tatkala kebimbangan menjadi-jadi bahawa Italy juga dilanda krisis hutang, “Euro boleh hidup (survive) jika Greece meninggalkannya, tetapi jangan Sepanyol dan Italy.”
Walau bagaimanapun, Italy dan Sepanyol, seperti yang dibahaskan oleh Ambrose Evans-Pritchard dalam The Telegraph pada 12  Julai, mesti berdoa untuk keajaiban.  Guguran dari Greece meranapkan  Portugal dan Ireland pada minggu lalu. Guguran itu menimpa Sepanyol dan Italy, negara dengan 6.3 trilion hutang awam dan swasta antara mereka.  Evans-Pritchard memetik Jacques Cailloux, ketua ahli ekonomi Eropah di RBS yang berkata, “Kami percaya krisis kedaulatan Eropah mungkin memasuki  fasa baru dengan jangkitan sampai ke ekonomi yang lebih besar.”  “Tidak jelas kepada kita bagaimana kejutan negatif terbaharu ini terhadap keyakinan akan dirungkai dengan ketiadaan respons dasar ‘kejutan dan kekaguman’.”  Bagi beliau, dengan hutang 120 peratus KDNK yang dipetik secara meluas, meletakkan Italy negara pemiutang ketiga terbesar di dunia, yang kini menimbulkan masalah.  Meskipun defisit fiskal Italy nampaknya kecil, iaitu 4.7 peratus KDNK, tidak kecil apabila diselaraskan untuk ekonomi nazak, faedah yang meningkat, dan skala stok hutang.  KDNK negara pula tidak berkembang untuk satu dekad.  Ramalan rasmi adalah 1.1 peratus  tahun ini, 1.3 peratus  2012, dan 1.5 pertus  2013, tetapi penganalisis luar berasa  murung.  Sebagaimana Sepanyol, Italy dianggap “gajah di dalam bilik,” dengan bayaran faedah hutang akan meletup dalam tiga atau empat tahun jika meningkat hingga 200 atau 300 titik asas. 

Satu saiz padan semua! Petua yang sering digunakan oleh IMF untuk menyelesaikan krisis kewangan mana-mana negara, termasuk krisis kewangan Asia Timur 1997 – 1998.  Kini, IMF bersama-sama Kesatuan Eropah memaksa  langkah jimat cermat  untuk mana-mana  negara zon euro yang bermasalah (juga kebanyakan negara lain di rantau itu): dari Ireland ke Greece ke Portugal, dan kini Italy mesti mendakap mesra  petua itu.  Dan jelas setakat ini, satu saiz padan semua belum membuahkan hasil, bahkan lebih banyak membawa keburukan.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, September 2011.)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...