Artikel Popular

Tuesday, December 27, 2011

Sains Ditekan

RABU,  28  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Dalam bukunya, The Uncertainties of Knowledge, Immanuel Wallerstein berhujah bahawa sekarang ini, sains diserang. Sains tidak lagi mendapat penghormatan yang tidak dicabar yang dinikmati dua abad lalu sebagai bentuk paling pasti kebenaran, bagi kebanyakan orang, hanya  pasti bentuk kebenaran.  Jelas beliau, dalam 20 tahun lalu, sains menghadapi serangan yang serupa yang ahli sains anggap serangan itu selama ini adalah terhadap teologi, falsafah, dan kebijakan folk. Kini, sains dituduh bersifat ideologi, subjektif, dan tidak boleh dipercayai. Jelas Wallerstein lagi, ahli sains tertakluk kepada banyak tekanan: dari luaran, iaitu daripada kerajaan, institusi yang berpengaruh atau individu, rakan sejawatan, manakala dari dalaman, iaitu daripada superego ahli sains itu sendiri.   

Kira-kira seminggu lalu, kerajaan Amerika Syarikat dilaporkan oleh beberapa akhbar, seperti The Huffington Post dan The Guardian,  meminta jurnal sains dan dua pasukan penyelidikan terbaik tidak menerbitkan perincian kajian yang kontroversi tentang virus selesema burung, dengan melahirkan kebimbangan maklumat itu digunakan untuk perbuatan jahat.  Kajian yang tidak diterbitkan dalam tangan jurnal Science dan Nature, mendedahkan bagaimana pasukan penyelidikan Belanda dan Amerika berusaha memutat virus selesema burung hingga takat yang kajian itu boleh dipindahkan secara besar-besaran dalam feret, yang dianggap peramal terbaik bagaimana virus selesema mungkin berkelakuan dalam manusia.  Kerajaan Amerika Syarikat meminta jurnal berkenaan menerbitkan hanya laporan ringkas hasil kajian atas nasihat penasihat keselamatan bio kerajaan, iaitu National Science Advisory Board for Biosecurity (NSABB). 

Pastinya, permintaan kerajaan Amerika Syarikat itu adalah dari aspek keselamatan jika jatuh ke tangan pengganas,  tetapi tidak mudah diterima  kerana seolah-olahnya ilmu pengetahuan terpaksa dikorbankan demi keselamatan. Ahli sains selesema dilaporkan  bimbang bahawa mereka tidak boleh menjalankan kajian seperti itu.  Mereka takut kedinginan mungkin menyelebungi bidang mereka, berpotensi menimbulkan kesukaran untuk menyelesaikan kajian yang bertujuan menjawab satu persoalan penting dalam sains selesema, iaitu bagaimana virus yang biasanya menjangkiti burung, babi atau haiwan lain berkembang menjadi virus yang menjangkiti manusia.  Dalam jangka pendek, keadaan ini juga semakin menyukarkan untuk menerbitkan mana-mana kajian yang  tertumpu pada persoalan ini jika kajian berkenaan berkait dengan selesema burung H5N1 yang bahaya. 

Tanpa menafikan pentingnya tindakan NSABB itu, Mark Honingsbaum yang mengemukakan latar belakang penyelidikan selesema burung itu dan menegaskan bahawa bukan kali pertama NSABB bertindak sedemikian, menyatakan bahawa banyak ahli sains meragui keupayaan H5N1 untuk mencetuskan pandemik.  Mereka mempercayai bahawa penyakit itu hilang kemudaratannya apabila memasuki badan manusia.  "Berdasarkan pengalaman lalu, sesetengah ahli sains berhujah bahawa pandemik selesema hanya disebabkan oleh virus H1, H2 atau H3, dan bukannya oleh H5.  Namun, kajian terbaharu ini menunjukkan bahawa kedua-dua andaian berkemungkinan silap.  Sesungguhnya, mana-mana virus selesema yang mampu melepasi antara feret juga boleh dipindahkan dalam kalangan manusia."  

Jelas beliau lagi, "alasan kedua mengapa penerbitan merupakan kepentingan awam adalah bahawa mengetahui mutasi  sebenar yang menjadikan virus boleh dipindahkan juga membolehkan ahli sains mencari virus itu di lapangan dan mengapa langkah kawalan yang lebih agresif."  Namun, Honingsbaum mengakui wujudnya bahaya bahawa maklumat ini juga boleh digunakan oleh pengganas. 

Beberapa persoalan sukar dalam proses penemuan saintifik, bahas Jonathan D. Moreno, adalah bukan sains, tetapi falsafah. Jelas beliau, "melampaui perhitungan jangka pendek ini, peristiwa menunjukkan pembahagian falsafah yang dalam tentang penyelidikan biologi yang boleh mengancam keselamatan negara dan kesihatan awam, satu perkara yang saya perhatikan untuk bertahun-tahun sebagai penasihat yang tidak dibayar kepada beberapa agensi kerajaan, termasuk NSABB:  Bagaimana pengelakan risiko sepatutnya komuniti sains hayat lakukan dalam era perang asimeteri?  Pada abad ke-20 negara bangsa mendapati senjata biologi menjadi sangat tidak berguna  dan tidak boleh diuruskan, tetapi pelaku bukan negara dan negara penyangak mungkin mendapati senjata itu menarik." 

Walau apa-apa pun alasannya, yang jelas sains diserang, dikawal, dan ditekan - memetik Immanuel Wallerstein sekali lagi. Akibatnya, sains hilang penghormatan dan wibawa. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...