Artikel Popular

Monday, October 3, 2011

Valkyrie Menyelamatkan Eropah?

SELASA,  4 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Orang sakit Eropah pada mulanya dikaitkan dengan Turki, tetapi kemudian merebak ke sebuah demi sebuah negara di benua itu, antaranya Italy dan Britain turut tersenarai. Akibat krisis hutang, maka banyak lagi negara tergolong dalam orang sakit Eropah:  Greece, Ireland, Portugal, dan Sepanyol. Yang terkini, defisit Greece dilaporkan  8.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mengatasi sasaran 7.6 peratus yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Tatkala banyak negara Eropah termengah-mengah untuk memacu pertumbuhan dalam suku tahun kedua 2011,  KDNK Turki dalam tempoh tersebut ialah 8.8 peratus, meletakkan negara itu di tempat kedua selepas China.

"Krisis hutang yang bermula di Greece,"  tulis  Shawn Tully, "kini mengancam untuk menumbangkan seluruh benua itu, dan membunuh pemulihan yang lemah di Amerika Syarikat.  Beliau membayangkan bahawa Eropah akan runtuh. Dalam perlumbaan mencari kapal penyelamat, Immanuel Wallerstein, meragui bahawa euro mampu melaksanakannya. "Zon euro di pinggir keruntuhan," tegas Peter Dwyer, dengan  memetik IMF bahawa ekonomi global memasuki "fasa baru bahaya," tetapi beliau menambah, "perkara yang sama untuk Kesatuan Eropah dan zon euro."  Dengan menggunakan metafora tentang malapetaka yang akan menimpa,  John Lanchester menulis dalam The New Yorker:  zon euro telah pun di dalam bilik bersama-sama gajah itu; kecuali beberapa langkah muktamad diambil, semua negara dunia akan menyertai zon itu.

Pada akhir Ogos lalu, Rana Foroohar menulis dalam Time mengisytiharkan berakhirnya Eropah dan mendedahkan bahawa Kesatuan Eropah dan zon euro tidak mampu membawa kestabilan ekonomi.  Bagi beliau, sebagaimana   banyak pengulas yang lain, euro merupakan masalah global, dan bukan setakat masalah Eropah.  Malangnya, dua buah negara yang amat kuat di zon euro, iaitu Jerman dan Perancis ketika itu, belum memperlihatkan komitmen untuk menyelamatkan mata bersama itu.  Tambah beliau, untuk sementara waktu, kedua-duanya, iaitu Eropah dan Amerika Syarikat akan terus bergelut dengan krisis orde lama.  

Tatkala Eropah bergelut dengan krisis euro yang teruk, harapan diletakkan pada Jerman yang ekonominya bukan sahaja besar,  bahkan masih  kukuh jika dibandingkan dengan negara lain di benua itu.  Namun, seperti yang dibahaskan dalam penulisan sebelum ini, "Masa Depan Euro di Tangan Jerman?" Canselor Angela Merkel nampaknya keberatan.


Meskipun minggu lalu beliau memenangi undi parlimen untuk meningkatkan kuasa mekanisme pelan penyelamat euro, "adakah zon euro selamat?"  tanya Nils Pratley, "tidak begitu cepat kerana masih wujud halangan kecil, seperti kelulusan daripada kerajaan zon euro yang lain."  Malahan, seperti yang dibahaskan oleh Amrose Evans-Pritchard, sebaik-baik sahaja Angela Merkel memperoleh mandat tersebut, "terlalu sedikit,  dan terlalu lewat."  Bagi Derek Thompson, itu sekadar berakhirnya Eropah ditangguhkan untuk tempoh yang tidak pasti, sedangkan malapetaka dahsyat tetap menanti.


Sebaliknya, di  luar parlimen, rakyat Jerman membantah "mengapa sepatutnya Jerman menjadi penjaga untuk negara lain di Eropah?" seperti yang dilaporkan oleh Fiona Govan.  Berhenti daripada meminta Jerman untuk membayar," memetik Andrew Lilico, "dan anda mungkin menyelamatkan euro."  Jerman, negara terkaya di Eropah, tegas beliau, "sepatutnya tidak memikul tanggungjawab untuk hutang yang dibina oleh Italy, Sepanyol, dan Greece lama sebelum euro ditubuhkan," meskipun peruntukan disediakan meningkat daripada 250 bilion euro kepada 440 bilion euro.


Setelah mengakui bahawa pemulihan ekonomi Amerika kini hanya berhadapan dengan dua halangan yang besar, iaitu politik yang berkecai di Amerika Syarikat dan politik yang berkecai di Eropah,  Michael Gerson menyentuh Jerman yang mempunyai kekuatan dan kemampuan:  "Akan tetapi, orang  Jerman enggan membayar bil untuk sepupu Eropah mereka yang membazir.  Dan, negara lain mempunyai banyak sekali alasan untuk berasa takut akan penguasaan Jerman di Eropah.


Melihat banyak harapan diberikan kepada Jerman yang diterajui oleh wanita untuk menyelamatkan Eropah, maka timbul persoalan ke mana perginya pemimpin lelaki di benua itu. Antara Perdana Menteri British, David Cameron yang masih belum kebah daripada kejutan skandal penggodaman telefon dan rusuhan serta penjarahan, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy yang memang hebat dari segi mencari model, dan Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi yang terkenal sebagai "kaki skru" dan asyik dengan pesta "Bunga Bunga."


Tanggungjawab diletakkan pada bahu Canselor Angela Merkel seolah-olahnya tiada alternatif.  Beliau dilihat  bagaikan  Valkyrie yang mampu menyelamatkan benua yang sakit tenat itu. "Kita orang Eropah lupa tentang budaya bersama kita, iaitu di Greece bahawa wira tragik dicipta.  Alahai, wira yang tidak ditemui di mana-mana sekarang ini, tetapi wujud tragedi yang banyak sekali: zon euro yang terapung-apung, pasaran yang tersesat, orang ramai meneriakkan kehampaan mereka di jalanan, orang Eropah dan Amerika menyalahkan antara satu sama lain kerana tiadanya penyelesaian bersama mereka dalam menghadapi krisis kewangan."  Ulas Christine Ockrent dengan nada hampa  dalam The New York Times, "Where Have All the Heroes Gone?"




Justeru, tegas beliau, "letakkan harapan pada srikandi, iaitu Angela Merkel.  Pengundian di Bundestag pada hari Khamis akan merupakan detik kebenaran beliau."  Tambah Christine, "Mampukah beliau mengharungi gelombang seperti Valkrie yang nekad untuk menyelamatkan Eropah? Itulah yang benar-benar apa yang diharapkan daripada beliau.  Sarkozy mungkin mempunyai keazaman politik, tetapi kurang kebaikan belanjawan dan kelebihan ekonomi.  Merkel seorang diri mampu melaksanakan kerja:  Beliau mesti meyakinkan parlimennya dan warganya bahawa adalah menjadi kepentingan untuk memastikan Kesatuan Eropah, euro, dan bahkan rakyat Greece selamat, atau akan berlaku kegawatan global yang maha besar.


Tidak seperti bebarapa pengulas lain, Christine meletakkan harapan yang sungguh tinggi kepada Angela Merkel untuk menyelamatkan Eropah, dengan menulis:  "Masa beliau tiba untuk memainkan peranan utama dalam drama Eropah.  Dan jika beliau melakukannya, mungkin Eropah akan mendapat katarsisnya yang diperlukan secara terdesak."


Dengan menobatkan Angela Merkel sebagai Valkrie, sesungguhnya menandakan harapan yang menggunung diletakkan pada beliau. Namun, perlu diakui bahawa Valkrie zaman moden ini tidak sama dengan Valkrie dalam mitologi.  Mungkin harapan sekadar tinggal harapan sahaja.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...