Artikel Popular

Tuesday, April 12, 2011

Sebab Pulut Santan Binasa

SELASA,  12 April 2011 

Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

 Menembak tokoh politik, menurut takrif  adalah "politik."  Tulis James  Fallow dalam The Atlantic.com selepas  berlakunya   amuk  di Tucson, Arizona, pada 8 Januari 2011 lalu.  Tembakan di tempat letak kereta itu   dilakukan seorang diri oleh Jared  Lee Loughner, mengorbankan enam nyawa, dan 14 orang cedera, termasuk  anggota Kongres Demokrat, Gabrielle Giffords yang terpaksa  bertarung dengan maut. Meskipun pembunuh itu  dikatakan mentalnya tidak stabil atau tidak siuman,   orang  ramai  cuba  dimaklumkan dan diyakinkan bahawa tragedi itu antaranya berpunca daripada retorik politik yang  menggunakan bahasa yang keras  hingga mewujudkan budaya “kebencian.” 

Syerif Daerah Pima,  Clarence Dupnik yang bertanggungjawab menyiasat kes itu mengakui bahawa bahasa keterlaluan digunakan di Arizona, kedua-duanya di radio dan televisyen.  Itu mungkin kebebasan bersuara, tetapi membawa padahnya.  Beliau juga dilaporkan berkata bahawa beliau takut  Arizona menjadi sarang prasangka dan ketaksuban.

Retorik golongan sayap kanan yang berapi-api berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kewujudan “iklim” budaya yang luar biasa menggalakkan seseorang menjadi pembunuh orang ternama. Bahasa yang sedikit keras dipercayai mungkin mempengaruhi kelakuan golongan remaja.   Seperti yang diperhatikan oleh majalah The Economist,  hos radio dan televisyen sayap kanan,  secara rutin menurut kemahuan dalam bahasa penentangan bersenjata terhadap pemimpin kejam yang tinggal di Washington, DC, seperti yang difikirkan bahawa  Barack Obama ialah penjelamaan semula King George III yang dibenci  dan mereka pula ialah wira revolusi.

Para wartawan dan cerdik pandai politik sayap kiri  menuduh  retorik Sarah Palin dan gerakan Tea Party menyumbang kepada persekitaran politik toksik yang berlaku sekarang.  Bekas Gabenor Alaska, bekas calon Naib Presiden, dan salah seorang bakal calon Pilihan Raya Presiden 2012  itu  menggunakan bahasa yang keras, seperti menggesa para penyokong “mengisi semula peluru”  selepas  kalah dalam perdebatan penjagaan kesihatan.  Sarah terkenal dengan menggunakan bahasa  dan tindakan keterlaluan, seperti  menggunakan beberapa metafora ketenteraan, iaitu  “putar dan isi” (lock and load) dan bercakap tentang “menyasarkan” pihak lawan. Peta  tumpuan minat   (crosshairs) dan imejan senjata api  di daerah 20 anggota Kongres Demokrat, termasuk Gabrielle  dalam laman web Sarah  turut dikaitkan dengan pembunuhan itu.   Tumpuan  minat hampir serta-merta menjadi simbol yang kuat terhadap apa  yang telah berlaku dan   menjadi bahasa politik. 

Bekas Senator dan  bekas calon Demokrat untuk  Pilihan Raya  Presiden, Gary Hart  menyalahkan simbol, seperti tumpuan minat  dan penggunaan perkataan, seperti “disasarkan.”  Bagi Hart, “hari ini kita menyaksikan akibat retorik ini.”  Sementara National Jewish Democratic Council menganggap serangan itu sebagai menunjukkan debat politik yang berpunca daripada polarisasi.  Iklim politik di Amerika, dan retorik politik hari ini, bagi mereka,   banyak menyumbang kepada rasa sakit hati yang membuak-buak dalam wacana politik Amerika yang pastinya menyumbang kepada suasana yang tercetusnya kejadian berkenaan. 

Menurut kajian, bahasa kelaki-lakian (maskulin) dan kasar sering digunakan dalam pilihan raya  dan kempen di Amerika Syarikat, terutamanya oleh kaum lelaki yang mewakili golongan sayap kanan kerana mereka takut ditanggapi sebagai wanita.  Dalam masyarakat seksis,   tidak ada  lagi yang teruk selain disebut budak perempuan.  Justeru, tidak kelihatan  mustahil bahawa ahli politik wanita yang konservatif  berasa perlu menjajakan idea mereka dalam bentuk gender dan bahasa yang keras supaya sesuai dengan hak yang dimaskulinkan. Dalam Pilihan Raya Separuh Penggal 2010,  frasa dan sentimen man up paling popular.  Sesetengah  calon menuduh pihak lawan tidak “cukup lelaki,” dan  “bukan sifat lelaki;” kalau dalam bahasa kita, “bukan anak jantan.”  

Kajian yang berjudul  Advertising Trends in 2010 mendapati “nada suara” iklan kempen lebih berunsur  negatif  jika dibandingkan beberapa  pilihan raya sebelum ini.  Membahagikan iklan ke dalam kategori iklan menyerang, iklan promosi, dan iklan kontras, kajian berkenaan mendapati 53.5 peratus iklan kempen ialah iklan menyerang.  Calon Republikan lebih bersifat menyerang (ofensif) jika dibandingkan dengan calon Demokrat, dengan 56.8 peratus  semua iklan Republikan   bersifat iklan menyerang berbanding 52.5 peratus iklan Demokrat.

Kurang seminggu selepas kejadian itu,  USA Today/Gallup  mendedahkan  tinjauan pendapat  bahawa  42 peratus orang ramai  berkata bahawa retorik politik bukannya faktor sama sekali dalam  kejadian tembakan itu, 22 peratus berkata  faktor kecil, dan 20 peratus berkata faktor utama. Dan hampir bilangan yang sama orang ramai berkata bahawa Republikan, Tea Party, dan Demokrat  semua “pergi terlalu jauh dalam menggunakan bahasa mengapi-apikan” untuk mengkritik lawan mereka.

Walau bagaimanapun, Sarah Palin dalam video yang dipaparkan pada Internet mempertahankan retorik kempennya dan menyebut “tidak bertanggungjawab”  dan “fitnah bertulis darah” (blood libel) untuk menyalahkan bahasa politik terhadap tembakan di Arizona itu.  Beliau menolak bahawa wujudnya hubungan antara bahasa politik dengan keganasan.  Malangnya,  “fitnah bertulis darah” itu juga mengundang kontroversi dan debat yang hangat.  Beberapa pemimpin Yahudi mengkritik pemilihan kata Sarah itu kerana “fitnah bertulis darah” itu merujuk kepercayaan anti-Semitik bahawa orang Yahudi menggunakan darah kanak-kanak Kristian untuk upacara keagamaan mereka.  Sementara cerdik pandai politik menganggap bahawa  Sarah sememangnya  jahil dari segi maksud “fitnah bertulis darah” dan  menuduh bahawa  beliau tidak pernah belajar daripada kesilapannya. 

Meskipun tuduhan yang dilemparkan terhadap Sarah Palin yang cuba mengaitkan kegemarannya menggunakan bahasa yang keras dianggap  tidak berasas dan tidak adil sama sekali, namun  kritikan yang datangnya daripada beberapa individu daripada partinya sendiri, iaitu Republikan, yang meletakkan beliau dalam keadaan  sukar.   “Saya fikir bahawa beliau sepatutnya bertindak perlahan dan lebih berhati-hati dan memikirkan semasak-masak apakah yang beliau kata dan bagaimana beliau mengatakannya,” kata  Newt Gingrich, seorang lagi bakal calon Pilihan Raya Presiden 2012.  “Beliau sebenarnya patut berhenti  bercakap sekarang,” kata David Frum, bekas penulis ucapan Presiden George W. Bush.

Apabila sesuatu tragedi berlaku, seperti kejadian amuk di Tucson, lebih-lebih lagi di negara yang berbelah bagi atau tidak sepakat, seperti Amerika Syarikat sekarang,  sesetengah pihak  lebih gemar menuding jari, iaitu menyalahkan antara satu  sama  lain.  Maka, ada yang membangkitkan bahawa Presiden Barack Obama pada tahun 2008  juga  menggunakan metafora seakan-akan peperangan dalam memerikan  politik:   “Jika mereka bawa pisau untuk bergaduh, kita bawa senapang,” tetapi tidak pernah diungkitkan  mencetuskan keganasan.

Juga  dihujahkan bahawa penggunaan bahasa yang keras dalam politik ada kewajarannya.   Pertempuran dan peperangan adalah paling rutin dalam metafora politik, tulis  Charles Krauthammer dalam akhbar Washington Post.  “Dan untuk alasan yang jelas.  Dari segi sejarah, semua politik demokratik merupakan sublimasi perjalanan purba kepada kuasa, iaitu penaklukan ketenteraan.  Itulah sebab bahasa berkenaan wujud.  Itulah sebabnya kita kata tanpa apa-apa rasa malu terhadap perkara, seperti ‘negeri medan pertempuran’ atau  ‘menyasarkan’ pihak lawan.”  Tegas  Krauthammer, “sesungguhnya, betul-betul perkataan untuk pertandingan pilihan raya, iaitu ‘kempen’ adalah pengambilan daripada perang.

Sesuatu yang boleh dipelajari dan diteladani daripada tragedi Tucson itu ialah ahli politik di negara kita, mereka bukan sahaja wajar memperlihatkan perangai dan fiil yang elok, bahkan juga menunjukkan kebijakan dari segi tutur kata.  Sesungguhnya,  bahasa yang keras dan keterlaluan boleh membawa bencana.

               (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Mac 2011.) 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...