Artikel Popular

Saturday, March 12, 2011

Kisah Seks Gandhi

SABTU,  12  Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Mahatma Gandhi, seperti yang diketahui umum, pemimpin kerohanian dan pemimpin politik yang sangat dihormati.  Beliau memperjuangkan kemerdekaan India daripada penjajahan British melalui penentangan tanpa kekerasan, dan beliau diberikan penghormatan Bapa Negara India.  Penentangan tanpa kekerasan memang sebati dengan beliau, bahkan  penentangan seperti ini pernah dicadangkan untuk penduduk Palestin dalam menghadapi  kekejaman rejim Israel.  Apabila baru-baru ini, rakyat Mesir melancarkan penentangan  terhadap Hosni Mubarak, seorang pengulas berkata, “Gandhi di Nile.”  Gandhi hidup secara merendah diri, “dengan kain sehelai sepinggang,” meskipun beliau berkelulusan undang-undang dari England dan pendapatan profesionnya sebagai peguam di Afrika Selatan agak lumayan.
Namun, kira-kira setahun lalu,  The Independent menerbitkan makalah yang agak memeranjatkan, “Thrill of the Chaste: The Truth about Gandhi's Sex Life.”  Memang tidak  ada rahsia bahawa Mohandas Gandhi mempunyai kehidupan seks yang luar biasa.  Lapor akhbar itu, “beliau sering bercakap tentang seks dan memberikan tunjuk ajar yang terperinci, selalunya provokatif kepada pengikutnya seperti bagaimana mereka mungkin mengamalkan kesucian.”
Gandhi yang lahir di Gujarat pada tahun 1883 berkahwin ketika berusia 13 tahun  dengan Kasturbai (kemudian dipanggil Kasturba)  yang berusia 14 tahun.  Pengantin muda ini mempunyai kehidupan seks yang biasa, berkongsi katil dalam bilik yang berasingan di rumah keluarga Gandhi, dan tidak lama kemudian, Kasturba  mengandung.
Kehidupan Gandhi, seperti yang dibahaskan dalam The Oxonian Review, merupakan cabaran paling besar untuk penulis biografi.  Untuk beliau, segala-galanya mempesonakan: kehidupan politik, kehidupan kerohanian, kehidupan keluarga, dan kehidupan seks. Hubungannya dengan makanan boleh memenuhi satu jilid.”
Jad Adams dalam Gandhi:  Naked Ambition (Quercus, London, 323 hlm., RM87.95), menyusurgalurkan perjalanan hidup pelbagai wajah Gandhi, dan perkembangan yang mengiringi agama, politik, dan pemikiran sosial beliau sepanjang tujuh dekad yang huru-hara.  Jad Adams juga memeriksa dengan teliti percanggahan manusia yang paling kompleks ini, antaranya pencinta damai  sepanjang hayat yang melayan isteri dan anak-anak lelakinya dengan yang disempadani kekejaman.
Kasturba, menurut Jad Adams tidak mempunyai pendidikan formal, dan buta huruf, maka Gandhi bercadang untuk memberikan tunjuk ajar kepada isterinya.  Namun, Gandhi mengakui bahawa selain isterinya sendiri keberatan, beliau juga berasa dukacita  bahawa “cinta yang penuh nafsu” menyebabkan beliau tidak mempunyai masa untuk membimbing isterinya.  “Saya pasti,” kata Gandhi, “cinta saya pada dia tidak dirosakkan oleh nafsu syahwat sama sekali, dia akan menjadi isteri yang terpelajar pada hari ini.”
Pada suatu malam, 16  November 1885, Gandhi bercadang mengadakan hubungan seks dengan  Kasturba, lalu dikejutkannya isterinya itu.  Tiba-tiba berapa minit kemudian, orang gaji datang di muka pintu.  Gandhi yang bingkas dari katil diberitahu bahawa ayahnya telah meninggal dunia.  Beliau berasa sedih kerana ayahnya meninggal tidak dalam pelukannya dan berasa malu kerana pada saat ayahnya  nazak, beliau masih mempunyai  keinginan untuk bersetubuh.
Gandhi bergaul dengan kawan abangnya, Syeikh Mehtab – budak nakal yang  mengajar  beliau  makan daging – amalan yang ajaran Hindu larang  -  ketika  beliau berusia 14 atau 15 tahun.  Syeikh Mehtab  sanggup mengeluarkan duit untuk Gandhi, meskipun dia bukannya daripada keluarga kaya, seperti keluarga Gandhi.  Mehtab, tulis Jad Adams, membawa Gandhi makan di restoran, bahkan pernah membawa beliau ke rumah pelacuran.  “Beliau duduk di atas katil berdekatan dengan pelacur, tetapi lidahnya kelu; beliau tidak memberitahu apakah usaha yang dilakukan oleh pelacur itu untuk menaikkan nafsunya,  tetapi akhirnya pelacur itu hilang sabar dan menghalau beliau keluar.” Gandhi mengakui bahawa Mehtab yang menyebabkan beliau terpedaya ke dalam amalan  merokok, mencuri, makan daging, dan seks.
Idea Gandhi tentang diet dan seks, tulis Adams, kelihatan idiosinkratik hingga takat mania, tetapi wujud alasan psikologi mengapa diet yang berbeza berfungsi untuk merendahkan keinginan seksnya.  Pada bahagian lain, Adams menulis, rasa meluat Gandhi terhadap seks berpunca daripada kepercayaannya bahawa beliau mesti mengawal keinginan seksnya yang kuat atau beliau tidak dapat memperoleh keagungan kerohanian.
Di  sebalik kehidupannya yang terlalu merendah diri,  keinginannya terhadap  wanita lain pula ceritanya. Sifat romantiknya boleh mengalahkan lelaki romeo.  Beliau dikatakan tertarik pada Saraladevi Choudhurani, aktivis nasionalis Bengali, anak saudara Rabindranath Tagore.  Ketika suaminya, Rambhuj Dutt Choudjhuri dalam tahanan, Saraladevi menjadi tuan rumahnya semasa beliau melawat Punjab.  Pada tahun 1920, apabila Gandhi buat pertama kali tinggal di rumah Saraladevi, wanita itu berumur 47 tahun, manakala beliau berumur 50. Wanita itu mempamerkan semua keupayaan intelektualnya, teman wanita yang Kasturba tidak pernah berikan.  “Saya menyebutnya isteri kerohanian saya,”  tulis Gandhi dalam suratnya kepada Kallenbach.  “Seorang sahabat menyebutnya perkahwinan intelektual.”
Pada Mac 1920, Gandhi tinggal bersama-sama Saraladevi dan menulis dalam istilah penuh kasih sayang biasa:  “Saraladevi mencurahkan  kasih sayang dalam setiap cara yang mungkin.”  Apabila beliau merasa tidak sihat, beliau menulis kepada  wanita itu dengan penuh mesra:  “Saya masih belum sihat hari ini.  Saya mesti terbaring di atas  katil.  Kamu  terus menjelma dalam diri  saya, bahkan ketika saya tidur.”
Meskipun bentuk fizikalnya tidak menawan, tulis Jad Adams, “Gandhi menjadi daya tarikan kepada wanita dan beliau berasa seronok dengan perhatian mereka.  Saraladevi  hanya yang paling serius yang beliau pernah temui.”   Biasanya daya tarikan itu  datangnya daripada wanita yang belum berkahwin yang tinggal dalam komuniti agama (ashram), seperti mubaligh Denmark, Easther Faering yang menerima banyak surat meluahkan perasaan daripada  Gandhi.  Menurut pemerhatian Millie Polak yang mentafsirkan daya tarikan Gandhi:  “Kebanyakan wanita jatuh cinta pada lelaki kerana sifat lelaki itu yang biasanya dianggap maskulin.  Namun, Mahatma Gandhi dicurahkan kasih sayang oleh  banyak wanita kerana kewanitaannya.”
Dalam komuniti agama, lelaki dan wanita diasingkan, dan Gandhi menasihatkan bahawa suami tidak sepatutnya bersama-sama isteri mereka, dan apabila mereka naik berahi, mereka sepatutnya mandi air sejuk.  Namun, peraturan itu tidak dikenakan pada dirinya sendiri.  Sushila Nayar, doktor peribadi Gandhi menemani Gandhi sejak dia kecil lagi.  Dia selalu  tidur dan mandi bersama-sama Gandhi.
“Tidak apa-apa yang istimewa tidur dengan Bapu... kata Sushila.  Saya biasa tidur dengan beliau, sebagaimana saya tidur dengan ibu saya.  Beliau mungkin kata, ‘belakang saya gatal, tolong garu.’  Jadi, saya garu  atau berbaring di atas badannya dan beliau mungkin hanya pergi tidur.” 
Gandhi sendiri pernah menjelaskan bahawa beliau mandi  bersama-sama  Sushila tidak salah.  “Ketika dia mandi, saya menutup mata saya rapat-rapat.  Saya tidak tahu,  sama ada dia mandi telanjang ataupun memakai seluar dalam.  Saya boleh beritahu daripada bunyi dia menggunakan sabun. Saya tidak melihat mana-mana bahagian badannya yang setiap orang di sini tidak akan lihat.” Kemudian, dia mengurut Gandhi ketika beliau baring berbogel.  Beliau berbincang tentang seks secara terperinci dengan Sushila yang pada tahun 1938 berusia 24 tahun. 
Pada tahun 1970-an, Sushila pernah mendedahkan bahawa hubungan fizikal Gandhi dengan wanita  adalah sebahagian gaya hidup.  “Kemudian, apabila orang ramai mula menanyakan soalan hubungan fizikalnya dengan wanita – dengan Manu (cucu saudaranya), dengan Abba (seorang lagi cucu saudaranya), dengan saya – idea eksperimen brahmacharya dibangunkan.”
Apabila Gandhi semakin tua dan berikutan kematian isterinya, Kasturba, beliau mempunyai lebih banyak wanita  di kelilingnya dan merayu wanita supaya tidur dengannya. Pada waktu dinihari 17  Disember 1946 berlaku pergaduhan antara Gandhi dengan Sushila yang dikatakan  berpunca daripada eksperimen seks beliau dengan wanita yang hampir separuh umur Sushila.  Manu Gandhi yang berusia 19 tahun ialah cucu saudara Gandhi yang beliau selalu sebut cucunya.  Ketika berusia 12 tahun, ibunya meninggal dunia dan dia  dijaga oleh Kasturba.  Selepas Kasturba meninggal dunia, Gandhi menjadi “ibu” gadis itu.  Kedua-duanya, tulis Adams, pernah tidur bersama-sama dalam keadaan bogel, bahkan Gandhi pernah memberitahu Pyarelal, “Gadis itu tidur berbogel, tetapi dia tidur lena.” 
Gandhi mengaitkan keadaan fizikalnya sendiri dengan betul-betul kelangsungan India bersatu.  Beliau dilaporkan berkata percubaan seks, “Jika saya dapat menguasainya, saya masih dapat menewaskan Jinah.” 
Kelakuan seks Gandhi dibincangkan dan dikritik secara meluas.  Beliau menulis surat kepada anak lelakinya, Manilal:  “Jangan biarkan hakikat Manu tidur bersama-sama saya mengganggu kamu.  Saya percaya bahawa Tuhan menggalakkan saya melakukannya.” 
Kehidupan seks Gandhi diketahui umum dan membangkitkan kegelisahan dalam kalangan kawannya.  Jawaharlal Nehru, meskipun menghormati Gandhi kerana kuasanya terhadap rakyat jelata, terlalu kritikal terhadap kelakuan seksnya itu yang Nehru jelaskan pada tahun 1936 sebagai “luar biasa dan memeranjatkan ... saya fikir Gandhiji sesungguhnya, silap dalam perkara ini.”  Sir C.P. Ramaswami Iyer, Perdana Menteri Travancore pernah memberitahu Lord Mountbatten bahawa Gandhi “sangat bahaya,  gila seks separuh tertekan.”
Dalam buku ini, Jad Adams, sejarawan bebas dan pengeluar program televisyen cuba mendedahkan bahawa,  walaupun dari segi perjuangan membebaskan India, Gandhi telah berjaya, tetapi dalam kekeluargaan, beliau gagal:  sebagai suami,  sebagai bapa, dan  sebagai saudara kandung.  Lebih menarik lagi,  Adams mendedahkan kisah seks yang agak luar biasa yang jarang-jarang diketahui umum.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...