Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Saya berasa agak lega apabila Malaysia mencapai kedudukan yang lebih baik dari segi daya saing, seperti yang dinyatakan dalam Global Competitiveness Report 2011-2012, iaitu ke tangga ke-21 dari tangga ke-26 tahun lalu, daripada 142 buah negara. Perasaan lega ini bukan kerana saya beranggapan bahawa dasar liberalisasi dan transformasi ekonomi yang dilaksanakan Najib Razak mula membuahkan hasil, seperti yang ditafsirkan oleh sesetengah pihak, termasuk cerdik pandai yang arif tentang ekonomi. Saya juga berasa lega kerana peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun lalu, dengan pencapaiannya untuk separuh pertama 2011 melebihi RM20 bilion.
Setiap kali laporan daya saing dan pelaburan langsung asing dimaklumkan, saya berasa bimbang akan kedudukan atau prestasi Malaysia merosot. Jika berlaku kemerosotan, alasan yang sering digembar-gemburkan hingga mengaburi kelemahan atau kepincangan faktor lain, terutamanya ekonomi dan politik, ialah tenaga buruh atau sumber manusia lemah dari segi kecekapan bahasa Inggeris. Secara tersirat, tafsiran tersebut cuba meletakkan bahasa Melayu sebagai 'bajingan."
Bahkan, pada hari ini pun, iaitu tatkala kerajaan "melompat keriangan" akan kedudukan Malaysia dari segi daya saing global dan pelaburan langsung asing yang lebih baik secara relatifnya, masih ada surat pembaca dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris menggesa Kementerian Pelajaran meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) dalam bahasa Inggeris, dan mengatakan bahawa mengapa pelabur asing meninggalkan negara ini kerana kurangnya kecekapan bahasa Inggeris dalam kalangan sumber manusia. Mana satu betul tentang angka ini? Meningkat atau merosot? Selain itu, tidak dinyatakan ke negara manakah para pelabur ini pergi selepas mereka meninggalkan Malaysia. Adakah mereka ke negara yang penuturnya berbahasa Inggeris?
Sesungguhnya, pandangan sedemikian, tidak kira dari mana sekalipun datangnya, amat mengelirukan, dwistandard, dan tidak bertanggungjawab sama sekali. Apabila kedudukan atau prestasi negara merosot, cepat-cepat kelemahan kecekapan bahasa Inggeris dijadikan alasan dengan motif tersirat supaya kerajaan mengubah dasar bahasa kebangsaan. Sebaliknya, apabila kedudukan atau prestasi Malaysia bertambah baik, seperti yang dapat dilihat dalam peningkatan daya saing global yang terbaharu dan pelaburan langsung asing, tiada siapa yang sudi menyatakan alasan bahawa sumber manusia di negara ini, sememangnya, menguasai bahasa Inggeris. Jauh sekali, untuk mengakui bahawa faktor bahasa kurang relevan dalam mengukur kedudukan dan prestasi Malaysia.
Kalau seseorang itu beria-ria benar mengaitkan hubungan sebab-musabab dengan kecekapan bahasa Inggeris, sepatutnya dia bercakap lebih konsisten sepanjang masa. Sesungguhnya, tidak wajar apabila daya saing Malaysia dan pelaburan langsung asing merosot, seseorang dengan pantas mengaitkannya dengan kelemahan kecekapan bahasa Inggeris. Sebaliknya, apabila ada berita gembira tentang kedua-dua perkara itu, kecekapan bahasa Inggeris diperapkan sama sekali, atau langsung tidak kedengaran.
Demikian juga jika seseorang itu berminat mengatakan bahawa kedudukan atau prestasi Malaysia yang lebih baik adalah kerana dasar liberalisasi dan transformasi ekonomi yang dilaksanakan oleh Najib, orang berkenaan juga tidak sepatutnya lupa mengaitkan dasar tersebut jika kedudukan atau prestasi negara adalah sebaliknya.
Pokok pangkalnya, seseorang itu perlu menjalankan kerja rumah, bukan secara semborono, dalam mengaitkan hubungan sebab-musabab. Seseorang itu juga tidak wajar untuk bersifat dwistandard, dalam erti kata merujuk sumber atau data antarabangsa hanya jika maklumat itu memihak kepada dirinya. Sebaliknya, dia bertindak menyembunyikannya apabila maklumat itu tidak memihak pada dirinya.
Meskipun kita hidup dalam masyarakat berilmu, hakikatnya kejahilan masih berleluasa. Dan lebih membimbangkan jika kejahilan itu datangnya daripada orang yang mendakwa dirinya terpelajar dan berpandangan global, tetapi tiba-tiba menyembunyikan dirinya di dalam gua.
Bercakaplah tentang sesuatu secara jujur, bukannya menjadi pemutar belit! Cukuplah orang politik menjadi pemutar belit.
Bercakaplah tentang sesuatu secara jujur, bukannya menjadi pemutar belit! Cukuplah orang politik menjadi pemutar belit.
No comments:
Post a Comment