Artikel Popular

Sunday, September 18, 2011

September Resah, Pemimpin Gelisah

AHAD,  18  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Haris Zalkapli,  pengulas tempatan tentang politik dan hal ehwal antarabangsa, menulis  dalam Facebook-nya dua hari lalu, "Najib, Anwar, dan Makna 16 September" yang pastinya membawa makna yang berbeza antara seorang pemimpin yang sedang bersemayam di Putrajaya,  dengan yang  seorang lagi, yang gagal menawan pusat pentadbiran Persekutuan, tetapi masih belum berputus asa. 

Sesungguhnya, bulan September sarat dengan peristiwa:  penggulingan Presiden Allende di Chile,  serangan ke atas New York dan Pentagon,  kemuflisan Lehman Brothers yang menyebabkan pasaran saham global lintang-pukang. Agar sentiasa kekal dalam memori,  dua hari lalu, kita rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.   

Bagi Presiden Barack Obama, seperti yang ditulis oleh Dan Balz dalam The Washington Post pada hari ini,  satu lagi September ketidakpuasan hati. "Ini bulan September dan Barack Obama dalam kesukaran.  Angka tinjauan pendapatnya jatuh, dan berlaku pergolakan dalam partilnya dan dalam kalangan penyokongnya.  Sesetengah anggota Demokrat mula meragui, sama ada golongan dalamannya mampu menjalankan tugas.  Mereka mendesak dilakukan perubahan terhadap Obama dan pasukannya."


Bagi Presiden Obama dan para penasihatnya, tambah Balz, hal ini mungkin cerita  hari ini, tetapi juga cerita pada September 2007, September 2008, dan pada takat tertentu September 2009 dan September 2010.  Obama berjaya mengharungi dua ribut pertama, tetapi terpaksa untuk melepasi dua yang kemudian itu. "Manakah sejarah yang berulang?" tanya Balz.  Bolehkan beliau bergantung pada nasib baik yang menolong beliau sebelum ini?  Bolehkan beliau menyeru dirnya sendiri perubahan yang mungkin diperlukan masa ini? 


Balz menjelaskan bahawa anggota Demokrat yang gugup tidak pasti setakat ini.  Pegawai Rumah Putih berkata bahawa mereka memang sedar bagaimana beratnya masalah mereka, tetapi percaya perkara akan menjadi cerah dari segi politik pada bulan mendatang.  Untuk pilihan raya tahun hadapan, beliau memetik penasihat kanan Obama, iaitu David Plouffe yang berkata:  "Kami memahami situasi yang sangat bahaya yang kami terpaksa tempuhi, tetapi kami fikir kami mempunyai jalan hadapan.  Akan tetapi, kita tidak banyak mempunyai margin untuk ralat."




Seperti yang dinyatakan dalam beberapa penulisan sebelum ini, pertumbuhan ekonomi untuk suku kedua tahun ini untuk banyak negara boleh dikatakan muram.  Kini, tumpuan diberikan pada suku ketiga yang berakhir bulan September, yang pastinya juga kalaupun tidak lebih muram.  Pertumbuhan di seluruh ekonomi utama dunia dijangkakan diturunkan gred oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semasa persidangan tahunannya minggu ini berikutan keruntuhan dramatik dalam keyakinan pengguna dan perniagaan yang menegunkan pelaburan dan menjejaskan kewangan kerajaan.  Ketidakstabilan di Eropah dan Amerika melemahkan prospek untuk pemulihan yang kuat di Barat dan dijangkakan menjejaskan China, Jepun, dan negara membangun sepanjang enam bulan akan datang. 


Kegawatan atau kemelesetan ekonomi, sememangnya menjadikan para pemimpin gelisah, tambahan pula dengan krisis makanan dan kenaikan kos sara hidup.  Hal ini demikian kerana situasai seperti ini boleh mencetuskan pergolakan politik dan kekacauan sosial yang boleh menyebabkan para pemimpin tidak lena tidur. Sistem kapitalis yang kini yang terhuyung-hayang di tubir kegawatan  akan membawa padah  bukan sahaja di Eropah, bahkan di seluruh dunia, dan dengan itu, menambahkan lagi gelisah dalam kalanga pemimpin.    


Britain, misalnya yang baru-baru ini diumumkan penganggurannya 7.9 peratus, dijangkakan berhadapan dengan winter of discontent yang baru, iaitu mogok kesatuan sekerja. Sementara di negara kita, Najib Razak yang popularitinya dilaporkan merosot bulan lalu, tetapi berikutan beberapa pengumuman berani beliau sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, mendapat sanjungan daripada R.C. yang menulis dalam The Economist yang mula dipetik oleh akhbar tempatan hari ini, antaranya Sunday Star dengan judul  yang mungkin  membuatkan Najib terangkat.    Najib yang beberapa bulan lalu seakan-akan "berjalan semasa tidur" dengan pentadbiran yang bercelaru yang dikecamukkan lagi oleh hal-hal peribadi dan keluarga, tetapi jika ditafsirkan tulisan dalam majalah itu, boleh "berjalan tinggi" (walking tall). Namun,  yang belum dipastikan berapa jauh, berapa lama Najib boleh bergembira dengan tindakan berani beliau itu. 


Tatkala kebanyakan  pemimpin dunia berasa gelisah pada bulan September dan tatkala negaranya bergelut dengan masalah ekonomi yang teruk, seperti yang diperhatikan oleh Fareed Zakaria, terbongkar rahsia kehebatan Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi,  bukan sebagai pemimpin, tetapi sebagai lelaki yang berusia  74 tahun: mengadakan hubungan seks dengan lapan orang wanita dalam satu malam. Pada minggu lalu, Berlusconi mendesak melalui parlimen meluluskan pakej jimat-cermat bernilai 54 bilion euro yang menjejaskan pencen, prkhidmatan awam, dan umur persaraan, mencetuskan pertempuran keganasan antara polis rusuhan dengan penunjuk perasaan di luar parlimen di Rom.  Pendedahan terbaharu ini akan meningkatkan kebimbangan di Italy tentang, sama ada Berlusconi mampu memberikan tumpuan terhadap usaha menyelamatkan Italy daripada masalah ekonomi yang teruk pada masa apabila negara itu  menghadapi risiko terheret ke dalam krisis zon euro.


Sesungguhnya, September merupakan bulan yang cukup panjang kerana  banyak negara secara terus-menerus bergelut dengan kemelesetan ekonomi, pergolakan politik, dan kekacauan sosial. Bulan yang menyukarkan  para pemimpin untuk  tidur lena.   





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...