Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Selepas berkhidmat
dengan Perkhidmatan Kerajaan Negeri Johor seketika, Ibrahim memasuki Rejimen Askar Melayu untuk “memulakan
fasa kedua kerjaya saya” (Ibrahim, 2008: 219). Walau bagaimanapun, beliau hanya
ditauliahkan sebagai pegawai berpangkat leftenan dalam Rejimen Askar Melayu
pada 1 Mac 1951 (Ibrahim, 2008: 152).
Pertukaran itu membolehkan Ibrahim membina kerjaya ketenteraannya dengan masa depannya lebih cerah. Tegas beliau, “tidak gunanya menjadi askar
sekiranya saya terus menganggotai Pasukan Tentera Negeri yang sudah berkurang
kekuatannya” (Ibrahim, 2008: 165).
Usaha Ibrahim untuk berkhidmat dalam Askar Melayu bukan mudah, bahkan
hampir-hampir menamatkan kerjaya ketenteraannya. Ketika bercuti selama tiga bulan untuk terus
berhenti daripada Tentera India (Tentera Darat India British), pada 13 Disember
1946, beliau ketika itu berpangkat mejar menulis surat kepada pesuruhjaya residen
Johor, memohon supaya beliau diserapkan ke dalam Askar Melayu di bawah King’s Commission. Walau bagaimanapun, jawapan surat daripada
pegawai pemerintah Askar Melayu di Port Dickson, bertarikh 30 Disember tahun
itu, yang membawa maksud bahawa beliau layak untuk berkhidmat di bawah Governor’s
Commission yang tidak setaraf dengan King Commission, meskipun
mereka mempunyai pangkat yang sama (Abdul Samad, 1983: 537). Sebenarnya, tindakan ini bersifat
diskriminasi terhadap pegawai-pegawai Melayu berbanding dengan kedudukan
tentera yang tentera daripada orang Inggeris.
Ibrahim yang
menduga jawapannya menolak tawaran itu bulat-bulat. “Saya berasa amat
tersinggung dan tidak puas hati dengan layanan yang diberikan itu, padahal
semasa saya bertugas dalam Tentera Darat India British pada masa perang saya
sudah pun diterima setaraf dengan pegawai-pegawai Inggeris (Ibrahim, 2008: 165
– 166). Pada 25 Jun 1947, Ibrahim menerima surat sulit daripada Pejabat
Pesuruhjaya Residen Johor, mengingatkan beliau bahawa kerjayanya sebagai
tentera akan berakhir jika enggan berkhidmat di bawah Governor’s Commission
(Abdul Samad, 1983: 537).
Keengganan Ibrahim berkhidmat dalam Askar Melayu di bawah Governor’s Commission
menyebabkan beliau menerima berbagai-bagai tekanan. Semasa berkhidmat sebagai pegawai penjaga di
Pejabat Rekod Pasukan Sukarela Johor, beliau menerima surat yang ditandatangani
oleh (Dato’) Mohd. Seth Mohd. Said,
daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, bertarikh 27 Julai 1948, menyatakan
bahawa beliau tidak layak menerima gaji bulanannya (Abdul Samad, 1983:
537). Walau bagaimanapun, kawannya
semasa di bangku sekolah, di Dehradun, dan dalam UMNO, iaitu Tun Hussein campur
tangan, “meminta setiausaha kerajaan Johor membayar gaji Ibrahim, termasuk tunggakan. Tun Hussein yang menulis surat pada 6
Februari 1949, juga menyatakan bahawa gaji beliau ialah $300 sebulan, termasuk
Cola $150, berjumlah $450 sebulan” (Abdul Samad, 1983: 538). Bahkan, Dato’ Onn yang ketika itu Menteri
Besar Johor campur tangan dengan mengirimkan surat kepada Sir Henry Gurney,
Pesuruhjaya Tinggi British. Dalam surat
yang bertarikh 6 Jun 1949, beliau meminta penjelasan daripada Henry Gurney,
sama ada boleh atau tidak kelonggaran diberikan kepada pegawai yang berkhidmat
dengan cemerlang untuk menyertai Askar Melayu di bawah King’s Commission
(Abdul Samad, 1983: 542). Dato’ Onn
dilantik sebagai pemangku Menteri Besar Johor oleh Sultan Ibrahim pada 1
Oktober 1946, dan beliau meletakkan jawatan Menteri Besar pada 17 Jun 1949.
Ibrahim sendiri
mengadakan pertemuan dengan Komandan Askar Melayu di Port Dickson pada 5 Ogos,
1949, dan akhirnya pada 2 November 1950,
apa yang beliau perjuangkan tercapai. Beliau kembali menyarung seragam tentera
dengan melaporkan diri menyertai Askar Melayu pada 1 Mac 1951, dengan
berpangkat leftenan. Sebelas bulan
kemudian, seperti yang dipersetujui beliau dinaikkan pangkat kapten (Abdul
Samad, 1983: 539 – 543).
Pada 11 Ogos 1958, beliau mengambil alih pemerintahan
Batalion Keenam Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kuala Lumpur,
menggantikan Leftenan Kolonel H.L. Darlington. “Peristiwa ini merupakan
detik yang membanggakan diri saya kerana saya mengimpikan untuk memerintah
sebuah batalion suatu hari nanti; impian saya semenjak hari pertama saya memasuki
akademi tentera” (Ibrahim, 2008: 240).
Ibrahim
menyertai Rejimen Askar Melayu tatkala
Tanah Melayu diancam oleh pemberontakan komunis dan Darurat telah diisytiharkan
pada 16 Jun 1948 oleh pesuruhjaya tinggi British Sir Edward Gent. Sepanjang perkhidmatan beliau dalam angkatan
tentera, Tanah Melayu dan kemudiannya
Malaysia sentiasa bergolak. Pengunduran Jepun disusuli dengan kacau-bilau
seketika, kemudian PKM melancarkan
pemberontakan, Presiden Sukarno
melancarkan Konfrontasi, rusuhan kaum tercetus sebaik-baik sahaja selepas pilihan raya umum
tahun 1969, dan Sarawak pula diancam oleh komunis. Namun begitu, “bahunya
besar.”
Disebabkan
gagal melaksanakan perjuangan secara berperlembagaan, PKM pada tahun 1948
memilih untuk beralih kepada gerakan militan, bertukar menjadi ganas, termasuklah
memusnahkan sasaran ekonomi, khususnya ladang getah dan kawasan industri.
Kemuncak kegiatan tersebut ialah peristiwa pembunuhan tiga peladang Eropah di
Sungai Siput, Perak pada tahun 1948 yang kemudian mendorong British
mengharamkan PKM pada 17 Julai dan lebih 1000 tangkapan dibuat, dan selanjutnya mengisytiharkan Darurat (Mohd
Rizal dan Shamrahayu, 2015: 113, 117). Pembunuhan di Sungai Siput itu
menyebabkan Darurat diisytiharkan di Perak pada 16 Jun. Dua hari kemudian, Darurat diisytiharkan di Johor
kerana komunis menyerang Kampung Choh dan balai polisnya. Pada 23 Jun 1948,
seluruh Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan Darurat (Ramlah, 2014: 10).
Menurut
Anthony Short, mobilisasi PKM untuk perjuangan bersenjata dilaksanakan dalam
tiga fasa. Pertama, secara gerila di dalam hutan yang membabitkan Lau Tong Tui
– satu pasukan pembunuh yang dianggotai revolusioner profesional. Mereka kebiasaannya bergerak dalam kumpulan
kecil antara empat atau lima anggota dengan matlamat menghapuskan sasaran yang
kebanyakannya orang Melayu. Fasa kedua
ialah keanggotaan terbuka anggota PKM atau secara gabungan, khususnya dengan
MPAJA, manakala fasa terakhir ialah perjuangan bersenjata PKM sebaik Darurat
diisytiharkan. Objektif utama PKM ialah menimbulkan kekacauan serta huru-hara
di kawasan luar bandar, selain menubuhkan kerajaan komunis di beberapa kawasan
yang dikuasai mereka di Tanah Melayu.
Pada masa yang sama, PKM juga berhasrat memulakan revolusi umum dan
mencapai kemenangan akhir dengan mengalahkan kuasa British serta pihak
bersenjata tempatan, seterusnya membentuk rejim komunis atau Republik Sosialis
di Tanah Melayu (dipetik daripada Mohd Rizal dan Shamrahayu, 2015: 118).
Pada
permulaan Darurat, PKM mempunyai kekuatan 5000 orang anggota yang dibahagikan
kepada 10 batalion, manakala kekuatan British jauh lebih besar dengan
peningkatan pasukan polis daripada 9000 orang anggota pada tahun 1948 kepda
67,202 orang pada tahun 1952. Daripada jumlah tersebut, 22,187 ialah polis
biasa, 44,878 polis bantuan, manakala kekuatan Pengawal Kampung (Home Guard)
pula meningkat hingga 300,000 pada Januari 1951 (Mohd Rizal dan Shamrahayu,
2015: 118 - 119).
Penglibatan Ibrahim dalam menentang ancaman komunis
bermula sebaik-baik sahaja Darurat diisytiharkan pada tahun 1948. Di negeri
Johor, Menteri Besar ketika itu, Dato’ Onn Ja’afar, mengambil langkah
serta-merta untuk menghalang komunis daripada menguasai kampung Melayu
terpencil. Anaknya, Tun Hussein yang
sedang berkhidmat sebagai penolong pegawai daerah di Kuala Selangor, diminta
pulang ke Johor untuk mengetuai urusan penubuhan Pengawal Kampung. Hussein yang memikul tanggungjawab itu
meminta Ibrahim bersama-sama beliau
sebagai timbalan. Kedua-duanya, iaitu
Ibrahim dan Hussein bertanggungjawab
melatih kader jurulatih Pengawal Kampung, di samping atas permohonan Markas
Kontinjen Johor yang dalam proses penubuhan pasukan hutan, mereka berdua
membantu mereka melatih anggota polis mereka dalam taktik peperangan hutan (Ibrahim, 2008: 205; Ramlah, 2014: 19;
Zainah, 2011: 181). Mereka berdua tanpa
mengenal penat lelah menjelajah seluruh Johor, pergi ke kampung-kampung di
daerah yang terjejas teruk, untuk mengatur dan melatih orang kampung
menggunakan senjata dan dalam strategi mempertahankan diri (Zainah, 2011: 181 –
182). Pada masa itu, keselamatan negara sedang terancam. Ini bermakna Pengawal Kampung terpaksa lebih berwaspada semasa melaksanakan
tugas mempertahankan diri daripada kemungkinan diserang oleh pengganas komunis
(Ibrahim, 2008: 206), yang turut mencatatkan Peristiwa Bukit Kepong, apabila
pada 23 Februari 1950, komunis menyerang balai polis. Ibrahim memberitahu,
“Setiap orang berasa takut kerana gerila bersenjata, sedangkan penduduk kampung
tidak. Kami memberi mereka senapang
patah dan melatih mereka menggunakan senjata.
Apabila kami kehabisan senapang patah, kami mengagihkan parang panjang
yang dibuat oleh orang kampung sendiri” (Zainah, 2011: 182).
Hussein
dan Ibrahim mengumpulkan, mengatur, dan melatih 10,000 orang Pengawal
Kampung. Menurut Ibrahim, sambutan
terhadap misi mereka sukar dipercayai. Orang Melayu berdiri teguh di belakang
mereka dan bangkit menentang gerila dan mencegah kampung mereka daripada
disusupi atau diganasi. Memang tidak sukar untuk mengambil penduduk kampung
kerana mereka telah pun penuh rasa bangga dengan semangat nasionalisme Melayu
dan dengan UMNO yang baru sahaja ditubuhkan, dan menentang Malayan Union”
(Zainah, 2011: 182). Ibrahim yakin
bahawa strategi melawan balik pemberontakan merupakan instrumental dalam
mencegah PKM daripada mengambil alih kawasan luar bandar dan kampung (Zainah,
2011: 182).
Menjelang
tahun 1952, PKM yang melancarkan
pemberontakan itu terpaksa berhadapan dengan pasukan keselamatan yang lebih
mantap kerana beberapa perubahan yang dilakukan oleh pesuruhjaya British Sir
Gerald Templer yang juga merupakan pengarah operasi mulai Januari 1952.
Sepanjang tahun 1953 dan 1954, komunis terus menerima tentangan hebat di setiap
medan dan penjuru, terutama sekali dengan pelancaran operasi besar-besaran
pihak polis dan Pengawal di Kelantan,
timur Pahang, dan barat Perak. Tentera pula menumpukan operasi di tempat-tempat
lain. Kawasan putih semakin banyak diisytiharkan, terutamanya di Pantai Timur
(Mohd. Reduan, 2008: 57 – 60).
Pasukan Askar Melayu yang ditubuhkan pada 1 Mac 1933,
merupakan satu-satunya pasukan angkatan tentera tempatan yang telah tersedia
ada semasa Darurat diisytiharkan (Ramlah, 2014: 20). Akibat Darurat, British
menambah kekuatan Askar Melayu dengan melakukan pembesaran secara
berperingkat-peringkat, bermula dengan Batalion 3 (Januari 1949, Batalion 4
(Jun 1950), Batalion 5 (Disember 1951), Batalion 6 (Februari 1953), dan
Batalion 7 pada Mac 1954 (Ramlah, 2014: 20).
Ketika Darurat, Ibrahim yang
berpangkat kapten ikut sama menjalankan operasi di hutan-hutan di
sekitar Raub, Bentong, dan Jerantut.
Walau bagaimanapun, beliau tidak terlibat dalam pertempuran besar. Pada masa itu juga, iaitu pada tahun 1955,
beliau dihantar untuk mengikuti kursus jangka pendek di Star Colleges, London
(Abdul Samad, 1983: 544 – 545).
Sementara itu, antara 1960 – 1968, komunis di Sarawak
meneruskan usahanya untuk menyebarkan fahaman
komunis dan meluaskan pengaruhnya dalam kalangan rakyat tempatan. Sebagaimana PKM di Semenanjung, Pertubuhan
Komunis Sarawak (PKS) juga mempergunakan kesempatan suasana revolusi yang
dicetuskan oleh Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia untuk memperkukuh
kedudukannya di Sarawak (Mohd. Reduan, 2008: 125). Sebagaimana PKM di Semenanjug, PKS juga mempergunakan
kesempatan suasana revolusi yang dicetuskan oleh Konfrontasi Indonesia terhadap
Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya di Sarawak (Mohd. Reduan, 2008:
125).
Di Sarawak, wujud Pertubuhan Klandestin Komunis atau
Communist Clandestine Organization (CCO)
yang dianggotai oleh kaum Cina. Matlamat perjuangan pertubuhan sulit
komunis CCO adalah
sama seperti matlamat PKM di Tanah Melayu, iaitu untuk mendapatkan kemerdekaan
dan membentuk sebuah Republik Komunis di Sarawak (Mohd. Reduan, 2008: 91). COO
dipercayai mempengaruhi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pimpinan Tan Sri
Ong Kee Hui, yang pada mulanya menentang kuat penubuhan Malaysia (Ghazali,
2015: 245). COO juga menekankan kaum
Iban dan mempelawa orang muda kaum itu menyertai kumpulan mereka (Ghazali,
2015: 243), dan menakut-nakutkan orang Cina di Sarawak melalui gangguan dan
subversif dengan motif supaya orang Cina menentang penyertaan negeri itu ke
dalam Malaysia (Ghazali, 2015: 249). COO mahukan kemerdekaan Sarawak di bawah
komunis (Ghazali, 2015: 266). Tatkala
Malaysia dalam proses pembentukan, CCO
semakin cergas dengan bantuan negara Cina melalui Parti Komunis Malaysia
(PKI) yang menyediakan latihan untuk unit tentera CCO, dan mereka mula masuk ke
dalam SUPP, sekolah Cina, pertubuhan buruh, dan pelajar (Ghazali, 2015: 274).
Menurut Ibrahim, mengikut penilaian perisikan Markas
DOBOP, yang dibawa balik dari Labuan, ancaman komunis paling ketara di Sarawak,
sebaliknya di Sabah tidak terdapat ancaman sedemikian. CCO yang terdiri daripada
anggota komunis tegar berjumlah kira-kira 1000 aktivis Cina dan seramai
kira-kira 150 kader. Di samping itu,
terdapat kekuatan pejuang seramai 3500 orang dan sehingga seramai 25,000 orang
pesimpati dan bakal pejuang. Hubungan
dengan Indonesia diperkukuh apabila seramai 1000 pemuda Cina menyeberangi
sempadan ke Kalimantan untuk menjalani latihan senjata dengan Tentera Darat
Indonesia (Ibrahim, 2008: 293).
Akan tetapi, usaha
mereka untuk melancarkan pemberontakan dapat dibanteras apabila pihak polis
Sarawak bertindak menyelamat keadaan dengan menarik balik lesen senjata
api. Pada 19 April 1965, kesemua 8500
lesen untuk senapang patah tolok 12 yang dikeluarkan ditarik balik, dan
seterusnya mengeluarkan dekri supaya semua senjata api diserahkan. Pada akhir minggu pertama, 8000 senapang
patah dikumpulkan (Ibrahim, 2008: 294).
Ancaman komunis itu terpaksa dihadapi oleh Briged
Infantri Malaysia Ketiga, selain yang sedia ada untuk dihadapi di sebarang
sempadan di Kalimantan. Kawasan
tanggungjawab briged meliputi tiga kawasan yang paling sering dimasuki komunis,
iaitu Divisyen Pertama, Kedua, dan Ketiga Sarawak – yang saiz ketiga-tiga kawasan itu sama luas dengan saiz keseluruhan
Semenanjung Malaysia (Ibrahim, 2008: 294).
“Saya mengarahkan Brigadier (Tan Sri)
Ungku Nazaruddin (Ungku Mohamed) untuk memberikan perhatian
kepada beberapa perkara terperinci semasa merancang operasi di kawasan
tanggungjawabnya” (Ibrahim, 2008: 294).
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
(Dipetik daripada Bab Sepuluh, Pengukir Sejarah Pembina Bangsa, Jilid II, yang dapat diperoleh melalui e-Sentral.)
No comments:
Post a Comment