Artikel Popular

Wednesday, July 27, 2011

Norway: Pertembungan Peradaban?



RABU,  27 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dua serangan yang dilakukan oleh orang yang sama, iaitu Anders Behring Breivik, pada mulanya mendorong sesetengah menuduh perbuatan itu dilakukan oleh pejuang jihad Islam.  Respons tidak masuk akal, tulis Christopher Hitchens  apabila banyak "pakar" mengisytiharkan serangan Oslo itu adalah angkara pengganas Islam.  Meskipun sepatutnya sayap kanan Eropah dipersalahkan atas berlakunya serangan itu, seperti yang ditegaskan oleh Joshua   Foust,  respons awal adalah terhadap al-Qaeda yang dituduh menjadi dalang. 

Pembunuh orang ramai itu didapati menghantar e-mel dokumen  setebal 1518 halaman kepada kawan-kawannya sebelum dia melancarkan serangan keganasan yang teruk di Norway, yang dia mendesak orang lain mengikuti contohnya dengan membunuh sesiapa sahaja bertolak ansur dengan Islam, termasuk bekas Perdana Menteri Britain Gordon Brown dan Putera Charles yang dianggap "pengkhianat." 

Melalui komen yang dia tulis pada laman Web menunjukkan dia sangat tidak menyukai fahaman pelbagai budaya, budaya imigran, idea sayap kiri atau Marxis, dan merasakan bahawa nilai Norway tradisional diancam oleh pendukung fahaman pelbagai budaya, orang Islam, dan politik sayap kiri.  Dalam hubungan ini, Jalees Rehman, M.D, melihat komen Breivik itu benar-benar bercirikan gerakan politik kanan jauh di Eropah, dan dengan itu, besar kemungkinan bahawa tindakan keganasannya mungkin sebahagiannya dipengaruhi oleh ideologi pelampau sayap kanan.

GlobalPost menganggap tindakan dahsyat yang dilakukan oleh Anders Behring Breivik nampaknya didorong oleh kebencian terhadap orang Islam dan rasa benci terhadap kepelbagaian budaya. Meskipun Breivik menjauhkan dirinya daripada politik tersusun, retoriknya meletakkan parti-parti kanan jauh menjadi tumpuan utama.  GlobalPost  meringkaskan apa yang berlaku terhadap puak  kanan melampau di beberapa negara Eropah utama, iaitu Bulgaria, Perancis,  Jerman, Greece, Hungary, Belanda, Rusia, Sweden, dan United Kingdom.  Demikian juga  Ujala Sehgal yang menganggap serangan dahsyat itu sebagai kebangkitan  fahaman pelampau sayap kanan di Eropah.  Apabila dunia percaya bahawa serangan tersebut adalah tindakan keganasan Islam antarabangsa, pemimpin negara, daripada Barack Obama kepada David Cameron, semua menyatakan bahawa mereka berdiri bersama-sama Norway dalam perjuangan, Aslak Sira Myhre yang menulis dalam The Guardian bertanya:  Yang mana satu perjuangan sekarang?  Semua pemimpin Barat mempunyai masalah yang sama dalam sempadan mereka sendiri.  Adakah mereka kini melancarkan serangan terhadap faham pelampau puak kanan?  Terhadap Islamofobia dan rasisme?

Tidak memadai dengan tuduhan melulu terhadap Islam, Bruce Riedel muncul dengan tafsiran pertembungan peradaban di Oslo bahawa fundamentalis Kristian yang matlamat adalah sama dengan al-Qaeda yang menamatkan dialog dan kembali kepada cara Zaman Pertengahan.  "Tragedi yang dahsyat di Norway mengingatkan bahawa puak pelampau Kristian dan Islam, kedua-duanya mencri pertembungan peradaban.  Mereka membiakkan kebencian terhadap satu sama lain, dengan harapan memusnahkan dialog dan perdamaian demi mewujudkan semula fantasi Zaman Pertengahan mereka."

Tambah Riedel, "pejuang jihad berasa seronok terhadap pembunuhan mencerminkan pertemuan puak pelampau dalam kedua-dua komuniti dalam mengalu-alukan pertembungan antara Islam dengan Kristian.  Kedua-dua terlalu ekstrem mahu dunia dipolarisasikan ke dalam kem berperang.  Untuk mereka perdamaian antara Islam dengan Kristian adalah musuh, dialog bahaya yang patut dihalang dengan apa-apa sahaja."  Selain itu, puak pelampau pada kedua-dua belah pihak mahu dunia dipolarisasikan.  Dalam fantasi al-Qaeda, Kristian dan Yahudi tidak akan hidup di dunia Islam; Amerika dan Barat akan diusir keluar dari semua tanah yang dari sejarah kepunyaan Islam, dari Sepanyol ke Palestin ke Kashmir.  Dalam fantasi puak kanan pelampau, Islam akan diusir keluar dari Eropah dan Amerika.


Memilih Norway sebagai kancah pertembungan peradaban nampaknya berlebih-lebihan, meskipun berlaku tragedi ngeri baru-baru ini yang berpunca daripada kebencian terhadap Islam dan fahaman pelbagai budaya. Selain itu, Behring Brevik benci akan Marxisme atau idea sayap kiri, senarai golongan yang dibenci, seperti yang dinyatakan manifestonya yang tebal itu, merangkumi Islam dan bukan Islam, dan serangan dahsyat yang dilancarkannya bukannya terhadap orang Islam.

Serangan ini, tulis Mohammad Usman Rana, "mengubah negara saya dan bagaimana dunia menanggapi negara yang biasanya aman, indah, dan harmoni yang selalu menduduki tempat di atas dalam penarafan kualiti hidup Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  Serangan ini, menurut Behring Breivik, adalah kerana ciri masyarakat Norway: terbuka, progresif, dan yang paling penting pelbagai budaya."

Beliau tidak menjangkakan Norway merupakan negara Eropah pertama diserang  sedemikian rupa oleh pelampau antipelbagai budaya.  Hal ini demikian kerana Norway berfungsi dengan baik, masyarakat pelbagai budaya.  Sikap politik terhadap golongan minoriti adalah bersifat integrasi dan inklusif.  Jelas beliau, di ibu negara Oslo, 20 - 25 peratus penduduk mempunyai latar belakang bukan orang Norway.  Imigran dari Pakistan, Turki, dan Maghribi pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an memperkenalkan Islam di Norway, dan mencerminkan komposisi semasa penduduk Islam.  Angka terbaharu menunjukkan bahawa jumlah penduduk Islam di Norway adalah antara 120,000 hingga 150,000 orang.  Norway berbeza daripada negara, seperti Denmark, Belanda, Switzerland, dan Perancis yang antifahaman pelbagai budaya memperoleh kuasa politik dan yang ketegangan antara golongan minoriti dengan majoriti adalah sengit.

Yang boleh disimpulkan daripada tafsiran dan penjelasan Usman Rana, Norway bukan bumi yang subur untuk mencetuskan pertembungan peradaban.  Demikian juga bagi Keshi Kashyap yang mencintai negara itu.  "Saya tertarik kepada tiadanya kebimbangan budaya. Ketenangan datangnya daripada penjagaan kesihatan yang baik, wang minyak, dan adalah kesan leluhur anda yang tinggal di sini  sejak  beribu-ribu tahun."

Samuel Huntington pernah mengingatkan bahawa Perang Dingin merupakan peristiwa sekejap jika dibandingkan dengan perjuangan zaman lama antara Barat dengan Islam.  Pada Zaman Pertengahan, tentera Islam mara menerusi Iberia hingga ke Perancis, dan menerusi Balkan hingga ke Pintu Kota Vienna.  Proses kemaraan yang sama berlaku, menerusi demografi bukannya ketenteraan, adalah kini sedang berlaku di Eropah.  "Bahaya pertembungan masa depan," tulis Huntington, "kemungkinan daripada interaksi keangkuhan Barat,  tidak bertoleransi Islam, dan  Sinic (orang Cina) yang sifat pendesak."  Sikap anti-Islam yang berlaku di Eropah mungkin mengesahkan jangkaan Huntington ini yang melalui demografi membanjiri benua itu, menjadi penduduk kedua terbesar di beberapa buah negara di rantau itu.

Namun, seperti yang dikatakan sebelum ini, untuk mengatakan Norway terjebak dalam pertembungan peradaban adalah berlebih-lebihan.  Untuk mengatakan bahawa negara itu terjebak dalam  pertembungan kejahilan atau pertembungan fundamentalisme, bahkan kurang cocok.   Sememangnya amat malang seandainya angkara individu yang bermotivasi, seperti  Behring Breivik, dunia terheret ke kancah pertembungan peradaban. 





































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...